Demokrasi tanpa semangat

Oleh: Zin Mahmud
Sumber: Mingguan Malaysia 30 April 2006


BUAT pertama kali sejak pilihan raya tahun 1988, parti pemerintah Singapura, Parti Tindakan Rakyat (PAP) tidak menang semasa hari penamaan calon Khamis lalu. Ia mengejutkan memandangkan dengan segala tekanan perundangan, pihak-pihak pembangkang yang terdiri daripada Parti Pekerja (WP), Perikatan Demokratik Singapura (SDA) dan Parti Demokratik Singapura (SDP) dapat juga meletakkan calon di 47 daripada 84 kerusi yang dipertandingkan.

Tetapi tidak ada siapa yang dapat menyatakan PAP akan kalah. Parti ini amat cekap dan kuat dan pasti menang.

Perkembangan ini juga bukan mengejutkan kerana sudah beberapa tahun, PAP termasuk pengasasnya Lee Kuan Yew sentiasa mengalu-alukan penyertaan pembangkang. Bukannya untuk menyegarkan demokrasi tetapi sebagai kaedah meningkatkan kualiti pemimpin-pemimpin mudanya. Maknanya, PAP tidak ada niat untuk menggalakkan tumbuhnya tradisi kepembangkangan, yang sepatutnya menjadi ciri penting dalam sesebuah demokrasi yang dinamik.

Justeru, pihak pembangkang di Singapura menjadi alat parti pemerintah untuk kepentingan dirinya, sekurang-kurangnya tanpa disedari.

Lagipun imej Singapura sebagai sebuah negara demokrasi juga tidak begitu baik tanpa adanya pembangkang aktif. Maka kehadiran pembangkang itu turut menyumbang kepada imej baru keterbukaan seiring dengan penekanan kerajaan Singapura terhadap usaha penggalakan aktiviti budaya dan kreativiti.

Itu pun juga bertujuan meningkatkan daya saing rakyat Singapura dalam menghasilkan produk dan perkhidmatan di pasaran global. Bukannya untuk membentuk masyarakat demokratik, tetapi lebih mengukuhkan keutuhan nasional dalam ekonomi. Ia sebenarnya sebahagian daripada komitmen terhadap nasionalisme.

Maka demokrasi di Singapura menjadi alat negara. Sebagai sebuah negara kota yang kecil, Singapura tidak mampu untuk bereksperimen dengan idea-idea politik lain daripada apa yang dirintis oleh PAP dan dianggap sebagai berjaya.

Maka sistem demokrasi di Singapura boleh dianggap sebagai demokrasi dikawal, oleh elit politik PAP untuk kepentingan negara. Tetapi adakah ia merupakan perkara yang salah?

Sistem demokrasi asalnya pun bermula di sebuah negara kota pada zaman Yunani, Athens.

Oleh kerana sistem pengangkutan yang sukar dan kekuatan tentera terbatas, maka tidaklah muncul empayar dan negara besar.

Yang ada ialah negara-negara kota di seluruh dunia Yunani. Dua negara kota terkenal ialah Athens dan Sparta. Athens terkenal sebagai pengasas demokrasi sementara Sparta sebagai negara diktator tentera di mana semuanya dirancang untuk kepentingan negara. Ia merupakan kebalikan di antara satu sama lain.

Sparta merupakan negara yang mengatur hidup setiap individu rakyatnya, dari kecil hingga dewasa untuk berkhidmat kepada negara.

Dari segi zahirnya, Singapura yang mengamalkan sistem demokrasi adalah seperti menurut Athens. Tetapi sikap perancangan yang begitu teliti terhadap rakyatnya lebih menggambarkan Singapura sebagai Sparta daripada Athens.

Kemudian Yunani dan segala negara-negara kota ini musnah ditelan oleh Empayar Macedonia pimpinan Iskandar Agung.

Walaupun Iskandar tidak mengamalkan demokrasi dalam pemerintahannya tetapi dia adalah murid kepada ahli-ahli falsafah Athens, Aristotles yang mewarisi keilmuan Plato dan Socrates. Plato terkenal dengan karyanya, republik yang menggariskan negara utopia dan membayangkan nilai demokrasi Athens. Idea- idea ini tersebar ke seluruh empayarnya.

Empayar Iskandar ini kemudian diganti dengan empayar Rom. Mereka tidak mengamalkan demokrasi. Tetapi sehingga zaman Julius Caesar, Rom adalah sebuah republik dan memiliki Senat yang bercirikan demokrasi juga.

Empayar Rom diwarisi oleh Khilafah Umaiah dan Abasiah. Mereka menjadi pengkaji dan pewaris pemikiran Yunani termasuk karya Plato itu. Banyak wacana politik Islam diwarnai daripada pemikiranpemikiran ini juga.

Selepas Perang Salib, banyaklah karya Yunani yang diwarisi oleh cendekiawan Islam dibawa pulang oleh tentera-tentera salib dari Eropah.

Buku-buku Yunani dan Arab ini menjadi pencetus era Renaisans dan kemudian Enlightenment. Ia menjadi penggerak kepada minat elit Itali terhadap apa saja tentang Yunani dan Rom. Penziarah-penziarah agama Kristian ke Vatican, Rom pula membawa minat ini pulang ke negara masing-masing termasuk Perancis dan Britain.

Di Britain, berlakulah perjanjian Magna Carta yang memisahkan kuasa raja dengan bangsawan dan selanjutnya mewujudkan raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen. House of Commons di tebing Sungai Thames, London menjadi ibu demokrasi moden.

Sistem ini turut menyumbang kepada tertubuhnya Empayar British yang sampai kepada kemuncaknya pada zaman Ratu Victoria. Ia melahirkan parti-parti politik Whig, Konservatif dan kemudian Liberal.

Empayar British yang berasaskan kekuatan maritim tersebar di seluruh dunia. Tetapi ketika England mengamalkan demokrasi, mereka menindas tanah-tanah jajahannya. Paling teruk ialah jirannya sendiri yang dijadikan tanah jajahan iaitu Ireland. Masalah Ireland Utara hingga ke hari ini tidak selesai.

Empayar Inggeris meliputi Amerika Utara di mana orang mereka sendiri menjadi warga tanah jajahan. Semua tanah jajahan tidak diberikan hak demokrasi, termasuk 13 tanah jajahan yang didiami oleh mereka yang merupakan asalnya dari England di Amerika Utara.

Akhirnya atas slogan “tiada cukai tanpa perwakilan” 13 tanah jajahan ini memberontak dan mengisytiharkan kemerdekaan dalam satu revolusi yang mewujudkan Amerika Syarikat (AS).

Pengasasnya mengisytiharkan negara mereka sebagai demokrasi yang lebih baik daripada Britain. Ini kerana mereka mengamalkan sistem republik dengan presidennya dipilih langsung oleh rakyat.

Pengaruh

Hakikat bahawa hamba-hamba tidak diberi hak kebebasan adalah satu perkara yang tidak diambil berat ketika itu.

Britain dan AS walaupun menyifatkan diri mereka sebagai demokrasi tetapi tidak pernah berminat untuk mengeksport idealisme itu. Sebaliknya mereka meluaskan pengaruh dan hegemoni tanpa mempedulikan semangat dan nilai-nilai demokrasi. AS menakluki tanah- tanah jajahan Sepanyol dan melalui Doktrin Monroe menetapkan hegemoni ke atas Amerika Selatan. Sementara Britain memiliki empayar paling unggul merentasi benua Asia, Afrika dan Amerika Utara. Termasuklah di bumi Nusantara.

Ketika ia sampai ke Nusantara, Belanda sudah bertapak di Melaka dan menguasai laluan dagang Nusantara.

Walaupun kota Melaka sudah terlepas ke tangan kuasa Barat, tetapi Kesultanan Melayu Melaka masih kukuh dengan kekuasaan meliputi sebahagian Semenanjung Tanah Melayu Sumatera. Ini termasuklah Pahang, Singapura, Riau, Linggi, Kampar dan Siak. Setelah Melaka tumbang, ibu kota kesultanan ini berpindah ke Kota Tinggi, dan ada masanya sultannya bersemayam di Lingga-Riau.

Di Singapura, mereka juga mempunyai istana. Kesultanan Melayu ini berubah nama daripada Kesultanan Melaka kepada Johor- Riau-Linggi sebagai menurut kedudukan geografinya.

British dan Belanda, yang memberontak untuk merdeka daripada Sepanyol mengamalkan demokrasi di negara masing-masing tetapi tidak pernah berniat dan berminat untuk menyebarkannya di kepulauan Melayu.

Kejayaan British pertama di Nusantara ialah apabila dapat bertapak di Pulau Pinang. Dengan tipu daya dan kelemahan Kedah menghadapi Siam, pulau itu jatuh ke tangan British. Kemudian ia dapat bertapak di Singapura melalui perjanjian dengan Kesultanan Johor- Riau. Lagipun kesultanan ini menjadi begitu lemah akibat hutang dan berwawasan cetek. Malah pemerintahan Pahang jatuh kepada Bendaharanya sementara Johor beralih tangan kepada Temenggungnya, yang lebih berwawasan dan terus akhirnya menjadi sultan-sultan yang diiktiraf British.

