Penstrukturan politik Asia Barat

Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN
Sumber: Mingguan Malaysia 30 Januari 2005


PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) George W. Bush membayang akan menyerang Iran kerana sumber perisikan memaklumkan pelan pembangunan senjata nuklear di Iran. Ini sebenarnya tidak mengejutkan sama ada ia sekadar perang saraf atau benar-benar akan menyerang negara yang berjiran dengan Iraq itu.

Pengumuman akan menyerang Iran tidak memperlihatkan satu sikap yang baru daripada Bush dan orang di sekelilingnya, Setiausaha Pertahanan Donald Rumsfeld, Setiausaha Negara Condoleezza Rice serta Timbalan Presiden Dick Cheney. Sebaliknya pengumuman yang dibuat pada penggal kedua menduduki kerusi Presiden AS adalah satu modus operandi yang dilakukan di Afghanistan dan Iraq.

Bush bukan saja dilihat sebagai bongkak malah tidak kelihatan membanteras keganasan yang dilaung-laungkan. AS telah melakukan keganasan di Afghanistan dan Iraq. Dunia semakin terbuka dan Iraq membuktikan AS bukan memperjuangkan kepada keamanan dunia.

Sikap mengugut Iran ini lebih kepada strategi pengstrukturan politik dan sosial di Asia Barat supaya semuanya dibawah teraju AS. Sebelum ini AS pernah mengugut akan menyerang Syria. Iran yang diulangi akan diserang hanya dengan alasan kononnya negara itu membangunkan program senjata nuklear.

Majalah Time 13 Januari 2003 yang kulit depannya bertajuk The Bigger Threat? memfokuskan kepada pelan pembangunan senjata nuklear Korea Utara. Fokus yang menyelongkar senjata nuklear Korea Utara itu dibuat selepas Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya menyerang Iraq. AS menyerang Iraq kerana Ejen Perisikan Pusat (CIA) percaya Iraq membangunkan senjata nuklear.

Time mengemukakan banyak fakta kenapa Korea Utara dilihat sangat berbahaya. Persoalan ini ditimbulkan setelah AS gagal menemui pusat pembangunan senjata nuklear Iraq. Ketika itu Iraq telah hancur dalam eksperimen perang digital Doktrin Rumsfeldisme. Tetapi pada masa yang sama AS tidak menghiraukan Korea Utara yang mencetuskan kebimbangan dan ketegangan di kalangan negara Asia.

Persoalannya apakah bahayanya Iraq berbanding Korea Utara yang secara terang-terangan mengakui mempunyai pelan pembangunan senjata nuklear? Korea Utara tidak pernah berselindung program senjata nuklearnya. CIA tahu, Rumsfeld juga tahu keadaan sebenar. Apabila AS menyerang Iraq, ini menunjukkan serangan itu bukanlah kerana senjata nuklear sekiranya Iraq mempunyai senjata bahaya itu.

Serangan ke atas Iraq ada motif lain. Ini adalah salah satu doktrin yang menganjurkan pre-emptive striking atau menyerang kemudian baru mencari bukti. Ini dilakukan semasa menyerang Afghanistan alasan memburu teroris Islam Al-Qaeda dan Osama bin Ladin. Kemudian AS menyerang Iraq kerana senjata nuklear. Kedua-duanya tidak ada bukti yang boleh ditunjukkan kepada dunia.

Selepas tumbangnya Presiden Saddam Hussein, Iraq kini diperintah oleh kerajaan boneka AS. Kejayaan AS menstrukturkan politik dan sosial di Iraq supaya mengikut telunjuk AS memberikan kesan yang besar kepada Asia Barat. AS mempunyai sebuah lagi negara di Asia Barat dan merancang menyerang Iran tentunya membuktikan serangan bukan kerana Iran ada senjata nuklear. Ini untuk menstrukturkan negara-negara penting yang anti-AS selepas runtuhnya negara-negara blok komunis lebih satu dekad lalu.

Israel misalnya mempunyai senjata yang jauh lebih moden daripada Iran. Tetapi kerana Israel ejen AS di Asia Barat, Israel dilepaskan dan mangsanya bukan sekadar Palestin malah Asia Barat. Korea Utara pun begitu juga. Negara ini tidak diganggu oleh AS buat masa ini kerana belum mengganggu AS kecuali beberapa negara yang mempunyai kepentingan AS seperti Korea Selatan.

Korea Utara sebenarnya jauh lebih bahaya daripada Iran. Setakat ini Korea Utara telah membangunkan peluru berpandu Scud B yang boleh mencapai jarak hingga 300 kilometer atau sebahagian daripada Korea Selatan, Scud C sejauh 550 kilometer yang boleh sampai ke seluruh Korea Selatan dan sebahagian Jepun. Peluru berpandu Nodong pula mampu menepati sasaran sejauh 1,300 kilometer iaitu seluruh Korea Selatan dan sebahagian besar Jepun.

Peluru berpandu Taepo Dong-1 sejauh 2,000 kilometer. Sementara Taepo Dong-2 dalam pembikinan. Peluru ini dijangka mampu mencapai 6,000 kilometer atau sampai ke Alaska dan sebahagian Hawaii. Program pembangunan senjata nuklear Korea Utara juga dalam pembikinan Taepo Dong-2 (peringkat ketiga) yang dijangka siap pada 2015. Peluru berpandu ini yang beratnya hanya 200 kilogram mampu mencapai 12,000 kilometer atau mencecah AS.

Kalau benar AS prihatin untuk membanteras negara yang menjadi paksi keganasan, sasarannya bukanlah Iran dan juga Iraq. AS perlu menghala serangan ke Korea Utara yang ternyata sangat bahaya kepada dunia. Tidak ada negara yang lebih bahaya daripada Korea Utara apabila pelan pembangunan senjata nuklear begitu agresif.

Jadi apabila ugutan untuk menyerang itu ditujukan kepada Iran, maknanya bukanlah kerana senjata nuklear. Itu hanya tiket untuk mewajarkan AS membuat pre-emptive striking ke atas Iran. Selepas diserang, Iran menjadi negara terbaru di Asia Barat yang distrukturkan politik dan sosialnya oleh AS.

Profesor Suhail Zakkar dari Universiti Damascus di Damsyik pernah memberi amaran sekiranya AS menyerang Syria, AS akan berdepan dengan tentangan sengit. Tentangan itu datang daripada 18 juta rakyat Syria, 300 juta Arab dan 2,000 juta umat Islam di seluruh dunia.

Keruntuhan Kesatuan Soviet pula dijangka akan berulang sekiranya AS meneruskan agenda penstrukturan politik di Asia Barat. Maknanya AS akan tercabar kerana Kesatuan Soviet yang kuat itu juga hancur selepas menyerang Afghanistan.

Dalam buku The Clash of Civilization, Profesor Samuel Huntington menjangka selepas kejatuhan Kesatuan Soviet lebih sedekad lalu akan wujud pertembungan tamadun antara Islam dan Barat. Memang benar AS telah lama melabelkan Islam sebagai teroris sebelum 11 September 2001 lagi.

Tetapi melihat keadaan semasa yang berlaku di Asia Barat, barangkali Samuel Huntington perlu menulis semula The Clash of Civilization. Beliau perlu melihat yang berlaku di dunia Arab selepas kejatuhan Kesatuan Soviet bukan semata-mata pertembungan tamadun. Sebaliknya pertembungan yang mencetuskan keganasan bagi memudahkan AS menstrukturkan politik di Asia Barat dan dunia Arab. Iraq adalah buktinya.