CIA, Musharraf atau Al-Qaeda?

Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 30 Disember 2007


Apabila Benazir Bhutto terbunuh, maka banyak pihak tanpa ragu-ragu menyatakan ia pasti perbuatan Al-Qaeda. Ini kerana kaedah pembunuhan itu adalah cara Al-Qaeda. Ia dilakukan oleh pengebom bunuh diri. Maknanya, dia meletupkan dirinya hingga menyebabkan berpuluh orang turut terkorban.

Bezanya ialah Benazir bukan terbunuh kerana pengeboman itu. Dia ditembak. Pembunuh itu dikatakan menembak dahulu Benazir, mungkin bagi memastikan dia mati, sebelum bom diletupkan.

Kaedah pembunuhan Benazir adalah klasik Al-Qaeda, bezanya tembakan dilakukan dahulu. Mungkin sebelum ini cubaan membunuh Benazir gagal dengan cara pengeboman diri. Dalam cubaan pertama ketika Benazir baru saja sampai di Karachi 18 Oktober lalu, seramai 150 orang terbunuh, termasuk pengebom bunuh diri itu. Tetapi Benazir selamat.

Mungkinkah yang menembak Benazir pihak lain sebagai pelengkap kepada usaha ini. Maknanya seorang yang mahir menembak telah melakukan pembunuhan bagi memastikan kematian Benazir sebelum pengebom bunuh diri itu meletupkan diri, bagi menyatakan ia perbuatan Al-Qaeda?

Apa hal pun, yang hampir pasti ia dilakukan oleh pihak yang berkaitan dengan Al-Qaeda kerana hanya mereka yang mampu dan gamak untuk melakukan pengeboman bunuh diri. Kengerian cara ini sudah tidak aneh lagi pada zaman ini. Dua kumpulan yang mampu melakukan cara ini, iaitu selain daripada Al-Qaeda ialah Harimau Tamil Eelam, pejuang pemisahan Tamil Eelam di Sri Lanka. Nasib yang sama menimpa bekas Perdana menteri India, Rajiv Gandhi yang mati dibunuh oleh pejuang Tamil Eelam, seorang pengebom bunuh diri wanita.

Terdapat persamaan antara Rajiv Gandhi dengan Benazir Bhutto selain daripada kedua-duanya mati dibunuh oleh pengebom bunuh diri. Kedua-duanya mati ketika berkempen pilihan raya. Ia dilakukan oleh pengganas yang dikaitkan dengan negara jiran. Bagi Rajiv, pembunuhnya adalah pejuang pemisahan Tamil Eelam yang berpusat di negara jirannya, Sri Lanka. Bagi Benazir, jikalah Al-Qaeda yang melakukannya, ia berkait dengan Taliban yang sedang berjuang menentang Amerika Syarikat (AS) di Afghanistan.

Tetapi persamaan yang juga ketara ialah kedua-dua Rajiv dan Benazir datang daripada keluarga politik yang berpengaruh di negara masing-masing. Ibu Rajiv, iaitu Indira Gandhi dibunuh oleh pengganas Sikh. Sementara bapa Benazir, Zulfikar Ali Bhutto dihukum bunuh oleh kerajaan yang menggulingkannya.

Satu lagi persamaan ialah baik Benazir mahupun Rajiv, kedua-duanya datang dari negara yang berasal sama iaitu India. Pakistan yang sering kali bermusuhan dengan India adalah asalnya sebelum kemerdekaan adalah sebahagian daripada negara yang sama. Pertembungan antara kedua-dua negara adalah atas perbezaan agama iaitu Islam dan Hindu. Tetapi rajiv, seorang Hindu dibunuh oleh seorang Hindu sementara Benazir, seorang Islam dibunuh juga oleh orang seagamanya.

Al-Qaeda sememangnya dari awal bukan saja menolak Benazir tetapi dengan jelas mahu membunuhnya. Perkiraan mereka ialah Benazir mempunyai hubungan rapat dengan AS yang merupakan seteru besar Al-Qaeda. Malah terdapat kepercayaan di kalangan Al-Qaeda, menurut analisis daripada kenyataan mereka bahawa AS mahukan Benazir menjadi pemerintah Pakistan, menggantikan Presiden Pervez Musharraf.

