Showing posts with label Balkan. Show all posts
Showing posts with label Balkan. Show all posts

Pakatan Caspian hadapi AS

Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 21 Oktober 2007


Selasa lalu, negara-negara Caspian yang mengadakan sidang kemuncak di Teheran, Iran mengisytiharkan bahawa mereka tidak akan sama sekali membenarkan wilayah masing-masing digunakan bagi menyerang mana-mana negara anggota. Perisytiharan ini sekali gus memberi amaran kepada AS bahawa negara-negara itu tidak mahu bersubahat dalam sebarang usaha serangan daripada kuasa besar itu.

Di satu pihak pula, perisytiharan itu merupakan sokongan moral kepada Iran dalam kedudukannya berhadapan dengan AS. Ini kerana terdapat spekulasi yang tersiar dalam akhbar Rusia bahawa AS akan menggunakan lapangan terbang di Azerbaijan untuk menyerang Iran. Untuk itu dikatakan pula, pihak AS telah membuat pemeriksaan ke atas lapangan terbang di Azerbaijan bagi tujuan itu.

Bagaimanapun, Azerbaijan yang mempunyai hubungan perkongsian dengan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) menafikan spekulasi ini. Azerbaijan adalah salah sebuah daripada lima anggota negara- negara Caspian yang turut serta dalam sidang kemuncak itu. Lain-lain negara yang menyertai Sidang Kemuncak Kedua Negara- negara Pesisiran Laut Caspian Kedua itu ialah Rusia, Iran, Kazakhstan dan Turkmenistan. Sidang itu bertujuan membahagi-bahagikan sumber dari Laut Caspian di mana negara-negara itu berkongsi wilayah.

Sidang kemuncak pertama kumpulan negara-negara itu diadakan pada Mei 2002 di Askhabad, Turkmenistan atas cadangan Presiden Saparmurat Niyazov. Kali ini, Turkmenistan diwakili oleh penggantinya, Gurbanguky Berdymukhamedov. Presiden-presiden lain yang hadir ialah Vladimir Putin dari Rusia, Ilham Aliyev dari Azerbaijan, Nursultan Nazarbayev dari Kazakhstan dan Mahmoud Ahmadinejad dari Iran selaku pengerusi.

Kecuali Iran, empat anggota negara-negara Caspian itu adalah bekas republik Kesatuan Soviet di mana Rusia, Azerbaijan dan Kazakhstan adalah anggota Komanwel Negara-negara Merdeka (CIS). Turkmenistan pula adalah negara-negara sekutu CIS. Pertubuhan ini dianggotai 11 negara yang pernah menjadi sebahagian daripada Kesatuan Soviet.

CIS yang kini beribu pejabat di Minsk, Belarus dianggap sebagai pewaris kepada Kesatuan Soviet dengan Moscow mempunyai pengaruh besar bukan saja dalam soal politik, ekonomi dan pertahanan tetapi juga budaya, sosial dan sains. Kesemua anggota CIS adalah rakan keamanan dengan NATO, sebuah pertubuhan perjanjian ketenteraan yang dianggotai oleh 26 negara, dilihat sebagai diketuai oleh AS. Bagaimanapun hanya Azerbaijan dikatakan akan digunakan oleh AS untuk melancarkan sebarangan serangan ke atas Iran.

Dalam hal ini, sidang kemuncak negara- negara Caspian memperlihatkan sokongan Rusia terhadap Iran melalui perisytiharan tidak menggunakan wilayah masing-masing bagi sebarang serangan. Justeru walaupun sidang kemuncak ini bertujuan menyelesaikan perbalahan ekonomi di kalangan negara-negara pesisir Laut Caspian, kali ini ia menjadi faktor dalam medan pertembungan antara AS dengan Iran di satu pihak dan Washington dengan Rusia di pihak yang lain.

Malah lawatan Putin ke Teheran juga dilihat sebagai Moscow memihak Teheran dalam persaingan barunya dengan Washington. Ini kerana buat pertama kali seorang pemimpin Kremlin melawat Iran iaitu sejak tahun 1943. Paling akhir seorang pemimpin Moscow berada di Teheran ialah oleh pemimpin kedua Soviet, Josef Stalin yang menghadiri Persidangan Teheran bersama dengan Presdien AS, Franklin D. Roosevelt dan Perdana Menteri Britain, Winston Churchill. Persidangan itu menegaskan kemerdekaan Iran yang perlu dihormati oleh kuasa-kuasa besar termasuk Washington dan Moscow.

