Apabila Bush dianggap iblis

Oleh: ZIN MAHMUD (Di New York, Amerika Syarikat)
Sumber: Utusan Malaysia 23 September 2006


MINGGU ini penduduk New York khususnya yang bekerja di Manhattan pastinya marah-marah kepada Presiden George W. Bush. Bukanlah kerana politik walaupun sudah banyak warga Amerika Syarikat (AS) yang menuntut supaya tentera mereka dipanggil pulang dari Iraq.

Malah ada demonstrasi yang diadakan oleh veteran Perang Iraq pada minggu ini di depan bangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menuntut AS supaya keluar dari Iraq. Bukan juga kerana majoriti warga New York menyokong parti Demokratik sedangkan Bush adalah dari parti Republikan di mana kini kempen sudah bermula untuk pilihan raya memilih wakil rakyat pada November ini.

Warga New York marah kepada Bush kerana kehadirannya di Manhattan menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk. Banyak jalan di sekitar hotel ditutup, begitu juga dengan laluan yang melibatkan pergerakan presiden itu.

Minggu ini sememangnya menyesakkan bagi kehidupan seharian penduduk New York.

Lebih-lebih lagi sedang berlangsung Perhimpunan Agung PBB Ke-61 di ibu pejabat badan dunia itu. Bahang politik dunia bergema di New York, bukan saja di dewan perhimpunan PBB tetapi juga jalan-jalan raya yang menyaksikan demonstrasi, ditambah pula media yang aktif melaporkan pertembungan suara dan hujah daripada pemimpin-pemimpin dunia.

Perbahasan bermula hari Selasa yang dianggap sebagai kemuncak kerana kedua-dua Presiden Bush dan Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad menyampaikan ucapan pada hari yang sama. Keadaan dibesar-besarkan oleh media dengan menyifatkannya sebagai pertembungan dua gergasi dengan rujukannya mengenai isu nuklear Iran. Bagi media AS, adakah Bush akan bertegas, dan sama ada Mahmoud terus berdegil.

Tetapi dari sudut lain, ia boleh dilihat dalam bentuk pertembungan antara Barat dan Islam. Bush mewakili Barat, dan Mahmoud mewakili Islam. Tetapi boleh juga dilihat dalam sudut yang lebih bersifat politik. Bush sebagai ketua dunia, kerana itulah lagaknya. Dengan memiliki kekuatan politik, ekonomi, ketenteraan, sains dan teknologi, maka AS boleh dilihat sebagai kerajaan dunia. Walaupun dunia tidak memilih mereka, tetapi kedudukannya yang sebegitu rupanya menyebabkan bukan saja AS dianggap sebagai polis dunia tetapi adalah juga kerajaan dunia.

Maka kalau AS kerajaan, Iran merupakan ketua pembangkang dunia. Ini kerana mereka berani mencabar AS, bukan saja dari segi retorik tetapi eksekutif apabila meneruskan rancangan nuklear mereka. Maka Selasa lalu itu menyaksikan Bush memberikan penilaiannya terhadap keadaan dunia dan Mahmoud berhujah bagi mematah pendirian Presiden AS.

Semua media membesar-besarkan kedua-dua ucapan pemimpin ini seolah-olah memang kedua-duanya mewakili pihak yang berkuasa di satu pihak, dan pembangkang di pihak lain. Saluran televisyen C-Span yang dibiayai oleh dana awam menyiarkan ucapan penuh kedua-dua pemimpin ini.

Tetapi keadaan dunia sedia berbahang sebelum sesi perbahasan perhimpunan agung PBB ini. Ini adalah ekoran daripada kenyataan Pope Benedict XVI mengenai sifat Islam yang dikatakan sebagai jahat, tidak rasional dan bersifat ganas. Akhbar tabloid New York Post menyifatkan rusuhan di negara-negara Islam ekoran kenyataan Pope hanya mengesahkan tanggapan pihak Barat bahawa Islam bersifat ganas. Kenyataan Al-Qaeda yang mahu menakluki Rom dijadikan seolah-olah sebagai salah satu wakil umat Islam disiarkan secara jelas.

Akhbar itu menyiarkan banyak kata-kata yang kalau orang Islam baca pasti sakit hati. Beliau menyifatkan Mahmoud sebagai pemimpin zaman batu. Sedangkan angkasawan pelancong AS tetapi kelahiran Iran dipaparkan sebagai orang yang waras dan bersifat zaman angkasa.

Mengikuti media di New York seolah-olah dirasakan sedang berlaku perang antara Barat dan Islam. Mereka memaparkan Islam itu sama sahaja, sama ada Al-Qaeda, Iran, Hizbullah, Hamas, Taliban, Arab Saudi dan Pakistan. Sebutan-sebutan yang dilemparkan dalam kata-kata memerangi keganasan disulami dengan ungkapan peperangan menentang radikal Islam. Dalam minda, perkataan keganasan dan radikal hilang begitu saja. Yang ada hanyalah Islam.

Maka anggapannya ialah Barat itu baik dan Islam itu jahat. Tetapi keadaan ini dirasakan sedang dipanas-panaskan lebih-lebih warga New York baru mengadakan hari memperingati peristiwa 11 September. Maka apabila disebut 11 September, dengan mudah dikaitkan dengan Islam sebagai pihak yang menyebabkan kejadian itu. Maka tidak keterlaluan untuk dikatakan sambutan memperingati 11 September itu akan menjadi hari Islam fobia.