Malah terdapat anggapan bahawa desakan AS supaya demokrasi dilaksanakan di Pakistan bukan kerana mempercayai sistem itu semata-mata tetapi mahu menyingkirkan Musharraf dan menggantikan dengan Benazir. Kalau tidak, masakan Benazir berani kembali dan bersungguh-sungguh untuk menang pilihan raya pada 8 Januari ini. Terdapat anggapan bahawa tangan-tangan AS termasuk CIA sentiasa ada di Pakistan.

Hubungan Benazir dengan pihak Barat tidak dapat dinafikan. Selain daripada seorang wanita yang berkarisma, pendidikan Benazir di Harvard dan Oxford sudah cukup jelas bagi dunia bahawa beliau sentiasa berasa selesa dengan Barat. Sememangnya perkara-perkara ini merupakan andaian tetapi sikap Barat mudah untuk ditelaah daripada liputan-liputan media mereka terhadap seseorang pemimpin.

Bagaimanapun, tanpa dokongan Barat, Benazir sendiri mampu untuk menang pilihan raya di Pakistan. Beliau dan partinya, Parti Rakyat Pakistan (PPP) amat popular. Tetapi untuk memerintah Pakistan, ia bukan sekadar memenanagi pilihan raya, tetapi ia mesti meliputi kemampuan mempengaruhi tentera. Kegagalan bekas Perdana Menteri Nawaz Shariff mengekalkan jawatannya adalah kerana beliau tidak dapat menguasai pihak tentera.

Sementara tentera Pakistan yang bermarkas besar di Rawalpindi, tempat di mana Benazir dibunuh hanya dapat dipengaruhi daripada Washington, pembekal senjata dan dana kepada mereka. Maknanya Benazir memerlukan dukungan AS bagi mendapat kerjasama tentera.

Keadaan ini pula membawa kepada persoalan, mengapakah AS mahu menyokong Benazir dan menolak Musharraf. Tidakkah Musharraf merupakan sahabat karib Washington yang menjalankan kerja-kerja menghapuskan Al-qaeda bagi pihak AS? Mengapa Al-Qaeda tidak membunuh Musharraf?

Al-Qaeda memusuhi Musharraf juga. Malah kejadian pihak tentera menyerbu dan membunuh pengganas di Masjid Lal dan Islamabad merupakan petanda bahawa al-qaeda berdendam dengan Musharraf. Maka Presiden Pakistan itu sudah pun menjadi sasaran kepada pembunuh yang dipercayai daripada kalangan Al-Qaeda. Maknanya, Al-Qaeda atau kumpulan-kumpulan yang bersekutu dengannya bukan saja mahu membunuh Benazir, tetapi juga Musharraf.

Bagaimanapun, terdapat satu perkiraan di mana Benazir lebih diutamakan untuk dihapuskan berbanding dengan Musharraf. Ini kerana dari kaca mata Al-Qaeda, AS sudah tidak mahukan Musharraf, maka presiden itu sudah tidak menjadi ancaman besar. Yang menjadi ancaman kepada mereka ialah Benazir.

AS sudah mula menolak Musharraf bukan semata-mata kerana demokrasi dan pemerintahan tentera. Kalaulah kerana demokrasi, sudah lama AS menolak Musharraf dan mahukan kedudukan Nawaz Shariff dipulihkan. Bagi AS, Nawaz bukan saja tidak boleh menang pilihan raya tetapi tidak mempunyai pengaruh ketenteraan seperti yang dimiliki oleh Musharraf.

Cuma bagi AS, Musharraf telah gagal menghapuskan Al-Qaeda malah disyaki presiden Pakistan itu mempunyai pakatan dengan elemen-lemen tertentu yang berkaitan dengan Al-Qaeda bagi sama-sama membantu dan menyelamatkan diri antara satu sama lain.

Perlu diingat bahawa Musharraf adalah seorang yang pragmatik dalam permainan politiknya. Dia pernah setia kepada Nawaz Shariff dan kemudian menggulingkannya. Dia pernah berpakat dengan Benazir, maka tidak hairanlah Musharraf boleh melakukan pakatan dengan AS dan Al-Qaeda dalam waktu yang sama. Malah boleh menjadi orang tengah bagi kedua-dua pihak.

