Oleh: ZIN MAHMUD (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 9 Jun 2007
SEMEMANGNYA dapat difahami kebimbangan yang dirasakan oleh peniaga kedai runcit di negara ini apabila lebih banyak pasar raya gergasi atau hipermarket dibenarkan masuk.
Dapat dibayangkan betapa kehadiran pasar raya besar Amerika Syarikat (AS), Wal-Mart dan Metro dari Jerman akan memeriahkan lagi dunia perniagaan hipermarket yang kini sudah menyaksikan kejayaan Tesco dari Britain dan Carrefour dari Perancis di negara ini.
Ditambah pula dengan pasar raya besar berasal tempatan seperti Giant dan Mydin pastinya dapat memberi saingan besar kepada peniaga-peniaga runcit tradisi.
Atas nama pasaran bebas dan persaingan perniagaan, kehadiran mereka tidak boleh dihalang. Pada jangka panjang dan luas, ia perlu dilihat sebagai menguntungkan negara. Itu dari sudut ekonomi.
Tetapi bagi peniaga-peniaga kedai runcit, mereka terancam kalah dalam persaingan. Akhirnya mungkinkah kedai-kedai runcit akan ditutup dan peniaga-peniaga terpaksa bukan saja gulung tikar tetapi juga bekerja makan gaji di pasar-pasar raya itu sendiri?
Bagaimanapun, pasar-pasar raya itu pastinya hanya mahu mengambil pekerja-pekerja yang terdiri daripada orang muda di mana mereka tidak perlu membayar gaji yang tinggi tetapi memperoleh tenaga segar.
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi sudah pun menyatakan bahawa mereka akan melindungi kepentingan peniaga-peniaga kedai runcit, khususnya daripada kalangan bumiputera.
Tetapi Persekutuan Persatuan-Persatuan Saudagar Barangan Runcit Malaysia telah melahirkan kebimbangan mereka tidak akan dapat terus hidup dalam menghadapi persaingan daripada syarikat negara-negara maju itu.
Bagi para pengguna, apa yang mereka harapkan ialah kehadiran pasar raya besar asing itu akan mendatangkan keuntungan melalui harga rendah dan perkhidmatan lebih baik.
Sememangnya sukar untuk bersaing dengan pasar raya besar berjenama antarabangsa. Mereka mempunyai kepakaran untuk memancing pengguna. Bukan saja mereka mampu mengalahkan kedai-kedai runcit tradisional, tetapi pengguna juga mampu mereka pukau.
Kaedah-kaedah seperti pengiklanan, penjenamaan dan pemasaran berasaskan ilmu psikologi dan sosiologi sudah mampu membawa mereka kepada kemenangan.
Apatah lagi pengurusan mereka berasaskan daripada sokongan dana yang juga kukuh dan bersifat internasional.
Fenomena hipermarket ini adalah sebahagian daripada dunia perniagaan global. Ia tersebar ke seluruh dunia bersama dengan konsep-konsep perniagaan yang diasaskan di AS seperti kompleks-kompleks perniagaan di mana di dalamnya terdiri daripada rantaian kedai berjenama.
Akhirnya hendak tidak hendak, barangan yang diedarkan ke seluruh dunia adalah melalui kompleks membeli-belah, rantaian jenama dan hipermarket. Masa depan tidak ada tempat bagi kedai-kedai kecil dan bebas.
Sememangnya kedai-kedai di luar kompleks membeli-belah mempunyai keistimewaan tersendiri. Masih banyak orang yang tidak suka membeli-belah di pasar raya besar kerana kerenah untuk meletak kereta, mencari barang dan beratur membayar.
Adalah lebih mudah dan ringkas untuk masuk ke kedai runcit, tanya saja barangan yang dikehendaki dan terus membayarnya tanpa beratur panjang.
Tetapi generasi itu sedang berlalu. Malah sudah banyak keluarga yang melihat kompleks membeli-belah sebagai tempat mereka menghabiskan masa pada hujung minggu. Setelah bekerja lima hari, maka salah satu hari hujung minggu dihabiskan di kompleks membeli-belah.
Bukan saja untuk mendapatkan barangan keperluan, tetapi untuk berekreasi dan hiburan. Umpamanya menonton filem atau saja bersantai.
Malah acara-acara orang ramai sudah banyak diadakan di kompleks membeli-belah. Ruang tengah kompleks membeli-belah itu sedang menggantikan balai raya atau dewan orang ramai di tempat masing-masing.
Pun begitu, masih banyak orang yang mahu membeli barangan keperluan di kedai-kedai di luar kompleks membeli-belah. Kehendak mereka ini pula dipenuhi oleh rangkaian francais kedai, termasuk stesen-stesen minyak yang sudah muncul sebagai pusat membeli-belah kecil.
Maka apa yang akan menguasai ruang sebegini adalah syarikat rangkaian francais peruncitan bersifat global dan bukannya kedai-kedai runcit tradisional.
Sementara itu nilai hartanah rumah kedai terus meningkat dan akhirnya tidak mampu untuk dimiliki atau disewa oleh pemilik kedai runcit yang kecil.
Mereka yang mampu hanya daripada kalangan syarikat-syarikat besar berbentuk francais global.
Dengan memiliki jenama yang kuat mereka akan masuk ke pelosok seluruh dunia. Dengan dana di peringkat global, pertimbangan perniagaan tidak lagi berasaskan nasional apatah lagi lokal.
Semuanya global, dan itulah juga yang perlu dilakukan oleh mereka yang mahu memasuki bidang ini.
Tetapi buat masa ini, pemilik kedai runcit tidak perlu bimbang. Mereka masih mampu bertahan dengan menyesuaikan kedai mereka menurut peredaran zaman. Cumanya mereka perlu sedar bahawa zaman bergantung kepada perlindungan kerajaan sedang berlalu.