Bukan itu saja, pentadbiran Bush juga baru mengeluarkan laporan mengenai Al-Qaeda. Semua tindakan ini disedari oleh parti saingannya, Demokratik yang beranggapan suasana sebegini adalah untuk menarik sokongan rakyat AS kepada parti Republikan menjelang pilihan raya November ini.

Sehari sebelum berucap di perhimpunan agung PBB iaitu Isnin lalu, Bush juga sibuk dengan acara tempatan dan hubungan dua hala negara. Sebelah pagi beliau pergi ke Perpustakaan Awam New York untuk melancarkan kempen membaca. Masyarakat AS juga bimbang terhadap gejala kurang minat membaca di kalangan generasi baru. Kemudian beliau menemui pemimpin dunia, antara lain ialah Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC). Pertemuan itu tidaklah menarik bagi warga New York kalau dibandingkan dengan ucapan Presiden Iran keesokannya. Tetapi pertemuan itu mempunyai makna besar kerana Pengerusi OIC merupakan jawatan rasmi bagi mewakili dunia Islam. Perbincangannya juga mengenai hubungan Islam dan Barat.

Bush kata AS hormat pada Islam. Maknanya dia tidaklah seperti Pope yang mengeluarkan kenyataan hingga menimbulkan kemarahan orang Islam. Bush bukan Katolik. Pope adalah ketua mazhab Katolik tetapi tidak boleh mewakili semua orang Kristian. Bagaimanapun, bagi umat Islam, mereka kurang membezakan antara Katolik atau Protestan. Semua orang Barat dianggap sama, tidak kira Katholik, Protestan ataupun agnostik dan ateis.

Dalam ucapannya yang disampaikan secara jelas dan teratur, Bush mengajak umat Islam menolak kerajaan mereka yang mengongkong kebebasan dan hak untuk hidup senang dari segi ekonomi. Mesejnya ialah pilih demokrasi dan kapitalisme serta menolak kerajaan Islam. Sasarannya yang jelas ialah Iran dan Syria.

Presiden Iran menjawab balik, apa yang dikatakan demokrasi kalau negara-negara dihalang untuk memajukan diri. Teknologi nuklear dihalang walau ia untuk kegunaan keamanan. Kegiatan ekonomi disekat sebagai tindakan memaksa supaya sesebuah negara itu tunduk pada AS. Hamas yang dipilih secara demokratik ditolak kerana tidak menerima polisi yang dikehendaki oleh AS dan Israel. Maka memang benar ucapan kedua-dua Presiden AS dan Presiden Iran menunjukkan pertembungan Barat dan Islam.

Orang menyangka itulah kemuncak perhimpunan agung PBB kali ini. Tetapi keesokannya, Presiden Venezuela, Hugo Chavez mengeluarkan kenyataan yang lebih pedas dengan menganggap Bush adalah diabolo iaitu iblis. Chavez walaupun beraliran kiri tetapi penganut Katolik. Beliau bukan saja bersahabat dengan pemimpin komunis Cuba, Fidel Castro tetapi juga Mahmoud. Beliau memihak kepada Palestin dan Iran.

Maka warga AS juga terkejut dengan kata-kata keras Chavez. Dalam ucapannya, Chavez merujuk kepada buku dan pemikiran Noam Chomsky, seorang intelektual kiri beraliran anarkisme tetapi berketurunan Yahudi dan merupakan warganegara AS.

Justeru, pertembungan politik di dunia bukanlah antara Barat dan Islam semata-mata. Terdapat aliran lain yang turut memusuhi AS. Mereka ini adalah daripada kalangan kiri. Adakah Chavez dan Chomsky ini sebahagian daripada Barat atau bukan? Chavez menimbulkan satu perkara yang penting dalam ucapannya. Siapakah yang menjadi pengganas ketika AS menyokong kumpulan-kumpulan pengganas beraliran kanan di Amerika Latin untuk menjatuhkan kerajaan-kerajaan yang dipilih secara demokratik pada zaman-zaman Perang Dingin dahulu?

Dalam semangat New York yang merupakan kota kosmopolitan dan memiliki pelbagai budaya, fikiran sempit mengenai pertembungan Barat dan Islam wajar dianggap sebagai suatu mitos yang berada dalam pemikiran semata-mata.

Pertembungan yang berlaku adalah bersifat pelbagai. Terdapat pelbagai cara fikir Barat dan cara fikir Islam. Cara Iran adalah jauh berbeza dan bertentangan dengan Al-Qaeda. Cara Islam Hadhari adalah lain pula. Di pihak Barat juga terdapat perbezaan yang tidak boleh dilonggokkan dalam satu bakul. Aliran kiri juga mempunyai pelbagai bentuk. Sosialis di Perancis dan Jerman berbeza daripada gerakan kiri di Amerika Latin. AS juga mempunyai pelbagai aliran, daripada liberal, konservatif, neoliberal, neokonservatif dan macam-macam.

Kebetulan pada masa ini Bush memegang kuasa. Dia tidak boleh dikatakan mewakili Barat. Kalau Al-Qaeda tidak boleh mewakili Islam, maka begitu juga dengan Bush. Presiden AS itu hanya mewakili kumpulannya. Sebagai Presiden AS, beliau adalah ketua rakyat dan negara AS, tetapi itu tidak bermakna semua rakyatnya menyokong pendiriannya.

Apa saja yang berlaku di ibu pejabat PBB di New York, warganya menjalani kehidupan seharian dan hujung minggu masing-masing. Antaranya kegiatan mengunjungi teater, memenuhi kedai-kedai buku, melawat pameran-pameran baru di pelbagai muzium dan pelbagai acara budaya yang amat pelbagai.