Keganasan: Kegagalan dalam kejayaan

Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 13 Ogos 2006


POLIS Britain dan Amerika Syarikat (AS) Khamis lalu mengumumkan kejayaan menghalang tindakan keganasan meletupkan beberapa kapal terbang penumpang yang kalau berjaya dilakukan akan menjadi lebih besar daripada peristiwa 11 September 2001.

Tuduhan dilemparkan pada Al-Qaeda dan beberapa orang yang disyaki akan melakukannya ditangkap. Mereka umumnya adalah rakyat Britain keturunan Pakistan.

Pihak berkuasa AS-Britain menganggap bahawa kenyataan Al-Qaeda baru-baru ini untuk membalas dendam terhadap apa yang dilakukan oleh tentera mereka di Iraq dan Afghanistan.

Jadi, tindakan Al-Qaeda itu tidak ada kena-mengena dengan keganasan Israel menyerang Lebanon yang mengakibatkan banyak orang awam terkorban.

Tetapi sekali imbas, perhatian dunia khususnya barat mengalih tumpuan kepada ancaman Al-Qaeda ini. Kalau untuk sebelum in, dunia memberi perhatian kepada keganasan Israel ke atas Lebanon, maka peristiwa ini mengalih perhatian dan menyemai perasaan untuk memusuhi umat Islam.

Al-Qaeda merupakan pertubuhan pelik, misteri dan turut dibenci oleh umat Islam sendiri kerana ia bukan saja sesat dari segi fahaman dan kaedah perjuangannya tetapi menyusahkan orang Islam sendiri untuk hidup dan maju.

Mengapakah ia merancang untuk melakukan keganasan pada saat ini di mana AS dan Britain yang dijadikan sasaran, dan bukannya Israel sendiri? Mengapakah ia mengungkitkan tentang Afghanistan dan Iraq sedangkan ancaman masa kini yang dihadapi oleh umat Islam adalah soal Lebanon dan Palestin?

Sememangnya Al-Qaeda memusuhi Syiah; sebab itu ia amat membenci Iran dan juga Hizbullah. Mereka bertempur membunuh Syiah di Afghanistan, dan juga di Iraq kini. Tetapi akibatnya, militia Syiah membalas dan meningkatkan pembunuhan ke atas Sunni.

Justeru, walaupun seminggu Lebanon diserang, Al-Qaeda tidak mengeluarkan sebarang kenyataan. Akhirnya barulah ia keluarkan kenyataan untuk membela Hizbullah.

Tetapi dunia juga dipaparkan dengan kenyataan-kenyataan ulama di Arab Saudi yang sealiran fahaman agama dengan Al-Qaeda yang menganggap Hizbullah sebagai syaitan, atau disebutnya Hizbussyaitan.

Umumnya, banyak kalangan di Arab Saudi yang menyalahkan Hizbullah dan dianggap sebagai bertanggungjawab kepada kerosakan akibat serangan Israel.

Akhbar Israel juga menganggap Hizbullah sebagai syaitan kecil. Syaitan besar ditujukan kepada Iran. Ini adalah tindak balas mereka kepada tuduhan Iran yang menamakan AS sebagai syaitan besar dan Israel syaitan kecil. Masing-masing syaitan-mensyaitani.

Tetapi apa yang jelas Al-Qaeda, kalau betul menurut laporan bahawa mereka bertanggungjawab terhadap tindakan- tindakan ganas seluruh dunia adalah syaitan bukan saja bagi dunia Arab, tetapi dunia Islam sendiri.

Mana tidaknya, akibat ancaman Al- Qaeda itu, ia menyusahkan penumpang-penumpang di seluruh dunia. Orang Barat mungkin rasa takut untuk naik kapal terbang. Tetapi penumpang yang beragama Islam lagi takut. Sudahlah untuk naik kapal terbang itu mereka takut akan ancaman keganasan, ditambah pula kebimbangan mereka disyaki dan dituduh sebagai pengganas.

Maka tidak hairanlah komuniti Islam di Britain khususnya keturunan Pakistan wajar berasa sinis dan bimbang terhadap tekanan yang mungkin mereka terima.

Mereka tidak akan lupa betapa polis Britain pernah menembak orang yang tidak bersalah, malah bukan pun keturunan Islam.

