Penyusunan semula Asia Barat

Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 20 Ogos 2006


TENTERA Lebanon dikirim ke Lebanon Selatan dan bergabung dengan pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ketika askar Israel berundur selepas 34 hari berperang dengan Hizbullah.

Mereka memasuki kawasan-kawasan yang dianggap oleh Israel sebagai kubu Hizbullah dan pasukan gerila itu menyelinap keluar bagi menyertai kembali ke dalam masyarakat Lebanon.

Politik Lebanon secara tidak langsung sedang disusun semula selepas gencatan senjata itu. Perdebatan akan berlaku untuk menentukan siapakah yang menang dalam perang 34 hari itu.

Hizbullah mengisytiharkan kemenangan atas alasan bahawa kumpulan itu terus wujud walaupun Israel pernah mengisytiharkan bahawa matlamatnya adalah untuk menghapuskan pasukan gerila Syiah itu.

Tetapi di pihak Israel pula, mereka pada satu peringkat telah berjaya mengosongkan beberapa kawasan di Lebanon Selatan dari Hizbullah untuk diisi dengan tentera Lebanon dan pasukan pengaman PBB.

Tidakkah itu merupakan matlamat rejim Tel Aviv sejak awal lagi, iaitu untuk membersihkan Lebanon Selatan dari Hizbullah? Sejak ia berundur dahulu, mereka sering kali menekan Beirut supaya menghantar tentera ke Lebanon Selatan dan sekali gus menghalang serangan Hizbullah ke atas Israel.

Tetapi Beirut enggan menghantar tentera ke situ kerana tindakan itu disifatkan hanya merupakan suatu usaha untuk melindungi keselamatan Israel. Mengapa perlu Israel dilindungi sedangkan rejim Tel Aviv sudah banyak melakukan keganasan ke atas rakyat Lebanon?

Semasa pendudukan tentera rejim Tel Aviv ke atas Lebanon Selatan itu, mereka menubuhkan suatu pasukan bernama Tentera Lebanon Selatan (SLA) yang terdiri daripada rakyat Lebanon dari kalangan Druze. SLA menjadi pasukan tentera upahan bagi melindungi Israel daripada serangan Hizbullah.

Maka dengan pengunduran tentera Israel dari kawasan Lebanon Selatan dahulu, SLA ini dibubarkan dengan harapan bahawa tentera Lebanon akan ditempatkan di situ.

Tetapi politik Lebanon tidak membenarkan perkara itu kerana Lebanon Selatan seperti juga Lembah Bekaa adalah kawasan Hizbullah yang keselamatannya tanggungjawab mereka sendiri.

Maka serangan ganas Israel selama 34 hari ke atas Lebanon yang meliputi banyak wilayah di luar kawasan Hizbullah telah mengheret kumpulan-kumpulan agama lain seperti Kristian Maronit, Sunah dan Syiah yang bukan Hizbullah.

Inilah tujuan rejim Tel Aviv iaitu untuk menghukum Kristian Maronit dan Sunah kerana tidak menghalang Hizbullah daripada menyerang Israel.

Sememangnya rakyat Lebanon yang bukan penyokong Hizbullah marah terhadap kumpulan itu kerana telah mengheret mereka ke dalam kancah peperangan. Mereka secara umumnya mempersoalkan mengapa Hizbullah melancarkan perang bagi pihak Lebanon tanpa merujuk kepada mereka.

Bukan saja golongan yang tidak menyokong Hizbullah ini marah kepada kumpulan itu, malah sentimen yang sama disuarakan oleh Mesir, Jordan dan Arab Saudi.

Maknanya segala kemusnahan yang ditanggung oleh Lebanon akibat serangan Israel itu disalahkan kepada Hizbullah dan bukan rejim Tel Aviv. Malah diungkit-ungkitkan bahawa pelaburan dan pembiayaan terhadap pembangunan Lebanon selama ini datangnya dari Arab Saudi. Sememangnya apa yang dimusnahkan itu dilakukan oleh Israel, tetapi anggapan jika Hizbullah tidak menahan tentera rejim Tel Aviv, maka segala kerosakan itu tidak dilakukan.

Tetapi mungkin Hizbullah tidak menyangka bahawa serangan Israel sebegitu luas. Mereka dan penduduk di kawasan pentadbirannya sentiasa bersedia diserang oleh Israel. Bagi mereka, ini adalah perang antara Israel dan Hizbullah; dan bukan antara Israel dan Lebanon.

