Kenyataan Al Gore tikam reformasi - Amerika sendiri bongkar siapa pemimpin tajaannya

Oleh: Rosnah Majid
Sumber: Mingguan Malaysia 22 November 1998


JIKA hasrat Naib Presiden Amerika Syarikat, Al Gore menyokong gerakan reformasi, ucapan beliau di jamuan makan malam Majlis Penasihat Ekonomi APEC itu nampaknya tidak mengenai sasaran. Sebaliknya ia telah menikam gerakan tersebut. Jika niat beliau adalah menunjukkan sokongan padu kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menjadikan Anwar lebih kuat, ucapan beliau itu turut menjejaskan imej Anwar di mata rakyat Malaysia.

Kalau sebelum ini terdapat hanya cakap-cakap betapa Amerika Syarikat di belakang Anwar atau dengan kata lain, Anwar adalah pemimpin Malaysia tajaan Amerika Syarikat, ucapan Al Gore mengesahkan dengan terang tuduhan ini. Al Gore bukan membuat ucapan itu di Washington, tetapi di Kuala Lumpur!

Betapa ironinya! Bagi mereka yang mengenali Anwar sewaktu beliau menjadi pemimpin pelajar di Universiti Malaya, pemimpin ABIM dan pemimpin Majlis Belia Malaysia di akhir tahun 60-an dan awal tahun 70-an, perubahan sikap Anwar terhadap Amerika Syarikat adalah sesuatu yang menarik untuk diperkatakan.

Sewaktu menjadi pemimpin pelajar dahulu Anwar menonjolkan diri beliau sebagai pemimpin yang antiimperialisme. Imperialis yang dimaksudkan ialah Amerika Syarikat dan konco-konconya terdiri daripada negara-negara Barat.

Penuh semangat
"Amerika jahanam!'', "Pergi mampus Amerika!,'' "Nyah keparat imperialis,'' "Anjing Amerika,'' "Amerika penindas rakyat miskin,'' "Barua Amerika!'' adalah antara sepanduk dan slogan yang mewarnai tunjuk perasaan anti-Amerika yang dipimpinnya ketika itu.

Pada tahun 1973, Anwar yang ketika itu pemimpin PKPIM bersama dengan beberapa pemimpin pelajar di pusat-pusat pengajian tinggi melancarkan tunjuk perasaan besar-besaran di hadapan Bangunan AIA, di Jalan Ampang di mana letaknya Kedutaan Amerika Syarikat.

Dengan pembesar suara di tangan, dengan ucapan penuh semangat, beliau melancarkan serangan kata-kata terhadap Amerika Syarikat yang ketika itu menyokong Israel dan masih lagi mempunyai tentera di Vietnam. Para pelajar ketika itu menyokong perjuangan rakyat Palestin dan menentang keras apa juga bentuk penjajahan.

"Saudara-saudara, kita ingin memberi amaran kepada Amerika Syarikat, kita mewakili rakyat yang tertindas, yang bencikan apa juga bentuk penjajahan, bahawa kita akan menentang habis-habisan campur tangan mereka dalam mana-mana negara di dunia ini. Kita menentang kehadiran Amerika di Vietnam, kita menentang sokongan imperialis keparat terhadap Israel, Yahudi yang menindas rakyat Palestin,'' demikian di antara kata-kata yang sering beliau hamburkan dalam ucapan-ucapannya ketika itu.

Tidak cukup dengan slogan dan laungan anti-Barat, khasnya anti-Amerika, Anwar sewaktu menjadi Presiden Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) turut melancarkan kempen menentang penggunaan bahasa Inggeris dengan mengetuai gerakan mengecat papan-papan tanda yang menggunakan bahasa Inggeris, walaupun beliau merupakan pelajar aliran Inggeris.

Demikian mendalamnya perasaan anti-Amerika yang terpahat di hati dan sanubari Anwar ketika itu. Bagi mereka yang mengenali Anwar dahulu, mereka tentulah dapat melihat dalam tempoh yang tidak lama berlaku perubahan yang sungguh ketara terhadap pendiriannya terhadap Amerika.

Sejak menjadi Menteri Kewangan dan kemudiannya Timbalan Perdana Menteri, beliau telah mula menunjukkan keselesaan dengan Amerika Syarikat dan Barat. Paling ketara ialah layanan beliau terhadap media asing yang jauh lebih intim daripada media tempatan.

Kira-kira setahun sebelum beliau dipecat daripada kedua-dua jawatan kabinet, Anwar sentiasa mendapat layanan istimewa apabila melawat Amerika Syarikat. Demikian juga beliau begitu intim apabila menerima kunjungan para pemimpin Barat, seperti memeluk dan mencium (pipi) Michel Camdessus, Ketua Eksekutif Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF). Malah menurut majalah Time, Anwar bercadang untuk menulis buku bersama Camdessus.

Sewaktu menghadiri mesyuarat Bank Dunia dan IMF di Washington tidak lama dulu, beliau turut dijemput ke Pentagon (Kementerian Pertahanan) oleh Setiausaha Pertahanan, William Cohen. Setiba di Pentagon, beliau diberi sambutan permaidani merah dan menerima tembakan meriam 21 das, sambutan yang hanya diberi kepada ketua negara yang melakukan lawatan rasmi sahaja. Amerika Syarikat, tanpa berselindung lagi menunjukkan kepada dunia bahawa Anwar adalah pemimpin Malaysia pilihan mereka.

