Lynndie England diperalatkan?

Oleh: Ku Seman Ku Hussain
Sumber: Mingguan Malaysia 8 Mei 2005


KHAMIS lalu mahkamah tentera di Fort Hood, Texas telah menolak pengakuan bersalah Lynndie England, anggota tentera wanita yang terlibat dalam skandal penyeksaan di penjara Abu Gharib, Iraq.

Siapa England? Tentu banyak yang masih ingat gambar seorang anggota tentera wanita yang mengikat leher dan mengheret tahanan Iraq seperti anjing. Tentu ingat juga aksi seorang wanita di sisi piramid manusia di penjara Abu Gharib.

Dia adalah England yang mendakwa dia diarahkan "menunjukkan diri'' dalam gambar-gambar itu. Aksi itu kata England salah satu modul psy-ops (psychological operations dalam istilah perisikan tentera).

England mengaku bersalah Isnin lalu terhadap tujuh tuduhan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 11 tahun. England yang berusia 22 tahun ini adalah bekas teman wanita Sarjan Charles Graner yang dipenjara 10 tahun setelah didapati bersalah dalam skandal yang sama.

Pada perbicaraan Khamis lalu Graner dipanggil memberi keterangan berhubung skandal penyeksaan tersebut. Hakim mahkamah tentera Kolonel James L. Pohl kemudiannya menolak pengakuan bersalah England dengan alasan ada ``unsur-unsur'' lain yang mendorong perbuatan England. Salah satunya pengaruh Graner yang menjadi ketua di unit berkenaan.

Sementara itu semasa memberi keterangan, Graner tetap dengan kenyataannya yang dahulu iaitu skandal itu didalangi oleh pihak atasan AS. Ini antara "unsur-unsur'' yang membuatkan hakim menolak pengakuan bersalah tersebut.

Banyak pihak yang terkejut dengan tindakan hakim menolak pengakuan bersalah. Ada dua pandangan berhubung tindakan hakim yang mengendalikan perbicaraan di mahkamah tentera itu.

Pertama - kalau berbalik kepada kenyataan Graner dahulu, dia mendakwa skandal penyeksaan itu didalangi oleh pentadbiran Bush. Maknanya ada pihak lain yang membaling batu sembunyi tangan dan menolak kambing hitam ke depan untuk menerima hukuman. Selepas dihukum selesailah kes ini.

England dipercayai diberi tawar-menawar supaya mengaku bersalah. Apabila mengaku bersalah perbicaraan menjadi singkat dan ringkas. Maka banyak fakta penting yang barangkali melibatkan pihak atasan AS terus terbenam dan umum tidak tahu apakah yang sebenarnya berlaku. Memanglah secara kasar orang hanya melihat England dan Graner saja tetapi dengan penolakan pengakuan bersalah, tentu banyak yang akan dibongkarkan.

Pandangan kedua pula melihat dengan tindakan hakim menolak pengakuan bersalah memperlihatkan England mempunyai harapan digugurkan daripada tuduhan. Malah menurut akhbar di AS, kerajaan secara tidak langsung menggugurkan dakwaan ke atas England sekali pun hakim menegaskan akan disambung pada masa yang lain.

"Perbicaraan tamat hari ini dan akan diadakan pada suatu masa yang lain,'' demikian kata Pohl yang mengejutkan banyak pihak kerana keputusan itu dilihat sebagai luar biasa.

Kalangan pemerhati politik dan pengamal undang-undang percaya adalah sukar untuk mendakwa England bermula dari awal. Kalau benarlah jangkaan ini, England cuba diselamatkan daripada menerima hukuman. Tanggapan ini juga seolah-olah pentadbiran Bush campur tangan ke atas mahkamah tentera berkenaan.

England kini menjadi ibu tunggal kepada anak lelaki tujuh bulan hasil hubungan dengan Graner. Dia dilaporkan tidak memberikan sebarang reaksi semasa Pohl menolak pengakuan bersalah. Adakah ini menunjukkan England dipaksa mengaku salah dan dijanjikan sesuatu?

England dan Graner antara tujuh anggota pasukan Maryland 372 Polis Tentera yang dituduh mendera dengan kejam tahanan Iraq. Bagaimanapun setakat ini hanya Graner saja yang dihukum selepas pendakwa memutuskan Graner sebagai ketua dalam skandal tersebut.

Skandal penjara Abu Gharib membangkitkan kemarahan dunia Arab. Sementara masyarakat di seluruh dunia mengutuk perbuatan yang tidak berperikemanusiaan oleh tentera AS itu. Skandal yang disaksikan di seluruh dunia ini menjejaskan teruk imej pentadbiran Bush.

Teori konspirasi yang mengatakan skandal penyeksaan di penjara Abu Gharib angkara pihak atasan AS kini semakin jelas. Biarpun sebelum ini Bush menafikan sekeras-kerasnya penglibatan pihak tertinggi AS tetapi rentetan daripada skandal hingga rentak perbicaraan memperlihatkan ada suatu yang tidak kena dengan kes ini.

Faktor yang membuatkan hakim menolak pengakuan bersalah kes England menguatkan lagi teori bahawa pihak atasan AS terlibat dalam skandal tersebut. Tindakan hakim yang mengendalikan kes England memberikan kesan yang buruk kepada Bush kerana kes England belum selesai dan mungkin lebih berselirat.

Alasan hakim antaranya beliau tidak boleh menerima pengakuan bersalah England kerana "tidak tahu apa-apa'' semasa melakukan penyeksaan itu. Akan terbukakah misteri skandal ini tentang siapa dalangnya?

Bush misalnya, telah memberikan reaksi spontan bahawa perbuatan itu dilakukan oleh tentera AS dalam gambar yang disiarkan di seluruh dunia. Sebelum anggota tentera berkenaan dihadapkan ke pengadilan, Bush terlebih dahulu menghukum mereka.

Begitu juga reaksi bekas Setiausaha Negara Colin Powell yang menafikan sebarang campur tangan pihak pentadbiran Bush dalam skandal penyeksaan itu. Dalam kata lain semua itu dilakukan oleh tentera berkenaan dan mereka wajar dipersalahkan.

Tetapi masyarakat dunia melihat sebaliknya. Antara teorinya bagaimana penyeksaan itu boleh dilakukan tanpa pengetahuan pihak atasan tentera yang menguasai penjara itu? Bentuk penyeksaan yang dilakukan terkeluar daripada norma-norma kemanusiaan; kencing atas tahanan, bogelkan tahanan, menyusun tahanan jadi piramid serta mengenakan kejutan elektrik.

Skandal penyeksaan ini menjadi isu kontroversi seluruh dunia hanya selepas gambar-gambar penyeksaan tersebut disiarkan di akhbar. Selepas gambar aksi sadis England dan Graner tersebar di seluruh dunia, AS terpaksa main wayang untuk menunjukkan mereka prihatin dengan skandal tersebut.

Salah satu taktiknya mendakwa tujuh anggota polis tentera dan mereka dipertanggungjawabkan untuk melindungi dalang-dalang yang sebenar. Tujuh anggota polis tentera ini tidak lebih kambing hitam, tetapi hanya Graner saja yang menerima hukuman.

Mujurlah hakim menolak pengakuan bersalah England dan mahu mengulangi perbicaraan sekali lagi. Sejauh manakah undang-undang berada di atas segala-galanya? Orang selalu percaya undang-undang berada di bawah politik dan kalau ini berlaku, orang sebenar yang bertanggungjawab dalam skandal penyeksaan itu pasti bebas. Mahkamah tidak lebih daripada tempat mendapatkan sijil rasmi bahawa yang berkuasa tidak bersalah.