Oleh: ZIN MAHMUD dan NOOR AZAM SHAIRI
Sumber: Mingguan Malaysia 31 Disember 2006
MUKADIMAH
SELEPAS serangan 11 September, Imam Feisal Abdul Rauf, imam di Masjid al-Farah yang terletak hanya beberapa blok dari tapak bangunan berkembar World Trade Center yang runtuh itu sibuk menjadi jurucakap bagi Islam kepada dunia Barat. Beliau disifatkan oleh akhbar The New York Times sebagai “seorang Islam yang moderat, yang berpegang kepada nilai-nilai demokrasi Barat dan menyeru umat Islam supaya menghormati agama-agama lain.”
Selepas peristiwa yang mengubah politik dunia itu, Imam Feisal menubuhkan Inisiatif Cordoba, sebuah pertubuhan pelbagai agama yang berusaha untuk merawat luka yang cukup parah dalam hubungan antara Islam dengan dunia Barat itu. Beliau ke serata dunia untuk menyebarkan pesanan tentang keamanan dan meningkatkan persefahaman sesama manusia tanpa mengira latar belakang kaum, kepercayaan dan kewarganegaraan.
“Allah menyuruh kita hidup bermasyarakat dan bukannya membezakan warna kulit dan kepercayaan agama. Kita harus menghormati dan memuliakan perbezaan itu,” katanya dalam satu wawancara bersama wartawan ZIN MAHMUD dan NOOR AZAM SHAIRI di Kuala Lumpur, Khamis lalu.
Dalam pertemuan hampir satu setengah jam itu, Imam Feisal, 58, berkongsi pandangannya mengenai kedudukan agama Islam dalam sebuah masyarakat yang berbilang kaum dan agama – satu isu yang sejak kebelakangan ini menimbulkan rasa gelisah di kalangan masyarakat di negara ini.
Imam Feisal bukanlah seorang yang asing dengan keadaan di negara ini. Beliau menghabiskan sebahagian besar umur remajanya apabila ayahnya, Dr. Muhammad Abdul Rauf yang ketika itu mengajar di Universiti al-Azhar di Kaherah, Mesir dipinjamkan sebagai Pengetua Kolej Islam Klang antara tahun 1955 sehingga 1964. Sejak beberapa tahun lalu, beliau sering berulang-alik di antara New York dan Kuala Lumpur untuk menyelesaikan satu kajian mengenai negara Islam.
Dalam interviu ini, Imam Feisal turut ditanya tentang pandangan beliau dalam bukunya What’s Right in Islam: A New Vision for Muslims and the West yang terbit dua tahun lalu mengenai nilai-nilai Islam yang dilihatnya begitu subur dalam konsep demokrasi Amerika Syarikat.
MINGGUAN: Bagaimana tuan melihat kedudukan Islam dalam masyarakat yang berbilang agama?
FEISAL: Sejak zaman awalnya, Islam mentadbir wilayah yang majoritinya didiami oleh orang bukan Islam dan bukan Arab. Selepas wafatnya Rasulullah, terutamanya ketika empayar Islam berkembang pada zaman Khalifah Umar al-Khattab, orang Arab pada waktu itu hanyalah di Semenanjung Arab dan tidak ada dunia Arab seperti mana yang kita kenal sekarang. Tetapi dalam tempoh 50 tahun, orang Islam Arab memerintah wilayah-wilayah yang majoriti penduduknya bukan Arab, dan bukan Islam.
Sejak dari awal lagi juga jurisprudens dan undang-undang Islam mengembangkan konsepnya dalam model masyarakat yang berbilang kaum dan agama. Islam sejak awal juga, tidak seperti agama lain, memberikan ruang kepada agama dan masyarakat lain untuk wujud bersama-samanya. Orang tidak sedar bahawa Sayidina Umarlah orangnya yang menjemput semula orang Yahudi untuk menetap di Baitulmaqdis selepas mereka diusir oleh tentera Rom. Beliaulah yang memperkenalkan kerangka sebuah masyarakat yang berbilang kaum dan agama di bawah pemerintahan Islam. Aspek sejarah Islam yang penting ini tidak boleh kita lupakan.
Setelah berakhirnya zaman khalifah, Empayar Uthmaniah di Turki yang meneruskan model pemerintahan Islam itu memberi hak kepada sesebuah masyarakat itu untuk ditadbir di bawah undang-undang masyarakat dan mazhabnya sendiri. Hari ini tanggapan mengenai identiti dan pemerintah itu didasarkan kepada sempadan geografi tetapi dalam masyarakat tradisional pada waktu itu, ia ditentukan mengikut masyarakat. Tetapi selepas berakhirnya zaman empayar itu, konsep tradisi yang berorientasikan masyarakat atau ummah itu berubah menjadi identiti geografi. Itulah yang mengakibatkan ketegangan dalam dunia Islam apabila identiti ummah dan identiti geografi itu bertembung.
