Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN
Sumber: Mingguan Malaysia 8 Ogos 2004
Selepas hampir empat dekad hilang semasa sedang bertugas di sempadan Korea Utara dan Korea Selatan, Amerika Syarikat (AS) menganggap Sarjan Charles Robert Jenkins telah mati. Kematian bagi tentera AS yang buat honar di negara orang bukanlah suatu yang luar biasa malah tidak bernilai apa-apa.
Ketika itu AS tidak pernah rasa apa-apa apabila seorang sarjan yang berusia 24 tahun hilang. Jenkins bukanlah sama penting dengan Setiausaha Pertahanan AS, Donald Rumsfeld yang menjadi orang penting menyerang Iraq. Dia hanya seorang sarjan. Matinya bukan kehilangan kalau dibandingkan beribu-ribu tentera AS yang kecundang di Vietnam atau terbaru di Iraq.
Orang seperti Jenkins ini memang dilahirkan untuk mati kepada dasar negaranya yang angkuh. Cuma yang menangisi kehilangan Jenkins adalah keluarganya di North Carolina dan rakan-rakan rapatnya. Ketika hilang, dia bukanlah orang penting kepada Pentagon. Maka kisahnya telah terbenam begitu saja hinggalah pada 2002 mengatakan Jenkins masih hidup.
Kehidupan Jenkins berubah selepas lawatan pertama Perdana Menteri Jepun, Junichiro Koizumi pada September 2002 ke Korea Utara. Jenkins menemui Koizumi untuk meminta pertolongan mengeluarkan keluarganya dari Korea Utara. Dari situ terbongkar kisah seorang tentera AS yang mengahwini wanita Jepun, Hitomi Soga. Atas dasar diplomasi, Presiden Korea Utara Kim Jong-il membenarkan Hitomi Soga kembali ke Jepun.
Warna-warni dan perjalanan penuh liku relung kehidupan Jenkins menjadi bualan terutama rakyat Jepun. Mereka melihat aspek kemanusiaan mengatasi undang-undang AS. Sama ada yang percaya Jenkins seorang pembelot atau sebaliknya, cerita perihal keluarganya penuh melodrama.
Jenkins kini masih dalam bidang kuasa AS. Tuduhan meninggalkan tugas akan lupus selepas 40 tahun. Sedangkan mengikut catatan pihak Pentagon yang dikeluarkan 1996 Jenkins "hilang'' pada pukul 2.30 pagi 5 Januari 1965.
Persoalannya di mana Jenkins akan berlindung sementara menunggu tuduhan itu melewati 40 tahun iaitu hingga 5 Januari tahun depan? Di Jepun sekalipun pihak kerajaan dan rakyat mengalu-alukan tetapi tidak selamat. Ini kerana Jepun mempunyai perjanjian ekstradisi dengan AS.
Sementara menunggu 5 Januari 2005, semua kemungkinan boleh berlaku kecuali negara yang tidak ada perjanjian ekstradisi dengan AS. Jenkins boleh saja diculik oleh pihak AS dan dibawa pulang.
Bagaimanapun difahamkan Koizumi akan menempatkan Jenkins sementara menunggu tamat tempoh 40 tahun di negara ketiga yang neutral. Koizumi telah menyampaikan memo tulisan tangan kepada Jenkins meyakinkan dia tidak akan diserahkan kepada AS tanpa restu Jepun.
Bagi AS persoalannya Jenkins bukan saja masih hidup tetapi yang lebih penting menetap di Pyongyang, Korea Utara. Ingat, Korea Utara sebuah negara komunis yang menjadi musuh AS. Bahkan Korea Utara juga kini dengan giat membangunkan senjata nuklear yang boleh menghantar peluru berpandu ke Pentagon kalau mereka mahu.
Ketegangan antara AS dengan Korea Utara bukan rahsia lagi. Ini kerana Korea Utara antara negara yang digeruni selepas rejim Saddam Hussein di Iraq tumbang. Tinggal kini cuma Korea Utara yang secara terbuka mendedahkan pelan pembangunan senjata nuklearnya.
Diculik
Maka tidak hairanlah tiba-tiba Jenkins menjadi penting kepada AS. Seorang sarjan yang kini berusia 64 tahun dan telah uzur dilihat lebih penting daripada bala tentera yang bertarung nyawa di Iraq tidak lama dulu. AS berusaha untuk mengambil Jenkins dan akan mendakwanya di mahkamah tentera di atas tuduhan melarikan diri semasa bertugas. Itu tuduhan AS ke atas Jenkins.
Tetapi Jenkins menafikan dia lari daripada tugas, sebaliknya ditangkap oleh tentera Korea Utara. Dia diseksa secara psikologi dan dipaksa mengajar bahasa Inggeris kepada pengintip-pengintip Korea Utara. Jenkins berkahwin dengan seorang wanita Jepun, Hitomi Soga pada 1980. Mereka dikurniakan dua orang anak, Mika dan Belinda. Kedua-duanya kini menuntut di Universiti Pyongyang.
