Oleh: Ku Seman Ku Hussain
Sumber: Mingguan Malaysia 6 Jun 2004
Amerika Syarikat (AS) sentiasa menjadikan semua perkara sebagai alasan supaya tindakan menyerang dan membunuh orang awam di Iraq sebagai satu kewajaran. Ketika dunia mempersoalkan kewajaran menyerang Iraq setahun lalu tanpa menemui apa yang didakwa loji senjata nuklear Iraq, AS menjadikan sejarah Perang Dunia Kedua sebagai gambaran bahayanya Iraq kepada dunia.
Dunia kini melihat AS sebagai penjajah atau pembuli dan bukan pelindung rakyat Iraq daripada cengkaman kuku besi rejim bekas Presiden Saddam Hussein. Setelah lebih setahun menjatuhkan Saddam, AS tidak berbuat apa-apa untuk membuktikan janjinya untuk membantu membebaskan Iraq.
AS sebaliknya menggunakan sejarah kekejaman Nazi ke atas Eropah sebagai perbandingan bahaya Iraq pimpinan Saddam kepada dunia. Nazi satu gerakan yang menggegarkan Eropah dengan melancarkan pembersihan etnik terhadap orang Yahudi.
Nazi bukan kecil dalam Perang Dunia Kedua. Mereka menakluk Perancis dan memberikan ancaman besar kepada Britain dan Itali. AS cuba mengingatkan kembali bahaya Nazi dengan menyamakan dengan Iraq.
Hari ini adalah ulang tahun ke-60 memperingati pendaratan tentera Amerika Syarikat (AS) dan Britain ke Normandy untuk membebaskan Perancis daripada ditakluk tentera Nazi. D Day atau hari memperingati pendaratan itu dianggap AS sebagai kejayaan besar menghalang kemaraan tentera Nazi pimpinan Adolf Hitler dalam Perang Dunia Kedua dulu.
Hari ini lebih 100 veteran perang antara ribuan orang yang datang ke Normandy, Perancis untuk memperingati hari pendaratan tertera AS pada 6 Jun 1944 itu. Difahamkan lebih 20 pemimpin negara antaranya Presiden Perancis Jacques Chirac, Presiden AS George W. Bush, Perdana Menteri Britain Tony Blair, Presiden Rusia Vladimir Putin dan Konselor Jerman Gerhard Schroeder datang ke Normandy. Ini merupakan kali pertama pemimpin Rusia dan Jerman turut serta dalam sambutan D Day itu.
Hari memperingati pendaratan yang penting dalam sejarah AS dan juga Perancis ini digunakan oleh Setiausaha Negara AS, Colin Powell untuk kepentingan politik AS dalam isu Iraq. Powell yang tiba di Paris kelmarin menganggap memerangi Iraq sama dengan memerangi Nazi.
Ironinya 60 tahun lalu AS cuba menghalang perang dengan membebaskan Perancis daripada Jerman, ketika ini AS pula menjadi pencetus perang ke atas Iraq dan sebelum itu Afghanistan.
Bagi Eropah terutama Britain, Perancis dan Itali, Nazi adalah mimpi ngeri yang tidak pernah dilupakan. Nazi sentiasa diingati kerana kejam yang tiada taranya. Antara yang mengingati kekejaman Nazi ialah membunuh enam juta Yahudi di mana sebahagiannya dengan menggunakan gas beracun.
Powell cuba mengeksploitasikan sentimen D Day tahun ini dengan membawa isu perang ke atas Iraq. Hari memperingati pendaratan tentera AS di Perancis itu tidak ada kena-mengena dengan Iraq. Tetapi dengan tanpa maruah dan tanggungjawab, Powell memanjangkan sentimen benci terhadap Nazi itu kepada Iraq.
"Saya fikir kita boleh membandingkan perang menentang Nazi dengan perang menentang komunisme dan sekarang memerangi keganasan. Iraq adalah sebahagian daripadanya,'' demikian kata Powell semasa diwawancara oleh stesen televisyen France 3 kelmarin.
Sejarah penting kepada manusia. Begitulah jugalah pentingnya sejarah kepada AS. Sejarah memberi peluang kepada manusia melihat yang lalu untuk menembusi yang di depan. Sejarah memerangi Nazi dilakukan secara bersama oleh AS, Britain, Itali dan Perancis. Mereka bersepakat untuk menyekat kemaraan Nazi selepas Perancis jatuh ke tangan Nazi.
Hari memperingati pendaratan tentera AS itu adalah simbol kesepakatan dalam konteks memerangi Nazi 60 tahun lalu. Sentimen kesepakatan itu cuba dibangkitkan semula untuk mencari sokongan dalam isu Iraq. Selepas meranapkan Iraq, melakukan tindakan di luar perikemanusiaan kepada rakyat, AS semakin dipinggirkan oleh sekutunya semasa mula menyerang Iraq setahun lalu.
