Bunuh tebusan perjuangan yang hina

Oleh: Ku Seman Ku Hussain
Sumber: Mingguan Malaysia 5 September 2004


Di mana dan apa perasaan mereka? Demikianlah persoalan yang mengasak pemikiran apabila pada zaman di mana manusia mengaku bertamadun memenggal kepala orang tidak bersalah sebagai "pertukaran'' kepada jenayah yang dilakukan oleh orang lain.

Memenggal kepala sebagai protes politik bukanlah jenayah pembunuhan biasa. Kesan terhadap psikologi khalayak sangat besar melampaui kejadian jenayah bunuh yang dipaparkan di media setiap hari.

Persoalannya apakah kesan ini yang dimahukan oleh militan supaya tuntutan mereka dipenuhi? Kalau inilah tujuannya, dunia berada dalam ketakutan lagi menyeksakan. Nyawa manusia tidak berdosa menjadi begitu murah. Malah tidak bernilai apa-apa.

Apakah ini satu jalan untuk menekan kuasa besar politik dunia? Bahayanya selepas ini siapa saja boleh menuntut apa saja dengan menculik kemudian mengugut dan seterusnya memenggal kepala tebusan. Apakah ini tamadun zaman moden dan selepas era kuno Greek dan Rom dulu?

Pada 11 Mei lalu seorang rakyat Amerika Syarikat (AS) Nicholas Berg telah disembelih di Iraq. Dia disembelih sebagai balasan ke atas kekejaman yang dilakukan oleh tentera AS ke atas tawanan Iraq di penjara Abu Gharib.

Tragedi penyembelihan ini disaksikan di seluruh dunia menerusi laman web. Militan Islam itu bukan memusuhi Berg malah menyembelih Berg bukan kerana marahkan Berg. Sebaliknya Berg menjadi satu manifestasi kemarahan terhadap kebinatangan tentera AS di penjara Abu Gharib.

Berg boleh dibunuh kemudian dihumban di Sungai Tigris. Atau boleh dilesapkan begitu saja. Tetapi kesan psikologinya tidak sehebat merakamkan penyembelihan manusia dan disiarkan seluruh dunia.

Selepas kepala Berg dipegang seperti sebiji buah kelapa, ugutan memenggal kepala menjadi suatu yang sangat serius. Ia bukan lagi ugutan main-main atau sekadar menakut-nakutkan pihak yang dituntut. Apabila rasa perikemanusiaan tiada, nyawa manusia pun turut tiada harganya.

Inilah sebenarnya yang berlaku kepada tragedi pembunuhan tebusan sebagai protes politik apabila tuntutan tidak dilayan. Satu bentuk perang psikologi kepada kuasa besar yang mempunyai kelengkapan pertahanan yang canggih dan kuat.

Sebelum ini pada 2001 warga AS, Guillermo Sobero yang diculik oleh kumpulan Abu Sayyaf di Filipina. Dia ditemui telah dipenggal kepalanya. Ketika itu ugutan memenggal kepala tebusan dianggap sekadar menakut-nakutkan kerajaan Filipina.

Banyak pihak tidak percaya kumpulan militan itu akan memenggal kepala Sobero yang tidak langsung terlibat dalam pertikaian antara militan tersebut dengan kerajaan Filipina. Malah pada tahun yang sama juga militan Abu Sayyaf menculik dan memenggal kepala dua guru Kristian.

Pengarah Jabatan Psikologi Politik Universiti George Washington, Jerrold Post pernah berkata, memenggal kepala tebusan lebih kepada simbolik dan ternyata memberikan kesan psikologi kepada pihak yang satu lagi.

Memenggal kepala sebelum ini dianggap hanya dilakukan oleh manusia tidak bertamadun. Misalnya tentera Nazi memenggal kepala 16,000 orang Yahudi semasa era Hitler. Bayangkan Nazi memenggal kepala seorang Yahudi setiap tiga minit.

Tidak lama selepas Berg disembelih, seorang rakyat Korea Selatan Kim Sun il turut dipenggal kepala. Tujuannya sama. Militan menuntut Korea Selatan menarik balik tenteranya dari Iraq.

Sementara itu pada 18 Jun lalu, Paul Johnson seorang kontraktor AS diculik di Arab Saudi. Tujuannya sama iaitu menuntut AS keluar dari Iraq. Kesudahannya kepala dan badan Johnson terpisah dua dan kerja ini bukanlah menelan belanja yang besar dan tenaga yang banyak. Cuma yang diperlukan ialah tidak ada rasa perikemanusiaan dan kemarahan yang melampau kepada AS.

Kejadian yang terbaru, 12 tebusan Nepal ditembak dan salah seorang daripada mereka dipenggal kepalanya. Pembunuhan ini juga disiarkan di laman-laman web untuk menunjukkan ugutan bunuh bukan main-main dan semua orang boleh melakukannya.

Semua pembunuhan ini bukanlah kerana salah yang dilakukan oleh mereka sendiri. Sebaliknya mereka memikul kesalahan yang dilakukan oleh kerajaan masing-masing. Mangsa penggal kepala tidak lebih tempat melepaskan kemarahan.

Tetapi pada era Greek, memenggal kepala bukanlah kerana protes politik. Sebaliknya hari ini kepala siapa saja yang menjadi tebusan boleh dipenggal apabila protes politik. Ini sebenarnya menjadi ketakutan baru dalam kehidupan zaman moden.

Menculik dan mengugut memenggal kepala sebenarnya lebih bahaya daripada ugutan perampas kapal terbang. Tidak semua perampas kapal terbang membunuh semua penumpang. Tetapi setakat ini militan mengotakan kata-kata mereka memenggal kepala tebusan.

AS wajar bertanggungjawab ke atas tebusan yang dipenggal kepala. Semuanya kerana ada manusia kecil yang tidak boleh melawan secara berdepan. Lalu mereka memilih cara lain yang boleh menggugat lawannya. Buktinya tebusan dipenggal kepala tidak menjadi-jadi sebelum AS menyerang Afghanistan dan Iraq. Mungkin inilah saja caranya untuk mengajar kebongkakan AS yang lebih dulu membunuh tamadun manusia.

Tetapi di atas alasan apa sekalipun, memenggal, menyembelih atau membunuh tebusan bukanlah cara berjuang yang mulia.

Malah yang paling dikesalkan semua tebusan yang dipenggal kepala atau disembelih seperti binatang ini bukan kerana kesalahan mereka sendiri. Mereka memikul kesalahan orang lain. Maka ternyatalah hari ini dunia diancam oleh manusia yang sudah tidak ada perikemanusiaan.

Read more!