Antara meritokrasi, matrikulasi, manipulasi dan mediokrasi

Oleh: ZIN MAHMUD (Wartawan Utusan)
Sumber: Utusan Malaysia 12 Ogos 2006


BERCAKAP tentang meritokrasi, matrikulasi dan mediokrasi sememangnya sensitif kerana ia mempunyai unsur-unsur perkauman yang tidak disenangi oleh rakyat Malaysia.

Tetapi apakah itu mediokrasi? Mediokrasi daripada perkataan mediocracy yang merujuk kepada istilah mediocre, bermaksud kesederhanaan dari segi tahap pencapaian. Ia adalah berlawanan dengan kecemerlangan. Sederhana, lemah, mundur dan di bawah piawaian, atau substandard dalam pemerintahan, pentadbiran dan politik negara boleh disebut sebagai mediokrasi.

Maka mediokrasi adalah bertentangan dengan meritokrasi. Bagaimanapun, tidaklah boleh disebut bahawa semua keadaan atau amalan yang bukan meritokrasi adalah mediokrasi.

Ada masa, sesuatu sistem itu tidak mengamalkan meritokrasi atas sebab untuk memberi peluang dan ruang kepada mereka yang kurang bernasib baik melalui dasar-dasar diskriminasi positif dan tindakan afirmatif, tetapi ia tidak semestinya menghasilkan mediokrasi jika dilakukan dengan betul.

Dalam zaman ini di mana politik kerakyatan menjadi asas negara bangsa moden, meritokrasi merupakan amalan baku di seluruh dunia.

Jadi dengan mengikut merit, siapa pandai dan cekap akan menerima habuan dalam masyarakat. Tetapi adakah itu adil? Sudah tentu anggota-anggota masyarakat yang mempunyai landasan awal lebih baik akan pasti mendapat manfaat daripada meritokrasi.

Senang cerita, jika meritokrasi tulen dimalkan, sudah tentu majoriti yang dapat memasuki universiti di Malaysia pastinya daripada kalangan bukan bumiputera, khususnya keturunan Cina.

Jika dasar ini dilaksanakan, sudah tentu golongan minoriti yang bernasib baik dan maju dalam serba-serbi, baik ekonomi mahupun pendidikan akan mendominasi negara, dengan meminggirkan majoriti, iaitu bumiputera.

Bukanlah pelajar-pelajar bumiputera tidak mampu untuk mencapai kecemerlangan tetapi tempat amat terhad. Justeru, pelajar-pelajar yang cemerlang akan menguasai tempat-tempat itu. Sementara yang lain, walaupun mampu akan terpinggir dengan natijah yang berbahaya.

Maka dalam suasana inilah negara ini mengamalkan dasar-dasar tindakan afirmatif yang memberi peluang dan ruang kepada pelajar-pelajar bumiputera yang layak dan mampu untuk mencapai kecemerlangan. Tetapi kebanyakan mereka ini tidak akan berupaya mendapat tempat jika mengikut cara meritokrasi tulen.

Jika pelajar-pelajar bumiputera ini mendapat tempat melalui kuota Dasar Ekonomi Baru (DEB) selama ini turut mencapai kecemerlangan, maka negara tidaklah terjerumus kepada mediokrasi walaupun meritokrasi tidak dilaksanakan.

Malangnya sejak hampir 49 tahun negara ini mencapai kemerdekaan, tanda-tanda bahawa negara ini sedang bergerak ke kancah mediokrasi sudah ada. Sekurang-kurangnya dari segi persepsi. Siswazah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang mendapat tempat melalui dasar tindakan afirmatif itu dilihat tidak mencapai kecemerlangan.

Pencapaian mereka secara umum adalah sederhana, dan ini kemudian merebak ke sektor awam di mana siswazah-siswazah ini bertugas kelak. Mereka juga kemudian memimpin syarikat-syarikat milik kerajaan. Umumnya mereka adalah bumiputera dan persepsinya ialah mereka tidak cemerlang. Maka negara dilihat terjerumus dalam keadaan mediokrasi. Mungkin perkara ini tidak benar, ia hanya persepsi. Tetapi persepsi diambil kira dalam politik.

Jadi apabila berlaku amalan ini di sektor awam, IPTA dan dikaitkan dengan bumiputera, rujukannya sebenar ialah Melayu, maka persepsinya adalah mediokrasi.

Maka pihak bukan bumiputera lihat keadaan ini bukan saja tidak adil tetapi menumpulkan usaha daya saing negara. Mereka menuntut meritokrasi.

Hujah mereka kelihatan ada alasannya iaitu untuk melahirkan generasi yang terbaik untuk memimpin negara dalam semua sektor. Tetapi bagi bumiputera, seruan kepada meritokrasi adalah berunsur perkauman, ia boleh merujuk kepada dominasi bukan bumiputera melalui kemampuan pencapaian mereka.

Di sinilah timbul soal matrikulasi sebagai saluran bagi memasuki IPTA. Sebelum saluran matrikulasi diwujudkan pada tahun-tahun 80-an dahulu, untuk memasuki universiti harus melalui Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Jelas banyak pelajar bumiputera walaupun mendapat keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi gagal dalam STPM. Mengapakah pelajar-pelajar yang cemerlang di peringkat SPM gagal di STPM sedangkan mereka mempunyai potensi dan mampu untuk berjaya?

Maka melalui STPM, lulusannya didominasi oleh pelajar bukan bumiputera. Tetapi apabila kerajaan memperkenalkan matrikulasi yang mengamalkan sistem semester, banyak pelajar bumiputera berjaya dan mampu memasuki IPTA dan ternyata akhirnya berjaya menjadi siswazah.

Maka di sinilah kalangan pihak bukan bumiputera menganggapnya sebagai tidak adil kerana matrikulasi disyaki terdedah kepada manipulasi dan akhirnya mewujudkan mediokrasi.

Sedangkan pada hakikatnya walaupun sistemnya berbeza daripada STPM, tetapi strandardnya juga tinggi dan ketat. Tidak berlaku manipulasi tetapi sistemnya dikemaskan bagi mengurangkan kadar keciciran pelajar-pelajar yang berpotensi. Ternyata sistem matrikulasi berjaya memberi persediaan yang sewajarnya untuk mereka balajar di peringkat ijazah di IPTA. Kejayaan lulusan matrikulasi memperoleh ijazah adalah bukti tahap pencapaian lulusannya.

Justeru seruan supaya matrikulasi dimansuhkan dianggap sebagai unsur-unsur perkauman untuk menafikan peluang dan ruang bagi pelajar bumiputera.

Pun begitu kebimbangan berlakunya mediokrasi tidak boleh dipandang sepi. Kolej-kolej matrikulasi dan IPTA sendiri mesti proaktif dan mengetatkan standard pengajian mereka supaya tidak berlaku sebarang manipulasi yang boleh membawa kepada mediokrasi.