Oleh: Ku Seman Ku Hussain
Sumber: Mingguan Malaysia 6 Mac 2005
Lebanon memang wajar memperjuangkan kedaulatan sebagai sebuah negara merdeka daripada dibayangi Syria. Malah Lebanon juga mempunyai banyak alasan untuk mengeluarkan 16,000 bala tentera Syria yang terus ``menjajah'' negara menghadap Laut Mediterranean.
Kehadiran tentera Syria lebih banyak menimbulkan ketegangan dan mencetuskan konflik dalaman antara pihak yang pro dan anti- Syria. Malah kalau merujuk kepada Resolusi Majlis Keselamatan PBB tahun lalu juga mendesak Syria mengundurkan tenteranya dari Lebanon.
Tetapi perjuangan mengeluarkan tentera dan seterusnya menikmati kemerdekaan yang sebenarnya wajar dilakukan oleh Lebanon sendiri dan bukannya membuka lorong kepada Amerika Syarikat (AS). Tetapi yang berlaku sekarang adalah sebaliknya. AS atau lebih tepat lagi keghairahan Setiausaha Negara Condoleeza Rice mahu ikut terlibat dan mencetuskan ketegangan terhadap Syria.
Konflik Lebanon-Syria menjadi lain apabila Rice begitu bersungguh-sungguh untuk memerdekakan Lebanon. Sebabnya semua orang tahu bahawa AS sudah lama mendendami Syria yang tidak pernah tunduk kepada ugutan atau tekanan politik oleh AS.
Memetik kata Sandra Mackey dalam bukunya Lebanon: Death of A Nation, Lebanon tidak pernah terlepas daripada kepentingan Syria. Malah Lebanon menjadi salah satu impian Syria untuk menjadi Greater Syria yakni menakluki Lebanon dan Israel untuk meluaskan empayar.
Maknanya konflik Lebanon-Syria perlu diselesaikan oleh dua negara ini atau dengan campur tangan PBB. Badan dunia itu telah menjalankan peranannya menerusi Resolusi Majlis Keselamatan. Maka apa perlunya lagi Rice membawa AS untuk memberi tekanan kepada Syria bagi mengundurkan tenteranya?
Pembunuhan bekas Perdana Menteri Lebanon, Rafiq Hariri pada 14 Februari lalu diibaratkan ledakan yang membawa AS dalam krisis dua negara berjiran itu. Konflik terbaru itu menjadi tugas penting Rice di Asia Barat.
Lebih penting daripada itu agenda utama AS tidak lain menstrukturkan politik Syria, sebuah negara Asia Barat yang menjadi musuh AS. Konflik Lebanon-Syria adalah laluan terbaik untuk Rice memainkan peranan atas nama demokrasi dan kedaulatan Lebanon.
Rice menumpang Resolusi Majlis Keselamatan yang diputuskan tahun lalu supaya Syria mengundurkan bala tentera dari bumi Lebanon. Syria terus tertekan dan isu tenteranya di Lebanon digunakan oleh AS untuk menyembunyikan agenda sebenar menstrukturkan politik Syria.
Sejarah hubungan Lebanon dengan AS terlalu panjang. Apabila Syria ``menawan'' Lebanon pada 1976, Syria menjadi musuh kepada AS. Maka apabila bekas Perdana Menteri Lebanon Rafiq Hariri dibunuh, AS menggunakan isu itu untuk melancarkan perang psikologi ke atas Syria.
Melihat dalam konteks campur tangan AS di Asia Barat, pembunuhan itu tidak lebih sebagai laluan AS dan Rice untuk memburukkan lagi ketegangan antara Lebanon dan Syria. Ketegangan antara kedua-dua negara itu tidak menjadi bertambah rumit kalau tanpa campur tangan AS.
Rafiq adalah pemimpin Lebanon yang anti- Syria. Maka pembunuhan itu dengan sendirinya menyuburkan sentimen anti-Syria. Malah menjadi bertambah buruk hingga memaksa Perdana Menteri Omar Karami mengambil tindakan mulia; meletakkan jawatan. Apakah kemuliaan seorang pemimpin seumpama Omar Karami menyumbang keamanan kepada Lebanon yang akan menghadapi pilihan raya pada Mei depan?
Peletakan jawatan Omar Karami tidak banyak menyumbang kepada kestabilan politik dalaman di Lebanon. Ini kerana Omar Karami bukanlah isunya yang menjadikan sentimen anti-Syria begitu tegang. Selagi AS dibiarkan memainkan peranan songsang di Asia Barat, siapa saja menjadi Perdana Menteri Lebanon tidak akan menyelesaikan masalah.
