Oleh: DATUK MUHAMMAD ALIAS
Sumber: Utusan Malaysia 8 Jun 2006
SIDANG Kemuncak Negara-Negara Arab yang ke-18 berlangsung akhir Mac lalu di Khartoum, Sudan. Seperti beberapa sidang kemuncak yang lalu sidang kali ini juga dipenuhi dengan kontroversi. Hinggakan sidang yang sepatutnya berakhir dua hari telah ditamatkan dalam masa sehari sahaja.
Presiden Hosni Mubarak dari Mesir dan Raja Abdullah yang mewakili Arab Saudi antara lapan ketua negara dari 22 negara anggota yang tidak hadir. Sebab-sebab Mubarak tidak hadir tidaklah begitu jelas.
Sementara Raja Abdullah pula dikatakan sengaja mengelak daripada bertemu Presiden Muammar Gadaffi.
Episod menyedihkan ini jelas membuktikan negara-negara Arab semakin renggang. Mereka bercakaran dalam berbagai isu sedangkan benua Arab sedang menghadapi berbagai masalah yang genting.
Seperti mana sidang kemuncak yang lepas-lepas, sidang kali ini begitu hambar. Resolusi-resolusi yang diluluskan merupakan ulang tayang kepada beberapa persidangan yang lalu. Meskipun ada antara resolusi seperti perdamaian Arab-Israel berdasarkan pertukaran tanah untuk perdamaian di Beirut tahun 2002 gagal mencapai kemajuan.
Pergeseran antara beberapa pemimpin menyukarkan sidang mencapai keputusan yang berkesan. Mereka juga mempunyai kiblat dan kebimbangan atas isu-isu yang berbeza.
Kebimbangan seumpama inilah menjadi punca kepada Perang Iran-Iraq pada tahun 1980. Saddam Hussein yang begitu terhina dengan perjanjian Algeirs tahun 1976 yang menetapkan sempadan Iran-Iraq di Shattal Arab terkena pancing negara-negara Teluk yang begitu takut dengan revolusi Iran.
Persengketaan
Saddam diberikan bantuan wang dan senjata untuk berperang. Jutaan rakyat kedua negara mati. Perang lapan tahun tersebut hanya menguntungkan tauke-tauke senjata dan pemimpin negara-negara Teluk yang menjadi penonton di kala Iran dan Iraq musnah.
Selepas perang negara-negara berkenaan mendesak supaya Saddam membayar hutang. Iraq bagaimanapun, tidak mampu kerana negara itu telah muflis. Maka berlakulah penaklukan Kuwait oleh Iraq.
Sidang kemuncak kali ini diadakan di saat-saat yang paling genting untuk umat Arab. Masalah Palestin yang berlarutan. Sementara di Iraq, persengketaan antara Sunni dan Syiah memakan korban yang besar.
Seperti mana filem ulang tayang, sidang kemuncak kali ini juga meluluskan resolusi menyokong Palestin, Iraq dan Syria. Ini termasuklah bantuan kewangan kepada Palestin.
Namun, resolusi tersebut tidak lebih daripada melepaskan batuk di tangga. Liga Arab dikatakan gagal menunaikan bantuan kewangan di masa-masa lalu. Kini setelah hampir-hampir dua bulan sidang kemuncak berlalu tidak ternampak sebarang penyelesaian terhadap masalah yang dibincangkan.
Bagaimanapun mengikut laporan terkini Raja Saudi merupakan orang paling kaya di kalangan ketua-ketua negara di dunia. Harta beliau dikatakan melebihi USD76 billion.
Lain-lain resolusi yang diluluskan tidak ubah seperti bunga-bunga yang akhirnya layu tanpa dihidu. Ini termasuklah gesaan supaya negara-negara dunia (barat) menghormati hak-hak rakyat Palestin memilih kerajaan yang mereka sukai. Menggesa Israel supaya menandatangani Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) dan membuka segala aktiviti nuklearnya kepada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
Membelenggu
Dalam isu Palestin, nampaknya pemimpin-pemimpin Arab telah kehilangan tenaga. Negara-negara Arab telah jemu dengan isu-isu yang membelenggu mereka. Kalau benar-benar telah letih mereka hendaklah berusaha menyelesaikan masalah Palestin. Retorik selama 58 tahun tidak sampai ke mana-mana.
Hasilnya tanah yang dicadangkan untuk negara Palestin semakin kecil. Hari ini, tanah yang dicadangkan untuk negara Palestin hanya tinggal 20 peratus daripada 40 peratus peruntukan asal (tahun 1948).
Hasrat untuk mendapatkan semula keseluruhan Palestin hanya merupakan mimpi di siang hari. Tragedi yang menimpa rakyat Palestin dan Iraq adalah ekoran daripada mainan politik negara-negara Arab sendiri.
Saya sering tertanya-tanya, bagaimanakah agaknya peta Timur Tengah sekiranya dunia Arab menerima kewujudan Israel pada tahun 1948. Mungkin rakyat Palestin mempunyai negara mereka sendiri dan tidak tinggal di kem-kem pelarian.
Sayang sekali keputusan mengenai masa depan rakyat Palestin dibuat oleh pemimpin-pemimpin Arab tahun 1948 apabila mereka menyerang Israel.
Serangan tersebut berdasarkan nasionalisme Arab, keegoan pemimpin-pemimpin Arab serta sangkaan Israel lemah.
Akibatnya rakyat Palestin yang menjadi mangsa. Kini mereka dibiarkan bersendirian.