Dalam kunjungan Putin kali ini, ia hampir dibatalkan kerana dikatakan terdapat laporan yang menyebut terdapat rancangan sulit untuk membunuh Putin di Teheran. Bagaimanapun melihat kepentingan Iran ini, Putin tetap menghadiri sidang kemuncak yang bersejarah itu. Ditambah pula kenyataan Putin sebelum deklarasi kemuncak itu juga menyaksikan pengaruh Moscow ke atas negara-negara anggota CIS yang lain. Malah ia boleh dilihat sebagai amaran kepada negara- negara bekas Soviet supaya tidak membelakangi Rusia dalam keghairahannya untuk menurut kehendak AS.

Lebih-lebih lagi spekulasi mengenai kemungkinan wilayah Azerbaijan digunakan sebagai landasan bagi serangan AS ke atas Iran juga timbul dalam media Rusia hingga memaksa penafian Baku (ibu negara Azerbaijan) menunjukkan bahawa Moscow menunjukkan rasa tidak senang kepada sebarang kemungkinan pengaruh ketenteraan Washington di kalangan negara anggota CIS.

Walaupun seharusnya tidak ada sebarang negara Islam yang patut digunakan sebagai landasan kepada serangan ke atas Iran, tetapi keanggotaan Pertubuhan Persidangan Negara-negara Islam (OIC) tidak menjamin keselamatan antara negara sesama agama. Kecuali Rusia, empat negara-negara Laut Caspian itu adalah anggota OIC. Dalam sejarah OIC, Iran dan Iraq yang menjadi anggota pernah berperang sesama sendiri.

Dari segi persaingan Washington-Moscow, Sidang Kemuncak Negara-negara Caspian ini juga boleh lihat sebagai lanjutan kepada apa yang berlaku dalam Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) di Bishkek, Kyrgyzstan Ogos lalu di mana dalam deklarasi, walaupun tidak jelas, mengandung ingatan kepada AS supaya tidak melakukan serangan ke atas negara lain, tentunya dirujuk pada Iran.

SCO mempunyai enam anggota iaitu China, Rusia, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan dan Uzbekistan. Sementara empat negara pemerhati SCO ialah India, Iran, Mongolia dan Pakistan. Di kalangan negara anggota SCO, hanya China bukan anggota CIS. Sementara di kalangan anggota dan pemerhati SCO, enam adalah anggota OIC iaitu Kyrgyzstan, Kazakhstan, Tajikistan, Uzbekistan, Iran dan Pakistan.

Tiga negara anggota dan pemerhati SCO yang turut menjadi ahli Sidang Negara-Negara Caspian ialah Rusia, Iran dan Kazakhstan. Pada satu segi, Rusia menjadikan Iran dan China sebagai sekutunya melalui kedua- dua pertubuhan itu, dalam berdepan dengan AS. Di satu pihak lain pula, Iran juga menjadikan Rusia dan China sebagai sekutunya untuk berdepan dengan musuhnya. Di peringkat lain pula, Beijing mempunyai kepentingan untuk memiliki hubungan bermakna dengan Moscow dan Teheran. Tidakkah ia memperlihatkan satu paksi Moscow-Beijing- Teheran berdepan dengan Washington-London-Paris?

Di satu pihak pula Putin merupakan Presiden Rusia yang mahu menegaskan peranan Moscow lebih besar dalam politik global walaupun tidak setinggi zaman Soviet, tetapi sekurang-kurangnya menepati kedudukan Kremlin sebagai negara paling luas di dunia. Mungkin baginya, cara Presiden Boris Yeltsin, pemimpin Kremlin pascakomunis pertama menjadikan Moscow berada dalam keadaan lemah hingga Washington bermaharajalela mendominasi politik dunia.

Bagaimanapun, Moscow tidak boleh berdiri sendiri seperti pada zaman Czar dan Soviet. Sebaliknya ia perlu bersekutu dengan negara-negara strategik lain seperti Teheran dan Beijing. Lebih-lebih lagi dengan Iran mempunyai Presiden, Ahmadinejad yang juga mahu Teheran berperanan sesuai dengan kedudukan strategik. Melihat dari sudut sejarah panjang, Iran, Rusia dan China merupakan negara purba yang mempunyai tamadun besar, dan tidak mudah tunduk kepada musuh-musuhnya dengan begitu mudah.

