Tiada tempat bagi PKR

Oleh: Zin Mahmud (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 30 April 2007


Hakikatnya begini. Malaysia adalah sebuah negara membangun yang mempunyai fokus untuk mencapai tahap maju melalui pelbagai rancangan yang terperinci dan kompleks.

Untuk melaksanakan rancangan-rancangan itu, negara ini memerlukan sebuah kerajaan yang kuat bagi menggembleng semua tenaga dalam negara untuk mencapai tujuan itu.

Tetapi itu tidak bermakna kewajaran sebuah sistem autokratik kerana ternyata demokrasi merupakan amalan politik terbaik bagi manusia. Negara-negara autokratik yang berorientasikan pembangunan pun akhirnya gagal.

Demokrasi perlu supaya rakyat diberikan kebebasan untuk memilih kerajaannya. Sesiapa yang tidak berpuas hati boleh memilih pembangkang. Maka dinamika ini menjadikan mereka yang menang sentiasa dekat dengan rakyat.

Itulah yang terjadi di Malaysia. Kerajaan Perikatan dan Barisan Nasional (BN) berjaya dekat dengan rakyat hingga pihak pembangkang gagal mendapat ruang. Sistem ini berkesan walaupun untuk menyatakannya sebagai sempurna adalah suatu keangkuhan.

Secara umumnya rakyat negara ini faham dengan keperluan asas politik di negara ini. Atas sebab itu, setiap pilihan raya mereka memilih parti yang dipercayai boleh membawa pembangunan.

Daripada Perikatan sejak tahun 1955, dan berubah kepada BN mulai tahun 1974, yang memenangi setiap pilihan raya umum.

Maka Ijok adalah suatu kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tipikal di Malaysia. Mereka mahukan pembangunan dan bagi setiap pilihan raya, undi kebanyakan daripada mereka adalah untuk BN.

Walaupun calon BN seperti juga manusia lain bukanlah sempurna. Seperti di mana-mana tempat di Malaysia pun, terdapat rasa tidak puas hati tetapi tidaklah sampai kebanyakan daripada mereka mahu menukar parti dalam pengundian mereka.

Umumnya mereka percaya bahawa BN akan menyelesaikan masalah-masalah yang timbul dan parti itu adalah ikhlas dalam memberikan kebaikan. Sudah tentu ada kalanya timbul kecacatan dalam melaksanakan program pembangunan khususnya dari segi sistem penghantaran. Tetapi usaha sentiasa dibuat untuk memperbaiki keadaan.

Pilihan raya umum tahun 2004 menyaksikan kemenangan besar BN dengan pihak pembangkang begitu lumpuh. Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah tidak menjadi faktor dalam politik negara.

Maka setelah lebih dua tahun berlalu, timbullah kebangkitan gerakan pembangkang baru. Anwar telah bebas daripada tahanan. Parti Keadilan Nasional (Keadilan) bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) untuk menjadi Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Sementara mula timbul pelbagai kritikan dan komentar sinis terhadap kerajaan BN, yang kebanyakannya melalui Internet. Maka orang mula bercakap tentang teori ayunan pengundian.

Maknanya, tahun 1990, pengundi berayun pada pembangkang, maka tahun 1995, mereka beralih kepada pihak kerajaan. Tetapi kemudian pada tahun 1999, banyak pengundi menyokong pembangkang dan diikuti dengan pemantapan semula BN pada tahun 2004. Maka teori ini menunjukkan bahawa pilihan raya umum akan datang, BN diasak semula.

Malah terdapat cakap-cakap mengenai pentadbiran satu penggal. Lebih-lebih lagi adanya faktor Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Tetapi ayunan ini adalah teori pemerhati politik. Ia bukan suatu teori sains yang dapat diuji. Ia hanya andaian daripada pemerhatian dan latar belakang.

Justeru kebenarannya tidak ada untuk melihat landskap politik masa depan negara.

Hakikatnya, apa yang belum berlaku masih terbuka dan tidak boleh dijangka atau ditetapkan.

Apa yang nyata bahawa tidak ada isu besar menjelang pilihan raya umum akan datang. Tidak seperti pada tahun 1990 dan 1999 dengan perpecahan dalam UMNO yang menyaksikan Tengku Razaleigh dan Anwar muncul sebagai pencabar kepada Perdana Menteri waktu itu, pada masa ini landskap politik jauh berbeza. Rasa tidak puas hati, keluh-kesah, komen sinis dan spekulasi peribadi bukanlah isu besar yang boleh mencorak beza perjalanan politik negara.

Dalam keadaan UMNO dan BN bersatu, pihak pembangkang pula lemah. Lebih tepat lagi, amat lemah. Pas tidak sekuat seperti dahulu. Apa yang pasti, banyak cawangan PKR sudah lama beku.

Gabungan Keadilan dan PRM tidak memberi sebarang perbezaan. Ini kerana PRM sudah lama hanya menjadi seperti kelab intelektual bernostalgia. Sudahlah kecil, ia berpecah tiga; golongan rasmi yang bergabung menjadi PKR, segelintir yang enggan bergabung untuk terus mengekalkan PRM lama, dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang terus gagal untuk didaftarkan.

Satu lagi hakikat ialah banyak ahli Keadilan kembali menjadi ahli UMNO.

Paling jelas, pembebasan Anwar tidak menambah kekuatan pembangkang kerana beliau banyak masa berada di luar negara dalam waktu tempoh yang agak lama sebelum aktif baru-baru ini.

Sementara hubungan antara pihak pembangkang jauh daripada padu, masalah wujud antara Pas-PKR, Pas-DAP dan PKR-DAP.

Maka apabila peluang pilihan raya kecil timbul di Batu Talam, pihak pembangkang pula sibuk mempertikaikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), yang akhirnya membawa kepada pemboikotan.

Walaupun ada perkara di SPR yang boleh dibaiki tetapi umumnya suruhanjaya itu masih berada dalam lingkungan berkesan melaksanakan proses demokrasi ini.

Pemboikotan itu merampas peluang Pas untuk uji kekuatan di Batu Talam. Tetapi andai kata ia bertanding, apa yang ia boleh mengambil kira hanyalah perbezaan majoriti. Untuk menang adalah hanya impian.

Maka disebut bahawa BN tidak menghadapi masalah dengan orang Melayu. Cabarannya adalah daripada pengundi Cina. Ini pula dikaitkan dengan prestasi ekonomi.

Justeru, apabila peluang pilihan raya kecil timbul di Machap, DAP sepatutnya dapat menunjukkan prestasinya. Tetapi ternyata kawasan selamat BN tetap milik gabungan parti itu.

Setelah tiada nampak sebarang sinar di Batu Talam dan Machap, maka Ijok memberi peluang baru kepada pembangkang.

Sejak dari awal lagi, sukar untuk PKR mencacatkan pencapaian BN, apatah lagi menang di kawasan itu. Tidak ada aktivis pembangkang yang kuat di Ijok. Suasana penduduk di situ pula adalah menyokong BN. Bukanlah tidak ada penyokong pembangkang. Adalah segelintir penyokong Pas dan secara teras memang akan mengundi pembangkang. Tetapi mereka tidak dapat menandingi mana-mana calon BN.

Bagaimanapun setelah berkempen beberapa hari, dengan Anwar berada di Ijok hampir setiap hari, PKR bertambah yakin seolah-olah mampu merampas Ijok. Timbul harapan bahawa Ijok akan menjadi Lunas sedangkan perbezaan antara keduanya adalah ketara. Mungkin mereka termakan dengan propaganda sendiri.

Read more!

Tergelincir angkara teman wanita

Oleh: Zin Mahmud
Sumber: Mingguan Malaysia 29 April 2007


BANYAK pihak di dunia yang tidak sukakan Presiden Bank Dunia, Paul Wolfowitz. Di kalangan orang Islam, Wolfowitz ditolak kerana peranan besarnya dalam peperangan ke atas Iraq. Tetapi lebih banyak lagi golongan yang tidak sukakan Wolfowitz di kalangan dunia Barat.

Kumpulan-kumpulan kiri di Eropah dan Amerika Syarikat (AS) yang dikenali sebagai golongan liberal termasuklah pendukung-pendukung Parti Demokratik tidak sukakan Wolfowitz.

Ini kerana Wolfowitz mewakili satu ideologi yang dikenali sebagai neokonservatif. Atas fahaman ini, perang ke atas Iraq dilancarkan dengan kepercayaan bahawa penukaran rejim adalah satu-satu jalan yang akan mengubah Asia Barat untuk memilih demokrasi. Hanya demokrasi akan menyelamatkan Asia Barat dan dunia. Untuk mencapai tujuan itu, ia perlu dilakukan dengan pelbagai cara termasuk peperangan.

Neokonservatif termasuk Wolfowitz yang mula muncul pada tahun 1990-an amat kuat sokongannya terhadap Israel sebagai pusat demokrasi di Asia Barat. Sementara mereka yang membenci neokonservatif khususnya di kalangan pihak kiri di AS disebut sebagai telah kena penyakit neokonfobia.

Berbeza dengan fahaman konservatif yang lama, iaitu pegangan Parti Republikan di AS dan Parti Konservatif di Britain, neokonservatif mempunyai semangat kuat untuk mengubah dunia kepada cara yang mereka kehendaki.

Kalau konservatif hanya lebih berupa mengekalkan dan memelihara kedudukan politik sedia ada khususnya dari sudut penguasaan elit tradisi dengan menekankan nilai-nilai patriotisme, demokrasi politik serta ekonomi kapitalisme, fahaman neokonservatif bersifat global dan menuntut perubahan di seluruh dunia. Selain daripada demokrasi ala Barat yang mereka kehendaki, dalam bidang ekonomi, mereka menuntut perdagangan bebas, liberalisasi dan globalisasi.

Jadi apabila Wolfowitz terperangkap dengan skandal yang melibatkan penyelewengan kuasa dan konflik kepentingan di mana kadar gaji teman wanitanya Shaha Riza dipersoalkan, maka musuh-musuh neokonservatif khususnya di Eropah mengambil kesempatan mengenakan tekanan terhadapnya untuk berundur.

Perlu juga disebut bahawa Wolfowitz bukanlah seorang yang korup dan mudah melakukan penyelewengan kuasa. Ia amat tegas dan berprinsip serta mempunyai misi untuk mewujudkan Bank Dunia berwibawa dan bebas daripada korupsi. Malah apabila didedahkan bahawa cara pemberian gaji teman wanita itu dipersoalkan, beliau mengakui dan meminta maaf serta bertindak untuk membetulkan. Tetapi beliau enggan berundur kerana menurutnya, tugas besarnya masih relevan dan perlu diteruskan di Bank Dunia.

Sememangnya Bank Dunia di bawah komitmennya berhasrat untuk membasmi kemiskinan, dan sedikit sebanyak program yang dilakukannya dikatakan berjaya dan mendapat pujian daripada Presiden George W. Bush, orang yang melantik Wolfowitz ke jawatan itu.

Walaupun Wolfowitz, neokonservatif, nepotisme yang diamalkan terhadap teman wanitanya kesemuanya mengundang kontroversi. tetapi yang menarik ialah betapa besarnya pengaruh Shaha Riza terhadap Wolfowitz.

Dikatakan oleh akhbar The New York Sun dengan memetik pemerhati diplomat di Washington, kedua pasangan ini dikatakan mempunyai hubungan cinta sejak enam tahun lalu. Shaha Riza berusia 50-an sementara Wolfowitz berumur 63 tahun. Melihat gambar Shaha Riza adalah jelas seperti yang diulas oleh laman-laman blog Washington bahawa tarikan teman wanita Wolfowitz bukanlah rupanya, tetapi adalah kerana inteleknya.

Shaha Riza, lulusan Oxford dikatakan seorang yang gemar berdebat secara intelektual. Pasangan ini dikatakan jarang kelihatan di tempat awam, mereka dilaporkan lebih suka berjumpa di kediaman masing-masing. Apa yang menarik ialah kedua-duanya berkongsi fahaman iaitu komitmen untuk membawa demokrasi ke dunia Arab. Wolfowitz adalah seorang Yahudi Zionis yang tegas mempertahankan Israel.

Sebagai pelajar pada tahun-tahun 1960-an, beliau berarak bersama Martin Luther King menuntut persamaan hak bagi semua kaum di AS. Wolfowitz mengajar di School of Advance International Studies di John Hopkins University selama lapan tahun.

Beliau pernah menjadi duta AS di Indonesia pada tahun 1980-an. Pada tahun 2000 menjadi timbalan kepada Donald Rumsfeld, Setiausaha Pertahanan AS.

Perjuangan

Sementara Shaha Riza, seorang Arab yang lahir di Libya dan dikenali sebagai seorang feminis. Feminisme yang menjadi tumpuannya ialah perjuangan hak persamaan wanita di Asia Barat.

Beliau belajar di London School of Economics (LSE) dan memperoleh ijazah sarjana di St Anthony College, Oxford di mana beliau bertemu seorang Turki Cyprus Bulent Ali Riza dan berkahwin dengannya. Dengan bekas suaminya, Shaha memperoleh seorang cahaya mata.

Shaha Riza adalah warganegara Britain dan mendapati persekitaran di negara itu sesuai bagi perdebatan intelektual selepas makan malam. Tugas pertamanya ketika sampai di Washington adalah bekerja dengan Iraq Foundation yang ditubuhkan oleh ekspatriat Iraq di AS. Mereka aktif semasa Perang Teluk pertama dan memperjuangkan penggulingan Saddam Hussein serta menubuhkan demokrasi di negara itu.

Pada tahun 1997, Shaha Riza bekerja dengan Bank Dunia sebagai pengurus komunikasi. Apabila Wolfowitz menjadi presiden Bank Dunia pada tahun 2005, mulalah berlaku pertembungan kepentingan hingga ia menjadi nepotisme dan kini merupakan satu skandal.

Apa yang menarik ialah ketika ini fahaman neokonservatif tidak popular di Barat. Kumpulan yang mendukung konservatif tidak ramai tetapi mereka amat berpengaruh apabila Bush menerima nasihat dan tokoh-tokoh mereka dengan kepercayaan bahawa golongan ini dapat membela kepentingan AS.

Tetapi dengan keadaan Iraq yang jauh daripada penyelesaian, banyak di Barat menambah keraguan mereka terhadap agenda neokonservatif. Umumnya Eropah tidak dapat menerima agenda neokonservatif, lebih-lebih lagi pencerobohan AS ke atas Iraq. Pengaruh sayap kiri di benua ini khususnya di Jerman dan Perancis, dua negara utama Eropah menolak neokonservatif itu.

