Cabaran damai India-Pakistan

Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 25 Februari 2007


Ketika India bercita-cita untuk menyaingi China dalam kebangkitan ekonomi Asia, negara itu menghadapi kesukaran besar selagi masalahnya dengan Pakistan tidak dapat diselesaikan.

Peristiwa terbaru di mana serangan keganasan berlaku ke atas kereta api Ekspres Persahabatan yang sedang dalam perjalanan dari India ke Pakistan mencerminkan masalah besar ini.

China sudah tidak perlu menghadapi masalah keganasan seumpama ini. Walaupun Taiwan menunjukkan hasrat untuk merdeka tetapi ia tidak melibatkan kekerasan.

Sebaliknya Pakistan yang merupakan negara merdeka daripada India masih terbelenggu dengan masalah politik yang rumit berkaitan Kashmir hingga menyemarakkan kegiatan keganasan teruk. Ini belum dikira kegiatan pemisahan di wilayah-wilayah tertentu di India.

Di sinilah ironinya yang melihatkan perbezaan antara India dan China. Walaupun Taiwan berfungsi sebagai sebuah negara merdeka, tetapi secara rasmi ia adalah sebahagian daripada China.

Sebaliknya Pakistan walaupun merupakan merdeka, tetapi kedua-dua negara itu tidak dapat berfungsi secara aman kerana masalah Kashmir.

Hakikatnya India dan Pakistan tersimpul oleh Kashmir. Kedua-dua negara berdaulat itu masih menjadi satu walaupun mengiktiraf kemerdekaan masing-masing.

Bagaimanapun perbezaan besarnya ialah di India, kekerasan berlaku sementara perdamaian kukuh di China. Sebagai negara demokrasi, India dan Pakistan tidak dapat mengawal keamanan sepenuhnya sementara China di bawah pemerintahan autoritarian Parti Komunis China berjaya mewujudkan disiplin dan perdamaian.

India juga mempunyai parti komunis tetapi mereka menguasai negeri Bengal dan Kerala melalui pilihan raya dalam sistem demokrasi.

Tetapi masalah India sekarang bukannya komunis, tetapi adalah soal nasionalis agama. Begitu juga dengan Pakistan, ia juga soal nasionalis agama.

Malah pemecahan India yang melahirkan Pakistan adalah disebabkan oleh nasionalis agama.

Sementara pemecahan Pakistan yang melahirkan Bangladesh juga disebabkan oleh nasionalis agama.

Kini politik Bangladesh sedang bergolak, hasil daripada warisan pertembungan antara nasionalis bahasa dengan nasionalis agama.

Bangladesh merdeka disebabkan tekanan daripada nasionalis agama yang menimbulkan pemberontakan daripada nasionalis bahasa Bangla. Kejayaan Bangladesh mencapai kemerdekaan adalah kerana bantuan India.

Maka Bangladesh tidak dapat dipisahkan daripada pertembungan antara India dan Pakistan.

Liga Muslim yang memperjuangkan Pakistan adalah nasionalis agama yang menjadi pemula kepada pertembungan antara kedua negara. Tetapi dorongan Liga Muslim untuk berbuat demikian adalah kerana tekanan nasionalis agama di pihak Hindu kepada Parti Kongres.

Tetapi pemimpin Pakistan sekarang, Presiden Pervez Musharraf mahu meninggalkan era perang India-Pakistan. Beliau serius membuka jalan untuk menyelesaikan masalah Kashmir. Malah beliau turut merintis kepada pembukaan hubungan India dan Pakistan.

Ekspres Persahabatan mendapat sokongannya dan ia menjadi sasaran oleh pengganas yang mahu menggagalkan usaha Musharraf ini.

Jika Islamabad dan New Delhi komited terhadap perdamaian, mereka mesti melihat serangan bom itu sebagai cabaran yang mesti dilalui dengan penuh tekad. Serangan itu tidak wajar menjadi hambatan kepada usaha perdamaian.

Pakistan hanya mahu memperbaiki suasana negara mereka tetapi India mempunyai cita-cita besar untuk menyaingi China. Bagaimanapun, ia tidak boleh melakukannya tanpa sokongan Pakistan dan Bangladesh.

Ketiga-tiga negara ini wajar sedar bahawa mereka perlu bersatu untuk makmur bersama. Dalam hal ini, Kashmir memang menjadi masalah.

Pihak India umumnya menyalahkan Lashkar-e-Taiba, iaitu pejuang pembebasan Kashmir sebagai pengganas dalam serangan bom itu. Tetapi Lashkar menafikannya.

Mungkin Bangladesh boleh menjadi model kepada pertikaian antara India dan Pakistan. Kalaulah kedua-dua, Islamabad dan New Delhi melepaskan saja Kashmir untuk muncul sebagai sebuah negara merdeka, mungkin penyelesaian berada di situ.

Tetapi rakyat India dan Pakistan sehingga ini sukar untuk melepaskan Kashmir. Cara lain ialah Islamabad dan New Delhi sama-sama mentadbir Kashmir. Makna kesemua perkara ini, Kashmir merupakan penghubung dan penyambung antara India dan Pakistan.

Kalau demikian bentuknya, maka lebih baik kedua-dua India dan Pakistan tidak berpisah. Jika India dan Pakistan bergabung, Bangladesh pun tidak mempunyai sebab untuk berasingan.

Lagipun Bangladesh dan Bangla Barat berkongsi bahasa dan kesusasteraan.

Kedua-dua negara India dan Pakistan berpisah kerana agama. Tetapi ternyata India tidak boleh menjadi negara Hindu. Untuk beberapa tahun, ia diperintah oleh Parti Bharatia Janata (BJP) yang berpegang pada nasionalis Hindu, tetapi akhirnya ditolak oleh pengundi yang memilih kembali parti sekular Kongres dan sekutunya daripada kalangan golongan kiri termasuk komunis.

Pakistan yang nama rasminya Republik Islam Pakistan gagal memberi kemenangan kepada parti fundamentalis Jamaati Islami dan Jamaati Ulama. Sementara di Bangladesh yang jelas majoriti besar penduduknya beragama Islam meletakkan negara itu sebagai republik sekular berasaskan nasionalis bahasa.

Konsep nasionalisme, demokrasi dan sosialisme di India datangnya dari Britain. Begitu juga dengan angkatan tentera kedua negara yang kini bertembung sesama sendiri. Bahasa Inggeris yang membolehkan India menyertai globalisasi dengan lebih hebat daripada China juga berasal dari penjajah Britain.

Tetapi sepanjang penjajahan Britain, India bermaksud termasuk Pakistan, Bangladesh, Burma dan Afghanistan diperintah melalui pentadbiran ketenteraan. Kerajaan empayar yang berpusat di Calcutta (kini Kolkota) adalah pemerintahan tentera dan bukannya demokrasi. Apabila Pakistan diperintah tentera, ia tidak berbeza dengan apa yang dilakukan Britain ke atas India.

Sepanjang pemerintahan British, ia dilakukan secara kekerasan dan ketenteraan. Perang dan pemberontakan adalah perkara biasa. Justeru apa yang berlaku di India dan Pakistan adalah tidak asing sejak dari dulu.

Perspektif ini wajar diingatkan kerana pada masa ini gambaran yang dipaparkan adalah seolah-olah Barat adalah kuasa demokratik sementara politik oleh tentera hanya menjadi amalan Dunia Ketiga.

Pada zaman British, masalah besar mereka ialah Afghanistan. Di kawasan yang dinamakan Wilayah Sempadan atau Frontier Province merujuk kepada tempat yang sukar dikawal di mana suku kaum Pathan adalah mereka yang mempunyai sifat merdeka dan enggan tunduk kepada kuasa asing.

Walaupun ia terletak di bawah pentadbiran penjajahan, tetapi pengaruh British hanyalah minimum. Dasar luar British pada zaman penjajahan ke atas India adalah untuk menakluki Afghanistan bagi mengelak ia jatuh ke tangan Rusia.

Selepas tiga kali perang, walaupun ada masa berjaya, tetapi Britain mengalami tamparan hebat dalam pertempurannya menentang orang Afghan.

Sejarah seolah-olah tidak berubah. Kerajaan Pakistan juga tidak dapat mentadbir sepenuhnya kawasan sempadan dengan Afghanistan.

Walaupun ia sering dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu di Amerika Syarikat (AS) tetapi Musharraf menyatakan bahawa ada cara-cara tertentu bagi menghadapi suku-suku kaum di wilayah itu.

Melihat apa yang dihadapi oleh AS dan sekutu-sekutunya dari Eropah di Afghanistan, maka ia menunjukkan bahawa kedudukan zaman ini tidak banyak berubah dengan apa yang berlaku semasa penjajahan.

Malah India yang menghadapi pelbagai kejadian berdarah jauh lebih aman berbanding semasa penjajahan British dahulu.

