Model integrasi Perancis tercalar

Oleh: Ku Seman Ku Hussain
Sumber: Mingguan Malaysia 13 November 2005


Rusuhan di beberapa bandar di Perancis termasuk Paris yang berlarutan selama dua minggu wajar menjadi iktibar kepada negara yang dihuni oleh pelbagai etnik. Rusuhan yang meletus pada 27 Oktober lalu itu mengakibatkan kerugian dianggarkan AS$235 juta apabila lebih 6,400 kenderaan dibakar oleh perusuh.

Sebahagian besar perusuh terdiri daripada generasi muda pendatang Arab dan Afrika dan mereka tidak mempunyai peluang mendapat pekerjaan. Sebabnya mereka berada dalam kelas yang berbeza sekalipun sudah dua generasi berhijrah ke Perancis.

Rusuhan yang berterusan ini adalah memerangi politik kelas dan jurang kaum. Mesej rusuhan ini sangat jelas kepada dunia; Perancis tidak pernah memikirkan golongan minoriti. Maka merusuh dan membakar harta benda barangkali boleh menarik perhatian Perancis dan dunia.

Diskriminasi dan polarisasi kaum menjadi kata kunci kepada rusuhan terburuk sejak 44 tahun lalu itu. Rasa tidak puas hati, tertindas secara terhormat dan ditambah dengan krisis ekonomi telah meluaskan lagi jurang antara rakyat tempatan dengan kaum pendatang.

Semua ini dipendamkan oleh pendatang minoriti Arab dan Afrika termasuk yang beragama Islam sejak lama dulu. Mereka ini dilabelkan bukan "berkulit putih'' dan peluang pekerjaan sangat tipis. Kota Paris hanya untuk yang "berkulit putih'' dan kaum pendatang pula sekadar berada di pinggir kota. Bukan itu saja malah mereka menderita disebabkan oleh kadar pengangguran yang tinggi dan peluang pendidikan yang terbatas.

Menangani masalah kepelbagaian etnik sebenarnya tidak semudah kenyataan angkuh Menteri Dalam Negeri Perancis, Nicholas Sarkozy yang melabelkan semua itu angkara perusuh. Maknanya orang yang merusuh itu tidak mempunyai alasan yang kukuh terhadap tindakan mereka.

Dalam satu wawancara di sebuah stesen televisyen Perancis, Sarkozy mengulangi istilah "rabble'' (perusuh) merujuk kepada anak-anak muda bermasalah di kawasan mundur di pinggir bandar. Kenyataan itu menyemarakkan kemarahan dan menyumbang kepada lebih banyak harta benda dimusnahkan.

Beliau tidak melihat aspek lain misalnya ekonomi dan rasisme. Pertumbuhan ekonomi yang sangat perlahan menyumbang kepada peningkatan pengangguran. Peluang pekerjaan hanya lebih kepada rakyat tempatan menyuburkan krisis sosial yang membawa kepada rasisme seterusnya keganasan.

Pengangguran

Memang benar pertumbuhan ekonomi yang pesat bukan jaminan boleh memadamkan rasisme di mana-mana negara sekalipun. Tetapi dengan pertumbuhan ekonomi yang pesat, kadar pengangguran dapat dikurangkan sekalipun peluang untuk kaum minoriti terbatas. Kini pendatang Arab dan Afrika tidak mempunyai harapan di Perancis, kerana itu mereka menuntut kesamarataan mengecapi kehidupan sebagai rakyat Perancis.

Pertumbuhan ekonomi Perancis empat tahun kebelakangan ini purata 1.5 peratus dan tahun ini hanya 1.2 peratus. Sementara pengangguran mencatatkan kadar 10 peratus dan 25 peratus di kalangan yang berusia bawah 25 tahun.

Sebenarnya kadar pengangguran yang tinggi di kalangan pendatang terutama generasi muda bukan saja di Perancis. Senario ini berlaku di beberapa negara Eropah lain. Maka tidak hairanlah kalau rusuhan di Perancis dengan cepat tempias kepada Jerman, Sepanyol dan Belgium.

Di Jerman misalnya kadar pengangguran di kalangan pendatang Turki mencapai 25 peratus. Orang Islam British di Britain pula mencatatkan pengangguran 14 peratus dan di Itali, Sepanyol serta Belgium mencatatkan kadar pengangguran 20 peratus.

Rusuhan di Perancis terutamanya di kota Paris bukan jenayah semata-mata. Tragedi ini menuntut pengamatan dari aspek sosial apabila Perancis sengaja menutup mata dengan diskriminasi dan polarisasi kaum ke atas lebih 6 juta orang Islam di negara itu.