Tamadun Islam yang hebat pada suatu masa dulu menunjukkan kepada kita sebuah masyarakat yang adil, terbuka dan bertolak ansur. Bagaimanakah tuan melihat keadaan sekarang? Di mana silapnya?
FEISAL: Kesilapan itu berlaku kerana perubahan paradigma itu. Ada beberapa faktor yang menyumbang kepada pelbagai masalah itu. Model pemerintahan yang baru itu salah satu daripadanya. Sebagai contoh, Empayar Uthmaniah memerintah wilayah yang hari ini dikenali sebagai rantau Balkan, Semenanjung Arab, Afrika Utara termasuklah Greek. Selepas Perang Dunia Pertama, kuasa itu dipecah-pecahkan sehingga membentuk negara baru dengan identiti nasional yang baru seperti Jordan, Syria, Iraq, Arab Saudi dan sebagainya yang berasaskan kepada sempadan geografi.
Apabila kita mencipta satu identiti baru kepada masyarakat ini dan identiti itu bertindih dengan sempadan geografi, Turki berubah daripada sebuah masyarakat yang pelbagai kaum dan agama kepada masyarakat yang beridentiti nasional Turki; masyarakat bukan Turki sudah tidak ada tempat lagi. Masalah mula timbul di antara orang Turki dan orang Greek. Keadaan orang Melayu Pattani adalah contoh yang mudah untuk kita memahami keadaan ini. Ini bukan model Islam. Ini sesuatu yang kita belajar daripada Barat. Kita membentuk identiti nasional baru.
Perubahan itu menjadikan orang Islam tidak lagi adil, terbuka dan toleran?
FEISAL: Perubahan itu mencetuskan satu keadaan yang dinamik. Masalah hubungan kaum seperti India, Nigeria, Turki, Iraq dan di beberapa negara lain berlaku kerana keadaan itu. Masyarakat jadi terpecah-pecah dan mereka terpaksa menggelarkan diri mereka dengan satu nama lain yang tidak dapat mereka kaitkan dengan identiti semula jadi mereka. Ini satu punca utama yang membawa kepada ketegangan di kalangan umat Islam pada hari ini.
Selain itu, umat Islam juga menjadi mangsa penjajahan oleh Barat yang tidak beragama Islam. Umat Islam menolak usaha-usaha penjajah untuk menukarkan agama mereka. Apabila mereka dipaksa keluar daripada agama Islam, mereka memberikan tentangan. Reaksi mereka itu tidak digerakkan oleh pemikiran positif yang jelas sebaliknya lebih sebagai hanya satu tindak balas. Mereka jadi lebih sedar tentang identiti mereka sebagai orang Islam, misalnya. Semasa saya membesar di negara ini dahulu, orang Islam tidak akan ke masjid dengan memakai seluar dan kemeja kerana ia dianggap pakaian orang kafir. Sekarang kita tidak lagi berfikir begitu tetapi suatu masa dahulu begitulah cara orang berfikir.
Reaksi seperti ini masih berlaku dalam aspek-aspek lain, misalnya dalam soal campur tangan Amerika Syarikat di Iraq. Orang Islam melihatnya sebagai satu serangan terhadap Islam dan bukannya satu soal yang melibatkan kepentingan geopolitik. Apabila sesuatu konflik politik itu mempunyai dimensi agama, dimensi agama itulah yang nampak tertonjol. Israel adalah contoh terbaik. Isunya berpunca daripada masalah politik iaitu sebuah negara baru yang diwujudkan di Asia Barat tetapi ia sekarang dilihat sebagai pertembungan agama.
Kenapa Islam dilihat sebagai ancaman oleh orang bukan Islam dalam sebuah masyarakat yang berbilang agama?
FEISAL: Inilah puncanya. Peristiwa 11 September dilihat di Barat sebagai satu serangan oleh orang Islam ke atas Barat. Rakan saya, seorang wartawan bertanya kepada saya tidak lama selepas serangan itu. Katanya: “Kami memahami gerakan politik. Apa yang kami tidak faham ialah kenapa kebanyakan gerakan pembebasan politik di negara-negara Islam menggunakan perkataan Islam seperti Jemaah Islamiyah, Lasykar Muhammad atau Lasykar Taiyyibbah.” Oleh kerana gerakan-gerakan itu menggunakan nama agama, ia menyukarkan orang bukan Islam untuk membezakan kaitan antara agama Islam dengan gerakan-gerakan itu.