Tetapi jika melihat jauh ke belakang sejarah, India sememangnya juga tidak sunyi dari pergolakan. Semasa pemerintahan Islam, iaitu kerajaan Moghul, banyak masa dihabiskan dengan peperangan dan menundukkan pemberontakan.

Walaupun ketika tamadun Moghul berada di kemuncaknya seperti pada zaman Akbar, negara terus berdepan dengan pertempuran.

Bagaimanapun, Moghul yang bermakna Mongol datangnya pula dari Afghanistan. Babur Khan yang mengasas kerajaan Islam Delhi adalah pemerintah Kabul.

Maka dalam perspektif sejarah, India mempunyai kaitan bukan saja dengan Pakistan tetapi juga Afghanistan. Jadi wilayah yang meliputi Afghanistan, Pakistan dan India berada pada iklim politik serupa. Inilah juga yang mungkin menjadi pendorong kepada penjajah British hendak menakluki Afghanistan untuk dimasukkan ke dalam empayarnya, tetapi ternyata gagal.

Hakikat geopolitik inilah yang perlu disedari oleh India. Untuk menjadi kuasa menyaingi China, New Delhi perlu mengambil kira keamanan bukan saja di Kashmir tetapi juga Afghanistan.

Maka tidak hairanlah pejuang-pejuang yang sealiran Taliban dan Al-Qaeda bergerak bukan saja meliputi sempadan Afghanistan dan Pakistan tetapi juga menembusi Kashmir dan India sendiri.

Baru-baru ini terdapat tanda bahawa kerajaan Kabul menghadapi tekanan hingga pada satu peringkat terdapat seorang pegawai AS mencadangkan supaya Taliban diajak menyertai kerajaan. Maknanya, Taliban gagal dihapuskan sepenuhnya dan jalan yang terbentang di hadapan adalah sama pergolakan baru yang terus mengancam keamanan dunia terus berlaku, atau suasana damai di mana mereka dipelawa menyertai kerajaan Kabul.

New Delhi memberi sokongan besar kepada kerajaan Hamid Karzai. Tradisinya, India memberi sokongan kepada golongan yang tidak sealiran dengan Pakistan.

Semasa pemerintahan komunis di Afghanistan, New Delhi memihak kepada Moscow dan rejim komunis di situ. Ketika Taliban yang disokong Pakistan menguasai Kabul, New Delhi menyebelahi Perikatan Utara.

Kalau Pakistan yang begitu rapat dengan Afghanistan tidak dapat mengenakan pengaruh ke atas negara itu, apatah lagi India. Maka fokusnya perlu kepada penyelesaian Kashmir.

Akhirnya jika diusahakan sungguh-sungguh, India dan Pakistan boleh menjadi sahabat yang utuh. Ingatlah betapa Perancis dan Jerman merupakan negara bermusuh berabad-abad tetapi kini menjadi sahabat.

Pada satu hari perdamaian dapat diwujudkan antara India dan Pakistan dan apabila disebut persaingan ekonomi antara China dan India, bahagian India itu dimaksudkan sekali dengan Pakistan.

Kalau rangkaian hubungan dua hala India-Pakistan dan Pakistan-Afghanistan dapat diwujudkan secara harmoni, maka peluang keamanan dapat diwujudkan.

Dalam ASEAN, pernah satu masa Indonesia berkonfrontasi dengan Malaysia. Singapura juga berpisah daripada Malaysia. Maka tidak ada sebab untuk India dan Pakistan tidak berbaik-baik.

Justeru walau banyak mana pun serangan keganasan ke atas Ekspres Persahabatan, New Delhi dan Islamabad mesti menganggapnya sebagai cabaran untuk mewujudkan perdamaian demi kesejahteraan rakyat masing- masing.

Read more!

Apabila makanan menjadi racun bagi manusia

Oleh: ZIN MAHMUD (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 24 Februari 2007


ANDAI kata ada pihak yang meminta saya menulis sebuah novel konspirasi politik global, tema yang menarik ialah mengenai makanan dan kesihatan manusia.

Begini, dalam novel itu, saya akan reka sebuah pertubuhan rahsia peringkat antarabangsa. Matlamat pertubuhan rahsia ini ialah untuk mengaut sebanyak keuntungan yang boleh.

Maka pertubuhan ini membuat kajian mengenai sifat manusia. Daripada penyelidikannya akan didapati bahawa manusia mempunyai dorongan untuk hidup sesedap mungkin dan selama mungkin.

Pertubuhan rahsia ini mendapati bahawa dua naluri paling kuat memberi kesedapan kepada manusia, iaitu makanan dan seks.

Manusia makan bukan hanya untuk kenyang atau tenaga, tetapi kerana rasanya sedap.

Begitu juga dengan seks. Manusia melakukannya bukan saja untuk mendapatkan zuriat, tetapi kerana ia sedap.

Tetapi untuk seks, manusia memerlukan galakan dalam bentuk kesihatan dan kecantikan, baik penampilan rupa tubuh badan, solekan, pakaian dan aksesori bagi meningkatkan imej serta daya tarikan seks. Bukan saja untuk wanita tetapi juga lelaki.

Maka kemuncak keseronokan bagi manusia ialah bersantai di pusat-pusat rekreasi pelancongan, apabila pasangan dapat menikmati makanan sesedap mungkin dan melakukan aktiviti-aktiviti lanjutan.

Setelah mengenal pasti naluri manusia ini, pertubuhan rahsia ini akan menceburkan diri dalam industri makanan. Oleh kerana matlamatnya ialah keuntungan semata-mata, maka dijualnya makanan paling sedap yang boleh.

Tentu ini memerlukan pelbagai jenis bahan kimia yang boleh meningkatkan kesedapan sesuatu makanan.

Oleh kerana sedap, maka larislah makanan itu dan bertambah ramai penggunanya, serta bertambahlah keuntungan yang diraih oleh pertubuhan itu. Tetapi makanan itu mendatangkan kesan buruk dari segi kesihatan dan penampilan tubuh badan.

Obesiti dan pelbagai penyakit timbul kerana pemakanan yang tidak bijak itu. Tetapi pertubuhan rahsia itu melihat kesan daripada makanan itu sebagai peluang perniagaan.

Mereka menceburkan diri dalam perniagaan kesihatan dan kecantikan pula. Melalui pelbagai penyelidikan yang dibuat, maka ditemui sistem dan ubat bagi merawat penyakit-penyakit yang timbul akibat pemakanan itu.

Maka apabila pengguna itu telah berbelanja membeli makanan yang dibuat oleh pertubuhan rahsia itu kemudian terpaksa pula berbelanja lagi untuk berubat atau mendapatkan rawatan bagi mengatasi kesan akibat makanan itu. Bukan itu saja, pertubuhan rahsia itu juga menceburkan diri dalam bidang pelangsingan bagi mengatasi masalah obesiti pengguna-pengguna makanannya.

Tentu ia dapat mengaut keuntungan besar daripada perniagaan makanan dan kesihatan ini. Tetapi sebagai pertubuhan yang komited untuk mengaut keuntungan sebesar mungkin, ia juga menceburkan diri dalam perniagaan yang berkaitan dengan teras makanan dan kesihatan.

Justeru, penglibatannya dalam rangkaian restoran, hotel, fesyen, kenderaan, insurans, pelancongan dan lain-lain adalah semuanya berkaitan dengan perniagaan terasnya.

Tidak ketinggalan juga, pertubuhan rahsia ini menceburkan diri dalam bidang media dan pengiklanan kerana daripada penyelidikannya didapati apabila banyak iklan dibuat, maka jualan perniagaannya juga meningkat.

Dalam novel itu, dapat saya gambarkan betapa pertubuhan konspirasi dapat menguasai dunia melalui perniagaan makanan dan kesihatan, mengalahkan pengaruh kerajaan-kerajaan.

Ini kerana dalam dunia demokrasi dan kapitalisme, kerajaan ditentukan oleh rakyat. Sementara pasaran pula menentukan kejayaan produk yang disajikan kepada pengguna.

Jadi katakan rakyat sukakan makanan yang sedap tanpa menghiraukan akibat kepada kesihatan mereka, kerajaan tidak dapat berbuat apa-apa.

Tetapi minda rakyat pula terpengaruh dengan iklan. Sementara iklan pula menentukan nyawa media, yang sudah tentu tidak berupaya mempertikaikan perkara-perkara yang boleh menjejaskan pendapatan mereka sendiri.

Maka dalam novel konspirasi itu, saya mungkin memaparkan watak-watak yang sedar mengenai konspirasi pertubuhan rahsia ini. Ketika kebanyakan orang terpengaruh dengan iklan, terdapat sekumpulan manusia yang sedar mengenai pemakanan cuba hendak membebaskan diri daripada racun yang disajikan sebagai makanan.