Kerajaan tidak sensitif kepada amalan diskriminasi peluang pekerjaan yang mengakibatkan kadar pengangguran di kalangan pendatang begitu tinggi. Ini mencetuskan pula jurang kaum dan remaja pendatang mulai bungkam dan menunggu masa untuk meluahkan protes.

Kenyataan angkuh Nicholas Sarkozy kelihatan sangat bertentangan dengan Presiden Jacques Chirac. Sarkozy tidak menyusuri rusuhan itu maka dia melabelkan sebagai salah satu perlakuan jenayah oleh pendatang. Chirac sebaliknya lebih terbuka dan mengakui kegagalan Perancis mengecilkan jurang kaum dan diskriminasi faktor utama rusuhan.

Sejak rusuhan meletus, Chirac mengambil pendekatan berdiam diri. Kenyataan hanya dikeluarkan oleh Sarkozy yang bertanggungjawab dalam hal ehwal dalam negara. Bagaimanapun Khamis lalu Chirac membuat pengakuan terbuka kegagalan Perancis terhadap dua perkara tersebut.

Chirac setidak-tidaknya realistik dengan kegagalan Perancis untuk menjadi model integrasi kaum. Barangkali beliau akan belajar banyak perkara selepas tragedi rusuhan yang mengoyak label "masyarakat Perancis yang bertamadun tinggi'' di mata dunia.

Rencana editorial akhbar berbahasa Perancis, L'Humanite menganggap kenyataan Menteri Dalam Negeri Perancis sebagai angkuh. Akhbar itu menulis, "Perancis adalah diskriminasi, pengangkutan awam yang teruk dan perumahan yang buruk. Kecuali kita memberikan mereka (pendatang Arab dan Afrika) harapan negara ini membangun dengan kesamarataan.''

Sementara rencana editorial akhbar Le Figaro pula menulis, "Perancis telah menerima padah kerana keangkuhan. Di mata dunia, model integrasi sosial kita yang masyhur itu dibuang ke dalam longkang.''

Jadi kematian dua remaja yang dikejar polis bukanlah puncanya yang mengakibatkan berpuluh-puluh bandar di Perancis termasuk Paris menjadi kancah rusuhan. Kalau boleh dikatakan punca, maka inilah punca yang tersurat daripada tragedi rusuhan terburuk sejak 44 tahun lalu di Perancis.

Rusuhan terburuk ini meninggalkan kesan yang tebal kepada imej Perancis dan semakin tebal prejudis kaum antara orang tempatan dan pendatang. Protes menuntut keadilan sosial ini menjadi tembok yang tebal menyukarkan proses integrasi.

Dunia luar hampir tidak percaya Perancis yang dilihat tidak bergolak sama ada politik atau sosial itu terpaksa mengisytiharkan darurat. Katakan bila kali terakhir kita mendengar rusuhan di Perancis khususnya Paris?

Bertamadun

Catatan menunjukkan ini adalah pertama kali dalam 44 tahun Perancis terpaksa menggunakan akta darurat yang diwartakan tahun 1955. Ia pertama kali digunakan tahun 1961 untuk menyuraikan rusuhan antara pendatang Algeria dengan orang tempatan.

Perancis sebenarnya bukanlah dikenali kerana Menara Eifel berkerangka besi di tengah kota Paris. Menara Eifel hanya sebahagian kecil monumen yang memperlihatkan Perancis sebagai negara bertamadun tinggi terutama dalam seni dan budaya.

Perancis memiliki sejarah kegemilangan yang panjang hingga menjadi sebuah negara yang disegani di Eropah. Semua ini kerana tamadun manusia di mana keamanan yang dilihat oleh dunia luar sebagai kunci kecemerlangannya.

Malah negara yang mempunyai ribuan muzium ini tidak terjebak dalam percaturan politik dalam mahupun luar negara yang besar. Perancis lebih banyak mengikut kuasa besar misalnya Amerika Syarikat (AS) dalam isu-isu antarabangsa.

Sekian banyak sasterawan dan seniman bertaraf dunia telah dilahirkan oleh Perancis. Maka tidak hairanlah kalau tamadun seni dan budayanya dilihat dari luar sebagai sangat tinggi dan mempesonakan.

Paris pula muncul sebagai syurga mempergayakan gaya hidup elitis, kota fesyen terunggul dan tempat yang paling menakjubkan bagi pengagum seni bina di seluruh dunia. Biarpun wajahnya sebagai kota lama tetapi legasi silam terserlah di perut kota Paris.

