Bush pilihan Time

Oleh: Ku Seman Ku Hussain
Sumber: Mingguan Malaysia 26 Disember 2004


PRESIDEN George W. Bush telah dipilih oleh majalah Time sebagai Person of The Year 2004. Ini adalah pemilihan Bush kali kedua selepas 2000.

Tetapi pemilihan kali ini agak mudah berbanding tahun-tahun sebelum ini. Antaranya tidak ada tokoh yang meninggalkan kesan besar, jadi bahan berita dan selari dengan dasar Time. Pemilihan Person of The Year sebenarnya tidaklah semudah yang dijangka.

Sekalipun ada calon yang lebih menggegarkan dunia sepanjang tahun ini, Time terpaksa mengambil kira banyak sudut lain terutamanya sentimen politik, pemerintah, nilai ekonomi dan prinsip. Sentimen pembaca, pengiklan dan politik antara perkara penting yang menentukan Time tidak diketepikan hanya semata-mata memperjuangkan prinsip.

Maka Person of The Year 2004 bukanlah kerana keterampilan Bush biarpun Time mendakwa pemilihan itu disebabkan kejayaan Bush membentuk peraturan politik yang sesuai dengan gaya kepimpinannya. Selebihnya kejayaan Bush menewaskan John Kerry dalam pilihan raya lalu.

Sepanjang tahun ini John Kerry juga menjadi bahan berita yang hebat. Kerry pencabar Bush untuk duduk di Rumah Putih dan kalah tipis. Tapi dalam senarai pencabar terdekat untuk Person of The Year 2004, Kerry tidak wujud langsung. Pencabar Bush adalah pengarah filem Michael Moore dan penasihat politik Presiden Karl Rove.

Person of The Year tahun ini adalah orang yang bertanggungjawab melancarkan perang dan memusnahkan Afghanistan kemudian Iraq. Di kedua-dua negara ini saja, beribu manusia tidak berdosa menjadi korban. Malah secara tidak bermaruah pula Bush menstrukturkan politik dalaman negara supaya menyokong dasar Amerika Syarikat (AS).

Editor Urusan Time, Jim Kelly menulis; "Pemenang mesti terdiri daripada individu atau kumpulan yang mencorakkan berita dan kehidupan kita semua. Tidak kira sama ada baik atau jahat, berjaya atau gagal.''

Maka Bush yang menjadi paksi kejahatan kepada dunia memang wajar dipilih. Sepanjang tahun ini Bush antara manusia yang paling banyak mendapat liputan media, menjadi sebutan di mana-mana dan Presiden AS yang melancarkan perang ke atas dunia. Dia juga satu-satunya Presiden AS yang dasar luarnya paling hebat dikecam selepas Richard Nixon.

Kelly mendedahkan, Bush ditentang oleh dua calon lagi yang tidak kurang dominannya terhadap kerjaya politik Bush iaitu pengarah filem Michael Moore dan Rove.

Kenapa Moore? Kepada pengamat politik Bush, Moore menjadi dominan kerana lantang mengkritik dan mempermain-mainkan Bush dalam filem dokumentarinya, Fahrenheit 9/11. Filem ini memenangi hadiah utama Palm d'Or di Festival Filem Cannes tahun ini.

Fahrenheit 9/11 kritikan terbuka kepada Bush ekoran tragedi serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada 11 September 2001. Moore menjadikan dokumentari ini sangat jelas pertentangan politiknya dengan Bush. Walaupun begitu, Moore masih berada di bawah Kerry kalau pencabar Bush itu dibariskan untuk dipilih sebagai Person of The Year.

Moore dan Rove tewas. Bush untuk muncul sebagai Person of The Year 2004. Time pula sudah tidak kontroversial lagi dalam menentukan siapakah penyandang Person of The Year yang menjadi lambang prestij majalah berita ini.

Time tidak mungkin memilih Moore dan mengetepikan Bush. Kelly juga mengakui bahawa banyak warga AS tidak mahu Bush menang. Malah Bush dalam satu rencana Time mengaku dia menyedari ada orang yang tidak sukakan dia.

Tentu banyak yang sudah tidak mengambil hirau dengan Person of The Year anjuran Time ini. Pilihlah siapa saja untuk dinobatkan sebagai "manusia yang paling dominan'' pada tahun ini. Persepsi umum Person of The Year kini lebih menjaga hati pembaca daripada ketelusan dan maruah editorial Time.

Person of The Year (sebelum ini Man of The Year hingga 1999) dimulakan oleh Time sejak 1927. Penyandang gelaran Man of The Year pertama ialah juruterbang AS, Charles Lindbergh. Dia adalah juruterbang pertama yang melintasi Lautan Atlantik.

Pengiktirafan yang diberikan oleh Time pada zaman awalnya adalah sangat tinggi. Time berani menjulang prinsip apabila memilih tokoh paling kontroversial seperti Adolf Hitler (1938), Martin Luther King Jr. (1963) dan Ayatollah Khomeini (1979). Time mengalami perubahan kepimpinan dan sudah tentulah dasar juga ikut berubah.

Daripada memperjuangkan prinsip tokoh yang menjadi bahan berita dan mencorakkan suasana tertentu, Time kini lebih berorientasikan perniagaan. Dasar Time hari ini tidak mungkin akan berulang di mana tokoh yang paling kontroversial dipilih sebagai Person of The Year. Ini memberikan kesan kepada pasaran serta pengiklan.

Pernahkah Time membariskan Osama bin Ladin sebagai calon Person of The Year untuk tahun 2001 selepas WTC diserang dan ranap ke bumi? Osama adalah individu yang menjadi bahan berita di mana-mana. Kalau Hitler yang membunuh enam juta Yahudi boleh dipilih, apa bezanya Osama? Barangkali yang berbeza adalah dasar Time ketika ini.

"Ia menjadi kengerian kepada Time,'' demikian ulas tokoh perhubungan awam Howard Rubenstein kepada akhbar USA Today merujuk kepada ura-ura pencalonan Osama tiga tahun lalu.

Person of The Year 2001 bersaing antara Bush dan Datuk Bandar New York Rudolph Giuliani. Giuliani dipilih sebagai Person of The Year 2001 sekalipun tidak menepati kriteria iaitu individu yang menjadi bahan berita paling hangat. Datuk Bandar ini terlalu jauh di belakang Osama dari segi bahan berita. Dia cuma orang yang paling banyak menyibuk selepas New York diserang dalam tragedi 11 September 2001.

Maka pemilihan Bush kali kedua tahun ini adalah keputusan bijak lagi selamat yang dibuat oleh Time. Malah sejak 1994, Person of The Year adalah tokoh Amerika sendiri. Tokoh bukan Amerika yang terakhir dipilih ialah Pope John Paul pada 1994.

Kalau tahun 2001, Osama dikatakan hanya layak mendapat Beast of The Year, tahun ini Bush juga setaraf dengan Osama.