Ia seolah-olah seperti dalam filem Matrix di mana manusia dilalaikan dengan kepalsuan dan sukar untuk membebaskan diri daripada satu penguasaan oleh mesin.

Mungkin pejuang pembebasan makanan racun ini menubuhkan persatuan pengguna. Tetapi suara mereka tenggelam dan kalah dengan kekuatan iklan yang dibuat oleh pertubuhan rahsia itu.

Dalam keadaan tertekan ini, mereka cuba meyakinkan kerajaan dan mengadu kepada media mengenai masalah ini. Tetapi akhirnya mereka sedar bahawa manusia mempunyai dorongan bukan saja untuk menikmati makanan sedap tanpa mengira kesannya, tetapi mereka juga tidak terdaya menolak nafsu untuk mengaut keuntungan sebanyak mungkin.

Rupa-rupanya nafsu makan, seks dan keuntungan adalah berkaitan. Tamak haloba dalam pemakanan tidak berbeza dengan dorongan mengaut keuntungan. Ia juga berkaitan dengan ketamakan kuasa dan pengaruh. Dan novel konspirasi politik global saya berakhir di sini.

Read more!

Palestin: Melihat dimensi Saudi

Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 18 Februari 2007


Lega rasanya apabila Persetujuan Mekah dicapai antara Hamas dan Fatah bagi tujuan menubuhkan kerajaan perpaduan. Tahniah wajar diberikan kepada Raja Arab Saudi, Raja Abdullah yang berusaha menjadi orang tengah dalam perselisihan Hamas-Fatah yang telah pun mengorbankan pejuang mereka sendiri dan hampir menyeret Palestin ke dalam kancah perang saudara, sedangkan musuh mereka iaitu Israel terus bermaharajalela.

Tetapi perjalanan masih jauh. Persetujuan Mekah ini hanya menyelesaikan satu perkara yang tidak patut berlaku iaitu perbalahan antara Hamas dan Fatah.

Tetapi masalah ini berlaku kerana Amerika Syarikat (AS) tidak mahu mengiktiraf kerajaan Hamas. Maka hakikatnya ia bukan masalah Palestin tetapi lebih kepada sikap hipokrisi AS terhadap demokrasi.

Sepatutnya apabila Hamas menang pilihan raya, maka ia berhak menubuhkan kerajaannya tanpa syarat. Dunia termasuk AS wajar akur pilihan rakyat Palestin. Sememangnya lebih bijak bagi Hamas menubuhkan kerajaan campuran dengan mengajak Fatah menyertainya. Tetapi kemenangan Hamas adalah kuat dan ia tidak perlu menubuhkan kerajaan campuran.

Masalahnya AS tidak mahu mengiktiraf kerajaan Hamas dengan alasan pertubuhan itu enggan mengiktiraf Israel, di samping ia masih tidak menolak penggunaan senjata.

Demokrasi memberi hak untuk mana-mana pihak memiliki pendirian. Begitu juga dengan Hamas. Ia sudah mempunyai pendirian sedemikian dan tidak wajar ia dipaksa untuk mengiktiraf Israel. Banyak negara di dunia yang tidak mengiktiraf Israel. Itu tidak bermakna kerajaan mereka tidak boleh diiktiraf.

Apabila kerajaan Hamas tidak diiktiraf AS, maka ia dihalang daripada mendapat bantuan kewangan. Kesatuan Eropah (EU) juga menurut jejak AS. Kesemua punca pendirian ini ialah Israel yang mahu kerajaan Palestin mengiktirafnya sebelum diadakan rundingan damai.

Untuk sebarang rundingan, mestilah pengiktirafan dilakukan antara satu sama lain. Israel mengiktiraf Palestin, dan pihak Palestin juga mengiktiraf Israel.

Tetapi tidakkah boleh rundingan terus dijalankan tanpa pengiktirafan? Hakikatnya walaupun Palestin tidak mengiktiraf Israel, tetapi rejim Zionis sudah menguasai Palestin. Begitu juga walaupun Israel tidak mengiktiraf Palestin, kerajaan Hamas sudah dipilih rakyatnya. Rundingan boleh dilakukan untuk cari jalan damai walaupun kedua-dua pihak tidak mengiktiraf antara satu sama lain.

Bagaimanapun, Israel menggunakan isu pengiktirafan ini untuk menekan Hamas. Baginya ini adalah peluang untuk mendapatkan pengiktirafan ke atasnya secara paksa.

Bagi mereka yang menjunjung sejarah, Israel sememangnya tidak boleh diiktiraf. Tanah-tanah Israel itu adalah milik kedaulatan Palestin. Britain yang menguasai Palestin selepas kejatuhan Khalifah Uthmaniah ekoran Perang Dunia Pertama memegangnya sebagai mandat, iaitu amanah. Maka secara demokratik, ia perlu mengembalikannya kepada rakyat Palestin. Apabila rakyat Palestin mahukan sebuah negara merdeka dan berdaulat, maka itulah yang patut diwujudkan.

Tetapi selepas Perang Dunia Kedua, Britain menyerahkan mandat itu kepada Zionis untuk dijadikan Israel. Ia merupakan suatu pengkhianatan dan adalah zalim untuk sesiapa mengiktiraf Israel.

Bagaimanapun, Israel berjaya mempengaruhi AS dan EU. Maka untuk menekan Hamas, mereka menghentikan bantuan kepada kerajaan Palestin. Akibatnya kakitangan kerajaan Palestin lumpuh kerana tidak memperoleh gaji. Sementara kakitangan kerajaannya pula terdiri daripada anggota Fatah.

Maka sudah tentulah Fatah marah kepada dasar Hamas dan mereka mahu kerajaan Palestin mengiktiraf Israel supaya bantuan kewangan dapat disalurkan semula.

Inilah akibatnya apabila kerajaan Palestin bergantung kepada dana kewangan AS dan EU.

Tetapi mengapakah kakitangan kerajaan Palestin umumnya terdiri daripada anggota Fatah dan tidak disertai oleh orang Hamas?

Ini kerana semasa penubuhan pentadbiran Pihak Berkuasa Palestin (PA) ekoran Persetujuan Oslo yang membawa kepada kepulangan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) serta pengerusinya Yasser Arafat, Hamas tidak melibatkan diri.

PLO mengambil jalan mengiktiraf Israel, sebab itulah rejim Zionis itu membenarkan penubuhan kerajaan Palestin, lengkap dengan bantuan AS dan EU sendiri.

Hamas tidak mengiktiraf Israel dan terkeluar daripada persetujuan itu. Selama Yasser masih hidup, Fatah memenangi pilihan raya Palestin kerana Hamas tidak menyertainya.

Pertubuhan yang berasaskan fahaman Islam itu tidak menyertai pilihan raya Palestin kerana ia tidak mengiktiraf Israel.

Tetapi apa yang mendorong kepada Persetujuan Oslo dan penubuhan PA serta kepulangan PLO adalah intifadah atau kebangkitan rakyat Palestin melawan penjajah Israel pada akhir tahun 80-an. Penggeraknya ialah Hamas. Pada masa itu PLO berada dalam buangan di Tunisia. Maknanya, apa yang menyebabkan penubuhan PA dan kepulangan PLO ialah gerakan yang asasnya pada Hamas.

Mungkin keadaan berbeza andai kata Yasser dahulu mengundang Hamas menyertai kerajaan PLO. Walaupun Hamas tidak menyertai pilihan raya, kerajaan perpaduan akan membawa Hamas ke arus perdana.

Tetapi pada masa itu, perkara itu tidak difikirkan kerana mereka sengaja mahu meminggirkan Hamas. Lagipun Israel, AS dan EU tentu tidak mahu Hamas menyertai kerajaan pimpina Fatah.

Kini setelah Hamas menang pilihan raya, ia juga tidak dapat berfungsi kerana kerajaan tidak mempunyai dana. Sememangnya dana tidak boleh terkumpul kerana hakikatnya Palestin sedang dijajah dan diduduki.

Keadaan akan lebih mudah jika Israel mengundurkan diri daripada menjajah Palestin tetapi realitinya ia tidak mahu Palestin merdeka. Kalau diberikan kemerdekaan pun, ia berbentuk palsu kerana Israel tidak mahu negara Palestin berdaulat.

Bagi menekan Hamas, pejuang Fatah melancarkan serangan, malah menangkap pemimpin Hamas. Sementara Israel bersedia memberi bantuan dan ruang untuk Fatah bertindak ke atas Hamas. Begitu pilu keadaannya kerana pejuang Palestin menggunakan sokongan Israel untuk menekan pejuang Palestin yang lain.

Hamas cuba mendapat sokongan dan bantuan dana bagi kerajaannya dari luar. Banyak negara Islam sedia membantu. Antaranya, Arab Saudi dan Iran.

