Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN
Sumber: Mingguan Malaysia 25 Jun 2006
Selepas runtuhnya negara-negara blok komunis dan berakhirnya Perang Dingin, dunia nampaknya belum pasti selamat daripada ancaman nuklear. Malah ancaman itu semakin ketara apabila Korea Utara menggiatkan pembangunan program nuklear sekalipun tidak disenangi negara jiran.
Ancaman nuklear menjadi semakin hampir apabila terciptanya Taepodong 2, peluru berpandu jarak jauh Korea Utara dan kini menunggu masa untuk diuji.
Taepodong 2 berkuasa tinggi, mampu menepati sasaran sejauh 6,000 kilometer atau jarah antara Pyongyang dengan Washington di Amerika Syarikat (AS).
Maka ujian peluru berpandu itu bukanlah sembarangan. Ini adalah petunjuk akan berlaku ketegangan antara Korea Utara dengan AS yang mempunyai kepentingannya di Okinawa, Jepun. AS mempunyai pangkalan tenteranya di Okinawa dan jarak dengan Pyongyang tentu saja boleh dicapai oleh peluru berpandu sebelum ini, Taepodong 1.
Maka AS menerusi Setiausaha Negaranya, Condoleeza Rice mengesyorkan China mengenakan tekanan kepada Korea Utara. Ujian peluru berpandu yang dijalankan dalam masa terdekat ini mengocak ketenangan dan memberi isyarat ancaman nuklear bukan suatu yang mustahil.
Taepodong 2 adalah reka cipta pemusnah dunia terkini Korea Utara yang mencetuskan kegusaran dan kebimbangan di Asia dan seluruh dunia. Bukan itu saja malah Korea Utara juga begitu taksub dengan program pembangunan nuklear yang sangat terancang itu.
Program nuklear Korea Utara telah lama mencetuskan ketegangan dengan jiran-jiran seperti Korea Selatan dan juga Jepun. Kekuatan nuklear boleh meledakkan kedua-dua negara ini bila- bila masa saja.
Lebih membimbangkan lagi apabila Korea Utara berikrar mempertahankan program pembangunan nuklear dan akan menyerang balas waima AS sekalipun kalau cuba menghalangnya. Dengan sikap yang tidak kenal diplomasi inilah membimbangkan kuasa besar seperti AS.
Ujian peluru berpandu itu tidak boleh dielakkan lagi. Selepas melepasi peringkat mengisi bahan api, ujian itu mesti dilakukan sekalipun Korea Utara menerima kecaman hebat daripada dunia.
Kuasa besar seperti AS tertekan dengan keberanian Korea Utara menguji Taepodong 2. Pentagon bersiap sedia dengan penangkis peluru berpandu sementara sistem satelit mengawasi persiapan ujian yang difahamkan di peringkat akhir itu.
Bagaimanapun bekas Setiausaha Pertahanan AS, Ashton Carter mengesyorkan AS bertindak memusnahkan peluru berpandu itu sebelum diuji. Bukannya mengawal dari jauh.
Beliau mengingatkan AS supaya jangan mengulangi kesilapan seperti yang berlaku di Iraq yang sehingga kini belum ditemui loji nuklear yang didakwa Presiden George W. Bush.
Bagi Carter, bahaya Korea Utara adalah di depan mata dan AS tidak perlu berlengah-lengah lagi untuk menghalang ujian yang boleh mencetuskan perang dan kemusnahan.
Kronologi program pembangunan nuklear Korea Utara bermula selepas keruntuhan Soviet dan berakhirnya Perang Dingin pada penghujung tahun 1980-an. Keruntuhan Soviet bermakna kehilangan pergantungan ekonomi dan keselamatan Korea Utara kepada kuasa besar itu selama 45 tahun.
