Showing posts with label Tokoh. Show all posts
Showing posts with label Tokoh. Show all posts

Legasi jelas Tun Razak

Oleh: ZIN MAHMUD (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 18 Jun 2007


SEMINAR Legasi Tun Razak kepada Pembangunan Negara yang berakhir Sabtu lalu memiliki dua kewajaran. Pertama, sememangnya masa ini adalah sesuai untuk memperingati legasi Allahyarham Tun Razak memandangkan negara menyambut ulang tahun hari kemerdekaannya ke-50.

Kedua, seminar itu sememangnya wajar dianjurkan oleh Pergerakan Pemuda UMNO kerana merekalah yang akan mewarisi kepimpinan negara akan datang, dan perlu untuk anggota-anggota pergerakan itu memiliki apresiasi terhadap perjuangan, wawasan dan pencapaian Perdana Menteri Kedua Malaysia itu.

Dalam merayakan ulang tahun kemerdekaan negara, sudah tentu kecenderungan rakyat negara ini untuk menghargai pencapaian Bapa Kemerdekaan iaitu Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Sebagai pemimpin politik yang berjaya membawa negara ini mencapai kemerdekaan, maka adalah sewajarnya beliau ditempatkan dalam kedudukan tertinggi dalam sejarah nasional Malaysia. Rakyat juga mesti menghargai kejayaannya mendapatkan kemerdekaan tanpa pertumpahan darah dalam menentang penjajah. Kaedah diplomasi ini bukannya mudah dan mesti difahami dan dihargai.

Tetapi kejayaan beliau tidak dapat dicapai bersendirian. Ia perlu dilihat dalam konteks. Bagaimana tokoh-tokoh sebelum beliau turut memberi sumbangan, baik daripada kalangan UMNO iaitu pengasasnya Datuk Onn Jaafar ataupun daripada pejuang-pejuang kemerdekaan lain di luar UMNO dan Perikatan.

Tidak kurang penting ialah kejayaan Tunku ini juga disumbangkan oleh timbalannya iaitu Tun Razak. Juga perlu diingatkan betapa Tun Razak yang berjumpa dengan Tunku serta memujuk beliau untuk memimpin UMNO selepas Datuk Onn. Tun Razak tidak pula merebut jawatan Yang Dipertua UMNO walaupun beliau mampu, tetapi sebaliknya mencari Tunku untuk menjadi pemimpinnya. Ternyata sejarah menunjukkan kebijaksanaan Tun Razak itu mendatangkan hasil.

Bagaimanapun kejayaan sesebuah negara tidak hanya setakat mencapai kemerdekaan. Banyak bekas tanah jajahan di seluruh dunia selepas Perang Dunia Kedua turut mencapai kemerdekaan. Tetapi akhirnya kedudukan mereka selepas mencapai kemerdekaan lebih buruk daripada semasa menjadi tanah jajahan.

Faktor pemimpin kedua selepas tokoh yang membawa kemerdekaan adalah amat penting. Di sinilah peranan ini dimainkan oleh Tun Razak dengan jayanya.

Maka dalam memperingati kemerdekaan negara, penghargaan rakyat negara ini tidak wajar kepada Tunku seorang. Ia mesti diimbangkan dengan penghargaan kepada Tun Razak.

Sememangnya terdapat sesetengah golongan yang hanya cenderung untuk menghargai Tunku dan seolah-olah melupakan Tun Razak. Ini kerana mereka berpendapat cara fikir Tunku adalah selari dengan fahaman mereka, tetapi tidak pula terhadap Tun Razak.

Hakikatnya rakyat negara ini terhutang budi kepada kedua-duanya, Tunku dan Tun Razak jika mereka benar-benar mahu menghargai pencapaian Malaysia pada hari ini.

Cuba ingati 10 tahun pertama selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan iaitu dari tahun 1957 hingga 1967, ketika Tunku menjadi Perdana Menteri dan Tun Razak timbalannya. Waktu itu negara ini dalam pergolakan politik dan keselamatan yang dahsyat.

Ketika mula mencapai kemerdekaan, Persekutuan Tanah Melayu begitu mentah dan rapuh, serta masih mencari identiti.

Walaupun kemerdekaan dicapai secara aman, iaitu tidak ada peperangan antara Tanah Melayu dengan Britain tetapi negara ini sedang dilanda dengan konflik.

Pada 31 Ogos 1957, darurat masih berlaku. Ia seolah-olah perang saudara antara kerajaan Perikatan yang dibantu oleh Britain dan negara-negara Komanwel dengan Parti Komunis Malaya (PKM) disokong oleh China dan negara-negara komunis lain.

Tunku berjaya meyakinkan rakyat untuk menentang komunis dan akhirnya Darurat dapat ditamatkan pada 1960. Tetapi ancaman komunis terus wujud dengan mereka berada di Singapura dan Sarawak dengan mendapat sokongan Indonesia ketika itu.

Tunku berjaya menumpaskan ancaman ini melalui penubuhan Malaysia pada tahun 1963 yang hanya mantap selepas kejatuhan Sukarno pada tahun 1964 dan pemisahan Singapura pada tahun 1965.

Walaupun Tunku dapat meraikan kejayaan Malaysia itu dengan selesa ketika hari kemerdekaan ke-10 disambut meriah di Kuala Lumpur pada tahun 1967, tetapi di situ mula menampakkan bibit- bibit ancaman dari dalam negara yang jika tidak bijak ditangani akan meruntuhkan segala pencapaian beliau selama 10 tahun.

Tahun 1967 juga adalah ketika mana Utusan Malaysia mula diterbitkan. Tahun itu jugalah Bahasa Melayu yang telah dinamakan sebagai Bahasa Malaysia pada tahun 1963 dikuatkuasakan sebagai bahasa pentadbiran. .

Dari tahun 1967 hingga tahun 1974, Malaysia berada dalam keadaan yang tidak menentu. Rasa tidak puas hati timbul di kalangan rakyat, khususnya orang Melayu yang digolongkan sebagai bumiputera bersama penduduk peribumi Sarawak dan Sabah sejak tahun 1963.

Pilihan raya tahun 1969 dan peristiwa 13 Mei menjadi titik penting dalam sejarah nasional kerana apa yang akan dilakukan oleh pemimpin negara selepas itu menjadi penentu sama ada projek Malaysia ini akan berjaya atau tinggal menjadi eksperimen yang gagal.

Maka tokoh yang menjadikan projek Malaysia ini berjaya ialah Tun Razak. Penubuhan Majlis Gerakan Negara (Mageran), gerakan Muhibah dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) adalah satu aspek penting yang menyumbangkan kepada kejayaan Malaysia.

Tetapi lebih penting lagi ialah jentera politik yang membawa kepada kejayaan ini, iaitu gagasan Barisan Nasional (BN).

Tun Razak mempunyai ruang pemikiran luas dan mampu berfikir keluar daripada UMNO dan Perikatan. Beliau mengajak semua parti politik di negara ini termasuk musuh-musuh ketat UMNO untuk menyertai BN.

Allahyarham turut mengundang DAP dan Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM) tetapi kedua-duanya menolak.

Tetapi BN berjaya ditubuhkan dengan kerjasama Pas dan Gerakan. Kerajaan campuran Perikatan-Pas menjadi asas keseluruhan orde baru politik pembangunan yang ingin diwujudkan oleh Tun Razak.

Setelah kembali lawatan ke Republik Rakyat China, satu perhimpunan raksasa diadakan di Padang Kelab Selangor (kini Dataran Merdeka), Tun Razak jelas mendapat sokongan rakyat dan memasuki pilihan raya tahun 1974 dengan kemenangan besar.

Siapa yang melalui zaman itu akan dapat ingat betapa tingginya semangat rakyat Malaysia mengenai masa depan. Ekspo Pembangunan diadakan di Stadium Negara. Tun Razak mendapat gelaran Bapa Pembangunan dan projek- projek yang memberi manfaat kepada rakyat, khususnya di luar bandar mula menampakkan hasil.

Masa depan bahasa Malaysia ternyata cerah dengan penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di mana doktor dan jurutera dihasilkan dengan menggunakan bahasa pengantar sendiri.

Tun Razak mengubah Malaysia daripada sebuah negara dalam pelukan Barat kepada negara berkecuali yang bebas. Sistem ekonomi negara pula bersifat campuran yang mana kerajaan turut memiliki agensi-agensi perniagaan beroperasi bersama dengan syarikat-syarikat swasta dalam pasaran terbuka.

Legasi Tun Razak yang menyelamatkan negara ini dilanjutkan oleh Allahyarham Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad dan kini Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Read more!