Tetapi sebarang pertumpahan darah di Palestin hanya akan mendatangkan penderitaan kepada rakyatnya. Hamas boleh mempertahankan pendiriannya dan negara-negara Islam boleh membantunya tetapi peperangan yang berlanjutan bukan saja daripada pihak Israel tetapi pertembungan sesama Hamas-Fatah akan hanya menyusahkan rakyat biasa.

Keutamaan sekarang adalah tindakan menghentikan sebarang pertumpahan darah dan membuka jalan damai untuk masa depan dalam kerangka bahawa kekuasaan dunia dipegang oleh AS, EU dan Israel.

Maka perdamaian antara Hamas dan Fatah mesti dirintis dan Riyadh adalah pihak yang paling sesuai untuk melakukannya. Ia mempunyai kemampuan untuk menyalurkan dana bagi menggerakkan jentera pentadbiran di situ.

Lagipun jika Riyadh tidak berperanan, Teheran akan masuk dengan lebih pesat dan keadaan menjadi sulit kerana ia adalah musuh AS. Jalan masa depan lebih kepada berbentuk ketenteraan, peperangan dan penderitaan.

Arab Saudi dan Palestin adalah sesama Arab dan Sunah Waljamaah, maka peranan ini lebih mudah dimainkan. Hubungan baik Arab Saudi dengan AS juga boleh digunakan bagi melicinkan usaha ke arah damai.

Dari segi latar belakang sejarah, Hamas yang merupakan cawangan Ikhwanul Muslimin mendapat dukungan ideologi dari Arab Saudi yang pada satu masa menentang golongan kiri Arab. Sedangkan Fatah dan PLO berada di pihak nasionalis kiri bersama Mesir pimpinan Gamal Nasser.

Tetapi tindakan aktif Arab Saudi dalam usaha menyelesaikan masalah Palestin adalah dimensi baru untuk meluaskan penglibatan pihak lain daripada Quartet.

Quartet atau kumpulan empat kuasa terdiri dari AS, EU, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Rusia yang dipertanggungjawabkan mencari penyelesaian antara Israel dan Palestin.

AS dan EU dilihat sebagai pihak di sebelah Israel sementara PBB dan Rusia di pihak Palestin. Tetapi sehingga hari ini Quartet gagal mendapatkan jalan damai bagi masalah ini.

Kegagalannya adalah kerana kedua-dua pihak, Israel dan Palestin tidak mahu berganjak daripada kedudukan masing-masing. Israel mahu membolot banyak perkara kerana beranggapan ia kuat sedangkan Palestin tidak mahu menyerahkan haknya kerana ia sudah banyak kerugian.

Dalam keadaan lemah dan realistik, Fatah bersedia mengalah. Tetapi Hamas tidak sanggup lagi untuk berganjak lebih-lebih lagi setelah banyak pengorbanan dilakukan.

Maka tercetuslah pertembungan berdarah antara Hamas dan fatah. Bagi Israel, adalah tanggungjawab Fatah menumpaskan Hamas. Bagi Hamas, Fatah melakukan kerja-kerja pemusnahan bagi pihak Israel. Yang terkorban dan terus menderita adalah rakyat Palestin sendiri.

Di sinilah negara-negara Islam terdorong untuk mencari penyelesaian. Presiden Pakistan, Pervez Musharraf telah pun mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) bagi mencari inisiatif.

Masalah Palestin tidak boleh dibiarkan kepada Quartet saja. Negara-negara Islam mesti terlibat sama. Musharraf juga mempunyai hubungan baik dengan Washington dan Riyadh.

Maka sewajarnya kedua-dua pemimpin Hamas dan Fatah, Khaled Meshaal dan Mahmoud Abbas bertemu di Mekah dan melakukan persetujuan di depan Raja Abdullah.

Sekembalinya ke Palestin, Perdana Menteri Ismail Haniyeh meletak jawatan bagi membolehkan penubuhan kerajaan perpaduan. Jauh lagi perjalanan bagi mewujudkan perpaduan lebih luas. Tetapi dana yang disalurkan oleh Saudi akan meredakan keadaan di Palestin.

Selepas ini, terpulang kepada AS dan EU untuk penerimaan selanjutnya. Sama ada kerajaan perpaduan ini dapat diterima oleh mereka atau tidak. Washington dan Brussels mesti meyakinkan Tel Aviv supaya meneruskan rundingan.

Dunia sudah muak dengan peperangan yang berlanjutan di Palestin hingga kini menghasilkan pelbagai bentuk keganasan, baik dari golongan militan mahupun tentera AS. Apa yang AS anggap sebagai keganasan global adalah akarnya pada konflik di Palestin.

Tetapi lebih penting lagi ialah Riyadh wajar lebih aktif bagi memastikan Persetujuan Mekah itu akan akhirnya mendatangkan hasil perdamaian.

Sikap dan usaha Arab Saudi wajar didukung oleh negara-negara OIC lebih-lebih lagi mereka yang mempunyai hubungan baik dengan AS dan EU khususnya seperti Pakistan dan Turki.

Riyadh juga kini bukan saja wajar aktif menyelesaikan masalah Palestin tetapi juga di Iraq. Golongan Sunah di sana mesti disokong supaya terdapat perimbangan antara pengaruh Iran dengan yang lain.

Kedua-dua Arab Saudi dan Iran boleh saling lengkap-melengkapi dalam perjuangan membela kepentingan umat Islam. Tindakan berbentuk militan didukung diplomasi adalah amalan biasa dalam mencapai objektif politik dari sejak dulu lagi.

Kalau di Palestin, Hamas mewakili pihak militan sementara Fatah di pihak diplomasi. Israel juga melakukan kaedah yang serupa. Pihak tenteranya menggunakan kekerasan untuk menundukkan Palestin, sementara kerajaannya menampilkan cara diplomasi.

Kalau di peringkat global, Iran menggunakan pengaruh kekuatan tentera, Arab Saudi pula melaksanakannya secara diplomasi.

Read more!

Adakah Malaysia mencemburui kemajuan Singapura?

Oleh: Zin Mahmud (Wartawan Utusan)
Sumber: Utusan Malaysia 17 Februari 2007


MENTERI Luar Singapura, George Yeo dalam sidang Parlimen Singapura Isnin lalu menyatakan keperluan negaranya memperlahankan pembangunannya bagi mengurangkan tekanan negara-negara jiran.

Ini kerana seperti yang dinyatakan oleh ahli-ahli Parlimennya betapa berlakunya ‘politik cemburu’ kerana kemajuan pesat republik itu meninggalkan negara-negara jirannya.

Adakah kita cemburu? Pada hemat saya, Singapura patut lebih maju daripada apa yang ada pada hari ini. Mereka harus menjadi contoh kepada negara-negara jiran dengan menampilkan pulau itu sebagai sebuah republik dunia pertama.

Bukan saja kita tidak cemburu, malah kita bimbang mereka tidak berupaya untuk mengekalkan tahap kemajuan yang dicapainya. Malaysia tidak mengamalkan ‘politik cemburu’ terhadap jirannya malah dasar yang dipegang ialah prosper thy neighbour iaitu jiran yang makmur akan mendatangkan kesenangan kepada kita.

Kalau Singapura mundur, Malaysia juga menanggung susah. Saya percaya Indonesia juga tidak cemburu terhadap kemajuan Malaysia dan Singapura. Kesenangan negara-negara jiran ini akan memberi tempias kemakmuran kepada semua.

Hakikatnya, Singapura, Malaysia dan Indonesia bergantung di antara satu sama lain. Kesenangan dan kesusahan akan ditanggung bersama.

Tunku Abdul Rahman ketika berhujah mengenai penubuhan Malaysia mempunyai harapan supaya Singapura menjadi New York bagi Malaysia. Apa yang paling dibimbangi oleh Kuala Lumpur pada awal tahun 60-an ialah Singapura jatuh ke tangan komunis, menjadi miskin dan mendatangkan masalah kepada Tanah Melayu ketika itu.

Pemisahan Singapura dari Malaysia pada tahun 1965 juga dibuat untuk kebaikan kedua-dua pihak. Bagi Tunku, jika Singapura berasakan bahawa Malaysia menjadi beban untuk kemajuannya, maka lebih baik pulau itu merdeka. Kecekapan dan kebijaksanaan pemimpinnya dapat digunakan untuk memajukan diri sendiri tanpa perlu mengambil kira masalah-masalah yang berkaitan dengan Malaysia.

Pada masa itu, tentu sukar untuk ditelah sama ada langkah itu betul atau tidak. Yang pasti Kuala Lumpur sudah tidak sanggup untuk menanggung kerenah pemimpin-pemimpin Singapura.