Kerana berasa tidak selamat apa lagi dengan kuasa tunggal iaitu AS, Korea Utara membangunkan program nuklear secara sulit sebagai senjata pertahanan. Bagaimanapun perisik AS berjaya mengesan imej satelit sebuah kompleks di Yongbyon yang dipercayai loji nuklear.
Korea Utara menandatangani Perjanjian Kawalan Senjata Nuklear (NPT) pada 1985. Tetapi mempunyai helah lain dan tidak membenarkan pasukan pemeriksa memeriksa loji nuklear itu ketika peringkat awal pembuatan senjata nuklear.
Hanya pada Mei 1992 barulah Korea Utara buat pertama kali membenarkan pasukan dari Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) membuat pemeriksaan di loji di Yongbyon. Bagaimanapun setahun kemudian, Korea Utara mengejutkan dunia apabila mengumumkan keluar daripada NPT.
Pada September tahun lalu, Korea Utara mengatakan persetujuan untuk memusnahkan loji senjata nuklear kepada pakatan enam kuasa besar; AS, Perancis, Jerman, Britain, China dan Rusia. Tetapi Korea Utara tidak berdiam diri sebaliknya meneruskan pembangunan senjata nuklear sehinggalah secara terbuka mengumumkan akan mengadakan ujian baru-baru ini.
Ini adalah detik yang genting bagi mengundurkan Korea Utara daripada rancangan asalnya. Malah Taepodong 2 seolah-olah menjadi saksi kekuatan dan keangkuhan sebuah negara komunis yang disingkirkan oleh dunia.
Bagaimanapun AS kelihatan tidak bersungguh-sungguh untuk menghalang Korea Utara meneruskan program senjata nuklear. Apa muslihatnya?
Sekalipun Bush pernah menggelarkan Korea Utara sebagai “paksi kejahatan” selepas tragedi 11 September 2001, usaha membanteras nuklear Korea Utara tidak sehebat tekanan ke atas Iran dan Iraq.
AS mempunyai motif lain untuk menekan Iran. Bukan kerana program nuklear. Malah Iran sudah menjelaskan program nuklear itu untuk sumber tenaga.
Iran tidak memperlihatkan dengan nyata kecenderungan pembangunan nuklear untuk pertahanan. Malah di Iraq pula sehingga kini AS belum dapat menunjukkan bukti negara itu mempunyai loji nuklear selepas beribu-ribu orang awam menjadi mangsa perang AS ke atas Iraq.
AS semacam terlepas pandang kekuatan nuklear Korea Utara yang begitu terbuka ke arah perang nuklear. Pada masa yang sama AS memfokuskan ke Iran. AS memberi kata dua; diserang atau menerima pakej untuk memusnahkan loji nuklear.
Korea Utara ternyata jauh lebih membahayakan dunia berbanding Iran. Tekanan harus ditumpukan kepada Korea Utara dan bukannya memberi ugutan kepada Iran yang jauh lebih diplomasi pendekatannya.
Iran kini dalam tekanan pakatan enam kuasa besar. Kuasa besar ini menuntut Iran menghentikan program nuklear dan menyertai pakej keamanan. Kalau tidak, Iran dikenakan sekatan atau AS sendiri menyerang seperti yang dilakukan ke atas Iraq.
Ketika diuji pada 1998, Taepodong 1 mampu untuk menggempur utara Jepun meliputi pangkalan AS di Okinawa. Kenapa tekanan itu hanya kelihatan berat kepada Iran dan tidak Korea Utara?
Ketika ini Korea Utara mempunyai 700 peluru berpandu jenis Rodong yang boleh mencapai sasaran sejauh 1,300 kilometer. Semua ini membayangkan ancaman nuklear yang serius dan kemuncaknya adalah ujian Taepodong 2.
Membiarkan Korea Utara dengan program pembangunan nuklear samalah dengan membiarkan dunia kembali diancam nuklear. Maka cadangan Carter supaya AS mengambil langkah proaktif menghapuskan Taepodong 2 ada kewajarannya.