Showing posts with label Sosio-budaya. Show all posts
Showing posts with label Sosio-budaya. Show all posts

Kekalkan semangat Nusantara

Oleh: Zin Mahmud
Sumber: Mingguan Malaysia 13 Januari 2008


KENYATAAN Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin di Dialog Malindo 2008 Selasa lalu tepat mendedahkan bagaimana rumpun Nusantara ini, iaitu Malaysia dan Indonesia terperangkap dengan isu remeh-temeh hingga menyampingkan cabaran sebenar bersama.

Katanya, cabaran dalam hubungan Malaysia-Indonesia bukannya mengenai kedaulatan, pekerja pendatang, isu budaya seperti lagu rasa sayang, tetapi soal sebenar adalah survival kedua-dua negara.

Mungkin ia berasal daripada sifat semula jadi rumpun Melayu ini untuk berperasaan emosional kepada soal-soal titik bengik, seperti perangai warga-warga kampung di seluruh Nusantara hingga ia memerlukan ingatan sedemikian. Betapa ada orang Melayu yang bergaduh di antara saudara hanya kerana perbalahan terhadap sekangkang bidang tanah pusaka.

Ataupun berperasaan sensitif dalam soal layanan dan kata-kata yang tidak disenangi. Perbalahan di kalangan jiran tetangga di kampung-kampung kerana soal-soal menyentuh perasaan semata-mata.

Begitu jugalah hubungan antara Malaysia dan Indonesia yang seolah-olah dua warga kampung, sebangsa dan sebudaya hingga lupa bahawa cabaran yang dihadapi adalah soal kedudukan ekonomi dan politik di rantau Asia. Maknanya ketika Malaysia dan Indonesia berbalah soal emotif, China, India dan Vietnam sedang maju ke depan tanpa lagi menoleh ke belakang.

Inilah yang disebut oleh Khairy bahawa antara tahun-tahun 1970-an hingga 1990-an, Malaysia dan Indonesia adalah antara negara yang paling maju di rantau ini, dan menarik masuk banyak pelaburan asing, tetapi hari ini kedua-dua negara ini terpaksa bersaing dengan China, India dan Vietnam.

Sememangnya China, India dan Vietnam merupakan negara-negara besar yang mempunyai potensi untuk melangkah jauh ke depan. Indonesia juga adalah negara besar. Malaysia pula sememangnya kecil. Tetapi Indonesia akan lebih bersedia untuk bersaing jika bergabung tenaga dengan Malaysia dalam soal ekonomi untuk bersaing dengan China, India dan Vietnam.

Kalau dari segi rumpun bangsa, keadaan China, India dan Vietnam adalah jelas. Tetapi Malaysia dan Indonesia pula adalah sebenarnya satu bangsa dan oleh kerana perjalanan sejarah penjajahan, maka ia muncul sebagai dua buah negara. Dalam keadaan ini semangat Malindo dan Nusantara bermaksud gabungan kerjasama erat dalam bidang ekonomi bagi survival bersama.

Namun begitu, apa yang dikatakan semangat Nusantara bukanlah bersifat perkauman Melayu. Ia bukan saja melibatkan penduduk rumpun Melayu tetapi kesemua kaum yang sudah menjadi warga Malaysia dan Indonesia. Apabila bercakap tentang ekonomi, mestilah ia melibatkan keperkasaan perniagaan warga keturunan Cina, di kedua-dua negara Malaysia dan Indonesia.

Malah gagasan semangat Nusantara ini juga perlu melibatkan negara-negara yang pernah satu masa dicadangkan turut serta dalam penubuhan Malaysia, iaitu Singapura dan Brunei. Maka Nusantara Raya ini pula bersama Vietnam, Thailand dan Filipina menjadi teras kepada kekuatan ekonomi ASEAN. Maka barulah ASEAN dapat dilihat sebagai satu gagasan besar untuk berdepan dengan China dan India dalam persaingan ekonomi global.

Kerjasama

Namun sebelum dapat memunculkan ASEAN, kerjasama ekonomi yang kuat antara Malaysia dan Indonesia menjadi asas dan pemula untuk perubahan bagi mencapai kemampuan untuk bersaing.

Perlu dilihat betapa kesemua negara-negara ini: Malaysia, Indonesia, Vietnam, China dan India menghadapi pergolakan politik bagi mencari jati diri sebaik saja selepas Perang Dunia Kedua. Ketika itu mereka sudah meninggalkan era penjajahan dan mencari tapak untuk menjadi negara bangsa baru dan berjaya.

Malaysia dan Indeonsia hanya berjaya memantapkan jati dirinya selepas tahun 1967 apabila konfrontasi berakhir dan kejatuhan Presiden Sukarno serta pembubaran Parti Komunis Indonesia (PKI).

Walaupun Tanah Melayu merdeka pada 31 Ogos 1957, tetapi jati diri tidak dapat dimantapkan kerana ancaman komunis yang kuat dari Parti Komunis Malaya (PKM) baik dalam hutan mahupun di kota raya Singapura. Ancaman komunis dari Singapura mendorong kepada penubuhan Malaysia.

Sementara gagasan Malaysia yang akhirnya ditubuhkan pada 16 September 1963 menerima ancaman dari Indonesia yang dipengaruhi kuat oleh PKI. Justeru kedudukan Malaysia dan Indonesia bergolak hinggalah kejatuhan PKI dan Sukarno. Hanya selepas konfrontasi barulah kedua-dua negara dapat memantapkan jati diri politik dan ekonomi. Allahyarham Tun Razak Hussein dan Suharto membawa negara masing-masing ke jalan pembangunan hingga menyaksikan kemajuan pesat pada tahun 1970-an dan 1990 -an. Kestabilan Malaysia dan Indonesia inilah menjadi teras kepada penubuhan ASEAN.

Dalam keadaan China mengamalkan sistem komunis dan Indochina bergelumang dengan peperangan, maka tumpuan pelabur tentunya adalah Malaysia dan Indonesia, yang turut digalakkan oleh negara-negara Barat yang mahu melihat dua negara serumpun ini muncul sebagai kubu menentang komunisme.

Ketika itu, China, India dan Vietnam masih tidak menemui jati diri politik dan ekonomi mereka. Selepas Perang Dunia Kedua, China berpecah dua menjadi Republik Rakyat China di Tanah Besar China dan Republik China di pulau Taiwan. Walaupun kedudukan Parti Komunis China (CCP) yang kuat di Beijing, tetapi ia tidak memberi kestabilan di China. Di bawah Mao Zedong, China terlibat dengan peperangan di Korea, India, Kesatuan Soviet dan Vietnam dengan sikap konfrontasi terhadap Taiwan.

Sementara sistem ekonomi komunis Mao pula membawa negara itu kepada kehancuran hingga mencapai kemuncaknya pada Revolusi Kebudayaan. Di peringkat awal dan pertengahan pentadbiran Mao, Beijing menyumbang kepada kekacauan dan ketidakstabilan di Malaysia dan Indonesia melalui sokongannya terhadap PKM dan PKI.

Namun Malaysia di bawah Tun Razak berjaya meredakan ancaman ini melalui usahanya berbaik-baik dengan China. Apa yang dilakukannya diikuti pula oleh Indonesia. Hubungan baik kedua-dua negara ini dengan China menyumbang kepada kestabilan nereka. Pun begitu, China hanya dapat menikmati kestabilan setelah Mao meninggal dunia dan digantikan dengan Deng Xiaping pada akhir 1970-an.

Merobah

Polisi ekonomi Deng merobah keadaan China yang akhirnya kini menjadi ekonomi paling pesat berkembang di dunia. Bukan saja pelabur Barat melihat tarikan China itu tetapi juga dari kalangan peniaga keturunan Cina di Taiwan dan Asia Tenggara termasuk Malaysia dan Indonesia.

Vietnam pula terlibat dalam kancah peperangan sebaik saja selepas Perang Dunia Kedua. Daripada menentang penjajah Perancis hinggalah kepada Amerika Syarikat (AS) pada tahun 1960-an dan 1970-an. Negara Vietnam terbahagi dua dan ketika Perang Dingin sedang hebat berlaku, maka Vietnam menjadi medan kedua selepas Korea. Hanya setelah AS mengundurkan diri pada tahun 1976, barulah ia menyaksikan kestabilan. Tetapi keadaan serba kekurangan terus berlaku kerana Hanoi turut terlibat dalam peperangan di Kemboja.

Setelah masalah Kemboja selesai pada tahun 1980-an, diikuti dengan pembukaan ekonomi China pada zaman Deng, maka barulah Hanoi mengikut jejak Beijing. Pihak pemerintah komunis Vietnam walaupun mempertahanakan ideologi politiknya tetapi mengikut jejak Deng dalam soal ekonomi melalui polisi Doi Moi atau keterbukaan.

Maka setelah memasuki tahun 1990-an, sudah tentu China dan Vietnam dilihat sebagai lebih menarik daripada Malaysia dan Indonesia. Kegawatan ekonomi Asia yang merintis kepada kejatuhan Suharto, dan juga memberi kesan kepada Malaysia melalui pengaruh politiknya menjadikan pelabur meragui kemampuan Malaysia dan Indonesia bagi menyediakan ruang pelaburan yang stabil. Oleh kerana Malaysia sudah menikmati pembangunan terlebih dahulu, maka kos tenaga manusia di China dan Vietnam jauh lebih murah dan menarik bagi pelabur.

Inilah cabaran besar bagi Malaysia dan Indonesia. Ia menjadi lebih ketara dengan kemunculan India sebagai kuasa ekonomi baru apabila dunia memasuki alaf baru. Walaupun India adalah sebuah negara demokratik dan tidak diperintah oleh komunis kecuali di peringkat negeri di Benggala Barat dan Kerala di mana parti-parti komunisnya memegang kuasa melalui pilihan raya tetapi sistem ekonominya yang diasaskan oleh Perdana Menteri Jawaharlal Nehru cenderung pada sifat sosialis.

Dengan India berkali-kali terlibat dengan peperangan dengan Pakistan, dan kemudiannya dengan Bangladesh dan Sri Lanka, maka kestabilan politik yang wajar tidak dapat dinikmati oleh New Delhi.

Hanya setelah kejatuhan sekutu kuatnya iaitu Kesatuan Soviet, ditambah pula kekalahan Parti Kongres di tangan Parti Janata Bharatia (BJP) yang polisi ekonominya bersifat terbuka, maka India menyediakan dirinya untuk stabil dan membangun. Dalam tahun 2000-an, India baru muncul sebagai kuasa menarik pelaburan yang bersaing dengan China tetapi menjadi cabaran besar kepada Malaysia dan Indonesia.

Maka untuk menyaingi kuasa-kuasa ekonomi besar itu, Malaysia dan Indonesia tidak memiliki jalan lain selain daripada kerjasama politik dan ekonomi untuk survival.

Ingatlah ketika kegemilangan Kesultanan Melayu di Melaka, perpaduan Nusantara berada di peringkat yang kukuh. Majapahit dan Melaka bukan saja bertukar-tukar duta tetapi mengukuhkan hubungan rumpun melalui perkahwinan.

Hanya setelah kejatuhan Majapahit dan perbalahan sesama serumpun membolehkan kemasukan kuasa penjajah ke rantau ini. Portugis hanya dapat menawan Melaka, Makassar dan Maluku apabila kerajaan-kerajaan Nusantara tidak bersatu. Kubu A Famosa hanya dapat ditumpaskan apabila Aceh bekerjasama dengan Johor membantu serangan Belanda. Tetapi perseteruan antara Aceh dan Johor membolehkan Belanda menguasai Sumatera, sementara kegagalan mana-mana kerajaan Melayu menolong Kedah untuk berdepan dengan Siam membolehkan British bertapak di Pulau Pinang.

Seperti dahulu, penjajahan akan bermula melalui penguasaan ekonomi.

Read more!

Cosmonaut kepada angkasawan

Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 7 Oktober 2007


KHAMIS lalu dunia menyambut ulang tahun ke-50 penerbangan Sputnik, satelit pertama yang menandakan permulaan penerokaan angkasa lepas oleh manusia. Sputnik berbentuk sfera sebesar bola keranjang dengan empat antena mengelilingi bumi 1,400 kali sebelum terbakar selepas tiga bulan dilancarkan. Dahulu, dalam bahasa Melayu, tidak ada istilah satelit. Maka dinamakan objek ini sebagai bulan rekaan.

Jumaat lalu, masjid-masjid di seluruh Malaysia mengadakan solat hajat mendoakan kejayaan angkasawan pertama Malaysia, Sheikh Muszaphar Shukor yang akan berlepas ke angkasa Rabu ini dari pangkalan angkasa di Baikonur, Kazakhstan.

Angkasawan Malaysia akan menggunakan kapal angkasa, Soyuz TMA-11 yang dipandu Yury Malenchenko (Rusia) dan jurutera penerbangan Amerika Syarikat (AS), Peggy Whitson ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS). Maknanya, setelah 50 tahun mencapai kemerdekaan, Malaysia berjaya mengirim seorang angkasawan ke angkasa lepas walaupun menggunakan kapal angkasa Rusia.

Sementara Rusia pula berjaya mengirim satelit pertama dunia setelah negara itu mengalami revolusi besar dikenali sebagai Revolusi Oktober pada tahun 1917, iaitu 40 tahun kemudian. Revolusi ini membawa kepada penubuhan Kesatuan Republik-republik Sosialis Soviet (USSR) di mana salah sebuah republik di dalamnya ialah Republik Sosialis Soviet Kazakhstan (KSSR), salah sebuah negara umat Islam yang dipaksa berada dalam sistem komunis ekoran kejatuhan Empayar Rusia.

Kazakhstan dalam sejarahnya ditakluk oleh Czar Rusia. Ketika berlaku revolusi, pemimpin-pemimpin komunis negara itu bergegas ke wilayah Islam di Asia Tengah termasuk Kazakhstan untuk mendapatkan sokongan nasionalis. Mereka dijanjikan kemerdekaan jika menyokong komunis menentang Czar sambil menegaskan bahawa komunisme akan membenarkan pemerintahan Islam. Setelah penyokong-penyokong Czar dikalahkan, Kazakhstan dan negara-negara umat Islam diberikan republik masing-masing tetapi tertakluk di bawah telunjuk Moscow.