Dapat dibayangkan betapa Kesultanan Melayu dari warisan Melaka yang kemudian menjadi Johor-Riau-Lingga ini berkedudukan kuat dan berwawasan, mungkin ia dapat menubuhkan sebuah negara Melayu moden meliputi Pahang, Johor, Singapura, Riau, Lingga dan sebahagian daripada Sumatera. Maka tidak timbul penjajahan Inggeris dan Belanda di kawasan ini.

Raja Siam, Mongkut dan Maharaja Jepun, Meiji contohnya dapat menghalang kemasukan penjajah dengan memiliki wawasan jauh.

Setelah Pulau Pinang dan Singapura, British berjaya mendapat tapak di Bangkahulu, Sumatera.

Selepas itu dua perjanjian antara London dan Amsterdam serta London dan Bangkok memuktamadkan nasib Nusantara.

Perjanjian Inggeris-Siam menetapkan pembahagian negeri-negeri Melayu di utara Semananjung. Bahagian utara menjadi milik Siam sementara di selatannya, diletakkan di bawah pengaruh British.

Sementara perjanjian Inggeris-Belanda memisahkan Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura di bawah pengaruh Inggeris sementara pulau-pulau Melayu lain diletakkan di bawah Belanda. Bangkahulu ditukarkan dengan Melaka.

Wilayah Kesultanan Johor-Riau-Lingga kemudian terbahagi empat. Riau-Lingga, Singapura, Johor dan Pahang. Riau-Lingga terletak di bawah Hindia Belanda. Singapura sebahagian daripada negeri-negeri Selat. Pahang sebahagian daripada negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Johor adalah negeri-negeri tidak bersekutu yang masih kekal dengan kemerdekaan dan kedaulatannya.

Ketika menjadi tanah jajahan British sebelum Perang Dunia Kedua, Singapura menjadi kota kosmopolitan bagi Nusantara. Malah elit Melayu dalam pelbagai bidang, budaya, agama dan dagang bertumpu ke Singapura.

Walaupun penduduk majoriti adalah pendatang Cina dan kekuasaan terletak di tangan Inggeris tetapi ciri sebagai kota kosmopolitan Melayu tetap wujud kerana ia menjadi pusat lalu-lalang kapal-kapal orang Melayu yang sememangnya bersifat maritim.

Terbuka

Maka tidak hairanlah pemikiran moden Melayu berkembang mudah di Singapura yang lebih bebas dan terbuka berbanding dengan negeri-negeri Melayu lain. Selain daripada soal politik, kota Singapura tahun 30-an menikmati demokrasi budaya dan pemikiran. Maka di situlah lahir akhbar Utusan Melayu pada tahun 1930. Nama- nama besar kewartawanan dan kesusasteraan Melayu muncul di Singapura. Begitu juga dalam bidang filem.

Singapura tidak merdeka tetapi menikmati demokrasi budaya di bawah penjajahan British. Kebudayaan Melayu moden turut berkembang dalam suasana ini.

Tetapi British hanya menyifatkan Singapura sebagai pangkalan tentera dan dagang yang tidak perlu memiliki nasionalisme apatah lagi demokrasi.

Selepas Perang Dunia Kedua dengan menyifatkan raja-raja Melayu telah bekerjasama dengan Jepun, Britain tidak lagi mahu menjadi penaung kepada negeri-negeri Melayu, tetapi sebaliknya menjadi penjajah sebenar. Ia menyatukan semua negeri Melayu di Semenanjung dengan Pulau Pinang dan Melaka dalam satu gagasan Malayan Union yang merupakan tanah jajahan British.

Tetapi Singapura dipisahkannya untuk terus menjadi pangkalan tentera British.

Penentangan Dato’ Onn Jaafar mengubah segala-galanya. Tuntutan untuk kemerdekaan mendorong British memaksa amalan demokrasi di Tanah Melayu.

Maka ia juga mendorong kepada amalan demokrasi di Singapura, bermula sebagai pemerintahan sendiri dan kemudian menikmati demokrasi menjelang penyertaan Singapura ke dalam Malaysia.

Dengan terkeluarnya Singapura daripada Malaysia, amalan demokrasi di republik itu hanya menurut tafsiran PAP. Demokrasi bukanlah satu idealisme apatah lagi keperluan untuk republik itu.

Read more!

Sebab apa murid sekolah ponteng

Oleh: ZIN MAHMUD (Wartawan Utusan)
Sumber: Utusan Malaysia 29 April 2006


MATA memang sakit apabila melihat murid-murid tidak pergi ke sekolah di kawasan sekitar rumah penulis. Hampir setiap hari penulis minum teh tarik di sebuah kedai mamak tidak jauh dari kediaman, akan ada murid-murid sekolah yang ponteng

Pelbagai kaum, Melayu, Cina dan India. Pertama yang menerjah dalam fikiran penulis ialah apa akan jadi mereka? Kasihan ibu bapa mereka yang mengharapkan anak yang berdisiplin dan menghadiri sekolah.

Ada masa penulis pergi minum di kawasan perumahan lain pada sebelah pagi, begitu juga akan ada murid-murid yang ponteng sekolah.

Tidak jauh dari kedai mamak itu ada kafe siber. Di situlah tumpuan murid-murid sekolah yang ponteng ini. Mereka akan menghabiskan masa bermain dengan komputer. Ya, zaman sudah berubah. Kalau dulu pada zaman penulis kecil-kecil, murid sekolah yang ponteng akan merayau ke parit-parit mencari ikan. Zaman sekarang di bandar, tumpuannya ialah kafe siber.

Umumnya, murid-murid sekolah ini - sekitar tingkatan empat dan lima merokok. Di sinilah mereka mula mengenal rokok, dan akan terus menjadi perokok sepanjang hayat.

Segelintir kecil akan terjebak dalam penagihan dadah.

Ada satu ketika, sedang sekumpulan murid-murid sedang ponteng dan menghabiskan masa keemasan mereka di kedai mamak. Tiba-tiba datang seorang lelaki menunggang motosikal dan memarahi kumpulan murid-murid itu. Rupanya, dia adalah bapa salah seorang murid itu. Dia mengambil anaknya dan kemudian hantar ke sekolah. Tetapi sempat ia memarahi kawan-kawan anaknya.

“Kalau tak nak pergi sekolah, suka hatilah, tapi jangan ajak anak pakcik,” katanya. Nada suara lelaki itu adalah memilukan. Betapa kecewanya melihat perangai anaknya yang tidak mahu pergi ke sekolah.

Mengapa jadi demikian? Yang ponteng sekolah hanyalah segelintir. Tetapi ia berlaku berleluasa di seluruh negara. Budak-budak ini tidak berminat untuk ke sekolah.

Ada suatu yang tidak kena dengan sistem pendidikan negara. Tumpuan kita adalah kepada kanak-kanak cemerlang hingga tidak begitu memikirkan dan memberi perhatian kepada kanak-kanak dan remaja yang tidak boleh menyesuaikan diri dengan sistem persekolahan.

Kerajaan sudah bersetuju meminda akta memberi kuasa kepada polis untuk menahan murid ponteng sekolah. Tetapi pada hemat saya, ia tidak akan menyelesaikan ponteng sekolah.

Ia hanya menambah kerja polis dan memaksa murid berada di sekolah yang tidak disukainya.

Pelbagai cara kerajaan lakukan untuk menjadikan sekolah menarik bagi kanak-kanak dan remaja. Antaranya ialah program yang dinamakan sekolahku, syurgaku. Tetapi sekolah hanya menarik bagi sebahagian besar pelajar. Ada segelintir yang sememangnya tidak berminat untuk belajar akademik. Mereka harus diberikan pendidikan dalam bentuk lain, bukannya akademik.

Umumnya, pelajaran yang diberikan di sekolah sesuai untuk mereka yang berminda akademik, lebih-lebih lagi pelajar perempuan. Tetapi pelajar lelaki yang mempunyai tenaga yang banyak dan mahu perkara-perkara yang lebih mencabar dalam bentuk fizikal tentu tidak dapat menyesuaikan diri di sekolah.

Murid-murid yang tidak meminati pelajaran akademik sudah tentu lemah pencapaiannya. Kalau dahulu mereka akan meninggalkan sekolah selepas tingakatan tiga kerana gagal Sijil Pelajaran Malaysia (SRP). kemudian mereka masuki dunia pekerjaan atau belajar perkara-perkara yang berbentuk kemahiran. Di situ mereka lebih sesuai.

