Mengimbas kembali tugas wartawan Utusan Melayu

Oleh: Muhammad Alias
Sumber: Utusan Malaysia 9 November 2006


Pertengahan tahun 1975, saya memulakan tugas sebagai wartawan Utusan Melayu (edisi jawi). Yang menemuduga saya ialah Datuk Abdullah Ahmad (sekarang Tan Sri) Pengerusi Utusan Melayu ketika itu.

Bagaimanapun, karier saya berakhir pada tahun 1980. Saya seterusnya memasuki Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) dan bertugas sebagai diplomat Malaysia sehingga bersara dari perkhidmatan tahun 2005 lalu.

Kehidupan sebagai wartawan Utusan 30 tahun lalu amatlah berbeza dengan sekarang. Kalau dulu kami menggunakan type writer untuk menaip berita, sekarang rata-rata menggunakan komputer. Dulu tidak ada wartawan yang menggunakan mesin perakam kecuali wartawan RTM, tetapi sekarang mesin perakam sesuatu yang biasa sama seperti telefon bimbit.

Sebahagian besar daripada kami dulu menaiki bas pergi balik ke pejabat. Sekarang khabarnya ramai yang mempunyai kereta sendiri. Kalau dulu kami membimbit type writer sekarang wartawan membimbit lap top.

Ketika itu berita-berita dari agensi-agensi berita antarabangsa diperoleh melalui teleks. Malahan teleks juga merupakan sumber komunikasi dari beberapa biro Utusan di Semenanjung. Sekarang kiriman melalui faksimili atau e-mel lebih mudah dan pantas.

Dulu kami sering kali menghantar berita melalui telefon awam ke ibu pejabat. Telefon bimbit masih belum wujud. Setidak-tidaknya saya sendiri tidak pernah melihatnya.

Berita-berita penting dan harus disiarkan keesokan harinya dihantar melalui telefon ke ibu pejabat secara impromptu berpandukan nota. Ia memerlukan pengalaman luar biasa.

Sering kali juga berita ditulis ketika di dalam bas atau teksi semasa perjalanan ke ibu pejabat. Saya akui, kaedah ini sering saya praktikkan ketika bertugas sebagai diplomat.

Satu keistimewaan orang surat khabar ialah wartawan mengetahui banyak perkara yang orang biasa tidak tahu.

Ketika itu, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Mazlan Nordin (sekarang Tan Sri) dan Timbalan Ketua Pengarang, Allahyarham Pak Osman Abadi.

Ramai tenaga penting yang berkhidmat semasa saya di Utusan telah pun bersara. Malahan ramai yang tidak pernah saya temui lebih dari suku abad. Ada juga yang telah meninggal dunia.

Tidak disedari masa beredar begitu pantas.

Yang masih bertugas semakin kurang. Antaranya Datuk Khalid Mohd, Ketua Pengarang Kumpulan dan Hamzah Sidek, Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan.

Beberapa orang teman wartawan Utusan melibatkan diri dalam politik antaranya Zainuddin Mydin (Zam - sekarang Datuk, Timbalan Menteri Penerangan), Subki Latiff (bekas Exco Pas), Drs. Sulaiman Mohamed (sekarang Datuk Seri - bekas Timbalan Menteri), Adam Hamid (Datuk - bekas Exco Johor) dan Rosnah Majid (Datuk - bekas Exco Kedah).

Dua tokoh kewartawanan yang sama-sama bertugas di Utusan di kala itu ialah Allahyarham Ishak Haji Mohamad (Pak Sako) dan Azah Aziz (Kak Azah).

Peristiwa

Beberapa peristiwa penting terjadi sekitar tahun 1975-76. Paling mengejutkan ialah kematian Allahyarham Tun Abdul Razak, Perdana Menteri di London 14 Januari 1976. Kali terakhir saya menemui Tun Razak ialah ketika membuat liputan di satu majlis di Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) tidak lama sebelum beliau berlepas ke London. Pemergian Allahyarham yang tidak disangka-sangka dalam usia 53 tahun diratapi rakyat Malaysia.

Allahyarham Tun Hussein Onn mengambil alih jawatan Perdana Menteri dan Tun Mahathir Mohamad sebagai Timbalan Perdana Menteri. Saya dan Hamzah Sidek merupakan dua wartawan tempatan yang pertama menemu bual eksklusif Tun Mahathir sehari selepas beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri bertempat di Rumah Persekutuan.

Tahun 1976 juga mencatat satu lagi peristiwa tidak kurang pentingnya iaitu pemecatan Datuk Harun Idris sebagai Menteri Besar Selangor dan hukuman penjara atas kesalahan rasuah. Begitu juga dengan penahanan beberapa orang tokoh tanah air termasuk Datuk Abdullah Ahmad (Tan Sri), Samad Ismail (Tan Sri) dan Abdullah Majid di bawah ISA.

Tahun 1975 Malaysia dikejutkan dengan peristiwa serangan Japanese Red Army (JRA) ke atas Kedutaan Amerika Syarikat di Bangunan AIA di Jalan Ampang.

Dari aspek sukan, Malaysia menjadi hos kepada pertandingan tinju antara Muhammad Ali dan Joe Bugner (peninju Britain) di Stadium Negara.

Muhammad Ali menumpaskan Bugner. Bagaimanapun, pertandingan tersebut meninggalkan kesan negatif yang dikenali sebagai skandal Bank Rakyat.

Apa yang dicatat di atas adalah antara kenangan manis ketika menjadi keluarga Utusan. Catatan ini adalah berdasarkan ingatan semata-mata.