Apabila filem Said Zahari diharamkan

Oleh: ZIN MAHMUD (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 14 April 2007


AKHBAR Utusan Melayu berkongsi banyak perkara dengan Singapura. Tetapi perkongsian tokoh antara Utusan Melayu dengan Singapura membabitkan empat orang yang pernah mencorak sejarah politik Singapura dan Malaysia.

Empat tokoh itu ialah Allahyarham Yusof Ishak, Tan Sri Samad Ismail, Said Zahari dan Lee Kuan Yew. Yusof adalah pengasas syarikat dan akhbar Utusan Melayu dan beliau juga adalah presiden pertama Republik Singapura. Wajahnya kini menghiasi wang kertas dolar Singapura.

Samad pula adalah bekas pengarang Utusan Melayu dan menjadi pengasas bersama Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang kini memerintah Singapura. Lee Kuan Yew yang bersama Samad mengasas PAP adalah bekas peguam Utusan Melayu.

Beliau terkenal sebagai Perdana Menteri Singapura dan kini menjadi menteri mentor republik itu. Atas sokongannya Yusof menjadi Presiden Singapura tetapi rentetan peristiwa yang berlaku di Singapura menyebabkan Samad ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam negeri (ISA) pada tahun 70-an.

Tetapi antara tahanan ISA Singapura yang terkenal ialah Said Zahari, bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu dan bekas Ketua Satu Parti Rakyat Singapura (PRS). Beliau ditahan selama 17 tahun.

Kisah penahanan beliau dipaparkan dalam autobiografinya berjudul Meniti di Lautan Gelora yang diterbitkan oleh Utusan Publications and Distributors dan Universiti Kebangsan Malaysia (UKM).

Filem mengenai kisah penahanan beliau itu dibuat oleh pengarah filem Singapura, Martyn See dengan judul Zahari‘s 17 years. Selasa lalu kerajaan Singapura mengumumkan pengharaman filem itu yang disifatkannya sebagai mampu menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kerajaan Singapura.

Tetapi hakikatnya apa yang berlaku berhubung dengan Utusan Melayu, Yusof Ishak, Samad Ismail, Said Zahari dan Lee Kuan Yew adalah peristiwa-peristiwa bersejarah yang tidak boleh dipadam atau dinafikan.

Apa yang menjejaskan keyakinan rakyat Singapura terhadap kerajaannya bukan lagi perkara-perkara berhubung dengan fahaman nasionalisme kiri yang pernah dibawa oleh Samad Ismail dan Said Zahari.

Walaupun golongan nasionalis kiri gagal dalam perjuangan mereka tetapi sumbangan pemikiran dan aktiviti yang dilakukan itu membentuk negara Malaysia dan Singapura yang ada pada hari ini.

Mereka adalah sebahagian daripada sejarah dan perjuangan kemerdekaan kedua-dua negara.

Sepanjang minggu lalu, apa yang mampu menjejaskan keyakinan rakyat Singapura terhadap kerajaannya bukanlah filem dokumentari mengenai Said Zahari. Sebaliknya, apa yang lebih wajar membimbangkan kerajaan Singapura adalah keputusan mereka menaikkan gaji menteri.

Dalam perbincangan penulis dengan rakyat Singapura sendiri dapat dikesan rasa tidak senang mereka dengan kenaikan gaji kakitangan awam yang begitu besar. Bagi mereka dasar menyetarakan gaji sektor awam dan sektor swasta adalah suatu tindakan yang tidak dapat diterima dalam sebuah negara demokrasi dan sivil.

Ini kerana walaupun sektor swasta bergantung kepada perkhidmatan sektor awam untuk mendapatkan keuntungan tetapi konsep kakitangan awam adalah mereka yang bekerja untuk negara dan orang ramai.

Kalau kakitangan sektor swasta bekerja untuk keuntungan semata-mata, di pihak sektor awam pula, mereka sebenarnya berkhidmat untuk rakyat, orang ramai dan negara. Wajar dalam memberi ganjaran kepada sektor awam, pastinya terdapat elemen perkhidmatan, pengorbanan dan bekerja untuk negara. Justeru, mereka tidak boleh disamakan dengan ganjaran yang diperoleh oleh sektor swasta. Lebih-lebih lagi apabila cabaran yang dihadapi oleh kakitangan awam tidak sesengit di sektor swasta.

Tetapi tanda-tanda bahawa banyak pihak di Singapura tidak setuju dengan kenaikan gaji menteri itu lebih ketara apabila Lee Kuan Yew sendiri menegaskan hujah-hujah mengapa gaji mereka perlu dinaikkan. Penegasan itu dibuat ketika beliau ditanya di Australia.

Menurutnya, menteri perlu dinaikkan gaji kerana jika tidak, kerajaan akan kehilangan tenaga-tenaga yang berkaliber kepada pihak swasta. Jadi adalah lebih baik menawarkan gaji yang tinggi kepada anggota sektor awam supaya pentadbiran kerajaan memiliki tenaga yang bermutu, dan merekalah yang mampu membawa republik itu ke tahap yang tinggi, seterusnya mendatangkan keuntungan kepada pihak swasta.

Apa yang menarik ialah banyak rakyat Singapura yang kian berani dan tidak segan silu untuk menyatakan bantahan mereka melalui Internet. Kalau sebelum zaman Internet, sukar bagi rakyat Singapura untuk menyampaikan pandangan mereka kerana akhbar-akhbar dikawal oleh pihak kerajaan.

Utusan Melayu sendiri menjadi mangsa kawalan itu apabila ia dilarang daripada masuk ke republik itu kerana dikatakan mempertikaikan cara pemerintahan Singapura. Tetapi pada zaman Internet, kawalan-kawalan seumpama itu sudah tidak relevan. Akhbar Utusan boleh dibaca di mana-mana di dunia melalui Internet.

Hakikatnya ialah keyakinan rakyat terhadap kerajaan bukannya bergantung pada akhbar atau filem. Akhirnya ia adalah disebabkan oleh dasar-dasar kerajaan itu sendiri.

Maka tidak hairanlah, apabila Rabu lalu, Perdana Menteri Lee Hsien Loong menyatakan bahawa sebahagian daripada gajinya iaitu yang bertambah akibat kenaikannya akan didermakan. Parlimen Singapura yang didominasi oleh PAP juga membahaskannya secara mendalam selama tiga hari.

Hsien Loong menghujahkan betapa kenaikan gaji itu bukan untuk kesenangan menteri-menteri yang ada hari ini tetapi bagi memastikan kerajaan dapat menarik orang yang berkemampuan untuk memimpin dan mentadbir negara.

Jika tanpa tarikan gaji itu, tokoh-tokoh yang berkaliber akan lari ke sektor swasta menjadikan Singapura diperintah oleh mereka yang kurang mampu.

Apabila memikirkan semula detik-detik perjuangan kemerdekaan Singapura dahulu, pastinya dapat dipercayai bahawa Yusof Ishak, Samad Ismail dan Said Zahari, malah Lee Kuan Yew sendiri berjuang bukan kerana tarikan gaji yang tinggi melampau tetapi adalah lebih kepada motivasi idealisme.

Read more!

Biografi penuh makna

Oleh: ZIN MAHMUD (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 26 Mac 2007


Tahun ini ketika negara yang menyambut ulang tahun kemerdekaannya ke-50, sebuah buku biografi penuh makna bakal diterbitkan dalam masa dua bulan lagi.

Mengingatkan bahawa negara bukan dibina oleh pemimpin-pemimpin utama semata-mata, maka biografi yang memaparkan kisah hidup dan keperibadian Timbalan Perdana Menteri Malaysia kedua, Allahyarham Tun Dr. Ismail Abdul Rahman akan memberikan perspektif segar mengenai perjuangan kemerdekaan dan pembinaan negara.

Biografi Dr. Ismail yang meninggal dunia pada 2 Ogos 1973 akan menunjukkan betapa beliau mempunyai keperibadian tegas dalam soal urus tadbir negara yang baik. Beliau tidak akan bertolak ansur dalam soal-soal penyelewengan, rasuah atau pembaziran. Malah baginya, urus tadbir negara yang baik mesti didahulukan serta diutamakan berbanding pembangunan itu sendiri.

Buku bertajuk Bukan Kerana Pangkat: Tun Dr. Ismail dan Masanya itu adalah terjemahan kepada The Reluctant Politician: Tun Dr. Ismail and His Times yang diterbitkan Disember tahun lalu dan pelancarannya dilakukan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam pada Khamis lalu.

