Imej Islam pada mata Barat

Oleh: MUHAMMAD ALIAS
Sumber: Utusan Malaysia 26 Oktober 2006


SEBAHAGIAN besar daripada tujuh juta umat Islam di Amerika Syarikat (AS) berhari raya hari ini. Dikatakan sebahagian besar adalah kerana ada antara umat Islam yang beraya pada hari lain.

Penentuan hari mula berpuasa dan Hari Raya masih menjadi isu yang merenggangkan umat Islam. Kecewa sekali isu ini ada kaitan dengan pengaruh dan fahaman politik.

Syiah umpamanya enggan memulakan puasa bersama-sama dengan Sunni dan begitulah sebaliknya meskipun mereka mendiami negara yang sama seperti di Iraq.

Di AS, Hari Raya belum diisytiharkan cuti umum meskipun begitu kakitangan pejabat dan pelajar boleh mengambil cuti. Namun begitu, ribuan umat Islam bersembahyang raya di masjid-masjid dan dewan-dewan yang disewa dengan kadar mencecah ribuan dolar (seperti Los Angeles Convention Center).

Kunjung-mengunjung dan rumah terbuka bukanlah menjadi satu budaya di kalangan umat Islam di sini malah ada antara umat Islam yang terus ke pejabat atau memulakan perniagaan selepas sembahyang raya.

Bagaimanapun, budaya rumah terbuka diamalkan oleh orang Melayu. Di California terdapat orang Melayu yang tinggal di Los Angeles, San Francisco dan San Diego. Jumlahnya tidaklah begitu ramai. Namun tali silatur rahim adalah amat kukuh. Biasanya rumah terbuka diadakan di hujung minggu.

Jelaslah sambutan Hari Raya di AS amat ringkas. Tidak ada bunga api, mercun, meriam buluh atau panjut seperti mana di kampung-kampung di Malaysia. Teringat masa kecil-kecil tahun 50-an dulu, malam raya merupakan saat paling gembira.

Meriam buluh bergema di setiap pelosok kampung. Tapi tidak ramai yang putus tangan atau buta mata. Mungkin teknologi meriam buluh zaman itu lebih canggih.

Tidak dinafikan umat Islam di negara-negara Barat masih banyak dipengaruhi oleh negara asal masing-masing. Umpamanya Arab Mesir tidak begitu boleh bertentang mata dengan Arab Saudi. Begitu juga dengan umat Islam asal benua kecil India. Meskipun, masalah ini tidak begitu serius tetapi sedikit sebanyak menjejaskan imej Islam.

Seperkara yang menjadi rungutan di negara-negara Barat termasuk AS ialah kurangnya interaksi antara orang Islam dengan bukan Islam.

Ada antara orang Islam yang enggan mengambil bahagian dalam aktiviti yang melibatkan bukan Islam. Malah umat Islam daripada kaum pendatang juga tidak begitu rapat dengan umat Islam keturunan Afro Amerika.

Beberapa bulan lalu saya menghadiri majlis diskusi belia Islam di Los Angeles. Sebahagian besar yang hadir ialah para pelajar dan ibu bapa dari benua kecil India. Majlis tersebut yang sepatutnya membincangkan isu-isu penting tentang masa depan belia Islam di AS menjadi begitu tawar dan anti klimaks. Ada antara ibu bapa yang bertelagah mengenai isu acara prom, iaitu majlis sosial. Begitu juga dengan isu pakaian ke sekolah.

Pertelingkahan mengenai isu-isu ini menyebabkan beberapa orang pelajar dan ibu bapa kalangan Afro Amerika membantah. Majlis seumpama itu sepatutnya digunakan untuk membahaskan isu-isu yang melibatkan seluruh umat Islam AS dan bukan soal pakaian etnik dan isu-isu yang dianggap remeh-temeh.

Soal menghadiri prom dan majlis makan malam tamat pengajian sekolah tinggi adalah sukarela. Sekolah tidak memaksa mana-mana pelajar untuk menghadiri majlis tersebut. Malahan anak perempuan saya pernah menghadiri majlis prom ini tetapi tidak ada apa-apa yang tidak diingini berlaku.

Sikap seumpama ini ada kaitan dengan kontroversi pemakaian purdah di United Kingdom baru-baru ini. Isu ini sangat sensitif hingga mendapat kritikan beberapa pihak. Ada yang mendakwa tindakan pihak berkuasa di negara itu sebagai anti-Islam.