Tetapi kini mereka dipaksa untuk terus berada di sekolah walaupun pencapaian Penilaian Menengah Rendah (PMR) mereka minimum. Mereka jelas tidak sesuai untuk belajar akademik. Bagi yang bernasib baik, dapatlah pergi ke sekolah vokasional yang sesuai untuk mereka.Tetapi sekolah vokasional dan kolej komuniti di negara ini jauh daripada mencukupi. Kita lebih sibuk mendirikan universiti-universiti baru untuk pelajar-pelajar cemerlang sedangkan remaja bermasalah terpinggir daripada perhatian kita.

Satu contoh lagi ialah mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Ia sememangnya menguntungkan pelajar-pelajar cemerlang kerana penguasaan bahasa Inggeris membolehkan mereka lebih mudah untuk belajar di peringkat tinggi kelak, termasuk ke luar negara.

Tetapi bagi pelajar lemah, bukan saja mereka tidak dapat menguasai bahasa Inggeris, tetapi kemahiran pemikiran saintifik dan matematik turut terlepas kerana halangan bahasa.

Masalah ponteng di sekolah menengah juga menandakan terdapat faktor-faktor kegagalan di peringkat sekolah rendah.Ada suatu yang tidak kena di sekolah-sekolah rendah.

Read more!

Lebih bermakna daripada menjadi angkasawan

Oleh: Zin Mahmud (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber:Utusan Malaysia 28 April 2006


Antara perkataan-perkataan indah dalam bahasa Malaysia ialah ‘angkasawan'. Cuba bandingkan dengan istilah bahasa Inggeris, iaitu astronaut. Perkataan angkasawan, sekurang-kurangnya bagi telinga orang Melayu adalah lebih indah.

Astronaut dicipta daripada perkataan astro, dalam bahasa Yunani yang bermaksud bintang. Perkataan ini dicipta oleh Amerika Syarikat (AS) ketika mereka mula melancarkan angkasawan mereka.

Tetapi penutur bahasa Inggeris bukanlah orang pertama yang pergi ke angkasa. Angkasawan pertama dunia ialah dari kalangan penutur bahasa Rusia, iaitu Yuri Gagarin.

Rusia adalah negara yang melancarkan kapal angkasa pertama, iaitu Sputnik. Ia juga melancarkan haiwan pertama, iaitu anjing bernama Laika. Ia juga melancarkan angkasawan wanita pertama iaitu Valentino Tereshkova. Semua kapal angkasa ini berjaya dilancar pada zaman Rusia diperintah komunis.

Bagaimanapun dalam bahasa Melayu, angkasawan wanita tidak pula disebut sebagai angkasawati. Mereka tetap dipanggil angkasawan. Seperti mana wartawan wanita tidaklah dipanggil wartawati.

Ketika Gagarin dilancarkan ke angkasa, bukan saja orang Rusia tidak memanggilnya astronaut, tetapi dunia bahasa Inggeris juga turut menggunakan istilah bahasa Rusia iaitu cosmonout. Perkataan ini lahir daripada istilah cosmo, daripada bahasa Yunani yang bererti semesta.

Persaingan antara AS dan Soviet dalam perlumbaan kapal angkasa adalah sengit, masing-masing berpegang pada istilah angkasawannya tersendiri walaupun dalam bahasa Inggeris. Maka apabila disebut astronaut, ia merujuk kepada angkasawan AS. Tetapi apabila merujuk kepada angkasawan Soviet, ia dipanggil cosmonaut.

Persaingan antara kedua kuasa angkasa ini hanya berakhir setelah Kesatuan Soviet tumbang. Dengan berakhirnya Perang Dingin, muncul pula kuasa baru yang asalnya komunis tetapi telah mengamalkan sistem ekonomi kapitalis, iaitu China. Mereka telah melancarkan angkasawannya sendiri. Mereka tidak mahu dipanggil astronaut atau cosmonaut, tetapi memilih untuk disebut sebagai taikonaut.

Kejayaan Gagarin dan Tereshkova dahulu sememangnya mengkagumkan dunia. Malah di kalangan masyarakat Melayu muncullah nama-nama seperti Yuri dan Valentino sebagai tanda penghargaan bapa mereka kepada kejayaan angkasawan komunis itu.

Paling bermakna terhadap kejayaan mereka ialah tersentaknya kesedaran di kalangan rakyat AS tentang kepentingan pendidikan sains. Sejak itu Washington di bawah kepimpinan Presiden John Kennedy melancarkan program besar-besaran untuk meningkatkan keupayaan saintifik mereka. langkah ini bertujuan untuk tidak dikalahkan oleh Kesatuan Soviet.

Menguasai

Jika mereka kalah, maka komunisme akan menguasai dunia. Pendidikan besar-besaran sains dan teknologi ini menrubah AS, dan dunia juga. Ia bukan saja merintis kepada kemenangan sisten demokrasi dan kapitalisme mengatasi kediktatoran komunisme. Tetapi tidak keterlaluan untuk dinyatakan bahawa akibat tekanan ini, AS membawa dunia ke zaman komputer dan internet yang ada pada hari ini.

Kini warganegara Malaysia menumpang kapal angkasa Rusia untuk mendapat gelaran angkasawan.

Perkataan ‘wan’ dalam bahasa Malaysia merupakan imbuhan yang merujuk kepada kerjaya atau kedudukan seseorang.

Bagi orang Malaysia pada awal-awal pembentukan negara, perkataan angkasa sememangnya dipandang indah selain maksudnya yang juga tinggi. Maka tidak menghairankanlah badan yang menggabungkan koperasi negara iaitu Angkatan Koperasi Kebangsaan dipendekkan namanya untuk dikenali sebagai Angkasa. Sementara bangunan RTM dikenali sebagai Angkasapuri dan seorang pendeklamasi sajak patriotik terkenal bernama Nuri Angkasa.

Tetapi perkembangan paling bermakna dalam kekaguman negara terhadap angkasa ialah apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad menubuhkan Bahagian Kajian Sains Angkasa di Jabatan Perdana Menteri (BAKSA) yang mengendalikan Planetarium Negara. Kini BAKSA dikenali sebagai Agensi Angkasa Lepas Kebangsaan (Angkasa).

Sememangnya pelancaran angkasawan Malaysia adalah suatu mercu tanda bagi sejarah negara ini. Tetapi apabila dilihat secara global, menjadi angkasawan dengan menumpang kapal angkasa orang lain adalah suatu yang tidak begitu bermakna. Banyak negara sudah mengirim angkasawan mereka dengan cara ini, yang tidak jauh bezanya seperti pelancong angkasa.

Apa yang lebih bermakna daripada menjadi angkasawan ialah kajian dan pengetahuan di sebaliknya.

Lebih bermakna jika Angkasa menggalakkan penubuhan kelab-kelab astronomi amatur di seluruh negara, daripada peringkat sekolah kepada tahap tempatan.

Kesedaran masyarakat terhadap pengetahuan astronomi dan kosmologi adalah jauh lebih bermakna.

Read more!

Cabaran berbeza bagi wanita

Oleh: Zin Mahmud (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 26 April 2006


Banyaknya wanita dalam institut pengajian tinggi (IPT) berbanding lelaki bukanlah fenomena yang pelik. Begitu juga dengan peningkatan golongan profesional dan pemimpin politik.

Ia tidak hanya berlaku di Malaysia, tetapi di seluruh dunia. Terdapat satu artikel dalam majalah Scientific American beberapa tahun lalu yang membuat kajian mengenai gejala peningkatan mendadak pelajar wanita di IPT.

Semua negara maju kecuali Jerman turut mengalami fenomena ini. Justeru, peningkatan mendadak pencapaian wanita dalam akademik adalah suatu yang menjadi hakikat dan realiti.

Begitu juga apa yang dibincangkan dalam satu program BBC mengenai ramalan bagi masa depan. Selain daripada fenomena berhubung teknologi dan globalisasi, ia meletakkan kebangkitan wanita dalam bidang-bidang profesional merupakan suatu yang hampir pasti. Sementara kemenangan banyak ahli politik wanita sebagai ketua kerajaan dunia juga menunjukkan fenomena ini.

Mengapa kebangkitan wanita yang mendadak ini? Ia merupakan suatu evolusi manusia dan alam di mana kedudukan wanita terpinggir dan tertindas dalam kepimpinan manusia bertukar akibat perubahan daripada ekonomi pertanian ke perindustrian, hinggalah kepada era maklumat serta kreativiti hari ini. Ditambah pula dorongan daripada fahaman feminisme yang kian diterima oleh tamadun moden di seluruh dunia. Islam juga menerima pengaruh dan penyesuaian dalam asakan perubahan ini.

Dalam keadaan ini, landskap dunia yang selama ini didominasi oleh citra lelaki pasti turut mendatangkan kesan. Ia telah dialami oleh dunia komersial di mana daya pembelian tinggi wanita mencorakkan produk dalam pasaran.