Ini sama halnya dengan UMNO dan Pas. Pas sebuah parti politik tetapi ia menggunakan nama agama. Ia meletakkan dirinya sebagai pelindung kepada nilai-nilai Islam sehinggakan UMNO kemudiannya menjadi defensive. Dengan menggunakan nama agama, Pas menghantar mesej yang halus yang mungkin tidak dinyatakannya secara terbuka bahawa ia melindungi Islam, dan UMNO tidak. Ini menimbulkan satu masalah kerana dalam pemikiran orang Melayu, Melayu itu Islam. Orang Melayu itu 99 peratus beragama Islam dan itulah juga takrif Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan. Tetapi kalau kita mengatakan orang Arab itu orang Islam, kenyataan itu mungkin 80 peratus betul.
Dalam pemikiran bawah sedar orang Melayu, mereka melihat Pas sebagai pelindung Islam dan sekali gus melindungi kepentingan hak istimewa orang Melayu. UMNO pula pada masa yang sama mengisytiharkan dirinya sebagai pejuang kepentingan orang Melayu. Apabila wujud perbezaan dari segi politik, dimensi agama itu mempunyai kekuatannya yang tersendiri dan agama itu kemudiannya dilihat sebagai alat politik. Soalnya sekarang ialah apakah agama itu digunakan untuk kepentingan politik, atau adakah perjuangan politik itu digunakan untuk melaksanakan suruhan-suruhan agama? Ia satu perbezaan yang tidak begitu ketara.
Sesetengah orang boleh memahami perbezaannya tetapi bagi kebanyakan orang mereka tidak faham. Mereka yang faham itulah yang perlu menjelaskannya, bahawa semua pergerakan yang menggunakan nama Islam itu merupakan sebahagian daripada gerakan politik Islam. Nama Islam yang digunakan itulah yang mewajarkan kewujudan mereka. Semua orang Islam tahu bahawa Nabi Muhammad merupakan contoh manusia ideal; orang Islam mahu mencontohi sunah Rasulullah sedekat mungkin. Dalam pemikiran umat Islam, masyarakat Islam yang sebenarnya ialah masyarakat kota Madinah diikuti oleh masyarakat pada zaman Khalifah ar-Rasyidin. Cabarannya ialah bagaimana untuk menjadikan sesebuah masyarakat itu sedekat mungkin dengan masyarakat kota Madinah, dan bagaimana mahu mencontohi sunah Rasulullah. Itu sebabnya umat Islam mahu menubuhkan negara Islam.
Apakah maknanya sebuah negara Islam?
FEISAL: Ada konsensus di kalangan cerdik pandai mengenai ciri-ciri sebuah negara Islam berdasarkan kepada al-Quran dan Sunnah. Ini kerana syariah itu ditakrifkan hanya sebagai hukum-hukum, apa yang boleh dan tidak boleh dibuat seperti yang dinyatakan dalam al-Quran dan Sunnah, serta ijtihad.
Tetapi syariah tidak menuntut penubuhan sebuah negara Islam. Namun begitu ia menuntut orang Islam supaya mematuhi pemerintah dan menuntut pemerintah supaya berlaku adil dan menjaga keadilan, menjaga kebajikan orang miskin dan sebagainya.
Kenapakah tuan menyebut dalam buku What's Right with Islam bahawa Amerika Syarikat sebuah negara yang mematuhi syariah?
FEISAL: Ini kerana dokumen Perisytiharan Kemerdekaan yang menjadi asas penubuhannya itu mengatakan bahawa semua manusia dijadikan sama rata, bahawa mereka dianugerahkan oleh Pencipta dengan beberapa hak yang tidak boleh ditukar ganti seperti hidup, kebebasan dan usaha mencari kebahagian. Semua manusia dijadikan sama rata adalah mesej yang ada dalam semua agama Nabi Ibrahim, yang menjadi pengasas semua kepercayaan monotheisme (keesaan Tuhan) termasuklah Islam yang dikembangkan oleh Nabi Muhammad. Semua manusia itu pula diberikan hak yang tidak boleh ditukar ganti dengan apa-apa pun kerana ia hak yang dikurniakan oleh Tuhan, bukannya Perlembagaan.
Lima kurun sebelum Thomas Jefferson menulis perisytiharan itu, fuqaha Islam bersetuju bahawa syariah mempunyai hanya satu matlamat besar iaitu kebahagiaan di dunia (melalui muamalat) dan kesejahteraan di akhirat (melalui ibadat). Mereka bersetuju bahawa tujuan syariah atau maqasid al- syariah ialah untuk memuliakan dan melindungi agama, hidup, kehormatan, harta, keturunan dan intelek. Kalau kita melihat Perisytiharan Kemerdekaan Amerika Syarikat, ia jelas menyatakan nilai-nilai dalam Islam itu.
