Oleh: ZIN MAHMUD (Wartawan Utusan)
Sumber: Utusan Malaysia 29 April 2006
MATA memang sakit apabila melihat murid-murid tidak pergi ke sekolah di kawasan sekitar rumah penulis. Hampir setiap hari penulis minum teh tarik di sebuah kedai mamak tidak jauh dari kediaman, akan ada murid-murid sekolah yang ponteng
Pelbagai kaum, Melayu, Cina dan India. Pertama yang menerjah dalam fikiran penulis ialah apa akan jadi mereka? Kasihan ibu bapa mereka yang mengharapkan anak yang berdisiplin dan menghadiri sekolah.
Ada masa penulis pergi minum di kawasan perumahan lain pada sebelah pagi, begitu juga akan ada murid-murid yang ponteng sekolah.
Tidak jauh dari kedai mamak itu ada kafe siber. Di situlah tumpuan murid-murid sekolah yang ponteng ini. Mereka akan menghabiskan masa bermain dengan komputer. Ya, zaman sudah berubah. Kalau dulu pada zaman penulis kecil-kecil, murid sekolah yang ponteng akan merayau ke parit-parit mencari ikan. Zaman sekarang di bandar, tumpuannya ialah kafe siber.
Umumnya, murid-murid sekolah ini - sekitar tingkatan empat dan lima merokok. Di sinilah mereka mula mengenal rokok, dan akan terus menjadi perokok sepanjang hayat.
Segelintir kecil akan terjebak dalam penagihan dadah.
Ada satu ketika, sedang sekumpulan murid-murid sedang ponteng dan menghabiskan masa keemasan mereka di kedai mamak. Tiba-tiba datang seorang lelaki menunggang motosikal dan memarahi kumpulan murid-murid itu. Rupanya, dia adalah bapa salah seorang murid itu. Dia mengambil anaknya dan kemudian hantar ke sekolah. Tetapi sempat ia memarahi kawan-kawan anaknya.
“Kalau tak nak pergi sekolah, suka hatilah, tapi jangan ajak anak pakcik,” katanya. Nada suara lelaki itu adalah memilukan. Betapa kecewanya melihat perangai anaknya yang tidak mahu pergi ke sekolah.
Mengapa jadi demikian? Yang ponteng sekolah hanyalah segelintir. Tetapi ia berlaku berleluasa di seluruh negara. Budak-budak ini tidak berminat untuk ke sekolah.
Ada suatu yang tidak kena dengan sistem pendidikan negara. Tumpuan kita adalah kepada kanak-kanak cemerlang hingga tidak begitu memikirkan dan memberi perhatian kepada kanak-kanak dan remaja yang tidak boleh menyesuaikan diri dengan sistem persekolahan.
Kerajaan sudah bersetuju meminda akta memberi kuasa kepada polis untuk menahan murid ponteng sekolah. Tetapi pada hemat saya, ia tidak akan menyelesaikan ponteng sekolah.
Ia hanya menambah kerja polis dan memaksa murid berada di sekolah yang tidak disukainya.
Pelbagai cara kerajaan lakukan untuk menjadikan sekolah menarik bagi kanak-kanak dan remaja. Antaranya ialah program yang dinamakan sekolahku, syurgaku. Tetapi sekolah hanya menarik bagi sebahagian besar pelajar. Ada segelintir yang sememangnya tidak berminat untuk belajar akademik. Mereka harus diberikan pendidikan dalam bentuk lain, bukannya akademik.
Umumnya, pelajaran yang diberikan di sekolah sesuai untuk mereka yang berminda akademik, lebih-lebih lagi pelajar perempuan. Tetapi pelajar lelaki yang mempunyai tenaga yang banyak dan mahu perkara-perkara yang lebih mencabar dalam bentuk fizikal tentu tidak dapat menyesuaikan diri di sekolah.
Murid-murid yang tidak meminati pelajaran akademik sudah tentu lemah pencapaiannya. Kalau dahulu mereka akan meninggalkan sekolah selepas tingakatan tiga kerana gagal Sijil Pelajaran Malaysia (SRP). kemudian mereka masuki dunia pekerjaan atau belajar perkara-perkara yang berbentuk kemahiran. Di situ mereka lebih sesuai.
Tetapi kini mereka dipaksa untuk terus berada di sekolah walaupun pencapaian Penilaian Menengah Rendah (PMR) mereka minimum. Mereka jelas tidak sesuai untuk belajar akademik. Bagi yang bernasib baik, dapatlah pergi ke sekolah vokasional yang sesuai untuk mereka.Tetapi sekolah vokasional dan kolej komuniti di negara ini jauh daripada mencukupi. Kita lebih sibuk mendirikan universiti-universiti baru untuk pelajar-pelajar cemerlang sedangkan remaja bermasalah terpinggir daripada perhatian kita.
Satu contoh lagi ialah mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Ia sememangnya menguntungkan pelajar-pelajar cemerlang kerana penguasaan bahasa Inggeris membolehkan mereka lebih mudah untuk belajar di peringkat tinggi kelak, termasuk ke luar negara.
Tetapi bagi pelajar lemah, bukan saja mereka tidak dapat menguasai bahasa Inggeris, tetapi kemahiran pemikiran saintifik dan matematik turut terlepas kerana halangan bahasa.
Masalah ponteng di sekolah menengah juga menandakan terdapat faktor-faktor kegagalan di peringkat sekolah rendah.Ada suatu yang tidak kena di sekolah-sekolah rendah.