Sedangkan negeri-negeri Melayu di semenanjung pada tahun 1917 sedang ditekan oleh Britain untuk dikuasainya. Singapura, Melaka dan Pulau Pinang sudah dijajahnya. Sementara Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan sudah terikat dengan penasihat Inggeris dan diletakkan di bawah Negeri-negeri Melayu Bersekutu (FMS). Sultan Abu Bakar yang dikenali sebagai Bapa Johor Moden berusaha membangunkan negaranya untuk menghalang penguasaan Britain. Tetapi pada tahun 1914, dengan tekanan yang kuat, Johor juga terpaksa menerima penasihat Inggeris. Yang terakhir menerima penguasaan Inggeris ialah Terengganu. Sultan Zainal Abidin cuba juga membangunkan Terengganu dengan mengikut jejak usaha Johor hinggakan hampir kekeringan wang. Dalam keadaan ini akhirnya Terengganu menerima penasihat Britain pada tahun 1919. Baginda melepaskan takhtanya kerana tidak sanggup menerima penasihat Inggeris.

Britain dalam kemuncak kekuasaannya di dunia. Revolusi sains dan industri membawanya ke tahap kecemerlangan. Tetapi ia tidak dapat menerajui semua kemajuan. Pesaingnya, Jerman mempunyai keistimewaan tersendiri dari segi teknologi dan kejuruteraan. Sememangnya anak Britain, Isaac Newton dan anak Jerman, Gottlieb Liebniz yang menemui kalkulus. Tetapi Jerman bukan saja tempat lahirnya pencipta mesin cetak, iaitu Johann Guttenberg tetapi di negara itu juga tempat pencipta kereta, Daimler Benz. Bukan itu saja, Jerman merupakan negara pertama yang secara serius membangun teknologi roket melalui penubuhan Persatuan Roket Jerman (VIR) pada tahun 1923 dengan melancarkannya pada tahun 1931.

Tetapi Jerman bukanlah pihak pertama yang melancarkan roket moden. Pencipta pertama ialah Robert Goddard dari AS yang melancarkannya pada tahun 1926. Tetapi dari segi teori roket moden, yang mengasaskannya ialah warga Jerman, Herman Oberth pada tahun 1923. Namun begitu orang yang mula-mula menulis mengenai kemungkinan perjalanan antara planet di angkasa ialah seorang Rusia bernama Konstantin Tsiolkorsky pada tahun 1903. Di atas bumi sejarah mencatatkan, seorang tentera Uthmaniah, Lagari Hasan Celebi pada tahun 1633 menaiki kenderaan berbentuk kon dan dilancarkan ke udara seperti roket selamat mendarat.

Maknanya, imaginasinya bermula di Rusia. Kemudian diteorikan di Jerman. Ia disambut oleh saintis AS. Apabila melihat kejayaan Goddard, saintis Jerman berasa tertekan lalu mempelopori usaha besar-besaran bagi membangunkan teknologi roket. Kerajaan Nazi Jerman percaya dengan prospek teknologi ini dan hampir berjaya. Bagaimanapun, fahaman Nazi yang berbentuk agresif memusnahkan peluang Jerman hendak muncul sebagai kuasa angkasa. Bayangkanlah kalau tidak berlaku Peperangan Dunia Kedua, maka Jerman mungkin muncul sebagai kuasa besar yang mampu menghantar manusia ke angkasa. Tetapi fahaman Nazi meminggirkan saintis khususnya di kalangan kaum Yahudi yang banyak antaranya lari ke AS, termasuk Albert Einstein. Maka AS menjadi pewaris sains Jerman dan daripada merekalah muncul pelbagai ciptaan baru termasuk bom atom.

Tetapi apabila Nazi tumbang dan Jerman terbahagi kepada Jerman Barat dan Jerman Timur, Moscow mengangkut semua teknologi dan industri di wilayah takluknya sebagai rampasan dan pampasan perang. Antaranya ialah teknologi roket. Pemimpin Soviet sedar bahawa hanya dengan kekuatan teknologi mereka dapat mengalahkan AS. Apabila Perang Dingin bermula, Stalin menggerakkan negaranya untuk mencapai kecemerlangan sains dan teknologi. Mana-mana pihak yang dapat membuktikan kecemerlangan teknologi kepada dunia, maka ideologi mereka dianggap unggul. Itulah aspirasi komunisme Soviet. Maka antaranya ialah Sputnik yang menggegar dunia.

Nama Sputnik menjadi terkenal hinggakan ia muncul sebagai jenama kepada perkara-perkara yang dianggap sebagai kemajuan moden. Bukan saja Sputnik, Soviet berjaya menjadi negara pertama menghantar makhluk hidup ke angkasa iaitu anjing Laika. Tetapi kebanggaan besarnya ialah dengan kejayaan Yuri Gagarin sebagai angkasawan pertama dunia dan Valentina Tereshkova sebagai angkasawati, atau angkasawan wanita pertama di dunia. Maka di seluruh dunia, banyaklah ibu bapa termasuk di kalangan orang Melayu yang menamakan anaknya Yuri dan Valentina.

Tetapi kesan besar ialah kepada AS. Mereka terkejut dengan kejayaan Soviet dan mula melihat kedudukan tahap sains dan teknologi. Presiden John F. Kennedy dengan tergesa-gesa melancarkan program peningkatan sains dan teknologi secara besar-besaran yang mana kesannya begitu meluas kepada dunia dan manusia hari ini. Kennedy meletakkan sasaran tahun 1969 sebagai masa di mana AS akan mendaratkan manusia ke bulan.

Pihak Soviet menggunakan istilah cosmonaut yang bermaksud pelayar alam semesta untuk merujuk kepada angkasawan mereka. AS enggan menggunakan istilah cosmonaut, tetapi sebaliknya memilih perkataan astronaut yang bermaksud pelayar bintang. Dari awal lagi bahasa Melayu tidak meminjam istilah caosmonaut atau astronaut tetapi mencipta perkataan sendiri yang enak didengar iaitu angkasawan.

Di Malaysia perkataan Astro diabadikan dalam bentuk jenama perkhidmatan televisyen satelit sementara istilah Kosmo muncul sebagai nama sebuah akhbar terbitan Kumpulan Utusan. Pada tahun 1998, muncul istilah taikonaut untuk merujuk pada angkasawan China. Istilah ini dikatakan dicipta di Malaysia melalui newsgroup Internet.

Setelah 20 tahun Sputnik dilancarkan, Soviet memperkenalkan satu program yang turut mencorak penjelajahan angkasa lepas. Program Intercosmos itu membolehkan negara-negara lain melahirkan angkasawan melalui latihan dan penggunaan kapal angkasa Soviet. Moscow menggunakan program ini bagi menunjukkan kesetiakawanan negara-negara komunis dan sekutu-sekutunya. Justeru, negara-negara sekutunya berpeluang melahirkan angkasawan. Angkasawan bukan Soviet yang pertama menyertai Intercosmos ialah Vladimir Remek dari Czechoslovakia pada 1978. Melalui program ini, Vietnam muncul sebagai negara Asia pertama mempunyai angkasawan iaitu pada 1980.

Ekoran daripada itu, kerjasama antara negara untuk penerokaan angkasa bertambah luas. AS juga turut menghantar angkasawan negara-negara sekutunya. Maka Sultan Salman Saud menjadi angkasawan Islam pertama apabila ia berlepas dengan kapal angkasa AS pada tahun 1985. Pihak Soviet juga tidak mahu ketinggalan untuk menghantar angkasawan Islam. Muhamad Faris dari Syria dihantar ke angkasa pada tahun 1987 diikuti dengan Abdul Ahad Mohamand dari Afghanistan pada tahun 1988. Ketika itu Afghanistan berada di bawah pemerintahan komunis dan usaha Soviet ini adalah untuk membuktikan bahawa Moscow berusaha memajukan negara Islam itu. Kini Mohamad menjadi pelarian di Jerman dan bekerja dalam perkhidmatan percetakan.

Bukan saja Soviet menggunakan penerbangan angkasa ini untuk tujuan politik. AS juga melakukan demikian. Apabila angkasawan wanita Islam, Anousheh Ansari ke angkasa pada tahun 2006, hasratnya untuk mengibarkan bendera Iran telah dilarang. Ansari, berbangsa dan berasal dari Iran tetapi berwarganegarakan AS bercadang menggunakan dua bendera iaitu Iran dan AS dalam penerbangannya sebagai tanda penghargaannya kepada dua negara yang menyumbang kepada hidupnya. Beliau tidak mempunyai sebarang mesej politik, lebih-lebih lagi penerbangannya itu adalah atas biaya sendiri. Hanya tujuannya adalah untuk menunjukkan kemampuan seseorang mencapai tahap kecemerlangan dalam sains dan perniagaan. Lagipun beliau tidaklah mahu menggunakan bendera Iran sekarang. Sebaliknya Ansari menggunakan bendera Iran zaman Shah Iran dahulu.

Tetapi bagi kalangan Washington, Ansari sebagai angkasawan berasal dari Iran menunjukkan kelebihan sistem AS berbanding Republik Islam. Kalau di Iran, mungkin Ansari tidak akan dapat memajukan diri, sebaliknya di AS, beliau bukan saja menjadi wanita yang berharta tetapi mampu memajukan diri dari segi sains, teknologi dan budaya.

Kini Iran musuh ketat AS sementara Rusia bukan lagi pesaingnya. Tahun ini ialah ulang tahun ke-90 Revolusi Oktober Rusia dan ternyata komunisme gagal bertahan lama Soviet sudah tidak ada lagi dan Kazakhstan muncul negara merdeka. Dengan kejatuhan Soviet, maka didapati pangkalan angkasa negara itu yang dibina di Baikonur berada dalam kedaulatan Kazakhstan. Angkasawan pertama Kazakhstan yang pertama ialah Talgat Amangeldyuly Mugabayev yang pergi pada 1994, 1998 dan 2001. Kini beliau adalah Pengarah Agensi Aeroangkasa Kazakhstan.

Di depan pangkalan angkasa Baikonur itu hari ini berkibar empat bendera: Kazakhstan, Rusia, AS dan Malaysia. Ia merupakan simbol kerjasama dan keamanan untuk manusia sejagat.

Read more!

Lima puluh berbanding 446 tahun

Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 26 Ogos 2007


PADA tahun-tahun sebelum Perang Dunia Kedua, segelintir guru Melayu yang sedar tentang kebangsaan, kemerdekaan dan nasionalisme akan memakai kemeja merah bertali leher ke sekolah setiap 11 Ogos.

Guru-guru lepasan Maktab Perguruan Sultan Idris (SITC) Tanjung Malim ini memperingati 11 Ogos 1511 dengan perasaan berkabung iaitu dilambangkan dengan kemeja hitam dan semangat memerdekakan tanah air, disimbolkan oleh tali leher merah.

11 Ogos 1511 adalah tarikh Melaka jatuh ke tangan Portugis. Pertempuran antara tentera Portugis dengan hulubalang Melayu bermula lebih awal. Tetapi pada tarikh itu dipercayai Melaka kalah pada Portugis dan kota itu dijajah sehinggalah kemerdekaan dicapai pada 31 Ogos 1957, iaitu 446 tahun kemudian.

Portugis tidak menawan keseluruhan Semenanjung Tanah Melayu. Ia hanya menawan beberapa kota pelabuhan di alam Melayu seperti Makasar, Maluku di samping Melaka.

Walaupun Melaka terlepas ke tangan penjajah Portugis, kerajaan kesultanan Melayu tidak tumbang. Ia hanya berpindah dari Melaka ke Kota Tinggi dan terus memerintah wilayah di Semenanjung Tanah Melayu dan Sumatera. Malah ketika negara merdeka pada 1957, sultan-sultan Melayu masih berdaulat, terus-menerus sejak zaman kegemilangan Melaka. Sebab itulah Datuk Onn Jaafar mencabar hak Britain melucutkan kedaulatan raja-raja Melayu kerana kedudukan negeri-negeri Melayu bersifat naungan, bukannya tanah jajahan ketika mereka memperkenalkan gagasan Malayan Union.

Pun begitu, ahli sejarah tetap mengira zaman penjajahan di alam Melayu bermula pada tahun 1511. Sebelum itu walaupun kerajaan-kerajaan Melayu bersilih ganti, daripada Sri Wijaya dan Melaka, dan peperangan penaklukan terus berlaku antara negeri-negeri Melayu, Siam dan Jawa, tetapi ia merupakan pergolakan politik dalam rantau ini, iaitu sesama penduduk Nusantara. Anak- anak negeri bebas berdagang dan bergerak di seluruh perairan Nusantara. Mereka berasa yakin berpolitik dan berekonomi di bumi sendiri walaupun kerajaan bertukar ganti.

Tetapi pendudukan Portugis ke atas Melaka mengubah segalanya. Ini kerana kekuatan teknologi meriam memberi kemampuan untuk mereka menguasai laluan laut dan dagang di seluruh Nusantara. Maknanya walaupun mereka hanya menduduki Melaka dan beberapa kota pelabuhan di Nusantara tetapi kedaulatan perdagangan dikawal mereka. Sejak itu, keupayaan orang Melayu dalam dunia perdagangan semakin terjejas dan akhirnya terhapus, hingga ke hari ini. Bukan itu saja, orang Melayu hilang keyakinan diri untuk berdiri tegak sebagai bangsa yang setaraf dengan orang lain. Mereka hilang jiwa merdeka tetapi sebaliknya berpuas hati menjadi anak jajahan.

Dapat dibayangkan betapa jika Melaka tidak tumbang ke tangan Portugis. Apabila dunia memasuki era moden, Nusantara yang beribu negarakan Melaka akan muncul sebagai negara besar meliputi keseluruhan alam Melayu. Lihatlah seperti Jepun, China dan Thailand. Mereka berjaya mengelak daripada dijajah. Jepun bertindak cepat-cepat memodenkan negaranya pada zaman Maharaja Meiji. Thailand mengelak daripada dijajah pemodenan oleh Raja Mongkut. Sementara China mengalami revolusi kebangsaan pimpinan Sun Yat-sen yang dapat menghalang penaklukan China oleh kuasa-kuasa penjajah.