Sungguhpun Putin berusaha meningkatkan wibawa politik global Rusia tetapi penggal pentadbirannya akan berakhir pada Mac 2008 di mana beliau tidak boleh bertanding lagi. Postur politik global Rusia selepas itu akan ditentukan oleh presiden baru yang menurut Putin beliau tidak akan tentukan, sebaliknya diserahkan kepada rakyat. Sementara Ahmadinejad mempunyai tempoh pentadbiran yang lebih lama iaitu sehingga Ogos 2009. Malah beliau boleh bertanding lagi bagi penggal berikutnya untuk selama lima tahun lagi. China pula yang sepanjang minggu lalu menyaksikan Kongres Parti Komunis dengan Presiden Hu Jintao memperoleh mandat untuk memimpin bagi tempoh lima tahun lagi.

Dengan itu Iran dan China akan meneruskan polisi luar yang sedia untuk jangka masa lebih lama berbanding Rusia. Bagaimanapun tidak wajar pula melihat bahawa Rusia dan China akan mempertahankan Iran dengan begitu saja. Pertimbangan mereka pula berasaskan kepentingan nasional masing-masing yang turut berkait dengan hubungan dua hala mereka dengan AS.

Maka tidak hairanlah Rusia dan China bersama lima kuasa dunia lain iaitu AS, Perancis, Jerman dan Britain menyokong usul Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi dua pusingan sekatan terhad terhadap Iran berhubung isu nuklear. Namun begitu ketika Washington dan Paris mengehendaki sekatan yang lebih ketat, Moscow dan Beijing menghalangnya.

Bagi AS isu nuklear Iran itu amat penting kerana ancamannya kepada Israel dan kepentingan minyak dunia di negara-negara Teluk. Justeru, Washington tidak menolak kemungkinan penggunaan kekerasan dalam usaha serangan itu. Terdapat satu sekulasi bahawa yang akan melakukan serangan bukannya AS tetapi Israel, kerana mereka lebih relevan untuk berasa terancam berbanding AS. Tambahan pula, dalam rekod rejim Tel Aviv pernah memusnahkan reaktor nuklear Iraq di Ossirak pada zaman Saddam Hussein dahulu. Bagaimanapun, sebarang serangan dari Israel akan membawa implikasi lebih serius dan ia boleh mengundang serangan balas yang lebih dahsyat bukan saja daripada Iran tetapi juga Hizbullah di Lebanon. Justeru adalah lebih baik jika serangan dilakukan oleh AS sendiri daripada Israel.

Maka jika serangan dilakukan, ia memerlukan pangkalan, sama ada menggunakan kapal laut di Teluk Parsi atau menggunakan landasan darat di negara-negara Asia Tengah, umpamanya di Azerbaijan seperti yang dispekulasikan. Tempat lain yang boleh dijadikan pangkalan serangan ialah Iraq dan Turki. Sungguhpun begitu, kos politik daripada serangan ini adalah besar. Maka adalah sukar untuk mempercayai bahawa terdapat mana-mana negara bersempadan Iran yang sanggup membenarkan AS menggunakan wilayahnya.

Dilihat dari sudut Rusia dan China, sebarang serangan oleh AS ke atas Iran menggunakan negara-negara Asia Tengah boleh bermakna keadaan yang sama mungkin mampu terjadi ke atas mereka sendiri. Makannya AS menggunakan negara-negara Asia Tengah untuk mengancam keselamatan dan kedaulatan Rusia dan China.

Dalam hal ini, AS tidak teragak-agak untuk menyokong perjuangan pemisah Chechnya di Rusia dan Tibet serta Xinjiang di China. Kebetulan pula Chechnya dan Xinjiang mempunyai identiti bangsa sebagai Islam, di samping merupakan sebahagian daripada rumpun Turki seperti Kazakhstan, Kyrgyzstan Uzbekistan, Turkmenistan dan Azerbaijan. Xinjiang di kalangan gerakan pemisahnya dikenal sebagai Tukestan Barat. Sementara negara-negara lain dalam rumpun Turki ialah Turkestan Barat. Turki pula adalah sekutu kuat AS. Dalam sejarahnya, Turki dan Parsi bermusuhan, malah kerajaan Khilafah Uthmaniah sering berperang dengan Safawiah.

Rusia dan China sendiri tidak mahu Iran membangunkan senjata nuklearnya. Tetapi jika AS menyokong pembangunan senjata nuklear di Israel, Pakistan dan India yang mahu dibina sebagai sekutu-sekutunya dalam berdepan dengan Rusia dan China, maka Moscow dan Beijing berasa wajar untuk mempertahankan Iran.

