Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN (Wartawan Utusan)
Sumber: Mingguan Malaysia 26 Julai 2005
Cabaran pengguna era kapitalisme baru bersesuaian dengan tema Hari Pengguna tahun ini; Pengguna Bijak, Peniaga Beretika, Negara Sejahtera. Isu pengguna dan kepenggunaan bukan sekadar kenaikan harga barang keperluan harian seperti yang selalu dibangkitkan menjelang sesuatu perayaan. Dalam konteks jendela globalisasi, budaya kepenggunaan melampaui hal-hal yang disebutkan tadi.
Cabaran menjadi pengguna era kapitalisme baru tentunya lebih besar apabila doktrin dalam budaya kepenggunaan menghakiskan kuasa pengguna untuk membuat pilihan. Pilihan semacam telah dibuat oleh korporat ke atas budaya kepenggunaan apa yang wajar dimiliki oleh pengguna.
Misalnya tidak semua barangan pengguna yang berada di pasaran satu keperluan. Tetapi dengan mengeksploitasi fahaman kepenggunaan, barangan tersebut menjadi satu keperluan misalnya untuk tujuan memperlihatkan status sosial.
Memanglah kenaikan harga barang memberikan kesan yang nyata kepada pengguna. Tetapi apabila memperkatakan cabaran pengguna pada era kapitalisme baru, tentu saja susuk bicara bukan lagi kenaikan harga barang keperluan harian. Malah budaya kepenggunaan di Barat perlu dilihat kesannya ke atas pengguna di negara ini.
Sebagai pengguna mereka boleh bergantung kepada kerajaan atau KPDNHEP untuk mengawal harga barang. Tetapi KPDNHEP tentunya tidak dapat menolong pengguna daripada diancam dan dipengaruhi oleh ledakan yang tidak terkawal budaya kepenggunaan pada era kapitalisme baru di Barat. Inilah masalah pengguna sebenarnya.
Antara faktor yang menjadi pemangkin kapitalisme baru dalam budaya kepenggunaan adalah revolusi dalam ledakan sektor pengiklanan. Iklan membuatkan pengguna kehilangan kuasa memilih kerana terpengaruh dengan kehidupan artifisial dalam iklan.
Memang benar, sebagai pengguna kita wajar sensitif kepada isu yang melingkari rutin harian; tambang bas, petrol, diesel hinggalah susu tepung untuk generasi kita yang baru hendak mengenal dunia. Tidak mengapa malah sangat wajar bersikap demikian.
Tetapi pada masa yang sama kita juga wajar melihat budaya kepenggunaan yang diledakkan di Barat turut memberi kesan kepada kita.
Nilai-nilai tradisional dalam masyarakat Barat misalnya telah berubah dengan drastik dengan pengaruh politik korporat, budaya komersial serta media massa. Kapitalisme baru menyuburkan berbelanja untuk gaya hidup bukan keperluan hidup.
Menurut Worldwatch Institute dalam laporan tahunan State of the World 2004, dianggarkan tidak kurang 1.7 bilion orang di seluruh dunia berada dalam "kelas pengguna''. Tentu saja mereka dalam kelas ini mempunyai kuasa membeli yang tinggi dan menjadi sasaran kapitalisme baru.
Separuh daripada mereka yang berkelas pengguna ini datangnya dari negara membangun. China umpamanya dianggarkan mempunyai 240 juta pengguna di mana 120 juta daripadanya berpotensi berbelanja mewah. Di China, pada tahun 2000 hanya lima juta kereta saja di jalan raya tetapi meningkat dengan drastik dan dijangka hingga akhir tahun ini 24 juta kereta berselerak di seluruh China.
Pengguna di Amerika Syarikat (AS) membelanjakan AS$18 bilion untuk barangan kosmetik berbanding AS$16.3 bilion kos untuk menyediakan air bersih. Tentu saja publisiti untuk barangan kosmetik jauh lebih hebat daripada keperluan mendapatkan air yang bersih.
Di negara kita, pengguna kad kredit meningkat 25 peratus kepada 6.4 juta tahun lalu. Kad kredit menjana cara berbelanja yang kurang cerewet kepada harga, mengikut selera. Pada tahun lalu saja pengguna kad kredit membelanjakan RM34.2 bilion iaitu jumlah yang paling besar pernah dicatatkan oleh pengguna kad kredit setakat ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Radzi Sheikh Ahmad tidak lama dulu pernah menyatakan kebimbangan apabila separuh daripada kes kebankrapan di negara ini kerana gagal melunaskan bayaran kad kredit. Tahun lalu 16,251 orang diisytiharkan bankrap berbanding 12,351 tahun sebelumnya.
Siapa yang mengubah kedudukan statistik ini kalau bukan pengguna? Maka kuasa yang ada kepada pengguna sangat besar malah besar jugalah risiko kalau mereka pula dieksploitasikan oleh budaya komersial dalam kapitalisme baru.
Pemilihan tema Pengguna Bijak, Peniaga Beretika, Negara Sejahtera mempunyai saranan ke arah menyedarkan pengguna dengan cabaran-cabaran yang disebutkan di atas tadi. Tema ini memperlihatkan matlamat mengembalikan kuasa memilih ke tangan pengguna dengan frasa "Pengguna Bijak.''