Apa pandangan tuan apabila sesetengah negara Islam tidak melaksanakan tuntutan-tuntutan tersebut?
FEISAL: Inilah masalahnya dengan pemikiran Islam tentang pemerintahan. Umat Islam tidak mengambil contoh daripada amalan pada zaman khalifah iaitu memilih pemimpin yang terbaik melalui bai'ah daripada rakyat. Bai'ah itu dari satu sisi ialah demokrasi, dan pilihan raya itu satu bai'ah. Konsep syura itu pula adalah Parlimen – perundingan dan permesyuaratan. Dalam al-Quran, Allah mengatakan bahawa manusia dijadikan sebagai makhluk yang mulia. Dalam al-Quran juga Allah mengatakan bahawa manusia “dijadikan lelaki dan wanita, bersuku-suku dan berbangsa-bangsa supaya kamu saling mengenal antara satu sama lain”. Allah menyuruh kita hidup bermasyarakat dan bukan membezakan warna kulit dan kepercayaan agama. Kita harus menghormati dan memuliakan perbezaan itu.
Adakah tuan bersetuju bahawa orang Islam telah gagal untuk menjelaskan tentang Islam kepada orang bukan Islam?
FEISAL: Kita boleh buat lebih baik lagi. Kata seorang kawan saya, orang Islam tidak sepatutnya menjadi hanya 20 peratus daripada penduduk dunia tetapi 80 peratus – hanya jika kita memahami dan mengamalkan Islam dengan betul. Islam memberikan sesuatu yang cukup bermakna kepada kemanusiaan. Ia muncul tanpa perantara (seperti kepaderian dalam Kristian) antara manusia dengan Allah. Tetapi masalahnya sekarang orang Islam mahu mewujudkan perantara antara mereka dengan Allah – alim ulama dan sebagainya. Akibatnya kita terputus hubungan dengan Tuhan.
Saya masih ingat lagu George Harrison, My Sweet Lord yang menyanyikan I really want to see you. Semasa tinggal di Klang, saya masih ingat perbualan saya dengan ayah. Saya bertanya apakah bukan kalimah syahadat itu bermakna bahawa kita naik saksi telah melihat Tuhan? Dia bersetuju. Saya katakan kepadanya bahawa saya belum lagi ‘melihat’ Allah dan saya merasakan diri saya seorang munafik. Ada sesuatu yang tidak kena; saya diajar untuk mengamalkan agama tetapi saya tidak diajar untuk merasainya. Saya mahu merasakannya. Semua orang juga rasa begitu, dan itu sebabnya orang mencari seseorang yang boleh memberikan mereka perasaan itu.
Di Malaysia sekarang ini timbul perbahasan tentang perlu atau tidak adanya seorang Mufti Besar. Apa pandangan tuan?
FEISAL: Hal ehwal agama Islam yang ditinggalkan kepada sultan semasa zaman penjajahan kemudiannya dikekalkan di bawah kuasa sultan apabila negara ini mencapai kemerdekaan. Agama Islam adalah urusan negeri dan bukannya kerajaan Persekutuan. Saya merasakan tentang perlunya satu penyatuan (fatwa) pada peringkat Persekutuan baik melalui seorang Mufti Besar atau ijmak majlis para mufti.
Tetapi apakah mufti dan jabatan agama itu tidak menjadi semacam satu bentuk perantara?
FEISAL: Islam agama yang mempunyai undang- undang. Apabila orang Amerika merasakan haknya dilanggar, mereka mengatakan ia bertentangan dengan Perlembagaan. Apabila orang Islam rasa dianiayai, mereka mengatakan itu tidak Islamik. Tetapi apabila orang Kristian mengatakan sesuatu itu tidak Kristian, ia bukan bermakna sesuatu itu salah dari segi undang-undang. Tetapi bertentangan dengan Perlembagaan itu salah dari segi moral dan undang-undang, sama seperti halnya dengan Islam.
Oleh itu, adalah penting undang-undang itu difahami. Apabila undang-undang Islam diintegrasikan dengan undang-undang sivil, ia mencetuskan masalah tafsiran, bidang kuasa dan sebagainya. Masalah- masalah ini mesti diselesaikan. Saya tahu apa yang berlaku di Malaysia sejak kebelakangan ini (tentang pertentangan bidang kuasa mahkamah sivil dan mahkamah syariah). Orang Islam mesti memahami agamanya sendiri, undang-undang agamanya dan bidang kuasanya. Kita tidak memahami agama kita sendiri, dan akibatnya kita tidak menguruskannya dengan baik. Inilah masalah umat Islam pada hari ini. Sebagai orang Islam, kita bertanggungjawab untuk memastikan bahawa sistem kita melaksanakan nilai-nilai Islam, dan bukannya (agama itu) digunakan untuk tujuan politik.