Oleh: ZIN MAHMUD (Di New York, Amerika Syarikat)
Sumber: Utusan Malaysia 19 September 2006
PERSEPSINYA adalah sukar untuk masuk ke Amerika Syarikat (AS). Pintu pertama ialah mendapatkan visa. Tetapi pihak Kedutaan AS di Kuala Lumpur kelihatan komited untuk memudahkan seberapa boleh bagi mendapatkan visa bagi pemohon Malaysia. Tetapi kuasa penuh adalah di tangan pihak keselamatan di AS. Mereka tegas dan menolak sebarang keraguan yang timbul bila berdepan dengan soal keselamatan.
Penerbangan MAS hari Sabtu ke New York berhenti di Lapangan Terbang Arlanda, Stockholm, Sweden. Pemeriksaan biasa cuma dipastikan semua penumpang mempunyai visa ke AS. Tetapi pihak berkuasa Stockholm tegas dan mengikuti peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa AS. Tidak ada cecair atau pasta dibenarkan dibawa masuk ke dalam kapal terbang ke New York. Seorang warga New York yang pulang bercuti dari Thailand mengeluh kerana beg yang dibimbit diarahkan masuk ke kargo apabila sampai di Stockholm kerana mengandungi semburan cukur dan minyak wangi. Syarikat penerbangan hanya menyerahkan minyak yang dibeli atas ‘pesawat’ apabila sudah mendarat.
Kapal terbang MAS dari Kuala Lumpur mendarat di Lapangan Terbang Newark. Penumpang diingatkan betapa AS amat serius dalam soal keselamatan udara tetapi pada waktu yang sama tidak mahu menghalang atau menyusahkan pelawat-pelawat tulen.
New York ada tiga lapangan terbang antarabangsa, Kennedy, La Guardia dan Newark. Kennedy paling sibuk dan pasti tahap keselamatan lebih tinggi. Newark lebih selesa. Teringat pada zaman Lapangan Terbang Antarabangsa Subang yang operasinya lebih mudah dan ringkas. Para penumpang beratur dengan tertib dan pintu pertama ialah menghadapi pegawai imigresen seperti mana di lain-lain tempat di seluruh dunia. Tetapi ini Amerika yang terkenal dan mempunyai stigma tersendiri. Soalan pegawai imigresen adalah biasa, datang untuk apa dan bila balik. Itu saja.
Perjalanan dari Newark ke Manhattan tidaklah jauh sangat, tidak seperti KLIA ke Kuala Lumpur. Sepatutnya lancar sebab malam minggu. Tetapi rupanya sesak ketika berada di pintu masuk ke dalam terowong panjang yang berada di bawah dasar sungai untuk ke pusat bandar raya. Ini kerana hujung minggulah kerja-kerja pembaikan dilakukan ke atas jalan.
Pada hujung minggu jugalah orang New York hendak keluar untuk bersantai sementara orang luar New York pula hendak masuk ke pusat bandar raya. Maka sesaklah lebuh raya dan laluan bagi bayaran tunai di tol penuh sesak kerana pengunjung daripada kalangan orang luar New York tidaklah menggunakan kad prabayar tol.
New York hidup sepanjang malam ke pagi. Lebih-lebih lagi hujung minggu. Kereta api bawah tanah beroperasi 24 jam. Tarikh 17 September dikatakan hari akhir musim panas. Selepas itu musim luruh dan kemudian musim sejuk. Dari Disember hingga Mac, musim sejuk New York dikatakan amat tidak selesa kerana angin dingin dari kutub utara. Jadi September adalah masa untuk warga New York menikmati cuaca selesa, sejuk-sejuk hangat. Boleh pakai kemeja-T dan seluar pendek.
Kota New York direka bentuk dengan ringkas dan mudah. Semua jalannya dibina berbentuk lurus seperti kotak empat segi. Yang tegak dipanggil Street, yang melintang disebut Avenue. Ia bersilang antara satu sama lain dan namanya adalah nombor yang berurutan dan ini memudahkan sesiapa untuk mencari tempat destinasinya.
Pukul enam dan tujuh pagi, kelihatan orang New York berjoging. Sama ada di Central Park yang sering dipaparkan dalam filem-filem Hollywood atau di jalan raya. Dapat joging keliling blok sudah memadai. Lagipun orang New York banyak berjalan untuk pergi dari satu tempat ke tempat lain.
