Lirik, bahasa tepi longkang

Oleh: Ku Seman Ku Hussain
Sumber: Utusan Malaysia 27 April 2004


Kenapa karyawan muzik terlalu pantas melabelkan pengharaman dua atau tiga lagu daripada beribu lagu yang diluluskan untuk siaran radio dan TV sebagai menyekat kreativiti? Adakah label ini menunjukkan sesetengah karyawan muzik kita terlalu manja atau merasa besar kepala?

Lagu-lagu mereka yang mencemarkan bahasa hanya diharamkan di TV dan radio, tetapi tetap boleh dijual tanpa sebarang sekatan. Adakah kerana terlalu dimanja, mereka menganggap setiap karya sekalipun bertaraf longkang mesti disiarkan?

Sewajarnya lagu yang ada lirik buruk bukan saja diharamkan di TV atau radio malah untuk jualan. Ini kerana sudahlah mereka menjadi ejen yang menghina bahasa Melayu. Tetapi pada masa yang sama hendak menjadi jaguh perjuangan kebebasan berkarya. Mereka meminta pula kerajaan memberi garis panduan yang mana boleh dan tidak boleh.

Apabila mereka menjadi karyawan atau seniman, mereka mesti peka kepada hal-hal yang menjadi teras budaya. Bahasa adalah terasnya dan mereka tentu tidak akan melanggar dengan sesuka hati dan biadab. Berkarya tidak memerlukan garis panduan. Kalau tidak tahu sensitiviti seni dan budaya jangan menjadi seniman atau karyawan.

Mereka yang menulis lirik mesti faham apa itu yang dimaksudkan dengan lirik atau seni kata. Kata-kata yang dipilih adalah sedarjat dengan puisi, mesti ada nilai artistik dan estetika. Kalau tidak faham dua perkara ini jangan tulis lirik untuk diperdengarkan kepada orang lain.

Tetapi kita juga yang membiarkan sekian banyak lirik-lirik lagu bertaraf sampah sarap dalam dunia muzik kita. Ini bukan menolong tetapi kita tidak adil kepada yang bersungguh-sungguh mendaulatkan perjuangan dengan lirik yang baik.

Kita (kerajaan dan rakyat) telah membiarkan lirik-lirik sampah yang langsung tidak ada metafora berkembang dengan pesatnya. Maka apabila sesekali mahu bertegas, pihak yang banyak menghasilkan karya sampah ini menganggap peraturan itu menyekat kreativiti mereka menghasilkan sekian banyak sampah.

Ada sebuah kumpulan muzik mendakwa mereka menulis lirik berdasarkan bahasa percakapan harian. Kalau mahu mengangkat bahasa harian yang rojak itu, bercakap saja, jangan nyanyikan dalam lagu. Ini kerana lirik lagu mesti tinggi nilai bahasa, artistik, estetika dan paling utama ada tonggak budaya.

Ada penulis lirik menganggap lirik yang kaya dengan metafora dan artistik tidak difahami. Mereka ini sebenarnya golongan yang maha hipokrit. Bukannya khalayak tidak dapat memahami sebaliknya kepala otak mereka yang tidak mampu memikirkan lirik yang baik.

Maka tidak hairanlah diulang berkali-kali frasa yang bangang dan kontang seperti "Aku cinta kepadamu'', "Aku rindu kepadamu'' dan ini belum lagi dikira slanga tepi jalan yang diangkat sebagai lirik. Kalau penulis lirik kita belajar daripada lirik lagu Negaraku pun mereka akan tahu nilai lirik yang baik.

Dalam lirik Negaraku disebut, "Tanah tumpahnya darahku'' dan tidak menggunakan ungkapan biasa misalnya "tempat aku dilahirkan''? Nilai artistik dan estetikanya ada pada frasa "tanah tumpahnya darahku.''

Kepada penulis lirik jangan sesekali mahu menjadi jaguh memperjuangkan kebebasan berkarya cara begini. Anda sebenarnya memperjuangkan bahasa tepi longkang.