Mungkin Malaysia akan jauh lebih maju jika Singapura berada di dalamnya. Tetapi mungkin boleh menjadi sebaliknya dengan kekacauan dan perbalahan kaum yang memusnahkan kedua-dua pihak.

Tetapi ternyata 42 tahun kemudian, gagasan pemisahan antara Malaysia dan Singapura mendatangkan hasil yang baik. Kedua-dua negara mencapai tahap kemajuan yang boleh dibanggakan. Sudah tentu Malaysia tidaklah semaju Singapura kerana kedudukan pulau itu yang sedemikian rupa.

Namun begitu, dengan globalisasi dan kebangkitan China, sementara dalam ASEAN, potensi Indonesia dan Vietnam semakin menyerlah, keperluan hubungan lebih baik antara Singapura dan Malaysia bertambah ketara.

Usaha Singapura untuk aktif dalam China dan Indonesia tidaklah semudah yang disangka. Begitu juga usahanya di Thailand.

Ini kerana Malaysia lebih sesuai bagi Singapura bukan saja kerana jalinan sejarah tetapi sistem pentadbiran yang diwarisi British kepada kedua-dua negara memudahkan hubungan perniagaan.

Maka jika dilihat dalam konteks ASEAN, teras kemajuan rantau ini terletak pada hubungan ekonomi Malaysia-Singapura, dengan Indonesia, Thailand dan Vietnam sebagai potensi bagi menghadapi kepesatan China-India.

Dalam hal ini, tidak ada soal politik cemburu, tetapi lebih kepada politik sinergi. Kemajuan pesat Singapura akan melimpah ke Johor Selatan dan juga Riau.

Jadi bukanlah soal cemburu terhadap kemajuan Singapura. Tetapi apa yang dikehendaki oleh jiran-jirannya ialah keikhlasan untuk maju bersama dan memahami perasaan dan cara berfikir orang Malaysia dan Indonesia yang tentunya berbeza dengan Singapura.

Kegagalan untuk memahami dan menyesuaikan diri inilah yang menyebabkan Singapura dikeluarkan oleh Tunku dari Malaysia dahulu.

Sejarah mungkin berubah jika Parti Tindakan Rakyat (PAP) mengambil pendekatan berbeza pada awal-awal penubuhan Malaysia dahulu. Dengan memiliki pendekatan berlainan, Singapura mungkin masih bersama dalam Malaysia dengan kedua-duanya dapat menikmati kemajuan lebih besar.

Pada hari ini, Singapura masih tidak dapat mencapai tahap New York. Ia mungkin berjaya sebagai kota ekonomi dan korporat.

Tetapi New York bukan saja kota ekonomi, bahkan ia merupakan pusat budaya dunia di mana kreativiti seni dan budaya berkembang maju di atas kebebasan berfikir dan bersuara warganya.

Singapura sememangnya berjaya mengelak diri daripada jatuh ke tangan komunis walaupun pada satu masa, majoriti penduduknya boleh dikatakan bersimpati kepada fahaman itu.

Tetapi ciri-ciri pemerintahan komunis ialah mengongkong kebebasan warganya untuk berfikir dan bersuara. Untuk mencapai tahap kemajuan lebih tinggi, rakyat sesebuah negara mestilah dibebaskan daripada kongkongan berfikir dan bersuara.

Read more!

Al-Aqsa: Tindakan Israel diragui

Oleh: Zin Mahmud
Sumber: Mingguan Malaysia 11 Februari 2007


JORDAN dan Palestin menyuarakan kebimbangan berhubung kerja penggalian di sekitar Masjid Al-Aqsa yang dilakukan oleh pihak berkuasa Israel.

Dunia Islam pun pasti turut bimbang terhadap perkara ini. Bukan itu saja, dunia juga mesti prihatin terhadap perkara ini.

Kalau dunia Islam sering kali menegaskan bahawa punca akar keganasan adalah masalah Palestin, maka soal Masjid Al-Aqsa inilah merupakan teras kepada ancaman keselamatan dunia.

Manakan tidak, agenda Israel untuk memusnahkan kebenaran dan digantikan dengan kepalsuan fahaman mereka menjadi ancaman kepada persefahaman hubungan antara bangsa dan agama di dunia.

Pihak berkuasa Israel menyatakan bahawa kerja-kerja penggalian itu dilakukan untuk membina satu laluan baru bagi menggantikan tempat yang menjadi lalu-lalang para pengunjung kerana dikatakan telah rosak dan buruk.

Bolehkah Israel dipercayai? Tentunya dunia Islam tidak dapat mempercayai Israel. Bukan saja dari segi rekod, malah dari segi prinsip dan kepercayaan, Israel tidak dapat dipercayai.

Dalam hal ini, perlu dilihat perbezaan antara Yahudi, Zionis dan Israel berhubung dengan Baitulmaqdis serta Masjid Al-Aqsa.

Yahudi membawa kepada dua konsep iaitu agama dan bangsa. Zionisme membawa konsep ideologi. Sementara Israel membawa konsep politik negara bangsa.

Dalam agama Yahudi, terdapat pelbagai mazhab, yang antaranya mengimpikan pembinaan balik Rumah Ibadat Raja Sulaiman.

Mereka berasa bertanggungjawab untuk membina semula Rumah Ibadat Raja Sulaiman, atau King Solomon Temple yang didirikan pada tahun 953 sebelum Masihi oleh Nabi Sulaiman.

Rumah ibadat ini dianggap oleh penganut agama Yahudi sebagai tempat paling agung telah dimusnahkan oleh tentera Babylon. Kemudian ia dibina balik dan dikenali sebagai Rumah Ibadat Kedua oleh Raja Herod. Sebahagian daripada tembok yang dibina itulah kini dikenali sebagai Tembok Ratapan atau Wailing Wall di mana penganut-penganut Yahudi menziarahinya dan meratap di situ mengenangkan nasib bangsa mereka ketika ditakluki.

Penakluk Rom kemudian memusnahkan lagi Rumah Ibadat Kedua itu dan orang Yahudi bertebaran ke seluruh empayar Rom di sekitar negara-negara Laut Mediterranean.

Orang Rom kemudian membina sebuah Kuil Jupiter untuk meraikan dewa Jupiter di satu tapak tidak jauh dari Rumah Ibadat Raja Sulaiman itu.

Setelah empayar Rom menjadi Kristian, maka maharajanya membina sebuah gereja besar Church of Holy Sepulchre tidak jauh dari Kuil Jupiter yang kemudian dimusnahkan.

Bagi orang Islam, Rumah Ibadat Raja Sulaiman itu dianggap sebagai Masjid Al-Aqsa. Masjid dalam erti kata, tempat sujud, atau rumah ibadat.

Walaupun konsep masjid sebagai rumah ibadat orang Islam hanya timbul setelah munculnya agama Islam tetapi jika diambil pengertian bahawa agama Islam adalah merujuk kepada semua agama yang benar termasuk agama yang sebelumnya gerakan dakwah Rasulullah s.a.w., maka agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim, Nabi Sulaiman dan Nabi Isa yang dikenali juga dengan agama Hanif, agama Yahudi asal dan Nasrani, maka konsep masjid juga merujuk kepada rumah-rumah ibadat agama sebenar ini.

Justeru Masjidilharam di Mekah yang dibina oleh Nabi Ibrahim dan juga Masjid Al-Aqsa yang dibangunkan oleh Nabi Sulaiman adalah disebut juga sebagai masjid walaupun ketika Rasulullah belum lahir.

Maka dalam Israk dan Mikraj Rasulullah yang masa itu masih berada di Mekah dan belum lagi dibina mana-mana masjid oleh orang Islam, baginda sampai di Masjid Al-Aqsa sebelum berangkat ke Sidratul Muntaha.

Masjid Al-Aqsa inilah juga menjadi kiblat pertama umat Islam sebelum berubah ke Masjidilharam.

Apabila Sayidina Omar sampai di Baitulmaqdis sebagai panglima tentera Islam yang membebaskan Palestin, tempat pertama yang beliau cari ialah tapak Masjid Al- Aqsa. Tidak ada lagi bangunan di situ. Yang ada menurut riwayat sejarah adalah tempat pembuangan sampah.

Baginda kemudian membersihkan tempat itu yang dianggap sebagai tempat suci memandangkan ia merupakan tapak Masjid Al-Aqsa dan mengarahkan pembinaan Masjid Al-Aqsa seperti yang ada pada hari ini.

Tetapi itu bukanlah bermakna keseluruhan bangunan Masjid Al-Aqsa yang ada itu dibina oleh Sayidina Omar sebagai khalifah kedua.

Menambah bangunan

Pada tahun-tahun kemudian, khalifah-khalifah telah membaiki dan menambah bangunan Masjid Al-Aqsa hingga menjadi bentuk pada hari ini.

