Penentu hayat politik Arroyo

Oleh: Ku Seman Ku Hussain
Sumber: Mingguan Malaysia 3 Julai 2005


MAJALAH Economist (15 April 2000) menulis, "Apabila berlaku gempa bumi, banjir atau kebakaran besar, agensi beliau yang paling awal mengepalai kerja menyelamat.'' Beliau adalah Gloria Macapagal Arroyo semasa menjadi naib presiden pada era Joseph Estrada.
"
Beliau telah lama menawan hati rakyat. Malah rakyat juga telah jatuh cinta dengan Arroyo yang mempotretkan imej "berjiwa rakyat''. Sama ada hipokrit atau sebaliknya, dunia politik selalu memaafkan sifat-sifat begini.

Rakyat dilihat sentiasa berada di belakang Arroyo yang memiliki kejelitaan sebagai wanita pertengahan usia selain imej ibu yang baik. Malah beliau kelihatan jauh lebih berwibawa daripada Estrada yang selalu mabuk semasa membuat keputusan untuk negaranya.

Tetapi kini keadaan berlaku sebaliknya. Rakyat yang dulu menyokong penuh kepimpinan beliau bangun menentang dan mengarahkan Arroyo meletakkan jawatan. Kenapa? Apakah ini sememangnya kesedaran politik rakyatnya atau sekali lagi rakyat diperkudakan oleh orang politik? Arroyo tentu lebih arif permainan begini.

Malah beliau tentu ingat kata-kata Jose Rizal, seorang reformis agung Filipina abad ke-18 bahawa risiko dalam politik lebih besar daripada menyeberangi lautan Hindi dengan perahu kecil. Maknanya potensi untuk karam di tengah perjalanan lebih besar daripada selamat sampai ke tanah seberang. Bagi Rizal semua kemungkinan boleh berlaku dan teori selalunya tidak boleh dipakai kerana politik adalah praktik bukan teori.

Nasib yang melanda Arroyo ketika ini ibarat perahu kecil di tengah lautan. Di tengah gelora kebangkitan rakyat yang menuntut supaya beliau meletakkan jawatan, Arroyo dilihat sukar untuk sampai ke seberang yakni 2010.

Arroyo perlu praktis dan difahamkan beliau akan mengambil langkah drastik merombak Kabinet bagi menawan semula sokongan rakyat. Biarpun jurucakap Arroyo menafikan spekulasi rombakan Kabinet itu, semua ini boleh menyumbang kepada populariti Arroyo di mata rakyat.

Suami Arroyo, Jose Miguel telah ke luar negara untuk mengelakkan tuduhan mempengaruhi Arroyo membuat keputusan untuk negaranya.

Ketika ini di jalan-jalan raya, rakyat keluar membawa sepanduk bertulis kata-kata cerca, jijik dan hina kepada wanita kesayangan mereka. Desakan ini bukan kecil kerana kebangkitan rakyat terbukti hebat sekalipun belum tentu waras maksud tujuannya.

Lihat saja Sukarno kecundang ke tangan Suharto kerana rakyat. Suharto yang bagai "gergasi'' itu juga jatuh kerana rakyat. Malah Estrada yang popular juga jatuh kerana rakyat tidak mahu beliau terus memimpin Filipina.

Kini giliran Arroyo untuk menguruskan kemarahan rakyat dengan kebijaksanaan akademik dan ilmu sosial yang dimilikinya. Arroyo wajar mengakui bahawa rakyat sebenarnya tidak tahu apa-apa. Kebanyakan mereka adalah alat kepada perjuangan yang kononnya menuntut keadilan sosial.

Arroyo sebenarnya ada kehebatan untuk mendepani krisis getir dalam sejarah politiknya kali ini. Arroyo adalah antara wanita yang menjadi pemimpin nombor satu negara. Mereka yang sejenis dengan beliau seperti Benazir Bhutto di Pakistan telah lama kecundang. Megawati Sukarnoputri di Indonesia juga senasib apabila tewas di tangan Bambang Susilo yang kini menjadi Presiden Indonesia.

Kini hanya tinggal Arroyo, wanita pintar lagi luas ilmu akademiknya tetapi terumbang-ambing di lautan politik Filipina. Konspirasi politik yang melanda Arroyo kali ini sangat hebat. Atas nama suara rakyat, musuh-musuh politik menunggu peluang untuk menurunkan Arroyo dari takhtanya.

Maka Arroyo dengan rasa paling berat dan hina telah meminta maaf kepada rakyat kerana menghubungi pegawai Suruhanjaya Pilihanraya Filipina ketika pengiraan undi dijalankan. Tetapi permohonan maaf hampir tidak terkesan sedikit pun apabila seluruh negara mengangkat sepanduk meminta beliau meletakkan jawatan.