Read more!

Negara baru Montenegro

Oleh: ZIN MAHMUD (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 24 Mei 2006


Tidak lama lagi akan muncul sebuah lagi negara baru di dunia ini berikutan majoriti rakyat Montenegro memilih untuk keluar daripada persekutuan Serbia dan Montenegro.

Dalam pungutan suara yang keputusannya disahkan semalam, sebanyak 55.5 peratus mengundi untuk keluar daripada negara Serbia dan Montenegro yang merupakan sisa Yugoslavia.

Kesatuan Eropah (EU) telah menetapkan 55 peratus sebagai angka yang perlu dicapai oleh rakyat Montenegro untuk berpisah dari Serbia. Maka setelah habis proses ini, akan muncul negara baru di dunia bernama Montenegro.

Montenegro yang bermakna gunung hitam pernah menjadi sebuah negara merdeka dan berdaulat pada tahun 1918. Tetapi ia kemudian menjadi salah sebuah republik dalam Yugoslavia. Apabila Yugoslavia, yang nama rasminya Persekutuan Republik-Republik Sosialis Yugoslavia berpecah dengan Slovenia, Croatia, Macedonia dan BosniaHerzegovina mengisytiharkan kemerdekaan, Montenegro dan Serbia kekal dalam sebuah negara bernama Persekutuan Republik Yugoslavia pada tahun 1992.

Tahun 2003, ia ditukar nama menjadi Serbia dan Montenegro.

Apabila Montenegro keluar daripada persekutuan ini, maka Serbia akan muncul sebagai sebuah negara tanpa sebarang persekutuan dengan republik lain.

Maka sempurnalah pemecahan Yugoslavia yang bermula pada tahun 1991 apabila Presiden Broz Tito meninggal dunia dan Belgrade diperintah oleh nasionalis ekstrem Serbia, Slobodan Milosevic.

Bagaimanapun, bagi Serbia ia masih menghadapi cabaran pemisahan daripada salah sebuah wilayahnya, Kosovo yang menuntut untuk keluar daripada negara itu.

Kelahiran sebuah negara baru bukan semata-mata memiliki kerajaan yang merdeka, berdaulat dan berpemerintahan sendiri, malah ia memiliki idealisme, ciri-ciri, jati diri dan impian tertentu. Setiap negara mempunyai karakter tersendiri. Tidak kira sama ada ia besar atau kecil.

Sememangnya semua negara mahu menjadi aman, makmur, selesa, berjaya dan maju. Tetapi walaupun semua negara mempunyai cita-cita yang sama, tetapi ada perkara yang disebut sebagai budaya menjadikan setiap negara mempunyai karakter masing-masing.

Negara dikenali dengan bendera, lambang-lambang rasmi masing-masing tetapi ia terdiri daripada tiga komponen yang menentukan karakter tersendiri.

Pertama, manusia yang tinggal di dalamnya; kedua, alam yang membentuk sesebuah negara itu; dan ketiga ialah sejarahnya.

Sekali imbas, boleh dikatakan bahawa negara merupakan ekspresi penduduknya baik dalam aspirasi, cita-cita mahupun emosinya. Tetapi dalam bentuk lain pula, bukan itu saja, sesebuah negara juga menampung ekspresi alam sekitar yang membentuk negara berkenaan. Flora dan fauna serta bentuk geologi adalah kesemuanya merupakan sebahagian daripada sesebuah negara.

Boleh dikatakan konsep negara itu merupakan antara idea zaman moden yang berkesan supaya tamadun hari ini, yang bukan saja melibatkan manusia dapat diuruskan dengan baik.

Membentuk

Hampir kesemua manusia di dunia merupakan warganegara bagi negaranegara tertentu. Tetapi sesebuah negara bukan saja milik atau ditentukan oleh warganegara masing-masing. Di dalamnya juga tinggal ramai bukan warganegara, yang statusnya sama ada penduduk tetap atau pendatang haram.

Walaupun mereka bukan warganegara tetapi kehadiran mereka di sesebuah negara membentuk keadaan berkenaan.

Seperti di Malaysia, walaupun secara rasminya warganegara yang menentukannya, tetapi penduduk yang terdiri bukan saja pendatang dengan izin tetapi juga pendatang tanpa izin memainkan peranan dalam membentuk kedudukan ekonomi, sosial dan politik negara ini.

