Dilema perubahan di Pakistan

Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 16 September 2007


KHAMIS lalu, Presiden Pakistan, Pervez Musharraf mengarahkan pembebasan 1,000 penyokong Nawaz Sharif yang ditahan sejak beberapa hari lalu ‘‘bagi mencerminkan semangat bulan Ramadan.’’

Nawaz, bekas Perdana Menteri yang pulang dari London Isnin lalu ditahan di Lapangan Terbang Islamabad dan diusir ke Arab Saudi. Di luar lapangan terbang itu, kira-kira 700 penyokong beliau merusuh.

Pervez bertindak demikian atas hujah bahawa Nawaz masih terikat dengan perjanjian pembuangan negerinya selama 10 tahun bermula 2000 sebagai ganti pembebasan daripada hukuman seumur hidup kerana rasuah. Bagaimanapun, bagi Nawaz segala tindakan ke atasnya adalah bersifat politik dan ia mahu kembali ke Pakistan untuk menyertai pilihan raya yang bakal diadakan.

Sejak ketegangan itu, kerajaan Pervez menahan kira-kira 4,000 penyokong Liga Muslim Pakistan – Nawaz (PML-N), parti yang mendukung Nawaz. Hujah Pervez adalah atas sebab keselamatan. Justeru PML-N akan bertembung dengan Liga Muslim Pakistan-Quaid-e=Azzam (PML-Q) yang menyokong dasar-dasar Pervez.

PML-N dan PML-Q mengambil tradisi daripada satu parti bersejarah bernama Liga Muslim. Tetapi Liga Muslim Pakistan, PML tidak berpecah kepada dua, malah ia mempunyai lima kelompok termasuk kumpulan Junejo (PML-J), kumpulan Fungsional (PML-F) dan kumpulan Zia (PML-Z).

PML-Z yang merupakan kelompok penyokong bekas Presiden Pakistan, Allahyarham Ziaul Haq dipimpin oleh anaknya. Ijazul Haq telah bergabung ke dalam PML-Q.

Tetapi Liga Muslim Pakistan keseluruhan adalah merupakan salah satu daripada tiga parti nasional yang lahir daripada pertubuhan asal bernama Liga Muslim Seluruh India (All India Muslim League). Dua parti nasional yang lain ialah Liga Muslim India dan Liga Muslim Bangladesh.

Liga Muslim yang mula-mula ditubuhkan di Dacca, India British pada tahun 30 Disember 1906. Ketika itu India di bawah jajahan Britain dan Dacca adalah ibu negeri Benggala Timur. Ibu kota wilayah India British atau turut dikenali sebagai British Raj terletak di Calcutta, di Benggala Barat (West Bangal). Setahun sebelum itu, iaitu tahun 1905 penjajah Britain memisahkan Benggala kepada dua, iaitu Benggala Barat yang majoriti penduduknya Hindu dan Benggala Timur yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Kini Calcutta dikenali sebagai Kolkotta, wilayah Benggala Barat, India. Sementara Dacca adalah Dhaka, kini ibu negara Bangladesh, yang pernah merupakan wilayah Pakistan Timur.

Penubuhan Liga Muslim itu dibuat dalam Muktamar Tahunan Pendidikan Islam Seluruh India sebagai sebuah parti politik. Pemimpin pertama yang dilantik sebagai presiden kehormat ialah Aga Khan III. Ibu pejabatnya yang pertama terletak di Lucknow. Perjuangannya ialah menuntut hak politik orang Islam di India.

Apa yang menjadi pendorong kepada penubuhan Liga Muslim ini ialah peristiwa yang berlaku enam tahun sebelum itu. Pada tahun 1900 pihak pentadbir Britain di wilayah terbesar di India, United Provinces, kini dikenali sebagai Uttar Pradesh menerima tuntutan pihak Hindu supaya bahasa Hindi bertulisan Devanagari menjadi bahasa rasmi. Sedangkan sebelum itu, sejak pemerintahan kerajaan Moghul, bahasa rasmi India ialah Urdu bertulisan jawi.

Hindi dan Urdu tidak banyak berbeza dan penuturnya boleh faham-memahami di antara satu sama lain, dengan nahu yang tidak banyak berbeza. Cuma istilah dan perkataan-perkataan mempunyai kelainan. Kedua-duanya berasal daripada bahasa Sanskrit tetapi Urdu banyak dipengaruhi oleh bahasa Parsi, yang dibawa oleh kerajaan Moghul.

