Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN
Sumber: Mingguan Malaysia 25 September 2005
Dunia khususnya Asia belum selamat sekalipun Korea Utara memperlihatkan sedikit kompromi tentang program senjata nuklear yang dibangunkan sejak Perang Korea lalu. Kompromi yang diperlihatkan dalam rundingan enam negara di Beijing baru-baru ini bagaimanapun tidak menjanjikan toleran negara komunis itu.
Rundingan selama dua tahun sebelum ini gagal mencapai persefahaman. Malah Korea Utara dan Amerika Syarikat (AS) saling mempertahankan kebenaran mengenai senjata nuklear. Korea Utara tidak mudah mengalah dengan keangkuhan AS. Maka perjanjian sebelum ini berakhir dengan dendam dan tuduh-menuduh.
Presiden George W. Bush sebelum ini mengelaskan Korea Utara antara negara ``paksi kejahatan'' bersama Iran dan Iraq. Tetapi AS tidak tergopoh gapah membuat perhitungan ketenteraan terhadap Korea Utara. Sebaliknya beralih kepada Iraq kononnya Iraq mempunyai program senjata nuklear yang membahayakan dunia.
Bagaimanapun hingga hari ini AS khususnya Bush gagal membuktikan dakwaan itu. Sebaliknya itu sekadar lesen untuk mengabui mata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Ketika Iraq dibelasah tanpa perikemanusiaan, Korea Utara tanpa berselindung mendedahkan program senjata nuklearnya yang dibangunkan mengikut jadual.
Kenapa AS tidak menyerang Korea Utara? Kenapa digembar-gemburkan rundingan untuk menghentikan program senjata nuklear di Korea Utara?
Keangkuhan Korea Utara menarik diri daripada menjadi anggota Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) adalah tamparan kepada AS. Dalam lain perkataan, dengan tidak menganggotai NPT, rejim komunis itu secara terang-terangan bak bom jangka yang akan meletup pada bila-bila masa.
Rundingan enam buah negara di Beijing itu disertai oleh AS, Jepun, Korea Selatan, China dan Rusia. Dengan pembangunan program senjata nuklear yang terancang, Korea Utara menjadi kuasa besar yang baru. Ia menggugat kestabilan di rantau Asia sekali gus menakutkan AS yang mempunyai kepentingan di rantau sebelah sini.
Rundingan itu pada mulanya dikatakan membuahkan harapan apabila Korea Utara bersetuju menghentikan program senjata nuklearnya serta membuka pintu kepada pasukan pemeriksa senjata Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA). Tetapi 24 jam kemudian, Korea Utara mengemukakan syarat baru, sekali gus membayangi kegagalan rundingan dua tahun lalu.
Korea Utara nyata tidak mudah memusnahkan program senjata nuklear yang dianggap terhebat itu. Kontroversi kebocoran rahsia pada Mac 2001 dulu bahawa AS akan menggunakan senjata nuklear untuk menentang Korea Utara tentunya memberikan kesan kepada rundingan kali ini.
Syarat yang diberikan oleh Korea Utara untuk menghentikan program senjata nuklear ialah membenarkan loji tenaga nuklear untuk kegunaan awam. Tetapi syarat itu ditolak dengan penuh prasangka oleh lima negara lain itu, dan nuklear mesti dihapuskan di Korea Utara.
Ketika ini Korea Utara mempunyai peluru berpandu jenis Scud B yang mampu mencapai sasaran sejauh 300 kilometer. Jarak itu bermakna Korea Utara boleh melancarkan peluru berpandu itu bagi mana-mana lokasi di Korea Selatan. Sementara Scud C pula boleh mencapai sasaran 550 kilometer yang boleh sampai ke seluruh Korea Selatan dan sebahagian besar Jepun.
Bahayanya Korea Utara kepada dunia bukan main-main. Dengan program pembangunan senjata nuklear yang terancang mereka juga menghasilkan peluru berpandu Nodong yang boleh mencapai sasaran 1,300 kilometer dengan berat 770 kilogram. Jenis Teapo Dong-1 pula dalam peringkat ujian yang boleh mencapai jarak hingga 2,000 kilometer atau mencakupi seluruh Jepun.
