Impian Malaysia jadi kenyataan

Oleh: Zin Mahmud
Sumber: Mingguan Malaysia 14 Oktober 2007


Hari Raya Aidilfitri tahun ini amat bermakna bagi umat Islam di Malaysia kerana angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor sedang berada di angkasa. Khamis lalu ketika umat Islam di Malaysia sedang sibuk bersiap sedia untuk meredah kesesakan lalu lintas di lebuh raya, angkasawan negara pertama itu sedang menuju ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Makna bagi pelayaran Dr. Sheikh Muszaphar ialah bahawa orang Islam di Malaysia bukan sekadar mampu untuk menyambut Hari Raya bersuka ria tetapi turut serta dalam penerokaan angkasa lepas dengan penuh keilmuan. Maknanya angkasawan negara ini bukan sekadar penumpang tetapi adalah seorang saintis yang mempunyai pendidikan tinggi formal berwibawa.

Untuk sampai ke situ bukannya perkara yang boleh dianggap mudah. Ia memerlukan bukan saja seorang pelajar cemerlang tetapi sistem pendidikan serta komitmen kerajaan dan rakyat terhadap sains dan teknologi.

Cuba kenang balik Hari Raya Aidilfitri 40 tahun lalu, iaitu tahun 1967. Ketika itu, Amerika Syarikat (AS) sedang bersaing sengit dengan Kesatuan Soviet berlumba di angkasa bagi membuktikan keunggulan pencapaian mereka dalam sains dan teknologi, justeru mencerminkan keunggulan ideologi masing-masing.

Sepuluh tahun terdahulu, iaitu tahun 1957 ketika Tanah Melayu baru mencapai kemerdekaan, AS kalah kepada Soviet apabila Sputnik dilancarkan. Ini diikuti pula kejayaan Soviet melancarkan makhluk bernyawa pertama ke angkasa, anjing bernama Laika, diikuti dengan angkasawan pertama, Yuri Gagarin dan angkasawan wanita pertama, Valentino Tereshkova.

Ia merupakan empat tamparan kepada wibawa AS. Maka pada tahun 1960, Presiden John F. Kennedy mengisytiharkan perlawanan habis-habisan mengalahkan Soviet dalam penerokaan angkasa. Sasarannya ialah menempatkan manusia pertama menjejak ke bulan sebelum dekad 60-an berakhir.

Untuk itu kerajaan AS melancarkan program besar-besaran meningkatkan kesedaran mengenai sains dan teknologi di kalangan rakyatnya. Ini dijuruskan pula usaha menyemai minat kepada penerokaan angkasa lepas di kalangan orang ramai. Maka tidak hairanlah pada masa ini banyak buku mengenai sains, teknologi, angkasa lepas dan fiksyen sains diterbitkan. Begitu juga dengan filem-filem mengenai fiksyen sains dan penerokaan angkasa.

Tetapi lebih konkrit ialah penekanan terhadap pendidikan sains dan matematik di sekolah-sekolah AS untuk mendapatkan saintis baru bagi membantu perlumbaan angkasa AS. Justeru dekad 60-an bagi AS bukan saja melahirkan revolusi budaya dalam bentuk kebangkitan anak-anak muda tetapi juga perkembangan baru dalam minat terhadap sains dan teknologi.

Maka pada tahun 1967, AS sudah menghantar beberapa kapal angkasa untuk melakukan banyak ujian bagi persediaan pendaratan manusia ke bulan. Mereka sudah mengatasi Soviet. Kejayaan ini perlu dihebahkan kepada dunia untuk membuktikan keunggulan ideologi liberal, demokrasi dan kapitalisme.

Agensi propaganda AS di luar negara seperti Perkhidmatan Penerangan Amerika Syarikat (USIS) menerbit dan menyebarkan banyak risalah dan buku untuk menghebahkan keunggulan mereka itu. Sasaran pembacanya termasuklah di Asia Tenggara kerana di rantau ini fahaman liberal dan komunis sedang bertempur dengan AS yang terlibat dalam Perang Vietnam.

Penulis masih ingat antara buku-buku percuma yang disebarkan ialah mengenai kapal angkasa Mercury dan Gemini. Pastinya risalah dan buku ini sedikit sebanyak turut menanam minat anak-anak Malaysia terhadap penerokaan angkasa lepas.