Kini Urdu adalah bahasa kebangsaan Pakistan sementara Hindi, bahasa kebangsaan India. Bahasa juga menjadi isu ketika Pakistan Timur berbalah dengan Pakistan Barat. Islamabad mahu memaksa penggunaan bahasa Urdu sebagai bahasa kebangsaan, suatu isu yang ditentang oleh penduduk Pakistan Timur yang menggunakan bahasa Bangla. Ini kerana Bangla adalah bahasa besar ditutur oleh kedua-dua wilayah Benggala Barat dan Timur. Akhirnya isu ini juga menyumbang kepada kemerdekaan Bangladesh daripada Pakistan.

Walaupun negara berpecah kerana bahasa tetapi hakikatnya ketiga-tiga negara itu: India, Pakistan dan Bangladesh menggunakan bahasa Inggeris seolah-olah sebagai bahasa sendiri.

Sejarah mungkin berbeza jika Hindi tidak diisytiharkan sebagai bahasa rasmi India dan juga Urdu sebagai bahasa tunggal Pakistan. Mungkin ketiga-tiga wilayah kekal dalam sebuah negara.

Jadi Liga Muslim menjadi parti penggerak kepada penubuhan Pakistan yang diisytiharkan pada tahun 1947 dengan mengorbankan beribu-ribu rakyat yang terperangkap dengan idealisme politik pemuka-pemukanya. Maka Liga Muslim menjadi kerajaan pertama di Pakistan.

Sementara di India, Liga Muslim menjadi parti yang kecil dan hanya mampu menjadi salah sebuah komponen dalam kerajaan campuran di negeri Kerala bersama dengan parti komunis. Sementara di Pakistan Timur dan kemudian, Bangladesh, tempat kelahirannya, Liga Muslim dipandang sebagai parti pengkhianat negara kerana menyokong Islamabad sewaktu peperangan kemerdekaan wilayah itu daripada Pakistan pada tahun 1973. Ia dihidupkan kembali pada tahun 1976 tetapi kekal menjadi parti kecil.

Bagaimanapun pemecahan India bukanlah menjadi cita-cita asal Liga Muslim, satu-satu parti orang Islam dalam pemerintahan Britain. Malah dalam perlembagaan asalnya, bukan saja ia mahu orang Islam hidup aman damai di dalam India yang bersatu tetapi juga setia kepada kerajaan penjajah Britain, yang dilihat sebagai pelindung kepada semua kaum di India, termasuk umat Islam.

Pihak penjajah Britain yang mula membawa India kepada bibit perpecahan dengan menerima tuntutan golongan nasionalis Hindu. Itulah ironinya. Britain yang menjatuhkan kerajaan Moghul tetapi setelah berada dalam penjajahan, orang Islam lebih selesa dalam naungan Britain dan enggan menyokong kemerdekaan kerana khuatir ditindas oleh majoriti Hindu.

Sebab itu, banyak orang Islam menerima nasihat tokoh mereka Syed Ahmad Khan untuk tidak memperjuangkan kemerdekaan atau pemisahan. Hanya segelintir seperti peguam Muhammad Ali Jinnah yang bersemangat nasionalis dan memperjuangkan kemerdekaan India.

Tetapi pada tahun 1913, penjajah India memansuhkan pemecahan dua Benggala ini, menyebabkan ia dikuasai majoriti Hindu. Ini mendorong kepada perubahan platfom Liga Muslim. Pertubuhan itu turut menyertai usaha perjuangan kemerdekaan India dan Ali Jinnah menjadi ahli dan dipilih sebagai presiden pada tahun 1916.

Pada mulanya Jinnah turut memperjuangkan kemerdekaan India yang bersatu, Muslim-Hindu. Tetapi beliau kemudian tidak bersetuju dengan cara Mahatma Gandhi yang mengambil gaya hidup ekstrem Hindu dan mengambil sikap konfrontasi kepada Britain. Beliau juga tidak menyenangi ideologi Jawaharlal Nehru yang bersifat sosialisme sekular. Keadaan ini membawa kepada pemisahan Jinnah daripada parti Kongres pada tahun 1920. Beliau kecewa dengan politik dan jawatannya disandang oleh Allama Iqbal yang terus memperjuangkan konsep negara Pakistan. Bagaimanapun, pada tahun 1940, Jinnah kembali menjadi presiden Liga Muslim dan akhirnya merintis kepada penubuhan negara Pakistan pada tahun 1947. Beliau dikenali sebagai Quaid-Azam atau Pemimpin Besar.

Ketika mencapai kemerdekaan, Jinnah menjadi Gabenor Jeneral dan seorang lagi pemimpin Liga Muslim, Liaquat Ali Khan menjadi perdana menteri. Liga Muslim dipecahkan dua iaitu untuk Pakistan dan India.