Di New York pada hujung tahun lalu ketika mempromosikan buku memoirnya On the Line of Fire, beliau menyebut betapa di Pakistan, seseorang harus bijak dalam mengendalikan pihak pengganas. Mereka tidak boleh dihapuskan secara melulu. Cara Musharraf ini sudah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pihak AS. Lebih-lebih lagi ketika ini di mana Taliban sudah mula menguasai sebahagian daripada Afghanistan, dengan kedudukan Hamid Karzai yang tidak sekukuh dahulu.

Banyak pihak termasuk di Pakistan yang menyalahkan Musharraf dalam soal pembunuhan terhadap Benazir. Bukanlah bermakna Musharraf berpakat dengan Al-Qaeda untuk membunuh Benazir, sesuatu yang dia mungkin boleh lakukan. Tetapi tuduhan itu adalah dalam bentuk Musharraf tidak memberi cukup perlindungan kepada Benazir hingga membolehkan bekas dan calon Perdana Menteri itu dibunuh.

Ini membawa persoalan adakah Musharraf dapat mengaut keuntungan politik daripada pembunuhan Benazir? Sememangnya Benazir adalah saingannya dalam pilihan raya akan datang. Tetapi Benazir juga boleh menjadi rakan pakatan yang lebih mudah. Malah pakatan telah pun dibuat antara Musharraf dan Benazir hingga membolehkan pemimpin PPP itu kembali.

Tetapi dengan kematian Benazir, rakyat semakin menolak Musharraf dan kemenangannya dalam pilihan raya bertambah tipis. Kalau fenomena di India setelah Rajiv dibunuh membawa kemenangan Parti Kongres, maka pembunuhan Benazir bakal membawa kemenangan kepada PPP, sebuah parti yang ditubuhkan pada tahun 1967 dengan fahaman Islam, sosialisme dan demokrasi. Bagi golongan sederhana beragama di Pakistan, platfom PPP adalah paling menarik. Tetapi apa yang menyebabkan populariti PPP bukan semata-mata manifestonya tetapi kepimpinan keluarga Bhutto.

Justeru, bukannya menjadi kepentingan Musharraf supaya Benazir dibunuh. Andaiannya kematian Benazir menyukarkan kedudukan politik beliau. Musharraf tidak popular di Pakistan. Jalan selamatnya ialah dengan berpakat dengan Benazir. Tetapi pihak tentera tidaklah kesemuanya bersefahaman dengan Musharraf. Malah AS dan CIA pastinya mempercayai bahawa tentera Pakistan juga tidak bersatu. Terdapat elemen-elemen yang bersimpati dengan pengganas.

Pihak Barat mungkin melihat Pakistan dalam dua sudut yang bertentangan. Hitam dan putih. Islam lawan demokrasi. Pihak islam digambarkan dengan Al-Qaeda dan sekutu-sekutunya seperti golongan yang dianggap radikal dan fundamentalis yang selama ini menyokong Musharraf. Golongan Islam yang meliputi kumpulan-kumpulan seperti Jamaati Ulama dan Jamaati Islami dianggap hitam. Sementara Benazir, PPP dan peguam-peguam yang menentang Musharraf dianggap pihak demokrasi, yang dianggap putih.

Pada satu masa pihak Barat melihat Musharraf sebagai golongan sederhana yang berada di pihak AS bagi menentang pengganas. Tetapi kini Musharraf dianggap sebagai golongan hitam bersama dengan kumpulan-kumpulan islam lain.

Hakikatnya tidaklah seringkas itu. Banyak kumpulan Islam, malah boleh dikatakan majoriti yang berfahaman fundamentalis dan radikal menolak keganasan. Parti-parti Islam yang memenangi pilihan raya Pakistan, walaupun berjuang untuk syariah menolak keganasan Al-Qaeda dan cara berfikir Taliban.

Justeru, politik Pakistan tidak boleh dilihat sebagai hitam dan putih. Ia kompleks dan banyak yang kelabu di tengah-tengah antara hitam dan putih. Begitu juga dengan kalangan yang memperjuangkan demokrasi, kebebasan, peradaban dan hak-hak wanita. Ada antara mereka yang begitu pro-AS hingga menjejaskan kepentingan Pakistan sendiri.

Read more!