Di sudut Manhattan, pada tahun 50-an, kerajaan AS memperuntukkan satu kawasan tanah untuk dunia. Di situlah kini terletak bangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), bangunannya tidaklah tinggi sangat berbanding bangunan korporat di New Yotk. Menara empat segi dan dewan bulat adalah terkenal bagi mereka yang meminati isu-isu politik antarabangsa.
Maka di depannya, terdapatlah banyak pejabat perwakilan negara-negara anggota PBB, daripada sekecil-kecil negara kepada sebesar-besar negara.
Di seberang jalan berdepan bangunan PBB itu kelihatan Turkish Center di mana diletakkan barangan budaya Turki. Juga kelihatan pejabat Anti Defamation League Brith Bnai, sebuah pertubuhan yang memantau sebarang kenyataan atau kata-kata yang dianggap memfitnah bangsa Yahudi. Mereka akan bertindak sama ada melalui kenyataan atau cara undang-undang yang lain untuk membanteras sebarang tuduhan mencerca orang Yahudi.
Tidak jauh dari situ kelihatan bangunan Donald Trump. Empat segi hitam yang menampilkan kebanggaannya sebagai hartawan hartanah New York berjaya. Di depan bangunan PBB di seberang jalan kelihatan sekumpulan pembangkang Myanmar sedang menunjuk perasaan. Ada di kalangan mereka yang sedang mogok lapar dan poster menunjukkan mereka meminta Majlis Keselamatan PBB campur tangan dan membebaskan Aung San Suu Kyi.
Tidak jauh dari situ juga terdapat kumpulan pembangkang Iran. Dengan bendera hijau, putih dan merah mereka meletakkan gambar-gambar Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad yang diconteng. Mereka ini penentang revolusi dan republik Islam.
Berjalan susur beberapa laluan, kelihatan gereja dan sinagog, iaitu rumah ibadat Yahudi. Ada sebuah sinagog yang dianggap paling besar, Central Synagogue. Ia bangunan lama dan seni binanya adalah seperti seni bina Islam Andalusia. Dengan kubah dan lingkaran pintu yang mengingatkan seseorang kepada Istana Alhambra di Sepanyol. Mungkin didirikan oleh orang Yahudi yang berasal dari Maghribi. Dalam sejarah pemerintahan Umayah di Andalusia, orang Yahudi bukan saja bebas beribadat tetapi turut menyumbang dalam pelbagai bidang kepada tamadun Islam di situ. Budaya Andalusia bukan saja diamalkan oleh orang Islam tetapi Kristian dan Yahudi di situ.
Setelah Andalusia tumbang, bukan saja orang Islam yang jadi mangsa. Orang Yahudi turut menerima bahananya. Mereka juga dipaksa memeluk agama Islam atau lari ke negara lain. Antara mereka turut sama dengan orang Islam lain berhijrah ke Maghribi. Sebab itu di negara itu terdapat komuniti Yahudi yang besar.
Dari situ untuk ke Ground Zero iaitu tempat bekas tapak bangunan Pusat Dagangan Dunia (WTC), seseorang mesti menaiki kereta api bawah tanah. Sistem kereta api bawah tanah New York adalah yang tertua di dunia. Ketuaannya sudah juga kelihatan. Hari Ahad kereta api ini penuh dengan pelawat, maka wajah-wajah yang kelihatan adalah bersifat antarabangsa, bukan saja kulit hitam atau putih, tetapi juga Asia dan dari Amerika Selatan yang hanya tahu bahasa Sepanyol.
Ground Zero tidak ada apa-apa yang menarik, hanya kerja pembangunan untuk Freedom Tower dan bangunan-bangunan di sekitarnya. Bagaimanapun, pelancong dan pelawat sudah menjadikan Ground Zero sebagai tempat tumpuan kunjungan. Pada hari itu, di New York ada dua perhimpunan yang menarik para pengunjung. Perayaan hari kemerdekaan Mexico dan demonstrasi yang menuntut kepulangan tentera-tentera dari Iraq. Veteran tentera AS di Iraq turut menjadi aktivis damai. Perang dan pendudukan Iraq sudah menjadi isu pilihan raya senat di AS sekarang. Fokus Parti Demokratik adalah terhadap nilai kepimpinan Presiden George W. Bush.