Penulis buku ini ialah Dr. Ooi Kee Beng, Fellow Institut Kajian Asia Tenggara (ISEAS) Singapura berdasarkan kepada koleksi kertas yang diserahkan oleh anak Allahyarham Dr. Ismail, iaitu Tawfik Tun Dr. Ismail.

Ooi melengkapkannya dengan penyelidikan serta wawancara saudara mara Dr Ismail dan tokoh-tokoh yang mengenalinya termasuk Allahyarham Tun Ghafar baba, Tun Musa Hitam, Tengku Razaleigh Hamzah, Robert Kuok, Lee Kuan Yew dan Tan Sri Ghazali Shafie, iaitu berjumlah sehingga 50 orang.

Penulisan yang mengambil masa 15 bulan ini memaparkan peristiwa mengenai perjuangan menuju kemerdekaan, hubungan Malaysia dengan Singapura, asal- usul falsafah keserantauan Asia Tenggara, konflik dalaman UMNO, hubungan MCA-UMNO, masalah kesihatan Allahyarham Tun Razak, rusuhan 13 Mei dan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Sementara The Reluctant Politician diterbitkan oleh ISEAS, buku Bukan Kerana Pangkat diterbitkan oleh ISEAS bersama Pusat Maklumat Strategik dan Pembangunan Penyelidikan (SIRD) Kuala Lumpur.

ISEAS disifatkan sebagai pusat penyelidikan sejarah, politik dan sosial Asia Tenggara paling berwibawa. Perpustakaannya dikenali sebagai terbaik bagi kajian Asia Tengara. Koleksi kertas peribadi Dr. Ismail menambahkan lagi kekayaan khazanahnya.

Sementara SIRD pula dikenali sebagai penerbit buku isu-isu politik dan sejarah Malaysia meliputi hal ehwal gerakan kiri.

Kerjasama

Apa yang menarik tentang buku ini ialah kerjasama penerbitannya yang melibatkan daripada kedua-dua pihak dari Malaysia dan Singapura. Walaupun penulisnya, Kee Beng ialah seorang warganegara Singapura, tetapi beliau adalah kelahiran Pulau Pinang dan memperoleh ijazah kedoktoran falsafah di Stockholm dalam bidang Sinologi (Kajian Tamadun China).

Beliau yang bidang penyelidikannya meliputi falsafah bahasa, falsafah China, pembinaan negara dengan fokus kepada Malaysia, ekonomi politik dan falsafah sains itu bertanggungjawab terhadap Program Kajian Malaysia di ISEAS.

Bagaimanapun, apa yang membolehkan ISEAS menerbitkan The Reluctant Politician ialah dorongan kuat daripada Pengarah ISEAS, K. Kesavapany, bekas Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia.

Beliau juga walaupun warganegara Singapura adalah kelahiran Malaysia iaitu di Kuala Lumpur. Antara buku tulisan beliau ialah Malaysia-Singapore Relations under Abdullah.

Penterjemahan The Reluctant Politician untuk dijadikan Bukan Kerana Pangkat dilakukan oleh Bashir Basalamah, seorang warga Singapura. Bagaimanapun, penerbitnya, SIRD dan pengedarnya di Malaysia, Gerakbudaya berpusat di Kuala Lumpur.

Hubungan Malaysia-Singapura yang tercermin dalam usaha penerbitan buku ini turut terlihat semasa pelancaran The Reluctant Politician yang dilakukan di Danga Bay, Johor Bahru di mana tetamu-tetamu dari Singapura turut hadir.

Adalah menarik juga betapa Musa yang melancarkan The Reluctant Politician adalah juga Ahli Majlis Penasihat Wilayah Pembangunan Iskandar. Di wilayah ini, negara akan menyaksikan kerjasama yang bertambah dalam bentuk pelaburan dari Singapura.

Musa dan Dr. Ismail mempunyai persamaan dari segi kedudukan kedua-duanya sebagai orang yang pernah menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan juga merupakan tokoh politik UMNO Johor yang berpengaruh.

Musa dalam ucapan pelancaran buku itu menganggap dirinya sebagai pengkagum Allahyarham Dr. Ismail. Beliau menyatakan betapa Allahyarham berusaha keras untuk mewujudkan pelabuhan dan lapangan terbang Johor Bahru.

Kedua-dua infrastruktur di Johor itu dilihat sebagai menampung limpahan ekonomi dari Singapura. Johor pula diharap dapat memanfaatkan apa saja kemajuan pembangunan yang berlaku di republik itu.

Menurutnya, Allahyarham tidak mempunyai masalah apa yang disebut sebagai ‘‘Sindrom Singapura.’’ Apa yang dimaksudkan mungkin ialah perasaan takut atau bimbang kepada Singapura.

Beliau juga menyebut betapa rakan sejawat Allahyarham di pihak Singapura pada masa zamannya, iaitu Dr. Goh Keng Swee juga tidak mempunyai masalah ‘‘Sindrom Malaysia’', iaitu takut atau bimbang kepada Malaysia.

Keng Swee bagaimanapun adalah kelahiran Melaka.

Dalam hal ini, Musa melihat bagaimana Wilayah Pembangunan Iskandar boleh dianggap sebagai usaha yang dapat didedikasikan kepada wawasan Dr. Ismail terhadap negara ini.

Kee Beng pula menyatakan Dr. Ismail dan Musa adalah kedua-duanya anak Johor Bahru yang membesar dalam persekitaran budaya campuran dengan berada hampir pada Singapura yang rancak dan menarik.

‘‘Buku ini akan mengingatkan rakyat Malaysia tentang kepentingan Johor Bahru dalam proses membinaan negara Malaysia.

‘‘Penyelidikan yang saya lakukan untuk buku ini secara besar mengubah pandangan saya mengenai banyak perkara, dan ia membaharui optimisme saya terhadap masa depan Malaysia, dan juga hubungan Malaysia dengan jiran-jirannya,”
kata Kee Beng.

Read more!

Berniaga menurut Raja Gula

Oleh: ZIN MAHMUD (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 29 September 2006


TAIKUN bilionair Malaysia yang tinggal di Hong Kong, Tan Sri Robert Kuok Hock Nien ketika ditemui oleh delegasi Kementerian Pelancongan baru-baru ini memberi kata-kata yang wajar menjadi renungan ahli perniagaan di negara ini.

Katanya: "Sentiasa berniaga secara kerja keras. Banyak orang fikir bahawa mereka boleh buat duit dengan bantuan kerajaan.

"Anda boleh berniaga dengan cara yang betul. Jangan memberi rasuah pada sesiapa. Wang boleh dibuat dengan perlahan.”


Beliau menyeru orang Malaysia berniaga secara jujur dan dengan bekerja keras.

Inilah petua ahli perniagaan yang dikenali sebagai Raja Gula kerana memulakan perniagaan gula pada tahun 1960-an. Menurut majalah Forbes, Kuok memiliki harta bernilai AS$5.6 bilion dengan menjadi pemilik akhbar The South China Morning Post, sebuah stesen televisyen dan salah sebuah pengeluar Coca Cola terbesar di China.

Prinsip perniagaannya adalah mudah dan logik. Kerja keras dan elak rasuah.

Banyak orang yang menceburkan diri dalam dunia perniagaan berkata bahawa bantuan atau hubungan dengan kerajaan adalah penting untuk berjaya.

Pandangan umumnya ialah jika mendapat projek, tender atau kontrak, maka tidak perlulah bersusah payah. Berniaga dianggap mudah bagi mereka yang mempunyai hubungan kabel dengan kerajaan, baik melalui politik atau hubungan langsung. Ia juga dikaitkan dengan sogokan atau rasuah.

Dalam bergaul dengan ahli-ahli perniagaan khususnya kalangan bumiputera, mereka pasti menceritakan tentang kisah-kisah rasuah atau sekurang-kurangnya berbau rasuah. Seolah-olah berniaga tidak boleh lepas daripada rasuah atau kerja-kerja yang tidak mengenal batas jujur dan amanah.

Bukan saja rasuah berlaku dalam hubungan antara perniagaan dengan kerajaan tetapi juga sesama peniaga, baik sebagai pembekal, pengeluar atau pemasar.

Kalau tidak melalui rasuah pun, banyak jalan lain yang ditempuh oleh ahli-ahli perniagaan boleh dianggap sebagai melanggar etika. Daripada pakatan monopoli dalam menetapkan harga yang keterlaluan hinggalah kepada menipu pelanggan. Daripada membuat iklan palsu hinggalah kepada barangan bawah paras kualiti.

Tetapi bilionair unggul Malaysia ini pula kata bahawa perniagaan boleh dijayakan dengan semata-mata kerja keras, jujur dan bersih daripada rasuah.

