Revisionis Jepun main api

Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN
Sumber: Mingguan Malaysia 24 April 2005


Sebuah buku teks sejarah yang pada mulanya hanya dibaca oleh 0.1 peratus daripada sekolah di Jepun bertukar menjadi paling laris di Jepun tahun 2001. Apa hebatnya sebuah buku sejarah hingga melonjak ke taraf paling laris?

Buku sejarah selalu dianggap catatan tentang benda mati, ditinggalkan zaman dan tidak ada signifikan dengan masa kini. Tetapi buku sejarah yang diterbitkan oleh Society for History Textbook Reform bukan sekadar laris malah menjadi pencetus ketegangan Jepun dengan musuh silam semasa Perang Dunia Kedua.

Buku teks yang diterbitkan pada 2001 ini mendapat kecaman hebat daripada Korea Selatan, Taiwan dan juga China. Penerbitan seterusnya buku itu dihentikan sementara. Tetapi pada 5 April lalu meluluskan penerbitan buku tersebut dengan 126 pindaan untuk "melembutkan'' perkara yang ditekankan oleh revisionis yang terlibat dalam menulis semula tragedi Nanjing 1937.

Nanjing adalah sejarah pembunuhan manusia oleh tentera Jepun. Lukanya panjang, parut pula tidak pernah hilang dari ingatan. Daripada catatan tidak rasmi 300,000 manusia dibunuh, 80,000 wanita dan kanak-kanak diperkosa. Tetapi "sejarah'' baru menggugurkan banyak kebenaran yang pedih itu.

Buku teks sekolah ini bertentangan dengan apa yang dipaparkan dalam buku The Rape of Nanking: The Forgotten Holocaust of World War II. Buku yang ditulis oleh Iris Chang ini mendedahkan kepada dunia bahawa selepas holocaust yang dilakukan oleh Hitler terhadap Yahudi, tragedi Nanjing juga tidak kurang kejamnya.

Tetapi apa yang dipaparkan dalam buku teks di sekolah Jepun ini menulis sejarah mengikut keperluan untuk membina generasi baru Jepun. Malah untuk membersih kekotoran generasi Perang Dunia Kedua yang dikenali sebagai sangat kejam.

Maka tidak hairanlah apabila buku untuk "budak sekolah'' ini mencetuskan gelombang anti-Jepun yang sangat hebat di China. Sejak 5 April lalu, hampir setiap hari ada saja demonstrasi di beberapa bandar raya utama China.

Mereka marah Jepun menafikan fakta penting tentang kekejaman Jepun dan "menulis semula'' mengikut realiti politik dunia semasa. Buku teks ini juga dilihat sebagai kelangsungan keengganan Jepun meminta maaf di atas keterlanjuran nenek moyang mereka dalam Perang Dunia Kedua. Antaranya menolak tuntutan pampasan kepada hamba seks tentera Jepun semasa Nanjing tewas di tangan Jepun.

China antara negara yang sangat ketat dan hampir tidak ada tunjuk perasaan atau demonstrasi. China belajar daripada gerakan pelajar yang menganjurkan demonstrasi yang akhirnya tercatat peristiwa luka di Dataran Tiananmen pada 1989 lalu.

Kenapa kali ini pihak berkuasa China membiarkan demonstrasi anti-Jepun? Pihak berkuasa tentu merestui orang ramai keluar dan menyuarakan kemarahan terhadap isi kandungan buku teks sekolah ini. Maka dendam hampir enam dekad antara China dengan Jepun pun terburai semula.

Kerana buku kecil yang "menulis semula'' sejarah Jepun-China, pelaburan Jepun sebanyak 356 trilion yen di China menghadapi masa depan yang kabur. Sebelum ini China telah menerima Jepun sebagai rakan perdagangan terbesar menggantikan Amerika Syarikat (AS).

Desakan kuat oleh China akhirnya memaksa Jepun memohon maaf secara terbuka kerana kekejaman yang dilakukan kepada orang di Asia termasuk China. Permohonan maaf itu dibuat oleh Perdana Menteri Jepun Junichiro Koizumi semasa menghadiri Persidangan Asia-Afrika di Jakarta Jumaat lalu.

Tetapi ironiknya beberapa jam sebelum Koizumi memohon maaf, menteri Kabinet dan ahli Parlimen Jepun melawat kubur tentera Jepun yang terkorban di Tokyo. Tindakan itu pula mencetuskan kontroversi dan provokatif terhadap China.

Jurucakap Kementerian Luar China, Kong Quan memberitahu wartawan di Jakarta, permohonan maaf perlu disertai dengan tindakan yang seterusnya.

Sementara jurucakap kumpulan yang mengadakan demonstrasi di China, Lu Yunfei pula menganggap permohonan maaf yang dibuat oleh Perdana Menteri Jepun itu belum memadai.

