Lebuh raya maklumat vs pornografi

Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN
Sumber: Mingguan Malaysia 29 Mei 2005


INTERNET diperkenalkan di negara ini lebih kurang 12 tahun lalu. Ketika itu sana sini orang bercakap mengenai dasar langit terbuka, lebuh raya maklumat dan persiapan minda mendepani satu budaya baru yang tanpa sempadan.

Kita bertuah kerana kerajaan berminda jernih, melihat Internet dari sudut yang positif. Kita tidak tertutup seperti Syria atau Burma yang mengharamkan Internet. Malah kita jauh lebih rasional daripada beberapa negara Asia Barat menyaring akses Internet atas alasan politik.

Sejak 12 tahun lalu semua orang tahu bahawa bersama-sama Internet akan ada laman-laman web pornografi. Hal ini bukan baru. Tetapi Internet melampaui persepsi bahawa ia adalah wadah pornografi yang mudah dan murah. Kita yakin Internet adalah pusat segala maklumat. Di dalamnya kalau disukat ada ribuan ensiklopedia yang terbaik lagi terkini. Lalu kita tidak menjadikan isu pornografi sebagai alasan menolak lebuh raya maklumat ini.

Baru-baru ini bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengesyorkan supaya diadakan perisian untuk menyaring bahan-bahan pornografi dalam Internet di negara ini. Syor Dr. Mahathir bukanlah melabelkan Internet penuh dengan pornografi yang boleh menakutkan orang Melayu mengakses Internet.

Tetapi reaksi beberapa pihak seperti Badan Bertindak Kesedaran Penderaan Seksual Kanak-Kanak (MCPSA) memberikan gambaran bahawa Internet penuh dengan pornografi. Dalam lain perkataan Internet semacam bom jangka yang akan meruntuhkan tembok budaya dan susila. Internet dilihat dari sisi gelap yang menutup kehadirannya gedung segala maklumat.

Buktinya badan ini mengeluarkan statistik bahawa 1.5 juta laman web pornografi terdapat dalam Internet. Tidak cukup itu, MCPSA juga menyalahkan kemasukan teknologi komunikasi sebagai faktor penularan budaya tidak sihat di kalangan remaja. Kalau benar teknologi komunikasi memberi kesan kepada remaja, yang perlu diberi penekanan adalah mengubah sikap remaja dan bukannya menyisihkan diri daripada teknologi maklumat.

Kenapa selepas syor Dr. Mahathir barulah mencurah-curah cadangan supaya kerajaan mengawal akses Internet kerana banyak bahan pornografi? Kenapa selepas 12 tahun ini tidak ada pula pihak yang "bising'' dan menyuarakan kebimbangan (kalau benar satu kebimbangan) terhadap Internet? Kenapa harus tunggu isyarat baru hendak bersuara?

Pornografi hanyalah salah satu pengisian dalam Internet. Baiklah, pornografi memang merosakkan minda dan jiwa. Tetapi Internet juga boleh dilihat sumbangannya dalam era globalisasi. Kenapa kita tidak juga "bising'' dengan khidmat Internet yang tidak memerlukan kita membelek puluhan jilid Comton's Encyclopedia atau ratusan halaman Encyclopedia of Nature terbitan Dorling Kindersley?

Kontroversi bahan pornografi dalam Internet tidak memberikan faedah dalam jangka panjang. Malah ini mencetuskan satu persepsi bahawa Internet hanya saluran pornografi dan tidak sesuai dengan tatasusila rakyat negara ini. Kontroversi yang dilambung-lambungkan oleh beberapa pihak ini hanya akan menjauhkan masyarakat terutama orang Melayu dengan Internet.

Pornografi bukan masalah Internet. Pornografi atau sebelum ini heboh fasal jenayah siber adalah masalah sikap kita sendiri. Dengan Internet, penyebaran maklumat berlaku dengan pantas dalam masyarakat. Persoalannya bagaimana sikap penerima maklumat itu bertindak balas terhadap maklumat yang diterima?