Keganasan adalah satu penyakit psikologi. Ia mengukuhkan sikap ganas di antara satu sama lain. Keganasan Al-Qaeda dikukuhkan dengan keganasan Israel. Tetapi adakah halangan ke atas rancangan keganasan itu merupakan kejayaan AS-Britain?

Ia kejayaan dari satu segi iaitu menghalang daripada terbunuhnya banyak penumpang dan sasaran yang dijangka boleh berlaku. Tetapi lihatlah kosnya. Pastinya ia menjejaskan pengangkutan udara. Banyak penumpang menjadi susah. Dalam peperangan ini, tidak ada yang menang, semua kalah.

Mungkin penumpang-penumpang itu berasa tidak selesa. Tetapi cuba bayangkan betapa terseksanya penduduk Lebanon yang menjadi sasaran bom Israel? Apatah lagi penduduk Palestin yang mana kerajaan mereka dilumpuhkan oleh Israel.

Al-Qaeda memang boleh dianggap sebagai pengganas. Tetapi bukan Hamas yang merupakan parti pemerintah Palestin. Begitu juga Hizbullah yang mempunyai kerusi di Parlimen Lebanon diperoleh melalui proses demokrasi.

Kedua-dua Hamas dan Hizbullah dipilih oleh rakyat masing-masing secara proses demokrasi. Begitu juga dengan Israel, Britain dan AS.

Rakyat AS, Britain dan dunia bertamadun mungkin marah dengan orang Islam yang daripadanya muncul Al-Qaeda, Hizbullah dan Hamas yang kesemuanya dianggap pengganas dan menyusahkan kehidupan mereka.

Tetapi betapa AS dan Britain telah lama menyusahkan kehidupan umat Islam, dari Palestin, Lebanon, Iraq hinggalah ke Afghanistan.

Umumnya, kehendak orang Islam di negara-negara ini hanyalah untuk hidup damai dan dapat menjalani kehidupan berkeluarga dengan cukup makan dan membesarkan anak-anak.

AS dan Britain sejak dari awal mampu menyelamatkan rakyat Palestin tetapi mereka tidak melakukannya. Banyak pihak di samping menyalahkan Israel kerana merampas tanah Palestin tetapi juga menyifatkan sikap perpecahan orang Arab mengakibatkan keadaan seperti ini.

Di mana bumi Palestin dibahagi antara Jordan dan Israel hingga Palestin lenyap di muka bumi. Tetapi ia berlaku di bawah naungan Britain.

Usaha negara-negara Arab hendak membebaskan bumi Palestin memberi peluang pada AS menyelesaikan masalah ini. Tetapi tidak secara berterusan, rakyat Palestin dinafikan haknya. Keadaan ini juga merebak hingga ke Lebanon, Iraq dan juga Iran.

Paling akhir apabila Lebanon yang menggelupur dibom Israel meminta gencatan senjata serta-merta, Presiden George W. Bush dan Perdana Menteri Tony Blair bertemu di Washington dan mengisytiharkan sokongan mereka terhadap rejim Tel Aviv.

Perkara mudah seperti membebaskan sebuah negara kecil Palestin dapat mengelak dunia daripada bencana. Tetapi ia dibiarkan berlarutan kerana Israel serta minyak menjadi kunci dasar luar AS-Britain; di samping pemeliharaan kepentingan komuniti Kristian Maronit di Lebanon yang mempunyai kaitan dengan Perancis.

Masalah Israel membawa kepada aktiviti Fatah, Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan kemudiannya Hamas. Masalah Kristian Maronit di Lebanon yang juga dikaitkan dengan Israel membawa kepada kemunculan Amal, Hizbullah dan pembabitan Syria dan Iran.

Kepentingan minyak menyebabkan pertimbangan khusus AS kepada negara-negara Teluk, dari Arab Saudi hingga masalah Kuwait. Maka ia mengheret sama Iraq dan Iran. Tetapi sistem yang sebegitu rupa mencambahkan Al-Qaeda.

Kerana hendak menghalang pengaruh Rusia dan Iran, AS dan Arab Saudi memberi sokongan pada Taliban melalui Pakistan. Taliban memberi ruang pada Al-Qaeda dan kemudian yang dilihat ialah Peristiwa 11 September dan bayang-bayangnya yang terus menghantui dunia, bukan saja dunia Barat, tetapi juga dunia Islam.