Kuok yang berusia 83 tahun berniaga dalam beberapa zaman sejarah Malaysia. Beliau hidup semasa British masih menjadi penjajah dan ketika negara dilanda darurat menjelang negara mencapai kemerdekaan.

Perniagaannya meliputi Singapura, Malaysia, Hong Kong hinggalah ke China. Baik ketika Hong Kong di bawah penjajahan British mahupun semasa ia kembali dalam kedaulatan China.

Oleh kerana perniagaannya adalah besar, pastinya beliau perlu sentiasa berhubung dengan kerajaan; sama ada kerajaan penjajah British atau kerajaan merdeka Malaysia, Singapura dan China.

Ternyata perniagaannya berjaya dengan kerja keras, jujur dan bersih daripada rasuah.

Jika majoriti ahli perniagaan mengamalkan sikap begini, maka kerajaan sendiri akan mampu membasmi rasuah. Tidak ada pemberi, maka tidak ada penerima.

Tanpa rasuah, dunia perniagaan akan lebih semarak. Rakyat dan negara akan dapat manfaat.

Read more!

Makna perjuangan Ghafar

Oleh: ZIN MAHMUD (Wartawan Utusan)
Sumber: Utusan Malaysia 24 April 2006


TAN Sri Ghazali Shafie pernah menulis: "Saya secara ikhlas mengharap bahawa satu hari, setelah keserabutan politik tidak wujud lagi, ahli-ahli sejarah yang mengkaji perkembangan mengenai Malaysia hingga ke soal perkembangan sosioekonomi dan politik dan ahli biografi terlatih akan mencari potret manusia bernama Ghafar. Kedua-dua ahli sejarah dan ahli biografi akan akhirnya tidak dapat mengelak untuk sampai kepada satu kesimpulan bahawa pembentukan masyarakat Malaysia dan sikap egalitarian Ghafar adalah selaras, kalau tidak dianggap semakna.''

Hakikat bahawa Ghafar adalah seorang yang sederhana dan pejuang golongan susah tidak dapat dinafikan. Beliau bukan saja menampilkan perawakan sederhana yang bersifatkan kerakyatan tetapi sepanjang kariernya telah berjaya menolak sebarang gelaran dan terus dikenali hanya sebagai Encik Ghafar hinggalah beliau berundur dari politik apabila dianugerahkan dengan bintang yang membawa gelaran Tun.

Beliau sendiri datang daripada keluarga yang amat susah. Menjadi anak yatim dan terpaksa bersusah payah untuk mendapatkan pendidikan dan pendapatan. Tetapi begitu juga dengan banyak orang di negara ini.

Tetapi beliau menjadikan perjuangan politik untuk membela golongan ini dan apabila mendapat kesenangan kuasa dan wang terus tidak lupa dengan idealismenya.

Kesedaran politik membentuk pemikiran sejak berusia 15 tahun. Beliau melihat kolonialisme dan kemiskinan sebagai berkaitan dan perlu diperangi.

Maka beliau menyertai Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan kemudian Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) sebagai manifestasi perjuangan kemerdekaan dan membela golongan tertindas dan terpinggir, yang merupakan majoriti rakyat negara ini, kebanyakannya berada di luar bandar, dan umumnya adalah orang Melayu.

Pendidikan politiknya datang daripada buku-buku Indonesia yang bukan saja beliau baca, tetapi turut jadi pengedar dan penjualnya.

Dua medan menjadi pentas perjuangannya iaitu pendidikan dan kesatuan sekerja. Ia terserlah melalui kepimpinannya ke atas Kesatuan Guru Melayu Semenanjung (KGMS).

Pada mulanya, beliau tidak mahu menyertai UMNO pimpinan Datuk Onn Jaafar yang dilihat sebagai wadah politik British dan kaum bangsawan.

Tetapi apabila Tunku Abdul Rahman mengambil alih kepimpinan UMNO dan menukar slogan parti daripada Hidup Melayu kepada Merdeka, jiwa Ghafar berubah. Walaupun Tunku seorang bangsawan berpendidikan Inggeris tetapi beliau berjiwa rakyat dan seorang nasionalis.

Apabila PKMM dilumpuhkan British, Ghafar memilih menyertai UMNO. Begitu juga dengan beberapa tokoh PKMM lain seperti Aishah Ghani dan Sardon Jubir. Mereka mewarnai UMNO dan menjadikannya parti yang turut meletakkan kepentingan perjuangan menentang kemiskinan dan penindasan.

Tunku dan Tun Razak Hussein yang percaya kepada pembangunan sebagai cara bagi mengatasi kemiskinan memerlukan orang seperti Ghafar yang mempunyai idealisme perjuangan tinggi untuk memberi sumbangan kepada usaha ini.

Tidak keterlaluan untuk dinyatakan bahawa orang seperti Ghafar menyebabkan UMNO turut mempunyai ciri kerakyatan dan persamaan.

Dengan percaya bahawa UMNO merupakan wadah berkesan bagi perjuangannya, beliau terus bergerak mendapat sokongan rakyat. Justeru, tiga entiti ini dijadikan pangkalan gerakannya: UMNO, guru dan Melaka.

Beliau memilih UMNO kerana kepercayaannya kepada kepimpinan Tunku. Dari awal lagi beliau sudah melihat kepentingan kepimpinan, ada kalanya melebihi organisasi. Kepimpinan yang baik akan melahirkan organisasi baik. Organisasi baik tidak semestinya melahirkan pemimpin baik.

Dunia guru menjadi platfom beliau bukan saja kerana beliau sendiri seorang guru. Tetapi pada masa itu, golongan intelektual terbesar Melayu ialah guru. Maka mereka ini mampu menjadi jurubicara rakyat, dan akhirnya beliau selaku pemimpin kesatuan guru berjaya meraih penglibatan guru untuk UMNO. Ini mengukuhkan kedudukan beliau sebagai pemimpin dalam UMNO.

Langkah seterusnya ialah Melaka sebagai platfom. Walaupun sebuah negeri kecil tetapi Melaka yang tidak terikat dengan tradisi bangsawan, tambahan pula sifat pelbagai kaum negeri itu membolehkannya menjadi landasan bagi perjuangan menuntut kemerdekaan.

Ternyata Melaka memberi peranan besar terhadap kerjasama UMNO-MCA dan juga merintis kepada pencapaian kemerdekaan Tanah Melayu.

Kemenangan pilihan raya dan pembentukan kerajaan merupakan cara penting bagi melaksanakan program membantu rakyat. Tunku memberi kepercayaan kepada Ghafar. Beliau dilantik sebagai Ketua Menteri dan berusaha membangunkan negeri itu dengan penumpuan usaha memperbaiki taraf hidup masyarakat desa.

Di Melaka beliau berhadapan dengan golongan kiri iaitu Front Sosialis yang menguasai Majlis Perbandaran. Tetapi beliau berjaya menangkis mereka kerana apa yang Ghafar lakukan adalah praktikal dan berkesan. Rakyat terus memberi sokongan kepada Ghafar, UMNO dan Perikatan.

Tetapi Tunku mahu beliau memperluaskan usaha pembangunan ini di peringkat persekutuan, maka beliau dibawa ke pusat dan menjadi Menteri Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar, satu portfolio paling sesuai. Begitu juga apabila beliau dilantik menjadi Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang merupakan agensi penting pembangunan rakyat.

Semasa Allahyarham Tun Razak menjadi Perdana Menteri yang berorientasikan pembangunan luar bandar melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Buku Hijau, perkhidmatan beliau amat diperlukan.

Pada tahap itu, pembangunan luar bandar sudah menjadi teras kepada perjuangan UMNO. Dan Ghafar yang mewakili identiti ini dalam UMNO mempunyai kedudukan kuat, dan sebab itu berjaya mempertahankan jawatan Naib Presiden untuk jangka waktu lama. Kedudukannya ini membolehkan beliau dipilih untuk menjadi Timbalan Presiden dan Presiden jika keadaan menghendaki. Sementara pengaruhnya dianggap sebagai menteri paling kanan.

Justeru apabila Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr. Ismail Abdul Rahman meninggal dunia pada tahun 1973, Tun Razak menawarkan jawatan kedua tertinggi kerajaan itu kepada Ghafar. Tetapi beliau menolak kerana beranggapan bahawa Hussein Onn lebih layak kerana berpendidikan lebih tinggi dan mempunyai sokongan UMNO Johor yang lebih besar dan penting.

Bagaimanapun, beliau dilantik sebagai pemangku Perdana Menteri selama tiga bulan pada tahun 1975 apabila Tun Razak ke luar negeri dan Hussein Onn dimasukkan ke hospital.

