Oleh: ZIN MAHMUD (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 29 Jun 2006
ISTILAH bayi rekaan merupakan terjemahan daripada designer babies. Mungkin lebih tepat ialah bayi yang direka bentuk. Apabila menggunakan istilah bayi rekaan maka seolah-olah manusia yang mencipta bayi itu.
Istilah rekaan mungkin lebih selesa kerana ia hanya mengubah sesuatu yang telah ada.
Ada satu istilah berbunyi reka cipta. Ia merujuk pada perkataan Inggeris, invention. Sekali imbas, invention diterjemahkan kepada mencipta. Jadi cipta bermaksud menghasilkan sesuatu daripada bahan-bahan yang telah ada. Bukanlah mewujudkan sesuatu yang tidak ada dalam erti kata agama. istilah cipta harus dilihat dari sudut manusia dan bukannya ketuhanan. Begitu juga dengan rekaan dan bayi rekaan.
Walaupun kerajaan telah pun mengharamkan bayi rekaan tetapi kejayaan teknik dan teknologi ini mempunyai implikasi kepada manusia.
Kini manusia boleh campur tangan pembentukan bayi untuk menurut kehendaknya, iaitu jantina dan ciri-ciri seperti rambut, warna mata, malah kecerdasan.
Sememangnya keupayaan menentukan jantina ini akan mendatangkan implikasi besar di mana imbangan lelaki-perempuan boleh terjejas tetapi ciri kecerdasan membawa kepada implikasi yang lebih besar.
Maka menjadi dorongan semula jadi manusia untuk memiliki anak yang lebih cerdas daripadanya. Ibu bapa sanggup berbelanja besar untuk pelajaran anaknya.
Justeru, tidak hairan ibu bapa yang mampu akan melabur untuk melahirkan anak yang lebih cerdas melalui teknik bayi rekaan ini. Mungkin mereka tidak meminda ciri-ciri lain seperti fizikal dan jantina.
Tetapi mereka mahukan bayi rekaan yang terbaik dalam soal kesihatan dan kecerdasan.
Maka lambat laun, jika teknik ini berkembang akan muncul golongan bayi rekaan yang lebih cerdas berbanding orang lain. Dengan sokongan persekitaran yang menggalakkan, maka mereka bukan saja lebih cerdas tetapi lebih beruntung dan akhirnya lebih mampu menguasai dunia berbanding golongan lain.
Tidakkah ini mengingatkan kita kepada gerakan eugenik dan fahaman darwinisme sosial yang berkait pula pada fahaman fasisme dan Nazisme pada tahun-tahun 1930-an.
Sejarah menunjukkan bahawa fahaman eugenik, darwinisme, fasisme dan Nazisme sebagai antara kesilapan manusia yang akhirnya membawa kepada Perang Dunia Kedua dan pembunuhan ramai dalam Holocaust.
Tetapi di sudut lain, mungkinkan fenomena bayi rekaan dan pengklonan merupakan sebahagian daripada evolusi manusia untuk menjadi spesies lebih baik?
Tetapi baik atau tidak bukan nilai bagi alam yang hanya mematuhi hukum-hukum alam seperti yang ditentukan oleh Allah s.w.t.