AS sebenarnya bukanlah terlalu kuat untuk mendepani kritikan dunia dalam isu Iraq. Kerana itu AS perlu meyakinkan sekutunya terutama Perancis dan Britain bahawa perang ke atas Iraq adalah untuk kepentingan bersama; bukan untuk AS semata-mata.
Maka tidak hairanlah kalau Powell dengan tanpa rasa bersalah mengheret isu memerangi Iraq dalam sentimen benci Nazi pada hari memperingati pendaratan tentera AS di Normandy itu. Semua yang dilakukan oleh "orang penting'' dalam perang ke atas Iraq ini adalah satu eksploitasi terhormat sempena D Day.
"Kita menghadapi dengan pendekatan yang sama, kita semua bekerjasama. Kepada pengganas, kamu tidak akan selamat, kami akan memerangi kamu,'' kata Powell yang sama sekali menyimpang jauh daripada tujuan memperingati kejayaan AS menyekat kemaraan Nazi menakluki Eropah.
Powell ternyata mahu sekutu-sekutu melihat jasa AS dalam memerangi keganasan Nazi. Maka hari ini AS seolah-olah menagih kembali jasanya terhadap Perancis, Britain dan Itali untuk terus menyokong perang yang berterusan ke atas Iraq. Dengan cara ini, AS menjangka akan padam suara-suara kritik dari seluruh dunia.
Semasa Perancis mahu menarik diri daripada menjadi sekutu AS memerangi Iraq, banyak tokoh politik dan penganalisis politik AS menganggap tindakan itu sebagai tidak mengenang budi dan pengorbanan tentera AS membebaskan Perancis daripada Jerman.
Lalu yang dilakukan oleh Powell ialah mengingatkan kembali pengorbanan AS dalam membebaskan Perancis. Itu yang dieksploitasikan dalam menangani kritikan dan hilang sokongan daripada sekutu dalam isu Iraq.
Dalam kaji selidik yang dibuat oleh Pew Research Centre menunjukkan ketika ini hanya 37 peratus rakyat Perancis setuju dengan tindakan AS ke atas Iraq berbanding 43 peratus pada Mei tahun lalu. Rating ini adalah yang paling bawah di antara sembilan negara Eropah.
Tetapi adil dan bertanggungjawabkah kenyataan yang menyamakan Iraq pimpinan Saddam dengan Nazi pimpinan Hitler? Rejim Saddam dengan Nazi? Nazi penakluk sebaliknya rejim Saddam mempertahankan tanah air mereka yang kaya dengan minyak daripada diceroboh. Malah bahaya rejim Saddam dan Nazi kepada AS juga sangat jauh jurangnya.
Rejim Saddam tidak memburu tentera AS atau sekutunya di luar sempadan geografi Iraq. Tetapi Nazi mahu menakluk Eropah, kesannya Perancis jatuh ke tangan Jerman. Adakah kalau kita mempertahankan diri daripada diceroboh dengan mudah disamakan dengan Nazi yang mempunyai ideologi politik yang sangat berbeza?
AS dengan sekutunya boleh memerangi keganasan. Semua negara boleh malah wajar memerangi keganasan. Tetapi keganasan bukanlah hak mutlak Iraq atau Islam. Keganasan boleh dilakukan oleh sesiapa saja dan berlaku di mana-mana juga.
Malangnya dengan pelbagai cara misalnya membangkitkan sentimen benci Nazi untuk membenci Iraq, AS mengecilkan ruang definisi mengenai keganasan kepada Iraq. Maka Iraq diserang dan dimusnahkan dengan satu alasan; loji nuklear.
Loji nuklear yang didakwa tidak ada tetapi AS terus menceroboh sekali gus menjadi dalang dalam mengstrukturkan semula politik dalaman Iraq supaya pro - AS. Di mana nazisme yang didakwa oleh Powell dalam konteks Iraq pada masa ini?
Kalau kembali melihat sejarah, selepas Perang Dunia Kedua, AS melindungi Eropah dengan melancarkan Perang Dingin ke atas Kesatuan Soviet. Dalam kata lain AS memerangi komunisme. Tetapi selepas runtuhnya ideologi komunis dan hancurnya Kesatuan Soviet, AS menjadi kuasa besar yang bukan lagi sebagai pelindung tetapi penceroboh sekali gus memusnahkan harta paling berharga bagi manusia iaitu perikemanusiaan. D Day bagi AS sebenarnya bukan memperingati pendaratan menghalang kemaraan Nazi. D Day satu peluang untuk menjaja kembali jasa dan pengorbanan AS yang kononnya memerangi pencerobohan dan keganasan.