Apabila berlaku serangan ke atas ringgit, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dengan lantang mengecam penyangak mata wang, termasuk George Soros. Malaysia juga tidak senang dengan sikap Singapura yang menarik banyak ringgit ke negara pulau itu dan memainkan kadar ringgit dari luar pantai (off shore). Walaupun ketika itu Anwar Menteri Kewangan, beliau jelas begitu berat untuk mengutuk penyangak mata wang mahupun Singapura.

Semua tanda ini memberi satu gambaran seolah-olah Anwar memang seorang yang begitu pro-Amerika. Akan tetapi ia tidak lebih daripada satu perasaan syak wasangka sahaja, sehinggalah Al Gore mengesahkan tuduhan ini sebagai berasas. Di hadapan lebih 1,500 tetamu termasuk Perdana Menteri dan ketua-ketua kerajaan APEC, bertempat di PWTC, Al Gore membuat kenyataan terbuka bahawa Amerika menyokong Anwar dan gerakan reformasi.

Malah beliau menganggap para penunjuk perasaan di jalan raya sebagai "rakyat Malaysia yang berani'' dan berharap demonstrasi akan dapat melahirkan demokrasi, reformasi dan kebebasan di Malaysia.

Menjual maruah
Menjadi lebih terang apabila sepanduk-sepanduk yang dibawa oleh para penunjuk perasaan penyokong Anwar berbunyi, "Clinton tangkap Mahathir,'' "Clinton selamatkan Anwar,'' "Terima kasih Habibie, Estrada.''

Ternyata sepanduk-sepanduk ini jauh berbeza daripada sepanduk-sepanduk yang didukung oleh Anwar sewaktu menjadi pemimpin pelajar dulu.

Sekali lagi pemimpin Amerika Syarikat menunjukkan kegagalan mereka membaca dengan tepat situasi dalam negara lain, sebagaimana yang mereka pernah buat kesilapan di Vietnam dan Iran.

Kenyataan Al Gore yang bermaksud melemahkan kedudukan Dr. Mahathir telah menjadi sebaliknya. Suara-suara rakyat yang selama ini diam membisu tiba-tiba menjadi lantang mengecam campur tangan kuasa asing dalam menentukan agenda negara ini termasuk siapa pemimpinnya.

Ini termasuk para pemimpin pembangkang dan pemimpin NGO yang sebelum ini menaja gerakan reformasi turut mengecam Al Gore. Mereka terpaksa mengambil sikap menentang Al Gore kerana mereka sedar sentimen rakyat negara ini, termasuk penyokong mereka akan menjadi marah apabila kedaulatan negara tercabar, lebih-lebih lagi oleh Amerika Syarikat! Jika mereka tidak berbuat demikian, mereka akan menerima padah daripada penyokong masing-masing.

Terdapat kebimbangan di kalangan pegawai-pegawai Barat serta wartawan asing yang berada di persidangan APEC tempoh hari bahawa kenyataan Al Gore itu akan membuatkan para reformist menerima hukuman daripada pihak berkuasa sebaik saja Al Gore balik. Sebenarnya apa yang berlaku ialah rakyat Malaysia yang tidak rela kedaulatan negara mereka dicabuli yang akan mengajar para reformist.

Selepas ini, jika terdapat tuduhan ataupun sepanduk berbunyi "Reformasi ejen CIA'' ataupun "Anwar boneka Amerika'' para reformis tidak mempunyai banyak hujah untuk membela diri mereka. Mereka dengan mudah dituduh sebagai golongan yang tidak nasionalist dan sanggup menjual maruah negara kepada orang asing.

Cerita bagaimana CIA menanam orang-orangnya sebagai pemimpin di negara-negara dunia ketiga terbongkar apabila Amerika Syarikat mempunyai masalah dengan bekas Presiden Panama, Noriega. Sewaktu menjalankan kempen media menentang Noriega, barulah terkeluar berita bahawa beliau adalah ejen CIA yang dibayar gaji selama 20 tahun!

Cerita ini timbul hanya apabila Noriega tidak lagi sanggup menjadi orang suruhan Amerika dan mahu bersikap berdikari, maka pelbagai masalah ditimbulkan sehingga Amerika menghantar tenteranya ke Panama lalu menangkap Noriega dan dibawa balik ke Amerika Syarikat untuk dipenjarakan selepas dibicarakan! Kini beliau masih merengkok di dalam penjara di Amerika Syarikat.

Betapa para penyokong Anwar menadah tangan memohon belas kasihan orang asing dapat dilihat apabila Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menemui beberapa pemimpin asing untuk meminta sokongan mereka membela suaminya, termasuk daripada Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Madeleine Albright, seorang Yahudi yang dulunya dikecam oleh Anwar.

Satu perkara menarik untuk dianalisis ialah biasanya AS tidak akan suka kepada mana-mana pemimpin yang berimej Islam yang disukai oleh puak fundamentalis, tetapi dalam kes Anwar beliau disukai oleh AS dan fundamentalis. Apakah ada maklumat tentang beliau yang AS lebih tahu?

Bagi rakyat Malaysia yang cintakan keamanan, yang sanggup berkorban mempertahankan kedaulatan negara dan mereka yang tidak menyokong reformasi tajaan Anwar, kata-kata Al Gore memberi kesudahan yang memihak kepada mereka dan mungkin akan mematikan gerakan reformasi itu sendiri.

Read more!