Oleh: ZIN MAHMUD (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 31 Julai 2006
ISRAEL menolak sebarang gencatan senjata, walaupun tiga hari seperti yang diminta oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi membolehkan kerja-kerja bantuan kemanusiaan.
Dalam keadaan itu pun Amerika Syarikat (AS) dan Britain menyatakan hak Israel untuk mempertahankan dirinya dan menyokong matlamat untuk melucutkan senjata Hizbullah.
Siapa yang mempertahankan diri, dan siapa yang perlu dilucutkan senjata. Hizbullah adalah pihak yang mempertahankan diri. Israel yang perlu dilucutkan senjata.
Hizbullah ditubuhkan pada tahun-tahun awal 80-an ketika Israel menakluki Lebanon dan membawa kepada pembunuhan ramai pelarian Palestin. Golongan Syiah dipinggirkan dengan kampung halaman mereka di Lebanon Selatan diduduki Israel.
Dalam keadaan ini Hizbullah ditubuhkan dengan bantuan Iran. AS dan Britain memihak kepada Israel yang menzalimi rakyat Palestin dan Britain.
Maka dalam laporan akhbar semalam dinyatakan bahawa Presiden George W. Bush meminta maaf kepada Perdana Menteri Britain, Tony Blair kerana tidak mengikut prosedur ketika mengangkut bom untuk dibawa ke Israel.
Bom-bom buatan AS itu dibawa ke Israel melalui Britain. Ia kemudian digunakan oleh tentera udara Israel untuk digugurkan ke atas rakyat Lebanon yang mana orang awam, wanita, kanak-kanak dan orang tua turut terkorban. Siapa pengganas?
Dalam sidang akhbar bersama Bush dan Blair di Washington, mereka menyatakan Israel berhak untuk mempertahankan diri dan Hizbullah adalah pengganas yang tidak berhati perut. Adakah tentera Israel itu berhati perut dengan menggugurkan bom ke atas orang awam hingga terburai perut mereka?
Israel memperoleh bekalan bom tanpa sebarang kesukaran daripada AS. Kemungkinan ada yang dibeli oleh Israel tetapi negara Zionis itu mendapat bantuan daripada AS. Harga bom itu dibayar oleh pembayar-pembayar cukai di AS kepada syarikat-syarikat pembuat bom yang mendapat pesanan daripada pihak tentera AS.
Walaupun Bush meminta maaf daripada Blair tetapi perkara itu tidak perlu. Blair tidak teragak-agak mengizinkan bom itu melalui Britain untuk memusnahkan rakyat Lebanon.
AS-Britain menjadi paksi utama dalam membantu Israel merampas hak nyawa dan tanah rakyat Palestin dan Lebanon. Kedua-duanya adalah anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mempunyai kuasa veto.
Israel tidak perlu berada dalam majlis itu kerana AS dan Britain sudah cukup mempertahankan kepentingan mereka.
Kedua-dua AS dan Britain mendapat kerusi majlis itu kerana sifat mereka sebagai kuasa besar yang menang dalam Perang Dunia Kedua. AS sememangnya kuasa besar utama yang memberi sumbangan besar untuk menundukkan Nazi Jerman. Tetapi kekuasaan terbesarnya adalah kerana AS berjaya mencipta, menguji dan menggugurkan bom atom ke atas Hiroshima dan Nagasaki membunuh beribu-ribu orang awam tanpa belas kasihan dan mendorong kepada penyerahan diri Jepun.
Britain yang mana banyak tanah jajahannya dirampas oleh Jepun semasa Perang Dunia Kedua tidak akan menang tanpa bantuan AS. Pada hari-hari gelap dalam Perang Dunia Kedua khususnya semasa Pertempuran Britain (Battle of Britain) di mana Jerman mengebom London, negara itu hampir menyerah kalah.
Britain menjadi kuasa besar kerana sifatnya sebagai penjajah yang memiliki tanah jajahan. Tetapi dalam Perang Dunia Kedua, ia sudah hampir kalah. Selepas Perang Dunia Kedua, hampir kesemua tanah jajahannya terlepas. AS menyokong usaha kemerdekaan yang menjadikan Britain sebuah negara kecil tanpa tanah-tanah jajahannya. Britain sudah tidak menjadi kuasa besar.