Tetapi kerajaan-kerajaan Melayu tidak duduk diam. Kerajaan Melayu yang berpindah ke Johor berpakat dengan lain-lain kerajaan seperti Aceh, walaupun kedua-duanya pernah berperang sama sendiri. Beberapa serangan dibuat ke atas kota A Famosa tetapi gagal. Mereka juga berpakat dengan Belanda untuk menjatuhkan Portugis di Melaka. Akhirnya Portugis dapat dikalahkan.

Bagaimanapun, Melaka berpindah tangan ke penjajah baru iaitu Belanda. Andai kata ia berjaya ditawan kembali oleh kerajaan Melayu, maka itulah saat yang wajar diraikan kemerdekaan. Tetapi itu tidak berlaku.

Portugis semakin lemah dan akhirnya yang tinggal di Nusantara ialah penjajahan di Timor Timur. Sekarang negara Timor Leste yang merdeka menjadi pewaris kepada penjajahan Portugis di Nusantara.

Belanda menjadi penjajah yang lebih buruk daripada Portugis. Ia bukan saja menguasai perdagangan di seluruh alam Melayu tetapi secara sistematik menakluki wilayah-wilayah di Sumatera dan Jawa.

Setelah bersusah payah menawan Melaka dengan kerjasama kerajaan Melayu, Belanda tidak pula mahu menjadikan kota itu sebagai pusat pentadbiran utamanya di rantau ini. Ia menjadikan Betawi kini dikenali Jakarta sebagai ibu kota tanah-tanah jajahannya di Nusantara. Melaka terus merosot kerana perpindahan aktiviti dagang ke Betawi itu.

Andai kata Belanda memulihkan Melaka sebagai ibu kota Hindia Timur Belanda, sejarah mungkin berbeza. Malah Belanda akan menguasai keseluruhan Nusantara dan apabila zaman kemerdekaan tiba, muncul sebuah negara besar di rantau ini dengan Melaka menjadi ibu kota, bukannya Kuala Lumpur, Jakarta apatah lagi Singapura.

Kemunculan Britain di alam Melayu membawa senario baru. Pada mulanya ia hendak menjadikan Pulau Pinang atau Bangkahulu di Sumatera sebagai kota pelabuhan utamanya, tetapi berpindah ke Singapura. Pada masa itu Melaka masih berada di tangan Belanda. Andai kata Britain memperoleh Melaka sebelum menemui Singapura, mungkin kota itu dapat dibangunkan untuk menjadi kota utama tanah-tanah jajahan Britain di rantau ini. Kalau itu yang berlaku, Melaka sekali lagi menjadi kota utama.

Tetapi apabila Britain memperoleh Melaka sebagai tukaran dengan Bangkahulu melalui Perjanjian London dengan Belanda, ia sudah memiliki Singapura dan tidak berminat membangunkan Melaka.

Apabila Singapura menjadi pelabuhan utama di Asia Tenggara, penguasaan dagang di Asia Tenggara dibahagi antara Britain dan Belanda. Bagaimanapun, akhirnya ternyata Belanda juga ketinggalan dengan kemajuan yang diperoleh oleh Britain sebagai kuasa besar. Singapura ternyata mampu mengalahkan Betawi dengan penguasaan terhadap India dan Hong Kong, Britain ternyata muncul sebagai penguasa laluan utama seluruh dunia. Kapal-kapalnya dari Southampton di England dapat belayar hingga ke Sydney, Australia di Selatan dan Hong Kong serta Shanghai di Timur. Penguasaan Britain semasa Ratu Victoria adalah sempurna. Kekuatan orang Melayu di lautan tanah air sendiri telah sepenuhnya musnah di tangan Belanda dan Britain.

Keseluruhan Sumatera, Jawa, Kalimantan, Sulawesi dan Maluku menjadi sebahagian daripada Hindia Timur Belanda. Sementara Britain menguasai Pulau Pinang, Dinding, Melaka, Singapura dan Labuan. Tetapi sedikit demi sedikit Britain memasuki pengaruhnya ke negeri-negeri Melayu di Semenanjung Tanah Melayu. Orang Melayu semakin hilang keyakinan dan berasa menjadi hamba kepada penjajah. Bermula dengan Perjanjian Pangkor, akhirnya pentadbiran penjajah Britain dapat menguasai empat negeri Melayu melalui sistem penasihat atau residen. Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan disatukan dengan nama Negeri-negeri Melayu Bersekutu (FMS) dengan Kuala Lumpur sebagai ibu kota.

Tetapi kekuasaan sebenar Britain tetap di Singapura. Kuala Lumpur hanya menjadi kota pentadbiran FMS. Penjajahan Britain di negeri-negeri Melayu dibuat secara halus. Penguasaan Melayu dalam perdagangan laut sudah lama merosot dan penjajah Britain menamatkannya secara muktamad dengan memindahkan daerah-daerah pembangunan dari pesisiran pantai dan laluan sungai kepada tengah daratan. Bukan saja Melaka diabaikan tetapi juga kota-kota Melayu lain di pesisiran dipinggirkan. Baik Kuala Selangor di Selangor, Kuala Kangsar di Perak, Kuala Sepetang di Negeri Sembilan dan Temerloh di Pahang. Mereka digantikan dengan kota-kota baru bagi penjajah iaitu Ipoh, Kuala Lumpur, Seremban dan Kuala Lipis.

Kota-kota baru penjajah ini pula disambung dengan laluan kereta api di tengah-tengah hutan untuk membawa barangan bagi menyambung Butterworth hinggalah ke Singapura melalui Ipoh, Kuala Lumpur dan Seremban. Kuala Lipis turut disambung dengan rel kereta api. Niat sebenar Britain untuk kekal lama di Semenanjung Tanah Melayu jelas apabila ia juga membawa masuk Johor, Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis ke dalam Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu (UMFS).

Maka ketiga-tiga entiti iaitu Negeri-negeri Selat (SS), FMS dan UFMS diletakkan di bawah pentadbiran yang berpusat di Singapura dan selanjutnya dirangkaikan kepada wilayah British Raj di India yang berpusat di Calcutta. Rancangan besarnya ialah untuk mencantumkan India, Asia Tenggara dan China dalam satu empayar global Britain. Tetapi cita-cita Britain ini dihalang oleh Jepun dalam Perang Dunia Kedua.

Maka tidak hairanlah selepas Jepun menyerah kalah, Britain menubuhkan Malayan Union yang menyatukan kesemua SS kecuali Singapura dengan FMS dan UFMS. Malayan Union mahu dijadikan entiti tanah jajahan baru beribu kotakan Kuala Lumpur. Singapura diasingkan untuk terus menjadi pangkalan Britain bagi Asia Tenggara.

Tetapi keadaan sudah berubah. Sebahagian orang Melayu menemui keyakinan diri untuk merdeka. Melihat bagaimana Jepun mengalahkan Britain dan kegagalan Britain menjadi penaung yang dipercayai, maka orang Melayu lebih berani berdikari. Lagipun dunia sudah berubah, Indonesia mengisytiharkan kemerdekaan pada 1945, India merdeka pada tahun 1947 dan China membersihkan buminya daripada penjajah kecuali Hong Kong dan Macau.

Impian Britain untuk membina super-empayar meliputi India, Asia Tenggara dan China sudah berlalu. Sebaliknya Beijing yang sudah menjadi komunis berpakat dengan Moscow untuk mewujudkan empayar merah yang baru meliputi Tanah Melayu. Parti Komunis Malaya (PKM) melancarkan pemberontakannya untuk menubuhkan Republik Komunis Malaya yang bersekutu dengan empayar Moscow-Beijing.

Dalam keadaan begini, Britain lebih memerlukan kawan daripada musuh di kalangan anak-anak jajahannya. Maka Malayan Union dibubarkan dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu. Tetapi sekadar kedaulatan raja-raja Melayu di bawah naungan Britain tidak mencukupi. Orang Melayu mahu merdeka dari segi politik dan ekonomi, maka akhirnya tuntutan kemerdekaan ini dipenuhi pada 31 Ogos 1957.

Penjajahan yang bermula pada 1511 berakhir 446 tahun kemudian, iaitu tahun 1957. Pada tarikh itu Melaka bebas daripada penjajahan Portugis, Belanda dan Britain. Kota Melaka menjadi salah sebuah negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka.

Sepanjang tahun 1960-an, Persekutuan Tanah Melayu memantapkan identiti untuk muncul sebagai Malaysia yang berdaya maju. Akhirnya Malaysia berjaya ditubuhkan pada 16 September 1963 dalam bentuk Persekutuan Tanah Melayu yang diperluaskan. Tetapi identiti Malaysia hanya benar-benar jelas selepas Singapura dikeluarkan daripada gagasan itu pada 9 Ogos 1965.

Pada 31 Ogos 2007, Malaysia meraikan hari ulang tahun kemerdekaannya ke-50. Keyakinan sebagai negara merdeka dalam tempoh 50 tahun masih muda berbanding 446 tahun dijajah. Kemerdekaan bukan saja dalam bentuk kebebasan politik dan kemakmuran ekonomi, bagaimanapun kepercayaan kepada diri sendiri untuk bebas berdikari menentukan hala tuju sendiri.

Penjajah Portugis, Belanda dan Britain sudah keseluruhannya dikeluarkan dari rantau ini. Singapura, Brunei dan Timor Leste sudah merdeka. Tetapi usaha untuk mengembalikan keperkasaan ekonomi yang dinikmati oleh negeri-negeri Melayu sebelum kedatangan Portugis belum dapat dipulihkan. Lebih-lebih lagi dunia menjadi lebih mengecil pada zaman globalisasi. Hegemoni Portugis-Belanda-Britain sudah lama digantikan dengan dominasi AS.

Kini Portugal, Belanda dan Britain adalah anggota Kesatuan Eropah (EU) yang menjadi sekutu kuat AS. Begitu juga dengan Australia yang berasa perlu memainkan peranan penting di Asia Tenggara. Bagi mereka setiap negara di Asia Tenggara mempunyai nilai strategik, hatta Brunei dan Timor Leste yang kecil. Apatah lagi Singapura yang strategik. Indonesia pula dilihat begitu besar pada kaca mata Australia dan AS.

Sementara kepentingan Malaysia terletak di antara kedudukan Singapura dan Indonesia pada kaca mata kuasa Barat. Perjuangan bagi mempertahankan kemerdekaan dalam erti kata yang luas masih berterusan.

Read more!

Hargai faedah jadi kakitangan awam

Oleh: MUHAMMAD ALIAS
Sumber: Utusan Malaysia 11 Ogos 2007

KEBELAKANGAN ini perkhidmatan awam Malaysia tidak habis-habis dikritik. Kadang kala cukup pedas. Penulis simpati dengan kawan-kawan yang bekerja keras tetapi tidak dapat melarikan diri dari menerima kritikan.

Kalau dihalusi kritikan-kritikan tersebut jelaslah perkhidmatan awam Malaysia seolah-olah tidak guna satu sen. Malahan ada golongan yang menuduh petugas awam mengamalkan rasuah dan tidak cerdik dibandingkan dengan tetangga kita di seberang Tambak Johor.

Perkhidmatan awam di negara tersebut dikatakan cukup efisien kerana pengambilan kakitangan berdasarkan meritokrasi. Sementara petugas awam Malaysia terdiri dari kaum bumiputera yang lama menganggur dan mempunyai kelulusan akademik yang lemah.

Sayangnya sistem meritokrasi yang dicanang-canang itu juga masih boleh dipersoalkan. Ia buatan manusia dengan tujuan dan niat tertentu. Lantaran itu beberapa aspek melibatkan emosi dan berpihak kepada kumpulan-kumpulan tertentu tidak dapat dielakkan.

Bagaimanapun, adalah mudah mentadbir negara yang penduduknya kecil dan majoritinya terdiri daripada sesuatu kaum. Begitu juga dengan negara yang mengamalkan dasar kuku besi. Rakyat tidak berani bersungut meskipun ada antara undang-undang terlalu kejam.

Meskipun begitu, ini tidak bermakna tidak ada kelemahan di dalam sektor awam Malaysia. Kelemahan-kelemahan ini adalah berpunca dari faktor manusia. Perkhidmatan awam pasti akan lebih efisien sekiranya segala undang-undang dan peraturan ini dipatuhi.

Mungkin juga ada antara kerja dibuat semata-mata ‘asal siap’ sebagaimana yang pernah dikritik oleh seorang hakim baru-baru ini.

Satu contoh yang ingin ketengahkan ialah perangkaan rakyat yang melepaskan kerakyatan Malaysia. Mengikut kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri lebih 90,000 orang Melayu telah melepaskan kerakyatan Malaysia sejak 1996 hingga April 2007 dibandingkan dengan kira-kira 25,000 keturunan Cina dan lebih kurang 1,500 keturunan India.

Berdasarkan pengalaman, penulis awal-awal lagi merasai ada yang tidak kena dengan maklumat tersebut. Ini adalah kerana peratusan orang Melayu yang tinggal di luar negara termasuk Amerika Syarikat, Australia dan Singapura adalah terlalu kecil dibandingkan dengan kaum-kaum lain khususnya Cina.

Di Amerika Syarikat sahaja dianggarkan rakyat Malaysia antara 60,000 hingga 80,000. Dan peratusan orang Melayu paling ramai sepuluh peratus.

Jadi bagaimanalah agaknya 90,000 Melayu melepaskan kerakyatan dalam masa 10 tahun sedangkan jumlah Melayu di luar negara tidak pun sampai 90,000.

Maklumat ini kemudian diakui silap oleh Datuk Seri Sheikh Radzi Ahmad, Menteri Dalam Negeri. Kesilapan ini dianggap sesuatu yang serius. Implikasinya, rakyat mungkin merasai sukar mempercayai setiap maklumat yang dikeluarkan di masa-masa akan datang.