Sememangnya lelaki dan wanita saling lengkap-melengkapi bukan saja dalam keluarga tetapi juga masyarakat. Imbangan antara kedua citra perlu ada.

Di sinilah cabaran baru.

Walaupun wanita mencapai kecemerlangan akademik, profesional, komersial dan juga politik, tetapi jika keupayaan mereka dalam soal intelektual dan kepimpinan tidak turut meningkat, maka ia akan mendatangkan masalah kepada masyarakat.

Justeru wanita-wanita yang berjaya dalam akademik mereka, dan seterusnya cemerlang dalam kerjaya wajar turut mengambil berat tentang sisi intelektual dan kepimpinan.

Mereka mesti banyak membaca, dan bukan hanya novel-novel cinta, serta menaruh minat terhadap masalah masyarakat dan perkara besar seperti mana kebiasaan kaum lelaki.

Sememangnya psikologi wanita berbeza. Umumnya, wanita cenderung untuk melihat perkara mikro, sementara lelaki pada makro.

Maka tidak hairanlah di sekolah-sekolah yang banyak dipimpin wanita, keadaan ini terserlah dalam cara pentadbirannya.

Di sinilah cabarannya bagi wanita baru yang akan memimpin dunia. Mereka mesti meningkatkan kemahiran memimpin khususnya terhadap lelaki yang dari segi evolusinya selama ini mendominasi kuasa dalam masyarakat manusia.

Dunia juga wajar menyesuaikan diri dalam fenomena baru ini dan ia tidaklah mudah.

Read more!

Makna perjuangan Ghafar

Oleh: ZIN MAHMUD (Wartawan Utusan)
Sumber: Utusan Malaysia 24 April 2006


TAN Sri Ghazali Shafie pernah menulis: "Saya secara ikhlas mengharap bahawa satu hari, setelah keserabutan politik tidak wujud lagi, ahli-ahli sejarah yang mengkaji perkembangan mengenai Malaysia hingga ke soal perkembangan sosioekonomi dan politik dan ahli biografi terlatih akan mencari potret manusia bernama Ghafar. Kedua-dua ahli sejarah dan ahli biografi akan akhirnya tidak dapat mengelak untuk sampai kepada satu kesimpulan bahawa pembentukan masyarakat Malaysia dan sikap egalitarian Ghafar adalah selaras, kalau tidak dianggap semakna.''

Hakikat bahawa Ghafar adalah seorang yang sederhana dan pejuang golongan susah tidak dapat dinafikan. Beliau bukan saja menampilkan perawakan sederhana yang bersifatkan kerakyatan tetapi sepanjang kariernya telah berjaya menolak sebarang gelaran dan terus dikenali hanya sebagai Encik Ghafar hinggalah beliau berundur dari politik apabila dianugerahkan dengan bintang yang membawa gelaran Tun.

Beliau sendiri datang daripada keluarga yang amat susah. Menjadi anak yatim dan terpaksa bersusah payah untuk mendapatkan pendidikan dan pendapatan. Tetapi begitu juga dengan banyak orang di negara ini.

Tetapi beliau menjadikan perjuangan politik untuk membela golongan ini dan apabila mendapat kesenangan kuasa dan wang terus tidak lupa dengan idealismenya.

Kesedaran politik membentuk pemikiran sejak berusia 15 tahun. Beliau melihat kolonialisme dan kemiskinan sebagai berkaitan dan perlu diperangi.

Maka beliau menyertai Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan kemudian Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) sebagai manifestasi perjuangan kemerdekaan dan membela golongan tertindas dan terpinggir, yang merupakan majoriti rakyat negara ini, kebanyakannya berada di luar bandar, dan umumnya adalah orang Melayu.

Pendidikan politiknya datang daripada buku-buku Indonesia yang bukan saja beliau baca, tetapi turut jadi pengedar dan penjualnya.

Dua medan menjadi pentas perjuangannya iaitu pendidikan dan kesatuan sekerja. Ia terserlah melalui kepimpinannya ke atas Kesatuan Guru Melayu Semenanjung (KGMS).

Pada mulanya, beliau tidak mahu menyertai UMNO pimpinan Datuk Onn Jaafar yang dilihat sebagai wadah politik British dan kaum bangsawan.

Tetapi apabila Tunku Abdul Rahman mengambil alih kepimpinan UMNO dan menukar slogan parti daripada Hidup Melayu kepada Merdeka, jiwa Ghafar berubah. Walaupun Tunku seorang bangsawan berpendidikan Inggeris tetapi beliau berjiwa rakyat dan seorang nasionalis.

Apabila PKMM dilumpuhkan British, Ghafar memilih menyertai UMNO. Begitu juga dengan beberapa tokoh PKMM lain seperti Aishah Ghani dan Sardon Jubir. Mereka mewarnai UMNO dan menjadikannya parti yang turut meletakkan kepentingan perjuangan menentang kemiskinan dan penindasan.

Tunku dan Tun Razak Hussein yang percaya kepada pembangunan sebagai cara bagi mengatasi kemiskinan memerlukan orang seperti Ghafar yang mempunyai idealisme perjuangan tinggi untuk memberi sumbangan kepada usaha ini.

Tidak keterlaluan untuk dinyatakan bahawa orang seperti Ghafar menyebabkan UMNO turut mempunyai ciri kerakyatan dan persamaan.

Dengan percaya bahawa UMNO merupakan wadah berkesan bagi perjuangannya, beliau terus bergerak mendapat sokongan rakyat. Justeru, tiga entiti ini dijadikan pangkalan gerakannya: UMNO, guru dan Melaka.

Beliau memilih UMNO kerana kepercayaannya kepada kepimpinan Tunku. Dari awal lagi beliau sudah melihat kepentingan kepimpinan, ada kalanya melebihi organisasi. Kepimpinan yang baik akan melahirkan organisasi baik. Organisasi baik tidak semestinya melahirkan pemimpin baik.

Dunia guru menjadi platfom beliau bukan saja kerana beliau sendiri seorang guru. Tetapi pada masa itu, golongan intelektual terbesar Melayu ialah guru. Maka mereka ini mampu menjadi jurubicara rakyat, dan akhirnya beliau selaku pemimpin kesatuan guru berjaya meraih penglibatan guru untuk UMNO. Ini mengukuhkan kedudukan beliau sebagai pemimpin dalam UMNO.

Langkah seterusnya ialah Melaka sebagai platfom. Walaupun sebuah negeri kecil tetapi Melaka yang tidak terikat dengan tradisi bangsawan, tambahan pula sifat pelbagai kaum negeri itu membolehkannya menjadi landasan bagi perjuangan menuntut kemerdekaan.

Ternyata Melaka memberi peranan besar terhadap kerjasama UMNO-MCA dan juga merintis kepada pencapaian kemerdekaan Tanah Melayu.

Kemenangan pilihan raya dan pembentukan kerajaan merupakan cara penting bagi melaksanakan program membantu rakyat. Tunku memberi kepercayaan kepada Ghafar. Beliau dilantik sebagai Ketua Menteri dan berusaha membangunkan negeri itu dengan penumpuan usaha memperbaiki taraf hidup masyarakat desa.

Di Melaka beliau berhadapan dengan golongan kiri iaitu Front Sosialis yang menguasai Majlis Perbandaran. Tetapi beliau berjaya menangkis mereka kerana apa yang Ghafar lakukan adalah praktikal dan berkesan. Rakyat terus memberi sokongan kepada Ghafar, UMNO dan Perikatan.

Tetapi Tunku mahu beliau memperluaskan usaha pembangunan ini di peringkat persekutuan, maka beliau dibawa ke pusat dan menjadi Menteri Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar, satu portfolio paling sesuai. Begitu juga apabila beliau dilantik menjadi Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang merupakan agensi penting pembangunan rakyat.

Semasa Allahyarham Tun Razak menjadi Perdana Menteri yang berorientasikan pembangunan luar bandar melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Buku Hijau, perkhidmatan beliau amat diperlukan.

Pada tahap itu, pembangunan luar bandar sudah menjadi teras kepada perjuangan UMNO. Dan Ghafar yang mewakili identiti ini dalam UMNO mempunyai kedudukan kuat, dan sebab itu berjaya mempertahankan jawatan Naib Presiden untuk jangka waktu lama. Kedudukannya ini membolehkan beliau dipilih untuk menjadi Timbalan Presiden dan Presiden jika keadaan menghendaki. Sementara pengaruhnya dianggap sebagai menteri paling kanan.

Justeru apabila Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr. Ismail Abdul Rahman meninggal dunia pada tahun 1973, Tun Razak menawarkan jawatan kedua tertinggi kerajaan itu kepada Ghafar. Tetapi beliau menolak kerana beranggapan bahawa Hussein Onn lebih layak kerana berpendidikan lebih tinggi dan mempunyai sokongan UMNO Johor yang lebih besar dan penting.

Bagaimanapun, beliau dilantik sebagai pemangku Perdana Menteri selama tiga bulan pada tahun 1975 apabila Tun Razak ke luar negeri dan Hussein Onn dimasukkan ke hospital.

