Oleh: DATUK MUHAMMAD ALIAS
Sumber: Utusan Malaysia 16 Ogos 2007
PRESIDEN Bush ketika melawat Pusat Islam Washington (ICW) akhir Jun lalu membuat satu pengumuman yang penting berhubung dengan dasar luar Amerika Syarikat (AS). Menurut Bush AS akan melantik duta ke Persidangan Negara-Negara Islam (OIC).
Pasti ini satu perkembangan yang menarik, meskipun agaknya ramai umat Islam skeptikal dengan tujuan sebenar di sebalik pelantikan duta ini.
Secara am ia satu bukti yang AS mengakui tentang peranan penting yang dimainkan oleh OIC. Tidak dinafikan juga bahawa negara-negara OIC merupakan paling bermasalah dibanding dengan negara-negara lain.
Di satu sudut yang lain kehadiran duta AS di OIC boleh mempertingkatkan hubungan di samping merapatkan jurang perbezaan antara kedua-dua belah pihak dalam pelbagai isu melibatkan umat Islam.
Boleh dikatakan OIC dan AS serta negara-negara Barat mempunyai perbezaan yang luas dalam isu-isu melibatkan demokrasi, kemiskinan dan keganasan.
Umat Islam melihat ketidakadilan kuasa-kuasa Barat dalam menangani isu-isu melibatkan negara-negara Islam. AS didakwa menggunakan dasar berat sebelah.
Ketidaksungguhan kuasa-kuasa Barat menyelesaikan masalah melibatkan umat Islam menyebabkan ada antara konflik berlanjutan hingga lebih separuh abad. Umpamanya Palestin dan Kashmir.
Kalau dilihat sekali lalu, matlamat utama pelantikan duta AS ke OIC adalah untuk menangani isu ekstremisme yang meningkat di kalangan penduduk beberapa buah negara Islam termasuk sekutu rapat AS.
Bergantung
Bagaimanapun, kejayaan AS bergantung kepada tindak-tanduk dan program-program yang akan dijalankan.
Selain daripada faktor-faktor tersebut, OIC sudah tentu mempunyai beberapa isu lain yang lebih penting yang bakal dibincangkan dengan duta AS ke OIC nanti.
Paling teratas sudah tentu konflik Asia Barat. Selain daripada memberi penekanan bahawa masalah Palestin merupakan punca utama kepada ketegangan di Asia Barat. Perdamaian tidak akan berkekalan sekiranya penyelesaian bersifat berat sebelah.
Di samping itu, OIC juga rasanya akan menyentuh isu-isu yang boleh menimbulkan konflik pertentangan agama dan tamadun antara Barat dengan dunia Islam.
Begitu juga dengan kenyataan-kenyataan pemimpin politik AS yang dikira sensitif dan provokatif. Ini termasuklah kenyataan calon presiden, Barack Obama dan Tom Tancredo untuk menyerang Pakistan dan Mekah serta Madinah dengan senjata nuklear.
Kenyataan-kenyataan seumpama ini adalah bertentangan dengan hasrat AS untuk mewujudkan hubungan baik dengan negara-negara Islam. Apatah lagi kenyataan-kenyataan tersebut datangnya dari calon-calon presiden.
Seperkara yang jelas, tidak ramai umat Islam yang menganalisis sesuatu isu dari kaca mata AS. Peristiwa 11 September 2001, dianggap sebagai deklarasi perang ke atas negara itu. AS menganggap serangan ini dilakukan oleh kumpulan ekstremis yang membahayakan dunia dan mesti dihapuskan.
Ada umat Islam mendakwa serangan tersebut sebagai tindak balas terhadap ketidakadilan dasar AS terhadap Palestin. Secara amnya ramai umat Islam marahkan AS kerana dasarnya yang berat sebelah terhadap Israel.
Tetapi kepada AS, ia melibatkan kepentingan negara. Israel adalah kawan paling rapat dan benteng utama untuk menyekat kuasa-kuasa anti AS di Asia Barat dan pengaruh Rusia ketika perang dingin.
Lantaran itu AS sanggup berbuat apa saja untuk mempertahankan Israel berdasarkan kepentingan negara. Tidak mungkin AS akan mengubah dasarnya terhadap Israel. Biarpun siapa dan parti mana yang menjadi presiden atau menguasai Kongres.
Pesimistik? Tetapi itulah hakikatnya.
Rasanya sukar untuk memahami keunikan dasar AS. Di sebalik imejnya yang menjunam di kalangan negara-negara Islam, AS membawa masuk ramai pelarian Islam dari negara-negara Islam yang bergolak. Malahan ia merupakan destinasi paling popular di kalangan kaum imigran Islam.
Tidak syak lagi dialog yang berterusan merupakan langkah bijak untuk mengendurkan ketegangan. Dan OIC mempunyai peranan yang cukup penting.