Pornografi dalam Internet bukanlah sama seperti siaran dalam program televisyen. Dalam televisyen, buka saja salurannya, paparan tentang sesuatu program terus sampai kepada penonton. Tetapi dalam Internet, pelayar Internet yang mencari laman web pornografi.

Jadi tidak timbul masalah untuk menyaring akses Internet. Cuma yang perlu adalah self censorship kepada laman web yang perlu dilawati. Mungkin benar dalam Internet ada 1.5 juta laman web pornografi. Tetapi kalau kita menggunakan teknologi maklumat untuk meningkatkan kualiti hidup, berapa juta laman web pornografi bukanlah isunya.

Internet tidak lebih daripada medium. Kita kena bijak menggunakan medium untuk memudahkan hidup. Kalau tidak pandai menggunakan medium, tentu saja ia boleh membahayakan diri sendiri. Garpu yang digunakan untuk menyuapkan makanan dalam mulut pun boleh meragut nyawa kalau tidak bijak menggunakannya.

Nah, sekarang kita masih hendak menyalahkan medium yang memusnahkan kita? Sedangkan pada masa yang sama kita tidak pernah mendidik diri sendiri atau orang lain bagaimana untuk menggunakan medium dan teknologi dengan betul supaya kualiti hidup boleh berubah.

Isu yang patut diketengahkan sekarang bukanlah menyaring laman-laman web pornografi. Sepatutnya pihak seperti MCPSA mengusulkan Internet literacy supaya pusat maklumat ini digunakan dengan betul untuk menambahbaikan kualiti hidup.

Mengeluarkan kenyataan retorik tentang banyaknya laman web pornografi dalam Internet bertentangan dengan semangat Melayu unggul dan jati diri yang diperkatakan sana sini. Di mana perginya jati diri kalau kita masih tidak boleh menilai antara Internet sebagai ensiklopedia ilmu dengan kamar pornografi?

Kita masih belum unggul kalau terus melihat Internet pada satu sisi sahaja. Internet adalah antara ciri globalisasi. Sementara globalisasi pula adalah suatu yang tidak mampu kita hindari. Lambat-laun kita terpaksa menerima gelombang globalisasi ini.

Kalau ada pihak yang benar-benar prihatin dengan bahan "beracun'' dalam Internet, cadangkan supaya disemak semula pemberian lesen kafe siber yang menyediakan perkhidmatan Internet. Pengunjung kafe siber di kalangan remaja hanya mengakses permainan dalam talian, laman chit-chat dan laman pornografi.

Sebahagian besar kafe siber berselindung di sebalik keghairahan kerajaan meluaskan Internet kepada masyarakat. Tetapi mereka tidak bertanggungjawab kerana memberi persepsi kepada orang Melayu bahawa Internet adalah chit-chat, permainan dan pornografi saja.

Sampai bila kita mahu menyalahkan Internet yang menyumbatkan bahan-bahan antimoral itu? Teknologi sebenarnya tidak ada kaitan dengan sikap manusia. Ini kerana teknologi adalah penemuan kaedah dan dalam konteks Internet, ia hanyalah kaedah komunikasi maklumat.

Maka yang lebih baik diuar-uarkan sekarang adalah Internet sebagai pusat segala maklumat. Kalau mahu diukur, pengisian maklumat dalam Internet lebih daripada sebuah bilik yang penuh diisi ensiklopedia. Semuanya berada di hujung jari dan sepatutnya inilah yang diperkatakan kepada masyarakat.

Percayalah pornografi sebenarnya jauh lebih kecil daripada sumbangan Internet untuk kita menelaah Library of Congress yang tersohor itu. Perpustakaan ini menyimpan 130 juta bahan iaitu 29 juta buku, 2.7 juta pita rakaman, 12 juta gambar, 4.8 juta peta dan 58 juta manuskrip. Kenapa laman web pornografi yang menjadi isu?

