Oleh: Zin Mahmud
Sumber: Mingguan Malaysia 5 November 2006
Hari ini dijadualkan keputusan hukuman yang akan dikenakan ke atas bekas Presiden Iraq, Saddam Hussein kerana kesalahan pembunuhan ramai di kampung komuniti Syiah, Dujail, 60 kilometer dari Baghdad.
Walaupun belum diputuskan mengenai perbicaraan itu tetapi kepercayaan meluas adalah Saddam pasti didapati bersalah dan dihukum gantung.
Kalaulah perkara ini berlaku tiga tahun lalu ketika tentera Amerika Syarikat (AS) baru menduduki Iraq dengan memberi harapan kepada rakyat negara itu, mungkin hukuman gantung dengan mudah dialu-alukan.
Tetapi masalahnya kini, harapan yang dijanjikan oleh tentera AS telah begitu pudar dengan pembunuhan berlaku setiap hari, maka perasaan rakyat Iraq, khususnya di kalangan penduduk Sunni dikatakan berbelah bahagi.
Malah buat pertama kali sejak kejatuhan Saddam, ada kumpulan yang berdemonstrasi menjulang gambar-gambar lama Saddam dan menuntut pembebasan beliau sebagai presiden Iraq yang sah. Perkara ini berlaku di gurun di luar Kirkuk oleh sekumpulan ketua-ketua suku kaum Sunni.
Sedangkan ketika tentera AS mula memasuki Baghdad, semua rakyat Iraq, Sunni, Syiah dan Kurdis bersama menyambut tentera penceroboh itu dan secara simboliknya, mereka menamatkan pemerintahan Baath dengan meruntuhkan patung Saddam.
Selepas kejatuhan Saddam, bukan saja tentera AS yang mencari dan memburu Saddam. Pihak penentangnya, baik Syiah, Kurdis mahupun Sunni sendiri berlumba mencarinya. Tetapi akhirnya pihak AS yang dapat menemuinya. Mungkin tawaran wang yang mampu ia berikan membolehkan diktator itu jatuh ke tangannya.
Tetapi andai kata ia jatuh kepada pihak lain, khususnya daripada kalangan Syiah, mungkin Saddam telah lama dibunuh sebagai tindakan membalas dendam.
Tetapi oleh kerana ia jatuh ke tangan AS, maka Saddam mendapat perlindungan. Musuh-musuhnya daripada kalangan rakyat Iraq tidak dapat membunuhnya.
Antara pihak yang berani merancang dan berusaha untuk membunuhnya ialah daripada kalangan Parti Daawa (Dakwah) pimpinan Nuri Al-Maliki.
Itulah yang mereka lakukan pada tahun 1982 dan usaha mereka gagal, akibatnya Saddam memusnahkan kampung Dujail dan membunuh 148 orang awam. Kes inilah yang dibicarakan terhadap Saddam dan keputusannya dijangka akan diketahui hari ini.
Nuri Al-Maliki kini menjadi Perdana Menteri Iraq yang disandang melalui pilihan raya di bawah penyeliaan AS.
Beliau dengan jelas mengalu-alukan hukuman bunuh ke atas Saddam dan menganggapnya sebagai langkah penting bagi menghalang kumpulan-kumpulan yang mahu kembali berkuasa di Iraq melalui Saddam.
Kuasa
Parti Daawa adalah antara parti Islam yang bergerak secara bawah tanah semasa pemerintahan Saddam. Mereka memperjuangkan penubuhan negara Islam dan menjadi sekutu kepada Majlis Tertinggi Revolusi Islam Iraq (SCIRI) yang berpangkalan di Teheran selama Saddam berkuasa.
Satu lagi ironi ialah parti yang pro-Iran dan anti-AS ini mendapat kuasa melalui laluan yang diberikan oleh Washington.
Bagaimanapun, sama ada Saddam dihukum bunuh atau tidak, Iraq sudah kehilangan harapan dan perang saudara hampir dianggap pasti.
Seorang wartawan berasal Iraq yang kini bertugas di rantau Asia Timur beberapa bulan lalu menceritakan kepada penulis betapa keluarganya di sana menghalang beliau pulang.
Ini kerana keadaan di Iraq begitu berbahaya dan kucar-kacir hingga tidak diketahui siapa membunuh siapa dan bila pembunuhan dan pengeboman akan berlaku.
Oleh kerana nyawa wartawan sentiasa terancam oleh orang bersenjata yang tidak dikenali atau diketahui tujuan mereka, maka sukar laporan atau berita sebenar keluar dar Iraq.
Justeru apa yang dunia ketahui mengenai Iraq hanyalah secebis. Maklumat yang diterima hanya datang daripada sumber rasmi tentera AS yang tidak mencerminkan keadaan sebenar.
wartawan itu menceritakan pembunuhan bukan saja berlaku antara Sunni dan Syiah, AS dengan orang Iraq, tetapi juga wujudnya kumpulan-kumpulan asing dari negara Arab yang matlamat mereka juga tidak jelas. Apa yang berlaku hanyalah pengeboman dan pembunuhan orang ramai.