Masalah yang menyelubungi Arroyo bukan soal itu saja. Beliau juga dituduh menerima wang rasuah daripada pengusaha loteri haram untuk membiayai kempen pilihan raya tahun lalu. Rakyat diperalatkan oleh musuh politik untuk bangun kononnya menuntut keadilan.

Sejak bila presiden Filipina bebas rasuah? Sejak bila pula demokrasi "dibaca'' di luar konteks mengundi semata-mata? Demokrasi yang rakyat faham hanyalah wujud pungutan suara. Demokrasi jarang dilihat sebagai satu proses di pangkal sebelum membuat pungutan suara.

Kerana itu kalau benar Arroyo menghubungi pegawai pilihan raya, itulah politik namanya. Ketika mempunyai pengaruh sekalipun bukan kuasa secara rasmi semasa pilihan raya, siapa saja akan menggunakan semua mekanisme untuk berjaya.

Arroyo tentunya bosan dengan slogan-slogan basi kononnya untuk rakyat tetapi sebenarnya untuk kepentingan politik. Kalau benar Arroyo terlibat rasuah, luar biasakah orang yang berkedudukan seperti Arroyo berbuat begitu?

Kalau ditanya apakah cabaran paling getir dalam kerjaya politiknya, inilah cabaran terhebat yang menentukan jangka hayat Arroyo dalam politik. Beliau tidak pernah diuji atau teruji sedemikian hebat untuk duduk di kerusi terulung dalam hierarki politik Filipina.

Cabaran dalam politik Arroyo sebenarnya baru bermula. Sebelum ini semasa bekas presiden Joseph Estrada didesak meletakkan jawatan kerana rasuah, Arroyo yang ketika itu naib presiden menjadi pilihan rakyat. Laluannya lurus dan mudah untuk berjalan di atas karpet merah.

Kalau dulu Arroyo menggunakan rakyat untuk menjatuhkan Estrada pelakon "yang paling buruk'' dalam dan luar filem, Arroyo sewajarnya sudah belajar bagaimana untuk menangani gelombang kemarahan rakyat. Ini kerana yang berlaku kepada Arroyo sekarang hanya satu pusingan selepas Estrada. Kini tiba pusingan Arroyo untuk mendepani musuh politik dan berlindung di sebalik suara rakyat.

Dalam pilihan raya tahun lalu, musuh politiknya bukanlah hebat. Dengan pengaruh besar Arroyo, Joe Fernando seorang bekas pelakon filem hanya ibarat "kelingking'' saja bagi Arroyo. Si pelakon tua itu tewas dan tidak lama selepas itu diserang strok dan meninggal dunia.

Arroyo kembali mengecapi zon selesa kerana ancaman puak pemisah Islam bukanlah suatu yang besar. Cabaran Arroyo bukan puak pemisah. Politik di mana-mana sekalipun tidak pernah diam. Maka timbullah isu duit tauke loteri dan telefon pegawai pilihan raya ini. Isu yang melibatkan rakyat tentunya mencetuskan kemarahan.

Apabila rakyat keluar ke jalan-jalan raya membawa sepanduk, memekik menyuruh melepaskan jawatan, itu adalah cabaran paling besar. Sekali gus ini menunjukkan Arroyo gagal menggunakan pengaruhnya mengawal gerakgeri rakyat. Ini juga bermakna pengaruh pembangkang lebih besar kerana mereka mampu mendapat sokongan rakyat.

Bloomberg News pula menganggap kesilapan besar Arroyo ialah menaikkan cukai. Alasan Arroyo ini untuk mengurangkan penggantungan ke atas hutang luar. Tetapi Arroyo gagal menangani masalah kemiskinan serta menarik pelabur ke negara itu. Ini ditambah lagi dengan kadar pengangguran sebanyak 11.3 peratus.

Ini satu kekalahan moral Arroyo. Beliau kelihatan gagal menangani krisis politik dengan baik dan semua yang dilakukan bagai tidak kena.

Filipina antara negara yang paling kuat kebangkitan suara rakyatnya. Buktinya kebangkitan rakyat sama ada dihasut oleh dalang atau sebaliknya telah menjatuhkan diktator sehebat Ferdinand Marcos pada 1986. Kuasa rakyat sebanyak 84 juta orang itu jangan diperkecilkan.

Tetapi kalau bijak menangani isu, rakyat sebenarnya tidak bijak menggunakan kuasa mereka. Kalau benar mereka bijak, Marcos tidak boleh menjadi diktator begitu lama, Estrada juga tidak mungkin menjadi presiden dalam sidang lawak menjelang alaf baru. Kuasa tanpa bijaksana untuk menghalalkan cara, Arroyo pasti tidak ke mana-mana.

Kebijaksanaan politik inilah yang kurang kepada Arroyo yang pernah dipilih sebagai Woman of the Year oleh majalah Asiaweek pada 1995 lalu.