Demokrasi tanpa semangat

Oleh: Zin Mahmud
Sumber: Mingguan Malaysia 30 April 2006


BUAT pertama kali sejak pilihan raya tahun 1988, parti pemerintah Singapura, Parti Tindakan Rakyat (PAP) tidak menang semasa hari penamaan calon Khamis lalu. Ia mengejutkan memandangkan dengan segala tekanan perundangan, pihak-pihak pembangkang yang terdiri daripada Parti Pekerja (WP), Perikatan Demokratik Singapura (SDA) dan Parti Demokratik Singapura (SDP) dapat juga meletakkan calon di 47 daripada 84 kerusi yang dipertandingkan.

Tetapi tidak ada siapa yang dapat menyatakan PAP akan kalah. Parti ini amat cekap dan kuat dan pasti menang.

Perkembangan ini juga bukan mengejutkan kerana sudah beberapa tahun, PAP termasuk pengasasnya Lee Kuan Yew sentiasa mengalu-alukan penyertaan pembangkang. Bukannya untuk menyegarkan demokrasi tetapi sebagai kaedah meningkatkan kualiti pemimpin-pemimpin mudanya. Maknanya, PAP tidak ada niat untuk menggalakkan tumbuhnya tradisi kepembangkangan, yang sepatutnya menjadi ciri penting dalam sesebuah demokrasi yang dinamik.

Justeru, pihak pembangkang di Singapura menjadi alat parti pemerintah untuk kepentingan dirinya, sekurang-kurangnya tanpa disedari.

Lagipun imej Singapura sebagai sebuah negara demokrasi juga tidak begitu baik tanpa adanya pembangkang aktif. Maka kehadiran pembangkang itu turut menyumbang kepada imej baru keterbukaan seiring dengan penekanan kerajaan Singapura terhadap usaha penggalakan aktiviti budaya dan kreativiti.

Itu pun juga bertujuan meningkatkan daya saing rakyat Singapura dalam menghasilkan produk dan perkhidmatan di pasaran global. Bukannya untuk membentuk masyarakat demokratik, tetapi lebih mengukuhkan keutuhan nasional dalam ekonomi. Ia sebenarnya sebahagian daripada komitmen terhadap nasionalisme.

Maka demokrasi di Singapura menjadi alat negara. Sebagai sebuah negara kota yang kecil, Singapura tidak mampu untuk bereksperimen dengan idea-idea politik lain daripada apa yang dirintis oleh PAP dan dianggap sebagai berjaya.

Maka sistem demokrasi di Singapura boleh dianggap sebagai demokrasi dikawal, oleh elit politik PAP untuk kepentingan negara. Tetapi adakah ia merupakan perkara yang salah?

Sistem demokrasi asalnya pun bermula di sebuah negara kota pada zaman Yunani, Athens.

Oleh kerana sistem pengangkutan yang sukar dan kekuatan tentera terbatas, maka tidaklah muncul empayar dan negara besar.

Yang ada ialah negara-negara kota di seluruh dunia Yunani. Dua negara kota terkenal ialah Athens dan Sparta. Athens terkenal sebagai pengasas demokrasi sementara Sparta sebagai negara diktator tentera di mana semuanya dirancang untuk kepentingan negara. Ia merupakan kebalikan di antara satu sama lain.

Sparta merupakan negara yang mengatur hidup setiap individu rakyatnya, dari kecil hingga dewasa untuk berkhidmat kepada negara.

Dari segi zahirnya, Singapura yang mengamalkan sistem demokrasi adalah seperti menurut Athens. Tetapi sikap perancangan yang begitu teliti terhadap rakyatnya lebih menggambarkan Singapura sebagai Sparta daripada Athens.

Kemudian Yunani dan segala negara-negara kota ini musnah ditelan oleh Empayar Macedonia pimpinan Iskandar Agung.

Walaupun Iskandar tidak mengamalkan demokrasi dalam pemerintahannya tetapi dia adalah murid kepada ahli-ahli falsafah Athens, Aristotles yang mewarisi keilmuan Plato dan Socrates. Plato terkenal dengan karyanya, republik yang menggariskan negara utopia dan membayangkan nilai demokrasi Athens. Idea- idea ini tersebar ke seluruh empayarnya.

Empayar Iskandar ini kemudian diganti dengan empayar Rom. Mereka tidak mengamalkan demokrasi. Tetapi sehingga zaman Julius Caesar, Rom adalah sebuah republik dan memiliki Senat yang bercirikan demokrasi juga.