Isu ini penulis ketengahkan ialah kerana ia melibatkan emosi hinggakan ada pihak-pihak yang mengeluarkan kata-kata kesat terhadap orang-orang Melayu yang ‘melepaskan’ kerakyatan mereka.

Di samping itu perlu juga difahami tidak semua yang tinggal di luar negara melepaskan kerakyatan Malaysia. Mereka tinggal di luar negara melalui berbagai cara yang sah dengan berbagai sebab. Tidak juga dinafikan ada pula yang tinggal secara haram.

Bagaimana pula agaknya kalau ada rakyat Malaysia yang memperoleh kerakyatan asing, tetapi tidak melepaskan kerakyatan Malaysia.

Namun begitu, ada penjawat awam yang benar-benar dedikasi dan bertugas mengikut undang-undang dan peraturan. Tetapi tindakan mereka diganggu oleh sesetengah pihak yang berkepentingan. Hingga ada yang diancam, dibunuh dan berbagai lagi semata-mata kerana mahu menjalankan tugas dengan betul.

Dalam hubungan ini sudah tibalah masanya undang-undang yang lebih ketat untuk melindungi nyawa petugas awam dilaksanakan. Ini termasuklah menggunakan senjata api. Kadar jenayah yang tinggi dewasa ini tidak memungkinkan petugas awam menjalankan tugas bahaya dengan tangan kosong.

Kritikan-kritikan tidak seharusnya mematikan semangat petugas awam. Yang penting ialah mempertingkatkan profesionalisme supaya sama taraf dengan negara tetangga di selatan Tambak Johor kalaulah sesuai dijadikan bandingan.

Di samping itu, janganlah pula membuat tuntutan-tuntutan yang keterlaluan. Ada antara tuntutan-tuntutan tersebut hanya menunjukkan kelemahan perkhidmatan awam yang sebahagian besarnya kaum Melayu.

Setelah merantau di beberapa buah negara ternyata skim perkhidmatan awam Malaysia masih antara yang terbaik. Pernah berkhidmat di negara yang pegawai awamnya memakai baju koyak dan selipar. Malahan ada juga yang hari kelepasan am cuma lapan hari setahun.

Read more!

Sekular berasas Islam kukuh

Oleh: Zin Mahmud
Sumber: Mingguan Malaysia 29 Julai 2007


KEMENANGAN besar Perdana Menteri Turki. Reccep Tayyip Erdogan dalam pilihan raya umum Ahad lalu disambut dengan ikrarnya untuk mempertahankan sistem sekular. Jadi siapakah yang menang dalam pilihan raya itu? Islam atau sekularisme?

Ini kerana penentang-penentang Erdogan ialah golongan sekular yang berjaya menghalang calon Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) daripada jawatan presiden April lalu. Kegagalan rakan karib Erdogan, iaitu Menteri Luar Abdullah Gul mendorong Perdana Menteri membubarkan Parlimen.

Kemenangan 47 peratus AKP mengalahkan golongan sekular terdiri daripada Parti Rakyat Republikan (CHP) dan Parti Gerakan Nasionalis (MHP) disambut gembira oleh golongan gerakan Islam seluruh dunia.

Sementara pihak Barat yang berulang kali mengingatkan dunia bahawa AKP adalah parti berasas Islam memperlihatkan kekecewaan mereka. Lebih-lebih lagi mereka mengharap dan menjangkakan Erdogan, AKP dan golongan Islam akan kecundang memandangkan demonstrasi besar-besaran oleh penyokong sekularisme yang disokong CHP, MHP dan pihak tentera pada April dan Mei sempena tindakan menghalang Gul daripada menjadi presiden.

Mereka mempunyai persepsi bahawa sekularisme sedang mengukuh di dunia Islam di mana golongan Islam sedang melemah, dengan tanda-tanda turut dilihat di Lebanon apabila penyokong bekas Perdana Menteri Rafik Hariri berdemonstrasi menentang Syria dan golongan pro-Syria. Hariri dianggap sekular sementara Syria, golongan pro-Syria yang di dalamnya disertai Hizbullah dipandang sebagai Islamis.

Seterusnya pihak penganalisis Barat melihat betapa politik keganasan berbentuk bunuh diri yang dikaitkan dengan kumpulan Islam mendorong umat Islam menolak fundamentalisme dan menerima sekularisme.

Pandangan ini berlaku kerana penganalisis Barat melihat umat Islam dan juga gerakan Islam sebagai monolitik dan statik. Sedangkan hakikatnya, umat Islam seperti penganut agama lain mempunyai kepelbagain dan dinamik. Justeru mereka melihat Erdogan dan aktivis AKP sebagai gerakan Islam yang berbentuk tahun-tahun 80-an dan 90-an.

Hakikat bahawa AKP mewarisi aktivis dari parti-parti Islam sebelum ini seperti Parti Fazilat, yang menggantikan Parti Kebajikan dan sebelumnya pula adalah Parti Milli Salamat ditekankan dan menganggap cakap- cakap sekular oleh Erdogan hanyalah taktikal dan bukannya idekologikal.

Maka persoalannya adakah Erdogan serta AKP parti sekular atau Islam? Sejak awal penubuhan AKP, Erdogan berikrar mendukung sekularisme dan berazam melaksanakan reformasi demokrasi dan ekonomi serta berusaha membawa Turki ke dalam Kesatuan Eropah (EU). Tetapi kalau Erdogan sekular mengapakah pihak tentera, CHP dan MHP beria-ia menentang AKP? Mereka terus menuduh Erdogan sebagai Islamis tetapi majoriti rakyat sebaliknya memilih Erdogan. Mengapa rakyat Turki memilih AKP? Adakah kerana AKP itu Islamis?

Kepercayaan

Maka tidak dapat dielakkan untuk membaca kemenangan Erdogan sebagai kepercayaan rakyat terhadap AKP. Mereka memilih Erdogan kerana beliau mewakili kedua-dua sisi ciri-ciri Turki iaitu sekularisme dan Islam. Erdogan memilikinya tetapi di atas soal fahaman, mereka melihat kerajaan Erdogan sejak bermula dengan mentadbir bandar raya Istanbul merupakan golongan yang efisien dan efektif. Maka tidak menghairankan bahawa pendukung sekularisme yang kental turut memberi undi kepada AKP.

Tetapi dilihat keseluruhannya, keempat- empat elemen politik di Turki adalah sekular, bukan saja tentera, CHP dan MHP tetapi juga AKP. Apabila Erdogan mengisytiharkan diri dan partinya sekular, beliau bukan berpura-pura atau bertindak sebagai taktik politik membolehkan mereka bertanding. AKP memang sekular. Pada waktu yang sama, AKP sememangnya pro-Islam. Cara hidup aktivisnya adalah seperti orang Islam biasa.

Maknanya fahaman sekularisme juga mempunyai banyak aliran. Kalau di pihak tentera, fahamannya adalah berpegang teguh kepada apa yang diperjuangkan oleh pengasas Republik Turki iaitu Kemal Attaturk. Sekularisme tentera bersifat antiagama, ultranasionalis dan tidak demokratik. Sementara CHP bersifat sosialis dan MHP adalah liberal demokrat.

Sedangkan sekularisme AKP adalah bersandarkan kepada demokrasi, liberal dan Islam. Bagi Erdogan tidak ada percanggahannya antara sekularisme, liberalisme dan demokrasi dengan Islam. Justeru, apa yang dialami oleh AKP adalah keadaan pascafundamentalis iaitu landasan Islam yang menerima perspektif sekularisme, iaitu pemisahan antara agama dengan urusan profesionalisme politik, dan juga menerima ciri-ciri liberalisme dan demokrasi. Sudah tentu nilai Islam yang murni tidak akan menjadi penghalang kepada sebarang cita-cita baik dalam fahaman-fahaman itu.

Sebaliknya sekularisme tradisi Attaturk yang ultranasionalis dan antiagama bukan saja bercanggah dengan Islam tetapi juga semangat liberalisme dan demokrasi. Inilah dinamik perubahan yang dialami oleh gerakan Islam sedunia. Justeru Erdogan dan AKP tetap diterima sebagai sebahagian daripada gerakan Islam walaupun ia mempertahankan sekularisme.

Justeru kemenangan AKP bukan saja mengukuhkan Islam tetapi sekularisme dalam bentuk yang boleh diterima oleh Islam.

Dengan penyertaan lebih 80 peratus daripada pengundi, kemenangan AKP itu adalah jelas dan merupakan undi terbesar pernah diraih oleh mana-mana parti politik sejak 1960. Apabila diterjemahkan kepada kerusi, AKP akan memperoleh 340 kerusi dalam Parlimen yang dianggotai 550 orang.

Bagi Erdogan, pilihan raya itu merupakan ujian demokrasi bagi Turki. Katanya, Turki telah lulus ujian demokrasi. Apa yang disebutkan beliau merujuk kepada pihak tentera. Rakyat menolak penglibatan dan campur tangan tentera dalam politik.

Akhbar Turki turut melahirkan sentimen serupa. Akhbar Hurriyet menyatakan rakyat tidak suka kerajaan yang berkelahi dengan tentera, tetapi mereka menolak campur tangan pihak bersenjata. Maksudnya walaupun rakyat tidak suka AKP bertelagah dengan tentera kerana ia mengganggu keharmonian, dan perkara ini ditunjukkan demonstrasi menyokong sekularisme pada April lalu, tetapi zaman tentera campur tangan dalam politik sudah berakhir.

Sementara akhbar Zaman yang dianggap sederhana berkata: ‘‘Rakyat telah menyatakan suara mereka.’’

Bagi tentera, sekularisme adalah mengelak campur tangan ulama ke dalam politik. Ini kerana dibimbangi agama digunakan untuk kepentingan ulama dan akhirnya mendatangkan keburukan negara. Itulah hasrat awal Attaturk memansuhkan institusi khalifah dan menubuhkan Republik Turki yang menjunjung sekularisme.

Bagaimanapun sekularisme yang ditafsirkan tentera bercanggah dengan demokrasi. Ini kerana campur tangan tentera mengakibatkan kepentingan mereka yang mempunyai senjata disalah guna hingga menjejaskan kepentingan rakyat dan negara. Itu yang berlaku selama ini dan mahu diubah.

Pencalonan Gul untuk presiden adalah usaha AKP untuk meleraikan cengkaman kuasa tentera ke atas politik. Bukan saja ulama yang perlu disisihkan daripada politik, tetapi juga tentera. Maksud sekularisme dalam konteks demokrasi meliputi jaminan bahawa kerajaan tidak dikuasai atau dimonopoli oleh sesuatu golongan kerja hingga kuasa boleh disalahgunakan.

Maksudnya biarlah kuasa datang daripada rakyat tanpa mengira profesion. Justeru sesiapapun wajar dibenarkan menjadi ahli politik, iaitu bukanlah mana-mana institusi profesional seperti ulama, tentera, peguam, ahli akademik atau lain-lain golongan.

Amanah

Dalam Islam, kuasa dianggap sebagai amanah dan yang boleh menilai kejujuran seseorang walaupun tidak secara mutlak masih pada tangan orang ramai atau rakyat. Konsep sekularisme pada asalnya timbul apabila golongan bangsawan Eropah memberontak ke atas penguasaan Pope ke atas urusan pemerintahan di Rom hingga agama digunakan sewenang-wenangnya untuk kepentingan golongan paderi. Vatican mengamalkan teokrasi hingga akhirnya dicabar elit bukan agama dalam masyarakat apabila mereka melihat agama disalah guna untuk kuasa.

Sejarah Islam tidak menyaksikan sebarang teokrasi, dan oleh itu konsep sekularisme tidak relevan bagi umat Islam. Namun begitu, kemunculan Attaturk hingga menyebabkan sekularisme menjadi ideologi kental oleh elit tentera di Turki disebabkan antara banyak faktor ialah kebobrokan khalifah di penghujung pemerintahannya.

Khilafah Uthmaniah pada penghujung zamannya, seperti juga maharaja-maharaja besar di bahagian dunia lainnya iaitu Dinasti Ching di China, kerajaan Moghul di India, juga pelbagai raja di Eropah mengamalkan cara hidup dekaden, iaitu bermewah-mewahan dengan istana besar dan memiliki gundik yang ramai menjadi lumrah hingga menggalakkan revolusi daripada rakyat.

Maka sekularisme yang dibawa Attaturk pada zaman itu merupakan reaksi kepada cara pemerintahan khalifah yang sebenarnya tidak menepati kehendak nilai-nilai Islam. Tentunya pentadbiran AKP di bawah Erdogan dalam kerangka Republik Turki berbeza pada zaman khalifah yang dekaden. Erdogan dan partinya diminati rakyat bukan hanya kerana agamanya tetapi keberkesanan pemerintahannya di samping mengambil berat terhadap golongan terpinggir.

Sikap terbuka Erdogan terhadap Eropah merupakan lanjutan dasar Attaturk untuk integrasi Turki dengan Eropah. Attaturk sedar Eropah benua yang maju dan mahu negaranya turut berada dalam keadaan yang serupa. Maka begitu juga dengan Erdogan yang mahukan Turki menyertai EU.

Tetapi Eropah tetap menolak Turki walaupun Attaturk memansuhkan khalifah dan mengamalkan sekularisme. Alasan menolak Turki selama ini ialah soal demokrasi dan layanan tidak adil Ankara terhadap kaum Kurdis dan Armenia. Tetapi setelah Turki mengamalkan demokrasi dan rakyat memilih parti-parti berasal dan berasas Islam, EU tetap menolak dan kali ini mereka menyatakan syak terhadap Erdogan dan AKP yang dikatakan sedang membawa Islam secara tersembunyi di sebalik demokrasi.

Hakikatnya EU, lebih-lebih lagi di bawah pimpinan Perancis menolak Turki kerana agama Islam yang dianuti mereka. Walaupun demokrasi dan sekularisme tidak mengambil kira soal agama, tetapi sikap yang ditunjukkan oleh EU itu adalah sifat fobia terhadap Islam. Mereka gagal untuk bersifat demokratik dan sekular. Sedang demokrasi menjamin kebebasan amalan agama dan sekular tidak mengambil kira soal agama.