Tetapi Paris sebagai kota romantis dan elitis tercalar dengan rusuhan yang berterusan selama dua minggu itu. Perancis dan Paris akan diingati dengan tragedi lebih 6,400 kenderaan dibakar.

Kepada Perancis, tragedi buruk ini memberikan banyak iktibar supaya lebih sensitif terhadap elemen-elemen yang menjurus kepada rasisme dan diskriminasi. Malah Perancis memerlukan pelan pembangunan yang menyeluruh untuk memastikan pendatang yang berupa generasi kedua atau ketiga dan seterusnya menikmati standard kehidupan yang sama dengan orang tempatan.

Memang benar orang pendatang tidak mempunyai kuasa politik. Tetapi jangan lupa, bukan pemegang kuasa politik saja yang boleh menggugatkan keadaan apabila membelakangkan undang-undang. Inilah yang menimpa Perancis apabila generasi muda menggunakan kaedah mereka untuk menyuarakan protes.

Read more!

Filem dan bahasa Melayu

Oleh: Ku Seman Ku Hussain
Sumber: Mingguan Malaysia 6 November 2005


FILEM Sepet arahan Yasmin Ahmad baru-baru ini memenangi Anugerah Filem Terbaik Asia di Festival Filem Antarabangsa Tokyo ke-18 (TIFF-18). Sebelum itu Sepet memenangi Anugerah Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-18 (FFM-18).

Kemenangan Sepet di FFM-18 mencetuskan kontroversi. Antara yang dipersoalkan kenapa filem yang tidak menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya boleh memenangi anugerah itu? Malah dipersoalkan lagi apakah dengan menggunakan bahasa Melayu, Cina dan Inggeris, Sepet boleh dianggap sebuah filem nasional?

Dalam Anugerah Skrin TV3 tidak lama dulu, ada juga yang bertanya kenapa filem Buli arahan Afdlin Shauki dipilih sebagai filem terbaik? Untuk makluman, filem Buli menggunakan bahasa Melayu dan Inggeris serta bahasa rojak.

Dalam Akta Finas, definisi filem nasional antaranya adalah filem yang menggunakan medium bahasa Melayu. Maka kalau dilihat dalam kes ini Sepet bukanlah filem nasional kerana tidak menggunakan bahasa Melayu. Lalu keistimewaan sebagai filem nasional tidak diberikan kepada Sepet antaranya pulangan cukai hiburan.

Kita tentu setuju usaha memartabatkan bahasa Melayu sewajar dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan. Bahasa Melayu sebenarnya tidak diendahkan bukan saja dalam filem tetapi pada majlis-majlis rasmi yang sewajarnya digunakan bahasa Melayu.

Baiklah, kita boleh memaksa Sepet menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dalam filem ini. Kerana kita setuju bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu mesti menjadi medium dalam filem tempatan. Tetapi pada masa yang sama kita juga wajar realistik bahawa masalah penghinaan bahasa Melayu tidak selesai hanya mewajibkan filem menggunakan bahasa Melayu.

Kita juga jangan lupa bahawa filem adalah cermin psikik dan pemikiran sesuatu bangsa. Untuk mengenali sesuatu bangsa, tontonlah filem-filem yang dihasilkan oleh bangsa berkenaan. Maka apabila ada sebuah karya yang baik menggunakan medium bahasa Melayu, Cina dan Inggeris, kita wajar faham apa yang berlaku di luar filem terhadap bahasa Melayu.

Terlebih dulu sebelum menghukum filem yang tidak menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya sebagai tidak patriotik, kita kena tengok apakah dasar bahasa kebangsaan kita sudah cukup mantap? Realitinya dasar bahasa kebangsaan kita tidak diendahkan.

Penggunaan bahasa Melayu dalam acara-acara rasmi sangat memalukan. Malah orang tanpa segan silu atau rasa bersalah memberikan reaksi spontan di depan kamera di televisyen dalam bahasa Inggeris. Kalau orang ramai menggunakan bahasa Inggeris, kita pasti boleh memaafkan sekalipun tidak wajar dimaafkan. Tetapi yang menggunakan bahasa Inggeris dan sebahagian besarnya bahasa rojak di kalangan pembuat dan pelaksana dasar.