Empayar Rom diwarisi oleh Khilafah Umaiah dan Abasiah. Mereka menjadi pengkaji dan pewaris pemikiran Yunani termasuk karya Plato itu. Banyak wacana politik Islam diwarnai daripada pemikiranpemikiran ini juga.

Selepas Perang Salib, banyaklah karya Yunani yang diwarisi oleh cendekiawan Islam dibawa pulang oleh tentera-tentera salib dari Eropah.

Buku-buku Yunani dan Arab ini menjadi pencetus era Renaisans dan kemudian Enlightenment. Ia menjadi penggerak kepada minat elit Itali terhadap apa saja tentang Yunani dan Rom. Penziarah-penziarah agama Kristian ke Vatican, Rom pula membawa minat ini pulang ke negara masing-masing termasuk Perancis dan Britain.

Di Britain, berlakulah perjanjian Magna Carta yang memisahkan kuasa raja dengan bangsawan dan selanjutnya mewujudkan raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen. House of Commons di tebing Sungai Thames, London menjadi ibu demokrasi moden.

Sistem ini turut menyumbang kepada tertubuhnya Empayar British yang sampai kepada kemuncaknya pada zaman Ratu Victoria. Ia melahirkan parti-parti politik Whig, Konservatif dan kemudian Liberal.

Empayar British yang berasaskan kekuatan maritim tersebar di seluruh dunia. Tetapi ketika England mengamalkan demokrasi, mereka menindas tanah-tanah jajahannya. Paling teruk ialah jirannya sendiri yang dijadikan tanah jajahan iaitu Ireland. Masalah Ireland Utara hingga ke hari ini tidak selesai.

Empayar Inggeris meliputi Amerika Utara di mana orang mereka sendiri menjadi warga tanah jajahan. Semua tanah jajahan tidak diberikan hak demokrasi, termasuk 13 tanah jajahan yang didiami oleh mereka yang merupakan asalnya dari England di Amerika Utara.

Akhirnya atas slogan “tiada cukai tanpa perwakilan” 13 tanah jajahan ini memberontak dan mengisytiharkan kemerdekaan dalam satu revolusi yang mewujudkan Amerika Syarikat (AS).

Pengasasnya mengisytiharkan negara mereka sebagai demokrasi yang lebih baik daripada Britain. Ini kerana mereka mengamalkan sistem republik dengan presidennya dipilih langsung oleh rakyat.

Pengaruh

Hakikat bahawa hamba-hamba tidak diberi hak kebebasan adalah satu perkara yang tidak diambil berat ketika itu.

Britain dan AS walaupun menyifatkan diri mereka sebagai demokrasi tetapi tidak pernah berminat untuk mengeksport idealisme itu. Sebaliknya mereka meluaskan pengaruh dan hegemoni tanpa mempedulikan semangat dan nilai-nilai demokrasi. AS menakluki tanah- tanah jajahan Sepanyol dan melalui Doktrin Monroe menetapkan hegemoni ke atas Amerika Selatan. Sementara Britain memiliki empayar paling unggul merentasi benua Asia, Afrika dan Amerika Utara. Termasuklah di bumi Nusantara.

Ketika ia sampai ke Nusantara, Belanda sudah bertapak di Melaka dan menguasai laluan dagang Nusantara.

Walaupun kota Melaka sudah terlepas ke tangan kuasa Barat, tetapi Kesultanan Melayu Melaka masih kukuh dengan kekuasaan meliputi sebahagian Semenanjung Tanah Melayu Sumatera. Ini termasuklah Pahang, Singapura, Riau, Linggi, Kampar dan Siak. Setelah Melaka tumbang, ibu kota kesultanan ini berpindah ke Kota Tinggi, dan ada masanya sultannya bersemayam di Lingga-Riau.

Di Singapura, mereka juga mempunyai istana. Kesultanan Melayu ini berubah nama daripada Kesultanan Melaka kepada Johor- Riau-Linggi sebagai menurut kedudukan geografinya.

British dan Belanda, yang memberontak untuk merdeka daripada Sepanyol mengamalkan demokrasi di negara masing-masing tetapi tidak pernah berniat dan berminat untuk menyebarkannya di kepulauan Melayu.

Kejayaan British pertama di Nusantara ialah apabila dapat bertapak di Pulau Pinang. Dengan tipu daya dan kelemahan Kedah menghadapi Siam, pulau itu jatuh ke tangan British. Kemudian ia dapat bertapak di Singapura melalui perjanjian dengan Kesultanan Johor- Riau. Lagipun kesultanan ini menjadi begitu lemah akibat hutang dan berwawasan cetek. Malah pemerintahan Pahang jatuh kepada Bendaharanya sementara Johor beralih tangan kepada Temenggungnya, yang lebih berwawasan dan terus akhirnya menjadi sultan-sultan yang diiktiraf British.