Selain itu, katanya, terdapat juga tanda-tanda wujudnya penyusupan daripada Israel yang tidak diketahui tujuan dan sasarannya.
Menurut wartawan yang bermazhab Sunni itu, apa yang paling menyedihkan dan mengerikan pejuang-pejuang yang berkeliaran di Iraq tidak bertindak menurut strategi apatah lagi bersifat berperikemanusiaan. Walaupun mereka berjuang atas nama Islam atau dengan tujuan menghalau AS tetapi yang menjadi sasaran adalah orang awam Iraq.
Mereka melakukan pembunuhan dan pengeboman di tempat awam secara membunuh diri dan tanpa matlamat.
Ada peristiwa di mana seseorang itu dibunuh hanya kerana nama mereka adalah Abu Bakar atau Omar, iaitu nama khalifah yang ditolak oleh golongan Syiah.
Malah katanya, ada wartawan yang dibawa bertemu dengan kumpulan-kumpulan bersenjata dan hanyalah seorang anak muda yang naif dan hanya tahu hendak membunuh dan memusnah. Bagaimana mereka mendapat senjata dan sokongan untuk beroperasi tidaklah diketahui.
Maknanya seluruh Iraq sudah begitu hancur dan kacau-bilau hinggakan AS dan Britain sendiri tidak dapat mengawal keselamatan. Apatah lagi tentera atau polis Iraq yang dilatih mereka.
Malangnya, menurut wartawan itu, tentera rasmi Iraq hari ini didominasi oleh Syiah dan ini menyebabkan golongan Sunni tidak berasa selamat. Sementara tindakan provokasi saban hari dilakukan oleh semua pihak.
Wartawan itu juga menceritakan bagaimana rebutan tanah dan rumah dilakukan dengan berlakunya pembersihan etnik. Maka dipercayai ada kawasan Sunni yang bertukar menjadi milik Syiah.
Justeru ada penduduk Iraq yang terus bertahan kerana tidak mahu rumah dan tanah mereka dirampas. Itu pun pihak yang menguasai kerajaan di Iraq hari ini mempunyai kuasa keupayaan untuk mengubah kedudukan geran tanah.
Minyak
Sementara pihak Kurdis pula mahu membolot minyak di kawasan mereka. Tetapi akhirnya segala kekacauan ini mendorong banyak pihak di Iraq, menurut wartawan itu melupakan soal harta benda dan mengutamakan keselamatan semata-mata.
Maknanya kalau Kurdis dan Syiah hendak memiliki minyak dan tanah Iraq, pihak Sunni menerimanya asalkan keselamatan dan perdamaian dapat diwujudkan.
Tetapi perkara itu tidak juga berlaku. Hubungan antara golongan begitu buruk dan seolah-olah tidak ada jalan selain daripada perpecahan.
Banyak penganalisis akan menyalahkan Saddam sebagai punca keadaan ini. Tetapi pihak yang berkuasa sekarang adalah AS dan Britain yang pasti menjadi sasaran kecaman. Mereka pula akan menyalahkan Iran kerana campur tangan dan tidak kurang pula kumpulan Al-Qaeda yang mendapat sokongan rekrut dan dana daripada orang Sunni di luar Iraq.
Sementara di AS dan Britain, lobi yang mendesak supaya tentera masing-masing mengundurkan diri semakin kuat yang akhirnya akan menjadi kenyataan.
Mungkin hukuman bunuh Saddam akan menjadi petanda bahawa sudah sampai masanya bagi AS dan Britain berundur dari Iraq. Malangnya rakyat Iraq akan terus sengsara tanpa mengira sama ada Saddam dihukum atau tidak, dan sama ada tentera AS dan Britain ada atau berundur.
Malah masa depan rakyat Iraq terus gelap. Jika Iraq berpecah tiga, mereka akan terus berbalah sesaman sendiri. Sementara jika terus bersatu pula, persaingan antara Syiah, Sunni dan Kurdis menjadikan negara itu lumpuh.
Sedangkan Syiah dan Sunni adalah satu etnik iaitu Arab, dan Kurdis dan Sunni juga adalah semazhab.
Legasi Saddam dalam bentuk penindasan golongan Sunni ke atas Syiah dan Kurdis membawa padah buruk pada Sunni hari ini. Giliran mereka dipinggirkan dan keadaan sudah tentu tidak disenangi oleh dunia Arab yang majoriti adalah Sunni.
Sementara legasi AS pula adalah kegagalan dan memusnahkan struktur masyarakat Iraq.
Baghdad pastinya menanti seorang pemimpin yang tegas, berani dan boleh menyatukan negara, iaitu salah satu ciri Saddam. Tetapi Iraq juga perlukan pemimpin yang demokratik, toleran dan berperikemanusiaan sekurang-kurangnya seperti pemimpin lain dunia.
Di atas segalanya, Iraq memerlukan juga pemimpin yang cerdik. Saddam membawa Iraq ke dalam kemusnahan kerana kebebalannya. Tindakannya menyerang dan berperang dengan Iran, menyerang dan menduduki Kuwait dan akhirnya tidak akur dengan keputusan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berhubung pemeriksaan senjata akhirnya memusnahkan negaranya dan mendatangkan penderitaan rakyatnya.