Lihat saja bagaimana sikap orang-orang ini dalam program berita atau bual bicara di kaca televisyen. Mereka menggunakan bahasa rojak yang Melayu bukan, Inggeris pun bukan. Tetapi cara menggunakan bahasa itu seolah-olah suatu yang dimuliakan. Apabila ada filem atau sekian banyak drama di kaca televisyen menggunakan bahasa rojak (Inggeris campur Melayu), itu adalah gambaran kegagalan yang memalukan dasar bahasa kebangsaan kita. Untuk mencari jalan penyelesaian, tidak adillah menyalahkan filem atau drama seratus peratus. Ini kerana persoalan yang lebih besar adalah kegagalan dasar bahasa kebangsaan.

Bahasa rojak

Sebenarnya kita semua tidak gembira apabila ada filem-filem atau drama yang menggunakan bahasa rojak. Kita tentu malu dengan filem atau drama dari Indonesia misalnya yang menggunakan bahasa Indonesia biarpun ada slanga tertentu. Tetapi isu bahasa rojak dalam filem tempatan tercetus daripada isu lain yang lebih besar. Maknanya tidak salah kalau ada kalangan kita sensitif dengan penggunaan bahasa Melayu campur Inggeris campur Cina dalam filem tempatan. Tetapi kita wajar melihat pangkal isu bahasa dalam filem tempatan. Tentu ada pangkalnya dan kita jangan sama sekali cuba menyembunyikan pangkal dengan menilai pucuknya saja.

Soalnya kenapa kita terlalu beria-ia sangat mempersoalkan filem yang tidak menggunakan bahasa Melayu yang baik sedangkan dalam perkara lain bahasa Melayu tidak pernah dimuliakan? Kalau ada yang berkata bahasa Melayu menjadi alat penyatuan kaum, anggaplah itu satu propaganda murahan dalam konteks negara ini.

Jadi jangan sama sekali membuat sesuatu yang melulu untuk kelihatan patriotik. Itu suatu yang tidak sihat. Perbetulkan dulu pelaksanaan dasar bahasa kebangsaan dan menjadikan bahasa Melayu bahasa rakyat Malaysia, bukan kaum Melayu. Kegagalan melaksanakan dasar bahasa kebangsaan ini sebenarnya mempengaruhi penghasilan filem dan drama.

Orang filem tidak wajar dipersalahkan tetapi tanyalah kenapa yang digambarkan dalam filem benar-benar berlaku di dalam masyarakat? Kita percaya kalau semua kaum di negara ini bertutur dalam bahasa Melayu tentu tidak ada filem yang dibuat menggunakan bahasa Melayu, Inggeris dan Cina. Filem Indonesia menggunakan bahasa Indonesia kerana dasar bahasa kebangsaan mereka kuat. Maka tidak ada filem atau drama yang menggunakan bahasa rojak. Kalau digunakan juga, sudah tentu berasa sangat janggal.

Maka definisi filem nasional dalam Akta Finas wajar diteliti semula. Gugurkan peraturan hanya filem berbahasa Melayu saja yang diiktirafkan sebagai filem nasional. Ini sekadar untuk memberikan keadilan kepada karyawan yang menghasilkan filem dalam bahasa lain. Dalam filem, bahasa verbal hanya medium yang kecil untuk menjelaskan jati diri sesebuah filem kepada khalayak dunia.

Memang baik kalau dibuat dalam bahasa Melayu tetapi ini bukan kayu ukur untuk menonjolkan jati diri dan pemikiran bangsa dalam sesebuah filem. Filem ada bahasanya sendiri. Bahasa filem akan difahami oleh semua orang di seluruh dunia. Bahasa filem inilah yang menentukan sama ada sesebuah filem mampu menonjolkan jati diri atau sebaliknya.

Isu filem tempatan bukanlah kerana menggunakan bahasa rojak. Malah menggunakan bahasa Melayu yang baik sekalipun, masalah filem tempatan tidak akan selesai. Masalah utama filem tempatan adalah soal mutu pemikiran yang sangat rendah. Itu yang perlu ditekan kalau pihak berkuasa jujur mahu menangani masalah filem tempatan.

Lalu apabila ada filem yang bahasa Melayunya kurang baik, tetapi jelas mencerminkan sosiobudaya masyarakat majmuk negara ini, apakah ini bukan filem yang boleh mewakili negara sebagai filem nasional? Laksanakan dasar bahasa kebangsaan dengan betul dulu baru tanya kenapa filem tempatan guna bahasa Melayu, Cina dan Inggeris? Kalau pelaksanaan dasar bahasa kebangsaan hangat-hangat tahi ayam, lebih baik diam.

Read more!