Read more!

Lynndie England diperalatkan?

Oleh: Ku Seman Ku Hussain
Sumber: Mingguan Malaysia 8 Mei 2005


KHAMIS lalu mahkamah tentera di Fort Hood, Texas telah menolak pengakuan bersalah Lynndie England, anggota tentera wanita yang terlibat dalam skandal penyeksaan di penjara Abu Gharib, Iraq.

Siapa England? Tentu banyak yang masih ingat gambar seorang anggota tentera wanita yang mengikat leher dan mengheret tahanan Iraq seperti anjing. Tentu ingat juga aksi seorang wanita di sisi piramid manusia di penjara Abu Gharib.

Dia adalah England yang mendakwa dia diarahkan "menunjukkan diri'' dalam gambar-gambar itu. Aksi itu kata England salah satu modul psy-ops (psychological operations dalam istilah perisikan tentera).

England mengaku bersalah Isnin lalu terhadap tujuh tuduhan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 11 tahun. England yang berusia 22 tahun ini adalah bekas teman wanita Sarjan Charles Graner yang dipenjara 10 tahun setelah didapati bersalah dalam skandal yang sama.

Pada perbicaraan Khamis lalu Graner dipanggil memberi keterangan berhubung skandal penyeksaan tersebut. Hakim mahkamah tentera Kolonel James L. Pohl kemudiannya menolak pengakuan bersalah England dengan alasan ada ``unsur-unsur'' lain yang mendorong perbuatan England. Salah satunya pengaruh Graner yang menjadi ketua di unit berkenaan.

Sementara itu semasa memberi keterangan, Graner tetap dengan kenyataannya yang dahulu iaitu skandal itu didalangi oleh pihak atasan AS. Ini antara "unsur-unsur'' yang membuatkan hakim menolak pengakuan bersalah tersebut.

Banyak pihak yang terkejut dengan tindakan hakim menolak pengakuan bersalah. Ada dua pandangan berhubung tindakan hakim yang mengendalikan perbicaraan di mahkamah tentera itu.

Pertama - kalau berbalik kepada kenyataan Graner dahulu, dia mendakwa skandal penyeksaan itu didalangi oleh pentadbiran Bush. Maknanya ada pihak lain yang membaling batu sembunyi tangan dan menolak kambing hitam ke depan untuk menerima hukuman. Selepas dihukum selesailah kes ini.

England dipercayai diberi tawar-menawar supaya mengaku bersalah. Apabila mengaku bersalah perbicaraan menjadi singkat dan ringkas. Maka banyak fakta penting yang barangkali melibatkan pihak atasan AS terus terbenam dan umum tidak tahu apakah yang sebenarnya berlaku. Memanglah secara kasar orang hanya melihat England dan Graner saja tetapi dengan penolakan pengakuan bersalah, tentu banyak yang akan dibongkarkan.

Pandangan kedua pula melihat dengan tindakan hakim menolak pengakuan bersalah memperlihatkan England mempunyai harapan digugurkan daripada tuduhan. Malah menurut akhbar di AS, kerajaan secara tidak langsung menggugurkan dakwaan ke atas England sekali pun hakim menegaskan akan disambung pada masa yang lain.

"Perbicaraan tamat hari ini dan akan diadakan pada suatu masa yang lain,'' demikian kata Pohl yang mengejutkan banyak pihak kerana keputusan itu dilihat sebagai luar biasa.

Kalangan pemerhati politik dan pengamal undang-undang percaya adalah sukar untuk mendakwa England bermula dari awal. Kalau benarlah jangkaan ini, England cuba diselamatkan daripada menerima hukuman. Tanggapan ini juga seolah-olah pentadbiran Bush campur tangan ke atas mahkamah tentera berkenaan.