Itulah yang sepatutnya berlaku. Tetapi Israel meluaskannya dengan mengheret sama keseluruhan Lebanon. Ia menganggap bahawa Hizbullah adalah sebahagian dari Lebanon; malah ia juga sebahagian daripada kerajaan Beirut dengan memiliki ahli-ahli Parlimen di situ.

Jadi, daripada kaca mata rejim Tel Aviv; Hizbullah menyerang Israel sebagai mewakili Lebanon, maka wajar baginya membalas balik dengan melibatkan keseluruhan negara itu.

Dari segi negara lawan negara; begitulah rupanya. Malah Hizbullah sering dianggap dan malah menganggap diri mereka sebagai negara dalam negara. Walaupun ia merupakan sebahagian dari Lebanon, tetapi ia beroperasi sebagai sebuah pentadbiran autonomi yang diiktiraf.

Justeru kehadiran tentera Lebanon di Lebanon Selatan bukan dianggap sebagai kehadiran sebuah angkatan nasional; malah boleh dipandang dari sudut seolah-olah mereka merupakan tentera pengaman asing. Iaitu seperti tentera pengaman PBB atau Liga Arab.

Bagaimanapun Lebanon walaupun sebuah negara bangsa yang utuh dan berdaulat tetapi sosoknya tidak boleh disamakan dengan negara-negara lain. Adalah suatu yang tidak wajar untuk menyamakan semua negara bangsa di dunia.

Oleh kerana kebanyakan negara mempunyai sebuah angkatan tentera, maka Lebanon juga dipandang melalui kaca mata yang sama.

Tetapi lihat saja struktur negara Lebanon. Ia hanyalah satu-satunya negara di dunia yang mana Presiden, Perdana Menteri dan Speaker Parlimen diperuntukkan pada satu-satu kumpulan agama.

Maka Presidennya mesti dijawat oleh seorang Kristian Maronit, Perdana Menteri oleh Islam Sunah dan Speaker Parlimen diperuntukkan pada Syiah.

Setiap kumpulan agama mempunyai kumpulan bersenjatanya sendiri. Syiah terbahagi kepada dua kumpulan iaitu Amal Syiah yang mana pemimpinnya menjadi speaker dan Hizbullah mempunyai ahli-ahli Parlimen dan mentadbir sendiri wilayah-wilayah yang di bawah penguasaannya. Ia menubuhkan sekolah, hospital dan sudah tentu angkatan bersenjatanya sendiri.

Sememangnya Lebanon memiliki negara dalam negara, dan Hizbullah adalah salah sebuah negara di dalamnya.

Tetapi Israel juga bukan sebuah negara seperti lain-lain negara di dunia. Kebanyakan negara di dunia tidak menganggap Israel sebagai sebuah negara, ia hanya dirujuk sebagai rejim Tel Aviv. Iaitu kerajaan yang berpusat di Tel Aviv dan memerintah secara haram ke atas satu wilayah hak orang lain yang diduduki.

Sedangkan pada hakikatnya sekarang kerajaan Israel tidak lagi beroperasi di Tel Aviv, tetapi mereka telah pun berpindah ke Baitulmaqdis yang dianggap sebagai ibu negara Israel. Langkah ini tidak diiktiraf oleh kebanyakan negara di dunia. Yang sentiasa menyokong kuat rejim Tel Aviv termasuk menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara.

Maka bagi banyak pihak, Israel bukan sebuah negara. Ia hanyalah sebuah rejim pengganas yang berfungsi seolah-olah menjadi negara.

Maka dari sudut pandangan ini, Hizbullah bukannya berperang melawan sebuah negara, tetapi hanyalah sebuah rejim pengganas. Walaupun Hizbullah bukan sebuah negara, tetapi ia merupakan parti politik yang diiktiraf kekuasaannya oleh Beirut sebagai mendapat mandat bagi mentadbir Lebanon Selatan dan Lembah Bekaa. Malah Beirut mengiktiraf kumpulan bersenjata Hizbullah.

Tambahan pula kedudukan Hizbullah di Parlimen dan kerajaan Lebanon adalah atas mandat yang diterima melalui pilihan raya demokratik yang dijalankan di Lebanon Selatan dan Lembah Bekaa.

Tetapi tidak rejim Tel Aviv. Walaupun ia mempunyai negara dan pentadbiran dan kerajaannya dipilih melalui pilihan raya secara demokratik termasuk jawatan Presiden dipilih secara langsung oleh pengundi, tetapi ia bukan negara yang mendapat mandat daripada rakyat sebenar.

Ini kerana rakyat sebenar wilayah yang terwujudnya Israel itu ialah Palestin. Mereka telah dipinggirkan dan dinafikan hak bernegaranya.

