Di mana kekuatan politik Pak Lah?

Oleh: Rosnah Majid
Sumber: Utusan Malaysia 13 Januari 1999


SETELAH dinamakan Timbalan Perdana Menteri, (TPM) Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terus dianalisis. Dari perwatakannya, latar belakang keluarganya, sejarah kerjanyanya hinggalah jatuh bangunnya dalam politik disingkap semula.

Antara soalan yang ditanya ialah apakah kekuatan Pak Lah? Beliau dilihat sebagai orang yang berperwatakan lembut. Tetapi kelembutan perwatakan itulah sebenarnya kekuatannya. Beliau dianggap pemimpin yang sederhana. Tetapi kesederhanaan itulah sebenarnya kekuatannya.

Beliau dianggap pemimpin yang tidak kontroversial. Dan sifat tidak kontroversial inilah sebenarnya kekuatannya. Beliau diakui pemimpin yang bersih. Dan itulah keunggulan kekuatannya.

Bagi mereka yang mengenali Pak Lah dari dekat, beliau adalah pemimpin yang tegas berpegang kepada prinsip. Dalam gelombang politik wang yang melanda UMNO, Pak Lah terus berdiri tegak menentangnya habis-habisan. Beliau lebih rela kalah daripada tunduk kepada politik wang. Inilah yang berlaku pada tahun 1993 apabila beliau kalah mempertahankan jawatan Naib Presiden UMNO yang disandang sejak 1984. Tahun 1993 menyaksikan kemenangan besar 'Team Wawasan' dan tahun itulah berlakunya kemuncak politik wang sehingga UMNO terpaksa mengadakan Perhimpunan Agung Khas mengutuk politik wang.

Dalam pertandingan berikutnya pada tahun 1996, beliau sekali lagi bertanding jawatan Naib Presiden dan menang. Walaupun pada tahun itu beliau begitu perlukan kemenangan, tetapi beliau sama sekali tidak bersedia menggadai prinsipnya dan tetap berkempen atas tiket imej bersih.

Kemenangannya pada tahun itu disambut dengan gembira oleh rakyat yang bencikan politik wang dan dahagakan pemimpin bersih. Dalam sebuah parti yang terpaksa mengadakan perhimpunan agung khas mengutuk politik wang, adalah lebih mudah mencari pemimpin yang pandai daripada pemimpin yang bersih. Pak Lah adalah antara beberapa pemimpin yang masih boleh menjulang imej ini.

Bagi rakyat yang mahukan pemimpin yang tidak ada skandal, pelantikan Pak Lah dianggap kemenangan kepada mereka. Datuk Seri Dr. Mahathir tentulah mahukan seorang timbalan yang bukan saja bersih tetapi juga kelihatan bersih. Dr. Mahathir tentu sedar bahawa hanya pemimpin yang tidak bermasalah yang lebih mudah menyelesaikan masalah.

Perwatakan yang lembut sederhana tidak syak lagi menjadi aset penting dalam usaha menyatu semula dan memperkukuhkan kembali UMNO sekarang.

Perwatakan ini membuatkan ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi merasa lebih senang mendekatinya untuk memberi pandangan dan teguran daripada ahli-ahli. Ini akan memudahkan Pak Lah membantu Presiden parti dalam usaha menyatukan UMNO bagi menghadapi pilihan raya umum yang dijadualkan April tahun 2000.

Setiap kali berkempen pilihan raya di Pulau Pinang, Pak Lah akan berkunjung ke markas DAP untuk berjumpa dan bersalam dengan para penyokong parti pembangkang itu. Penyokong DAP ada yang menepuk dahi sambil berkata, ''Aiya, Pak Lah datang, kami habis la.''

Sebagai birokrat yang lama dalam pentadbiran kerajaan, Pak Lah sudah tentu disenangi oleh kakitangan kerajaan. Pelantikan beliau sebagai orang nombor dua terpenting dalam kerajaan Malaysia adalah satu penghormatan kepada kalangan birokrat. Beliau dikira akan lebih mudah mengatasi masalah dalam kerajaan kerana pengalamannya sebagai pegawai kerajaan yang lama sebelum meletak jawatan untuk terjun ke dalam dunia politi sepenuh masa.

Beliau dari keluarga ulama dan politik yang disegani di Pulau Pinang sudah tentu akan lebih mudah mendekati golongan agama, lebih-lebih lagi beliau sendiri berpendidikan Pengajian Islam dari Universiti Malaya. Datuknya, Abdullah Fahim adalah Mufti Pulau Pinang yang memberi tarikh kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.

Sebagai bekas Pengarah Belia serta Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Pak Lah lebih memahami kehendak dan kemahuan belia. Beliau sendiri pernah memegang jawatan Presiden Gabungan Pelajar-pelajar Melayu Semenanjung (GPMS). Ertinya golongan belia akan merasa selesa untuk berinteraksi dengan beliau.

Dalam arena politik, Pak Lah datang dari keluarga UMNO. Bapanya Datuk Ahmad Badawi merupakan pemimpin UMNO yang disegani dan pernah menjadi Naib Ketua Pemuda selama 18 tahun. Politik UMNO adalah darah dagingnya.

''Pada saya pelantikan ini adalah kehendak Allah,'' demikian komen beliau selepas diumumkan menjadi TPM. Sesungguhnya inilah yang dibuktikan oleh sejarah UMNO. Semua Presiden dan Perdana Menteri memperoleh jawatan masing-masing 'di atas kehendakNYA.'

Tunku Abdul Rahman Putra terpaksa dipujuk dan diugut untuk memimpin UMNO selepas Datuk Onn Jaafar meletak jawatan. Menurut bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu, Tan Sri Melan Abdullah, Tunku diugut untuk menerima jawatan Yang DiPertua UMNO, Jika tidak Utusan akan menyiarkan berita 'Anak raja pengecut'.

Tun Razak Hussein menjadi Perdana Menteri selepas Tunku berundur secara sukarela, setelah menjadi timbalan selama 16 tahun. Tun Hussein Onn dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri selepas kematian mengejut Tun Dr. Ismail dan kemudiannya menjadi Perdana Menteri selepas kematian mengejut Tun Razak.

Datuk Seri Dr. Mahathir dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri selepas kembalinya Tun Razak ke rahmatullah dan Tun Hussein menjadi Perdana Menteri. Dr. Mahathir pula menjadi Perdana Menteri selepas Tun Hussein Onn mengambil keputusan meletak jawatan Perdana Menteri dan Presiden parti atas sebab kesihatan.

Demikian kesemua mereka naik secara 'kehendakNya', bukan melalui perancangan rapi merebut jawatan dengan jatuh-menjatuh. Kali ini Pak Lah juga terpilih melalui 'kehendak-Nya'. Barangkali inilah UMNO.

Read more!