Apabila Tun Razak meninggal dunia dan Hussein menjadi Perdana Menteri, Naib Presiden UMNO paling kanan yang wajar dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri ialah Ghafar. Tetapi ternyata Hussein memilih Dr. Mahathir Mohamad yang ketika itu merupakan Naib Presiden UMNO yang berada di tempat ketiga.

Hussein menawarkan Ghafar jawatan Menteri Pertanian tetapi beliau menolak.

Walaupun di luar Kabinet, Ghafar terus aktif berkhidmat untuk UMNO dan Barisan Nasional. Untuk itu, beliau bersama Tengku Razaleigh Hamzah berperanan besar merampas Kelantan daripada Pas.

Setelah Hussein meletakkan jawatan, Dr. Mahathir yang menjadi Perdana Menteri tidak melantik Tengku Razaleigh atau Ghafar sebagai timbalannya, tetapi memilih Musa Hitam yang telah lama dikenali sebagai sekutunya sebelum ini.

Di peringkat itu, Ghafar yang terus memegang jawatan Naib Presiden, seolah-olah sudah menjadi jawatan tetapnya muncul sebagai mewakili sisi teras veteran UMNO. Beliau sudah tidak mengharapkan untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Sebagai Naib Presiden UMNO dan Setiausaha Agung BN, beliau mempunyai pengaruh besar dan ternyata mempunyai tanggungjawab untuk berperanan menghadapi isu-isu tertentu.

Dua isu penting menonjolkan kemahiran beliau sebagai ahli politik yang matang. Pertama, Krisis Perlembagaan 1983 dan Krisis MCA 1984.

Sebagai tokoh veteran berorientasikan rakyat, Ghafar mendapati krisis perlembagaan ini mengandungi isu-isu yang rapat dengan jiwanya. Justeru, beliau menjadi tokoh utama dalam mendukung Dr. Mahathir.

Kalau dahulu, Ghafar melihat Tunku sebagai pemimpin penting yang berkesan, kemudian beliau melihat Dr. Mahathir sebagai pemimpin yang wajar dipertahankan. Justeru dalam persaingan antara Dr. Mahathir dan Tengku Razaleigh, beliau memihak pada Perdana Menteri.

Tetapi Dr. Mahathir juga melihat keistimewaan Ghafar sebagai seorang veteran UMNO yang berpengaruh. Ketika Musa bergabung dengan Tengku Razaleigh menentang Dr. Mahathir dan banyak tokoh veteran menyebelahi mereka termasuk Tunku dan Hussein, Ghafar memilih untuk berada di pihak Dr. Mahathir. Maka sewajarnya beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Ghafar dan Dr. Mahathir datang dari satu generasi. Cumanya Ghafar telah berada lama dalam kepimpinan UMNO. Ghafar mewakili perjuangan Melayu pra-UMNO dan UMNO Tunku dan Tun Razak. Sementara Dr. Mahathir mencerminkan kepimpinan baru UMNO, bersifat dinamik, elitis, global, industri dan urban.

Sementara Ghafar masih mempunyai imej luar bandar, pertanian dan rakyat kebanyakan. Satu gabungan yang tidak mantap tetapi merupakan penyatuan dua unsur pendekatan dalam UMNO.

Kedudukan Ghafar tidak bertahan lama kerana beliau berhadapan dengan cabaran Datuk Seri Anwar Ibrahim dan penyokong-penyokongnya. Kekesalannya ialah Dr. Mahathir tidak menyebelahinya.

Maka Ghafar seperti juga Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Tan Sri Sanusi Junid berada dalam pihak yang menentang Anwar dan kumpulannya.

Ghafar melepaskan jawatan politiknya tetapi terus memegang kerusi Parlimennya. Beliau hanya perlu menunggu masa.

Pada tahun 1997 apabila Anwar dipecat, Ghafar kembali turun padang dan berkempen membela Dr. Mahathir.

Dalam pilihan raya umum tahun 1999 yang mencabar bagi UMNO dan BN, beliau berjaya mempertahankan kerusinya dan mengalahkan Khalid Jaafar, bekas setiausaha akhbar Anwar.

Pada pilihan raya tahun 2004, BN di bawah pimpinan Abdullah, beliau tidak lagi bertanding dalam pilihan raya yang menandakan persaraannya dalam politik.

Ghafar tidak menjadi Perdana Menteri. Tetapi kehadirannya dalam politik sejak negara ini belum mencapai kemerdekaan dapat disaksikan betapa sumbangannya kepada pembentukan Malaysia sebagai negara membangun, bercita-cita untuk menjadi maju tetapi turut memiliki orientasi memerangi kemiskinan dan membela golongan susah dan luar bandar.

Read more!

Apabila harga minyak terus naik

Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 23 April 2006


RABU lalu, dilaporkan pihak pemerhati tidak menolak kemungkinan bahawa harga minyak dunia akan mencecah sehingga AS$80 setong pada pertengahan tahun. Tidak dapat digambarkan kesannya tetapi yang pasti ia menimbulkan kacau bilau terhadap ekonomi dunia.

Hari Khamis lalu, harga minyak dunia sudah mencecah rekod sejarahnya. Di London, ia mencecah AS$74.16 setong, di New York AS$72.41 setong dan di Asia, AS$72.20 setong.

Subsidi minyak yang dapat dijimatkan oleh kerajaan akibat kenaikan harga minyak tempatan sebanyak RM4.4 bilion hampir lenyap. Tetapi kerajaan telah pun menegaskan bahawa mereka tetap berpegang pada janji tidak akan menaikkan harga minyak.

Bagaimanapun, tahun depan tidak dapat lagi ditentukan.

Puncanya ialah ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran. Washington tanpa rasa segan silu bercakap tentang opsyen nuklear, maksudnya penggunaan bom nuklear ke atas Iran.

Iran pula, tanpa segan silu juga menggunakan opsyen berani mati. Maknanya suasana di Asia Barat amat tidak stabil dan tidak menentu.

Selama ini sesiapa saja, apatah lagi AS berasa malu untuk menyatakan keinginan untuk menggunakan senjata nuklear. Ini kerana penggunaannya merupakan suatu tindakan tidak berperikemanusiaan. Beribu-ribu orang pasti mati. Sehingga ini hanya AS yang pernah menggunakan bom atom, dan kuasa besar itu kelihatan sebagai kuasa yang amat jahat.

Begitu juga dengan Iran. Sehingga ini tidak ada kerajaan atau pertubuhan Islam arus perdana yang terang-terang menyokong penggunaan penyerang berani mati kerana ia tidak berperikemanusiaan dan bercanggah dengan ajaran Islam. Tetapi dengan kenyataan Mahmoud itu, ia mendedahkan bahawa perkara itu boleh dilakukan bukan saja dari tindakannya tetapi lebih penting lagi, dari segi etika dan syariat Islam.

Salah siapa? Amerika atau Iran?

Presiden Iran, Mahmoud Ahmedinejad dalam kenyataannya yang terus menyumbang kepada kenaikan harga minyak dunia berkata, bahawa harga minyak mentah walaupun mencecah kedudukan paling tinggi dalam sejarah masih rendah berbanding dengan nilai sebenarnya.

Radio Teheran memberitahu, bahawa negara-negara maju dan bukannya negara-negara pengeluar minyak seperti Iran yang memperoleh manfaat daripada kenaikan harga itu.

Ini kerana produk-produk hasil daripada minyak dijual dengan harga yang berganda-ganda daripada harga minyak mentah yang ditetapkan oleh negara pengeluar minyak. Dalam perniagaan ini, negara-negara maju mendapat manfaat jauh lebih besar daripada negara membangun yang mengeluarkan minyak.

Kenyataan Presiden Iran itu dilihat sebagai amaran dari negara itu untuk menggunakan minyak sebagai senjata. Maknanya apabila berdepan dengan tekanan AS, Iran mengancam akan menggunakan minyak sebagai senjata. Jika perkara itu berlaku, maka sistem sejagat yang ada sekarang akan menjadi kacau.

Bagi Mahmoud, harga minyak sepatutnya ditentukan berdasarkan kepada bekalan dan permintaan di pasaran.

Iran dan banyak negara membangun sememangnya tidak puas hati dengan sistem yang ada sekarang kerana ia jelas menguntungkan pihak Barat berbanding mereka. Tetapi sistem ini tidak boleh dicabar kerana kedudukan negara maju, khususnya AS yang menguasai dunia dalam serba-serbi – ekonomi, politik dan ketenteraan. Belum lagi dikira dengan budaya.

Bagaimanapun, alternatifnya juga parah kerana pihak yang menentang Barat, walaupun majoriti tetapi tidak tersusun atau memiliki seorang pemimpin yang berani berdepan dengan Washington serta dapat menyusun semula sistem supaya menjadi lebih adil.