Tetapi sebagai penyumbang terbesar dana Bank Dunia, AS mempunyai pengaruh dan maka semua pihak akur kepada keputusan Bush memilih Wolfowitz. Apa yang tidak disenangi ialah Wolfowitz tokoh neokonservatif.

Justeru apabila timbul skandal itu, maka dengan mudah negara-negara Eropah yang turut memberi sumbangan kepada dana Bank Dunia bertindak menolak Wolfowitz. Alasannya ialah tentang nepotisme terhadap rakan wanitanya, bukan fahaman neokonservatifnya.

Rabu lalu Parlimen Eropah meluluskan usul supaya Wolfowitz meletak jawatan. Dengan undi 333 menyokong dan 251 menentang, serta 31 berkecuali menetapkan resolusi bahawa Jerman, presiden bergilir Kesatuan Eropah (EU) supaya menuntut Wolfowitz melalui sidang kemuncak AS-EU yang berlangsung esok.

Tuntutan mereka supaya Wolfowitz meletak jawatan adalah atas alasan untuk menghalang usaha menentang korupsi di Bank Dunia daripada terjejas. Tetapi setakat Khamis lalu, Washington masih mempertahankan sokongannya terhadap Wolfowitz .

Fahaman neokonservatif juga berada pada detik-detik akhirnya. Ini kerana sukar baginya untuk mendapat tempat selepas berakhirnya era pentadbiran Presiden Bush. Jika calon Parti Demokratik menang, sama ada Hillary Clinton mahupun Barrack Obama, maka mereka tidak akan ada tempat dalam pentadbiran AS.

Tetapi andai kata calon Republikan yang menang, mereka juga dijangka tidak akan lagi memberi tempat pada golongan neokonservatif. Ini berpunca daripada neokonservatif yang bukan saja kurang popular tetapi menunjukkan bahawa mereka telah gagal dalam mencapai matlamat agenda mereka.

Sememangnya terdapat banyak faktor yang menyebabkan projek Iraq gagal seperti yang dicita-citakan. Gerakan neokonservatif mengimpikan bahawa kejatuhan Saddam di Iraq membuka negara itu kepada demokrasi, yang akan tersebar ke seluruh Asia Barat.

Lanjutan daripada itu, kepentingan Israel dan AS akan selamat. Ada pihak yang mengesyaki bahawa sebagai teman wanita, Shaha Riza telah memberi banyak pengaruh kepada Wolfowitz. Lebih-lebih lagi Shaha Riza gemar berdebat secara intelektual tentang politik.

Hakikat bahawa Shaha Riza mempunyai komitmen kepada demokrasi khususnya di Iraq, maka berkemungkinan beliau memberi banyak pengaruh kepada Wolfowitz untuk membebaskan negara itu daripada Saddam.

Sememangnya Wolfowitz seorang Yahudi tetapi kaum dan agamanya tidak secara automatik menjadikannya pro-Israel dan berfahamn neokonservatif.

Noam Chomsky seorang Yahudi tetapi terkenal sebagai tokoh anarkis yang menentang Israel, Zionis, konservatif dan neokonservatif. Tetapi bagaimana pula dengan Shaha Riza? Apakah beliau, seorang Arab tetapi adalah juga Zionis? Besar kemungkinannya tidak. Shaha Riza adalah seorang feminis yang mahu melihat pembebasan wanita Arab. Apabila disebut sebagai pembebasan, pastinya beliau seperti warga Arab yang lain mahu Palestin dibebaskan.

Tetapi dalam kerangka pemikiran neokonservatif, mereka tidaklah menafikan hak Palestin untuk memiliki negara berdaulat sendiri.

Cumanya apa yang diinginkan mereka ialah sebuah Palestin yang boleh menerima Israel dan hidup secara harmoni. Harmoni pula boleh membawa kepada maksud tunduk atau didopminasi.

Pandangan

Tetapi sudut pandangan neokonservatif dapat dinilai seperti satu dimensi. Dunia tidaklah seringkas apa yang dibayangkan oleh golongan ini walaupun mereka mempunyai bijak pandai dan agensi pemikir hebat.

Di Israel, banyak kumpulan yang memiliki pelbagai aspirasi. Ada golongan yang masih bertegas mahu menjadikan Palestin sebagai wilayah yang terletak di bawah kekuasaan mereka. Tidak kurang pula yang mahu menafikan terus hak Palestin memiliki negara sendiri.

Malah terdapat kumpulan yang mengimpikan lebih jauh lagi iaitu pengaruh besar Israel ke atas dunia Arab melalui Iraq. Cuba bayangkan jika mereka dapat memperoleh kerajaan pro-Israel di Iraq, Iran, Turki, mesir dan Jordan, sudah cukup kuat untuk mereka berpengaruh.

Begitu juga dengan isu pendemokrasian di Iraq. Pastinya pengalaman selepas pencerobohan menunjukkan tidak mudah memaksa demokrasi ke atas negara itu. Walaupun demokrasi adalah sebuah idealisme tetapi ia tidak boleh dipaksa. Ini kerana paksaan itu sendiri bercanggah dengan sifat demokrasi itu sendiri.

Malaysia sendiri boleh menjadi contoh mudah. Untuk mewujudkan demokrasi di negara ini, perlembagaan yang digubal wajar mengambil kira kuasa-kuasa tradisi seperti yang terkandung dalam feudalisme. Secara halus, ia dijelmakan dalam bentuk parti politik yang mempunyai asal dari golongan bangsawan.

Tetapi proses pendemokrasian mesti terus ditingkatkan. Jika tidak, berlaku kezaliman yang akan menghasilkan pemberontakan dan revolusi. Ketika itu, ia boleh membawa negara ke kancah kuku besi lebih dahsyat seperti berlaku dalam revolusi-revolusi terdahulu.

Read more!

Memahami ayat Al-Quran dalam konteks

Oleh: ZIN MAHMUD (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 27 April 2007


PADA ruangan Renungan dalam Utusan Malaysia bertarikh 19 April lalu, disiarkan satu ayat Al-Quran dari surah al-Mu‘minun ayat 37 bermaksud:

"Tiadalah hidup yang lain selain dari hidup kita di dunia ini.

Kita mati dan kita hidup (silih berganti), dan tiadalah kita akan dibangkitkan semula.”


Terjemahan daripada ayat ini diambil daripada Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Kepada Pengertian Al-Quran yang diterbitkan oleh Darulfikir dengan izin dan di bawah kawalan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Tiada yang salah dari segi petikan dengan ayat ini. Tetapi apabila dibaca maka ia menimbulkan tanda tanya bahawa dalam akidah Islam, tidakkah terdapat kehidupan selain daripada apa yang ada di dunia ini?

Maknanya, selain daripada apa yang dialami oleh manusia, ada kehidupan lain. Maksud kehidupan lain ialah yang berbentuk abadi, iaitu selepas manusia dibangkitkan semula pada hari kiamat.

Dalam ayat itu dinyatakan bahawa manusia mati dan hidup secara bersilih ganti dan tidak akan dibangkitkan semula. Sedangkan dalam akidah Islam, manusia akan dibangkitkan semula untuk dihisab dan diadili.

Hakikatnya ialah ayat itu tidak boleh berdiri sendiri, ia perlu difahami dalam konteks dengan ayat sebelum dan sesudahnya. Untuk ruangan Renungan, ayat ini tidak sesuai untuk digunakan kerana boleh menimbulkan salah faham.

Ayat ini adalah sebahagian daripada kisah para nabi yang dipaparkan dalam surah al-Mu’minun.’

Sementara ayat 37 ini merujuk kepada kata-kata golongan kafir yang mempersoalkan tentang adanya hari kebangkitan bagi manusia setelah ia mati. Seperti nota yang dilampirkan dalam kitab Pimpinan Ar-Rahman itu, yang berbunyi:

"Golongan kafir yang tidak percayakan kebangkitan pada hari akhirat itu mengatakan bahawa kehidupan manusia hanyalah dalam dunia ini semata-mata; manusia yang mati akan digantikan oleh manusia yang baharu lahir, demikianlah seterusnya silih berganti, yang mati tidak tidak akan dibangkitkan lagi.”

Dibaca

Justeru, ayat itu mesti dibaca bersama dengan ayat-ayat yang terdahulu dan kemudian. Sekurang-kurangnya ayat 37 itu mesti dibaca mulai daripada ayat 32 hingga ke ayat 41. Tetapi itu pun sebaik-baiknya dibaca dari ayat 1 surah al-Mu’minun itu sendiri.

Ayat 32 bermaksud: Lalu Kami mengutus kepada mereka seorang rasul dari kalangan mereka (dengan berfirman melalui Rasul itu): "Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya ) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripada-Nya. Oleh itu, tidakkah kamu mahu bertakwa kepada-Nya?''

Ayat 33 bermaksud: Dan (bagi menolak seruan itu), ketua-ketua dari kaumnya yang kafir serta mendustakan pertemuan hari akhirat, dan yang Kami mewahkan mereka dalam kehidupan dunia, berkata (sesama sendiri): ‘‘Orang ini hanyalah seorang manusia seperti kamu, ia makan dari apa yang kamu makan, dan meminum dari apa yang kamu minum.”

Ayat 34 bermaksud: "Dan demi sesungguhnya, jika kamu taati manusia yang seperti kamu, tentulah kamu dengan membuat demikian, menjadi orang-orang yang rugi.”

Ayat 35 bermaksud: "Patutkah ia menjanjikan kamu, bahawa sesungguhnya apabila kamu mati dan menjadi tanah dan tulang, kamu akan dikeluarkan (dari kubur hidup semula)?”

Ayat 36 bermaksud: "Jauh, amatlah jauh (dari kebenaran) apa yang dijanjikan kepada kamu itu!”

Ayat 37 bermaksud: "Tiadalah hidup yang lain selain dari hidup kita di dunia ini. Kita mati dan kita hidup (silih berganti), dan tiadalah kita akan dibangkitkan hidup semula.

Ayat 38 bermaksud: "Tiadalah dia (Nabi Hud) itu selain dari seorang lelaki yang mengada-adakan perkara dusta terhadap Allah, dan kami tidak akan beriman kepadanya.”

Ayat 39 bermaksud: Nabi Hud berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku, belalah daku, kerana mereka telah mendustakan seruanku."

Ayat 40 bermaksud: Allah berfirman: "Dalam sedikit masa lagi mereka akan menjadi orang-orang yang menyesal.”

Ayat 41 bermaksud: Akhirnya mereka dibinasakan oleh letusan suara yang menggempakan bumi, dengan benar lagi adil, lalu Kami jadikan mereka sebagai sampah sarap (yang dihanyutkan oleh banjir). Maka kebinasaannya bagi kaum yang zalim itu.''

Apabila dibaca dalam konteks, maka difahami bahawa ayat 37 itu adalah hujah golongan kafir yang mempersoalkan Nabi Hud. Mereka tidak percaya bahawa manusia akan dibangkitkan semula untuk diadili selepas mati.

Sementara Nabi Hud menyampaikan kebenaran bahawa manusia akan dibangkitkan setelah mati dan hari kiamat untuk diadili atas segala perbuatannya.

Ini adalah kunci kepada akidah Islam, yang dibawa bukan saja oleh Nabi Muhammad s.a.w. tetapi juga nabi-nabi terdahulu.

Tetapi bukan saja ayat ini perlu dibaca dalam konteks. Surah termasuk al-Mu’minun ini juga perlu dibaca dalam konteks. Iaitu seluruh al-Quran mengandungi pengajaran yang perlu difahami secara menyeluruh dan bukan cebisan-cebisan.

Amalan agama Islam sendiri perlu difahami bukan saja daripada Al-Quran semata-mata, tetapi juga perlu diambil kira sunah Rasulullah s.a.w.

Ajaran Islam itu perlu dilihat secara menyeluruh.

Justeru al-Quran bukan saja surah dan ayat-ayatnya perlu dibaca dalam konteks.

Ruangan Renungan itu hanyalah memetik satu ayat daripada al-Quran. Tujuannya adalah untuk menggalakkan pembaca berfikir dengan merenung maksud ayat al-Quran.

Tidak ada ayat al-Quran yang boleh berdiri sendiri kerana kesemuanya berkait di antara satu sama lain.

Maka ayat-ayat itu wajar dibaca sebagai usaha menggalakkan seseorang untuk menelaah al-Quran. Ia sama sekali tidak bermaksud untuk menimbulkan salah faham. Pembaca mesti faham bahawa mengamalkan agama tidak boleh berdasarkan pada sesuatu ayat. Agama mesti dipegang secara keseluruhan.

Konsep kebangkitan semula manusia selepas kematian dan hari kiamat mengingatkan tentang gagasan keadilan. Itulah mesej agama Islam.

Read more!

Belajar dari tragedi Virginia Tech

Oleh: Muhammad Alias
Sumber: Utusan Malaysia 24 April 2007


APRIL tercatat sebagai bulan paling malang bagi pelajar-pelajar di Amerika Syarikat apabila 32 orang pelajar dan pensyarah terbunuh di Virginia Tech, Brooksburg, Virginia.

Secara mendadak nama Virginia Tech dan pelajar yang menjadi pembunuh, Cho Seung-Hui menghiasi media massa dunia.

Tragedi yang disifatkan sebagai pembunuhan terbesar di pusat-pusat pengajian di Amerika Syarikat terjadi kurang seminggu dari tarikh 20 April. Pada tarikh tersebut pada tahun 1999, sebanyak 12 pelajar mati apabila dua orang pelajar melepaskan tembakan rambang di Columbine High School di Colorado.

Terdapat kira-kira 220 kejadian menembak di sekolah dalam masa lima tahun iaitu dari tahun 1994 hingga 1999. Mengikut laporan Pusat Pengawalan Penyakit 2002 kejadian tersebut mengakibatkan 253 kematian melibatkan para pelajar dan guru-guru.

Seperti mana dua orang pelajar yang membunuh rakan-rakan sedarjahnya di Columbine High School, Cho Seung- Hui, 23, rakyat Korea Selatan membabitkan beberapa peristiwa sebagai motif tindakannya. Antaranya akibat dibuli atau dimalukan oleh pelajar-pelajar atau pensyarah.