Dapat dibayangkan betapa Kesultanan Melayu dari warisan Melaka yang kemudian menjadi Johor-Riau-Lingga ini berkedudukan kuat dan berwawasan, mungkin ia dapat menubuhkan sebuah negara Melayu moden meliputi Pahang, Johor, Singapura, Riau, Lingga dan sebahagian daripada Sumatera. Maka tidak timbul penjajahan Inggeris dan Belanda di kawasan ini.

Raja Siam, Mongkut dan Maharaja Jepun, Meiji contohnya dapat menghalang kemasukan penjajah dengan memiliki wawasan jauh.

Setelah Pulau Pinang dan Singapura, British berjaya mendapat tapak di Bangkahulu, Sumatera.

Selepas itu dua perjanjian antara London dan Amsterdam serta London dan Bangkok memuktamadkan nasib Nusantara.

Perjanjian Inggeris-Siam menetapkan pembahagian negeri-negeri Melayu di utara Semananjung. Bahagian utara menjadi milik Siam sementara di selatannya, diletakkan di bawah pengaruh British.

Sementara perjanjian Inggeris-Belanda memisahkan Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura di bawah pengaruh Inggeris sementara pulau-pulau Melayu lain diletakkan di bawah Belanda. Bangkahulu ditukarkan dengan Melaka.

Wilayah Kesultanan Johor-Riau-Lingga kemudian terbahagi empat. Riau-Lingga, Singapura, Johor dan Pahang. Riau-Lingga terletak di bawah Hindia Belanda. Singapura sebahagian daripada negeri-negeri Selat. Pahang sebahagian daripada negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Johor adalah negeri-negeri tidak bersekutu yang masih kekal dengan kemerdekaan dan kedaulatannya.

Ketika menjadi tanah jajahan British sebelum Perang Dunia Kedua, Singapura menjadi kota kosmopolitan bagi Nusantara. Malah elit Melayu dalam pelbagai bidang, budaya, agama dan dagang bertumpu ke Singapura.

Walaupun penduduk majoriti adalah pendatang Cina dan kekuasaan terletak di tangan Inggeris tetapi ciri sebagai kota kosmopolitan Melayu tetap wujud kerana ia menjadi pusat lalu-lalang kapal-kapal orang Melayu yang sememangnya bersifat maritim.

Terbuka

Maka tidak hairanlah pemikiran moden Melayu berkembang mudah di Singapura yang lebih bebas dan terbuka berbanding dengan negeri-negeri Melayu lain. Selain daripada soal politik, kota Singapura tahun 30-an menikmati demokrasi budaya dan pemikiran. Maka di situlah lahir akhbar Utusan Melayu pada tahun 1930. Nama- nama besar kewartawanan dan kesusasteraan Melayu muncul di Singapura. Begitu juga dalam bidang filem.

Singapura tidak merdeka tetapi menikmati demokrasi budaya di bawah penjajahan British. Kebudayaan Melayu moden turut berkembang dalam suasana ini.

Tetapi British hanya menyifatkan Singapura sebagai pangkalan tentera dan dagang yang tidak perlu memiliki nasionalisme apatah lagi demokrasi.

Selepas Perang Dunia Kedua dengan menyifatkan raja-raja Melayu telah bekerjasama dengan Jepun, Britain tidak lagi mahu menjadi penaung kepada negeri-negeri Melayu, tetapi sebaliknya menjadi penjajah sebenar. Ia menyatukan semua negeri Melayu di Semenanjung dengan Pulau Pinang dan Melaka dalam satu gagasan Malayan Union yang merupakan tanah jajahan British.

Tetapi Singapura dipisahkannya untuk terus menjadi pangkalan tentera British.

Penentangan Dato’ Onn Jaafar mengubah segala-galanya. Tuntutan untuk kemerdekaan mendorong British memaksa amalan demokrasi di Tanah Melayu.

Maka ia juga mendorong kepada amalan demokrasi di Singapura, bermula sebagai pemerintahan sendiri dan kemudian menikmati demokrasi menjelang penyertaan Singapura ke dalam Malaysia.

Dengan terkeluarnya Singapura daripada Malaysia, amalan demokrasi di republik itu hanya menurut tafsiran PAP. Demokrasi bukanlah satu idealisme apatah lagi keperluan untuk republik itu.