Toleransi pemerintahan khalifah jelas apabila gereja yang tidak jauh dari situ terus dibenarkan digunakan. Bagaimanapun dengan melihat kehebatan Sayidina Omar, maka ramailah penduduk Palestin pada zaman itu berduyun-duyun memeluk agama Islam lebih-lebih lagi sebelumnya semasa pemerintahan Rom Bizantin, mereka menanggung pemerintahan kejam.

Selepas beberapa ratus tahun kemudian, semasa pemerintahan khalifah ke-9 Umaiyah, Khalifah Malik ibni Marwan mengarahkan pembinaan sebuah masjid yang lebih cantik tidak jauh dari Masjid Al-Aqsa dan gereja besar itu.

Masjid yang dikenali sebagai Masjid Omar atau Kubah Al-Sakhra, atau Dome of the Rock (Kubah batu) mempunyai seni bina yang cantik dan gemilang hingga ia menjadi terkenal hingga ke hari ini sebagai simbol bukan saja Baitulmaqdis tetapi Palestin.

Banyak orang keliru bahawa Dome of the Rock ini adalah Masjid Al-Aqsa. Tetapi ia merupakan masjid indah dan menjadi simbol kegemilangan Islam hingga ada kalangan orientalis yang membuat andaian bahawa pembinaan masjid itu oleh Khalifah Umaiyah adalah untuk menegaskan keagungan agama Islam mengatasi Kristian, iaitu untuk mengatasi gereja Church of Holy Sepulchre.

Pada masa itu, pemerintahan Islam iaitu khalifah Umaiyah berpusat di Damsyik dan Palestin terletak di pemerintahan langsung dari Damsyik.

Perlu diingat bahawa semasa pemerintahan Khalifah-ar-Rasyidin yang empat, Palestin terletak di bawah pentadbiran wilayah Syam dengan ibu wilayah di Damsyik.

Damsyik pula sebelum diperintah oleh Islam adalah juga ibu wilayah Rom bagi Syam yang meliputi Palestin. Melihat sejarah yang sebegini tidak hairanlah kini Syria yang mempunyai ibu negara di Damsyik cenderung untuk memainkan peranan ke atas masalah Palestin.

Semasa Damsyik menjadi ibu wilayah empayar Rom Bizantin yang beragama Kristian, terdapat gereja paling besar di Asia Barat terletak di kota itu.

Pada masa itu, tamadun Rom berada di peringkat jauh lebih tinggi daripada orang Arab. Maka apabila orang islam dapat menguasai Damsyik dan Syam, mereka mewarisi tamadun Rom dan menjadikannya sebahagian daripada peradaban Islam.

Sayidina Muawiyah yang menjadi gabenor Islam di Damsyik menjadi perintis kepada proses ketamadunan Islam.

Lebih-lebih lagi selepas beliau menjadi khalifah kelima Islam dan khalifah pertama daripada kerajaan Umaiyah, maka jelas segala kegemilangan Rom diwarisi oleh Islam.

Gereja besar Damsyik diambil alih untuk dijadikan Masjid Umaiyah utama seperti yang ada pada hari ini. Untuk memajukan kerajaan besar Islam, khalifah-khalifah Umaiyah telah menyerap orang Yahudi ke dalam jentera kerajaan.

Ada yang memeluk agama Islam, tidak kurang pula yang terus kekal berada dalam agama Yahudi.

Namun begitu, dari segi budaya, orang Yahudi yang pandai menulis ini telah menjadi bahagian penting dalam tamadun Islam. Kepentingan peranan orang Yahudi dalam tamadun Islam bukan saja berlaku dalam pemerintahan Umaiyah di Damsyik tetapi juga kerajaan Umaiyah di Andalusia.

Mereka kemudian terus diberi tempat dalam kerajaan Uthmaniah di Istanbul.

Pihak yang meminggirkan Yahudi adalah orang Rom dan kemudiannya Kristian, termasuk golongan tentera Salib.

Semasa Perang Salib, golongan Kristian dari mazhab Katolik sampai ke Baitulmaqdis dan Palestin. Ketika mereka masuk ke Baitulmaqdis, kota itu berlumuran darah kerana hampir semua penduduknya dibunuh, bukan saja orang Islam, tetapi juga Yahudi dan Kristian. Tentera Salib turut memusuhi orang Kristian yang bukan daripada mazhab mereka. Maka yang menjadi mangsa iaitu selain daripada orang Islam dan Yahudi, ialah Kristian Ortodoks.

Semasa pemerintahan kerajaan-kerajaan Kristian dan tentera Salib, mereka amat berminat mengenai apa yang terkandung di bawah tanah sekitar masjid Al-Aqsa. Muncul sekumpulan yang dikenali sebagai Pahlawan Templar atau Knights of the Templar yang dikatakan dapat memasuki kawasan-kawasan purba di bawah Masjid Al-Aqsa dan gereja Church of Holy Sepulchre. Sebagai tempat bersejarah tentunya ia mengandungi banyak rahsia dan pelbagai misteri serta mitos dikaitkan dengannya.

Malah Knights of Templar juga dikatakan mempunyai rahsia tersendiri yang dikatakan berkait dengan Nabi Isa. Kisah-kisah berkaitan rahsia ini mendorong banyak pihak khususnya ahli sejarah membuat kajian, baik daripada kalangan ahli arkeologi profesional mahupun amatur.

Tetapi dalam banyak-banyak kisah ini, terdapat penulis fiksyen dan rekaan turut serta membuat pelbagai cerita, maka antaranya muncullah novel seperti The Da Vinci Code yang sudah pun dijadikan filem.

Bagaimanapun, kemudiannya Palestin dan Baitulmaqdis kembali ke tangan orang Islam melalui usaha, antaranya Salahuddin Al-Ayubi, seorang sultan Kurdis yang memerintah dari Kaherah. Kemudian Baitulmaqdis dan Palestin berada pula di bawah pemerintahan kerajaan Uthmaniah.

Zaman moden

Menjelang zaman moden, iaitu apabila munculnya Enlightenment di Eropah diikuti dengan Revolusi Sains dan Industri, orang Yahudi didapati menjadi sebahagian daripada Eropah walaupun mereka disisihkan, dihina dan ditindas serta dipaksa tinggal dalam daerah-daerah sempit dikenali sebagai ghetto.

Dalam keadan tertindas ini, orang Yahudi terus cemerlang dalam bidang intelektual dan kewangan. Antara hasil daripada pemikiran ini, maka muncul fahaman Zionisme, yang secara ringkas mencita-citakan sebuah negara untuk orang Yahudi.

Pada awalnya Zionisme bukannya fahaman keagamaan. Ia lebih berbentuk politik dalam fahaman sekularisme, nasionalisme dan sosialisme. Mereka tidak begitu mencita-citakan sebuah negara Yahudi di Palestin. Bagi mereka, sudah cukup baik jika terdapat satu wilayah di mana-mana di muka bumi, walaupun di Eropah untuk dijadikan negara Yahudi.

Kesatuan Soviet pernah memperuntukkan sebuah republik Yahudi di bawah Persekutuan Soviet Sosialis Rusia (FRSSR).

Bagaimanapun, dengan keruntuhan khalifah Uthmaniah dan kekalahan pakatan Jerman-Turki dalam Peperangan Dunia Pertama, mereka mendapat peluang bertapak di Palestin. Dengan menggunakan gerakan terorisme, mereka dapat merampas tanah Arab untuk dijadikan wilayah Yahudi.

Tetapi hanya selepas berlaku Holocaust dan Perang Dunia Kedua, barulah golongan Zionis diberi wilayah untuk dijadikan Israel. Pada mulanya Britain mahu memberikan Uganda di Afrika sebagai negara bagi orang Yahudi.

Tetapi atas menanggung kesalahan orang Kristian dan Eropah terhadap apa yang mereka melakukannya kepada orang Yahudi, maka Palestin dijadikan Israel. Selepas perang tahun 1967, mereka berjaya menawan Baitulmaqdis, Masjid Al-Aqsa dan Dome of the Rock.

Hanya selepas itu, mereka bercita-cita untuk membangunkan semula Rumah Ibadat Raja Sulaiman di atas tapak Masjid Al-Aqsa. Model untuk itu sudah pun dibuat. Usaha penggalian arkeologi serta pelbagai helah dibuat untuk merosakkan Masjid Al-Aqsa.

Read more!

Misi berat Beckham di Los Angeles

Oleh: DATUK MUHAMMAD ALIAS
Sumber: Utusan Malaysia 8 Februari 2007


KETIKA David Beckham tiba di Los Angeles beberapa minggu lalu, beliau dan isterinya, Victoria atau Posh Spices Girl mendapat publisiti hebat daripada media. Jelas mereka termasuk dalam kumpulan selebriti Hollywood.