Malah konsep istilah penduduk itu sendiri tidak terhad pada manusia. Haiwan yang tinggal di dalam sesebuah negara juga wajar dianggap sebagai penduduk.

Pada zaman kesedaran terhadap alam sekitar dan haiwan yang diancam kepupusan, peranan penduduk bukan manusia ini bertambah penting. Malah setiap negara bangga dengan alam fauna dan flora masing-masing. Hampir semua negara pula mempunyai haiwan dan bunga kebangsaan masing-masing.

Negara juga seperti manusia, mereka tidak dapat hidup bersendirian. Negara tidak boleh terpencil dan pastinya mempunyai hubungan penting dengan negara-negara luar. Sebab itu dasar luar dan hubungan asing merupakan komponen penting dalam mana-mana negara.

Kalau dilihat pentadbiran Amerika Syarikat (AS) umpamanya, apa yang disebut sebagai jabatan negara atau States Department iaitu jabatan paling utama negara ialah yang berurusan dengan hal ehwal luar.

Maka kedutaan-kedutaan juga memainkan peranan penting bagi menunjukkan jati diri kewujudan sesebuah negara.

Negara-negara mempunyai perjanjian dan menyertai pertubuhan-pertubuhan antarabangsa yang kesemuanya mendefinisikan kedudukan negara berkenaan.

Seperti dalam halnya Republik Montenegro, pengiktirafan kedudukannya bergantung pada EU. Hanya dengan 55.5 peratus undi menyokong keluar dari Serbia dan Montenegro, ia sudah diiktiraf EU. Pengiktirafan negara asing juga perlu bagi membolehkan sesebuah negara wujud.

Sementara 44.5 peratus pengundi yang mahu negara mereka terus bersama Serbia terpaksa menerima kedudukan kemerdekaan Montenegro.

Dalam politik, baik nasional mahupun antarabangsa, ia ditentukan melalui suara majoriti dan kekuatan sesuatu pihak yang berasaskan pelbagai faktor termasuk ketenteraan.

Sejak tahun 1990, pertumbuhan negara-negara baru muncul dengan pesat ekoran kejatuhan komunis Soviet. Negara-negara bekas Soviet menyumbang jumlah negara paling banyak. Czechoslovakia berpecah kepada dua: Czech dan Slovakia. Begitu juga dengan keseluruhan Yugoslavia.

Kecuali negara-negara bekas Yugoslavia, secara keseluruhan, pertumbuhan negara-negara baru ini berjalan dengan demokratik. Bagaimanapun BosniaHerzegovina yang mengalami peperangan dahsyat hanya kerana mahu merdeka dari Yugoslavia.

Tetapi di negara-negara luar Eropah, hanya Timor Leste dapat mencapai kemerdekaan apabila Indonesia akur dan mengundurkan dirinya. Beberapa wilayah Indoensia iaitu Aceh dan Papua Irian Jaya gagal untuk memisahkan dirinya bagi membentuk sebuah negara baru. Begitu juga dengan Filipina Selatan.

Tetapi perang pemisahan yang lama dan dahsyat serta dijangka berterusan adalah Tamil Eelam di Sri Lanka dan Kashmir di India.

Namun begitu, perjuangan paling lama dan sukar adalah apa yang diusahakan oleh rakyat Palestin yang bercita-cita untuk muncul sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat.

Montenegro mungkin mudah mencapai kemerdekaan kerana kesediaan Serbia dan di bawah pengiktirafan EU. Perkara yang sama juga berlaku terhadap Czechoslovakia. Tetapi Palestin masih jauh daripada impiannya untuk merdeka kerana sikap rejim Tel Aviv.

Sememangnya satu ironi, di satu pihak sesebuah negara itu merdeka, tetapi di satu pihak kemerdekaan dan kedaulatannya bergantung pada pengiktirafan kuasa-kuasa di luarnya, sama ada EU, AS ataupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Namun begitu, walaupun dengan memiliki pelbagai karakter, negara hanyalah satu konsep yang merupakan alat bagi memudahkan kehidupan manusia. Maknanya negara yang wajar berkhidmat untuk manusia dan bukan sebaliknya. Manusia menguruskan negara untuk kebaikan dirinya dan makhlukmakhluk lain yang tinggal di dalamnya.

Tetapi jika manusia dikorbankan untuk negara, maka ia mengandungi unsur-unsur penyelewengan daripada tujuan mula diciptakan konsep bernama negara.

Read more!