Bagaimanapun, pada tahun 1967, pada Hari Raya Aidilfitri, permainan meriam buluh masih berleluasa di kalangan anak-anak Melayu. Itulah yang mereka pandai lakukan walaupun jelas berbahaya. Walaupun dilarang tetapi meriam buluh dengan menggunakan karbaid lebih popular. Semakin kuat bunyinya, semakin berprestij.

Masa itu belum ada lebuh raya yang berselirat di seluruh negara. Lebuh raya tunggal yang ada ialah Lebuh Raya Persekutuan menghubungi Kuala Lumpur dengan Klang. Kereta buatan Malaysia pun belum ada. Perantau pun masih belum ramai. Kereta Malaysia belum ada. Maka tidak lagi berlaku kesesakan jalan raya. Untuk balik kampung, naik kereta api dan bas berganti-ganti pun sudah memadai. Tetapi jambatan Muar dan Batu Pahat belum ada lagi, terpaksalah pengguna menggunakan feri untuk melintas.

Makna besar

Tetapi tahun 1969 membawa makna besar bukan saja bagi AS tetapi juga bagi seluruh dunia termasuk Malaysia. AS berjaya meletakkan angkasawannya, Neil Armstrong sebagai manusia pertama menjejak ke bulan.

Penulis masih ingat detik-detik bersejarah itu melalui lintas langsung yang disiarkan melalui Radio Malaysia. Suara Armstrong dipancarkan ke seluruh dunia, serentak menandakan kejayaan AS mengalahkan Soviet dalam persaingan ke angkasa.

Malaysia juga tumpang gembira. AS membawa balik batu-batu bulan dan dibahagikan-bahagikan sebahagiannya kepada negara-negara sekutunya termasuk Malaysia yang kini masih disimpan di Muzium Negara.

Kesan kejayaan Armstrong ini juga sampai di kalangan anak-anak Malaysia. Permainan berbentuk roket dan angkasawan juga popular. Minat terhadap sains dan penerokaan angkasa meningkat dengan mendadak. Ia menyemai suasana baru dalam minda anak-anak kecil di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Pada tahun itu, berlaku juga peristiwa 13 Mei yang rentetannya merobah pucuk pimpinan dan corak pemerintahan negara. Allahyarham Tun Razak Huzzein menjadi Perdana Menteri menggantikan Tunku Abdul Rahman.

Dalam pemerintahannya, Rukun Negara turut diperkenalkan yang mana antara azam yang dinyatakan sebagai hasrat rakyat Malaysia ialah untuk mewujudkan masyarakat yang berlandaskan sains dan teknologi.

Dalam salah satu ucapan beliau pula, Tun Razak mengajak rakyat untuk bekerja keras kerana dengannya kesemua akan mampu mencapai kemajuan, malah sampai ‘‘ke angkasa lepas’’ sekalipun. Petikan ucapan beliau ini disiarkan semula oleh RTM dalam detik-detik menjelang pemergian angkasawan Malaysia pertama Rabu lalu.

Maka tidak hairanlah bagaimana Dasar Pelajaran Kebangsaan yang diperkenalkan pada masa pentadbiran Allahyarham Tun Razak menekankan soal pendidikan sains dan teknikal. Bahasa Malaysia digunakan untuk mata pelajaran Sains, Matematik dan Teknikal bagi memudahkan pemahaman anak-anak Malaysia menguasainya. Walaupun tidak cukup guru sains dan matematik, kerajaan mengambil pengajar-pengajar luar negara.

Antaranya ialah sukarelawan-sukarelawan Peace Corps dari AS dan guru-gurui sains dari Britain. Untuk pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu, dipanggil masuk guru-guru dari Indoensia. Maka bermulalah tradisi sains, matematik dan teknikal dalam bahasa Melayu.

Sekolah-sekolah menengah baru lengkap dengan makmal dibina di seluruh negara. Kelas-kelas dalam aliran sains ditambah di seluruh negara dengan pelajar-pelajar bumiputera yang walaupun pencapaian sains dan matematiknya pada peringkat minimum diasak masuk ke dalam aliran sains. Kelas-kelas tingkatan enam sains juga ditubuhkan. Konsep Sekolah Menengah Sains dan Sekolah Menangah Teknik diperkenalkan. Begitu juga dengan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM). Pelajar-pelajar baik juga dihantar ke luar negara untuk mempelajari sains. Bila pulang, ada antaranya menjadi pensyarah-pensyarah sains di universiti-universiti baru negara: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Pertanian Malaysia (UPM). Maka muncullah saintis-saintis di negara ini.