Bagaimanapun, berita mengenai gaji beliaulah yang panas sekali. Beliau dibayar AS$1 juta seminggu, AS$4 juta sebulan. Kontrak lima tahun dengan Los Angeles Galaxy bernilai AS$250 juta (RM950 juta).

Kontrak tersebut merupakan antara yang termahal bagi ahli sukan di Amerika Syarikat (AS). Ada berita mengatakan pendapatan beliau (bagi kadar seminggu) adalah 500 kali ganda daripada teman-teman sepasukannya.

Keputusan mengimport Beckham dengan harga yang begitu mahal ada kaitan dengan usaha mempertingkatkan taraf bola sepak AS.

Wang tidak menjadi masalah di sini. Masalahnya ialah menarik minat sebahagian besar rakyat Amerika kepada bola sepak. Dewasa ini sukan yang paling digemari ialah American football, bola keranjang dan bola lisut.

Sebenarnya bola sepak mempunyai masa depan yang cerah di Amerika. Orang Amerika tidak lokek wang untuk sukan. Kalau mereka meminati sesuatu sukan mereka sanggup menghabiskan wang.

Umpamanya ada yang membeli tiket berharga sehingga AS$1,000 untuk menyaksikan pertandingan bola keranjang. Tiket paling murah dalam lingkungan AS$50.

Sementara pemain-pemain dilatih menggunakan kaedah moden. Lagi pula dengan penduduk mencecah 300 juta orang, AS mempunyai keupayaan memilih pemain yang terbaik dari sumber yang besar.

Beckham mempunyai tugas yang amat berat. Beliau mesti melakukan sesuatu untuk mempertingkatkan taraf bola sepak sejajar dengan gaji yang dibayar. Meskipun begitu, tugas beliau tidaklah sesukar Pele ketika menyertai New York Cosmos tahun 1975 dulu.

Pele boleh dikatakan bermula dari peringkat asas. Meskipun Pele pemain bola sepak nombor satu dunia tetapi beliau tidak begitu dikenali di AS. Ketika itu rakyat Amerika tidak memberi perhatian serius kepada bola sepak.

Bola sepak mula dipertandingkan di peringkat sekolah dan kolej tahun 1862. Bagaimanapun, ragbi yang diubah suai undang-undangnya lebih digemari. Maka bermulalah zaman American football yang diminati sehingga ke hari ini.

Sehingga awal 1990-an, bola sepak merupakan permainan untuk wanita. Kaum lelaki lebih suka bermain American football yang dikira penuh dengan ciri-ciri kelelakian.

Ketika melayari laman web Persekutuan Bola Sepak Amerika Syarikat (USSF) baru-baru ini, saya menemui satu maklumat yang setiap rakyat Malaysia pasti merasa bangga. Ia mengenai keputusan pertandingan bola sepak di Olimpik Munich, Jerman Barat pada tahun 1972. Antara keputusannya ialah pasukan AS kalah 0-3 dengan Malaysia.

Tidak syak lagi itulah detik-detik kecemerlangan sejarah bola sepak Malaysia. Ia telah berlalu selama 34 tahun dan nampaknya tidak mungkin berulang dalam masa terdekat. Masih terbayang betapa gegak gempita sorak gembira rakyat Malaysia apabila negara berjaya menempah tiket ke Munich.

Kini sejarah telah menjadi sebaliknya. Ketika AS yang pernah dibelasah dengan teruk di Munich berjaya ke pusingan akhir Piala Dunia sejak tahun 1990, sedangkan Malaysia semakin mundur.

Ekoran dari itu kebelakangan ini tidak henti-henti kritikan dilemparkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Ada yang mahu FAM dirombak dan segelintir pegawainya meletakkan jawatan.

Namun mengendali satu persatuan yang besar seperti FAM bukanlah perkara mudah. Tambahan pula bila terdapat banyak masalah.

Sementara itu, dapat diperhatikan bahawa projek pemain import jelas gagal mempertingkatkan mutu bola sepak Malaysia. Ada antara pemain-pemain import yang lebih rendah mutu permainannya daripada pemain-pemain tempatan. Lantaran itu tidak ada sebab kenapa kita mesti mengimport pemain-pemain luar.

Sebaliknya segala tenaga dan usaha digunakan untuk melatih bakat-bakat dalam negara sendiri. Yang penting dapatkan jurulatih yang berkebolehan termasuk dari luar negara. Berilah tumpuan kepada pemain-pemain yang tahan lasak, berdisiplin dan bersedia untuk maju.

Seperti mana Beckham, beberapa pemain bola sepak China, Korea dan Jepun kini bermain di kelab-kelab profesional di Eropah. Sedih sekali rakyat Malaysia cuma mampu tumpang seronok setiap kali berlangsungnya Piala Dunia.

Read more!

Isytihar perang adalah jenayah

Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 4 Februari 2007


ESOK, persidangan Dedahkan Jenayah Perang anjuran Pertubuhan Perdamaian Global Perdana (PGPO) yang bertujuan mengharamkan perang bermula di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur.

Sekali imbas cadangan supaya diharamkan perang adalah sesuatu yang pelik dan mustahil untuk dicapai. Perang yang dilakukan oleh manusia sejak muncul di muka bumi mustahil untuk dihapuskan, justeru langkah bagi mengharamkannya mungkin dianggap sia-sia.

Tetapi apa yang buruk dilakukan oleh manusia tidak mustahil untuk dihapuskan. Contohnya perhambaan.

Dalam tamadun manusia, perhambaan sudah menjadi amalan masyarakat manusia di mana-mana. Tetapi kini ia berjaya dihapuskan.

Ia dapat dilakukan dengan mengharamkan perhambaan dan menganggapnya sebagai jenayah. Apabila diharamkan oleh undang-undang, jika mana-mana pihak melakukan juga, maka ia dianggap telah melakukan jenayah dan perlu dikenakan tindakan.

Mungkin persoalan akan timbul bagaimanakah hendak mengenakan tindakan bagi mana-mana pihak yang melakukan perang? Kerana sudah tentu untuk menguatkuasakan undang-undang mengharamkan perang, akan memerlukan penggunaan kekerasan, iaitu perang.

Perang terpaksa digunakan untuk menghukum mereka yang melakukan jenayah perang.

Tetapi itulah semangat yang ada selepas Perang Dunia Kedua hingga membawa kepada penubuhan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Piagam PBB mempunyai semangat untuk menghapuskan perang.

Harapannya ialah keselamatan dunia ini dijamin oleh Majlis Keselamatan PBB dengan lima kuasa besar utama mampu menguatkuasakan keputusan. Maka mereka boleh menghalang perang atau menguat kuasa peraturan mengharamkannya.

Lima kuasa yang menjadi pemenang Perang Dunia Kedua itu, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Soviet, Britain, Perancis dan China. Kerusi China ketika itu dipegang oleh Republik China yang kemudian terpaksa berundur ke Taiwan kerana gagal menundukkan komunis di Tanah Besar. Pihak komunis menubuhkan Republik Rakyat China di Beijing tetapi tidak diiktiraf oleh PBB.

Maka masalah awal yang menghalang usaha mewujudkan perdamaian ialah konflik antara Washington dan Moscow. Kedua-duanya tidak ikhlas hendak mewujudkan perdamaian.

Mereka tidak mengutamakan perdamaian, tetapi sebaliknya meletakkan kepentingan dominasi kuasa mereka lebih daripada keutamaan damai.

Itulah yang terjadi apabila berlaku Perang Korea.

Setelah Jepun berundur dari Korea selepas Perang Dunia Kedua, AS dan Soviet membahagikan Semenanjung Korea kepada dua seperti di Jerman. Pihak Soviet menyokong golongan komunis menubuhkan Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK) berpusat di Pyongyang. Sementara AS mendukung mereka yang bukan komunis mewujudkan Republik Korea (ROK) berpusat di Seoul.

Pihak komunis mahu menguasai keseluruhan Semenanjung Korea dan melancarkan serangannya ke atas Korea Selatan hingga hampir ke Seoul.

Mereka dibantu oleh Beijing. Maka Washington menggesa PBB menghalang Korea Utara dengan menggunakan kekuatan tentera. Beijing ketika itu bukan anggota PBB dan tidak terikat dengan resolusi badan dunia itu.

Maka PBB bersetuju dan tentera AS di bawah bendera PBB dihantar ke Semenanjung Korea untuk melawan pihak komunis. Mereka berjaya menolak penguasaan komunis sehingga sempadan yang sebelum ini dipersetujui dan seperti apa yang ada pada hari ini.

AS secara rasmi menyebut sebagai Konflik Korea dan bukannya Perang Korea kerana ia tidak mahu dilihat sebagai terbabit dengan perang itu. Hakikatnya ia merupakan perang saudara yang diperkasakan sebagai perang proksi antara AS dan Soviet-China. Bagaimanapun, hakikatnya ia adalah benar-benar suatu peperangan.

