Oleh: Zin Mahmud (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 30 April 2007
Hakikatnya begini. Malaysia adalah sebuah negara membangun yang mempunyai fokus untuk mencapai tahap maju melalui pelbagai rancangan yang terperinci dan kompleks.
Untuk melaksanakan rancangan-rancangan itu, negara ini memerlukan sebuah kerajaan yang kuat bagi menggembleng semua tenaga dalam negara untuk mencapai tujuan itu.
Tetapi itu tidak bermakna kewajaran sebuah sistem autokratik kerana ternyata demokrasi merupakan amalan politik terbaik bagi manusia. Negara-negara autokratik yang berorientasikan pembangunan pun akhirnya gagal.
Demokrasi perlu supaya rakyat diberikan kebebasan untuk memilih kerajaannya. Sesiapa yang tidak berpuas hati boleh memilih pembangkang. Maka dinamika ini menjadikan mereka yang menang sentiasa dekat dengan rakyat.
Itulah yang terjadi di Malaysia. Kerajaan Perikatan dan Barisan Nasional (BN) berjaya dekat dengan rakyat hingga pihak pembangkang gagal mendapat ruang. Sistem ini berkesan walaupun untuk menyatakannya sebagai sempurna adalah suatu keangkuhan.
Secara umumnya rakyat negara ini faham dengan keperluan asas politik di negara ini. Atas sebab itu, setiap pilihan raya mereka memilih parti yang dipercayai boleh membawa pembangunan.
Daripada Perikatan sejak tahun 1955, dan berubah kepada BN mulai tahun 1974, yang memenangi setiap pilihan raya umum.
Maka Ijok adalah suatu kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tipikal di Malaysia. Mereka mahukan pembangunan dan bagi setiap pilihan raya, undi kebanyakan daripada mereka adalah untuk BN.
Walaupun calon BN seperti juga manusia lain bukanlah sempurna. Seperti di mana-mana tempat di Malaysia pun, terdapat rasa tidak puas hati tetapi tidaklah sampai kebanyakan daripada mereka mahu menukar parti dalam pengundian mereka.
Umumnya mereka percaya bahawa BN akan menyelesaikan masalah-masalah yang timbul dan parti itu adalah ikhlas dalam memberikan kebaikan. Sudah tentu ada kalanya timbul kecacatan dalam melaksanakan program pembangunan khususnya dari segi sistem penghantaran. Tetapi usaha sentiasa dibuat untuk memperbaiki keadaan.
Pilihan raya umum tahun 2004 menyaksikan kemenangan besar BN dengan pihak pembangkang begitu lumpuh. Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah tidak menjadi faktor dalam politik negara.
Maka setelah lebih dua tahun berlalu, timbullah kebangkitan gerakan pembangkang baru. Anwar telah bebas daripada tahanan. Parti Keadilan Nasional (Keadilan) bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) untuk menjadi Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Sementara mula timbul pelbagai kritikan dan komentar sinis terhadap kerajaan BN, yang kebanyakannya melalui Internet. Maka orang mula bercakap tentang teori ayunan pengundian.
Maknanya, tahun 1990, pengundi berayun pada pembangkang, maka tahun 1995, mereka beralih kepada pihak kerajaan. Tetapi kemudian pada tahun 1999, banyak pengundi menyokong pembangkang dan diikuti dengan pemantapan semula BN pada tahun 2004. Maka teori ini menunjukkan bahawa pilihan raya umum akan datang, BN diasak semula.
Malah terdapat cakap-cakap mengenai pentadbiran satu penggal. Lebih-lebih lagi adanya faktor Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Tetapi ayunan ini adalah teori pemerhati politik. Ia bukan suatu teori sains yang dapat diuji. Ia hanya andaian daripada pemerhatian dan latar belakang.
Justeru kebenarannya tidak ada untuk melihat landskap politik masa depan negara.
Hakikatnya, apa yang belum berlaku masih terbuka dan tidak boleh dijangka atau ditetapkan.
Apa yang nyata bahawa tidak ada isu besar menjelang pilihan raya umum akan datang. Tidak seperti pada tahun 1990 dan 1999 dengan perpecahan dalam UMNO yang menyaksikan Tengku Razaleigh dan Anwar muncul sebagai pencabar kepada Perdana Menteri waktu itu, pada masa ini landskap politik jauh berbeza. Rasa tidak puas hati, keluh-kesah, komen sinis dan spekulasi peribadi bukanlah isu besar yang boleh mencorak beza perjalanan politik negara.
Dalam keadaan UMNO dan BN bersatu, pihak pembangkang pula lemah. Lebih tepat lagi, amat lemah. Pas tidak sekuat seperti dahulu. Apa yang pasti, banyak cawangan PKR sudah lama beku.
Gabungan Keadilan dan PRM tidak memberi sebarang perbezaan. Ini kerana PRM sudah lama hanya menjadi seperti kelab intelektual bernostalgia. Sudahlah kecil, ia berpecah tiga; golongan rasmi yang bergabung menjadi PKR, segelintir yang enggan bergabung untuk terus mengekalkan PRM lama, dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang terus gagal untuk didaftarkan.
Satu lagi hakikat ialah banyak ahli Keadilan kembali menjadi ahli UMNO.
Paling jelas, pembebasan Anwar tidak menambah kekuatan pembangkang kerana beliau banyak masa berada di luar negara dalam waktu tempoh yang agak lama sebelum aktif baru-baru ini.
Sementara hubungan antara pihak pembangkang jauh daripada padu, masalah wujud antara Pas-PKR, Pas-DAP dan PKR-DAP.
Maka apabila peluang pilihan raya kecil timbul di Batu Talam, pihak pembangkang pula sibuk mempertikaikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), yang akhirnya membawa kepada pemboikotan.
Walaupun ada perkara di SPR yang boleh dibaiki tetapi umumnya suruhanjaya itu masih berada dalam lingkungan berkesan melaksanakan proses demokrasi ini.
Pemboikotan itu merampas peluang Pas untuk uji kekuatan di Batu Talam. Tetapi andai kata ia bertanding, apa yang ia boleh mengambil kira hanyalah perbezaan majoriti. Untuk menang adalah hanya impian.
Maka disebut bahawa BN tidak menghadapi masalah dengan orang Melayu. Cabarannya adalah daripada pengundi Cina. Ini pula dikaitkan dengan prestasi ekonomi.
Justeru, apabila peluang pilihan raya kecil timbul di Machap, DAP sepatutnya dapat menunjukkan prestasinya. Tetapi ternyata kawasan selamat BN tetap milik gabungan parti itu.
Setelah tiada nampak sebarang sinar di Batu Talam dan Machap, maka Ijok memberi peluang baru kepada pembangkang.
Sejak dari awal lagi, sukar untuk PKR mencacatkan pencapaian BN, apatah lagi menang di kawasan itu. Tidak ada aktivis pembangkang yang kuat di Ijok. Suasana penduduk di situ pula adalah menyokong BN. Bukanlah tidak ada penyokong pembangkang. Adalah segelintir penyokong Pas dan secara teras memang akan mengundi pembangkang. Tetapi mereka tidak dapat menandingi mana-mana calon BN.
Bagaimanapun setelah berkempen beberapa hari, dengan Anwar berada di Ijok hampir setiap hari, PKR bertambah yakin seolah-olah mampu merampas Ijok. Timbul harapan bahawa Ijok akan menjadi Lunas sedangkan perbezaan antara keduanya adalah ketara. Mungkin mereka termakan dengan propaganda sendiri.