Lihatlah bagaimana pantasnya Rice menuduh pembunuhan Rafiq dilakukan oleh Syria dengan bala tentera sebanyak 16,000 anggota di Lebanon. Tuduhan itu secara psikologinya disokong oleh fakta yang Rafiq memang anti- Syria. Maka ada kewajaran untuk mengheret Syria dalam konflik yang akhirnya memberi untung kepada AS.
Sikap Rice tentunya sangat tidak bertanggungjawab. Tuduhan tanpa bukti hanya membakarkan lagi kemarahan pembangkang Omar Karami. Tetapi inilah yang dimahukan. Kejatuhan negara-negara Asia Barat bukan oleh AS tetapi dilakukan oleh orang tempatan. Dalam konteks Lebanon, AS menyediakan sumbu dan orang Lebanon sendiri yang membakarnya.
Perang psikologi menjadi salah satu modul yang dibuktikan telah berjaya. Maka inilah yang diulangi oleh AS dalam menggunakan isu pembunuhan Rafiq. Sementara kenyataan-kenyataan AS sebelum ini juga telah lebih dulu menyerang Syria kononnya tidak bekerjasama membanteras keganasan di Asia Barat.
Sementara Lebanon menjadi destinasi yang paling strategik bagi AS memainkan peranan untuk meruntuh kemudian menyusun semula. Landskap politik yang penuh warna-warni hanya menunggu masa untuk meletuskan konflik dalaman.
Kemasukan tentera Syria pada 1990 apabila pada awalnya bertujuan membantu mempertahankan Lebanon daripada gangguan luar. Selepas aman, bala tentera Syria terus berada di Lebanon walaupun menimbulkan rasa kurang senang negara itu. Pada 1996 pula Israel menyerang bahagian selatan Lebanon. Dalam serangan kedua Israel di Qana, Lebanon mengakibatkan lebih 100 orang awam terkorban.
Pada November tahun yang sama, Rafiq Hariri membentuk sebuah kerajaan baru dan seterusnya mengadakan pilihan raya. Dalam satu persidangan di Washington, Lebanon meminta masyarakat antarabangsa menyumbang AS$3 bilion untuk membangunkan semula infrastruktur di negara ini.
Lebanon sebenarnya tidak pernah sepi. Maka suasana begini membuka laluan kepada AS untuk terus memporak-perandakan bagi tujuan menstrukturkan mengikut acuan AS. Kalau benar ada pilihan raya pada Mei ini, tentu saja AS mempunyai calon untuk ``ditunggulkan'' sebagai Perdana Menteri yang baru.
Dalam keadaan sekarang Syria kelihatan sangat tertekan. Buat masa sekarang AS kelihatan berada di sisi Lebanon tetapi kejujuran dan kelicikan wanita kulit hitam bernama Rice di luar jangkaan sama sekali.
Dia seorang perancang yang bijak, berani dan sangat optimis terhadap misinya di Asia Barat. Maka tugas untuk menjajah Lebanon dan kemudian Syria pasti dirancang sehalus mungkin. Atas nama demokrasi, Rice dan AS boleh mempergunakan apa saja untuk mewajarkan hasrat ``murni'' pendemokrasian itu.
Demokrasi menjadi begitu mahal di Lebanon. Rakyat sendiri keliru antara sentimen anti-Syria yang membayangi Lebanon dan pemimpin yang dipilih rakyat. Rice mendapat kedudukan yang selesa untuk memerangi saraf warga Lebanon.
Para pemerhati menjangka selepas Lebanon tunduk kepada AS, yang bakal menyusul adalah Syria. Malah tidak mustahil AS akan menyerang Syria kalau melihat beberapa amaran awal sebelum ini. Ternyata sekali semua ini melampaui pembunuhan Rafiq.
Dalam keadaan sekarang, Syria bukan saja diberi tekanan politik oleh AS malah Israel yang juga berjiran dengan Syria. Komplot Israel-AS pasti akan memberikan warna kepada landskap politik di Asia Barat ketika ini khususnya Lebanon dan Syria.
Demikianlah halnya apabila meminta orang luar menyelesaikan konflik dalaman. Lebanon wajar berhati-hati dengan AS sekalipun untuk membebaskan daripada bayangan jiran yang keras kepala, Syria.