Di sudut lain, mungkinkah Eropah masih kecewa dengan kegagalan mereka dalam Perang Galipoli di mana usaha untuk menawan Turki bagi diserahkan kepada Greece telah gagal. Orang yang menggagalkan usaha itu ialah Attaturk. Walaupun pewaris Attaturk membawa Turki menjadi sekutu Barat dengan menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), namun sikap tidak mahu menerima negara itu berkekalan.

Akhirnya siapa yang sebenarnya mengamalkan demokrasi dan sekularisme bernilai positif adalah mereka yang menjadi aktivis dalam AKP, sebuah parti berasal dan berasaskan Islam, yang menerima inspirasi daripada perjuangan Beiduzzaman Nursi, seorang yang menentang Attaturk, tetapi pada waktu sama menolak Khalifah Uthmaniah di hujung zamannya.

Read more!

Baiki hubungan Islam-Barat

Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 17 Jun 2007


SUDAH tentu suatu yang istimewa bagi penulis apabila dapat bertemu Karen Armstrong kerana buku-bukunya telah banyak ditatapi. Dari buku History of God (Sejarah Tuhan) pada 1993 hingga The Great Transformation (Transformasi Besar) yang belum habis dibaca.

Di antara dua buku itu ialah Islam: A Short History (Islam: Sejarah Pendek) dan Muhammad: A Prophet of our Time (Muhammad: Seorang Nabi Zaman Kita).

Buku mengenai Islam itu memberi gambaran adil mengenai agama itu dan dijual laris di Britain apabila diterbitkan ekoran peristiwa 11 September. Armstrong muncul sebagai seorang yang membela Islam dalam masyarakat dan suasana Islamofobia selepas peristiwa itu.

Armstrong, 63, berketurunan Irish memakai baju berwarna hitam, berambut pendek perang ketika diwawancara di Hotel Mandarin Oriental. Beliau berada di Kuala Lumpur untuk berceramah dalam Program Pembicaraan Pemuda Antara Tamadun anjuran Pergerakan Antarabangsa bagi Dunia Adil (JUST) di Kajang. Ceramah beliau bertajuk Peranan Agama dalam Abad ke-21 anjuran Institut Diplomasi dan Hubungan Luar (IDFR).

Ditanya apakah kaedah beliau menulis buku dengan banyak dan mendalam, beliau berkata: ‘‘Saya membaca banyak buku. Mengkaji, menelaah buku. Tidak ada jalan singkat. Perlu kerja keras untuk menulis buku.”

Selanjutnya beliau menceritakan bagaimana menulis buku adalah suatu kerja yang sunyi dan bersendirian, malah seperti kehidupan seorang paderi. Dalam membaca dan menulis, seorang menemui ketenangan rohani. Malah ia menjadi sebagai suatu ibadah. Seperti yang terungkap dalam tradisi agama Yahudi di mana kerohanian ditemui melalui teks, iaitu membaca.

Armstrong pernah menjadi paderi Katolik, yang dalam istilah Inggerisnya disebut nun. Kisah beliau semasa menjadi paderi ditulis dalam buku autobiografinya, Through the Narrow Gate (Melalui Gerbang Sempit) dan The Spiral Staircase (Tangga Bulatan).

Buku ini sudah diterjemahkan ke bahasa Indonesia dan pernah diulas oleh Shaharom TM Sulaiman, dan disiarkan dalam Utusan Malaysia.

Hampir kesemua bukunya diterjemahkan ke bahasa Indonesia termasuk Sejarah Tuhan. Buku History of God diharamkan di Malaysia.

Satu-satunya negara di dunia yang mengharamkannya. Penulis sempat membacanya sebelum ia diharamkan.

Sebanyak 20 buku telah beliau tulis yang menjadikannya sebagai ahli sejarah agama.

‘‘Buat masa ini saya sedang menulis buku mengenai Bible. Bagaimana mentafsirkan teks. Ia juga relevan dengan al-Quran.”

Sebab-sebab beliau meninggalkan agama Katolik dikisahkan dalam autobiografinya itu.

Armstrong menceritakan bagaimana beliau terlepas dekad 60-an iaitu waktu dunia berubah begitu mendadak. Menurutnya, beliau tidak mengenal kumpulan The Beetles dan ketika keluar daripada konvent, satu dekad berlalu begitu saja.

Beliau kurang senang dengan sebarang sikap yang merenggangkan hubungan antara agama. Lebih-lebih lagi hubungan dunia Katolik yang diketuai oleh Pope Benedict XVI dengan umat Islam.

Baginya, semua manusia berkaitan di antara satu sama lain dan hubungan antara agama mesti baik. Sungguhpun begitu, segala upacara Katolik telah mewarnai kehidupan kerohaniannya walaupun setelah meninggalkan agama itu. Katanya, kehidupan di konvent lebih kepada soal upacara daripada fahaman.

Sikap beliau terhadap agama itu menimbulkan rasa tidak senang di kalangan komuniti di Britain.

Selepas tidak lagi menjadi paderi, beliau meneruskan pelajarannya di Universiti Oxford dalam bidang kesusasteraan Inggeris. Hasratnya untuk menjadi sarjana kesusasteraan Inggeris. Tentunya kajian dalam sastera melatihnya untuk mengkaji dan mentafsir teks. Ketika itu, seperti kebanyakan orang di Britain, beliau menolak agama.

Daripada kajian kesusasteraan ini, keindahan penulisan beliau terserlah. Tetapi apa yang membawanya kembali kepada agama, kerohanian dan ketuhanan ialah bacaannya terhadap agama Yahudi. Beliau pergi ke Baitulmaqdis, dan dari situ mula berkembang minat terhadap Islam. Di situ beliau bertemu dengan orang Islam.

Maka ia mendorong minatnya untuk mengkaji apa yang disebut sebagai agama Ibrahim, iaitu Yahudi, Kristian dan Islam. Beliau pernah disebut sebagai monoteis bebas iaitu menghargai ketiga-tiga agama, Yahudi, Kristian dan Islam.

Tetapi apabila ditanya adakah benar kenyataan itu, beliau berkata, anutannya adalah kerohanian dari semua agama termasuk tradisi Timur seperti Buddha, Hindu dan Taoisme yang beliau paparkan dalam The Great Transformation.

Dalam buku itu dipaparkan betapa manusia pada satu zaman tiba-tiba sedar mengenai agama. Socrates di Greece, Buddha di India dan Lao-tze di China.

Tentang Islam, beliau berasa cenderung dalam tradisi Sufi. Ditanya apakah yang menarik tentang Islam? Beliau meletakkan pluralisme sebagai sifat agama ini yang menjadi kekuatan.

Maka di Britain, beliau menjadi tokoh undangan yang akan bercakap mempertahankan agama. Dalam banyak-banyak agama pula, beliau dikenali sebagai orang yang mempertahankan Islam.

Menurutnya, beliau turut diundang dalam forum untuk berdepan dengan tokoh-tokoh pejuang ateisme seperti Richard Dawkins, Christopher Hitchens dan lain-lain.

Dawkins dianggap sebagai pemuka neo-ateisme. Fahaman ini menolak agama secara agresif. Tidak seperti ateis lama yang hanya tidak mempercayai Tuhan, golongan neo-ateis ini menyifatkan agama sebagai penyakit dan pembawa masalah bagi manusia. Mereka pula aktif menyebarkan fahaman ini untuk mengajak orang meninggalkan agama.

Dawkins, seorang ahli teori evolusi di Universiti Oxford menggunakan hujah-hujah sains bagi menentang agama.

Tetapi bagi Armstrong, mereka ini fundamentalis sekular yang mempunyai pandangan sempit tentang agama dan Tuhan.

Menurut Armstrong, konsep Tuhan yang dipegang oleh manusia berubah dari semasa kecil hinggalah apabila dewasa dan matang. Ketuhanan dan agama adalah kompleks dan wajar difahami dengan mengkaji.

Tetapi konsep ketuhanan yang ditolak oleh golongan neo-ateis itu adalah primitif dan simplistik. Mereka tidak menyelami kehebatan agama untuk menghayati.

Bila disebut Allahuakbar, menurutnya, membawa maksud ketuhanan yang Maha Besar dan melangkaui kefahaman simplistik yang dipegang oleh neo-ateis itu.

Perbezaan

Tetapi katanya di Britain, hanya enam peratus yang mengamal agama. Banyak gereja ditinggalkan. Katanya, kemungkinan orang yang meningkatkan angka itu ialah orang Islam di Britain.

Ditanya adakah perbezaan antara Islam di Asia Barat dengan Islam di Asia Tenggara?

Armstrong memberitahu, kunjungannya ke Kuala Lumpur ini adalah yang pertama ke Asia Tenggara. Tetapi baginya, Asia Barat mengalami tragedi hingga menimbulkan suasana ketegangan antara agama. Kolonialisme memburukkan keadaan di mana kewujudan Israel yang membawa kepada peminggiran Palestin menyebabkan pertembungan antara agama.

Asia Barat sentiasa dirundung perang sejak tahun 1948, iaitu ketika Israel ditubuhkan. Orang Eropah berasa bersalah dengan Holocaust dalam Perang Dunia Kedua. Ekoran itu dirasakan orang Yahudi perlu memiliki negara sendiri iaitu Israel.

‘‘Tetapi bukanlah menyingkirkan penduduk Palestin,” ujarnya yang menunjukkan sokongan kepada hak rakyat Palestin.

Menurut beliau, satu lagi faktor yang menjadikan Asia Barat malang ialah minyak. Kehadiran minyak menyebabkan tamak haloba timbul dan mendorong kuasa Barat mendukung rejim-rejim zalim seperti Shah Iran dan Saddam Hussein pada peringkat awalnya.

Israel dan minyak menimbulkan kekacauan di Asia Barat sehingga hubungan antara agama terjejas.

Armstrong mengakui bahawa pada satu masa beliau meletakkan harapan besar kepada Iran untuk membawa gerakan baru dan memperbaiki hubungan antara agama. Beliau merujuk kepada gerakan prodemokrasi Iran pimpinan bekas Presiden Ahmad Khatami yang dikenali sebagai pelopor konsep Dialog Antara Tamadun. Menurutnya, harapan ini hilang apabila Presiden George W. Bush mengutarakan konsep Paksi Kejahatan (Axis of Evil) di mana Iran, ketika itu pimpinan Khatami adalah salah sebuah negara jahat.

Keadaan ini menimbulkan reaksi negatif dengan rakyat Iran menolak golongan prodemokrasi dan menyokong Presiden Mahmud Ahmedinejad. Hasilnya ialah ketegangan yang lebih meruncing bukan saja antara AS dengan Iran, tetapi antara Islam dan Barat.

Apakah beza sebelum peristiwa 11 September dan sesudahnya? Armstrong menyatakan bahawa dunia sedang berubah. Peristiwa itu menunjukkan bahawa kekuatan sesebuah kuasa besar boleh dilawan.

‘‘Tidak mustahil satu hari kumpulan-kumpulan kecil ini mampu memperoleh senjata nuklear,” ujarnya.

Beliau menyebut betapa perang di Lebanon tahun lalu menunjukkan, kumpulan kecil boleh mengalahkan negara yang besar. Armstrong merujuk keadaan di mana Hizbullah dapat mengalahkan Israel.

Katanya, reaksi rakyat Britain kepada peristiwa pengeboman 7 Julai adalah berbeza dengan pihak AS kepada peristiwa 11 September. Ini kerana, menurutnya, AS tidak pernah mengalami serangan ke atas wilayah daratnya. Serangan ke atas Pearl Harbour semasa Perang Dunia Kedua adalah berbentuk di luar pantai.

Sebab itu AS bertindak macam-macam termasuk serangan ke atas Afghanistan dan Iraq. Tetapi Britain yang pernah mengalami serangan langsung dalam Perang Dunia Kedua adalah lebih tenang. Banyak orang Britain menjangka akan berlaku pengeboman 7 Julai itu kerana polisi kerajaan London terhadap Iraq.

Justeru, apakah pandangannya mengenai hubungan Islam dan Barat?

Beliau tanpa teragak-agak menegaskan bahawa memperbaiki hubungan antara Islam dan Barat adalah satu-satunya cara bagi menyelamatkan dunia demi masa depan keturunan manusia.

‘‘Lagipun kita semua berkongsi nilai-nilai yang sama,” tegasnya dengan merujuk kepada persamaan nilai dalam tradisi Yahudi, Kristian dan Islam.

Bagaimana caranya? Baginya sebagai penulis: ‘‘Terus mengkaji, menulis dan keluarkan lebih banyak buku.”

Maksudnya ialah terus meyakinkan manusia supaya berbaik-baik, saling sayang-menyayangi dan mempelajari lebih mendalam mengenai agama untuk mengetahui kebesaran nilai-nilai kerohanian yang sebenarnya rasional dan membahagiakan.

Ditanya apakah beliau lakukan pada masa rehatnya, kalau tidak menulis atau berceramah, Armstrong yang tidak pernah berkahwin itu menyatakan:

‘‘Membaca novel, mendengar musik klasik chamber dan makan-makan dengan kawan.”

Banyak orang mungkin tidak setuju dengan pendapat dan kepercayaannya mengenai kesaksamaan agama dan juga perspektifnya tentang Tuhan dalam buku The History of God.

Tetapi di dunia hari ini, tidak ada sesiapa selain Armstrong yang mengkaji tentang sejarah agama dengan begitu mendalam dan menulisnya untuk bacaan ramai orang di seluruh dunia melalui gaya penulisan popular.

‘‘Semua buku yang saya tulis memerlukan perhatian dan kerja keras yang sukar,” ujar beliau.

Read more!

Utamakan senggaraan

Oleh: Zin Mahmud (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 21 Mei 2007


Tiga cabang dalam sistem demokrasi berparlimen ialah eksekutif, legislatif dan judikatif. Eksekutif adalah kerajaan yang menjalankan pentadbiran dan Putrajaya merupakan pusatnya.