Jadi motif utama adalah membalas dendam. Mereka bukan sekadar membenci teman-teman pelajar, malahan menyalahkan keadaan sekeliling. Dalam kes Seung-Hui beliau menyalahkan pelajar-pelajar kaya yang menunjuk-nunjuk kekayaan mereka.

Ibu bapa Cho yang dilaporkan bekerja di kedai mencuci dry cleaning kepunyaan etnik Korea. Mereka bukan daripada keluarga senang. Mereka bekerja begitu kuat sejak tiba di Amerika pada tahun 1992 apatah lagi kedua-duanya mengalami masalah kesihatan.

Kemungkinan rasa bencinya kepada para pelajar yang dikatakan menunjuk-nunjuk kemewahan mereka berpunca daripada latar belakang keluarganya sendiri.

Kini berbagai pihak mula mempersoalkan beberapa aspek yang berkaitan dengan kejadian-kejadian seumpama itu. Antaranya keselamatan sekolah dan kampus serta kebebasan membeli senjata api.

Namun untuk menjaga setiap inci sesebuah kampus bukanlah mudah khususnya kampus besar seperti Virginia Tech dengan pelajar sekitar 26,000. Tambahan pula kampus-kampus mengamalkan dasar terbuka.

Sementara itu, rakyat Amerika boleh membeli senjata api asalkan sudah dewasa dan tidak mempunyai rekod jenayah. Menurut laporan seramai 192 juta (dari 300 juta) rakyat Amerika mempunyai senjata api.

Tragedi Virginia Tech wajar mendapat perhatian berbagai pihak di Malaysia. Meskipun senjata api tidak boleh dibeli dengan bebas tidak bermakna rakyat tidak boleh memperolehnya.

Insiden-insiden seperti pergaduhan dan perbuatan membuli pelajar di sekolah-sekolah seperti mana yang pernah disiarkan oleh media massa meskipun tidak melibatkan senjata api tidak bermakna ia tidak boleh berlaku di masa-masa hadapan.

Perhatian hendaklah ditumpukan kepada pelajar-pelajar bermasalah baik dari segi pelajaran atau tingkah laku. Ini dibuktikan oleh pelajar-pelajar yang menjadi pembunuh di Virginia Tech dan Columbine High school.

Read more!

Di sebalik amukan Virginia Tech

Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 22 April 2007


APABILA mendapat berita berlaku amukan seorang pelajar di Universiti Virginia Tech, Amerika Syarikat (AS) yang menembak mati 32 pensyarah dan pelajar sebelum membunuh diri pada Isnin lalu, antara pertanyaan awal timbul di fikiran ialah bangsa dan agama pelaku itu.

Ternyata pelaku itu ialah Cho Seung-Hui, seorang warga Korea Selatan yang menjadi penduduk tetap AS. Apabila diumumkan pelakunya, maka kalangan komuniti Korea berasa bimbang kalau-kalau berlaku reaksi ganas terhadap mereka. Bukan saja terhadap komuniti Korea tetapi Asia umumnya. Walaupun apa yang berlaku itu tidak berkaitan dengan kaum, tetapi manusia mempunyai sentimen prejudis yang akan mengaitkan perbuatan ganas kepada sesuatu etnik atau agama pelakunya.

Maka terfikirlah andai kata pelajar yang mengamuk ini seorang beragama Islam, maka tidak dapat digambarkan betapa media massa menyiarkan pelbagai komentar yang menjurus kepada Islamofobia. Mereka pasti mengaitkan keganasan dan Islam, lebih parah lagi agama turut dikaitkan dengan kedudukan mental pelaku berkenaan.

Adalah jelas Seung-Hui menderita penyakit mental hingga tergamak melakukan keganasan di kampus. Kekesalan yang timbul di kalangan pihak berkaitan di AS itu ialah mereka tidak bertindak dengan lebih teliti serta tegas apabila ditampilkan dengan banyak petanda bermentalkan ganas daripada pelajar itu.

Sememangnya salah untuk mengaitkan keganasan dengan sesuatu bangsa atau agama. Tetapi manusia cenderung bersifat prejudis. Apabila tercetusnya peristiwa ini, akhbar Chicago-Sun Times melaporkan bahawa pelajar berkenaan adalah seorang keturunan China.

Maklumat salah ini menimbulkan kemarahan orang China di AS kerana ia mengandungi unsur-unsur prejudis terhadap komuniti dari negara berkenaan. Juga dapat dibayangkan betapa kalau seorang keturunan China menjadi pelakunya, maka dapat digambarkan media massa AS menyiarkan komentar berunsur anti-China.

Perasaan prejudis terhadap China memang wujud di AS walaupun terdapat banyak warganegara itu yang berasal daripada negara berkenaan.

Secara geopolitiknya, pada waktu ini pesaing utama AS, baik dari segi ekonomi mahupun politik adalah China. Tetapi kaca mata perkauman juga mengaitkan sesuatu etnik dalam bentuk rumpun. Maka tidak hairanlah, apabila diumumkan bahawa pelaku, yang turut bimbang terhadap serangan balas rambang adalah bukan saja dari kalangan komuniti Korea tetapi keseluruhan rumpun Asia Timur: China, Jepun dan Korea.

Tetapi apabila difikirkan pula, negara yang paling berani mencabar AS di dunia hari ini ialah Korea Utara. Pyongyang membangun senjata nuklear tanpa mengendahkan amaran AS. Walaupun Korea Selatan memihak kepada AS, tetapi hakikatnya bangsa yang menentang AS adalah Korea. Perang Korea adalah pertembungan pertama AS selepas Perang Dunia Kedua.

Walaupun Korea terbahagi dua tetapi unsur-unsur sebagai bangsa yang menentang AS ada pada mereka.

Sudut pandangan serong kepada rumpun Asia Timur tidak terhad kepada Korea. Jepun adalah yang paling utama. Bukan saja negara itu pernah berperang dengan AS dalam Perang Dunia Kedua, tetapi apabila ia muncul menjadi negara paling pesat membangun selepas itu menjadikannya momok baru bagi kuasa besar itu.

Prejudis anti-Jepun jelas berlaku pada masa Perang Dunia kedua ketika warga AS keturunan Jepun diasing dan dipencilkan dengan kesetiaan mereka diragukan.

Pada waktu ini sentimen anti-Jepun di AS tidaklah sekuat dahulu kerana kedudukan ekonomi negara matahari terbit itu tidak mencabar kuasa besar itu.

Sebaliknya negara yang menggantikan Jepun sebagai pencabar kuat AS ialah China. AS pernah bertempur dengan China ketika Perang Korea. China menjadi pendukung Korea Utara. Sekarang kedudukan Korea Utara yang mencabar AS juga dikaitkan dengan China.

Sepanjang pemerintahan Mao Zedong, China sememangnya negara yang bersikap anti-AS, lebih-lebih lagi sebelum Beijing berpecah dengan Moscow. Retorik dan propaganda Beijing ketika itu adalah anti-AS. Hanya selepas berlaku perpecahan Beijing-Moscow dan kunjungan Presiden Richard Nixon ke AS, keadaan berubah.

Dalam zaman Deng Xiaoping, hubungan China dan AS lebih baik. Tetapi kebangkitan ekonomi China yang pesat menimbulkan sentimen tercabar di pihak China. Tetapi sikap Sinofobia atau Japanofobia dan Koreafobia tidaklah sehebat Islamofobia. Islam dianggap ancaman. Walaupun Islam dijenis-jeniskan, iaitu ada yang dianggap tidak anti-

Barat, tetapi tidak kurang berpandangan bahawa sifat asas Islam adalah songsang dengan nilai-nilai Barat.

Barat diterajui AS dianggap sebagai pihak yang rasional, demokratik, liberal, saintifik dan benar. Sementara Islam pula dipandang tidak rasional, autokratik, terkongkong, penuh khurafat dan palsu.

Malangnya pandangan yang tidak betul dikukuhkan dengan perangai orang Islam di mana ada antara negara orang Islam yang bersifat menindas dan menekan golongan intelektual dan melanggar hak asasi manusia.

Hakikat bahawa Islam yang dalam tamadunnya pernah menyerlahkan nilai rasional dan saintifik lama sebelum Barat mengamalkannya tidak diambil kira.

Tetapi jurus perspektif Barat terhadap tamadun Islam dan Asia Timur sememangnya serong. Tamadun China, Jepun dan Korea juga dipandang tidak rasional, tidak demokratik dan tidak saintifik.

Maka tidak menghairankan apabila Samuel Huntington dalam The Clash of Civilization membariskan peradaban Islam dengan Konfusius, meliputi Asia Timur di satu pihak yang mencabar Barat sebagai pihak lagi satu.

Dilihat secara mendalam lagi walaupun tidak diucapkan, pandangan di pihak barat, khususnya AS ialah bahawa ada sesuatu yang tidak kena pada tamadun bukan Barat, sama ada Islam atau Asia Timur.

Bagi mereka mentaliti yang dilahirkan oleh Islam dan Konfusius adalah bercanggah dengan sifat sebenar manusia. Manusia kesemuanya mesti menerima nilai- nilai Barat. Inilah yang menjadi bahan perjuangan pada badan-badan tertentu di AS. Mereka memperjuangkan demokrasi diterapkan di dunia Islam dan Asia Timur.

Institusi seperti American Enterprise Institute (AEI) dan Freedom House berusaha menebarkan ideologi Barat ini ke seluruh dunia. Gerakan neokonservatif juga berazam mendemokrasikan Asia Barat dan ia adalah antara pendorong kepada pencerobohan ke atas Iraq.

Bagi mereka, seluruh Asia Barat mesti menjadi demokrasi. China juga mesti digugat sampai menjadi demokrasi. Korea juga begitu. Korea Utara mesti diubah hingga mengamalkan demokrasi dan dicantumkan dengan Korea Selatan. Jepun yang mengamalkan demokrasi sejak Perang Dunia Kedua juga dianggap mengamalkan nilai-nilai Jepun yang belum liberal seperti di Eropah.

Hakikat sejarah ialah banyak nilai barat bersumberkan daripada peradaban Islam.

Pemikiran politik Greek yang merintis pada demokrasi masuk ke dalam falsafah politik Islam, sebelum ia berpindah ke Eropah melalui Perang Salib yang membawa kepada kemunculan Renaisans dan Enlightenment.

Sebaliknya kediktatoran dahsyat berlaku dalam tamadun Barat. fasisme dan Nazisme adalah produk Barat. Begitu juga komunisme Soviet.

Malah komunisme China yang membawa kepada kediktatoran adalah produk Barat. Begitu juga dengan sistem Korea Utara dan Jepun adalah produk Barat. Demokrasi atau autokrasi hakikatnya bukan bergantung pada tamadun Barat atau Asia Timur. Ia adalah kehendak bangsa masing-masing.

Begitu juga apabila berlaku peristiwa amuk di Virginia Tech. Ia bukan berkaitan bangsa atau agama. Hakikatnya bukan bangsa pelaku itu yang perlu diberi perhatian. Sememangnya ia berpenyakit mental dengan kemurungan. Penyakit ini boleh tampil di mana-mana tanpa mengira bangsa. Tetapi di Virginia Tech, apa yang perlu diberi perhatian ialah hanya di AS perkara amuk menembak secara rambang boleh berlaku.

Sebelum ini terdapat 10 kejadian pembunuhan berbentuk amuk berlaku di universiti-universiti AS.

Ia hanya boleh berlaku di AS kerana dikatakan di negara itu seseorang bebas memiliki senjata api. Tetapi bukan itu saja, penyakit mental yang dideritai oleh pelakunya adalah faktor utama. Mengapa sebuah negara maju dan kaya seperti AS melahirkan individu-individu yang berpenyakit ganas seperti ini?

Bukanlah kerana Seung-Hui warga Korea, tetapi adalah kerana persekitaran AS yang menjadikannya begitu. Tidaklah wajar menyatakan bahawa sistem masyarakat AS teramat buruk. Sistem masyarakat lain di dunia juga mempunyai kelemahan termasuklah di dunia Islam. Mereka juga melahirkan pesakit mental. Penyakit ini pun bukanlah semata-mata terhasil daripada persekitaran. Soal biologi dan genetik juga merupakan faktor.

Apa yang hendak ditekankan ialah masyarakat AS bukanlah yang terbaik dan ideal. Sistem demokrasi dan liberal di AS bukanlah suatu yang paling istimewa hingga dapat memberi keselamatan dan keamanan.

Selain itu mesej yang dibawa oleh Seung-Hui sebelum ia membunuh diri juga perlu diberi perhatian walaupun ia merupakan hasil seorang pesakit mental. Apa yang mendorong dia mengamuk adalah antara lain kerana kebenciannya terhadap golongan kaya.

Ada sesuatu terhadap golongan kaya di AS yang mengganggu fikiran Seung-Hui. Bagaimanapun gangguan ini tidak jelas dan memerlukan kajian mendalam.

Tetapi ada di kalangan penganalisis AS yang menyebut bahawa betapa orang asing, khususnya di kalangan orang Islam yang cemburu terhadap kekayaan dan kejayaan AS. Malah mereka mengaitkan bahawa serangan pengganas terhadap AS adalah didorong oleh rasa cemburu ini.

Bagaimanapun secara umumnya sistem kapitalisme global yang berlaku menguntungkan AS. Walaupun negara-negara lain memperoleh keuntungan daripada kemakmuran AS melalui perdagangan dua hala tetapi kuasa besar itu lebih banyak mengaut keuntungan.

Hakikatnya mereka yang memiliki modal adalah paling berkuasa. Semua negara di dunia berebut-rebut mendapatkan modal. Sementara pemilik modal dan pemegang dana besar mempunyai pengaruh kuat di AS. Mereka bertambah kaya. Apabila sudah teramat kaya, lebihan wang itu digunakan untuk menderma dan kebajikan. Tetapi tidak kurang pula digunakan sebagai sumbangan politik, menyokong calon-calon tertentu.

Maka dengan mudahlah pihak yang disokong oleh pemilik dana besar akan menang. Dalam sistem ini bukannya orang miskin tidak terbela atau tidak berpeluang langsung meningkatkan kedudukan kewangan mereka.

Tetapi pengorbanan usaha dan bekerja serta pemerasan ke atas pengguna melalui keuntungan tinggi akhirnya menambahkan kekayaan mereka yang memiliki modal.

Read more!

