Perang ekonomi

Oleh: Rosnah Majid
Sumber: Utusan Malaysia 20 Ogos 1998


KITA sekarang bukan lagi setakat dilanda kemelut ekonomi. Sesungguhnya kita kini sedang berperang. Perang di medan ekonomi. Satu peperangan bentuk baru yang sifatnya jauh berbeza daripada ciri-ciri perang konvensional, tetapi kesannya sama - negara merana, rakyat menderita.

Kalau dalam peperangan konvensional dulu, sewaktu Portugis menyerang Melaka umpamanya, kita dapat melihat dengan jelas negara/bangsa penjajah, armada mereka yang diketuai oleh kepala perang Alfonso d' Alburqaque menyerang kota Melaka dengan senjata paling moden di saat itu. Kita dapat melihat darah merah mengalir, mayat bergelimpangan serta kemusnahan harta benda.

Tetapi dalam peperangan bentuk baru sekarang ini, semua bukti-bukti nyata peperangan ini tidak dapat dilihat dengan mata kepala. Tidak ada armada, tidak ada senjata api, tidak ada darah, tidak ada mayat dan tidak ada harta benda yang musnah. Tetapi kesannya tetap sama - negara itu menjadi padang jarak padang terkukur di segi ekonomi.

Apa yang mereka gunakan? Dalam perang bentuk baru ini, medan perangnya adalah ekonomi, khususnya kewangan. Tentera mereka ialah pedagang mata wang. Kapal perang mereka adalah alat teknologi maklumat (komputer).

Senjata mereka adalah agensi kewangan antarabangsa seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia, agensi penarafan seperti Moody's Investors Service, Standard & Poor's, badan penyelidik pelaburan serta media massa. Kalau dulu darah tertumpah, mayat di sana-sini dan kemusnahan harta benda, kini nilai mata wang jatuh menyebabkan harga barang import naik, ekonomi mengalami pertumbuhan negatif, syarikat mengalami kerugian, pengangguran meningkat, kadar inflasi meningkat, projek-projek terbengkalai, pelaburan mengalami kerugian, rakyat menjadi gelisah, politik turut resah, sosial menjadi huru-hara, negara menjadi tidak lagi selamat dan rakyat menderita.

Inilah apa yang sedang dialami beberapa negara yang menjadi mangsa serangan ke atas nilai mata wang masing-masing. Ekonomi mereka yang tumbuh pesat bertahun-tahun sebelum ini yang memberi kemewahan kepada rakyat serta kekayaan kepada negara telah diranapkan oleh penyerang pedagang mata wang.

Kenapa peperangan bentuk baru ini berlaku? Apakah hanya kerana pedagang mata wang terdiri daripada mereka yang tamak, maka mereka membuat serangan untuk mendapat keuntungan besar?

Sesungguhnya peperangan bentuk baru ini bukanlah satu kebetulan. Ia adalah satu perancangan yang cukup rapi, dirancang dengan cukup teliti, hasil penyelidikan serta pemikiran yang dibuat bertahun-tahun.

Tujuannya hanya satu -menjaga kepentingan negara Amerika Syarikat (AS) supaya terus menjadi negara terunggul di dunia tanpa sebarang pencabar.

Sejak tamat Perang Dunia Kedua, Jepun berusaha gigih membangunkan negaranya daripada debu-debu bom atom. Mereka sedar yang mereka tidak boleh menang dalam peperangan konvensional, maka mereka perlu perkuatkan ekonomi iaitu memenangi peperangan (ekonomi) di waktu aman. Hasilnya Jepun muncul sebagai kuasa ekonomi dunia yang bukan saja menjadi pesaing kepada AS, tetapi telah pun berjaya mengatasi negara kuasa besar dunia itu. Bayangan Jepun berjaya menakluki pasaran dunia, malah barangan AS kalah di buminya sendiri di tangan barangan Jepun.

Jepun bukan saja membangunkan bersendirian. Mereka juga membantu negara-negara sedang membangun di Asia Timur untuk turut berkembang ekonomi masing-masing menerusi pelaburan mereka. Hasilnya negara-negara ekonomi baru muncul - Singapura, Hong Kong, Taiwan dan Korea Selatan.

Diikuti oleh Malaysia, Thailand dan Indonesia. Disusuli oleh China dan Vietnam dalam proses yang sama. Perkembangan ini bukanlah sesuatu yang menyenangkan AS. Mereka tidak mampu mempunyai beberapa negara lain lagi sebagai pencabar sebagaimana yang dialami dengan Jepun. Kejayaan Jepun dalam perdagangan begitu jelas melalui perangkaan imbangan perdagangan Jepun-AS yang memihak kepada Jepun sejak 1965. AS mengalami defisit dagangan dengan Jepun berjumlah antara 100 juta dolar hingga 300 juta dollar setahun bagi tempoh antara 1965 hingga 1975.