Legislatif adalah badan penggubal undang-undang yang lokasi sidangnya ialah bangunan Parlimen.

Sementara judikatif iaitu badan kehakiman yang bangunannya ialah Istana Keadilan di Putrajaya dan mahkamah-mahkamah lain termasuk Kompleks Mahkamah Wilayah Persekutuan di Jalan Duta.

Maka dengan berlakunya kebocoran di pejabat Jabatan Imigresen di Putrajaya, Kompleks Mahkamah dan bangunan Parlimen, maka lengkaplah bahawa ketiga-tiga cabang sistem pemerintahan demokrasi negara diwakili dalam masalah penyenggaraan.

Sesungguhnya terdapat kefahaman umum bahawa ketika negara ini cergas dalam membina bangunan dan infrastruktur, beserta dengan reka bentuk indah yang memberi perhatian besar kepada hiasan, dekor dan kosmetik, tetapi Malaysia lemah dari segi budaya penyenggaraan. Sebab itulah berlaku kerosakan dan kebocoran.

Terdapat perbezaan antara bangunan-bangunan di Putrajaya dan Kompleks Mahkamah Jalan Duta di satu pihak, dengan bangunan Parlimen di pihak yang lagi satu.

Putrajaya dan Kompleks Mahkamah merupakan bangunan-bangunan baru yang didirikan selepas tahun 2000. Maka apabila ia rosak dan bocor, dapat dikatakan bahawa terdapat sesuatu yang tidak kena pada kerja-kerja penyenggaraannya.

Tetapi bangunan Parlimen tergolong sebagai binaan awal kemerdekaan yang reka bentuknya juga mempunyai ciri-ciri modernis unik dengan identiti negara Malaysia yang diilhamkan oleh Tunku Abdul Rahman.

Perdana Menteri pertama Malaysia itu mahukan bangunan-bangunan yang unik dengan memiliki ciri-ciri modenis untuk menampilkan sebuah negara yang memandang ke depan di samping beridentiti sendiri.

Maka bangunan Parlimen tergolong kepada seni bina Malaysia tulen era merdeka dengan bersifat modenis. Lain-lain bangunan yang seciri dengannya ialah Masjid Negara, Tugu Negara, bangunan Wisma Putra lama, bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka lama, Muzium Negara, Bangunan Persekutuan (Federal House), Masjid Sultan Abdul Aziz di Petaling jaya dan bangunan Lapangan Terbang Subang.

Paling jelas ialah Masjid Negara di mana kubah berbentuk payung terbuka dan menara payung tertutup adalah ciri unik identiti masjid Malaysia. Tidak ada masjid seumpama itu di dunia.

Secara tradisional, masjid di negara ini tidak mempunyai kubah bulat seperti di Asia Barat. Tradisinya, masjid negara ini berbumbung bertingkat seperti masjid-masjid di Melaka.

Pentadbir Inggeris adalah pihak yang mula membawa kubah di bangunan-bangunan di negara ini. Mereka mengambil inspirasi daripada bangunan-bangunan Moghul di India. Maka muncullah masjid berkubah di Masjid Ubudiah di Kuala Kangsar, Masjid Zahir Alor Star dan Masjid Jamek Kuala Lumpur. Kemuncaknya ialah Bangunan Sultan Abdul Samad, bangunan ibu pejabat KTM dan Stesyen Kereta api Kuala Lumpur.

Transformasi

Bagaimanapun ciri modenis yang diwakili oleh Masjid Negara dan bangunan Parlimen mula digantikan dengan bentuk Asia Barat pada tahun-tahun 80 dan 90-an. Maka Masjid Sultan Salahuddin di Shah Alam memiliki kubah yang mempesona. Begitu juga Masjid Wilayah Persekutuan. Tetapi paling jelas transformasi ini ialah apabila Putrajaya muncul dengan bangunan-bangunan yang memiliki pelbagai kubah.

Dalam menyingkirkan ciri modenis ini, bangunan seperti Masjid Negara dan bangunan Parlimen turut diubah suai dengan menempatkan dekor dan hiasan yang menghilangkan identiti asal.

Maka elemen-elemen Asia Barat mula muncul dalam bangunan Masjid Negara dan keasliannya sebagai seni bina tulen Malaysia terjejas dengan ubah suai itu. Mimbar yang modenis juga digantikan dengan reka bentuk tradisional Asia Barat. Tetapi paling jelas yang berlaku ialah di bangunan Parlimen.

Dengan perbelanjaan yang besar, seni hiasan dalaman bangunan Parlimen diubah suai untuk memasukkan ciri-ciri tradisional yang meleret-leret hingga menghilangkan identiti asal bangunan Parlimen sebagai reka bentuk modenis untuk melambangkan Malaysia yang memandang ke hadapan.

Dalam kesibukan perhatian mengubah ciri identiti dalam bangunan Parlimen itu, perhatian yang seimbang tidak pula diberikan kepada penyenggaraan dan pembaikan perkara-perkara asas seperti bumbungnya.

Maka ketika dalaman bangunan Parlimen begitu hebat berlaku pula kebocoran yang menunjukkan bahawa keutamaan tidak diberikan kepada penyenggaraan berbanding hiasan serta kosmetik.

Namun begitu, gejala seperti ini tidak perlu dihairankan di negara ini. Jika melihat bagaimana kalangan pihak-pihak berkuasa tempatan (PBT) di negara ini meletakkan keutamaan, maka dapat difahami betapa kerja hiasan serta kosmetik tidak diimbangkan dengan penyenggaraan kemudahan asas.

Maka dapat ditemui betapa terdapat PBT yang menghias kawasan masing-masing dengan pasu-pasu yang disangka cantik beserta dengan tiang lampu yang berukiran indah, mengikut jejak langkah Putrajaya.

Dalam membelanjakan wang yang banyak untuk benda-benda hiasan ini, ada PBT yang tidak begitu mengambil berat mengenai jalan yang berlubang, longkang tersumbat dan tanda nama jalan yang terabai. Di sinilah yang dikatakan bahawa budaya penyenggaraan tidak wujud. Atau lebih tepat lagi, keutamaannya di negara ini adalah kepada hiasan dan kosmetik.

Maka perlu diingat bahawa dengan segala keindahan bangunan, perkiraan akhir ialah apa yang dilahirkan dari dalamnya melalui kemudahan yang disediakannya.

Umpamanya bukan soal masjid yang tersergam indah tetapi adalah kemudahan yang disediakannya, dan seterusnya apa yang dilahirkan daripadanya. Jika masjid tersergam indah tetapi tandasnya tidak mencerminkan kesucian Islam, maka bangunan seumpama itu sudah gagal.

Apatah lagi hendak mengharapkan bahawa dari masjid yang begitu indah, sewajarnya jemaah yang lahir daripadanya adalah bermutu.

Maka begitu juga dengan bangunan Parlimen. Dalam memastikan bangunan itu indah dan perkhidmatan yang diberikannya memuaskan, maka hasil daripada perdebatan serta musyawarah oleh ahli-ahli Parlimen hendaklah turut bermutu.

Bangunan yang tidak seimbang, dari segi fizikal dan kemudahan menghasilkan warga yang juga kurang memuaskan.

Begitu juga dengan bangunan mahkamah yang indah. Ia juga harus diimbangkan dengan kemudahan yang dibekalkan bagi melaksanakan keadilan. Justeru apa yang lebih penting ialah keadilan yang dilahirkan daripada bangunan-bangunan itu.

Rakyat Malaysia pasti bangga dengan keindahan Putrajaya yang tiada tolok bandingnya di dunia. Tetapi keindahan itu juga wajar diimbangkan dengan kecekapan dalam pentadbiran bagi kebajikan rakyat.

Read more!

Perjuangkan Hidup Melayu

Oleh: ZIN MAHMUD (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 11 Mei 2007


Hari ini, 61 tahun dahulu UMNO ditubuhkan dengan gabungan persatuan-persatuan Melayu di seluruh Tanah Melayu di bawah pimpinan Datuk Onn untuk menjadi platform bagi gerakan menentang Malayan Union.

Orang Melayu nyaris-nyaris kehilangan tanah airnya kerana penjajah Britain yang baru kembali setelah dinyah oleh Jepun mahu menghapuskan kedaulatan raja-raja Melayu.

Mereka mahu menukar kedudukan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (FMS) dan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu (UFMS) yang bersifat naungan kepada tanah jajahan bernama Malayan Union dicantumkan bersama Melaka, Pulau Pinang, Seberang Perai dan Dinding.

Kalau tidak kerana Datuk Onn, orang Melayu ketika itu tidak sedar akan hampir kehilangan negeri mereka. Sudah berpuluh tahun sejak Britain masuk ke Tanah Melayu selepas Perjanjian Pangkor dirasakan bahawa negeri mereka sudah dijajah dan orang Melayu tidak mampu menghalang penguasaan kuasa Barat itu.

Penentangan orang Melayu terhadap penjajah Britain oleh pejuang-pejuang seperti Datuk Naning di Melaka, Datuk Maharajalela di Perak, Datuk Bahaman di Pahang, Tok Janggut di Kelantan dan Abdul Rahman Limbong di Terengganu menemui kegagalan.

Tetapi sebenarnya sembilan negeri-negeri Melayu di Tanah Melayu belum benar-benar menjadi tanah jajahan. Mereka hanya menjadi wilayah naungan dengan kedaulatan raja-raja masih utuh. Yang sudah menjadi tanah jajahan Britain ialah Singapura, Dinding, Melaka, Pulau Pinang dan Seberang Perai.

Bagaimanapun, Britain mempunyai kekuatan besar dan Raja-raja Melayu tidak mampu menentang mereka. Dasar seperti membawa masuk pendatang secara besar-besaran untuk kepentingan ekonomi Britain tidak diberi perhatian. Orang Melayu sudah menjadi warga jajahan walaupun raja-rajanya masih berdaulat.

Apabila Jepun datang, maka ternyata Britain bukanlah suatu kuasa besar yang kebal. Orang Melayu dapat memerhatikan bahawa Britain gagal mempertahankan Tanah Melayu, apatah lagi melindungi orang Melayu daripada dijajah Jepun.

Pada zaman Jepun, buat pertama kali, keseluruhan Tanah Melayu dijajah. Ketika mana Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu diserahkan kepada Siam, pentadbiran negeri-negeri lain digabungkan dengan Sumatera.

Walaupun tidak berkuasa, Jepun tetap membenarkan kedaulatan raja-raja Melayu. Tetapi rakyatnya, iaitu orang Melayu menjadi warga jajahan Jepun.

Jadi apabila Britain kembali, mereka memaksa raja-raja Melayu menyerahkan kedaulatan bagi membolehkan penubuhan Malayan Union, dalam bentuk tanah jajahan Britain di mana semua penduduknya adalah warga jajahan.

Pendek kata, dalam sekelip mata dengan penubuhan Malayan Union, bangsa Melayu dan negeri Melayu hilang begitu saja. Yang ada hanyalah bangsa Malaya, yang menjadi warga jajahan Britain.

Maka Datuk Onn bangkit dan mengingatkan orang Melayu mengenai kedudukan mereka yang hampir kehilangan tanah air. Menurutnya, Britain tidak mempunyai hak untuk menukar kedudukan negeri-negeri Melayu menjadi tanah jajahan tanpa kebenaran orang Melayu sendiri. Ini kerana sebelum pendudukan Jepun, negeri-negeri Melayu tidak pernah dijajah oleh Britain.

Kedaulatan raja-raja Melayu tidak boleh dihapuskan oleh Britain kerana kedudukan mereka adalah atas hak orang Melayu. Raja-raja Melayu, apatah lagi secara paksa dan ugutan tidak boleh menyerahkan kedaulatannya kepada penjajah Britain tanpa kebenaran orang Melayu, yang merupakan rakyat kepada raja-raja Melayu.

Raja-raja Melayu dan orang Melayu adalah saling lengkap-melengkapi. Mereka dihubungkan dengan kontrak sosial, budaya, sejarah dan tradisional yang sudah wujud sejak konsep kerajaan Melayu diwujudkan, lama sebelum kedatangan Britain dan gagasan kolonialisme, imperialisme dan negara bangsa ciptaan Barat.

Maka cabaran Datuk Onn tidak diendahkan oleh Britain kerana mereka berasakan bahawa orang Melayu tidak mempunyai kekuatan dan tidak mampu berbuat apa-apa. Bangsa Melayu hanyalah satu konsep abstrak yang tidak mempunyai nilai menurut kaca mata Britain.

Jadi terdapat dua langkah yang perlu dilakukan oleh Datuk Onn, iaitu meyakinkan raja-raja Melayu supaya menegaskan kedaulatan mereka dengan menolak Malayan Union. Kedua, menubuhkan satu badan yang disokong penuh oleh orang Melayu dan boleh mewakili bangsa Melayu. Badan ini ialah UMNO.

Dengan perpaduan raja-raja Melayu dan UMNO, Datuk Onn menggembleng usaha menentang Malayan Union, yang dilakukan melalui demonstrasi di seluruh Tanah Melayu. Raja-raja Melayu pula memboikot majlis penubuhan Malayan Union dan sekali gus menolak pengiktirafan terhadap gagasan penjajah itu.

Dalam keadaan tertekan dan hampir kehilangan tanah air ini, orang Melayu bertambah sedar betapa lemah kedudukan mereka. Kalau benar-benar Britain terus memaksa untuk menubuhkan Malayan Union, tidak ada apa yang boleh dilakukan oleh orang Melayu.

Adakah Askar Melayu Diraja yang ditubuhkan dengan bantuan Britain mampu mempertahankan kedaulatan Tanah Melayu daripada dijadikan Malayan Union? Orang Melayu tidak mempunyai sebarang kekuatan. Bukan saja dalam bentuk ketenteraan, apatah lagi dalam bidang politik dan ekonomi.

Maka semasa perjuangan menentang Malayan Union ini dapat disedari bahawa ketika mana politik dipegang oleh Britain, bidang ekonomi pula berada di tangan kaum pendatang. Kedatangan mereka ke sini digalakkan oleh penjajah dengan kesetiaan dan identiti kenegaraan mereka adalah terhadap China.

