Mengingati 11 September

Oleh: Zin Mahmud
Sumber: Mingguan Malaysia 10 September 2006


Amerika Syarikat (AS) memperingati 11 September setiap tahun sebagai hari mereka diserang segolongan pengganas yang berfahaman menentang mereka. Umat Islam juga wajar memperingati 11 September kerana peristiwa itu mengubah persepsi dunia terhadap mereka. Umat Islam dipandang serong sehingga menjejaskan kehidupan dan kemajuannya.

Islamofobia yang sedia ada bertambah menebal selepas 11 September.

Apa yang nyata, akibat peristiwa itu dua negara umat Islam; Afghanistan dan Iraq diserang dan diduduki oleh AS dengan Syria serta Iran menjadi sasaran baru.

Peristiwa 11 September juga menyusahkan perjuangan Palestin. Hamas dan Hizbullah disenaraikan sebagai pengganas setaraf dengan Al-Qaeda. Lebanon diserang dan rakyat Palestin bertambah menderita.

Turut ketara ‘pandangan serong dunia' terhadap Islam dan umatnya ialah tergendalanya proses kemajuan dan pembangunan orang Islam sendiri.

Pertamanya dari segi pendidikan. Berapa banyak pelajar dari negara Islam yang peluangnya untuk belajar di AS tergendala akibat sekatan serta suasana Islamofobia ekoran peristiwa 11 September.

Begitu juga berapa banyaknya penghijrah di kalangan umat Islam yang terhalang daripada berpindah ke AS dan Eropah kerana sekatan dan halangan serta suasana baru Islamofobia di Barat itu.

Pastinya juga halangan-halangan baru akibat peristiwa 11 September itu menjejaskan perdagangan, pelancongan dan kegiatan ekonomi antara barat dan dunia Islam yang kalau tidak kerana 11 September, keadaannya akan lebih baik.

Ekoran peristiwa 11 September dan suasana Islamofobia yang muncul seiring dengan polisi dan sikap politik kerajaan-kerajaan Barat, dapat disaksikan betapa imej pejuang Islam serta gerakan Islam termasuk badan-badan dakwah dan kebajikan telah tercemar.

Berapa banyak pertubuhan Islam tulen yang lumpuh akibat keadaan ini di mana dana yang disekat tidak dapat menggerakkan jentera dakwah. Usaha dakwah di negara-negara bukan Islam, umpamanya di Kemboja turut terjejas.

Sekolah agam serta madrasah yang tulen mengajar agama tetapi hanya kerana mereka beraliran melampau terus dianggap sebagai pengganas. Maka berapa banyak madrasah seumpama ini ditutup di seluruh dunia. Sedangkan sikap melampau, radikalisme dan fundamentalisme tidak semestinya membawa kepada terorisme. malah militan juga tidak automatik menjadi teroris.

Ini kerana militan yang bermaksud perjuangan menggunakan senjata tidak dianggap sebagai pengganas kalau sasarannya adalah pihak bersenjata juga dan bukannya orang awam.

Begitu juga betapa pejuang-pejuang Islam yang sebenar turut terpalit dan lumpuh akibat Islamofobia. Perjuangan tulen pembebasan seperti di Chechnya, Selatan Thai dan Selatan Filipina turut tercemar dan tersekat akibat peristiwa 11 September.

Realiti

Tidak kurangnya juga kesan kepada parti-parti politik Islam, seperti mana yang berlaku di Turki dan Indonesia. Maka parti-parti ini terpaksa menyesuaikan diri dengan realiti baru ini dan mengurangkan simbol-simbol Islam bagi mengurangkan kesan stigma terhadap perjuangan Islam ekoran ancaman keganasan ini.

Dari segi pemikiran, berapa banyak perbincangan, seminar, persidangan dan penulisan mengenai hubungan Barat dan Islam sejak berlaku peristiwa ngeri itu pada tahun 2001.

Dari satu segi, hasil daripada perbincangan itu muncul dalam dua bentuk. Positifnya ia mendatangkan pertambahan persefahaman antara kedua pihak; tetapi dari segi negatifnya, ada kalanya ia mempertajamkan lagi perbezaan dan perasaan benci di antara kedua belah pihak.

Tetapi apa yang jelas keseluruhan perbincangan mengikut nada dan rentak yang disediakan oleh pihak Barat hanya kerana mereka mempunyai kemampuan dana dan intelektual yang lebih untuk melakukannya.

Sementara dunia Islam yang kurang memiliki dana hanya dapat membekal golongan pemikir mereka untuk menurut agenda, rentak dan program yang ditetapkan oleh pihak Barat itu.

Sempena ulang tahun peristiwa 11 September pihak Barat pasti membuat analisis serta mengenai kejayaan serta kegagalan di pihak mereka dalam apa yang Presiden George W. Bush namakan sebagai ‘perang melawan keganasan’. Umumnya menilai apa yang Bush buat khususnya dalam soal perang Iraq tidak mengatasi ancaman keganasan itu, sebaliknya ia menjadi parah dengan keadaan Iraq yang tidak kelihatan sebarang harapan kestabilan.