Pada 1976 angka ini melambung kepada 4 billion dollar dan menjadi 8 bilion pada 1978. Kemudian menjadi 17 bilion dolar pada 1982 dan meningkat kepada 50 bilion dua tahun lalu. Perangkaan ini sudah tentu menggerunkan AS. Protes demi protes dibuat terhadap Jepun supaya berusaha memperbaiki imbangan perdagangannya dengan AS. Mereka meminta Jepun mengimport lebih banyak barangannya serta membuka pasaran lebih luas bagi membaiki imbangan perdagangan. Di sinilah bermulanya perancangan yang cukup rapi dan teliti untuk memastikan kepentingan AS tidak lagi digugat oleh sesiapa pun, khasnya Jepun.

Langkah pertama AS ialah meminta Jepun menandatangani Perjanjian Plaza (Plaza Accord) pada tahun 1985 di New York. Menerusi perjanjian itu, Jepun disaran menaikkan nilai yen ke satu paras yang cukup tinggi. Alasan di sebaliknya ialah supaya barangan Jepun menjadi semakin mahal di pasaran antarabangsa, maka dengan itu kuranglah orang membelinya. Jadi dapatlah AS merapatkan jurang perbezaan dalam imbangan perdagangannya dengan Jepun serta barangan mereka lebih kompetitif berbanding barangan Jepun di pasaran antarabangsa.

Dengan termeterainya Perjanjian Plaza inilah bermulanya peperangan bentuk baru dalam sektor kewangan dunia. Tanpa kita sedari, di sinilah bermulanya peperangan yang kita hadapi hari ini.

Tetapi ternyata teori memaksa Jepun menaikkan nilai yen adalah satu perancangan yang silap. Hasil daripada kenaikan nilai yen, imbangan perdagangan Jepun-AS menjadi semakin besar memihak kepada Jepun. Jepun menjadi sangat kuat. Kuasa belinya menjadi lebih besar berbanding dolar.

Ini telah membuatkan mereka mampu membeli syarikat-syarikat milik AS dan Eropah, termasuk syarikat-syarikat yang mencabar maruah AS seperti Sony Corp., membeli MCA yang menguasai Hollywood. Malah Jepun mampu membeli Rockefeller Center serta Empire State Building.

Kekuatan yen ini menjadi ancaman baru bagi AS. Sektor hartanah di AS dan Eropah turut menjadi sasaran Jepun. Ekonomi mereka semakin berkembang. Pada 1991 mereka muncul sebagai penderma terbesar di dunia, mengatasi AS. Ia menjadi penyumbang kedua terbesar selepas AS kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, yang mendorong Jepun meminta beberapa kerusi dalam PBB diberi kepada orang-orangnya.

Di waktu yang sama, kerana ekonomi Asia Timur turut berkembang, perdagangan Jepun dengan mereka turut meningkat. Hasilnya mulai 1993, jumlah lebihan dagangannya dengan Asia mengatasi jumlah lebihan dagangan Jepun-AS. Angka ini terus meningkat di Asia tahun demi tahun.

Ini memberi satu kedudukan baik kepada Jepun untuk bersikap lebih berdikari dan mengurangkan pergantungan kepada AS. Perkara ini adalah antara perkembangan yang sama sekali tidak menyenangkan AS. Sementara Malaysia pula, yang ekonominya bergantung kepada komoditi sebelum ini telah bertukar menjadi negara perindustrian baru sejak 1987 hinggalah sekarang. Malaysia bukan lagi pengeluar getah dan bijih timah terbesar, sebaliknya menjadi pengeluar alat pendingin hawa bilik yang terbesar di dunia serta muncul sebagai pengeluar cip komputer ketiga terbesar di dunia selepas AS dan Jepun. Kedudukan begini sudah tentu tidak patut dibiarkan.

Oleh itu, jalan mesti dicari bagi memastikan pencabar ini serta bakal-bakal pencabar yang lain tidak akan dapat terus menggugat kedudukan AS sebagai kuasa terkuat dunia dalam apa juga bidang, lebih-lebih lagi ekonomi. USSR yang sewaktu perang dingin menjadi pencabar utama telah pun musnah ekoran perpecahan. Jadi pencabar yang tinggal hanyalah pesaing ekonomi. Kalau teori menaikkan nilai mata wang gagal, apa kata kalau dicuba teori menurunkan nilai mata wang pula?

Inilah apa yang dibuat. Percubaan awal adalah di Mexico pada 1996. Menggunakan tentera pedagang mata wang, nilai peso Mexico diserang dengan teruk. Akibatnya ekonomi Mexico yang sememangnya tenat menjadi lebih sukar. Ia turut menimbulkan kegawatan sosial dan politik.

Jelas teori ini yang terbaik bagi mencapai matlamat tadi. Jadi apa kata kalau dicuba ke atas negara-negara ekonomi baru di Asia Timur pula? Ketika itu, Thailand adalah negara yang paling sesuai kerana ia mempunyai semua rencah untuk mendapat hasil yang positif.