Maka tidak hairanlah cawangan-cawangan Parti Nasionalis Cina (Kuomintang) ditubuhkan di Tanah Melayu. Ia menunjukkan bahawa politik mereka adalah cerminan apa yang berlaku di China.

Apabila Parti Komunis Cina berpecah daripada Kuomintang, perkara yang sama juga berlaku di Tanah Melayu. Parti Komunis Malaya (PKM) menjadi parti politik pertama ditubuhkan di Tanah Melayu pada tahun 1930 di Kuala Pilah dengan dirasmikan oleh Ho Chi Minh, pemimpin komunis Vietnam.

Tidak hairanlah, apabila Jepun memasuki China, PKM mula bersedia untuk menentang tentera Tokyo itu daripada menduduki Tanah Melayu. Mereka menyusun Tentera Pembebasan Rakyat Anti-Jepun Malaya (MPAJA) yang mendapat sokongan, bantuan dan pengiktirafan penjajah Britain.

Apabila Jepun menyerah kalah dan mengundurkan diri, MPAJA yang dikenali sebagai Bintang Tiga menguasai sebahagian dari Tanah Melayu. Banyak orang Melayu yang dituduh sebagai tali barut Jepun menjadi mangsa membalas dendam secara rambang. Inilah bermulanya ketegangan hubungan kaum di Tanah Melayu kerana majoriti anggota MPAJA adalah keturunan Cina.

Bintang Tiga adalah lambang tiga bintang di topi anggota MPAJA. Ia melambangkan tiga kaum di Tanah Melayu iaitu Melayu, Cina dan India. Mesejnya ialah tidak ada kedaulatan bangsa Melayu di Tanah Melayu.

Cita-cita PKM adalah jelas iaitu untuk menjadikan Tanah Melayu sebagai sebuah negara komunis dan di mana ketika itu, arahan langsung datangnya dari Moscow sebagai ketua komunis dunia, dan bagi Asia, kekuasaan terletak di Beijing.

Dalam empayar komunis, Malaya hanyalah salah satu tanah jajahan yang ditadbir dari Moscow melalui Beijing.

Sekembalinya Britain ke Tanah Melayu selepas pengunduran Jepun, mereka menghargai dan menganugerah bintang kepada pejuang-pejuang MPAJA dan PKM. Maklumlah pada masa itu, Moscow, Washington, Beijing dan London adalah sekutu.

Apabila perbalahan berlaku antara Moscow dan Washington, maka semua parti-parti komunis di dunia diarahkan menentang penjajah yang menjadi sekutu Amerika Syarikat (AS), termasuklah Britain. Atas arahan ini, PKM mengangkat senjata untuk menentang penjajah Britain atas nama perjuangan menuntut kemerdekaan Malaya. Bermulalah darurat yang mengubah perjalanan sejarah negara.

Maka penjajah Britain mula melihat realiti di Tanah Melayu. Bayangkan jika PKM mendapat sokongan keseluruhan orang Cina dan Malaya menjadi komunis, pastinya kepentingan Britain dan Barat terjejas. Ketika mana Indonesia semakin dipengaruhi komunis, maka London sedar bahawa hanya orang Melayu yang mampu menjadi benteng menentang komunisme.

Akhirnya Malayan Union dibubarkan dan Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan dengan kedaulatan raja-raja Melayu dipertahankan.

Setelah mengharungi detik-detik cemas ini, orang Melayu sedar bahawa mereka mesti berubah dan mendapatkan kekuatan sendiri, tidak boleh bergantung pada pihak lain. Untuk hidup, orang Melayu mesti merdeka dan mempunyai kekuatan dalam politik dan ekonomi.

UMNO di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman telah berjaya membawa Tanah Melayu mencapai kemerdekaan 50 tahun lalu. Maknanya orang Melayu dapat mempertahankan negeri-negeri mereka dalam bentuk negara bangsa moden dengan turut memberi kerakyatan saksama kepada penduduk daripada keturunan pendatang.

Sistem berkongsi kuasa dalam bentuk Perikatan membawa kestabilan. Apabila berhadapan dengan Singapura yang nyaris-nyaris menjadi komunis, maka Tunku membawa gagasan Malaysia yang turut disokong kuat oleh UMNO.

Malaysia meneruskan gagasan Persekutuan Tanah Melayu dengan membawa konsep bumiputera bagi mempertahankan hak dan memperbaiki kedudukan politik serta ekonomi orang Melayu dan peribumi di Sarawak dan Sabah, di samping mengelak Singapura daripada jatuh ke tangan komunisme.

Singapura kemudian dikeluarkan bagi menghalang usaha parti pemerintah negara itu yang cuba mengubah gagasan Malaysia. Konsep Malaysian Malaysia yang diperjuangkan mereka itu akan menjejaskan usaha menguatkan kedudukan politik dan ekonomi bumiputera.

Namun begitu, usaha memperbaiki kedudukan orang Melayu masih jauh dan sukar. Menjelang pilihan raya umum 1969, orang Melayu berasa jauh tertinggal dan bertambah lemah.

Maka selepas pilihan raya itu, diikuti dengan rusuhan 13 Mei, Allahyarham Tun Razak memperkenalkan dua gagasan penting bagi menguatkan kedudukan politik dan ekonomi orang Melayu di samping memperluaskan perkongsian kuasa pelbagai kaum di negara ini.

Langkah penggubalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan penubuhan Barisan Nasional (BN) merupakan sumbangan besar UMNO untuk mewujudkan negara Malaysia yang adil dan maju.

Walaupun DEB sudah berakhir tetapi semangatnya wajar diteruskan kerana ia merupakan sebahagian daripada agenda Melayu untuk melahirkan bangsa yang cemerlang dan hidup di tanah air sendiri.

Gerakan menentang Malayan Union, penubuhan Persekutuan Tanah Melayu, perjuangan mencapai kemerdekaan, penubuhan Malaysia dengan konsep bumiputera dan Dasar Ekonomi Baru adalah sebahagian daripada agenda Melayu yang menjadi perjuangan UMNO.

Walaupun kini, kerajaan pimpinan UMNO sedang komited untuk menjayakan Misi Nasional, tetapi ia tidak terlepas daripada idealisme asal parti iaitu Perjuangkan Hidup Melayu, dalam erti kata bangsa berada pada kedudukan yang kuat, bukan saja dalam politik tetapi juga ekonomi.

Read more!

Pertukaran nama-nama ala penjajah

Oleh: Muhammad Alias
Sumber: Utusan Malaysia 9 Mei 2007


SATU berita menarik dari Durban, Afrika Selatan baru-baru ini ialah mengenai penukaran nama jalan. Penduduk bandar tersebut khususnya masyarakat India memprotes tindakan pihak berkuasa menamakan satu jalan sempena dengan nama Mahatma Gandhi, pejuang kemerdekaan India.

Mereka memprotes bukan kerana tidak sukakan Gandhi yang menghabiskan masa mudanya di Afrika Selatan sebagai seorang peguam. Mereka juga memprotes bukan kerana Gandhi rakyat India atau orang asing.

Sebaliknya mereka menentang kerana pihak berkuasa bandar tersebut menamakan sebatang jalan raya yang terkenal dengan sarang pelacuran dan maksiat sempena dengan nama Gandhi.

Mereka menganggap tindakan tersebut menghina Gandhi, bapa kepada dasar perjuangan tanpa kekerasan yang menjadi ikutan jutaan pejuang hak asasi di dunia seperti Martin Luther King dan Dalai Lama.

Apa yang tersirat di sebalik protes ini ialah sekiranya kita hendak menukar sesuatu perkara biarlah yang lebih baik. Paling penting setiap pembuat dasar hendaklah pakar dalam berbagai segi dan mempunyai pandangan jauh.

Tindakan menukar nama-nama jalan, bangunan, sekolah dan sebagainya yang dikira berbau penjajah kepada nama-nama tempatan merupakan amalan biasa bagi negara-negara yang pernah dijajah.

Namun satu perkara yang tidak dihapuskan sebaliknya diterima dan dimegahkan ialah tentang bahasa penjajah. Bahasa-bahasa Inggeris, Perancis, Sepanyol dan Portugis menjadi bahasa rasmi atau bahasa kedua di banyak negara-negara dunia ketiga.

Di Malaysia, proses penamaan semula nama-nama ala penjajah ini hampir-hampir selesai. Hanya tinggal beberapa jalan, sekolah, hospital atau bukit yang masih menggunakan nama penjajah.

Tidak dinafikan ada antara peninggalan penjajahan tersebut berkait rapat dengan sejarah negara. Ini jelas dari segi kebudayaan orang-orang keturunan Portugis di Melaka. Namun kita menerima kebudayaan tersebut sebagai sebahagian dari warisan kita.

Begitu juga dengan langkah membina semula tembok peninggalan penjajah di Melaka atas alasan ia boleh menjadi tarikan pelancong (dan wang) serta dari aspek sejarah.

Baru-baru ini kedengaran pula gesaan seorang ahli Parlimen supaya nama Sekolah Henry Gurney di Melaka ditukar. Alasannya supaya ia memberi motivasi kepada pelajar-pelajar apabila keluar kelak.

Bagaimanapun, apa yang jelas sekolah tersebut dengan namanya yang berbau penjajah telah mengasuh ribuan pelajar-pelajar yang berguna kepada masyarakat sejak ditubuhkan tahun 50-an.

Begitu juga dengan Sir Henry Gurney bekas Pesuruhjaya Tinggi British. Beliau terkorban dalam satu serang hendap pengganas komunis dalam perjalanan ke Bukit Fraser bulan Oktober 1952.

Mungkinkah tidak lama lagi nama-nama sekolah seperti King Edward VII Taiping, Victoria Institution, King George V, St. Xaviers, Anderson dan lain-lain akan lesap dari lipatan sejarah?

Bagi penulis sendiri Sekolah Menengah King Edward VII, Taiping masih terlalu dekat di hati. Di situlah penulis mula-mula belajar bahasa Inggeris ketika memasuki remove class tahun 1960.

Oleh kerana penulis tinggal di kampung yang jauhnya 23 batu dari bandar Taiping dan belum ada perkhidmatan bas terus dari kampung, penulis terpaksa berbasikal seorang diri ke bandar kecil berdekatan di awal pagi sejauh 3 batu untuk menaiki bas.

Kalau difikir-fikirkan macam tidak percaya. Bagaimana penulis begitu berani berbasikal mengharung hutan belukar sedangkan ketika itu baru sahaja memasuki 13 tahun. Sementara menggunakan lampu suluh menggantikan lampu basikal.

Tetapi yang paling penting ialah di segi sejarah. Ribuan pelajar dihasilkan oleh sekolah-sekolah dengan nama penjajah ini. Malahan ramai antaranya merupakan pejuang-pejuang kemerdekaan, pembesar-pembesar negara dan pentadbir.

Bercakap fasal penamaan semula jalan-jalan rasanya Lorong Haji Taib di Kuala Lumpur juga patut ditukar. Lorong tersebut merupakan lorong maksiat dan tidak sesuai mengambil sempena seorang haji.

Sejak kebelakangan ini beberapa gedung perniagaan, jalan-jalan dan kawasan perumahan diberi nama asing yang tidak ada kena-mengena dengan sejarah Malaysia. Namun kita begitu selesa dengan nama-nama ini. Ia seolah-olah memberi gambaran tentang negara Malaysia yang maju.

Read more!

Lapan puluh peratus sampah sarap

Oleh: ZIN MAHMUD (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 9 Mei 2007


KETIKA melihat lori mengangkut sampah keluar dari taman perumahan setiap pagi, terdetak di fikiran bahawa mungkinkah daripada semua benda yang dibawa masuk ke rumah, 80 peratus daripadanya adalah sampah sarap.

Cuba sesiapa mengira barang-barang yang dibawa masuk ke rumah setiap hari, dan lihatlah berapa banyak yang dibuang, seperti bungkusan plastik serta kertas, maka tidakkah ia boleh mencapai 80 peratus?

Di Barat sudah menjadi amalan pengguna membeli barang tanpa dibungkus plastik atas semangat bagi menjaga alam sekitar. Sementara sampah-sampah dibuang dikenakan caj menurut beratnya. Ini kesemuanya adalah untuk menunjukkan bahawa sampah sarap adalah kos yang perlu dibayar.

Tetapi cuba lihat barang-barang yang ada di rumah. Jika dilakukan pembersihan dengan membuang semua barang yang tidak berguna, mungkin didapati 80 peratus daripada kandungan rumah adalah sampah yang patut dibuang.


Timbunan sampah merupakan simbol kehidupan moden di mana pengguna membeli barang yang tidak berguna. Ekonomi dipercayai berkembang atas nafsu membeli barang-barang yang tidak berguna.

Maknanya, 80 peratus daripada apa yang dibeli pengguna adalah bukan keperluan. Maka boleh dikatakan bahawa 80 peratus daripada barang-barang yang dijual di pusat membeli-belah umpamanya adalah benda tidak perlu, yang akhirnya akan menjadi sampah.

Bukan saja barangan, malah 80 peratus daripada perkhidmatan yang dibayar oleh pengguna adalah juga tidak perlu, dan sebenarnya sia-sia.

Maka tidak hairanlah, keluhan yang sering ditimbulkan ialah tidak cukup sumber. Maknanya, seseorang akan berasa tidak cukup wang untuk mengejar barangan yang diidamkan kerana sentiasa dirasakan kekurangan.

Justeru, mereka yang memiliki kekayaan akan terus menumpukan harta mereka. Lebih mudah bagi mereka yang berharta untuk menambahkan kekayaan kerana ekonomi bergerak atas pelaburan dan modal.

Mereka berjaya atas perbelanjaan kebanyakan orang yang berpendapatan lebih rendah dalam masyarakat.