Ternyata kemudian cita-cita Piagam PBB untuk menghalang perang musnah. Ini kerana kelima-lima kuasa yang sepatutnya menjamin keselamatan dunia daripada terjerumus kepada perang tetapi mereka sendiri terlibat dengan perang.

Walaupun selepas Perang Dunia Kedua, tidak ada lagi berlaku perang dunia, bagaimana pertembungan antara AS dan Soviet pada hakikatnya adalah perang dunia. Ia merupakan Perang Dunia Ketiga.

Perang Korea adalah sebagai permulaan kepada apa yang boleh disebut sebagai Perang Dunia Ketiga. Kemudian ia diikuti dengan perang proksi di merata-rata tempat, dari Palestin hinggalah ke Amerika Latin. Tetapi paling terkenal ialah penglibatan langsung AS di Vietnam.

Dalam keadaan ini, sudah tentu apa yang diimpikan oleh sidang di San Francisco yang melancarkan Piagam PBB menemui kehampaan.

Kelima-lima kuasa anggota tetap Majlis Keselamatan PBB tidak layak untuk menjadi penguat kuasa kepada tatadamai dunia. AS dan Soviet mempunyai kepentingan sendiri. Begitu juga dengan Britain dan Perancis yang secara langsung terlibat mempertahankan kepentingan mereka melalui peperangan menghalang kemerdekaan.

Walaupun jelas Piagam PBB mengehendaki proses semua penjajah melepaskan tanah-tanah jajahan masing-masing tetapi Britain tetap mahu mempertahankan wilayahnya. Paling hampir bagi Malaysia ialah gagasan Malayan Union. Tetapi ia tidak berhasrat untuk melepaskan tanah-tanah jajahannya dengan mudah. Gerakan kemerdekaan terpaksa berjuang bagi usaha memerdekakan tanah jajahan mereka.

Perancis mengukuhkan tentera penjajahannya di Algeria dan Vietnam. Dalam keadaan mereka dihalang daripada usaha memerdekakan tanah air mereka, maka sudah tentu negara-negara itu terpaksa mencari sokongan dan bantuan dari negara-negara komunis.

Maka terjadilah perang proksi yang mengorbankan banyak peribumi tanah jajahan. Tetapi Perang Vietnam mencetuskan satu revolusi perdamaian pertama dunia. Berpusat di kalangan mahasiswa di AS, ia merebak ke seluruh dunia bukan komunis.

Sementara negara komunis pula memanipulasi keadaan ini serta menggalakkan semangat perdamaian tetapi untuk kepentingan mereka iaitu melemahkan semangat tentera AS di Vietnam.

Akhirnya gerakan memperjuangkan perdamaian ini berjaya menyumbang kepada kekalahan AS di Vietnam. Tetapi peperangan tidak berhenti begitu saja. Walaupun Vietnam aman, tetapi perang berterusan.

Tentera Vietnam tidak berhenti di Saigon yang ditukar namanya kepada Kota Ho Chi Minh, tetapi seolah-olah mabuk darah, ia memasuki Kemboja dan menjatuhkan Khmer Rouge, komunis juga tetapi pro-Beijing.

Di bumi Kemboja yang malang, perang proksi berlaku antara China dan Soviet pula. Bagaimanapun, yang lebih dahsyat dan petanda kemuncak kekejaman komunis ialah pembunuhan ramai yang dahsyat oleh Khmer Rouge pimpinan Pol Pot.

Kekejaman Khmer Rouge menyumbang kepada kebencian dunia kepada komunisme yang pastinya turut menyumbang kepada kejatuhan Soviet dan semua negara sekutunya.

Kejatuhan rejim komunis di Kremlin, Moscow membuka harapan baru perdamaian di seluruh dunia. Apabila tidak ada pesaingnya, maka AS boleh menghentikan perang proksinya, atau yang dipanggil Perang Dunia Ketiga itu.

Kalau benar Soviet menjadi pengancam keselamatan dunia hingga menyebabkan AS terpaksa bertindak sedemikian rupa, maka tamatnya Perang Dingin itu membuka lembaran baru perdamaian sejagat.

Maka jatuhlah entiti-entiti empayar Soviet, dari Afghanistan hinggalah ke Eropah Timur. Bukan itu saja Yugoslavia yang bukan pro-Moscow tetapi mengamalkan sistem komunis turut tumbang.

Sementara China dan Vietnam mengubah sistemnya. Walaupun Korea Utara dan Cuba terus berpegang pada komunisme tetapi ia tidak lagi menjadi ancaman kepada AS. Itulah yang difikirkan. Malah diharapkan masalah Palestin juga dapat diselesaikan kerana tidak ada lagi soal masuk campur dengan unsur persaingan kuasa besar AS-Soviet.

Pada mulanya itulah yang dilihat akan berlaku. Yasser Arafat bersetuju berundur. Ia membawa kepada rundingan di Camp David dan persetujuan Oslo.

Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dibenarkan kembali dan ditubuhkan pula Pihak Berkuasa Palestin (PA).

Tetapi Israel tidak mahu berundur atau mematuhi resolusi PBB. AS membiarkan Israel melancarkan peperangan ke atas Palestin dan Lebanon.

Ketiadaan Soviet memberi ruang besar kepada AS untuk bertindak sebagai juara perdamaian. Andai kata, dia memilih untuk menguatkuasakan perdamaian di Palestin, tentu keadaannya berbeza.

Andai kata, Israel mematuhi resolusi PBB dan berundur dari Palestin, tentunya perdamaian dapat diwujudkan di Asia Barat. Tetapi kalaupun Israel tidak mahu mematuhi resolusi PBB, maka tanggungjawab terletak pada AS untuk mendisiplinkannya.

Tetapi AS tidak melakukannya kerana lobi Yahudi di negara itu amat kuat dan mereka mahu memerangi rakyat Palestin.

Maka Orde Dunia Baru yang diisytiharkan oleh George Bush tidak membawa perdamaian, tetapi sebaliknya mengheret dunia kepada peperangan baru, malah boleh dianggap sebagai Perang Dunia Keempat.

Apa yang berlaku di Palestin menjejaskan perasaan umat Islam di seluruh dunia. Palestin menunjukkan sikap perang AS ke atas umat Islam kerana mendukung Israel untuk terus menekan hak umat Islam. Senjata dibekalkan kepada Israel. Begitu juga dengan bantuan kewangan, malah keseluruhan polisi strategik AS terletak pada Israel.

Sikap perang ini memberi tindak balas dalam bentuk gerakan yang sebelum ini tidak dapat dibayangkan. Gerakan Al-Qaeda dan tentangan Saddam Hussein serta Iran terhadap AS merupakan hasil daripada sikap perang ini.

Maka kemuncaknya ialah peristiwa 11 September, diikuti dengan perang di Afghanistan dan Iraq.

Tindakan pengganas itu adalah jenayah kerana sememangnya dunia mengiktiraf bahawa terorisme iaitu pembunuhan ke atas orang awam adalah jenayah.

Tetapi mengapa ada sekumpulan manusia sanggup bertindak ganas kalau tidak ada puncanya? Apabila dilihat terorisme adalah reaksi kepada peperangan yang dilancarkan oleh mereka yang mempunyai senjata ke atas golongan yang ditindas.

Justeru perang yang dilancarkan oleh Israel ke atas Palestin dan Lebanon adalah jenayah. Sama seperti keganasan. Begitu juga dengan perang oleh AS ke atas Afghanistan dan Iraq.

Kesengsaraan yang ditanggung oleh rakyat Iraq sekarang adalah hasil daripada peperangan. Polisi AS yang memiliki senjata nuklear dan membenarkan Israel turut memilikinya adalah suatu tindakan perang. Maka berlaku persaingan senjata baik yang datang dari Iran dan Korea Utara.

Hakikatnya perang akan menambahkan peperangan, bukannya berkurangan.

Dunia perlu kembali kepada semangat Piagam PBB selepas Perang Dunia Kedua. AS dan lima kuasa besar lain mesti jujur untuk menghalang perang.

AS, Rusia, Britain, Perancis dan China bertanggungjawab memelihara keselamatan dunia dengan mengharamkan perang tanpa syarat.

Malangnya mereka mengutamakan apa yang difikirkan sebagai kepentingan nasional masing-masing daripada manusia keseluruhannya. Perang dijadikan alat nasional. Sedangkan hanya dibolehkan jika ia digunakan untuk menghentikan peperangan antara kedua pihak.

Buat masa ini, Rusia, Britain, Perancis dan China tidak terlibat dengan mana-mana peperangan. Cuma AS. Ia perlu menghentikan peperangannya di Iraq dengan mengundurkan diri.
p
Read more!