Thailand adalah sebuah ekonomi yang berkembang pesat, pasaran terbuka, mempunyai banyak hutang luar, sektor hartanah yang melambung, menerima kemasukan wang panas dengan banyak, pasaran saham di paras terlebih nilai dan pasaran kewangan yang terlalu aktif. Inilah rencah yang dicari.

Jadi apabila bath diserang pada awal 1997, ternyata serangan itu mencapai kejayaan yang dikehendaki. Wang panas yang begitu banyak diletakkan dalam institusi kewangan di Thailand, yang menaikkan harga-harga saham, telah ditarik keluar dengan cepat dan dalam jumlah yang besar. Akibatnya sektor kewangan Thailand menjadi gawat sehingga mereka terpaksa menerima pakej ''menyelamat'' IMF dengan menerima hutang bernilai 17.2 bilion dolar.

Kejayaan di Thailand memberi keyakinan kepada penyerang-penyerang ini untuk meneruskan tindakan mereka. Sasaran berikutnya ialah rupiah Indonesia, peso Filipina dan diikuti ringgit Malaysia, won Korea Selatan, dolar Taiwan dan Hong Kong.

Kesemua serangan ini berjaya. Yang berbeza hanya darjah kesannya saja - ada yang sangat teruk dan ada yang kurang parah. Setelah lebih setahun negara-negara ini menjadi mangsa serangan, mereka kini sedang berusaha gigih untuk bangun semula. Malaysia, satu-satunya negara yang belum lagi meminta bantuan IMF, sedang berusaha keras untuk keluar dari kemelut ekonomi ini dengan menyediakan Pelan Pemulihan Ekonomi Negara yang dibentangkan oleh Menteri Tugas-Tugas Khas, Tun Daim Zainuddin bulan lalu.

Tetapi perancang dan penyerang ini tidak berdiam diri. Mereka mahu memastikan mangsa-mangsa serangannya tidak akan dapat bangun semula dengan cepat. Oleh itu mereka melancar serangan fasa kedua iaitu menyerang mata wang negara-negara yang dijangka akan membantu negara-negara yang parah ini untuk bangun semula. Maka berlakulah serangan ke atas mata wang Jepun (Yen) dan Afrika Selatan (Rand).

Jepun, seperti sebelum ini menjadi harapan kepada negara-negara Asia Timur untuk membangun. Jika ekonomi Jepun ditekan, maka sudah tentu Jepun tidak mampu membantu negara-negara seperti Malaysia untuk pulih semula. Afrika Selatan, yang merupakan pelabur utama bagi membangunkan negara-negara Pakatan Selatan Afrika, juga perlu diserang mata wang rand, supaya Namibia, Zimbabwe serta beberapa negara lain tidak akan dapat dibangunkan. Rand telah diserang sejak Mei lalu.

Pemilihan mana satu negara yang perlu diserang jelas memperlihatnya terdapat konspirasi serta motif sebenar serangan itu. Ia mempunyai matlamat politik, tetapi menggunakan medan ekonomi. Kenyataan pedagang mata wang di New York bahawa mereka yang menjatuhkan Suharto di Indonesia dan membolehkan parti pembangkang menang dalam pilihan raya di Korea Selatan jelas menampakkan campur tangan mereka di dalam politik di negara-negara mangsa serangan mereka.

Apa yang menarik ialah media massa mereka, dengan segala perjuangan kebebasan akhbar dan hak asasi manusia, telah menjadi alat senjata kepada penjajahan bentuk baru ini. Media massa milik Barat telah menjadi senjata menikam negara-negara mangsa serangan dengan para wartawannya menjadi askarnya.

Demikian juga dengan agensi penarafan, turut menjadi senjata kepada penaklukan bentuk baru ini. Apabila Malaysia bercadang menjual bon untuk mendapatkan modal asing, Moody's serta Standard & Poor's telah menurunkan taraf Malaysia daripada A2 kepada Baa2 yang dengan sendirinya menggagalkan usaha Malaysia itu.

Dengan penurunan taraf ini bermakna bon Malaysia menjadi tidak menarik menyebabkan ia sukar dijual. Demikian serangan yang disasarkan kepada Malaysia. Kita berada dalam peperangan yang sangat sukar untuk difahami, apa lagi untuk dilihat.

Inilah yang perlu disedari oleh semua rakyat Malaysia, tentang betapa negara kita menjadi sasaran perancangan yang cukup rapi untuk memusnahkan apa yang telah kita bina selama ini. Kita mesti sedar niat mereka mahu kita terus menjadi negara miskin dan mundur. Mereka tidak mahu kita maju sama seperti mereka sebagaimana yang dirancang oleh Wawasan 2020.

Apa yang perlu kita buat ialah mempertahankan negara kita kerana kita kini sedang menghadapi peperangan yang sangat kompleks dan sukar. Cara mempertahankan negara ialah dengan bersatu padu, meningkatkan keharmonian kaum, membeli barangan tempatan untuk mengurangkan import serta sedar akan bahaya ancaman yang ada. Janganlah sehingga negara menjadi padang jarak padang terkukur baru kita hendak tengadah.