Petanda buruk dari Algeria

Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 15 April 2007


DUA serangan bom berani mati di Algiers, Algeria mengakibatkan kematian 33 orang awam memberi petanda buruk yang membawa implikasi mendalam di dunia Islam. Semua negara Islam termasuk Iran mengecam serangan yang didakwa dilakukan oleh kumpulan-kumpulan berkaitan rangkaian Al-Qaeda. Sementara penganalisis di Kolej Nasional Sweden, Magnus Ranstop meramalkan kebangkitan keganasan baru di rantau Afrika Utara meliputi negara-negara dari Maghribi hingga Somalia.

Tetapi apa yang berlaku di Algiers wajar dilihat dari dua sudut, nasional dan global. Ini kerana apa yang dilihat sebagai ancaman keganasan global adalah kesemuanya mendapat sumbangan daripada masalah nasional dan tempatan yang masing-masing berbeza.

Umpamanya, apa yang dikatakan sebagai ancaman dari Al-Qaeda di Iraq sudah tentu mempunyai pertalian dengan pendudukan Amerika Syarikat (AS).

Begitu juga di Afghanistan. Pastinya berkaitan dengan politik tempatan membabitkan Taliban, Mujahidin dan kehadiran tentera asing. Senario yang sama berlaku di Indonesia dan Filipina berhubung Jemaah Islamiyah (JI), pasti berkait dengan politik tempatan.

Melihat ke dalam sejarah, Algeria pernah menjadi tanah jajahan Perancis. Malah pernah Perancis ingin menjadikannya sebahagian daripada wilayah dan penempatan. Maknanya ia adalah sebahagian daripada Perancis dan penduduknya diwakili dalam Parlimen di Paris. Tetapi sudah tentu penduduknya bukanlah rakyat asal Algeria tetapi orang Perancis yang berhijrah.

Komuniti Eropah, yang terdiri bukan saja orang Perancis tetapi pendatang dari Sepanyol, Itali dan negara-negara jiran yang lain semakin membesar di Algiers sebelum kebangkitan nasionalisme di Algeria. Ingatlah kepada penulis eksistensialis Perancis, Albert Camus. Dia sebahagian daripada komuniti Perancis di Algeria.

Andai kata Republik Keempat Perancis ini tidak tumbang dan tidak ada penentangan daripada rakyat asal Algeria, mungkin wilayah ini terus menjadi sebahagian daripada Perancis, iaitu sebahagian daripada Eropah.

Walaupun tuntutan kemerdekaan mula kedengaran di kalangan intelektual tetapi Perancis tidak tunduk kepada perjuangan demokrasi. Imperialisme dan kolonialisme dianggap suatu yang tidak salah oleh Barat.

Maka tidak ada jalan lain selain daripada menggunakan senjata. Maka Barisan Pembebasan Kebangsaan (FLN) digerakkan oleh Ben Bella dan nasionalis lain untuk berjuang secara gerila menuntut kemerdekaan.

Bagaimanapun bendera yang mereka kibarkan adalah panji-panji Syeikh Abdul Qadir Al-Jazairi. Bendera berwarna hijau putih dengan bulan sabit bintang lima berwarna merah yang kini merupakan bendera kebangsaan Algeria adalah asalnya panji-panji perjuangan Syeikh Abdul Qadir. Siapakah ulama ini?

Maka perlulah melihat lagi jauh ke dalam sejarah Algeria. Sebelum kedatangan imperialis Perancis, Algeria atau bahasa Arabnya, Aljazair adalah wilayah dalam khilafah Uthmaniah yang berpusat di Istanbul.

Apabila khilafah ini lemah pada kurun ke-19, ia membuka ruang bagi kemasukan Perancis. Ketika menunaikan haji, Syeikh Abdul Qadir bertemu Imam Shamil, pemimpin dan pejuang Chechnya yang berperang menentang penjajahan Rusia di negaranya. Mereka berbincang mengenai politik dan nasib umat Islam.

Sekembalinya ke Algeria, Syeikh Abdul Qadir mengangkat panji-panji perjuangan dan menentang penjajahan Perancis. Penentangan beliau kuat walaupun akhirnya Perancis berjaya juga menjajah negara itu.

Perancis datang dengan misi membawa tamadun barat termasuk idealisme Revolusi Perancis. Tetapi kalau Perancis menjunjung kebebasan, persamaan dan persaudaraan; tetapi apa yang diterapkan ke atas rakyat Algeria adalah kongkongan, penindasan dan perbalahan. Sedangkan dalam Islam sudah ada nilai-nilai pembebasan, persamaan dan persaudaraan. Manusia mudah membuat slogan daripada mengamalkan nilai-nilai murninya.

Maka pada 1950-an, gerakan nasionalisme Algeria menggabungkan semangat dan nilai Islam yang dipelopori Syeikh Abdul Qadir dengan fahaman moden Perancis seperti demokrasi.

Justeru Revolusi Algeria ini mengambil inspirasi dari kedua- dua Revolusi Perancis dan perjuangan Sheikh Abdul Qadir. Perang gerila yang dinamakan Perang Kemerdekaan ini adalah berdarah dan sengit. Perancis tidak mahu berganjak secara aman daripada tanah jajahannya. Di Vietnam juga Perancis enggan memberikan kemerdekaan kepada jajahannya.

Kedua-dua gerakan kemerdekaan Algeria dan Vietnam turut mendapat inspirasi daripada fahaman politik Perancis sendiri, termasuk dari segi ideologi sosialisme. Kalau gerakan nasionalisme kiri Vietnam pimpinan Ho Chi Minh berbau komunisme, maka di Algeria, gerakan pimpinan Ben Bella itu bersifat sosialis, seperti apa yang berlaku di Indonesia, India dan Mesir.

Akhirnya Perancis kalah dan harapan besar rakyat Algeria untuk melihat FLN bukan saja dapat memimpin negara secara bermaruah tetapi mampu memberi pembangunan, kemakmuran dan kebebasan demokratik.

Tetapi perkara itu tidak berlaku. Seperti banyak negara pascamerdeka yang mengambil jalan kiri, Algeria juga gagal memberi kemakmuran dan demokrasi sebaik mungkin. Kepimpinan Ben Bella juga digulingkan dan FLN muncul sebagai parti mengongkong dalam bentuk sistem bernegara satu parti. Sudahlah demokrasi barat dan kemakmuran ekonomi Barat gagal dilaksanakan, nilai-nilai Islam juga tidak begitu diendahkan.

Maka dalam awal tahun 80-an, muncul gerakan Islam yang anak-anak muda menyertai kerana kecewa dengan sistem kediktatoran dan sosialis yang diamalkan.

Tetapi berbeza dengan banyak negara Arab dan Islam lain, pada 1990, Algeria pimpinan FLN memperkenalkan demokrasi sedikit demi sedikit sekurang-kurangnya untuk menghalang revolusi atau kebangkitan rakyatnya.

Maka sebagai langkah pertama, ia memperkenalkan pilihan raya kerajaan tempatan. Parti-parti politik bebas ditubuhkan. Maka gerakan Islam di Algeria yang mengambil semangat perjuangan Syeikh Abdul Qadir menyusun organisasi mereka. Ketika orang mula kecewa dengan ideologi Barat, mereka beralih kepada Islam termasuk pejuang kemerdekaan awal iaitu Ben Bella.

Gerakan Islam Algeria menubuhkan Barisan Penyelamat Islam (FIS) dan dalam pilihan raya tempatan itu mereka menang dan mengatasi FLN.

Dunia Barat terkejut. Perancis walaupun tidak menjadi penjajah lagi mengambil berat apa yang berlaku di Algeria. Lagipun ramai rakyat Algeria berhijrah ke Perancis. Antaranya keluarga pemain bola sepak, Zineddine Zidane.

Walaupun pada mulanya Barat, khususnya Perancis yang disokong AS memberi tekanan kepada Algiers supaya melaksanakan demokrasi, tetapi apabila mendapati FIS menang, mereka mula menghalang sebarang kebangkitan gerakan Islam.

Maknanya bagi mereka demokrasi dan pilihan raya bebas hanya boleh dilaksanakan jika parti atau pihak yang mereka sokong menang. Jika demikian, apa yang mereka pejuangkan bukanlah demokrasi tetapi hipokrisi. Sering kali kemenangan Nazi di Jerman pada tahun 1930-an dijadikan hujah bahawa demokrasi mampu membawa kemenangan parti yang antidemokrasi.

Tetapi Nazi walaupun menang dalam pilihan raya Jerman sebenarnya melakukan rampasan kuasa melalui serangan ke atas kumpulan-kumpulan kiri di Parlimen. Makanya apa yang menyebabkan Jerman menjadi negara diktator bukannya kerana kemenangan Nazi, tetapi lebih kepada tindakan melanggar demokrasi oleh Hitler.

Apa pun FIS tidak boleh disamakan dengan Nazi. Setelah menang pilihan raya tempatan, ia cuba memerintah kerajaan tempatan dalam lingkungan demokratik tetapi menurut nilai-nilai Islam yang dipercayai.

Bagaimanapun, atas sokongan Perancis dan AS, kerajaan Algiers mengharamkan FIS dan pemimpin-pemimpin mereka ditangkap. Sudah tentu tidak semua penyokong dan pengikut FIS bersedia berdiam diri.

Dengan semangat kekecewaan ini, ada yang menyertai kumpulan militan. Pada mulanya mereka melakukan perang secara gerila yang menjadikan tentera sebagai sasaran. Tetapi tentera Algeria melakukan tindakan-tindakan kejam yang akhirnya mewujudkan kumpulan militan yang lebih kejam. Apabila tidak diketahui lagi siapa sebenarnya yang melakukan kekejaman, sama ada tentera Algeria atau militan Islam, maka keganasan semakin berleluasa yang dilakukan oleh kedua belah pihak dan untuk meredakan keadaan lebih sukar lagi.

Tentunya golongan gerakan Islam yang sebenar, dan pastinya tidak terlibat dengan keganasan itu menyertai proses politik yang damai. Tetapi mereka sedar bahawa senjata berada di tangan pihak kerajaan.

Akhirnya gerila itu dapat dipatahkan kerana tentera kerajaan lebih terlatih dan mempunyai kelengkapan dengan bantuan dari Perancis dan AS sendiri. Maka apabila gejala serangan bunuh diri mula diamalkan oleh kumpulan-kumpulan Islam yang ekstrem dan mereka dikaitkan dengan Al-Qaeda, maka tidak hairan ada kalangan di Algeria turut mengambil jalan berdarah ini.

Selagi tidak ada usaha drastik mewujudkan keadilan politik, ekonomi dan sosial di Afrika Utara dan negara-negara Arab lain, maka kumpulan ini akan terus membesar. Mereka bergerak dan operasi di padang pasir Sahara dan rantau Sahel, dari Maghribi di Barat hingga ke timur di Somalia melalui Algeria, Tunisia dan Libya.

Maka gerakan Islam di seluruh dunia terpaksa bersatu dengan golongan sekular untuk menentang golongan ekstrem dan pengganas. Pihak Barat pula mahu menyamakan saja pelampau dan gerakan Islam arus perdana. Bagi mereka gerakan Islam, walaupun sederhana akan memberi ruang kepada kemunculan pengganas.

Tetapi hakikatnya munculnya pengganas daripada kalangan umat Islam ini juga adalah hasil daripada reaksi kepada kekejaman dan keganasan pihak yang memiliki kuasa. Bagaimana muncul pengganas di Algeria adalah sesuatu yang boleh menjadi contoh.

Begitu juga dengan bagaimana munculnya Al-Qaeda di Iraq, sudah tentu ia adalah reaksi kepada pendudukan AS. Sementara dapat dibayangkan bagaimana kerajaan Mujahidin gagal di Afghanistan, adalah antara sebabnya mereka tidak mendapat sokongan dan bantuan kewangan bagi mewujudkan kerajaan yang mantap.

Selepas komunis dipatahkan, AS dan sekutunya meninggalkan Mujahidin begitu saja. Apabila mereka gagal menubuhkan kerajaan yang kuat, maka ia memudahkan kemunculan Taliban yang dibantu Al-Qaeda.

Pengajaran mesti diambil daripada semua perkembangan ini. Jika Thailand dan Filipina, umpamanya gagal memberikan keadilan kepada rakyatnya yang beragama Islam, maka akhirnya apabila kumpulan pengganas muncul, semua rakyat akan menanggung kesusahan.

Read more!

Apabila filem Said Zahari diharamkan

Oleh: ZIN MAHMUD (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 14 April 2007


AKHBAR Utusan Melayu berkongsi banyak perkara dengan Singapura. Tetapi perkongsian tokoh antara Utusan Melayu dengan Singapura membabitkan empat orang yang pernah mencorak sejarah politik Singapura dan Malaysia.

Empat tokoh itu ialah Allahyarham Yusof Ishak, Tan Sri Samad Ismail, Said Zahari dan Lee Kuan Yew. Yusof adalah pengasas syarikat dan akhbar Utusan Melayu dan beliau juga adalah presiden pertama Republik Singapura. Wajahnya kini menghiasi wang kertas dolar Singapura.

Samad pula adalah bekas pengarang Utusan Melayu dan menjadi pengasas bersama Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang kini memerintah Singapura. Lee Kuan Yew yang bersama Samad mengasas PAP adalah bekas peguam Utusan Melayu.

Beliau terkenal sebagai Perdana Menteri Singapura dan kini menjadi menteri mentor republik itu. Atas sokongannya Yusof menjadi Presiden Singapura tetapi rentetan peristiwa yang berlaku di Singapura menyebabkan Samad ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam negeri (ISA) pada tahun 70-an.

Tetapi antara tahanan ISA Singapura yang terkenal ialah Said Zahari, bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu dan bekas Ketua Satu Parti Rakyat Singapura (PRS). Beliau ditahan selama 17 tahun.

Kisah penahanan beliau dipaparkan dalam autobiografinya berjudul Meniti di Lautan Gelora yang diterbitkan oleh Utusan Publications and Distributors dan Universiti Kebangsan Malaysia (UKM).

Filem mengenai kisah penahanan beliau itu dibuat oleh pengarah filem Singapura, Martyn See dengan judul Zahari‘s 17 years. Selasa lalu kerajaan Singapura mengumumkan pengharaman filem itu yang disifatkannya sebagai mampu menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kerajaan Singapura.

Tetapi hakikatnya apa yang berlaku berhubung dengan Utusan Melayu, Yusof Ishak, Samad Ismail, Said Zahari dan Lee Kuan Yew adalah peristiwa-peristiwa bersejarah yang tidak boleh dipadam atau dinafikan.