England kini menjadi ibu tunggal kepada anak lelaki tujuh bulan hasil hubungan dengan Graner. Dia dilaporkan tidak memberikan sebarang reaksi semasa Pohl menolak pengakuan bersalah. Adakah ini menunjukkan England dipaksa mengaku salah dan dijanjikan sesuatu?

England dan Graner antara tujuh anggota pasukan Maryland 372 Polis Tentera yang dituduh mendera dengan kejam tahanan Iraq. Bagaimanapun setakat ini hanya Graner saja yang dihukum selepas pendakwa memutuskan Graner sebagai ketua dalam skandal tersebut.

Skandal penjara Abu Gharib membangkitkan kemarahan dunia Arab. Sementara masyarakat di seluruh dunia mengutuk perbuatan yang tidak berperikemanusiaan oleh tentera AS itu. Skandal yang disaksikan di seluruh dunia ini menjejaskan teruk imej pentadbiran Bush.

Teori konspirasi yang mengatakan skandal penyeksaan di penjara Abu Gharib angkara pihak atasan AS kini semakin jelas. Biarpun sebelum ini Bush menafikan sekeras-kerasnya penglibatan pihak tertinggi AS tetapi rentetan daripada skandal hingga rentak perbicaraan memperlihatkan ada suatu yang tidak kena dengan kes ini.

Faktor yang membuatkan hakim menolak pengakuan bersalah kes England menguatkan lagi teori bahawa pihak atasan AS terlibat dalam skandal tersebut. Tindakan hakim yang mengendalikan kes England memberikan kesan yang buruk kepada Bush kerana kes England belum selesai dan mungkin lebih berselirat.

Alasan hakim antaranya beliau tidak boleh menerima pengakuan bersalah England kerana "tidak tahu apa-apa'' semasa melakukan penyeksaan itu. Akan terbukakah misteri skandal ini tentang siapa dalangnya?

Bush misalnya, telah memberikan reaksi spontan bahawa perbuatan itu dilakukan oleh tentera AS dalam gambar yang disiarkan di seluruh dunia. Sebelum anggota tentera berkenaan dihadapkan ke pengadilan, Bush terlebih dahulu menghukum mereka.

Begitu juga reaksi bekas Setiausaha Negara Colin Powell yang menafikan sebarang campur tangan pihak pentadbiran Bush dalam skandal penyeksaan itu. Dalam kata lain semua itu dilakukan oleh tentera berkenaan dan mereka wajar dipersalahkan.

Tetapi masyarakat dunia melihat sebaliknya. Antara teorinya bagaimana penyeksaan itu boleh dilakukan tanpa pengetahuan pihak atasan tentera yang menguasai penjara itu? Bentuk penyeksaan yang dilakukan terkeluar daripada norma-norma kemanusiaan; kencing atas tahanan, bogelkan tahanan, menyusun tahanan jadi piramid serta mengenakan kejutan elektrik.

Skandal penyeksaan ini menjadi isu kontroversi seluruh dunia hanya selepas gambar-gambar penyeksaan tersebut disiarkan di akhbar. Selepas gambar aksi sadis England dan Graner tersebar di seluruh dunia, AS terpaksa main wayang untuk menunjukkan mereka prihatin dengan skandal tersebut.

Salah satu taktiknya mendakwa tujuh anggota polis tentera dan mereka dipertanggungjawabkan untuk melindungi dalang-dalang yang sebenar. Tujuh anggota polis tentera ini tidak lebih kambing hitam, tetapi hanya Graner saja yang menerima hukuman.

Mujurlah hakim menolak pengakuan bersalah England dan mahu mengulangi perbicaraan sekali lagi. Sejauh manakah undang-undang berada di atas segala-galanya? Orang selalu percaya undang-undang berada di bawah politik dan kalau ini berlaku, orang sebenar yang bertanggungjawab dalam skandal penyeksaan itu pasti bebas. Mahkamah tidak lebih daripada tempat mendapatkan sijil rasmi bahawa yang berkuasa tidak bersalah.

Read more!