Oleh: ZIN MAHMUD (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 7 April 2007
BEBERAPA hari lalu ketika pulang dari pejabat, penulis terasa sedih apabila melihat sebuah kawasan kediaman banglo di atas bukit telah pun didirikan pondok pengawal dengan kayu palang menghalang jalan.
Melihat saja pondok pengawal dengan kayu penghalang itu teringat seolah-olah penulis berada dalam kem tentera. Pada waktu yang sama terkenang betapa pada zaman darurat dahulu, pemandangan seperti ini adalah perkara biasa bagi melindungi keselamatan.
Sememangnya tidak lama dahulu, penulis terdengar bahawa sebuah rumah banglo di situ menjadi sasaran pecah rumah dan rompakan di mana penghuninya pasti trauma kerana dikatakan diikat.
Di kawasan perumahan penulis, terdapat tiga kategori kediaman. Satu di kawasan banglo yang kebanyakan penghuninya adalah ahli-ahli perniagaan, politik dan profesional berjaya. Kedua ialah kediaman rumah teres, penghuninya adalah orang biasa termasuk wartawan. Ketiga ialah rumah apartmen yang penghuninya terdiri daripada golongan berpendapatan rendah dan anak-anak muda yang baru bekerja.
Dengan mengadakan kawalan ketat, maka perompak akan sukar untuk pecah rumah banglo-banglo itu. Tetapi mereka tidak akan berdiam diri. Pastinya sasaran gantian adalah rumah-rumah teres pula.
Maka selepas ini tidak mustahil akan kedengaran lebih banyak rumah teres menjadi sasaran pecah rumah. Akhirnya penghuni-penghuni terpaksa berpakat untuk mewujudkan sistem pondok pengawal dan kayu penghalang jalan.
Sekarang pun kita sudah melihat banyak tempat yang mempunyai kawalan keselamatan. Kawasan-kawasan perumahan baru diwujudkan dalam bentuk komuniti berpagar.
Cuba ingat betapa pihak berkuasa British mewujudkan kampung-kampung baru yang berpagar pada zaman darurat.
Maka timbul persoalan, apakah akan jadi pada negara kita?
Mungkin keadaan akan bertambah buruk dan akhirnya Kuala Lumpur boleh menjadi Johannesburg, kota paling tinggi kadar jenayah di dunia di mana rumah-rumah kediaman dipagar dengan duri berelektrik kerana terdapat banyak jenayah pecah rumah dan rompakan.
Orang perempuan pun sudah tidak selamat untuk berjalan sendirian. Beberapa hari lalu dua pelajar wanita di Bangi nyaris dirogol apabila menaiki bas yang menyamar sebagai kenderaan pengangkutan universiti.
Bagaimana hendak mengalahkan penjenayah-penjenayah ini?
Walaupun komunis pada zaman darurat dan penjenayah hari ini tidak boleh disamakan kerana yang satu didorong oleh ideologi politik sementara perompak hanyalah bermotif ekonomi, kaedah melawannya boleh dibuat contoh.
Pada satu peringkat, iaitu sekitar tahun 1950, kerajaan kolonial Malaya seolah-olah berputus harap untuk melawan komunis. Usaha menggunakan ketenteraan masih tidak menampakkan hasil.
Keadaan inilah yang mendorong kerajaan penjajah British untuk berpendapat bahawa kekuatan bersenjata saja tidak boleh mengalahkan pengganas komunis. Mereka juga mesti memenangi hati rakyat supaya tidak membantu komunis, lebih penting lagi tidak menyertai perjuangan mereka.
Maka dua sudut penyelesaian yang dilihat perlu dibuat ialah bentuk politik dan ekonomi. Oleh kerana komunis berjuang atas nama untuk kemerdekaan dan membela rakyat tertindas, maka penjajah British menimbangkan bahawa dengan memberikan kebebasan politik, maka dapat dielakkan negara ini jatuh ke tangan pengganas.
Bagi sudut ekonomi pula, penjajah British melihat bahawa jika penduduk Tanah Melayu mempunyai kedudukan ekonomi yang baik, maka tidak ada sebab bagi mereka untuk menyertai pengganas komunis.
Dalam usaha membanteras jenayah, kaedah penyelesaian berbeza daripada melawan pengganas komunis.
Tetapi persoalan timbul adakah dengan penambahan polis secara besar-besaran akhirnya kita dapat mengalahkan penjenayah-penjenayah itu? Untuk menambah bilangan polis pada angka yang betul-betul sepadan dengan kadar bilangan penduduk negara ini pun sukar untuk dicapai.
Ingatlah ketika melawan pengganas dahulu kerjasama luas antara tentera-tentera Komanwel dikerahkan bagi melawan pengganas.
Seringkali apabila ditanya apakah punca terbesar penambahan kadar jenayah negara? Maka jawapannya adalah kehadiran banyak pendatang tanpa izin dan kewujudan bilangan penagih dadah yang tinggi.
Maka ia berkaitan pula dengan kegagalan kawalan imigresen dan program pencegahan penyalahgunaan dadah. Tetapi terdapat juga faktor lain dalam peningkatan jenayah khususnya yang melibatkan pengangguran dan masalah sosio ekonomi dalam masyarakat.
Atau mungkinkah ada golongan yang terpinggir dalam masyarakat, baik dari segi sosial dan ekonomi hingga mereka tidak mempunyai rasa hormat kepada harta benda manusia lain serta undang-undang negara yang akhirnya membawa mereka terjerumus ke dalam kegiatan jenayah?
Mungkinkah jurang ekonomi antara golongan masyarakat semakin bertambah luas hingga sedikit sebanyak menyumbang kepada peningkatan jenayah di negara ini?
Atau adakah terdapat sesuatu dalam minda penjenayah yang dibentuk oleh suasana masyarakat yang terlalu bersifat materialistik hingga menghakis nilai-nilai murni. Sesuatu yang institusi agama dan sistem pendidikan negara kurang berjaya menanganinya.
Peristiwa di mana penjenayah mencuri harta benda masjid hingga baru-baru ini tergamak merosakkan al-Quran perlu diberi perhatian berat.
Adakah kita berjaya membina masjid-masjid cantik, tersergam dan mempunyai banyak harta perhiasan tetapi gagal menjadikannya institusi masyarakat yang menyemai nilai-nilai murni.