Apa yang menjejaskan keyakinan rakyat Singapura terhadap kerajaannya bukan lagi perkara-perkara berhubung dengan fahaman nasionalisme kiri yang pernah dibawa oleh Samad Ismail dan Said Zahari.

Walaupun golongan nasionalis kiri gagal dalam perjuangan mereka tetapi sumbangan pemikiran dan aktiviti yang dilakukan itu membentuk negara Malaysia dan Singapura yang ada pada hari ini.

Mereka adalah sebahagian daripada sejarah dan perjuangan kemerdekaan kedua-dua negara.

Sepanjang minggu lalu, apa yang mampu menjejaskan keyakinan rakyat Singapura terhadap kerajaannya bukanlah filem dokumentari mengenai Said Zahari. Sebaliknya, apa yang lebih wajar membimbangkan kerajaan Singapura adalah keputusan mereka menaikkan gaji menteri.

Dalam perbincangan penulis dengan rakyat Singapura sendiri dapat dikesan rasa tidak senang mereka dengan kenaikan gaji kakitangan awam yang begitu besar. Bagi mereka dasar menyetarakan gaji sektor awam dan sektor swasta adalah suatu tindakan yang tidak dapat diterima dalam sebuah negara demokrasi dan sivil.

Ini kerana walaupun sektor swasta bergantung kepada perkhidmatan sektor awam untuk mendapatkan keuntungan tetapi konsep kakitangan awam adalah mereka yang bekerja untuk negara dan orang ramai.

Kalau kakitangan sektor swasta bekerja untuk keuntungan semata-mata, di pihak sektor awam pula, mereka sebenarnya berkhidmat untuk rakyat, orang ramai dan negara. Wajar dalam memberi ganjaran kepada sektor awam, pastinya terdapat elemen perkhidmatan, pengorbanan dan bekerja untuk negara. Justeru, mereka tidak boleh disamakan dengan ganjaran yang diperoleh oleh sektor swasta. Lebih-lebih lagi apabila cabaran yang dihadapi oleh kakitangan awam tidak sesengit di sektor swasta.

Tetapi tanda-tanda bahawa banyak pihak di Singapura tidak setuju dengan kenaikan gaji menteri itu lebih ketara apabila Lee Kuan Yew sendiri menegaskan hujah-hujah mengapa gaji mereka perlu dinaikkan. Penegasan itu dibuat ketika beliau ditanya di Australia.

Menurutnya, menteri perlu dinaikkan gaji kerana jika tidak, kerajaan akan kehilangan tenaga-tenaga yang berkaliber kepada pihak swasta. Jadi adalah lebih baik menawarkan gaji yang tinggi kepada anggota sektor awam supaya pentadbiran kerajaan memiliki tenaga yang bermutu, dan merekalah yang mampu membawa republik itu ke tahap yang tinggi, seterusnya mendatangkan keuntungan kepada pihak swasta.

Apa yang menarik ialah banyak rakyat Singapura yang kian berani dan tidak segan silu untuk menyatakan bantahan mereka melalui Internet. Kalau sebelum zaman Internet, sukar bagi rakyat Singapura untuk menyampaikan pandangan mereka kerana akhbar-akhbar dikawal oleh pihak kerajaan.

Utusan Melayu sendiri menjadi mangsa kawalan itu apabila ia dilarang daripada masuk ke republik itu kerana dikatakan mempertikaikan cara pemerintahan Singapura. Tetapi pada zaman Internet, kawalan-kawalan seumpama itu sudah tidak relevan. Akhbar Utusan boleh dibaca di mana-mana di dunia melalui Internet.

Hakikatnya ialah keyakinan rakyat terhadap kerajaan bukannya bergantung pada akhbar atau filem. Akhirnya ia adalah disebabkan oleh dasar-dasar kerajaan itu sendiri.

Maka tidak hairanlah, apabila Rabu lalu, Perdana Menteri Lee Hsien Loong menyatakan bahawa sebahagian daripada gajinya iaitu yang bertambah akibat kenaikannya akan didermakan. Parlimen Singapura yang didominasi oleh PAP juga membahaskannya secara mendalam selama tiga hari.

Hsien Loong menghujahkan betapa kenaikan gaji itu bukan untuk kesenangan menteri-menteri yang ada hari ini tetapi bagi memastikan kerajaan dapat menarik orang yang berkemampuan untuk memimpin dan mentadbir negara.

Jika tanpa tarikan gaji itu, tokoh-tokoh yang berkaliber akan lari ke sektor swasta menjadikan Singapura diperintah oleh mereka yang kurang mampu.

Apabila memikirkan semula detik-detik perjuangan kemerdekaan Singapura dahulu, pastinya dapat dipercayai bahawa Yusof Ishak, Samad Ismail dan Said Zahari, malah Lee Kuan Yew sendiri berjuang bukan kerana tarikan gaji yang tinggi melampau tetapi adalah lebih kepada motivasi idealisme.

Read more!

Jenayah akibat penghijrahan ke kota

Oleh: ZIN MAHMUD (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 12 April 2007


ANTARA faktor yang dinyatakan oleh pihak polis mengenai kenaikan aktiviti jenayah di Kuala Lumpur ialah proses penghijrahan dari desa ke kota.

Oleh kerana sukar untuk mendapat rezeki di luar bandar, maka golongan ini berhijrah ke kota. Kuala Lumpurlah menjadi sasaran utama mereka.

Tetapi di kota, kehidupan tidaklah semudah yang dijangkakan. Memang terdapat banyak pekerjaan tetapi ganjarannya didapati tidak berpadanan.

Bagi pendatang asing, mungkin ia mencukupi kerana jangkaan mereka tidaklah setinggi yang diharapkan oleh warga tempatan.

Tetapi tuntutan keperluan bagi warga tempatan adalah besar, ditambah pula dengan masyarakat yang mengenakan tekanan supaya memilih gaya hidup yang penuh dengan kebendaan.

Apabila desakan begitu kuat tetapi tidak berpadanan dengan ketahanan diri untuk hidup dalam serba kekurangan, maka beralihlah cara hidup mereka dengan melakukan jenayah.

Bagaimana jenayah ini dapat diatasi? Usaha memperketatkan keselamatan melalui peningkatan aktiviti kepolisan dan kerjasama masyarakat adalah satu segi. Tetapi dari segi mencari akar punca jenayah yang timbul daripada penghijrahan dari desa ke kota juga tidak kurang pentingnya.

Jika benar kota dapat memberikan rezeki yang agak selesa bagi penghijrah, maka masalah jenayah ini mungkin tidak begitu ketara.

Justeru persoalan perlu juga dilontarkan bahawa adakah Lembah Klang memberikan ruang yang secukupnya untuk penghijrah-penghijrah hidup dengan selesa? Atau pendapatan yang diperoleh mereka tidak bersesuaian dengan kos yang terus meningkat.

Di Kuala Lumpur, kos paling tinggi kemungkinannya ialah tempat kediaman, diikuti dengan pengangkutan dan kemudian makanan.

Sewa rumah boleh dianggap tinggi. Kalau dahulu banyak rumah setinggan yang boleh menawarkan tempat tinggal yang murah. Tetapi suasana itu tidak berlaku lagi. Adakah rumah kos rendah mencukupi dan harganya termampu oleh banyak orang? Itu juga menjadi satu persoalan.

Kemudian adakah tempat-tempat tinggal itu berdekatan dengan tempat kerja hingga boleh menjimatkan kos perjalanan. Kenaikan harga minyak dan tol juga memberi kesan yang tidak boleh diketepikan begitu saja bagi mereka yang kehidupannya hanya paras hidung.

Di banyak kota negara-negara maju, kos pengangkutan awam adalah murah dan cekap. Ia disubsidi oleh majlis perbandaran mereka sebagai memudahkan kehidupan golongan berpendapatan rendah yang memberi perkhidmatan menggerakkan kehidupan bandar raya.

Tetapi pengangkutan awam di Lembah Klang khususnya kereta api masih boleh dianggap sebagai mahal. Kemudian dalam hal kos makan, persoalannya ialah adakah di kota, medan-medan selera untuk golongan berpendapatan rendah cukup disediakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT)?

Justeru, usaha membanteras jenayah, seperti juga keganasan, tidak boleh dibuat sekadar dalam bentuk penguatkuasaan. Punca akar masalah wajar ditangani.

Read more!

Iran pertahan integriti wilayah

Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 8 April 2007


PADA malam Rabu lalu sekitar pukul 11 malam waktu Malaysia, saluran Al-Jazeera menyiarkan siaran langsung suatu majlis bersejarah dari Teheran.

Ia bermula dengan ceramah politik oleh Presiden Iran, Mahmoud Ahmedinejad dengan beliau menghujahkan tentang sejarah serta politik kedaulatan negaranya. Tidak ada yang aneh tetapi ceramah itu memberi paparan jitu tentang pendirian Teheran mengenai isu-isu politik semasa.

Bagaimanapun majlis itu mempelawa anggota-anggota tentera Iran naik ke pentas, maka para pemerhati mula berasa ada sesuatu yang penting akan berlaku dalam majlis itu.

Pegawai dan anggota tentera Iran yang dipelawa naik ke pentas itu adalah mereka yang menahan 15 kelasi Britain. Tentera Iran itu dipuji kerana berjaya melindungi sempadan Iran daripada diceroboh oleh tentera asing. Kemudian mereka dianugerahkan pingat-pingat penghormatan negara. Mahmoud menyemat pingat-pingat ke atas dada para tentera itu.

Sebaik saja majlis itu berakhir, maka tiba-tiba dunia dikejutkan dengan pengumuman pengampunan serta pembebasan askar-askar Britain itu. Malah mereka turut diundang naik ke pentas, siap berpakaian sut kemas. Kesemua berjabat tangan dengan Presiden Iran yang tersenyum sambil menyatakan sesuatu kepada mereka.

Pembebasan askar-askar Britain mendatangkan kejutan ke seluruh dunia dengan kesimpulannya bahawa Iran menang dalam perang diplomatiknya dengan Britain. Ia juga merupakan tamparan kepada Amerika Syarikat (AS).

Di sinilah imej Republik Islam Iran yang dianggap ganas dan degil tiba-tiba dapat membebaskan kelasi-kelasi Britain itu tanpa sebarang perbicaraan.

Apa yang berlaku ini hanya mengesahkan bahawa askar Britain itu telah memasuki perairan Iran secara haram. Walaupun pada mulanya Britain menafikan dengan menegaskan bahawa mereka berada di perairan Iraq, tetapi Iran mendedahkan bahawa negara Barat itu telah pun meminta maaf hingga perkara ini membawa kepada pengampunan dan pembebasan askar-askar itu.

Maka berlaku suara-suara kesal dari AS. Ia adalah seolah-olah terdapat beberapa pihak di negara kuasa besar itu yang mahu hubungan Britain dan Iran bertambah tegang. Mereka mahu Iran terus menahan kelasi-kelasi itu hingga menyebabkan Britain terpaksa bertindak balas yang terus menjadikan hubungan kedua negara bertambah buruk.

Hubungan buruk antara Britain dan Iran adalah penting supaya negara Islam itu terus diburukkan pada mata dunia. Kesalahan demi kesalahan dilemparkan pada Iran supaya akhirnya negara itu nampak sebagai jahat dan perlu dihukum. Taktik yang serupa dilakukan oleh AS terhadap Iraq pada zaman Saddam Hussein.

Apabila dunia sudah dapat menerima bahawa Iran adalah negara jahat, maka mudah bagi AS meyakinkan dunia bahawa Teheran mesti diserang supaya berlaku perubahan kerajaan. Maknanya kerajaan Iran hendak ditumbangkan seperti mereka melakukan ke atas Saddam.

Justeru, pembebasan askar-askar Britain ini merupakan tamparan kepada rancangan AS.

Sememangnya menarik untuk mengetahui bahawa adakah askar-askar Britain itu berada dalam perairan Iran atau Iraq?

Pada mulanya Britain menafikan. Gambarannya ialah askar-askar itu berada di perairan Iraq dan tentera Iran telah memasuki perairan Iraq dan menahan askar-askar Britain.

Persoalannya ialah jika perkara ini betul, untuk apakah tindakan Iran itu? Sudah tentu akan berlaku ketegangan dengan Britain dan dunia memandang buruk pada Iran. Maka Teheran tentu tidak mahu perkara ini berlaku.

Senario kedua ialah askar Britain itu telah memasuki Iran sebagai satu tindakan provokasi. Pihak Iran tidak boleh membenarkan pencerobohan asing ke atas perairannya kerana ia boleh membawa petanda kelemahan. Maka mereka menahan kelasi-askar ini dan ia menimbulkan ketegangan diplomatik.

Tetapi dengan membebaskan mereka, Iran telah berjaya membuktikan bahawa ia mampu mengelak ketegangan jika dilakukan sesuatu yang menurut kepentingan mereka.

Mesej jelas adalah kepada AS. Apa saja krisis termasuk soal nuklear boleh dielakkan jika AS dapat menerima tuntutan adil dari Iran. Teheran bukannya rejim degil seperti yang digambarkan oleh pihak AS.

Perlu diingat, Iran tidak pernah menceroboh AS dan Britain. Tetapi Britain telah menguasai politik Iran pada kurun ke-19. Bersama AS, kedua-dua negara Barat telah menggulingkan kerajaan Dr. Ahmad Mossadegh yang popular di kalangan rakyat Iran ketika itu.

Sebaliknya melalui Shah Iran, AS terus mendominasi politik Iran sehinggalah berlakunya Revolusi Islam pada tahun 1979.

Bukan itu saja, AS dan Britain secara aktif membantu Saddam menceroboh wilayah Iran dalam perang Iran- Iraq.

AS telah menggunakan pelbagai platfom menekan Iran. Daripada politik, diplomasi antarabangsa hinggalah kepada sekatan ekonomi, belum dikira tekanan melalui budaya dan propaganda filem Hollywood.

Pentadbiran Bush dan penyokong-penyokongnya di kalangan neokonservatif masih bercakap mengenai pertukaran rejim, iaitu mereka mahu menjatuhkan kerajaan Republik Islam Iran seperti apa yang dilakukannya ke atas kerajaan Baathis Iraq.

Antara mesej yang boleh disampaikan oleh Teheran dalam penahanan kelasi Britain ialah ketegasan dalam mengawal sempadan negara dan integriti wilayah Iran. Walaupun penahanan itu mungkin hanya dilihat dari sudut simbolik tetapi dalam politik, apa saja tindakan akan diterjemahkan dan ditafsirkan dalam banyak segi.