Malah tekanan yang dikenakan oleh AS ke atas Iran dilihat sebagai usaha kuasa besar itu untuk mengukuhkan kedudukannya di kawasan Teluk Parsi.

Cuba bayangkan andai kata berlaku peperangan antara AS dan Iran. Pastinya turut menjadi mangsa ialah negara-negara pengeluar minyak di Teluk Parsi yang merupakan sekutu AS.

Tetapi lebih besar lagi, ia akan mendatangkan kesan besar terhadap bekalan minyak dunia. AS dan negara-negara Barat mungkin sudah bersedia dengan senario apabila bekalan minyak dari Asia Barat terputus.

Asia Barat yang walaupun memberi sumbangan besar kepada keperluan minyak dunia bukan satu-satunya sumber. Terdapat sumber lain yang turut menyumbang kepada dunia, seperti dari dalam negara AS sendiri, Laut Utara di Eropah dan juga Rusia.

bagaimanapun, Venezuela yang merupakan negara pengeluar minyak mempunyai presiden yang turut bersikap anti-AS.

Antara negara yang mungkin lumpuh akibat penutupan penyaluran minyak dari Asia Barat ialah Jepun. Tetapi negara-negara membangun yang lain akan juga parah apabila menghadapinya.

Adalah menjadi kepentingan besar bagi AS untuk memastikan Teluk Parsi berada dalam pengaruhnya. Mereka tidak mampu untuk membiarkan Iran terus merdeka tanpa menerima telunjuk AS.

Kalau peperangan yang dilancarkan AS terhadap Iraq dilihat sebagai berkaitan minyak, maka lebih-lebih lagilah terhadap Iran.

Walaupun peperangan sebenar belum meletus atau mungkin tidak berlaku tetapi apa yang sedang berlangsung ialah pertempuran psikologi.

Yang menjadi mangsa selain daripada media sebagai penyalur serangan-serangan berbentuk retorik dan propaganda ini ialah pengguna minyak di seluruh dunia. Harga minyak terus tidak menjadi stabil dan ia bergantung kepada keadaan hubungan antara AS dan Iran.

Dalam keadaan ini, masing-masing sedang memperluaskan rangkaian sekutu di samping berusaha memencilkan musuh mereka.

China seolah-olah diisytiharkan sebagai sekutu AS dalam pertempuran psikologinya dengan Iran. Kena pula ketika Presiden China, Hu Jintiao mengadakan lawatan rasmi ke Washington. Di situ, mereka mengisytiharkan kerjasama nuklear dan berazam untuk mengendurkan ketegangan antara AS dengan Korea Utara dan Iran. Mesejnya, China adalah sekutu AS dalam soal Iran.

Tetapi dalam waktu sama, Presiden Rusia, Vladimir Putin telah menunjukkan bahawa Moscow tidak mahu bersekutu dengan AS dalam soal nuklear Iran.

Bahkan Rusia telah menyatakan bahawa kesediaannya untuk menghulur bantuan kepada kerajaan Hamas di Palestin yang tidak berbiaya sejak AS dan Eropah menarik balik peruntukan dana mereka.

Harapan Hamas terhadap negara-negara Islam untuk mendapat bantuan mereka hanya dipenuhi oleh Iran.

Hamas dan sekutunya, Jihad Islam serta Hizbullah di Lebanon adalah kumpulan-

kumpulan yang melakukan serangan berani mati. Hizbullah pula adalah kumpulan mendapat dukungan penuh Iran.

Maka senarionya ialah AS dan sekutu-sekutunya lawan Iran. Apa yang hendak dilakukan oleh AS ialah memencilkan Iran supaya tidak timbul dua blok dunia yang bertentangan.

Kalau Iran bersekutu dengan Al-Qaeda, maka bagi AS ia menjadi lebih mudah dari segi propaganda kerana dunia dapat diajak untuk memihak padanya. Maka Iran akan dianggap sebagai pengganas lantaran hubungannya dengan Al-Qaeda.

Maka Iran, Hamas, Jihad Islam, Hizbullah dan Al-Qaeda menjadi sekutu yang dianggap sesuai dan masuk akal.

Tetapi yang menjadi masalah adalah dua perkara. Pertama, peranan Rusia yang akan mengambil kesempatan dalam keadaan ini untuk menjadi pengimbang.

Dengan mengenang betapa AS telah campur tangan dan melebarkan pengaruhnya ke atas Eropah Timur dan bekas negara-negara Soviet di Asia Tengah, termasuk juga Afghanistan, maka Rusia berasa kewajarannya untuk berperanan dan memihak kepada Iran dan Palestin-Hamas.

Kedua, soal dunia Islam. Umumnya, umat Islam menyokong Hamas dan Iran. Walaupun mereka menolak Al-Qaeda. Hanya kerajaan-kerajaan Islam di seluruh dunia yang rata-rata bersahabat dengan AS perlu berhati-hati. Di satu pihak mereka bersimpati dengan Iran tetapi hubungan dengan dunia Barat terpaksa juga diambil kira. Ditambah pula mereka perlu juga mengambil kira sentimen rakyat Islam yang turut memberi kesan kepada politik domestik.

Di bawah sentimen tamadun, agama dan nasionalisme adalah rebutan terhadap sumber bahan api.

Selain daripada minyak yang sedang berlegar dalam pasaran yang menentukan kedudukan ekonomi dunia, ada tiga unsur lain yang menjadi perkiraan semua pembuat keputusan di seluruh dunia.

Pertama, potensi minyak dan gas yang masih tersimpan di perut bumi yang menjadi rebutan serta perkiraan kuasa-kuasa politik di seluruh dunia.

Kedua ialah bahan api alternatif yang sedang dibangunkan di seluruh dunia serta kesan kepada politik akan datang. Buat masa ini tumpuan adalah pada bahan api bio. Kalau di Malaysia ia berasas minyak sawit sementara di tempat lain adalah minyak bunga matahari, umpamanya.

Pada masa akan datang, sumber lain bahan api pasti muncul menjadi perhatian dunia.

Ketiga ialah tenaga nuklear sendiri. Dengan kekurangan bahan api, perhatian terhadap tenaga nuklear sebagai sumber bersih pasti mendapat perhatian. Inilah juga hujah Iran yang mahu menggunakan nuklear sebagai sumber tenaga bersih.

Tetapi masalah dengan tenaga nuklear ialah potensinya untuk diubah menjadi senjata. Inilah apa yang berlaku di Iran dan menjadi pertikaian AS.

Peta pertikaian politik sejagat wajar dilihat melalui pelbagai faktor selain daripada politik. Di satu pihak ialah peranan fahaman keagamaan, kebangsaan dan tamadun. Di satu pihak lain ialah hubungan dengan kepentingan ekonomi yang berkaitan dengan tenaga, industri dan kekuatan tentera.

Keseluruhan perkara itu pula akan berkait dengan geografi. Justeru geopolitik dan geoekonomi menjadi kajian wajar terhadap apa yang berlaku.Soal-soal seperti fahaman keagamaan, kebangsaan dan tamadun pasti berkaitan dengan sejarah. Ia juga berkaitan dengan asas-asas sejarah seperti arkeologi, malah juga anthropologi. Dalam perkiraan akhir, pastinya biologi yang melibatkan spesies manusia menurut pengalaman setiap bangsa turut memberi kesan.

Jika dilihat asal usul minyak pula, geologi akan menunjukkan ia merupakan hasil daripada perubahan biologi pada tumbuhan zaman prasejarah. Untuk memahami wajarlah mengkaji bidang kosmologi dan bagaimana planet ini terbentuk hingga menghasilkan bahan api seumpama itu.

Sejarah teknologi juga perlu dilihat tentang bagaimana manusia sedar mengenai penggunaan minyak secara besar-besaran untuk menggerakkan industri mereka.

Konflik antara AS dan Iran pula mewajarkan kajian terhadap psikologi imperialisme orang keturunan Eropah dengan semangat juang bangsa Parsi sejak mereka berperang menentang orang Yunani, Rom dan kemudian Turki.

Di Malaysia, golongan cendekiawan wajar mengkaji corak dan pola perkembangan ini hingga ia mampu menjadi input baik kepada pihak yang membuat keputusan tentang masa depan negara. Kesedaran ini tidak wajar diserahkan bulat-bulat kepada kerajaan. Sesiapa di kalangan rakyat perlu meningkatkan kefahaman serta bertukar-tukar idea supaya negara ini tidak sesat dalam kancah pertembungan pelbagai kuasa di dunia sejagat.

Pusat paling sesuai bagi kajian dan penyebaran kefahaman mengenai apa yang berlaku mengenai politik tenaga, Asia Barat dan konflik AS-Iran ialah Universiti Teknologi Petronas (UTP).

Read more!