Apabila Tun Razak meninggal dunia dan Hussein menjadi Perdana Menteri, Naib Presiden UMNO paling kanan yang wajar dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri ialah Ghafar. Tetapi ternyata Hussein memilih Dr. Mahathir Mohamad yang ketika itu merupakan Naib Presiden UMNO yang berada di tempat ketiga.

Hussein menawarkan Ghafar jawatan Menteri Pertanian tetapi beliau menolak.

Walaupun di luar Kabinet, Ghafar terus aktif berkhidmat untuk UMNO dan Barisan Nasional. Untuk itu, beliau bersama Tengku Razaleigh Hamzah berperanan besar merampas Kelantan daripada Pas.

Setelah Hussein meletakkan jawatan, Dr. Mahathir yang menjadi Perdana Menteri tidak melantik Tengku Razaleigh atau Ghafar sebagai timbalannya, tetapi memilih Musa Hitam yang telah lama dikenali sebagai sekutunya sebelum ini.

Di peringkat itu, Ghafar yang terus memegang jawatan Naib Presiden, seolah-olah sudah menjadi jawatan tetapnya muncul sebagai mewakili sisi teras veteran UMNO. Beliau sudah tidak mengharapkan untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Sebagai Naib Presiden UMNO dan Setiausaha Agung BN, beliau mempunyai pengaruh besar dan ternyata mempunyai tanggungjawab untuk berperanan menghadapi isu-isu tertentu.

Dua isu penting menonjolkan kemahiran beliau sebagai ahli politik yang matang. Pertama, Krisis Perlembagaan 1983 dan Krisis MCA 1984.

Sebagai tokoh veteran berorientasikan rakyat, Ghafar mendapati krisis perlembagaan ini mengandungi isu-isu yang rapat dengan jiwanya. Justeru, beliau menjadi tokoh utama dalam mendukung Dr. Mahathir.

Kalau dahulu, Ghafar melihat Tunku sebagai pemimpin penting yang berkesan, kemudian beliau melihat Dr. Mahathir sebagai pemimpin yang wajar dipertahankan. Justeru dalam persaingan antara Dr. Mahathir dan Tengku Razaleigh, beliau memihak pada Perdana Menteri.

Tetapi Dr. Mahathir juga melihat keistimewaan Ghafar sebagai seorang veteran UMNO yang berpengaruh. Ketika Musa bergabung dengan Tengku Razaleigh menentang Dr. Mahathir dan banyak tokoh veteran menyebelahi mereka termasuk Tunku dan Hussein, Ghafar memilih untuk berada di pihak Dr. Mahathir. Maka sewajarnya beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Ghafar dan Dr. Mahathir datang dari satu generasi. Cumanya Ghafar telah berada lama dalam kepimpinan UMNO. Ghafar mewakili perjuangan Melayu pra-UMNO dan UMNO Tunku dan Tun Razak. Sementara Dr. Mahathir mencerminkan kepimpinan baru UMNO, bersifat dinamik, elitis, global, industri dan urban.

Sementara Ghafar masih mempunyai imej luar bandar, pertanian dan rakyat kebanyakan. Satu gabungan yang tidak mantap tetapi merupakan penyatuan dua unsur pendekatan dalam UMNO.

Kedudukan Ghafar tidak bertahan lama kerana beliau berhadapan dengan cabaran Datuk Seri Anwar Ibrahim dan penyokong-penyokongnya. Kekesalannya ialah Dr. Mahathir tidak menyebelahinya.

Maka Ghafar seperti juga Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Tan Sri Sanusi Junid berada dalam pihak yang menentang Anwar dan kumpulannya.

Ghafar melepaskan jawatan politiknya tetapi terus memegang kerusi Parlimennya. Beliau hanya perlu menunggu masa.

Pada tahun 1997 apabila Anwar dipecat, Ghafar kembali turun padang dan berkempen membela Dr. Mahathir.

Dalam pilihan raya umum tahun 1999 yang mencabar bagi UMNO dan BN, beliau berjaya mempertahankan kerusinya dan mengalahkan Khalid Jaafar, bekas setiausaha akhbar Anwar.

Pada pilihan raya tahun 2004, BN di bawah pimpinan Abdullah, beliau tidak lagi bertanding dalam pilihan raya yang menandakan persaraannya dalam politik.

Ghafar tidak menjadi Perdana Menteri. Tetapi kehadirannya dalam politik sejak negara ini belum mencapai kemerdekaan dapat disaksikan betapa sumbangannya kepada pembentukan Malaysia sebagai negara membangun, bercita-cita untuk menjadi maju tetapi turut memiliki orientasi memerangi kemiskinan dan membela golongan susah dan luar bandar.

Read more!

Puteri Aiko permata hati rakyat

Oleh: Ku Seman Ku Hussain
Sumber: Mingguan Malaysia 27 Februari 2005


WAJAH comel Puteri Aiko yang berusia tiga tahun itu terhimpun resah, duka dan tanda tanya besar bagi rakyat Jepun. Pada wajah mulus dan wataknya manja kepada ibunya, Puteri Masako dan ayahnya Putera Naruhito dilihat oleh pemerhati sebagai gunung berapi yang akan mengubah geografi sistem monarki di Jepun.

Bukan itu saja malah Puteri Aiko juga dilihat sebagai satu simbol pemecahan dominasi lelaki dalam budaya hidup moden di Jepun. Anak comel inilah yang dibayangkan bakal menjadi pewaris takhta dalam sistem monarki Jepun sekali gus memecah dominasi gender yang dipegang oleh lelaki selama ini.

Dari sudut sosiologi, kontroversi memilih pemerintah Jepun dan kemungkinan memihak kepada Puteri Aiko adalah sejajar dengan tuntutan budaya moden Jepun yang memberi hak sama rata kepada lelaki dan wanita. Kesamarataan gender di kalangan rakyat kini seolah-olah direstui apabila seorang puteri akan menjadi maharani pemerintah Jepun.

Puteri Aiko tidak tahu apa-apa. Tetapi seluruh rakyat bercakap mengenai dirinya. Pada usia yang semuda itu, Puteri Aiko menjadi orang yang sangat penting. Daripada ruang istana hingga ke kaki-kaki lima, isu Puteri Aiko menjadi topik kerana beliau hampir pasti mencatat sejarah sebagai Maharani Jepun.

Ketika ini seluruh rakyat Jepun ternanti-nanti bagaimanakah kesudahannya polemik pengganti Putera Naruhito yang tidak mempunyai putera. Persoalan siapa yang bakal menduduki takhta selepas Putera Naruhito hangat dibahaskan. Lalu puteri yang berusia tiga tahun ini menjadi titik persoalannya.

Beberapa bulan lalu rakyat dikejutkan dengan "kehilangan'' Puteri Masako daripada khalayak. Beliau direhatkan di suatu tempat rahsia selepas mengalami tekanan mental yang sangat hebat kesan daripada budaya monarki yang konservatif. Rakyat bersimpati dengan Puteri Masako.

Berwatak baik, pintar dan beliau menjadi tonggak harapan untuk melahirkan putera bagi kelangsungan pewaris sistem monarki Jepun. Tetapi harapan itu terlalu tinggi dan kini tidak tergapai apabila gagal melahirkan seorang putera. Cuma yang termampu seorang puteri selepas 11 tahun berkahwin dengan Putera Naruhito.

Puteri Masako terjebak dalam lingkungan yang konservatif. Sedangkan beliau adalah wanita terpelajar lulusan Harvard dan pernah menjadi diplomat. Itu yang memberikan tekanan antara tuntutan peribadi, harapan rakyat dan juga pihak istana.

Kini selepas Putera Naruhito secara terbuka meminta maaf kepada Puteri Masako kerana memaksa isterinya mengikut tatacara yang konservatif, timbul pula masalah baru tentang siapa selepas Putera Naruhito? Kini yang ada cuma seorang puteri sedangkan yang termaktub dalam perlembagaan Jepun pewaris takhta mesti seorang putera.

Kerana mahu meneruskan tradisi monarki, diusulkan supaya perlembagaan dipinda untuk membolehkan Puteri Aiko menduduki takhta selepas Putera Naruhito. Bukanlah suatu yang mudah untuk meminda perlembagaan istana yang dipegang sejak lama dulu. Tetapi persoalannya kalau tidak dipinda, siapa pula yang akan menjadi teraju negara?

