Oleh: Zin Mahmud (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 31 Mac 2007
Hari ini umat Islam di seluruh dunia menyambut Maulidur Rasul dan sewajarnya kita berhenti sejenak dalam kesibukan hidup abad ke-21 ini untuk memperingati Rasulullah s.a.w., keperibadian dan ajarannya.
Perkara ini penting kerana kehidupan abad ke-21 khususnya di kalangan umat Islam di Malaysia dipenuhi dengan pelbagai tarikan kepada minda hingga melalaikan seseorang terhadap hakikat kewujudan mereka di muka bumi ini.
Dua unsur utama yang paling kuat menjadi tarikan abad ke-21 ini ialah budaya hiburan dan kebendaan. Budaya hiburan yang ditandai oleh media elektronik dengan kegilaan terhadap program televisyen realiti mendominasi masyarakat Islam di negara ini. Untuk menyokong budaya itu pula ia memerlukan dokongan nilai-nilai kebendaan yang antara ikon-ikonnya ialah televisyen, telefon bimbit, sistem pesanan ringkas (sms), talian prabayar, kad kredit dan segala apa yang didorong oleh industri pengiklanan.
Dalam suasana budaya hiburan dan kebendaan yang memukau ini, maka sewajarnya hari-hari kebesaran Islam yang utama seperti Awal Muharam, Maulidur Rasul, bulan Ramadan, Hari Raya Aidilfitri dan Aidil-adha menjadi tanda-tanda peringatan bagi umat Islam tentang siapakah mereka.
Maka Maulidur Rasul ini menjadi istimewa kerana peringatan ini adalah kepada seorang manusia unggul untuk dijadikan contoh abadi bagi umat Islam. Sewajarnya hari ini sekurang-kurangnya kita memikirkan sejenak mengenai keperibadian Rasulullah s.a.w.
Secara tradisinya umat Islam di negara ini akan mengadakan majlis-majlis berzanji bagi memuji-muji Baginda dan mengadakan majlis-majlis syarahan untuk mendengar riwayat kehidupannya. Tetapi dalam zaman maklumat dan sudah lebih banyak orang terpelajar di kalangan umat Islam hari ini, sewajarnya kita tidak lagi hanya sekadar mendengar syarahan ataupun berzanji.
Apa yang perlu dilakukan pada satu hari ini ialah berusaha untuk berfikir mengenai Rasulullah s.a.w., kalaupun tidak dapat mengadakan majlis-majlis perbincangan mengenai Baginda, sekurangnya kita membaca buku-buku mengenai Rasulullah s.a.w.
Kalau zaman-zaman dahulu mungkin kita hanya membaca sirah yang serupa setiap tahun, tapi kali ini, ada baiknya kita membaca kajian-kajian segar yang lebih mencabar minda mengenai Rasulullah s.a.w. yang ditulis oleh ulama dan ahli-ahli akademik. Kalau tidak pun, layarilah internet sepanjang hari ini untuk melihat apa yang orang tulis mengenai Rasulullah s.a.w.
Maka dalam internet, juga daripada buku-buku yang pernah diterbitkan, manusia ini boleh dibahagi kepada tiga. Di satu pihak ialah golongan yang mencintai Rasulullah s.a.w., moga-moga kita adalah sebahagian daripadanya.
Kedua, golongan yang membenci Rasulullah s.a.w. Golongan ini banyak terdapat di Eropah dan Amerika yang menulis, melukis kartun dan bercakap bukan saja memfitnah Nabi tetapi juga menghina Baginda. Antara mereka adalah bekas orang Islam sendiri. Berdoalah agar kita tidak tergolong dalam kumpulan ini. Golongan ketiga ialah mereka yang tidak peduli terhadap Rasulullah s.a.w., sama ada kerana kejahilan atau, saja tidak berminat.
Bagaimanakah kita hendak mencintai Rasulullah s.a.w. kalau kita tidak berusaha mengenal Baginda. Tidak semestinya oleh kerana kita beragama Islam, secara automatik kita akan mengenal dan menyayangi Rasulullah s.a.w.
Sudah tentu ia memerlukan usaha dan perhatian. Dengan pengetahuan, barulah kita dapat menangkis segala tohmahan yang dilemparkan oleh golongan yang membenci Nabi.
Dalam banyak-banyak buku, ada sebuah buku kecil dan tipis yang menarik mengenai Rasulullah s.a.w. Ia berupa novelet. Tajuknya ialah Bilik-Bilik Muhammad oleh A.R. Baswedan, seorang pejuang kemerdekaan Indonesia terbitan sekitar tahun 1940-an. Buku ini ditulis dengan mengambil hadis-hadis sebagai landasannya.
Walaupun buku ini ditulis pada awal abad ke-20 ketika dunia Islam sedang berjuang menuntut kemerdekaan daripada penjajah, ia membawa dua lapis mesej. Pertama, ia berlandaskan pada hadis yang dirawikan secara turun-temurun sejak zaman Rasulullah s.a.w. Dan nilai yang dibawa terus relevan walaupun dalam abad ke-21 ini.
Hadis-hadis yang dijadikan sandaran adalah banyak diketahui umum, tetapi bagaimana seseorang mengolahkannya balik untuk dijadikan kisah pengajaran menjadi kelebihan penulis ini.
Dengan cara yang baik, buku ini berjaya memaparkan kemanusiaan Rasulullah s.a.w.
Cara bagaimana Baginda menguruskan keluarganya dan dari situ terpancar sifat mulianya yang wajar menjadi ikutan. Kesabaran, keadilan dan persaudaraan yang ditunjukkan dalam hubungannya sesama manusia.
Kulit buku bagi terbitan tahun 1980-an memaparkan gambaran pelukis tentang bagaimana bentuk rumah Rasulullah s.a.w. yang bersebelahan dengan masjid.
Di sinilah ciri utama kehidupan Rasulullah s.a.w., iaitu kesederhanaan Baginda. Bilik-biliknya yang ada hanya untuk memenuhi keperluan hidupnya.
Walaupun kehidupan zaman Baginda jauh berbeza daripada masa Khalifah Umaiyah dan Khalifah Abasiah yang memiliki istana gilang-gemilang apatah lagi dengan bangunan-bangunan besar dimiliki umat Islam hari ini, tetapi ciri kesederhanaan wajar dicontohi oleh umat Islam abad ke-21.
Bukanlah wajar umat Islam perlu hidup susah ala kadar dan menyisihkan harta benda mereka. Harta benda perlu sebagai modal untuk kekuatan ilmu dan politik. Umat Islam pun bila dibandingkan dengan orang bukan Islam masih jauh ketinggalan dengan kemiskinan dan kejahilan.
Tetapi ajaran Rasulullah s.a.w. yang ditunjukkan dengan cara hidupnya adalah bukan bermewah-mewah. Di kalangan sahabat, terdapat banyak Muslimin berharta seperti Sayidina Usman, Tetapi itu tidak bermakna Rasulullah s.a.w. mahu umatnya bermewah-mewah, angkuh dengan kekayaan dan berbudaya kebendaan.