Masa depan pada kereta api

Oleh: ZIN MAHMUD (Wartawan Utusan)
Sumber: Utusan Malaysia 22 April 2006


Menurut ceritanya, ada sebuah negara Barat yang menggunakan kereta api sejak berabad-abad lamanya, dan landasannya tidak pun dipagar tetapi tidak pernah berlaku kemalangan ke atas orang yang melintas.

Orang di benua Eropah tidak melintas rel kereta api walaupun ia tidak berpagar. Tetapi di Malaysia banyak orang mati ketika melintas landasan kereta api walaupun ia dipagar.

Malah terdapat beberapa kes di mana pagar diceroboh supaya mereka dapat melintas rel.

Orang Malaysia tidak cukup berdisiplin dalam soal melintas landasan kereta api. Ini kerana rakyat negara ini masih bermentaliti dunia ketiga.

Sememangnya kos untuk memagari landasan kereta api amat mahal. Begitu juga untuk membina jejantas.

Disiplin pertama ialah jangan sekali-kali melintas landasan kereta api. Kalau terpaksa melintas, pastikan bahawa kereta api tidak lalu.

Bagaimanakah cara hendak mengetahui kereta api lalu atau tidak?

Di sinilah perlunya mentaliti dunia pertama atau minda kelas pertama. Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), elemen minda kelas pertama juga disebut.

Dalam rancangan ini juga, beberapa projek kereta api akan dibina termasuk di Pantai Timur. Masa depan pengangkutan awam ialah kereta api. Pastinya kereta api dalam pelbagai bentuk termasuk monorel akan dibina di merata-rata tempat di negara ini.

Sememangnya untuk menjadi negara maju, peranan kereta api akan lebih besar. Tambahan pula, harga minyak yang akan terus meningkat memaksa untuk rakyat negara ini menggunakan dan menyokong pembinaannya.

Tetapi faktor penting dalam laluan kereta api yang efisien ialah ketepatan jadualnya.

Sementara ciri penting minda kelas pertama ialah kemahiran dalam menepati masa dan menggunakan jadual.

Tambahan pula dalam masyarakat negara maju maklumat dalam bentuk panduan diberi secukup mungkin.

Maka kereta api negara maju seperti Jepun betul-betul menepati masa sehingga pada peringkat saat. Satu lagi ciri penting dalam masyarakat negara maju ialah keutamaan pada keselamatan. Maka dalam merancang dan mereka bentuk laluan kereta api adalah keutamaan pada keselamatan.

Di pihak penumpang, mereka amat prihatin terhadap perancangan perjalanan. Baik mengenai jadual kereta api mahupun peta. Dua panduan ini, iaitu jadual dan peta adalah penting dalam masyarakat negara maju.

Negara ini masih jauh daripada mencapai kedudukan ini. Papan tanda masih kurang. Jika mahu memupuk minda kelas pertama dalam erti kata mentaliti dunia pertama, alat-alat maklumat ini mesti mencukupi.

Read more!

Tiga ciri sekolah unggul

Oleh: ZIN MAHMUD (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 20 April 2006


APABILA ditanya di manakah terletaknya ciri-ciri universiti yang baik, Profesor Dr. Syed Hussein Alattas baru-baru ini meletakkannya pada tiga perkara.

Pertama, perpustakaannya, kedua, sarjananya dan ketiga, penerbitnya.

Ini kerana dengan koleksi buku dalam perpustakaan yang baik barulah sarjana dan pelajarnya dapat berfikir dan membuat kajian. Sarjana yang baik akan mengisi universiti itu, baik dari segi mengajar pelajarnya tetapi juga penyelidikannya. Begitu juga, penerbit universiti yang baik akan mampu menerbitkan buku-buku sarjana mereka serta hasil kajian serta penyelidikannya.

Justeru, universiti yang baik tidak terletak pada bangunannya atau projek-projek hartanah mereka.

Tetapi kalau terhadap sekolah bagaimana pula?

Tentunya tiga perkara ini, iaitu akademik, kokurikulum dan sukan. Tetapi malangnya kini tumpuannya adalah akademik dan kokurikulum dan sukan boleh dianggap sebagai terabai.

Kokurikulum terdiri daripada dua cabang iaitu perpustakaan dan persatuan-persatuan sekolah.

Sekolah yang baik akan mengutamakan perpustakaan. Ia akan menjadi bangunan atau ruang utama di tengah-tengah sekolah yang mudah untuk dikunjungi para pelajar.

Pengetua akan menggalakkan pelajar-pelajar mengunjungi perpustakaan dengan pintunya dibuka seluas-luasnya.

Koleksi buku pula menjadi kebanggaan sekolah. Semakin lama sesebuah sekolah itu wujud, makin besar koleksi bukunya yang akan mengayakan minda pelajar-pelajarnya.

Tetapi perkara ini kurang berlaku pada masa ini. Perpustakaan sudah menjadi pusat sumber yang berada di bilik-bilik belakang dan tersembunyi dengan masa untuk kunjungannya amat terhadap. Koleksi buku juga terhad dan hanya bergantung kepada perakuan daripada pihak birokrasi pusat. Banyak prosedur dan pantang larang bagi perakuan sesebuah buku.

Kokurikulum juga tidak begitu digalakkan di sekolah lebih-lebih lagi Sabtu menjadi hari cuti. Banyak persatuan sekolah hanya tinggal nama. Persatuan yang mempunyai tradisi mendidik yang tinggi seperti Pengakap dan Bulan Sabit Merah tidak diberi sokongan untuk aktif. Mereka digantikan dengan persatuan-persatuan unifom baru yang tidak mempunyai tradisi panjang dan lebih kepada membantu agensi-agesi kerajaan seperti polis dan bomba.

Bagaimanakah hendak melahirkan bakal pemimpin bersahsiah jika mereka tidak aktif dalam persatuan sekolah?

Tahap sukan di sekolah juga menyedihkan. Pelajar-pelajar tidak digalakkan dengan tegas untuk bersukan. Mereka tidak diperkenalkan dengan pelbagai permainan. Jauh sekali untuk mengajar mereka berenang. Tetapi bagaimanakah hendak menggalakkan sukan sedangkan banyak pelajar tidak mendapat sarapan pagi, sementara kantin tidak memuaskan?

Selagi sekolah tidak kembali kepada perpustakaan, persatuan dan sukan; pencapaian akademik tinggi menjadi tidak bermakna dalam erti kata pendidikan yang luas.

Read more!

Antara mata-mata dan polis

Oleh: Zin Mahmud (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 19 April 2006


DULU di negara ini, polis dipanggil mata-mata. Kemudian dengan mengambil perkataan daripada bahasa Inggeris police, ia menjadi polis.

Pengubahsuaian daripada perkataan Inggeris itu adalah sesuai kerana polis bertepatan dengan sebutan dan ejaan bahasa Melayu.

Perkataan mata-mata juga selesa digunakan kerana ia sememang asalnya bahasa Melayu. Cuma istilah ini dicipta sebelum konsep pasukan polis diwujudkan. Mata-mata yang pernah juga wujud pada zaman-zaman kesultanan dahulu lebih berbentuk sebagai pengintip atau perisik, daripada polis yang ada.

Konsep pasukan polis dicipta oleh orang Inggeris yang mana police dan policing lebih bermaksud kepada pemantauan. Di satu pihak, mata-mata dan polis membawa maksud berbeza.

Di Indonesia, polis disebut polisi kerana menurut perkataan Belanda politie (disebut sebagai polisi). Seperti di Itali juga, istilahnya ialah polizei.

Bahasa Tagalog juga mengambil perkataan Inggeris Amerika dan ia menjadi pulis. Tetapi polis dalam bahasa Turki jadi seperti perkataan Melayu iaitu polis.

Amerika mempunyai perkataan lain untuk polis, yang berbentuk slanga iaitu cop. Kalau dijadikan bahasa Melayu, ejaannya patut tukar jadi kop.

Tetapi secara rasmi, Amerika tidak pernah menggunakan istilah cop, mereka tetap menggunakan perkataan police.

Lebih selesa sebenarnya menyebut Rakan Polis daripada Rakan Cop kerana terasa seperti perkataan rojak.

Ketika mula negara mencapai kemerdekaan, military police (MP) yang merujuk kepada polis bagi angkatan tentera diterjemahkan menjadi Polis tentera (PT). Setelah berpuluh tahun menggunakan istilah sedemikian, ia kemudian bertukar menjadi militeri polis (MP). Tidak ada perkataan militeri dalam bahasa Melayu. Perkataan military tidak pernah diubahsuaikan menjadi militeri. Lagipun susunan perkataan militeri polis adalah bertentangan dengan nahu bahasa Melayu.

Di Indonesia, mereka menggunakan polisi militer (PM). Dalam bahasa mereka, terdapat perkataan militer yang diambil daripada bahasa Belanda. Maka polisi militer mengikut nahu dan sebutan bahasa Melayu Indonesia.