Palestin sebenar meliputi negara yang kini dikenali sebagai Israel, Tebing Barat, Baitulmaqdis dan Jordan.

Maka pada tahun 1948 ketika Israel diisytiharkan oleh gerakan Zionis, ia menduduki sebahagian dari Palestin. Maka pada hakikatnya Palestin ketika itu dibahagi dua iaitu Israel yang diperintah oleh rejim Tel Aviv dan Jordan.

Jordan ketika itu turut meliputi Tebing Barat, Gaza dan Baitulmaqdis, di samping Tebing Timur. Tebing ini merujuk kepada Sungai Jordan.

Bagi Israel, Palestin tidak wujud lagi dengan pengunduran British dan pemansuhan mandat Palestin yang dipegang bagi pihak rakyat Palestin ekoran daripada kejatuhan Khalifah Uthmaniah selaras dengan keputusan Liga Bangsa-Bangsa.

Rakyat Palestin berbangsa Arab yang tinggal dalam wilayah pemerintahan rejim Tel Aviv yang menerima kewarganegaraan Israel dipanggil orang Arab Israel. Tetapi kebanyakan rakyat Palestin dihalau ke Jordan kerana bagi rejim Tel Aviv, Jordan adalah merupakan negara Palestin berbangsa Arab.

Sudah tentu keadaan ini tidak diterima oleh rakyat Palestin. Negara dan bangsa Palestin tidak boleh dilenyapkan begitu saja.

Maka negara-negara Arab iaitu Mesir, Jordan dan Syria dibantu oleh negara-negara lain seperti Iraq dan Arab Saudi berperang untuk membebaskan Palestin daripada rejim Tel Aviv pada tahun 1967. Negara-negara Arab kalah di mana rejim Tel Aviv menduduki wilayah-wilayah Mesir, Jordan dan Syria.

Pengiktirafan Mesir terhadap Israel selepas perang tahun 1973 mengembalikan Semenanjung Sinai kepada Kaherah. Syria tidak mengiktiraf rejim Tel Aviv dan Israel mengisytiharkan Golan sebagai miliknya.

Tebing Barat, Gaza dan Baitulmaqdis terus didudukinya. Selepas intifada tahun 1987, Israel bersedia menganggap Tebing Barat dan Gaza sebagai wilayah Palestin.

Untuk itu Jordan mengisytiharkan pelepasan wilayah Tebing Barat dan Gaza. Hakikatnya apa yang dirancang untuk dijadikan negara Palestin ialah wilayah-wilayah pada asalnya di bawah Jordan. Israel tidak kehilangan sebarang wilayah.

Maka Israel bukan sebuah negara sebenar. Begitu juga dengan Palestin yang diwujudkan di Tebing Barat dan Gaza.

Rejim Tel Aviv melakukan dua penyelewengan kenegaraan. Satu merampas wilayah Palestin untuk dijadikan Israel, dan kedua merampas wilayah Jordan dan menjadikannya negara Palestin yang dicadangkan.

Israel bukan merupakan negara sebenar kerana mendapat mandat bukan daripada rakyat sebenar. Warganegara Israel bukan rakyat sebenar. Rakyat sebenar adalah orang Palestin. Warganegara Israel terdiri daripada pendatang-pendatang daripada pelbagai negara di Eropah, Afrika dan Asia untuk dijadikan rakyat Israel.

Tetapi rakyat Israel dalam erti kata sebenar tidak wujud kerana negara itu diada-adakan tanpa pengiktirafan rakyat.

Sebaliknya rakyat Palestin itu wujud walaupun tidak bernegara. Setelah kehilangan tanah mereka kepada Israel kini mereka hanya mempertahankan Tebing Barat dan Gaza yang pada awalnya merupakan sebahagian dari Jordan.

Maka kepada bangsa Palestin inilah yang Hizbullah hendak bantu. Palestin adalah jiran mereka. Sebangsa walaupun tidak semazhab. Hizbullah adalah Syiah. Palestin adalah Sunah. Kristian daripada pelbagai mazhab dan juga Yahudi; walaupun kebanyakan Yahudi sudah beralih menyebelahi rejim Tel Aviv.

Tetapi rakyat Palestin telah memilih Hamas sebagai parti pemerintahan mereka. Hamas mempunyai persaudaraan fahaman dengan Hizbullah. Walaupun tidak semazhab tetapi sama-sama berpegang kepada fundamental Islam.

Dalam peperangan dengan Israel, kejayaan Hizbullah adalah membantu Hamas, dan secara tidak langsung kepada Palestin.