Benarkah AS sekadar mahu mendakwa di mahkamah tentera kerana memberi moral yang buruk? Atau ada agenda lain yang lebih besar iaitu mendapatkan rahsia mengenai Korea Utara? Dalam konteks ketegangan Korea Utara dan AS, Jenkins adalah orang yang sangat penting. Dia dipercayai boleh memberi maklumat mengenai misi sulit Korea Utara. Jenkins tentu lebih tahu daripada perisik CIA mengenai pelan pembangunan senjata nuklear.
Sama ada Jenkins diculik kemudian didera secara psikologi atau sememangnya dia belot kepada AS bukan persoalan penting. Kerana itu usaha membawa balik Jenkins ke AS adalah bagi mendapatkan maklumat tentang Korea Utara.
AS mempunyai alasan yang kuat untuk menghukum Jenkins sebagai pembelot. Antaranya apabila sebuah siaran radio di Korea Utara memetik kenyataan Jenkins dalam majalah propaganda Fortune's Favourites yang diterbitkan tahun 1965. Dia juga pernah berlakon dalam filem propaganda Korea Utara, Nameless Heroes, Chapter 20 tahun 80-an. Filem ini filem anti-AS dan Jenkins berlakon sebagai perisik AS.
Plot kisah Jenkins dan keluarganya begitu berselirat. Hitomi Soga pula mendakwa diculik oleh pihak Korea Utara ketika bersama ibunya. Ketika itu Hitomi Soga seorang jururawat pelatih yang baru berusia 19 tahun. Bagaimanapun pihak Korea Utara menafikan menculik Hitomi Soga.
Babak-babak pertemuan tentera AS dengan jururawat Jepun di Korea Utara ini begitu dramatik. Hitomi Soga pada mulanya belajar bahasa Inggeris daripada Jenkins yang menjadi guru bahasa Inggeris di Pyongyang. Hitomi Soga pula menjadi asas kuat untuk menarik campur tangan Jepun dalam isu Jenkins.
Selepas tersebarnya berita Jenkins masih hidup dan menetap di Pyongyang, ketegangan antara AS, Korea Utara dan Jepun mulai terasa. Korea Utara dan Jepun masing-masing mahu memiliki Jenkins dengan alasan perikemanusiaan. Bagi Korea Utara, Jenkins sudah mempunyai keluarga di Korea Utara sementara Jepun pula yang telah membawa balik Hitomi Soga pada 2002 mahu mempertemukan semula keluarga itu.
Pada masa yang sama Jenkins boleh ditangkap bila-bila masa saja oleh pihak AS malah jawatannya sebagai sarjan masih belum dilucutkan. Jenkins masih tentera AS yang didakwa melarikan diri dan belot kepada negara. AS boleh menangkap Jenkins kecuali negara yang tidak ada perjanjian ekstradisi dengan AS. Sekiranya didapati bersalah iaitu belot terhadap tentera AS, Jenkins boleh dihukum mati. Malah Setiausaha Negara AS, Colin Powell pernah mengeluarkan kenyataan bahawa Jenkins melarikan diri daripada tentera AS.
Bagaimanapun ada pula pihak yang menganggap "terkurung'' selama 38 tahun di Korea Utara adalah hukuman yang setimpal kalau benar Jenkins pembelot kepada AS. Itu sudah memadai dan sekarang biarlah Jenkins hidup sebagai orang biasa yang tidak memberi bahaya kepada mana-mana negara; AS, Korea Utara atau Jepun.
Bagaimanapun Jepun kelihatan ke depan untuk mempertahankan Jenkins apabila mengatur pertemuan Jenkins dengan isterinya selepas berpisah selama dua tahun di Jakarta 9 Julai lalu.
Pada Mei lalu, Koizumi sekali lagi membuat lawatan kontroversi ke Pyongyang untuk membincangkan pembebasan lima daripada tujuh rakyatnya yang ditahan di Korea Utara. Bagaimanapun Jenkins dan keluarganya menolak tawaran untuk mengikuti kumpulan itu kerana Jepun mempunyai perjanjian ekstradisi dengan AS.
Isu negara yang menatang pertemuan Jenkins dan Hitomi Soga ini juga menjadi perdebatan antara Korea Utara, AS dan Jepun. Di mana tempatnya yang selamat bagi Jenkins? Tentunya di negara yang tidak ada perjanjian ekstradisi dengan AS. Jenkins berkali-kali berkata dia takut untuk menghadapi tuduhan di mahkamah tentera AS.
Kim Jong-il mencadangkan pertemuan itu dibuat di Beijing tetapi pihak Jepun kurang senang kerana Beijing mempunyai hubungan baik dengan Korea Utara. Akhirnya Indonesia dipilih kerana mempunyai hubungan diplomatik dengan Korea Utara dan tiada perjanjian ekstradisi dengan AS.
Kini Jenkins berada di Tokyo, Jepun untuk mendapatkan rawatan pemulihan fizikal dan psikologi. Tetapi sampai bila? Ini kerana Jepun bukanlah negara selamat dan untuk menunggu 5 Januari 2005 masih panjang. Malangnya Jenkins kerana dia menjadi pelarian dari negara tanah tumpah darahnya. Isunya bukan kerana belot semasa bertugas tetapi dia diibaratkan cip komputer yang mempunyai maklumat penting bagi AS.