Tidak salah dan menjadi amalan semua bahasa untuk mengambil perkataan daripada pihak lain. Tetapi ia perlu dilakukan secara tertib, menurut nahu dan lenggok bahasa masing-masing. Kaedah pengambilan istilah sudah lama digubal oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Apabila membaca bahasa Indonesia, ternyata mereka banyak mengambil istilah asing untuk memperkayakannya. Tetapi ada perkataan seperti rumah sakit terus dikekalkan. Malaysia sudah lama menggunakan perkataan hospital.

Tetapi tidak salah mempunyai banyak istilah bagi maksud yang sama. Walaupun sudah lama menggunakan perkataan kanser, tidak salah untuk sekali-sekala memakai istilah barah.

Ada masa gunakanlah perkataan biodiversiti, pada masa lain tidak salah untuk pakai kepelbagaian bio. Di Indonesia, ada antara mereka menggunakan istilah keanekaragaman hayat.

Read more!

Palestin tidak ada wang

Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 9 April 2006


CABARAN pertama kerajaan Palestin Hamas yang dihadapi setelah penubuhannya adalah apabila ia mendapati perbendaharaannya kosong dan kakitangan awamnya tidak dibayar gaji.

Ini kerana bukan saja penyumbang-penyumbang dari Barat menghentikan pemberian kerana kemenangan Hamas tetapi wang daripada pihak Arab sebagai pengganti tidak kunjung tiba.

Hakikatnya, kerajaan Palestin tidak mempunyai kemampuan sendiri dalam keadaan sekarang untuk berfungsi tanpa bantuan pihak luar. Tetapi keadaan ini tidak menghairankan kerana di dunia, banyak negara yang juga tidak mampu untuk berfungsi, dan mereka mengharapkan bantuan asing.

Malah kerajaan Israel juga tidak dapat berfungsi tanpa bantuan kewangan dari Amerika Syarikat (AS).

Tetapi sekurang-kurangnya Israel mempunyai kegiatan ekonomi melibatkan eksport dan membolehkan kerajaannya mengutip cukai dan memiliki pendapatan. Tetapi tidak Palestin yang dikepung dan ekonominya disekat oleh Israel. Malah satu-satunya ladang buah-buahan di Gaza yang memberi pendapatan kepada sebilangan rakyat wilayah itu terpaksa ditutup apabila Israel menghalang satu-satunya pelabuhan di situ atas alasan keselamatan.

Apa yang berlaku sekarang menyeksa rakyat Palestin. Kemenangan Hamas menyukarkan kehidupan mereka. Tetapi semasa di bawah kepimpinan Al-Fatah dahulu, kedudukan mereka juga bukanlah lebih baik. Masalah korupsi dan salah urus tadbir dalam kerajaan antara penyumbang kepada penolakan rakyat terhadap parti tunjang Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) itu.

Pilihan rakyat Palestin terhadap Hamas yang dilakukan melalui proses demokrasi tidak mendatangkan kesan baik kepada mereka. Tetapi adakah keadaan lebih baik jika Al-Fatah yang memenangi pilihan raya itu?

Ada satu ciri pada Hamas yang menjadikannya menarik, sesuatu yang tidak ada pada Al-Fatah, iaitu semangat berdikari dan sifat khidmat aktivis-aktivisnya. Hamas bergerak seperti badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menjalankan program sosial seperti sekolah dan hospital. Mereka mewujudkan sistem pendidikan dan kesihatan untuk rakyat Palestin. Sudah tentu program-program ini disenangi oleh penduduk setempat.

Maka persoalan yang timbul ialah mengapa Al-Fatah tidak mempunyai kegiatan seperti itu? Perlu diingat ketika Allahyarham Yasser Arafat menubuhkan Al-Fatah dan kemudian pertubuhan payung PLO, ia diwujudkan dalam bentuk gerakan politik dan tentera. Apabila memperoleh kuasa melalui Pihak Berkuasa Palestin (PA), maka jentera dan perkhidmatan kerajaan digerak dan dianggotai aktivis Al-Fatah.

Dalam senario begini, maka selama ini seolah-olah wujud dua kerajaan selari di Palestin, yang satu oleh PLO, satu lagi Hamas. Sudah tentu rangkaian institusi Hamas seperti sekolah dan hospital dianggotai dan digerakkan aktivisnya.

Maka dapat dibayangkan betapa apabila gaji kakitangan awam tidak dapat dibayar kerana ketiadaan wang kerajaan, maka kesannya adalah pada aktivis Al-Fatah yang menganggotainya.

Akhirnya tindakan Barat menyekat bantuan kepada kerajaan Hamas mendatangkan tekanan bukan pada penyokongnya tetapi kepada orang PLO sendiri.

Persoalan juga timbul, selama ini dari mana Hamas mendapat dana bagi menggerakkan perkhidmatan sosialnya? Dapat dibayangkan bahawa Hamas pada asalnya merupakan gerakan Ikhwanul Muslimin cawangan Palestin.

Ikhwanul Muslimin yang bermaksud persaudaraan Islam ditubuhkan oleh Hassan Al-Banna di Mesir pada tahun 50-an. Ia membawa fahaman fundamentalis Islam moden dengan mengadun pemikiran berasal daripada ulama silam Ibnu Taimiyah dan pemikir Islam moden seperti Jamaluddin Al-Afghani dan Muhammad Abduh.

Tetapi Hassan Al-Banna sendiri mempunyai madrasah yang kuat melatih kader-kader ikhwanul Muslimin melalui sistem usrah yang kemudian popular di seluruh dunia Islam.

Pemikiran Ikhwanul Muslimin dikukuhkan lagi melalui sumbangan hujah-hujah Syed Qutb dan Abdul Kadir Audah.

Dari awal lagi, Ikhwanul Muslimin turut terlibat dengan jihad menentang Zionis dalam peperangan pimpinan Allahyarham Presiden Gamal Nasser.

Dari segi ideologi politik, dunia Arab pada abad ke-20 terbahagi kepada Nasserisme (Nassiriyun) dan gerakan Islam berasal Ikhwanul Muslimin.

Arafat, Fatah dan PLO mempunyai susur galur fahaman politik daripada Nasser. Begitu juga dengan Muammar Gaddafi (Libya), Jaafar Numeiri (Sudan), Hafez Assad (Syria) dan Saddam Hussein di Iraq.

Sementara Ikhwanul Muslimin bercambah di seluruh dunia Arab, baik di Jordan, Sudan, Syria dan negara-negara Teluk. Mereka bertembung dengan aliran sekular kiri Nasserisme ini.

Dalam menghadapi aliran politik kiri, Ikhwanul Muslimin mendapat sokongan negara-negara Arab yang diperintah oleh keluarga-keluarga diraja. Tokoh-tokoh ikhwan yang ditekan di Mesir diberi perlindungan oleh kerajaan-kerajaan beraja ini. Walaupun mereka bukanlah sefahaman dengan ikhwan tetapi seperti raja Arab ini berasa lebih hampir dengan ikhwan dari segi keagamaan. Fahaman Wahhabi umpamanya juga mempunyai susur galur daripada pemikiran Ibnu Taimiyah juga.

Umpamanya ulama terkenal Yusuf Qaradhawi merupakan tokoh ikhwan yang diberi perlindungan oleh Qatar.

Maka Hamas dapat bergerak selama ini atas bantuan pendukung ikhwanul Muslimin di seluruh dunia Arab.

Maka itulah juga yang diharapkan oleh kerajaan Hamas apabila AS dan Eropah menghentikan bantuannya.

Dengan wang Arab, Hamas tidak perlu bergantung pada AS dan Eropah. Mereka tidak perlu menghiraukan tekanan dari Barat sebaliknya mereka hanya perlu akur kepada pandangan dunia Arab lain.

Kedudukan sebegini pasti disedari oleh Barat. Mereka tidak mahu pengaruh Arab bertambah kuat berbanding dengan pihak Barat.

Tetapi mengapa bantuan dari negara-negara Arab lambat? Mungkinkah Barat sedang mengenakan tekanan supaya tidak menghulurkan bantuan?

Jika keadaan ini berlaku, senario lain akan timbul. Tanpa bantuan Barat dan Arab, kerajaan Hamas Palestin terpaksa mencari dana dari Iran.

Kedudukan Iran tidaklah sekukuh negara-negara Arab, apatah lagi Barat. Tetapi mereka mampu membuat peruntukan itu.

Dari segi ideologi, Hamas-ikhwan dan Republik Islam Iran adalah sefahaman. Tetapi mereka pernah bertembung dari sudut mazhab Syiah dan Sunnah. Pernah semasa perang Iran dan Iraq, sebahagian besar ikhwan tidak menyebelahi Iran, sebaliknya mereka menyokong Saddam yang beraliran sekular kiri.

Tetapi hakikatnya ialah Hamas dan Hizbullah Lebanon adalah sekutu kuat dalam cara menentang Israel. Kalau Iran boleh membantu Hizbullah, maka tidak menjadi masalah untuknya menolong Hamas.

Read more!