Kekejaman menjadi satu pendekatan tentera Jepun untuk menjajah dalam Perang Dunia Kedua. Tetapi dalam buku teks sejarah, tragedi Nanjing menjadi lain. Serangan tentera Jepun ke atas Nanjing bertukar menjadi satu "kemalangan yang tidak disengajakan''. Malah revisionis yang menulis semula sejarah itu juga mencetuskan keraguan sama ada tragedi Nanjing itu benar-benar wujud atau sebaliknya.

Jepun kini antara negara yang menakluki dunia dengan teknologi moden mahu membuang imej hitam penjajah yang menjadi pemain utama Perang Dunia Kedua. Imej kejam dan tidak berperikemanusiaan menjadi label buruk kepada Jepun sepanjang zaman.

Malah di negara ini, sisa-sisa kekejaman Jepun masih terasa oleh mangsa-mangsa yang masih hidup. Jepun menjadikan orang awam sebagai musuh dan membunuh tanpa sedikit pun rasa kasihan. Ini berbeza dengan British yang juga penjajah tetapi mengambil pendekatan yang lebih lembut menangani hati rakyat tempatan.

Maka kelahiran Jepun moden mahu dijulang kerana kekuatan ekonomi dan teknologi. Kelahiran buku teks sejarah itu tidak lain untuk memberi persepsi yang lebih nasionalisme kepada generasi muda bahawa Jepun bukan bangsa yang kejam.

Di sinilah peranan revisionis untuk memberikan tafsiran baru kepada sejarah silam. Atas nama revisionis dan tanpa mengambil kira gelombang antarabangsa yang menghimpit Jepun, tragedi Nanjing cuba dipinda. Kepada kanak-kanak yang membaca buku teks ini, nenek moyang mereka bukanlah bangsa yang kejam. Jepun mahu melupakan kekejaman bangsanya kepada dunia. Maka generasi yang masih mentah disuntik dengan sesuatu yang boleh membuatkan mereka tidak berasa malu dengan bangsanya.

Pendekatan revisionis sejarah ini tidak kena tempatnya. Dalam membangunkan pemikiran baru bangsa Jepun, mereka terlupa bahawa yang dilakukan itu boleh mencetuskan kemarahan bangsa yang dinafikan kekejaman ke atas mereka. Sama ada buku teks sekolah atau buku yang bercita rasa tinggi bukan persoalannya. Tambahan pula buku teks sekolah ini telah bertukar menjadi buku bacaan umum yang terlaris.

Tetapi realitinya kekejaman silam terus menghantui Jepun biarpun menguasai empayar teknologi di dunia. Jepun terus keseorangan. Usaha untuk mendapatkan kerusi di Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjadi semakin jauh dengan kemarahan China akibat isu buku teks ini.

Jepun dan Jerman menjadi pemain utama Perang Dunia Kedua. Jerman dengan Hitlernya telah membunuh lebih enam juta Yahudi sementara Jepun pula menjajah negara-negara di Asia. Ini antara yang membuatkan Jepun gagal menduduki Majlis Keselamatan PBB.

Bagaimanapun Kofi Annan selaku Setiausaha Agung badan dunia itu realistik melihat politik semasa dunia dan membuka jalan untuk Jepun menganggotai Majlis Keselamatan dengan syarat mendapat persetujuan China. Dengan beberapa insiden yang mencetuskan ketegangan antara China-Jepun, harapan Jepun makin tipis.

Jepun kini kelihatan mulai menjangka kesan yang lebih buruk akibat kemarahan China. Jumaat lalu, Koizumi membayangkan akan mengadakan pertemuan dengan Presiden China Hu Jintao di Jakarta untuk membincangkan krisis antara dua negara itu.

Suara rakyat di China berhubung pemalsuan tragedi Nanjing sangat besar kesannya kepada Jepun. Pihak berkuasa China kelihatan merestui demonstrasi untuk menunjukkan kepada Jepun kemarahan mereka.

Menafikan sejarah adalah kesilapan besar. Malah lebih besar lagi apabila Jepun tidak belajar daripada Jerman yang juga menjadi satu bangsa yang kejam dalam Perang Dunia Kedua. Bezanya Jerman realistik dengan tuntutan zaman dan bertanggungjawab di atas kekejaman terhadap Yahudi.

Tetapi Jepun cuba menulis sejarah baru dan memadam secara kejam juga sejarah lamanya. Apabila revisionis cuba bermain api, kesannya menyalakan kebencian terhadap Jepun. Demikianlah kuasa sebuah buku kecil yang mungkin menyingkirkan cita-cita Jepun untuk menduduki Majlis Keselamatan PBB. Adakah luka kekejaman Jepun 60 tahun lalu terubat dengan permohonan maaf setelah didesak sedemikian rupa?

Read more!