Keretapi Tanah Melayu jual junk food

Oleh: MUHAMMAD ALIAS
Sumber: Utusan Malaysia 19 April 2008


BULAN Februari lalu penulis menaiki kereta api bagi pertama kalinya selepas lebih 30 tahun. Perjalanan dari Butterworth ke Kuala Lumpur dengan Senandung Utara mengambil masa sembilan jam. Sama dengan pergi balik Butterworth Kuala Lumpur dengan bas pesiaran.

Namun penulis berasa satu macam kepuasan sambil dilambung nostalgia masa lalu. Empat puluh tiga tahun lalu penulis menaiki kereta api buat pertama kalinya dalam perjalanan dari Prai (zaman itu stesen Keretapi Tanah Melayu di Prai dan bukan di Butterworth) ke Seremban untuk ke Port Dickson mengikuti latihan ketenteraan.

Ketika penulis masih bertugas di dalam tentera, kereta api merupakan pengangkutan utama untuk anggota tentera. Di setiap unit tentera terdapat waran tiket kereta api. Waran ini dikeluarkan kepada anggota tentera yang bercuti tahun atau bertukar. Waran ini kemudiannya ditukarkan kepada tiket di stesen-stesen kereta api.

Penulis tidak pasti sama ada waran tiket ini masih dikeluarkan oleh unit-unit tentera. Rasanya mungkin tidak lagi oleh kerana perjalanan melalui kenderaan darat lebih cepat daripada kereta api.

Diperhatikan banyak perbezaan antara kereta api yang penulis naiki sekarang dengan lebih 30 tahun dulu. Kerusinya lebih selesa dan kocnya berhawa dingin. Dulu cuma ada kipas angin.

Pemandangan di sepanjang perjalanan dari Butterworth ke Ipoh tidak banyak beza dengan zaman penulis muda-muda dulu. Hutan dan terowong di Bukit Berapit masih yang lama. Cuma di zaman darurat dulu terdapat pasukan keselamatan yang mengawal di sekitar kawasan tersebut.

Pun begitu terdapat perbezaan paling besar berhubung dengan gerabak menjual makanan bufet. Dulu terdapat berbagai jenis makanan yang dijual dari mi goreng, nasi lemak hingga ke kopi dan teh panas.

Menyangkakan bufet masih seperti dahulu, penulis berjalan melintasi beberapa gerabak dalam keadaan terhuyung hayang. Apa yang penulis lihat adalah di luar jangkaan sama sekali.

Tidak ada nasi lemak atau mi goreng. Air panas yang disimpan di dalam termos hanya untuk merendam mi segera yang merupakan salah satu bahan makanan yang dijual di dalam gerabak tersebut. Selain daripada itu terdapat biskut, minuman kotak dan junk food.

Jelas sekali gerabak bufet Keretapi Tanah Melayu (KTM) telah kehilangan zaman gemilangnya.

Penulis tertunggu-tunggu kalau ada penjual makanan yang akan naik di stesen-stesen untuk menjual karipap atau mi goreng seperti zaman dulu. Namun tidak siapa yang naik dan penulis berlapar selama sembilan jam hingga ke Kuala Lumpur.

Beberapa orang pelancong asing kelihatan membeli air kotak dan junk food buat mengalas perut. Mungkin mereka tidak mempunyai pilihan lain.

KembaliDaripada pandangan penulis, perkhidmatan kereta api mempunyai masa depan berdasarkan kepada jumlah penumpang yang menaikinya dari setiap stesen. Dipercayai perkhidmatan kereta api akan kembali ke zaman gemilangnya apabila projek menaik taraf landasan berkembar siap kelak.

Pasti kereta api akan menjadi satu sistem perkhidmatan yang digemari memandangkan tempoh perjalanan yang singkat. Di musim perayaan pula ia dapat mengurangkan kesesakan jalan raya.

Di samping menaik taraf perkhidmatan kereta api, pihak KTM hendaklah juga menaikkan taraf hotel-hotel yang terdapat di stesen-stesennya. Hotel-hotel ini merupakan satu komponen penting KTM dengan sejarahnya yang tersendiri. Malahan ia merupakan satu warisan negara.

Memandangkan sebahagian besar pengunjung hotel-hotel ini terdiri daripada pelancong asing, eloklah juga kalau kakitangannya terdiri daripada rakyat tempatan.

Diharap Menteri Pelancongan, Datuk Azalina Othman Said dapat meluangkan masa melawat stesen KTM Kuala Lumpur.

Kini setelah lebih dua bulan berlalu komen seorang warga emas yang sedang berjalan-jalan bersama isterinya di hadapan Stesen KTM Kuala Lumpur masih terngiang-ngiang di telinga penulis.

Ketika berpaling kepada penulis, lelaki tersebut dengan nada kesal meluahkan kata-kata, "stesen ini lengang, zaman sebelum merdeka dulu tempat ini penuh dengan orang."

Tanpa menunggu jawapan penulis, beliau terus berlalu meninggalkan stesen yang sememangnya lengang. Di zaman kegemilangannya, ketika itu stesen Kuala Lumpur penuh sesak dengan penumpang untuk menaiki kereta api malam ke Butterworth atau ke Singapura.

Read more!