Malah wilayah yang dipegang sebagai mandat Liga Bangsa-Bangsa iaitu Palestin dilepaskan kepada Israel secara tidak bertanggungjawab.
Maka pada keseluruhan selepas Perang Dunia Kedua, Britain bukan boleh dianggap sebagai sekutu AS, tetapi lebih merupakan seperti boneka Washington. Negara kecil itu sudah tidak wajar diberikan kerusi anggota tetap Majlis Keselamatan PBB.
Seperti AS, Britain juga memiliki senjata nuklear. Sememangnya semua anggota tetap Majlis Keselamatan PBB memiliki senjata nuklear, sama ada Perancis, Rusia dan China. Ketiga-tiga negara ini jauh lebih besar daripada Britain.
Dunia mengharapkan Perancis, Rusia dan China berperanan tegas membela Palestin. Tetapi usul atau usaha mereka begitu mudah dipatahkan AS.
Sebagai anggota-anggota tetap Majlis Keselamatan PBB, mereka juga memikul tanggungjawab kepada dunia dan kemanusiaan. Mereka mesti bersikap adil dan membela orang yang dizalimi. Itulah tanggungjawab kuasa-kuasa yang memiliki senjata nuklear. Jika mereka tidak mampu membela bangsa-bangsa yang dizalimi seperti Palestin dan Lebanon, maka biarlah negara lain berusaha membela mereka.
Justeru, kalau Israel dibenarkan untuk memiliki senjata nuklear bagi mempertahankan diri kononnya, maka hak serupa patut diberikan pada Iran. Bukan untuk mempertahankan diri Iran yang sedang diancam oleh AS, tetapi bagi pihak rakyat Lebanon, termasuk Hizbullah dan Palestin.
Negara yang mengancam keselamatan negara-negara jiran, rantau Asia Barat dan dunia adalah Israel. Ia merupakan negara palsu yang diwujudkan di atas bumi Palestin.
Israel yang patut dilucutkan senjata. Tetapi sebaliknya AS dan Britain membantunya dari segi ekonomi dan ketenteraan.Tanpa bantuan AS, Israel akan runtuh.
Tetapi lihatlah bandar Tel Aviv dan kawasan-kawasan di dalam sempadan Israel. Mereka dapat membina infrastruktur dunia pertama atas bantuan AS dan Eropah.
Tetapi apabila Lebanon baru berusaha untuk membangun kembali dengan bantuan dan sokongan pelaburan daripada pelbagai negara termasuk Arab Saudi, ia dimusnahkan dengan begitu saja oleh bom-bom Israel buatan AS yang datang menggunakan laluan Britain.
Israel tidak mahu Lebanon membangun dan makmur. Kalau mereka bertujuan untuk melucutkan Hizbullah semata-mata, mengapa tidak serangan itu ditujukan kepada kawasan Hizbullah saja iaitu di Lebanon Selatan?
Itu tidak dilakukan. Sebaliknya Lebanon Utara yang mana tidak ada Hizbullah turut dibom. Israel bersikap dengki bukan saja pada Palestin tetapi Lebanon.
AS dan Britain menuduh Syria dan Iran di belakang Hizbullah. Tetapi dengan jelas AS dan Britain di belakang Israel. Siapa menyerang siapa; siapa mempertahan diri sendiri?
Asalnya Palestin adalah sebuah wilayah dalam Khalifah Uthmaniah. Dengan tumbangnya Istanbul, Palestin yang kawasannya turut merangkumi Jordan diletakkan di bawah mandat Britain.
Britain memisahkan Jordan daripada Palestin. Berzaman-zaman Palestin menyaksikan kehidupan aman antara orang Arab dan Yahudi, antara penganut Islam, Kristian dan Yahudi daripada pelbagai mazhab.
Britain mewujudkan wilayah Yahudi dan Arab dalam mandat Palestin itu. Itulah negara Palestin yang patut merdeka, sebuah negara demokratik berbilang kaum dan agama.
Tetapi rejim Zionis yang bersifat perkauman telah membentuk negara palsu Israel di atas wilayah Palestin. Perkara itu dapat dilakukan kerana sokongan AS dan Britain.