Ketika bertugas dulu pegawai-pegawai atasan sering menegur pegawai-pegawai bawahan yang enggan melihat mukanya ketika bercakap. Perbuatan melihat ke arah lain ketika bercakap dianggap kurang sopan.

Malahan ibu bapa juga sering memarahi anak-anaknya yang berkelakuan begitu. Ini isu universal. Ia merentasi budaya dan kaum etnik.

Teringat masa di Universiti Malaya tahun 70-an dulu. Pihak universiti enggan mengambil gambar untuk kad pelajar sekiranya pelajar wanita enggan menanggalkan purdah. Kad pelajar adalah penting dan melibatkan keselamatan. Sekiranya muka tuan punya kad tidak boleh dilihat sudah tentu ciri-ciri keselamatannya tidak boleh dijamin.

Umpamanya bagaimana pihak universiti dapat memastikan bahawa tuan punya kad tersebut yang benar-benar memasuki kawasan kampus, menghadiri kuliah dan mengambil peperiksaan.

Khabarnya ada antara pelajar terlibat yang membuka purdah, sementara ada pula yang enggan dan sanggup dibuang universiti.

Kalau di Malaysia sendiri kita tidak selesai bercakap dengan orang yang kita tidak boleh nampak muka bagaimana pula di Barat. Saya rasa eloklah kita fikirkan persoalan ini secara menyeluruh sebelum melempar tuduhan yang melibatkan agama.

Sebenarnya kumpulan seumpama ini mempunyai peluang-peluang tersendiri. Sekiranya perkhidmatan awam memerlukan seseorang pekerjanya memakai pakaian yang tidak menutup muka mereka boleh memohon kerja di tempat yang menerima orang berpakaian seumpama itu.

Misalnya sekolah-sekolah swasta yang tidak melibatkan bantuan kewangan kerajaan.

Anak perempuan seorang kawan saya berkelulusan doktor perubatan dan memakai tudung mengambil keputusan bertugas dengan sebuah hospital swasta Islam. Beliau lebih selesa berbuat demikian, meskipun tidak ada peraturan melarang memakai tudung di negara ini.

Sebenarnya setiap individu mempunyai pilihan tanpa membuat dakwaan dan mengkompromi pegangannya.

Keengganan umat Islam berinteraksi dengan masyarakat tempatan tambah mengaburkan pemahaman terhadap Islam. Orang bukan Islam hanya mampu memandang dari jauh tanpa memahami apa yang dilakukan oleh umat Islam.

Mereka tidak faham kenapa wanita islam menutup muka dan memakai pakaian labuh meskipun di tengah-tengah panas terik. Lantaran itu mereka membuat kesimpulan bahawa wujudnya diskriminasi terhadap wanita dalam Islam.

Andaian seumpama ini tidak akan wujud sekiranya umat Islam sanggup berinteraksi dengan yang bukan Islam.

Sifat-sifat negatif di kalangan umat Islam menyebabkan kumpulan bukan Islam mengesyaki dan menjauhkan diri dari orang Islam. Perkara seumpama ini sepatutnya tidak berlaku. Dasar keterbukaan negara-negara Barat merupakan tanah yang cukup subur untuk Islam berkembang.

Di AS umpamanya penduduk Islam meningkat lebih tujuh juta dalam masa kurang 40 tahun. Islam dikatakan agama paling cepat berkembang di negara ini.

Selang beberapa bulan selepas 11 September 2001 saya pernah bersembahyang Jumaat di masjid orang Islam Thai di luar Los Angeles. Imam keturunan Mesir dalam khutbahnya mengingatkan para jemaah supaya bertanya diri sendiri kenapa mereka ditakdirkan berhijrah ke AS.

Menurut beliau apa yang berlaku adalah dengan kehendak Allah. Allah mahukan umat Islam mengembangkan agamanya di bumi yang sebelum 40 tahun lalu tidak ramai yang pernah mendengar perkataan Islam.

Pastinya umat Islam Amerika mempunyai tanggungjawab yang berat. Ia pasti dapat dilaksanakan melalui pengorbanan dan penampilan imej yang baik. Paling penting ialah kesederhanaan dan menghormati kepercayaan agama lain.