Dari tahun 1970 hingga tahun 1980, di bawah pentadbiran Allahyarham Tun Razak dan penggantinya Allahyarham Tun Hussein Onn, memang berlaku satu revolusi sains di negara ini.

Maka apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri pada tahun 1982, Malaysia sudah mempunyai asas sains dan teknologi bagi meneruskan perjalanan negara ke tahap yang lebih baik. Komitmen Dr. Mahathir terhadap sains dan teknologi memang jelas. Melalui projek automatif negara, Malaysia bukan saja meluaskan penggunaan kereta dan kemahiran teknologi teknikal di kalangan anak-anak bangsa tetapi juga membawa kepada pembinaan lebuh raya yang berselirat.

Sememangnya pada zamannya, tertubuhnya agensi-agensi sains angkasa yang kini dikenali sebagai Agensi Angkasa Negara (NSA) tetapi Dr. Mahathir berusaha menyemaikan semangat penerokaan di kalangan rakyat. Beliau menggalakkan usaha-usaha seperti pelayaran mengelilingi dunia, mendaki Gunung Everest dan perjalanan ke Kutub Selatan. Semangat seperti inilah juga yang akhirnya membawa kepada Program Angkasawan Malaysia sebagai timbal balas pembelian jet Sukhoi SU-30 MKM dari Rusia pada 5 Ogos 2003.

Maka Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meneruskan semangat penerokaan dalam bidang sains angkasa dengan memastikan kejayaan program ini. Justeru, pencapaian program angkasawan ini mempunyai landasan yang luas dan lahir daripada komitmen negara ini dalam bidang sains dan teknologi.

Pencapaian

Sungguhpun begitu, ia pasti tidak terhenti setakat itu. Segala pencapaian dalam bidang sains, teknologi dan angkasa ini perlu diperdalam dan diperluaskan untuk lebih bermakna bagi menepati sasaran Wawasan 2020.

Sains dan teknologi bukan sekadar untuk mendapatkan keuntungan dalam dunia perniagaan, apatah lagi sekadar untuk berbangga diri. Tetapi sains dan teknologi juga harus menjadi budaya yang menyerap kepada minda rakyat Malaysia untuk bersikap rasional, saintifik dan analitikal. Perjalanan untuk ini masih jauh.

Pelajar-pelajar mempelajari sains masih di atas kepentingan peperiksaan, bukannya minat dan kagum terhadap bidang ini. Perkara inilah yang perlu diubah bagi menjadikan sains benar-benar bidang yang diminati secara tulen. Malah sains wajar dihayati sebagai cara hidup. Dalam hal ini sains wajar dimasyarakatkan dan bukan dibekukan dalam dinding-dinding menara gading sahaja.

Untuk memasyarakatkan sains pula, adalah penting tradisi menggunakan bahasa Melayu dalam mengungkapkan sains dan matematik bukan saja dipulihkan tetapi dikembangkan. Pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di sekolah tidak wajar menghalang penggunaan bahasa Malaysia untuk mengungkapkan persoalan sains di kalangan masyarakat.

Ini kerana sains, teknologi, termasuk penerokaan angkasa adalah penting bagi bangsa, negara dan manusia bukan saja semata-mata untuk peperiksaan atau perniagaan. Ia meliputi pemahaman alam semesta sebagai kepuasan manusia mendapatkan ilmu dan pengetahuan.

Justeru pada masa-masa akan datang, adalah diharapkan kekuatan saintifik negara bertambah bukan dari segi zahir semata-mata tetapi minda dan ilmu itu sendiri. Selepas angkasawan pertama, nantinya akan ada angkasawan kedua dan seterusnya.

Bukan itu saja, pada satu hari Malaysia juga biarlah mampu untuk membangunkan kapal angkasa sendiri, walaupun mungkin bekerjasama dengan negara-negara ASEAN yang lain.

Maka tidak mustahil, satu hari nanti akan ada manusia dari Malaysia turut menjejak kakinya ke atas bulan. Sesungguhnya angkasa termasuk bulan dan planet-planet adalah bebas untuk diterokai dan ia tidak sekali-kali hanya milik angkasawan AS.