Jinnah meninggal dunia pada tahun 1948 dan Liaquat dibunuh pada 1951. Dengan ketiadaan pemimpin, Liga Muslim lemah dan kalah pilihan raya tahun 1955. Dalam kacau-bilau ini Ayub Khan merampas kuasa pada tahun 1958 dan semua parti politik termasuk Liga Muslim diharamkan. Maka bermulalah Pakistan diperintah secara bersilih ganti antara tentera dan parti politik.

Tetapi negara pertama di dunia yang menamakan dirinya sebagai Republik Islam menjadi medan percaturan kuasa besar khususnya Amerika Syarikat (AS). Walaupun Britain meninggalkan bumi India dan Pakistan tetapi AS bertapakkan pengaruhnya ke atas sesiapa saja di Islamabad.

Preisden Ayub Khan menubuhkan parti Liga Muslim Konvensyen sementara pihak pembangkang menubuhkan Liga Muslim Majlis. Rejim Ayub Khan digantikan dengan rejim Yahya Khan. Setelah beliau ditumbangkan pada tahun 1971 dan pilihan raya bebas pertama diadakan, kedua-dua liga itu kalah pilihan raya.

Parti Rakyat Pakistan (PPP) pimpinan Zulfikar Ali Bhutto menang di Pakistan Barat sementara Liga Awami (Rakyat) pimpinan Mujibur Rahman menang di Pakistan Timur. Mujibur, seorang nasionalis Bangladesh membawa negaranya kepada kemerdekaan. Benih-benih perpecahan politik di Bangladesh ini terus menghantui politik negara itu sehingga hari ini.

Ketika itu Perang Dingin berada di puncaknya. India menjadi sekutu Kesatuan Soviet. Rejim-rejim tentera Pakistan pula sudah membawa negara itu menjadi sekutu AS. Tetapi Presiden Bhutto berusaha membawa Pakistan kepada dasar yang lebih bebas dengan mengadakan hubungan lebih kuat dengan China. Ketika Beijing dan Moscow sudah bermusuh dengan India memihak kepada Soviet, maka mereka cenderung untuk bersama dengan Islamabad.

AS tidak berpuas hati dengan peranan Bhutto dan keadaan ini membawa kepada rampasan kuasa oleh Jeneral Ziaul Haq. Beliau membawa Pakistan dalam jalan Islamisasi, berbeza dengan sosialisme yang diperjuangkan oleh Bhutto. Washington berasa tertekan kerana Iran yang merupakan sekutunya telah terlepas ke pihak yang menentangnya ekoran Revolusi Islam pada tahun 1979. Justeru walaupun Zia menjalankan program Islamisasi tetapi ia merupakan sekutu AS yang penting.

Lebih-lebih lagi ketika Soviet memasuki Afghanistan dan bagi AS, Zia mempunyai peranan besar bagi menyelamatkan dunia daripada peluasan kuasa komunis. Zia aktif membantu Mujahidin.

Kematian Zia pada 1988 membawa kepada kemenangan PPP pimpinan Benazir Bhutto dalam pilihan raya bebas. Tentunya mendapat restu AS yang mahu melihat demokrasi berjalan di Pakistan, pada waktu sama melindungi kepentingan mereka.

Pada tahun itu juga, Liga Muslim baru ditubuhkan di bawah pimpinan Nawaz Sharif yang kini dikenali sebagai PML-N. Beliau menjadi perdana menteri dari tahun 1990 hingga 1993 dan 1977 hingga 1999 bersilih dengan Benazir.

Walaupun bertukar kerajaan, polisi tentera Pakistan berhubung Afghanistan dan Kashmir adalah konsisten. Tentera Pakistan dengan restu AS membantu Mujahidin dan kemudiannya Taliban bukan dari segi pembinaan negara atau pembangunan, tetapi kepada bekalan senjata.

Tetapi kerajaan awam Islamabad dikenali dengan penuh rasuah. Maka apabila Pervez merampas kuasa dari Nawaz pada tahun 1999 sebagai tindakan pintas sebelum dipecat Perdana Menteri itu, beliau mudah mendapat sokongan daripada rakyat. Ini diperolehnya melalui parti-parti politik yang menyokong beliau khususnya PML-Q.

Setelah lapan tahun, kini masanya tiba untuk beliau diganti dnegan pihak yang lain. Ketika kerajaan Kabul pimpinan Hamid Karzai sedang berunding dengan Taliban, maka AS memerlukan seorang pemimpin segar di Islamabad, pusat pemerintahan Republik Islam Pakistan.