Ketika ini dalam satu kajian yang dibuat, sebanyak 78 peratus daripada penggubal undang-undang di Jepun dan 65 peratus daripada rakyat setuju supaya dipinda perlembagaan untuk membolehkan Aiko mewarisi takhta pemerintahan Jepun. Ini membayangkan pindaan perlembagaan itu hampir pasti dilakukan sekalipun ada pandangan konservatif menolak cadangan yang luar biasa ini.

Di Jepun, isu yang melibatkan kalangan bangsawan istana adalah isu rakyat. Semua orang seolah-olah tidak mahu ketinggalan daripada ikut terlibat setidak-tidaknya mengekspresikan pandangan mereka. Maka isu siapa selepas Putera Naruhito dibahaskan oleh semua lapisan rakyat.

Tetapi yang menariknya rakyat tidak lagi terikat dengan pemikiran konservatif yang bertentangan cara hidup moden di Jepun. Mereka menerima perubahan dan kerana itu lebih separuh responden menerima Puteri Aiko sebagai Maharani Jepun.

Sebelum ini kerana taksub kepada perlembagaan dan sistem monarki, diusulkan supaya Putera Naruhito mengambil anak angkat lelaki untuk diserahkan tampuk pemerintahan sebagai Maharaja Jepun.

Rasionalnya bagi mengelakkan daripada pupusnya sistem monarki yang paling tua di dunia ini. Dicadangkan pengambilan anak angkat daripada bekas-bekas keluarga diraja yang kehilangan gelaran selepas Perang Dunia Kedua dulu. Tetapi ini juga bukan mudah.

Untuk membolehkan pengambilan anak angkat, kerajaan mesti meminda undang-undang berhubung kerabat diraja. Sebuah jawatankuasa pakar kerajaan ditugaskan mengkaji isu pewaris takhta. Ini termasuklah mengkaji kewajaran meminda undang-undang bagi membolehkan wanita menduduki takhta Jepun.

Sementara itu dalam satu tinjauan yang dibuat oleh akhbar Yomiuri Shimbun pula mencatatkan 79 peratus daripada 3,000 responden menyokong wanita menduduki pewaris takhta. Sementara 16 peratus pula tidak mempunyai cadangan sama ada mengekalkan undang-undang yang ada atau sebaliknya. Kalau dilihat daripada tinjauan ini, masyarakat moden Jepun mahu disemak semula Undang-Undang Keluarga Diraja 1948 yang melarang wanita menduduki takhta.

Ini boleh dilihat sebagai perubahan untuk memecah dominasi lelaki dalam semua aspek kehidupan di Jepun. Jepun moden mahu memberi kedudukan yang sama rata antara lelaki dan juga wanita. Maka sekiranya Puteri Aiko menjadi pewaris takhta Jepun, beliau adalah satu simbol kemenangan moral kepada wanita yang memperjuangkan kesamarataan gender dalam budaya moden Jepun.

Puteri Aiko akan diingat sebagai titik tolak penting dalam sistem monarki Jepun yang sudah berusia 2,600 tahun itu. Beliau tentunya bukan saja mengubah sejarah malah mengubah persepsi yang menafikan kemampuan wanita di seluruh dunia.

Undang-undang setinggi atau seagung mana sekalipun adalah hasil buatan manusia. Ia sekadar menjadi tatacara untuk hidup dengan sempurna. Tetapi sekiranya tatacara itu menyusahkan maka ada kewajaran untuk disemak semula relevannya dengan keperluan semasa. Ini sebenarnya yang berada dalam fikiran masyarakat moden Jepun antara keagungan sistem monarki dan realiti sosial yang berlaku di sekeliling mereka.

Read more!

Ceritera duka berajakan Mswati III

Oleh: Ku Seman Ku Hussain
Sumber: Mingguan Malaysia 20 Februari 2005


KETIKA negaranya diancam kebuluran, kemiskinan dan penyakit AIDS yang sangat serius, rajanya terus dengan kegemaran yang diwarisi daripada ayahnya; kahwin baru setiap tahun. Kini raja itu berkahwin dengan isteri ke-13 berusia 16 tahun.

Ketika rakyat hidup melarat dan papa kedana, rajanya hidup mewah. Wang negara digunakan untuk membina 12 istana untuk isteri-isterinya sebelum ini.

Ironiknya tahun lalu Bank Dunia meluluskan pinjaman AS$113 juta untuk 19 projek dalam sektor-sektor utama. Tetapi gaya hidup si raja ini seolah-olah dia yang memberi pinjaman, bukan menerima pinjaman untuk rakyatnya hidup.

Barangkali ini disebabkan oleh sistem monarki yang raja bukan dipilih tetapi raja memilih dirinya sendiri. Lalu dia peduli apa dengan protes atau malah tidak ada ruang "untuk undi tidak percaya'' bagi menurunkan dia dari kayangannya.

Raja yang mendapat pendidikan British dan rakyatnya yang buta huruf memudahkan hasil negara diguna untuk tujuan peribadi. Padahal di persada dunia, negara ini macam tidak wujud di atas peta, ia hanya diingati sebagai sebuah negara yang mempunyai raja yang paling boros.

Demikianlah ceritera duka sebuah negara di Afrika bernama Swaziland. Negara ini kini diperintah oleh Raja Mswati III yang berusia 36 tahun. Tetapi gaya hidupnya seolah-olah dia memerintah Switzerland. Cerita malang rakyat Swaziland bukan rekaan.

Tetapi mereka tidak mempunyai suara dalam sistem monarki total ini. Negara yang mengamalkan sistem monarki terakhir di Afrika ini berdepan dengan krisis kemanusiaan yang paling serius.

Statistik mengenai Swaziland tidak ada suatu pun yang menggembirakan. Jauh sekali untuk dibanggakan. Ia membuktikan monarki total adalah sistem yang korup dan muflis. Monarki yang menolak pendemokrasian kuasa dan suara ternyata hanya akan melahirkan negara seperti Swaziland ini.

Rakyat kehilangan suara. Apabila kebencian dan kemarahan memuncak mereka hanya mampu keluar beramai-ramai ke jalan-jalan raya sambil memekik supaya raja yang korup itu sedar masalah mereka. Tetapi raja ini tidak peduli protes begitu.

Cuba lihat statistik tentang Swaziland; 37 peratus daripada 1.1 juta rakyatnya menghidap AIDS, 40 peratus rakyat menganggur, 70 peratus daripada rakyat pula berpendapatan RM3.80 sehari.

Sementara itu menurut Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) krisis kesihatan yang teruk mencatatkan 60 peratus daripada kanak-kanak di Swaziland mengalami masalah kerosakan otak yang disebabkan oleh kekurangan vitamin. Kematian kanak-kanak disebabkan penyakit ini mencatatkan 600 orang setiap tahun.

Melihat statistik ini agak sukar juga untuk mempercayai bahawa raja yang memerintah negara miskin ini hidup ultramewah selain gemar mengumpul isteri. Tetapi inilah yang berlaku di suatu sudut dunia yang agak terlindung daripada pandangan mata.

Sikap buruk

Negara ini tersorok kerana kemiskinan, diskriminasi warna kulit oleh kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) serta suara pemimpinnya yang tidak didengar di pentas antarabangsa. Apabila suara pemimpin tidak didengar di pentas dunia ditambah dengan sikap buruk yang melampau, kesannya adalah seperti di Swaziland sekarang.

Dalam sebahagian besar media Barat, Swaziland hanya sinonim dengan hal-hal buruk yang sekali gus membuatkan masyarakat dunia membenci mereka. Sebenarnya semua ini bukan saja kerana kemiskinan tetapi sistem yang menutup pendemokrasian dalam banyak hal.

Raja Mswati III diibaratkan badut kepada orang luar. Dia menjadi bahan ketawa kerana mempunyai minat aneh mengumpul isteri. Khabarnya memang itulah tradisi monarki Swaziland. Kerana AIDS merupakan sesuatu yang biasa di Swaziland, maka bakal isteri ke-13 Raja Mswati III juga dikenakan ujian kesihatan.

Pada dekad 90-an, golongan pelajar dan buruh pernah melancarkan demonstrasi menuntut diadakan reformasi; menukar daripada monarki total kepada demokrasi. Tetapi usaha reformasi ini gagal. Dalam perlembagaan Swaziland, semua parti politik diharamkan dan yang ada cuma persatuan politik seperti Ngwane National Liberatory Congress (NNLC), Imbokodvo National Movement (INM) dan People's United Democratic Movement (PUDEMO).

Gerakan ke arah memperjuangkan sistem raja berperlembagaan telah lama tetapi selalu menemui jalan buntu. Ini kerana raja yang ada tidak memberi laluan kepada sistem demokrasi mengambil alih sistem monarki yang ada sekarang.