Tetapi bagi umat Islam, penilaian yang serupa juga wajar dilakukan, bukan ke atas pihak Barat; tetapi pada diri sendiri.

Seringkali adalah mudah untuk melakukan retorik dengan menyalahkan pihak Barat, AS dan Israel atas kesemua masalah umat Islam termasuk apa yang berhubung dengan peristiwa 11 September.

Tetapi lebih bermakna dan wajar untuk bermuhasabah di kalangan umat islam mengenai peristiwa 11 September. Adakah dunia Islam melakukan respons dan menggubal dasar yang berjaya dalam menghadapi perkembangan akibat peristiwa 11 September?

Lapisan kedua ialah umat Islam yang menjadi minoriti dalam negara asal mereka sendiri. Ini termasuklah umat Islam di negara-negara seperti India, Rusia, Thailand, Filipina dan seumpamanya.

Lapisan ketiga ialah umat Islam yang bermastautin di negara-negara Barat. Mereka adalah pendatang atau keturunan pendatang yang menjadi warganegara atau pemastautin di negara-negara bukan Islam.

Pertama, sikap untuk menafikan bahawa peristiwa 11 September itu dilakukan oleh pengganas beragama Islam adalah suatu yang produktif.

Sememangnya ada kepercayaan bahawa peristiwa 11 September itu tidak dilakukan oleh pengganas beragama Islam. Malah dikatakan ia dilakukan oleh orang Yahudi untuk memburukkan nama Islam dan membolehkan Afghanistan dan Iraq diserang.

Kepercayaan ini dengan serta merta muncul sebaik saja berlaku peristiwa 11 September. Ia dikaitkan dengan teori konspirasi yang popular di kalangan umat Islam khususnya mereka yang percaya kepada dokumen protokol yang menggambarkan seolah-olah Yahudi amat berkuasa di dunia ini dan mampu membuat pelbagai perkara besar.

Apabila teori konspirasi ini dihubungkan dengan kepercayaan mengenai kejahatan Yahudi dari sudut agama, maka ia berupa neo-antisemitisme yang banyak orang Islam terus menerimanya seolah-olah ia menjadi fakta yang tidak boleh dipertikaikan.

Sememangnya terdapat kumpulan di kalangan pihak Barat sendiri yang mempertikaikan bahawa peristiwa 11 September itu dilakukan oleh pengganas beragama Islam.

Peristiwa 11 September menjadi seolah-olah satu kepercayaan, iaitu sama ada hendak menerima bahawa ia sememangnya hasil daripada perbuatan pengganas Al-Qaeda atau sebaliknya mengambil kesimpulan yang dibuat oleh pendokong teori konspirasi.

Hakikat

Tetapi secara umum apabila dipertimbangkan semua faktor, adalah selamat untuk mempercayai bahawa peristiwa 11 September itu benar-benar dilakukan oleh pengganas yang dikaitkan dengan rangkaian Al-Qaeda.

Menerima hakikat ini penting supaya membolehkan umat Islam memberikan tumpuan kepada isu lebih besar dan sebenar daripada tersangkut kepada menyelesaikan sama ada Al-Qaeda atau pihak Yahudi yang membuat angkara ini.

Namun begitu ini tidak bermakna penyiasat dan penyelidik khusus yang berminat terhadap membongkar apa yang berlaku di sebalik 11 September untuk meneruskan kegiatan mereka.

Seperti mana kejadian-kejadian besar dalam sejarah yang lain, pastinya peristiwa bersejarah ini akan terus menjadi bahan penyelidikan dan tidak mustahil setahun demi setahun akan muncul perkara-perkara baru mengenainya.

Persoalannya adakah dunia Islam melakukan perubahan itu benar-benar kerana kepercayaan atau bersifat taktikal akibat takut kepada AS?

Umumnya, dunia Islam menegaskan bahawa kunci masalah terletak pada isu Palestin dan sikap Barat yang menyokong dan membantu Israel. Tetapi Barat pula menegaskan di samping kempen kebencian, kunci masalah terletak pada politik negara-negara Islam yang tidak mengamalkan demokrasi, kebebasan dan hak asasi manusia.

Bagaimanapun perlu juga dipersoalkan adakah AS benar-benar berusaha menerapkan demokrasi di negara-negara Islam yang menjadi sekutunya? Atau kepentingan minyak dan Israel jauh lebih penting daripada hal-hal idealisme?

Akhirnya akan dapat dilihat bahawa tidak berlaku pertembungan antara Barat dengan islam. Barat dan Islam, adalah bersekutu dalam perjuangan menentang bukan saja keganasan dan ekstremisme tetapi juga penindasan dan penjajahan.

Sempena ulang tahun peristiwa 11 September ini, dunia wajar turut mengingati nasib kehidupan berjuta-juta orang Islam di Afghanistan, Palestin, Lebanon, Iraq, Iran, Pakistan, India, Sudan, Somalia dan lain-lain negara yang langsung tidak memiliki masa depan jika dunia terus dalam keadaan begini.