Iraq jatuh dengan mudah ke tangan AS dan sekutu-sekutunya kerana kegagalan Saddam mempertahankan integriti wilayah negaranya.

Iran amat berbeza dengan Iraq tetapi cara yang dilakukan oleh AS terhadap isu ini adalah hampir serupa. AS mempersoalkan tentang pembangunan tenaga nuklear yang dianggap sebagai proses pembinaan senjata. Iraq juga dituduh sebagai pihak memiliki senjata pemusnah besar-besaran (WMD).

Iraq dituduh sebagai diktator yang mengancam Israel dan perlu dijatuhkan. Iran dibesar-besarkan sebagai sebuah rejim fundamentalis yang mahu menghapuskan Israel dari muka bumi. Maka hujah-hujah ini menjurus kepada proses untuk suasana perang dengan Iran.

Semasa menjelang serangan AS ke atas Iraq dahulu, Presiden Mesir, Hosni Mubarak telah mengingatkan Saddam supaya mengambil serius terhadap ancaman AS. Apabila mereka menyerang, Iraq akan mengalami padah yang buruk.

Kali ini, Raja Arab Saudi, Raja Abdullah juga telah mengingatkan Presiden Iran supaya mengambil serius ancaman AS.

Bagaimanapun bagi Iran, kedudukan mereka jauh berbeza daripada apa yang ditanggung oleh Iraq.

Pergolakan politik di AS juga membezakan keadaan. Semasa menjelang serangan ke atas Iraq, AS sedang dalam kedudukan teguh dengan semangat kuat patriotisme rakyatnya ekoran peristiwa 11 September dan kejayaan Washington menjatuhkan rejim Taliban di Afghanistan.

Kali ini, AS tidak berada pada kedudukan menang di Iraq. Sementara Presiden George W. Bush pula sedang berhadapan dengan Kongres yang dikuasai oleh Parti Demokratik. Bukan saja parti ini menentang perang di Iraq, tetapi juga menunjukkan sikapnya yang berbeza dengan menghantar Speaker Kongres, Nancy Pelosi ke Damsyik, Syria.

Selain itu, sekutu AS iaitu Britain juga tidak berada pada kedudukan yang baik. Kalau dahulu ketika berdepan dengan Iraq, Perdana Menteri Tony Blair berupaya meyakinkan rakyat negaranya menyokong dasarnya.

Tetapi kini Britain tidak mampu lagi berbuat demikian lebih-lebih lagi Blair berada di penghujung pemerintahannya dengan Parti Buruh akan menghadapi pilihan raya baru. Episod pembebasan askar Britain oleh Iran juga menunjukkan betapa London mampu berlembut dengan Iran dan tidak bergantung pada kehendak Washington semata-mata.

Pada keseluruhannya kepentingan AS pada waktu ini lebih terjejas berbanding sebelum ia menceroboh dan menduduki Iraq. Kalau sekarang di Iraq terdapat dua pihak yang memusuhi AS.

Pertama di kalangan puak Sunah yang antaranya ada kaitan dengan rangkaian Al- Qaeda telah bertapa di Iraq. Kedua, yang lebih besar ialah pengaruh serta rangkaian kumpulan yang menyokong Iran mempunyai tapak yang lebih kuat di Iraq.

Sedangkan pada zaman Saddam, dasar Baathisnya menghalang sebarang kumpulan ekstremis Sunah dan juga kumpulan pro- Iran untuk bertapak di bumi Iraq.

Ketika mula masuk ke Iraq, panji-panji pencerobohan AS ke negara itu ialah untuk menegakkan negara yang demokratik dengan harapan fahaman ini akan merebak ke seluruh Asia Barat. Andaiannya ialah Iraq yang demokratik akan akhirnya turut menarik Syria, Iran dan akhirnya Arab Saudi untuk menjadi demokratik.

Pihak-pihak di Washington juga membayangkan bahawa rantau Asia Barat yang demokratik akan menjamin keselamatan Israel dan seterusnya menjaga kepentingan bekalan minyak AS di rantau Teluk Parsi.

Tetapi persoalannya ialah mengapa negara-negara yang menjadi sekutu AS tidak pernah diyakinkan untuk menjadi demokratik sekiranya Washington benar-benar memperjuangkan fahaman ini? Iran zaman Shah, Arab Saudi, Jordan dan Mesir adalah negara-negara sekutu AS yang tidak pernah diyakinkan secara sungguh-sungguh supaya mengamalkan sistem demokrasi.

Malah negara Algeria yang cuba untuk menjadi demokratik telah dihalang daripada berbuat demikian oleh AS kerana parti yang menang dalam pilihan raya bebas adalah dari kalangan kumpulan Islam.

Secara demokrasi, negara-negara Arab akan memilih parti Islam. Itu pun telah terbukti di Turki, Lebanon, Palestin dan Iraq.

Mana-mana kerajaan di dunia Arab dan Iran juga, sekiranya dipilih secara demokratik tidak akan menyokong Israel. Hasrat rakyat adalah seperti itu. Rakyat mana-mana negara juga akan mempertahankan integriti wilayah masing-masing dan memelihara hak milik sumber asli nasional.

Negara-negara Asia Barat yang diperintah secara demokratik akan menjaga kepentingan nasionalnya dari segi minyak. Apabila berlaku konflik antara AS dan kepentingan nasional, sudah tentu kerajaan yang dipilih rakyat mengutamakan hak patriotik mereka.

Justeru andaian AS hendak melihat negara-negara demokratik di Asia Barat berbaik dengan Israel adalah impian kosong. Israel hanya boleh dilayan dengan baik jika menjadi jiran yang adil khususnya pada Palestin. Tetapi jika Israel terus berlagak seperti wakil kuasa penjajah AS di Asia Barat, maka pasti ia terus ditentang walaupun negara itu dan keseluruhan Asia Barat mengamalkan demokrasi.

Kunci kepada keamanan dunia terletak pada penyelesaian politik di Palestin. Israel hanya boleh mengubah sikapnya jika AS bersungguh-sungguh memberi tekanan kepadanya. Tetapi AS hanya berbuat demikian jika lobi Yahudi di negara itu sedar tentang hak keadilan rakyat Palestin.

Orang Yahudi di Amerika Utara dan Eropah dianggap sebagai golongan berpengaruh dan intelektual yang mendominasi tamadun dunia hari ini. Sayangnya kedudukan mereka tidak diterjemahkan kepada menyebar keadilan ke seluruh dunia.

Dalam sejarah silam, Parsi pernah mengalahkan kerajaan-kerajaan di bumi Mesopotamia dan Palestin. Walau apa pun politik yang dimainkan oleh kerajaan-kerajaan, akhirnya apa yang menjadi perkiraan ialah kesenangan penduduk di wilayah-wilayah yang diperintahnya.

Read more!

Pahit maung generasi pramerdeka

Oleh: MUHAMMAD ALIAS
Sumber: Utusan Malaysia 7 April 2007


LIMA bulan lagi Malaysia akan menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-50. Kepada generasi yang dilahirkan selepas perang dunia kedua pasti tidak dapat melupakan tarikh keramat 31 Ogos 1957.

Meskipun generasi ini berumur dalam lingkungan 10-12 tahun ketika negara mencapai kemerdekaan, tetapi sebagaimana juga dengan generasi “baby boomers” di Amerika Syarikat (AS) generasi ini mempunyai tempat tersendiri dalam sejarah negara.

Generasi ini ketika dilahirkan mengalami pelbagai kesukaran akibat sisa-sisa perang pasifik. Makanan bayi seperti Lactogen atau Dumex tidak pernah kedengaran. Sebaliknya pisang atau ubi kayu bakar yang dilecekkan merupakan makanan pertama bayi. Kain lampin daripada kain batik atau kain pelekat usang yang diturunkan daripada nenek hingga ke cucu.

Generasi ini juga banyak mengharungi keperitan hidup akibat suasana politik dan keselamatan negara khususnya di Semenanjung Malaysia. Sebagaimana saudara mara mereka yang dilahirkan di zaman Jepun generasi ini sering diundang bahaya.

Ramai ibu bapa yang menyembunyikan diri bersama anak-anak kecil ketika Bintang Tiga (Parti Komunis Malaya) bermaharajalela sebaik sahaja Jepun menyerah kalah. Beribu-ribu rakyat Semenanjung yang dianggap tali barut Jepun khususnya orang-orang Melayu dibunuh dengan kejam termasuk kanak-kanak.

Generasi ini seterusnya mengalami perit maung ekoran daripada perang gerila yang dilancarkan PKM setelah British mengisytiharkan darurat bulan Jun 1948. Makanan dicatu dan hanya boleh dibeli melalui kad catuan. Bahkan di satu ketika sekitar tahun 1952 pihak berkuasa memperkenalkan satu program baru “common kitchen”.

Setiap penduduk sesebuah kampung tidak dibenarkan memasak nasi di rumah sebaliknya mengambil nasi dan lauk yang telah disediakan pihak berkuasa. Meskipun masih terlalu kecil, tetapi kenangan mengenai “nasi kawah” masih segar di ingatan.

Di sekolah murid-murid darjah satu masih menggunakan papan batu. Darjah dua dan tiga menggunakan pensel. Penggunaan pen bermula di darjah empat. Itu pun pen yang menggunakan dakwat. Seringkali botol dakwat biru dan merah tumpah di dalam beg. Akibatnya buku bahkan pakaian sering terdapat tanda-tanda dakwat.

Keadaan negara yang menghadapi konflik bersenjata mempengaruhi kanak-kanak. Ramai yang ingin menjadi askar atau polis bila besar. Mungkin mereka dipengaruhi oleh belia-belia kampung yang cukup ramai memasuki tentera, polis, special constable (SC) dan pasukan kawalan kampung (Home Guard).

Meskipun hidup penuh dengan halangan tetapi semangat untuk hidup, bebas dan maju tidak dapat dibendung oleh sesiapa. Menariknya ramai yang maju di dalam pelajaran dan pekerjaan meskipun orang Melayu merupakan golongan yang kurang bernasib baik.

Sebelum 1971 tidak ada Dasar Ekonomi Baru (DEB). Pelajar-pelajar Melayu terpaksa bertarung dengan pelajar-pelajar bukan Melayu untuk memasuki pusat-pusat pengajian tinggi. Meskipun ramai yang berjaya, tidak kurang pula yang gagal di tengah jalan.

Satu yang menarik perhubungan ras dikira agak akrab. Meskipun anggota-anggota PKM sebahagian besarnya kaum Cina dan mangsa utama PKM orang Melayu. Masa kecil-kecil anak-anak Cina bermain dengan anak Melayu. Agak pelik juga kerana anak Melayu ke sekolah Melayu dan Cina ke sekolah Cina.

Sebahagian besar penduduk kampung saya adalah Melayu. Namun kaum Cina memegang tampuk ekonomi. Semua 20 buah kedai runcit, kedai kopi dan kedai getah di kampung saya dipunyai oleh kaum Cina. Sedangkan kedai dibangunkan di atas tanah Melayu.

Orang-orang Melayu keluar masuk kedai makan Cina. Mereka minum kopi dan makan kuih asalkan tidak makan babi. Orang-orang Melayu juga sukakan kuih Cina seperti kuih bakul. Malahan emak saya sendiri membuat nasi lemak dan pulut udang untuk dijual di kedai kopi Cina.

Kerana hubungan rapat begini, orang-orang Cina boleh dikatakan mengenali anak-anak Melayu dan begitu juga sebaliknya. Seringkali tauke-tauke kedai mengadu kepada ibu bapa sekiranya ada anak-anak Melayu yang nakal dan membuat honar di kedai-kedai.

Bahasa Melayu merupakan bahasa pengantara utama. Paling pelik orang-orang Cina khususnya tauke kedai diberi nama Melayu. Umpamanya Ubi, Botol, Panjang, Pendek dan lain-lain. Nama-nama ini mungkin berdasarkan tubuh badan. Menariknya nama-nama ini juga digunakan oleh orang- orang Cina.

Generasi ini kini rata-rata menjangkau 60 tahun ke atas, bercucu dan bercicit. Malahan ramai juga yang telah meninggal dunia. Ketika pulang ke kampung rasa sunyi kerana ramai kawan-kawan lama yang telah pergi di umur yang dirasa masih muda. Sedangkan “baby boomers” di AS terus aktif meskipun menjangkau 70-an.

Ramai yang meninggal dunia kerana sakit jantung, kanser dan kencing manis. Ia berpunca daripada cara permakanan dan makanan Melayu dari segi kesihatan dikira tidak begitu sihat. Makanan Melayu tidak sah kalau tidak ada santan, gula dan mesti pedas. Lantaran itu wujudlah gulai lemak, sayur lemak, nasi minyak, bubur kacang dan lainlainnya.

Baru-baru ini heboh kempen memboikot iklan makanan segera. Tetapi bagaimana pula dengan makanan Melayu yang penuh dengan minyak, santan,kanji, dan gula. Dalam keadaan memboikot iklan makanan segera dari Barat gerai-gerai tetap laris dengan roti canai, teh tarik, dan nasi lemak.

Sebenarnya memboikot iklan sahaja tidak memberi kesan tanpa mengubah tabiat pemakanan. Bukan tidak boleh makan nasi lemak, roti canai, teh tarik, kentucky fried chicken, hot dog atau burger. Tetapi biarlah berpatutan.

Di tahun-tahun 1950-an, orang-orang Melayu rata-rata miskin. Bertani, penoreh getah, buruh kasar dan sedikit sekali memegang jawatan tinggi kerajaan. Namun, mereka ikhlas dan sanggup berkorban untuk negara. Setiap kampung ada saja anak muda yang mati dalam perjuangan menentang pengganas komunis.

Kini keadaan telah banyak berubah. Kekayaan harta benda boleh dilihat di mana-mana dan di kalangan setiap kaum. Sungguhpun begitu terdapat beberapa ketandusan. Hubungan ras nampaknya semakin renggang. Pemikiran dan pegangan hidup semakin ekstrem. Tanpa disedari wujudnya segrigasi antara kaum.

Perasaan ini amat dirasa ketika membaca buku Dato Sri J.J. Raj (Jr.) The Struggle for Malaysian Independence. Membaca buku ini membawa kenangan silam, pahit dan manis. Khususnya perjuangan menentang PKM dan kempen-kempen menuntut kemerdekaan. Tanpa sokongan setiap kaum sudah pasti negara tidak mencapai kejayaan seperti hari ini.