Contohnya ialah selebriti Hollywood mengaut keuntungan besar daripada usaha perfileman mereka. Ini dapat dilakukan dengan orang kebanyakan di seluruh dunia yang berpendapatan lebih rendah membayar untuk menonton filem Hollywood itu. Tidakkah maknanya golongan senang hidup di atas sumbangan berjuta-juta manusia yang hidup dalam kekurangan?

Begitu juga berapa banyak produk dan perkhidmatan yang sebenarnya tidak perlu bagi kebanyakan orang tetapi tetap diidamkan kerana suasana masyarakat yang sebegitu rupa hingga terdorong untuk membelinya.

Maka dalam piramid pendapatan, 20 peratus manusia hidup mewah di atas sumbangan 80 peratus kebanyakan orang di seluruh dunia.

Sistem ekonomi ini berlaku kerana 80 peratus barangan dan perkhidmatan dicipta dan dihasilkan oleh 20 peratus manusia yang memiliki modal dalam pelbagai bentuk.

Read more!

Pascasekularis lawan pasca-Islam

Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 6 Mei 2007


SIAPAKAH pasca-sekularis dan pasca-Islamis? Mereka yang berhimpun di Istanbul membawa bendera Turki minggu lalu membantah usaha Menteri Luar Abdullah Gul untuk menjadi presiden adalah golongan yang boleh dilabelkan pascasekularis.

Sementara Abdullah Gul dan Perdana Menteri, Tayyip Reccep Erdogan dari Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) ialah pasca-Islamis atau pascafundamentalis.

Apakah perbezaan antara sekularis dan pascasekularis? Begitu juga apa beza pasca-Islamis dan Islamis? Dalam hal ini, untuk memudahkan perbincangan, Islamis disama ertikan dengan fundamentalis Islam.

Kamal Attaturk, tentera dan penyokong-penyokongnya adalah sekularis. Mereka berpegang teguh kepada prinsip bukan saja memisahkan agama daripada urusan negara, tetapi terus menganggap bahawa agama akan merosakkan kehidupan bernegara.

Tetapi golongan yang berhimpun di Istanbul menolak campur tangan tentera. Mereka dapat menerima amalan-amalan agama rakyat Turki asalkan tidak ada unsur paksaan kepada warganegara yang lain.

Inilah pascasekularis, iaitu golongan yang lebih mendukung nilai demokrasi daripada fahaman asal sekularisme yang dirintis oleh Attaturk ketika memansuhkan institusi Khalifah Uthmaniah.

Tetapi mereka tetap menentang usaha Abdullah Gul untuk menjadi presiden bukan kerana semangat mempertahankan sekularisme Attaturk tetapi bimbang agenda tersembunyi tokoh yang disifatkan sebagai pro-Islam itu.

Abdullah Gul yang pernah pada suatu ketika adalah Islamis, iaitu golongan yang mahu melaksanakan syariah di Turki. Ketika itu Abdullah Gul adalah dalam Parti Fazilet (iaitu Fazilah atau nilai-nilai murni). Parti ini dikenali sebagai parti Islam fundamentalis di Turki. Ia diperintah bubar atas tekanan tentera.

Akibatnya, Abdullah Gul dan rakan-rakan seperjuangan termasuk Erdogan mengisytiharkan tidak lagi berfahaman Islamis. Mereka mengakui sekular dan menubuhkan Parti AK. Parti ini juga diisytiharkan sekular tetapi anggota-angotanya terdiri daripada bekas penyokong Parti Fazilet. Dengan anggota-anggotanya yang mengamalkan cara hidup Islam, wanita turut bertudung, rakyat di Turki menganggap mereka tetap Islamis.

Maka tindakan Parti AK ini sama ada dianggap taktikal ataupun ia merupakan usaha mengislamkan Turki secara perlahan iaitu Creeping Islamisation.

Sedangkan Parti AK berbeza besar daripada Parti Fazilet hinggakan terdapat mereka yang berpegang teguh kepada fundamentalisme Islam menolak Erdogan dan Abdullah Gul. Berlaku perpecahan dalam gerakan Islam ini.

Hakikatnya ialah sudah berlaku perubahan dalam pemikiran gerakan Islam, bukan saja di Turki tetapi di seluruh dunia. Maka Abdullah Gul, Erdogan dan Parti AK tidak lagi Islamis atau fundamentalis Islam. Mereka boleh dilabelkan sebagai pascafundamentalis.

Dari kaca mata Barat, pertembungan yang dilihat berlaku adalah antara sekularis dengan Islamis. Sokongan mereka memihak kepada sekularis, walaupun trek rekod tentera di Turki adalah tidak demokratik dan menekan minoriti seperti kaum Kurdis dan Armenia.

Bagi mereka, Islamis lebih berbahaya dan walaupun Parti Ak mengisytiharkan sudah tidak Islamis, malah menyokong tegas bagi penyertaan Turki ke dalam Kesatuan Eropah (EU), pihak Barat tidak mempercayainya.

Bagaimanapun, hakikatnya landskap ideologi politik di Turki, juga sudah berubah. Golongan sekular di negara- negara Islam juga tidak seperti dulu. Mereka sudah toleran dengan gerakan dan nilai Islam. Inilah ciri penting dalam fahaman pascasekularis. Begitu juga dengan pihak gerakan Islamis. Mereka sudah toleran dengan sekular dan faham bahaya ekstremisme, maka mereka menjadi pasca-Islamis.

Kesedaran demokrasi dan ancaman terorisme menyumbang kepada perubahan daripada sekularis kepada pasca- sekularis, dan Islamis kepada pasca-Islamis. Fenomena politik ini, walaupun berbeza di antara negara-negara Islam, tetapi ia berlaku secara keseluruhan di seluruh dunia.

Melihat kembali tentang perkembangan di Turki, Khalifah Uthmaniah, dengan segala kelemahan dan kebobrokan masih dilihat sebagai sebuah negara Islam. Tetapi kelemahan dan kebobrokan yang hampir menjadikan Turki sebagai hanya salah sebuah wilayah dalam Greece membawa kepada kemunculan gerakan sekularisme pimpinan Kemal Attaturk.

Fahaman sekularisme ini juga berkembang di seluruh dunia Islam khususnya di negara-negara bekas wilayah Khalifah Uthmaniah. Maka fahaman nasionalisme-sosialisme yang dibawa oleh Gamal Nasser di Mesir adalah sebahagian daripada gerakan sekularisme ini. Begitu juga seperti apa yang berlaku di Sudan semasa Jaafar Numeiry, Syria di bawah Hafez Assad, Iraq (Saddam Hussein), Libya (Muammar Gaddafi), Algeria (Ben Bella), Iran (Shah Iran Reza Pahlavi), Pakistan (Muhammad Ali Jinnah), dan Indonesia di bawah Sukarno.

Tetapi walaupun berpuluh tahun menguasai negara masing-masing, pemimpin-pemimpin dunia Islam ini gagal menekan gerakan Islam yang masih mengimpikan kebangkitan semula pemerintahan Khalifah Islamiah.

Malah pemerintahan yang bersifat autoritarian ini membawa kepada reaksi keras daripada gerakan Islamis. Sepatutnya sekularisme yang dibawa mereka khususnya di Turki membawa kepada demokrasi dan masyarakat lebih terbuka. Tetapi amalan sekularisme di negara-negara Islam tidak menjurus kepada pelaksanaan demokrasi sepertimana apa yang berlaku di Eropah.

Adalah jelas bahawa fahaman sekularisme autoritarian ini berasal dari Barat. Sepertimana juga fahaman sosialisme dan komunisme yang dalam bentuk-bentuk tertentu membawa kepada pemerintahan autoritarian. Bagi sesetengah pengulas Barat, sifat autoritarian di negara-negara Islam ini berpunca daripada agama Islam.

Sedangkan hakikatnya Nazisme, fasisme dan komunisme yang membawa kepada autoritarian di Eropah tidak ada kaitan dengan agama Islam. Kesedaran demokrasi tidak berkaitan dengan sesuatu agama. Ia berkembang menurut pelbagai faktor dalam sesebuah masyarakat dan negara.

Maka pihak yang menentang pemerintahan autoritarian sekular di negara-negara Islam adalah dari kalangan gerakan Islam. Ikhwanul Muslimin yang berasal dari Mesir menentang fahaman Nasserisme. Begitu juga di Syria dan Iraq di mana Ikhwanul Muslimin menentang Baathisme. Di Pakistan, di mana tentera menjadi penguasa di atas fahaman yang diasaskan oleh Muhammad Ali Jinnah turut ditentang oleh Jamaati Islami. Di Indonesia, Sukarno ditentang oleh gerakan Islam pimpinan Masyumi, dan dari kalangan gerila ialah gerakan Darul Islam.

Maka kemuncaknya ialah penentangan Ayatullah Khomeini terhadap Shah Iran pada 1979 yang ditandai dengan Revolusi Islam Iran. Ia simbol utama kebangkitan Islam tahun 80-an.

Pada waktu yang sama, gerakan Islam bangkit di Turki. Berpuluh tahun fahaman sekularisme Turki gagal menundukkan ikatan rakyatnya terhadap Islam, dalam erti kata yang luas.

Necmettin Erbakan (Necmettin adalah ejaan Turki bagi Najmuddin) memimpin parti gerakan Islam, Parti Milli Salamat (MSP). Milli Salamat bermaksud Penyelamat Negara. Dengan segera tentera Turki yang menganggap dirinya pelindung sekularisme mengharamkannya. Tetapi tekanan rakyat kepada tentera supaya Turki menjadi demokrasi bertambah kuat. Ia disertakan dengan tekanan negara-negara Eropah lebih-lebih lagi Ankara menunjukkan minat untuk menyertai EU.

Selepas, MSP diharamkan, Erbakan menubuhkan Parti Kebajikan (Refah). Pada masa inilah beliau berjaya menjadi Perdana Menteri pada 1996 kerana sokongan rakyat kepada parti Islamis. Secara rasmi, parti ini bukan parti Islam. Ia hanya disebut sebagai parti pro-Islam.

Semasa menjadi Perdana Menteri, Erbakan menunjukkan condongnya kepada negara-negara Islam termasuk Iran, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan negara-negara Asia Tengah yang merupakan rumpun Turki dan beragam Islam. Beliau menjauhkan Turki dari Eropah.

Sudah tentu pihak tentera sekali lagi memberi tekanan hingga membawa kepada pengharaman Parti Refah. Maka selepas Parti Refah, penyokong-penyokongnya menubuhkan Parti Fazilet. Di sinilah mula muncul Erdogan dan Abdullah Gul yang menunjukkan kecekapan mereka menjadi ahli politik yang prorakyat hinggakan mereka yang bukan pro-Islamis turut menyokong.

Maka apabila Parti Fazilet diharamkan, penggantinya Parti AK membawa fahaman berbeza dan memberi penekanan kepada urus tadbir kerajaan yang baik berbanding soal agama dan syariah.

Tetapi perkembangan yang boleh disebut sebagai pasca-Islamis ini juga berlaku di tempat-tempat lain di dunia Islam. Di Iran, golongan yang dipanggil sebagai gerakan prodemokrasi dengan Presiden Mohamad Khatami sebagai simbol utama boleh disifatkan sebagai kumpulan pasca-Islamis.

Mereka pada suatu masa menyokong kuat fundamentalisme, konsep negara Islam dan Ayatullah Khomeini. Tetapi mereka juga melihat bahawa pengabaian soal-soal kebebasan, hak manusia dan demokrasi bukanlah suatu yang bertepatan dengan nilai Islam.

Sebab itu fahaman ini disebut pasca-Islamis. Mereka menyokong gerakan Islam pada masa kebangkitan Islam tahun 80-an. Bagaimanapun realiti sosial dan kesedaran mengenai kepentingan demokrasi mengubah fikiran mereka, dan ini berlaku pada tahun-tahun akhir 90-an, sebab itu boleh disebut sebagai pasca-Islamis.

Di Mesir, kematian Nasser membawa kepada kemunculan Anwar Sadat. Beliau masih bersifat keras kepada Ikhwanul Muslimin tetapi memberi ruang-ruang tertentu kepada gerakan Islam. Justeru, tidak seperti Nasser, Sadat tidak boleh disebut sebagai sekularis. Lebih tepat lagi, beliau perlu dilihat sebagai pascasekularis.

Penggantinya, Hosni Mubarak memantapkan lagi fahaman pascasekularis di Mesir. Tetapi pada waktu yang sama, perkara serupa berlaku di Sudan. Numeiry yang memberi ruang kepada Hassan Turabi yang Islamis tidak boleh dilihat sebagai sekularis. Beliau perlu dipandang sebagai pascasekularis.

Sementara Presiden Ziaul Haq di Pakistan yang melaksanakan program Islamisasi di Pakistan sudah tentu tidak boleh dianggap sekularis. Bagaimanapun beliau bukanlah fundamentalis Islam seperti pegangan Jamaati Islam. Maka Ziaul Haq juga adalah pascasekularis.

Di Indonesia, Suharto yang pada pertengahan pemerintahannya memberi ruang kepada B.J. Habibie dan Ikatan Cendekiawan Muslim Indonesia (ICMI) turut boleh dilihat sebagai pascasekularis. Sekularisme beliau tidaklah serupa dengan apa yang dipegang Sukarno.

Maka reaksi kepada pascasekularisme ini adalah pasca-Islamis. Setelah Suharto tumbang ekoran reformasi, parti Islam yang muncul di sana tidak lagi bersifat fundamentalis. Baik Parti Amanat Nasional (PAN), Parti Kebangkitan Bangsa (PKB), malah Parti Keadilan Sejahtera (PKS) yang jelas digerakkan oleh Islamis tidak lagi berbentuk seperti parti Islam tahun 80-an. Mereka telah menjadi pasca-Islamis.

Maka pertembungan antara pascasekularis dan pasca- Islamis di Turki sedang diperhatikan oleh dunia Islam. Satu jalan tengah mungkin dapat ditemui dan akhirnya kedua-dua pihak dapat mengambil bahagian dalam iklim demokrasi di mana masing-masing mempunyai sifat toleran terhadap fahaman masing-masing. Apa yang penting adalah urus tadbir kerajaan secara baik, bersih dan adil.

Read more!