Boros dan pembaziran Raja Mswati III sangat luar biasa. Lihat saja bagaimana rancangannya untuk membeli sebuah jet peribadi berharga lebih 28 juta pound. Tetapi akhirnya dia akur kepada desakan rakyat dan membatalkan pembelian itu. Tetapi bayaran muka 2.8 juta pound hangus begitu saja. Bayangkan nilai 28 juta pound bagi sebuah negara yang 70 peratus rakyatnya berpendapatan RM3.80 sehari?

Tetapi rancangan membina 12 istana yang menelan belanja 5.6 juta pound diteruskan ketika negara dibayangi kebuluran dan kemiskinan yang paling serius.

Di sebalik kemiskinan rakyat, pembaziran Raja Mswati III di luar hukum akal yang logik. Untuk apalah kereta mewah berharga AS$630,000, mengundang 10,000 tetamu untuk meraikan hari lahirnya ke-36 yang menelan belanja AS$800,000? Ini belum lagi membeli 10 kereta mewah BMW lima siri kepada isteri-isterinya.

Pencabulan hak asasi manusia berlaku sewenang-wenang di Swaziland. Untuk acara memilih isteri Raja Mswati III misalnya, pada setiap tahun dianjurkan acara ritual Tarian Reed yang disertai oleh gadis-gadis belasan tahun yang berpakaian separuh bogel. Mereka dipaksa menarikan tarian erotik di depan Raja Mswati III dan pengawal peribadi raja akan mengambil gadis itu tanpa persetujuan keluarga untuk dihidangkan kepada raja.

Untuk memilih isteri ke-13, sebanyak 12 gadis yang bertaraf ratu cantik Swaziland membuat persembahan catwalk di depan Raja Mswati III. Raja yang bergelar singa itu memilih Ratu Remaja Swaziland berusia 16 tahun, Nothamdo Dube.

Kerana bimbang gadis ini dijangkiti HIV, calon isteri ini juga dibuat ujian dan didapati negatif HIV. Kegilaan berkahwin si raja ini semacam mahu mengatasi ayahnya yang meninggal dunia tahun lalu yang mempunyai 70 isteri.

Pihak pejuang hak asasi manusia meminta Raja Mswati puas dengan 13 isterinya sekarang sekalipun tradisi kaum Swazi tidak mengehadkan jumlah isteri bagi raja mereka.

Moral kisahnya, kemiskinan dan kemunduran selalunya menutup ruang rakyat berfikir jauh tentang hari esok. Maka akan wujud oportunis yang mengambil kesempatan untuk hidup mewah memperkudakan rakyat yang sudah malas berfikir tentang hidup dan kehidupan. Salah satunya Raja Mswati III.

Read more!

Camilla dibayangi Puteri Diana

Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN
Sumber: Mingguan Malaysia 13 Februari 2005


PUTERI Diana yang menerima gelaran Princess of Wales masih hidup segar dalam ingatan rakyat Britain. Bagi mereka "Puteri Rakyat'' itu tidak pernah mati kerana sumbangan khidmatnya terhadap kerja-kerja kebajikan.

Puteri Diana yang menemui maut dalam tragedi kemalangan jalan raya pada 31 Ogos 1997 sebenarnya lebih berpengaruh daripada semasa hayatnya. Kematian dalam keadaan yang sangat tragis telah menyemarakkan kecintaan rakyat Britain dan seluruh dunia terhadap wanita ini.

Diana selembut namanya adalah rakyat biasa. Cuma Puteri Diana bernasib baik kerana dipilih oleh Putera Charles sebagai isteri. Peluang berada dalam keluarga diraja digunakan untuk "menulis'' semula hukum-hukum keluarga diraja Britain yang sangat berpengaruh itu. Diana merakyatkan sistem monarki dan menjadi jambatan yang paling disenangi antara Istana Buckingham dengan rakyat jelata.

Pengaruh Diana di kalangan rakyat sangat luar biasa. Lihat saja bagaimana rakyat melontarkan kebencian mereka apabila Putera Charles menceraikan Diana pada 1996. Istana dikecam dan publisiti buruk dilemparkan kerana mempersia-siakan Puteri Cinderella moden yang hadir di tengah-tengah mereka.

Maka siapa yang akan mengisi kekosongan sebagai isteri Putera Charles wajar mendepani tekanan ini daripada rakyat. Ini kerana rakyat semacam telah menggariskan prasyarat untuk menjadi isteri Putera Charles. Antara ciri-cirinya tentunya lebih baik atau sekurang-kurang sama seperti Puteri Diana yang acara pengebumiannya disaksikan oleh 2.5 bilion penduduk di dunia.

Kekasih Putera Charles 30 tahun lalu, Camilla Parker yang dengan rasminya akan menjadi Duchess of Cornwall dan isteri Charles pada 8 April depan harus menerima hakikat ini. Khamis lalu pihak Istana Buckingham telah mengeluarkan kenyataan mengenai perkahwinan Putera Charles dengan Camilla selepas pelbagai kontroversi yang memperemehkan pihak istana.

Rakyat tidak menyambut berita gembira pasangan ini seperti mereka berpesta gembira apabila Putera Charles memilih Puteri Diana dua dekad lalu. Suasana di kalangan rakyat sangat berbeza.

Camilla wajar mendepani rasa dingin rakyat terhadap raja mereka apabila memilih dirinya, bekas kekasih yang dikatakan merampas Putera Charles daripada Puteri Diana.

Biarpun 8 April merupakan fasa pertama berakhirnya penantian Camilla selama tiga dekad untuk bertakhta di hati Charles secara sah tetapi laluan masih berliku. Camilla yang berusia 57 tahun itu wajar bersedia untuk dibandingkan dengan Puteri Diana yang meninggalkan nama yang baik lagi harum selepas kematiannya.

Kemarahan rakyat kerana Camilla menjadi orang ketiga antara Putera Charles dan Puteri Diana sebenarnya tidak pernah reda. Rakyat menyalahkan Putera Charles yang gagal menilai antara kaca dan permata, memarahkan Camilla yang merampas kasih putera raja itu selepas dia bercerai dengan pegawai tentera, Andrew Parker Bowles pada 1995.

Benarlah kata orang, cinta pertama kesannya sangat dalam, kenangannya berpanjangan dan kalau hidup ada cetakan kedua mereka mahu mengulanginya dari mula. Mengundurkan waktu tentulah tidak mungkin tetapi Putera Charles dan Camilla cuba mengulangi episod lama dalam pentas waktu yang baru.

Putera Charles pertama kali bertemu Camilla dalam satu pertandingan polo di Winsdor pada 1970. Cinta pandang pertama pun berkembang tetapi apabila Putera Charles menyertai angkatan tentera laut tiga tahun kemudian, Camilla berkahwin dengan Andrew.

Perkahwinan Putera Charles dengan Puteri Diana pada 1981 sangat mengecewakan Camilla. Tetapi barangkali beliau terbaca kata hikmat seorang penyair Hungary, Janos Arany bahawa, "Dalam hidup hanya cinta dan mimpi saja yang tidak ada mustahil untuk berlaku.'' Memang benar, tiga dekad pun tidak mustahil untuk kembali bersatu.

Tiga dekad Camilla memburu bayang-bayang Putera Charles. Sebagai wanita penantian itu tentunya sangat panjang. Tanpa kesabaran dan kukuhnya kasih serta sayang, Camilla mungkin bosan dan membuang Putera Charles jauh daripada hatinya. Apa lagi media membongkar bahawa beliau antara penyebab perceraian Putera Charles dengan Puteri Diana.

Cinta tiga segi ini membuatkan Puteri Diana terlalu kecewa. Beliau tahu tentang Camilla tetapi tidak menyangka Camilla masih memburu Putera Charles yang telah berkahwin dan punya dua putera.

Skandal Putera Charles dengan Camilla mulai dihidu oleh media pada 1986 yang membuatkan perpisahan dengan Puteri Diana pada 1992 sebelum bercerai secara rasminya pada 1996. Semua yang berlaku ini menyumbangkan simpati rakyat kepada Diana dan sekali gus melabelkan Camilla sebagai memusnahkan rumah tangga keluarga yang dianggap paling ideal itu.

Lebih menyemarakkan kemarahan rakyat lagi apabila tercetus spekulasi bahawa kemalangan maut Puteri Diana bersama Dodi Al Fayed di sebuah terowong di Paris adalah perancangan Putera Charles dan Camilla. Setakat ini belum ada bukti atau dibuktikan penyebab kemalangan itu selain disebabkan oleh kegagalan teknikal pada kereta yang mereka naiki.