Secara tidak langsung pembaca akan membuat perbandingan antara zaman yang berlalu dengan yang wujud sekarang.

Ketika negara di ambang 50 tahun kemerdekaan, eloklah generasi muda disedarkan dengan sejarah perjuangan generasi yang telah hampir-hampir pupus. Paling penting setiap kaum jangan membuat tuntutan yang melampau. Tuduhan-tuduhan berasaskan kaum boleh menjahanamkan negara. Apatah lagi di era Internet yang tidak terkawal.

Read more!

Kaedah memerangi jenayah seperti melawan komunis

Oleh: ZIN MAHMUD (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 7 April 2007


BEBERAPA hari lalu ketika pulang dari pejabat, penulis terasa sedih apabila melihat sebuah kawasan kediaman banglo di atas bukit telah pun didirikan pondok pengawal dengan kayu palang menghalang jalan.

Melihat saja pondok pengawal dengan kayu penghalang itu teringat seolah-olah penulis berada dalam kem tentera. Pada waktu yang sama terkenang betapa pada zaman darurat dahulu, pemandangan seperti ini adalah perkara biasa bagi melindungi keselamatan.

Sememangnya tidak lama dahulu, penulis terdengar bahawa sebuah rumah banglo di situ menjadi sasaran pecah rumah dan rompakan di mana penghuninya pasti trauma kerana dikatakan diikat.

Di kawasan perumahan penulis, terdapat tiga kategori kediaman. Satu di kawasan banglo yang kebanyakan penghuninya adalah ahli-ahli perniagaan, politik dan profesional berjaya. Kedua ialah kediaman rumah teres, penghuninya adalah orang biasa termasuk wartawan. Ketiga ialah rumah apartmen yang penghuninya terdiri daripada golongan berpendapatan rendah dan anak-anak muda yang baru bekerja.

Dengan mengadakan kawalan ketat, maka perompak akan sukar untuk pecah rumah banglo-banglo itu. Tetapi mereka tidak akan berdiam diri. Pastinya sasaran gantian adalah rumah-rumah teres pula.

Maka selepas ini tidak mustahil akan kedengaran lebih banyak rumah teres menjadi sasaran pecah rumah. Akhirnya penghuni-penghuni terpaksa berpakat untuk mewujudkan sistem pondok pengawal dan kayu penghalang jalan.

Sekarang pun kita sudah melihat banyak tempat yang mempunyai kawalan keselamatan. Kawasan-kawasan perumahan baru diwujudkan dalam bentuk komuniti berpagar.

Cuba ingat betapa pihak berkuasa British mewujudkan kampung-kampung baru yang berpagar pada zaman darurat.

Maka timbul persoalan, apakah akan jadi pada negara kita?

Mungkin keadaan akan bertambah buruk dan akhirnya Kuala Lumpur boleh menjadi Johannesburg, kota paling tinggi kadar jenayah di dunia di mana rumah-rumah kediaman dipagar dengan duri berelektrik kerana terdapat banyak jenayah pecah rumah dan rompakan.

Orang perempuan pun sudah tidak selamat untuk berjalan sendirian. Beberapa hari lalu dua pelajar wanita di Bangi nyaris dirogol apabila menaiki bas yang menyamar sebagai kenderaan pengangkutan universiti.

Bagaimana hendak mengalahkan penjenayah-penjenayah ini?

Walaupun komunis pada zaman darurat dan penjenayah hari ini tidak boleh disamakan kerana yang satu didorong oleh ideologi politik sementara perompak hanyalah bermotif ekonomi, kaedah melawannya boleh dibuat contoh.

Pada satu peringkat, iaitu sekitar tahun 1950, kerajaan kolonial Malaya seolah-olah berputus harap untuk melawan komunis. Usaha menggunakan ketenteraan masih tidak menampakkan hasil.

Keadaan inilah yang mendorong kerajaan penjajah British untuk berpendapat bahawa kekuatan bersenjata saja tidak boleh mengalahkan pengganas komunis. Mereka juga mesti memenangi hati rakyat supaya tidak membantu komunis, lebih penting lagi tidak menyertai perjuangan mereka.

Maka dua sudut penyelesaian yang dilihat perlu dibuat ialah bentuk politik dan ekonomi. Oleh kerana komunis berjuang atas nama untuk kemerdekaan dan membela rakyat tertindas, maka penjajah British menimbangkan bahawa dengan memberikan kebebasan politik, maka dapat dielakkan negara ini jatuh ke tangan pengganas.

Bagi sudut ekonomi pula, penjajah British melihat bahawa jika penduduk Tanah Melayu mempunyai kedudukan ekonomi yang baik, maka tidak ada sebab bagi mereka untuk menyertai pengganas komunis.

Dalam usaha membanteras jenayah, kaedah penyelesaian berbeza daripada melawan pengganas komunis.

Tetapi persoalan timbul adakah dengan penambahan polis secara besar-besaran akhirnya kita dapat mengalahkan penjenayah-penjenayah itu? Untuk menambah bilangan polis pada angka yang betul-betul sepadan dengan kadar bilangan penduduk negara ini pun sukar untuk dicapai.

Ingatlah ketika melawan pengganas dahulu kerjasama luas antara tentera-tentera Komanwel dikerahkan bagi melawan pengganas.

Seringkali apabila ditanya apakah punca terbesar penambahan kadar jenayah negara? Maka jawapannya adalah kehadiran banyak pendatang tanpa izin dan kewujudan bilangan penagih dadah yang tinggi.

Maka ia berkaitan pula dengan kegagalan kawalan imigresen dan program pencegahan penyalahgunaan dadah. Tetapi terdapat juga faktor lain dalam peningkatan jenayah khususnya yang melibatkan pengangguran dan masalah sosio ekonomi dalam masyarakat.

Atau mungkinkah ada golongan yang terpinggir dalam masyarakat, baik dari segi sosial dan ekonomi hingga mereka tidak mempunyai rasa hormat kepada harta benda manusia lain serta undang-undang negara yang akhirnya membawa mereka terjerumus ke dalam kegiatan jenayah?

Mungkinkah jurang ekonomi antara golongan masyarakat semakin bertambah luas hingga sedikit sebanyak menyumbang kepada peningkatan jenayah di negara ini?

Atau adakah terdapat sesuatu dalam minda penjenayah yang dibentuk oleh suasana masyarakat yang terlalu bersifat materialistik hingga menghakis nilai-nilai murni. Sesuatu yang institusi agama dan sistem pendidikan negara kurang berjaya menanganinya.

Peristiwa di mana penjenayah mencuri harta benda masjid hingga baru-baru ini tergamak merosakkan al-Quran perlu diberi perhatian berat.

Adakah kita berjaya membina masjid-masjid cantik, tersergam dan mempunyai banyak harta perhiasan tetapi gagal menjadikannya institusi masyarakat yang menyemai nilai-nilai murni.

Read more!

Tekanan terhadap IPTA

Oleh: Zin Mahmud (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 5 April 2007


Tindakan mempertikaikan institusi-institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang menyertai Pameran Antarabangsa Geneva mengenai Reka Cipta, Produk dan Perkhidmatan oleh seorang ahli Parlimen, Dr. Wee Ka Siong di Dewan Rakyat Isnin lalu adalah salah satu tekanan yang dihadapi universiti-universiti tempatan.

Dr. Wee mempersoalkan betapa IPTA berbelanja banyak wang untuk menyertai satu pameran yang nilai anugerahnya diragui dari segi akademik.

Keraguan Dr. Wee itu telah dijawab Selasa lalu oleh pihak Universiti Sains Malaysia (USM) yang menyatakan bahawa usaha IPTA telah memberi pendedahan reka cipta negara ini di mata dunia supaya ia boleh dikomersialkan.

Usaha ini juga dilakukan kerana industri tempatan memandang rendah kepada penemuan dan ciptaan IPTA.

Minggu lalu juga timbul isu betapa industri tempatan tidak berminat terhadap penemuan dan ciptaan IPTA walaupun banyak usaha dilakukan dengan mengadakan pameran-pameran dalam negara.

Apa yang ketara ialah IPTA sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah berjaya melakukan banyak ciptaan dan penemuan ekoran daripada kerja-kerja penyelidikan yang dilakukan bersungguh-sungguh melalui sokongan dana kerajaan.

Keadaan ini berlaku kerana fokus IPTA kini ialah penyelidikan sebagai usaha menaikkan kedudukannya dalam dunia akademik.

Ia juga bagi memenuhi tekanan daripada pihak industri yang mempersoalkan bahawa IPTA terlalu bersifat akademik dan tidak memenuhi keperluan mereka.

Selain itu, IPTA juga menerima tekanan daripada pihak industri yang mempertikaikan mutu dan orientasi graduan dikatakan tidak memenuhi kehendak mereka.

Maka debat antara industri-komersial dan pendidikan-akademik timbul dari semasa ke semasa. IPTA dianggap sebagai institusi yang dibiaya oleh kerajaan, dan seterusnya antara pembayar cukai yang besar adalah daripada kalangan industri. Jadi mereka berasa berhak untuk menuntut bahawa IPTA mesti memenuhi keperluan industri.

Bagaimanapun, IPTA di negara ini juga mempunyai tugas politik dalam proses pembinaan negara. Dalam konteks semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB), IPTA perlu menurut hasrat rakyat yang mahukan ia beperanan menghasilkan banyak siswazah bumiputera dalam pelbagai bidang supaya akhirnya nanti sesuatu bidang pekerjaan tidak dikaitkan dengan sesuatu kaum semata-mata.

Maka dalam hal ini, ada dimensi perkauman yang mesti ditangani dengan hati-hati. Umumnya, IPTA dipimpin dan didominasi oleh bumiputera.

Sebaliknya di pihak industri-komersial pula, ia didominasi oleh bukan bumiputera. Di kalangan bukan bumiputera pula rasa tidak puas hati timbul dari semasa ke semasa dalam soal pendidikan tinggi.

Read more!

Jangan tergesa-gesa iktiraf ijazah luar

Oleh: MUHAMMAD ALIAS
Sumber: Utusan Malaysia 4 April 2007


MINGGU lalu ramai pelajar junior sekolah tinggi seluruh Amerika Syarikat (termasuk anak penulis) mendapat jemputan mengikuti seminar di beberapa buah universiti terkemuka di seluruh Amerika Syarikat (AS).

Pelajar-pelajar yang dijemput terdiri daripada mereka yang bercadang memasuki kolej perubatan.

Tujuan utama seminar adalah untuk mendedahkan para pelajar kepada kolej perubatan, kurikulum yang akan dipelajari dan paling penting dugaan-dugaan yang bakal dihadapi.

Badan yang menganjurkan seminar terletak di Washington DC. Sebagai satu badan tidak berasaskan keuntungan, bayaran dikenakan ke atas pelajar yang mengambil bahagian.

Meskipun begitu, usaha-usaha badan ini amat luar biasa sekali. Pelajar-pelajar yang terpilih adalah berdasarkan pencapaian mereka dalam mata pelajaran. Maklumat-maklumat mengenai pelajar-pelajar ini diperoleh dari sekolah-sekolah, keputusan peperiksaan di peringkat negeri dan nasional, pelajar-pelajar yang mendapat sijil penghargaan pelajaran dan sumber-sumber lain.

Jelaslah keupayaan badan ini mengawasi jutaan pelajar sekolah tinggi seluruh AS adalah menakjubkan.

Seminar seumpama ini dikira penting kerana memasuki kolej perubatan adalah amat sukar sekali. Pelajar-pelajar yang dipilih merupakan yang terbaik. Ramai yang memohon tetapi ramai juga yang kecewa. Dianggarkan cuma 30 peratus daripada pemohon diterima memasuki kolej perubatan setiap tahun. Untuk menjadi doktor bukanlah mudah.

Mengikut sistem pelajaran California, setiap pelajar yang ingin memasuki kolej perubatan hendaklah mempunyai ijazah pertama terlebih dahulu. Selepas itu mereka memasuki sekolah perubatan selama lima tahun termasuk housemanship. Jadi sebelum dipanggil doktor setiap pelajar mesti belajar selama sembilan tahun di universiti.

Sungguhpun begitu, sistem ini berlainan antara sebuah negeri dengan negeri yang lain.

Perbelanjaan di kolej perubatan juga dikira tinggi. Bagi rakyat Amerika mereka boleh mendapat biasiswa atau pinjaman.

Namun pelaburan ini menerima pulangan yang cukup lumayan. Doktor merupakan antara kerjaya yang menerima gaji tertinggi di AS. Dalam beberapa tahun sahaja boleh jadi jutawan khususnya doktor pakar.

Tetapi risikonya amat tinggi. Saman menyaman merupakan perkara biasa. Kalau tersilap sedikit pesakit boleh menyaman doktor. Pampasan berjuta-juta. Silap-silap boleh jadi muflis. Lantaran itu mereka terpaksa berhati-hati ketika menjalankan tugas.

Bercakap fasal kolej perubatan diperhatikan sejak beberapa tahun ini Malaysia telah mengiktiraf ijazah perubatan luar termasuk negara-negara bekas komunis Eropah Timur. Terkini ialah Poland.

Sebagai rakyat biasa, penulis tertanya-tanya kenapa Malaysia begitu mudah mengiktiraf kolej-kolej perubatan dari negara-negara dunia ketiga sedangkan mutu kolej-kolej perubatan ini dikira meragukan. Seperti mana yang berlaku di Ukraine. Apakah faktor utama kerana kos pengajian di negara-negara yang dahulunya menjadi tumpuan pelajar Malaysia meningkat begitu tinggi hinggakan penaja (kerajaan dan separuh kerajaan) tidak lagi mampu menghantar pelajar-pelajarnya? Apakah kos merupakan satu-satunya faktor?

Kriteria

Kriteria utama memilih sesebuah universiti di luar negara kerana taraf yang tinggi. Ijazah perubatan diiktiraf oleh negara-negara maju. Pencapaiannya dalam penyelidikan dan paling penting kemampuan ilmu-ilmu yang dipelajari diamalkan di Malaysia.

Kalau tidak lebih baik pelajar-pelajar tajaan ini dihantar ke kolej-kolej perubatan dalam negara termasuk kolej swasta. Adalah lebih mudah mengawasi kolej-kolej perubatan dalam negara dibandingkan dengan di luar khususnya di negara-negara yang taraf ekonomi adalah rendah.