Program terhebat Korea Utara ialah membina peluru berpandu Teapo Dong-2 yang dijangka siap sepenuhnya pada 2015 nanti. Keupayaan peluru berpandu ini sangat luar biasa. Ia mencapai jarak 12,000 kilometer yang membolehkan Korea Utara menghantar ``hadiah'' dari Pyongyang ke mana-mana lokasi di AS.
Nah, dengan kehebatan yang dimiliki itu, apakah Korea Utara akan berhenti setengah jalan dan tunduk kepada tekanan lima negara dalam rundingan terbaru ini? Tidak ada faktor yang lebih meyakinkan kenapa Korea Utara harus bersetuju dengan desakan enam negara itu bagi menamatkan program nuklearnya. Maka rundingan terbaru ini sebenarnya bukan sesuatu yang baru bagi menjanjikan kestabilan politik dan keselamatan di rantau sebelah sini.
Menurut Bulletin of the Atomic Scientists edisi Mei/Jun lalu, Korea Utara membangunkan program nuklearnya sejak lebih setengah abad lalu. Semua ini bermula dengan Perang Korea (1950-1953) apabila AS menggunakan senjata nuklear ke atas Korea Utara.
Dalam kata lain AS yang bertanggungjawab apabila Korea Utara membangunkan senjata nuklear. Tanpa pengajaran daripada AS dalam Perang Korea, barangkali Korea Utara tidak membangunkan senjata yang bahaya itu. Ketika mula membangunkan program senjata nuklear, Korea Utara mendapat sokongan padu daripada Kesatuan Soviet dan dua dekad kemudian China pula membantu Korea Utara membangunkan program nuklear ini.
Negara-negara yang memberi tekanan kepada Korea Utara sekarang adalah yang pernah menyokong ketika Korea Utara menentang AS. Ini memperlihatkan pendirian negara-negara seperti China dan Rusia ditentu kan oleh AS.
Rundingan baru-baru ini juga dilihat memberikan pulangan politik kepada AS di bawah pimpinan Bush. Selepas Bush dilihat sebagai ``paksi kejahatan'' sebenarnya apabila mengetepikan PBB, rundingan ini seolah-olah membuktikan Bush dan Setiausaha Negara, Condoleezza Rice sebenarnya mengimpikan keamanan. Rundingan lebih kepada mahu menonjolkan bahawa mereka tidak mahu bertindak secara kekerasan sebaliknya menjurus kepada penyelesaian diplomatik.
Maka rundingan baru ini tidak lebih untuk mengalih perhatian dunia terhadap kegagalan Bush membuktikan Iraq mempunyai loji senjata nuklear, selepas beribu-ribu orang awam terkorban di Iraq akibat serangan AS.
Kini perhatian dunia dibawa ke Korea Utara. Seperti biasa AS mahu kelihatan sebagai pentadbir dunia yang baik dan berunding supaya Korea Utara menghentikan program yang boleh mengganggu kestabilan dunia hari ini. Sebenarnya tidak ada yang hendak diharapkan daripada rundingan ini.
Apabila Korea Utara bertegas mahu memiliki tenaga nuklear untuk kegunaan awam dan AS bersama Rusia dan China tidak bersetuju akan terbantutlah rundingan ini. Lihatlah dalam masa 24 jam saja Korea Utara memberikan syarat baru untuk menamatkan program senjata nuklearnya. Maknanya negara komunis itu tidak pernah kompromi ke arah kestabilan dan kesejahteraan di rantau ini. Dunia akan terlupa bahawa AS tanpa kompromi mahu menyerang Iran yang didakwa membangunkan senjata nuklear, sebaliknya mahu berbincang dulu dengan Korea Utara yang ternyata mempunyai senjata nuklear. Apa maknanya semua ini?