Kini Camilla berjaya menawan hati pihak istana terutama Ratu Elizabeth untuk membolehkan beliau menjadi keluarga diraja Britain itu. Tetapi tekanan dan skeptikal rakyat telah mulai dirasakan apabila Camilla tidak mampu merakyatkan dirinya seperti Puteri Diana.

Camilla mendepani halangan untuk bertakhta di hati rakyat selagi beliau tidak dapat mempotretkan dirinya sebagai ikon yang menjadi ikutan rakyat. Beliau perlu memperlihatkan imej yang sama bersih dengan Puteri Diana untuk rakyat melupakan tindakannya yang melukakan itu.

Sebelum ini perancangan perkahwinan Putera Charles dan Camilla mendapat tentangan daripada pihak paderi Canterbury. ABC News Online pada 4 Jun lalu melaporkan pihak paderi Canterbury menafikan laporan bahawa pihak paderi telah meluluskan permohonan perkahwinan itu.

Bagaimanapun United International Press pada 15 Disember lalu menyiarkan kenyataan sumber pihak Istana Buckingham bahawa pasangan itu bebas berkahwin selepas penyiasatan kes kematian Puteri Diana selesai.

Walau apa sekalipun Camilla tetap dilihat gagal menyaingi Puteri Diana, seorang "orang biasa'' yang disenangi di seluruh dunia. Kerja kebajikannya hebat seperti memperjuangkan pembasmian periuk api di seluruh dunia termasuk melawat Bosnia dan Anggola.

Tetapi bagi Putera Charles dan Camilla pula, perkahwinan yang bakal berlangsung ini tentulah seperti kata pantun Melayu lama;

Nyiur gading puncak mahligai,

Sayang ketupat berisi inti;

Hancur daging tulang berkecai,

Belum dapat belum berhenti.

Read more!

Di mana kekuatan politik Pak Lah?

Oleh: Rosnah Majid
Sumber: Utusan Malaysia 13 Januari 1999


SETELAH dinamakan Timbalan Perdana Menteri, (TPM) Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terus dianalisis. Dari perwatakannya, latar belakang keluarganya, sejarah kerjanyanya hinggalah jatuh bangunnya dalam politik disingkap semula.

Antara soalan yang ditanya ialah apakah kekuatan Pak Lah? Beliau dilihat sebagai orang yang berperwatakan lembut. Tetapi kelembutan perwatakan itulah sebenarnya kekuatannya. Beliau dianggap pemimpin yang sederhana. Tetapi kesederhanaan itulah sebenarnya kekuatannya.

Beliau dianggap pemimpin yang tidak kontroversial. Dan sifat tidak kontroversial inilah sebenarnya kekuatannya. Beliau diakui pemimpin yang bersih. Dan itulah keunggulan kekuatannya.

Bagi mereka yang mengenali Pak Lah dari dekat, beliau adalah pemimpin yang tegas berpegang kepada prinsip. Dalam gelombang politik wang yang melanda UMNO, Pak Lah terus berdiri tegak menentangnya habis-habisan. Beliau lebih rela kalah daripada tunduk kepada politik wang. Inilah yang berlaku pada tahun 1993 apabila beliau kalah mempertahankan jawatan Naib Presiden UMNO yang disandang sejak 1984. Tahun 1993 menyaksikan kemenangan besar 'Team Wawasan' dan tahun itulah berlakunya kemuncak politik wang sehingga UMNO terpaksa mengadakan Perhimpunan Agung Khas mengutuk politik wang.

Dalam pertandingan berikutnya pada tahun 1996, beliau sekali lagi bertanding jawatan Naib Presiden dan menang. Walaupun pada tahun itu beliau begitu perlukan kemenangan, tetapi beliau sama sekali tidak bersedia menggadai prinsipnya dan tetap berkempen atas tiket imej bersih.

Kemenangannya pada tahun itu disambut dengan gembira oleh rakyat yang bencikan politik wang dan dahagakan pemimpin bersih. Dalam sebuah parti yang terpaksa mengadakan perhimpunan agung khas mengutuk politik wang, adalah lebih mudah mencari pemimpin yang pandai daripada pemimpin yang bersih. Pak Lah adalah antara beberapa pemimpin yang masih boleh menjulang imej ini.

Bagi rakyat yang mahukan pemimpin yang tidak ada skandal, pelantikan Pak Lah dianggap kemenangan kepada mereka. Datuk Seri Dr. Mahathir tentulah mahukan seorang timbalan yang bukan saja bersih tetapi juga kelihatan bersih. Dr. Mahathir tentu sedar bahawa hanya pemimpin yang tidak bermasalah yang lebih mudah menyelesaikan masalah.

Perwatakan yang lembut sederhana tidak syak lagi menjadi aset penting dalam usaha menyatu semula dan memperkukuhkan kembali UMNO sekarang.

Perwatakan ini membuatkan ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi merasa lebih senang mendekatinya untuk memberi pandangan dan teguran daripada ahli-ahli. Ini akan memudahkan Pak Lah membantu Presiden parti dalam usaha menyatukan UMNO bagi menghadapi pilihan raya umum yang dijadualkan April tahun 2000.

Setiap kali berkempen pilihan raya di Pulau Pinang, Pak Lah akan berkunjung ke markas DAP untuk berjumpa dan bersalam dengan para penyokong parti pembangkang itu. Penyokong DAP ada yang menepuk dahi sambil berkata, ''Aiya, Pak Lah datang, kami habis la.''

Sebagai birokrat yang lama dalam pentadbiran kerajaan, Pak Lah sudah tentu disenangi oleh kakitangan kerajaan. Pelantikan beliau sebagai orang nombor dua terpenting dalam kerajaan Malaysia adalah satu penghormatan kepada kalangan birokrat. Beliau dikira akan lebih mudah mengatasi masalah dalam kerajaan kerana pengalamannya sebagai pegawai kerajaan yang lama sebelum meletak jawatan untuk terjun ke dalam dunia politi sepenuh masa.

Beliau dari keluarga ulama dan politik yang disegani di Pulau Pinang sudah tentu akan lebih mudah mendekati golongan agama, lebih-lebih lagi beliau sendiri berpendidikan Pengajian Islam dari Universiti Malaya. Datuknya, Abdullah Fahim adalah Mufti Pulau Pinang yang memberi tarikh kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.

Sebagai bekas Pengarah Belia serta Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Pak Lah lebih memahami kehendak dan kemahuan belia. Beliau sendiri pernah memegang jawatan Presiden Gabungan Pelajar-pelajar Melayu Semenanjung (GPMS). Ertinya golongan belia akan merasa selesa untuk berinteraksi dengan beliau.

Dalam arena politik, Pak Lah datang dari keluarga UMNO. Bapanya Datuk Ahmad Badawi merupakan pemimpin UMNO yang disegani dan pernah menjadi Naib Ketua Pemuda selama 18 tahun. Politik UMNO adalah darah dagingnya.

''Pada saya pelantikan ini adalah kehendak Allah,'' demikian komen beliau selepas diumumkan menjadi TPM. Sesungguhnya inilah yang dibuktikan oleh sejarah UMNO. Semua Presiden dan Perdana Menteri memperoleh jawatan masing-masing 'di atas kehendakNYA.'

Tunku Abdul Rahman Putra terpaksa dipujuk dan diugut untuk memimpin UMNO selepas Datuk Onn Jaafar meletak jawatan. Menurut bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu, Tan Sri Melan Abdullah, Tunku diugut untuk menerima jawatan Yang DiPertua UMNO, Jika tidak Utusan akan menyiarkan berita 'Anak raja pengecut'.

Tun Razak Hussein menjadi Perdana Menteri selepas Tunku berundur secara sukarela, setelah menjadi timbalan selama 16 tahun. Tun Hussein Onn dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri selepas kematian mengejut Tun Dr. Ismail dan kemudiannya menjadi Perdana Menteri selepas kematian mengejut Tun Razak.

Datuk Seri Dr. Mahathir dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri selepas kembalinya Tun Razak ke rahmatullah dan Tun Hussein menjadi Perdana Menteri. Dr. Mahathir pula menjadi Perdana Menteri selepas Tun Hussein Onn mengambil keputusan meletak jawatan Perdana Menteri dan Presiden parti atas sebab kesihatan.

Demikian kesemua mereka naik secara 'kehendakNya', bukan melalui perancangan rapi merebut jawatan dengan jatuh-menjatuh. Kali ini Pak Lah juga terpilih melalui 'kehendak-Nya'. Barangkali inilah UMNO.

Read more!