Oleh: ZIN MAHMUD (Wartawan Utusan)
Sumber: Utusan Malaysia 5 Ogos 2006
"SEMUA negara ada kekuatan dan kelemahannya tetapi Amerika jelas mempunyai kekuatan yang boleh diteladani,” kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di jamuan makan malam bersama masyarakat Malaysia di New York, Amerika Syarikat (AS) Khamis lalu.
Kekuatan AS di belakang Israel menyebabkan rejim Zionis bermaharajalela membunuh rakyat Palestin dan Lebanon tanpa sebarang halangan.
Apabila disebut dengan kekuatan, maka gambaran yang terpapar ialah kemampuan tentera AS mengatasi mana-mana pasukan di dunia.
Banyak faktor yang menyumbang kepada kekuatan sesebuah negara, daripada politik, ekonomi hinggalah kepada ketenteraan. Tetapi ketenteraan merupakan manifestasi terbesar untuk menunjukkan kekuatan sesebuah negara.
Begitu juga dengan kekuatan ketenteraan, banyak faktor yang menyumbang kepada keadaannya, tetapi teknologi merupakan ciri besar pada zaman ini. Justeru, teknologi ketenteraan merupakan kunci kepada kekuatan AS.
Lihatlah bagaimana tentera Israel memasuki Lebanon dengan mudah, hanya dengan menggerakkan kereta-kereta kebal. Bagaimana ia dapat masuk tanpa tentangan adalah kerana wilayah Lebanon telah dihancurkan melalui bom yang digugurkan oleh jet pejuang. Kereta kebal, bom dan jet pejuang adalah peralatan teknologi yang dibangunkan di AS.
Tetapi teknologi yang dimiliki tentera AS amat luas dan juga banyak menyumbang kepada perubahan dunia, termasuklah Internet, yang pada asalnya adalah sistem perhubungan mereka.
Persoalannya bagaimanakah AS memperoleh kecanggihan teknologi tentera yang begitu besar? Banyak faktor yang menyumbang kepada kecanggihan teknologi tentera, antaranya termasuklah kekuatan ekonomi AS, sistem kapitalisme, keupayaan sains, keunggulan pendidikan, dorongan reka cipta, azam politik dan tidak kurang penting ialah mentaliti ketenteraan yang ada pada negara itu sendiri.
Tetapi dalam banyak-banyak faktor itu, ada suatu nilai yang memungkinkan pembangunan teknologi tentera iaitu keupayaan penciptaan dan inovasi alat teknologi.
Dalam hal ini, orang Amerika mencipta sendiri peralatan dan bukannya hanya berusaha untuk membeli daripada pihak luar.
Kita bagaimanapun perlu ingat bahawa kecanggihan teknologi tentera AS bukanlah wujud sejak dari dahulu. Ia melalui pelbagai perkembangan menyebabkan ia memiliki kecanggihan teknologi tentera.
Sebelum Perang Dunia Kedua, teknologi tentera AS bukan paling unggul. Negara yang memiliki keunggulan ialah Britain dan Jerman. Malah pihak Jerman memiliki kecanggihan ketenteraan tentang roket dan hampir dapat membangun bom atom.
Tetapi akibat tekanan daripada Nazi, banyak saintisnya termasuk Albert Einstein, berhijrah ke AS. Saintis Jerman memberi sumbangan besar kepada membangunkan bom atom yang kemudian digugurkan ke atas Jepun.
Selepas kejatuhan Nazi Jerman, sebahagian daripada teknologi tenteranya, termasuk roket diangkut ke Rusia.
Pada tahun 60-an, teknologi ketenteraan AS bukan juga terunggul. Kesatuan Soviet mempunyai kecanggihan yang kalau tidak mengatasi AS, adalah setara dengan kuasa besar itu.
Senapang Kalashnikov, umpamanya merupakan ciptaan Rusia yang masih unggul. Tetapi apa yang mengejutkan AS ialah keupayaan Soviet melancarkan roket dan menjadi negara pertama berjaya sampai ke angkasa melalui kapal Sputnik.
Maknanya pada masa itu Soviet telah mengatasi AS. Sejak itu AS melancarkan program pendidikan sains secara besar-besaran hinggalah berjaya meletakkan manusia di bulan pada tahun 1969 melalui kapal angkasa Apollo.
Teknologi Rusia berbeza daripada AS. Masing-masing membangun sistem teknologi ketenteraan secara rahsia kerena kepentingan keselamatan masing-masing. Rusia tidaklah membeli peralatan tentera daripada AS. Mereka membangun dan mencipta peralatan sendiri.
Maka begitu jugalah angkatan tentera negara-negara lain di dunia. Jika mereka mahu mengatasi kekuatan tentera negara-negara lain, mereka mesti membangun teknologi sendiri, secara rahsia dan menurut keperluan sendiri.
Kalau usaha mencipta peralatan tentera ini boleh dilakukan oleh negara-negara besar seperti AS, Rusia, Perancis dan China, adakah ia dapat dilakukan oleh negara-negara kecil seperti Malaysia?
Keperluan negara kecil dan negara besar adalah berbeza. Keperluan Britain, umpamanya berbeza daripada AS. Tetapi Britain yang walaupun merupakan sebuah negara kecil mempunyai kekuatan dan pernah mengalahkan Argentina dalam peperangan.
Maka Malaysia juga mesti mampu membangunkan teknologi ketenteraannya sendiri yang sepadan dengan keperluannya sebagai sebuah negara sebegini besar.
Begitu juga Israel. Mereka juga sebuah negara kecil tetapi teknologi ketenteraan yang dimiliki mampu menangkis semua kekuatan tentera Arab. Israel sememangnya mendapat bantuan AS tetapi secara bersendirian, ia tetap mampu membangun teknologi ketenteraannya sendiri mengikut keperluannya.
Dalam menghadapi Israel, hanya Hizbullah yang berusaha menentangnya melalui peperangan. Hamas tidak berupaya menghadapi Israel.
Tetapi Hizbullah memerlukan sokongan termasuk peralatan teknologi ketenteraan canggih. Ia hanya dapat mengharapkan daripada Syria dan Iran.
Maka Syria dan Iran mempunyai keperluan besar membangunkan kecanggihan teknologi ketenteraannya supaya mereka dapat membantu Hizbullah.
Di sinilah terletaknya peranan saintis-saintis dalam angkatan tentera Syria dan Iran bagi membangun peralatan teknologi. Mungkin Rusia dan China patut membantu mereka demi keselamatan dunia di mana kuncinya terletak kepada pembebasan Palestin dan Lebanon daripada ancaman Israel.