Agak pelik ketika Malaysia menggalakkan pelajar-pelajar asing datang belajar di Malaysia, pelajar-pelajar Malaysia pula belajar di negara-negara yang mutu pelajarannya masih dipertikaikan.

Sepatutnya kos pengajian dan kos hidup yang murah sahaja tidak boleh dijadikan kayu pengukur. Pertengahan tahun 1980-an penulis bertugas di sebuah negara komunis Eropah Timur. Kemudahan perubatan amat buruk hingga kerajaan membenarkan kakitangan kedutaan mendapat rawatan perubatan di Eropah Barat ataupun di Malaysia.

Ramai pelajar asing terutama dari negara-negara Timur Tengah belajar di kolej-kolej perubatan di negara tersebut kerana gagal ke negara-negara lain yang lebih maju.

Menurut ceritanya ramai yang lulus melalui pintu belakang.

Mungkin keadaan telah banyak berubah. Tetapi terdapat negara-negara Eropah Timur yang ekonominya masih belum pulih meskipun setelah 17 tahun bebas daripada pemerintahan komunis. Dikhuatiri kolej-kolej perubatan tidak dapat menyediakan peralatan moden di samping pensyarah-pensyarah yang berkualiti.

Peliknya hingga ke hari ini Malaysia masih belum menghantar para pelajar untuk belajar di kolej-kolej perubatan AS. Alasannya kerana pengajian perubatan di negara itu terlalu lama.

Meskipun begitu, ramai rakyat Malaysia mendapat rawatan perubatan di AS.

Persoalannya adakah Malaysia mementingkan taraf perubatan, tempoh pengajian atau kos semata-mata. Memang kalau kos rendah yang menjadi kriteria eloklah hantar ke negara-negara ketiga yang murah tetapi taraf yang rendah juga.

Read more!

Halang AS daripada serang Iran

Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 1 April 2007


PADA tahun 2004, suasananya serupa, setelah menceroboh Iraq, Amerika Syarikat (AS) kelihatan hendak menyerang Iran. Teluk Parsi di ambang perang. Pada masa itu Hollywood menerbitkan filem Alexander yang mengisahkan keperwiraan Alexander the Great yang di kalangan orang Melayu disebut Iskandar Zulkarnain, walaupun lebih baik dipanggil Iskandar Agung.

Iskandar, seorang Yunani dari Macedonia menawan sebahagian daripada benua Asia dan kejayaan besarnya mengalahkan Raja Parsi dan menumpaskan empayar Parsi. Paparan itu seolah-olah hendak menunjukkan bahawa AS akan mengalahkan Iran. Ini kerana Washington dianggap sebagai pewaris Yunani, sementara Iran hari ini pewaris kepada empayar Parsi.

Kali ini ketika ketegangan berlaku antara AS dengan Iran ekoran isu program nuklear, Hollywood mengeluarkan satu lagi filem menunjukkan peperangan antara pihak Yunani dengan Parsi. Filem 300 memaparkan kisah warga kota Sparta di Yunani mengalahkan tentera Parsi yang lebih besar, pimpinan Raja Xerxes.

Filem ini seolah-olah memaparkan kegagahan Yunani dan kegagalan Parsi. Sekali lagi terdapat paparan bahawa AS adalah pewaris Yunani yang akan mengalahkan Iran, sebagai pewaris empayar Parsi.

Terdapat laporan bahawa ada pihak di Iran membantah filem 300 ini. Tetapi bantahannya ialah kerana filem ini memaparkan Raja Xerxes sebagai homoseks. Sememangnya terdapat kecenderungan di Barat untuk mengaitkan tokoh-tokoh sejarah sebagai homoseks. Walaupun tiada bukti sejarah, melalui fiksyen mereka bebas memaparkan seseorang itu sebagai homoseks. Dalam Alexander, raja Yunani digambarkan sebagai homoseks.

Maka seorang kolumnis di akhbar Financial Times London mengingatkan pihak Iran yang membantah bahawa 300 hanyalah sebuah filem dan tidak perlu diambil berat. Mungkin kebetulan, filem Alexander dan 300 dilancarkan ketika berlaku ketegangan AS dan Iran.

Barat sejak zaman Renaisans sentiasa menyifatkan diri mereka pewaris tamadun Yunani khususnya dari segi idea mengenai demokrasi, falsafah, rasional dan sains. Maka lawan Barat ialah Timur dan apa yang dimaksudkan dengan Timur termasuklah Islam, India dan China. Islam dianggap Barat sebagai mewarisi tamadun Arab dan Parsi. Jadi apabila berlaku pertembungan antara Barat dan Timur, ia bermakna persaingan antara pewaris Yunani di satu pihak dan pewaris Arab-Parsi di pihak lagi satu.

Tetapi hakikat sejarah tidak begitu. Yunani juga merupakan tamadun yang mempunyai banyak sisi, bukan saja demokrasi dan rasional, tetapi juga autoritarian dan penuh mitos. Simbol jelas ialah melalui dua kota iaitu Athen dan Sparta. Kalau Athen mewakili demokrasi, maka Sparta adalah sisi autokrasi.

Walaupun Yunani berperang dengan Parsi tetapi tamadun kedua-duanya saling pengaruh-mempengaruhi dan menyumbang kepada kewujudan tamadun Rom.

Semasa lahirnya Rasulullah s.a.w. di Mekah, yang mana ulang tahunnya adalah semalam, kuasa utama dunia ialah Rom di Barat dan Parsi di Timur. Tamadun Islamlah kemudian mewarisi Rom dan Parsi, yang juga bermakna turut mewarisi Yunani. Daripada kajian-kajian ulama Abasiah, maka pemikiran silam itulah kemudiannya diambil oleh cendekiawan Renaisans, yang muncul sebagai hasil daripada Perang Salib.

Justeru, bukan saja Barat yang menjadi pewaris kepada tamadun Yunani, tetapi juga peradaban Islam sendiri. Maka untuk menggambarkan Yunani lawan Parsi dalam ketegangan antara AS dan Iran jelas tidak tepat. Kalaulah Hollywood ada tujuan itu dalam melancarkan filem Alexander dan Sparta adalah tidak wajar.

Apa yang berlaku di Asia Barat sekarang ialah pertembungan kuasa penjajah, iaitu AS ke atas sebuah negara berdaulat, Iran. Perancis, Jerman dan Rusia juga sebahagian daripada Barat, tetapi mereka tidak menyokong AS dan Britain di Asia Barat. Apabila tentera Britain ditahan oleh Iran, maka Washington dan London berhujah bahawa askar-askar itu berada di wilayah Iraq, bukan Iran. Jadi Iran tidak berhak menahan mereka.

Hak Britain

Tetapi apakah hak Britain berada di Iraq? Sepatutnya Iraq mengusir tentera Britain dari tanah mereka. Oleh kerana Iraq sudah membenarkan penjajah di negara mereka, maka ia terbuka kepada kemasukan tentera Iran.

Iran lebih berhak ke atas Iraq daripada AS. Pada zaman Parsi purba, Iraq adalah sebahagian daripada empayar Iraq. Pada zaman Abasiah, Iran dan Iraq adalah satu. AS dan Britain tidak ada kena-mengena dengan Iraq kecuali sebagai penjajah zaman moden.

AS dan Britain menggerakkan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk menyekat Iran. Puncanya ialah usaha berterusan Iran untuk memperkayakan uranium. Iran berulangkali menyatakan teknologi nuklearnya untuk tenaga dan bukannya senjata. Tetapi pastinya AS dan Britain tidak percaya.

Mengapa pula AS dan Britain boleh memiliki senjata nuklear tetapi tidak Iran? Begitu juga dengan Israel. Tetapi usaha Iran untuk memiliki senjata nuklear bukan saja dibimbangi Israel tetapi juga negara-negara Arab.

Maka Sidang Kemuncak Liga Arab di Riyadh, Arab Saudi Khamis lalu mengeluarkan resolusi supaya rantau Asia Barat harus bebas daripada senjata nuklear. Maka, bukan saja Iran tidak wajar membangunkan senjata nuklear tetapi Israel mesti melupuskan senjata mereka.

Resolusi itu juga menegaskan bahawa mana-mana negara Arab berhak membangunkan tenaga nuklear bagi tujuan keamanan. Hendak dihujahkan bagaimanapun, senjata nuklear tidak boleh diterima dalam Islam.

Tamadun Barat, sama ada demokrasi, komunis atau Zionis semuanya membangunkan senjata nuklear tanpa segan silu. Tetapi senjata nuklear yang membunuh manusia, mereka yang tidak bersenjata, haiwan dan tumbuhan tidak dapat diterima oleh Islam.

Kalau fiqh peperangan Islam melarang mujahidin daripada membunuh tumbuh-tumbuhan, apatah lagi senjata pemusnah besar-besaran (WMD). Seorang ulama rasmi Iran yang datang ke negara ini tahun lalu ketika ditemui oleh penulis dengan tegas menyatakan bahawa Islam melarang WMD.

Pakistan, satu-satunya negara Islam yang memiliki senjata nuklear pun patut melupuskannya. Namun begitu, di Iran memang banyak ulama yang menyokong supaya senjata nuklear dibangunkan dan mereka mempunyai hujah-hujah agama untuk menyokongnya.

Tetapi dalam hal ini cuba difikirkan betapa dengan membangun senjata nuklear serta ikut terheret dengan logik kekerasan AS, negara-negara Islam akan terperangkap dengan kejahatan tamadun Barat.

Kalau hendak difikirkan, adakah nabi-nabi dahulu mengajar pengikutnya membuat senjata yang boleh membunuh banyak orang secara kejam dan menderita hanya kerana hendak mengejar kuasa?

Rasulullah s.a.w., Nabi Isa dan nabi Musa tidak pernah mengajar perkara seumpama itu. Dunia Islam mesti bersih daripada melakukan kejahatan membuat senjata dahsyat. Begitu juga dengan AS yang kononnya mengikut fahaman golongan Kristian Kanan. Tidak masuk akal jika Nabi Isa atau Jesus Christ yang mereka faham mahu memusnahkan manusia sebegitu rupa. Begitu juga Zionis di Israel. Sebagai beragama Yahudi yang dikatakan pengikut Nabi Musa atau Moses, kezaliman seperti itu tidak dapat diterima.

Malah kalau mengikut ajaran ahli-ahli falsafah Yunani, sama ada Socrates, Plato atau Aristotles, mereka mungkin juga menolak kejahatan senjata nuklear itu. Mungkin raja- raja Sparta akan suka kepada senjata seperti nuklear ini.

Pastinya masalah senjata nuklear ini bukan datang daripada kalangan Islam. Ia berpunca dari AS yang mendakwa diri sebagai pejuang demokrasi. Kesengsaraan yang ditanggung oleh penduduk Hiroshima dan Nagasaki akibat bom atom wajar sentiasa diingati oleh manusia. Sehingga ke hari ini AS tidak menganggap perbuatan itu salah, apatah lagi mahu meminta maaf.

Tetapi pengeboman Hiroshima dan Nagasaki mengakibatkan pembunuhan orang tidak berdosa, haiwan dan tumbuhan. Ia tidak jauh bezanya dengan Holocaust. Tetapi apakah pencapaian besar dari tamadun Yunani yang kemudian membawa kepada Renaisans, Enlightenment dan Revolusi Sains akhirnya hanya membawa kepada manusia musnah akibat senjata nuklear?

Umat Islam mesti tidak boleh terperangkap dengan logik keganasan. Ajaran utama para nabi, baik Nabi Musa, Isa dan Muhammad adalah akhlak yang baik termasuklah keadilan serta kemanusiaan sejagat.

Tenaga nuklear

Jadi usaha AS hendak menghalang Iran daripada memiliki tenaga nuklear adalah kerana ia mahu memonopoli milikannya terhadap alat keganasan itu. Jika AS melupuskan senjata nuklear dan memaksa Israel melakukan perkara yang sama, tidak ada sebab bagi Iran untuk membangun alat berbahaya itu.

Untuk apa AS perlu memiliki senjata nuklear dalam soal penguasaannya ke atas Asia Barat? Yang jelas ia mahu memastikan Israel terus bertapak di dunia Arab atas penindasannya ke atas rakyat Palestin. Ia mahu memastikan minyak di Teluk Parsi terus dikuasai.

Walaupun perkara ini jelas tetapi banyak intelektual di AS yang berhujah bahawa apa yang dilakukan oleh kuasa besar itu adalah semata-mata untuk kebebasan dan demokrasi. Maka kedua-dua nilai ini dijadikan hujah bagi mendukung kezaliman Israel ke atas Palestin, pencerobohan ke atas Iraq dan kini tekanan terhadap Iran.

Nilai-nilai kebebasan dan demokrasi menjadi salah satu senjata AS bagi menguasai dunia selepas Perang Dunia Kedua. Ia dijadikan sebab untuk menundukkan musuh dan berjaya dilakukan ke atas Kesatuan Soviet dan sistem politik komunis.

Senjata berbentuk fahaman ini berjaya kerana kebenaran nilai-nilai ini dengan musuh-musuh AS pula tidak memilikinya. Bayangkan jika Soviet dan sekutu-sekutunya dahulu mengamalkan kebebasan dan demokrasi walaupun dalam konteks pelaksanaan komunisme, maka tidak ada sebab AS hendak menjatuhkannya.

Contohnya India, sebuah negara bebas dan demokrasi tetapi menjadi sekutu Soviet. Parti Komunis di India pula memerintah beberapa bahagian negara itu melalui sistem demokrasi. Maka tidak ada sebab bagi AS untuk menguasainya. Tetapi negara-negara Arab tidak mengamalkan kebebasan dan demokrasi. Yang jelas adalah Iraq dan ia menjadi hujah bagi AS untuk menceroboh dan meraih sokongan rakyat negara itu.

Cuba bayangkan kalau Saddam Hussein memerintah Iraq melalui demokrasi seperti Hugo Chavez di Venezuela sekarang. Maka tidak ada sebab bagi AS hendak menceroboh negara itu. Malah tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa dunia Arab dan Islam yang bebas dan demokrat mampu membebaskan Palestin.

Tetapi demokrasi hari ini, ada dua bentuk – baik dan jahat. Kalau negara-negara Scandinavia, ia tidak memberi ancaman kepada negara lain. Demokrasi AS malangnya mendatangkan ancaman kepada dunia Islam.

Read more!