Galakkan budaya belajar sambil bekerja

Oleh: DATUK MUHAMMAD ALIAS
Sumber: Utusan Malaysia 3 Januari 2007


SESUATU yang menarik dengan sistem pendidikan Amerika Syarikat (AS) ialah para pelajarnya digalakkan bekerja. Kebiasaannya para pelajar di tahun 12 (tahun akhir sekolah tinggi) belajar sambil bekerja hinggalah di peringkat universiti.

Rasionalnya para pelajar (dalam lingkungan 17 tahun) dibiasakan dengan kehidupan sebenar apabila tamat belajar kelak. Dengan bekerja pelajar mempunyai sikap berdikari, berani membuat keputusan di samping menyelesaikan sesuatu masalah yang timbul. Malahan paling penting ia mengajar pelajar mencari wang sendiri di samping mengelola perbelanjaan.

Pengalaman bekerja walau di kedai runcit, restoran McDonald’s atau Kentucky Fried Chicken boleh membantu seseorang calon ketika memohon pekerjaan nanti.

Tidak kira seorang arkitek, jurutera atau doktor perubatan. Di AS resume merupakan sesuatu yang penting. Lagi banyak pengalaman pekerjaan peluang untuk lulus temu duga adalah lebih cerah.

Budaya belajar sambil bekerja telah bermula sejak bergenerasi. Oleh itu tidak hairanlah sekiranya seseorang bintang filem terkenal atau ahli kongres pernah bekerja di restoran-restoran ketika bersekolah atau belajar di universiti. Mereka tidak malu untuk memberitahu tentang masa lampau mereka.

Ketika berumur 17 tahun pelajar-pelajar sekolah tinggi telah mula belajar memandu dan kemudiannya memandu kereta ke sekolah. Sekolah-sekolah pula mempunyai kurikulum memandu meskipun di peringkat teori. Para pelajar boleh mengambil ujian teori di sekolah dan kemudiannya ujian memandu di Jabatan Kenderaan Bermotor (DMV).

Di gred 11 dan 12 sebahagian besar para pelajar tidak lagi dihantar ke sekolah oleh ibu bapa. Mereka memandu sendiri. Meraka telah dianggap dewasa. Apatah lagi mereka telah boleh mencari wang sendiri untuk membeli kereta dan mengisi minyak kereta. Mereka tidak lagi memohon wang daripada ibu bapa.

Kereta datang dengan tanggungjawab. Lantaran itu mereka terpaksa bekerja keras di samping belajar untuk membayar ansuran kereta, insurans dan minyak kereta. Oleh itu mereka tidak mempunyai masa lapang untuk melepak atau membuat kerja-kerja tidak berfaedah.

Memandangkan para pelajar menghabiskan masa bekerja mereka tidak menghabiskan masa di jalan-jalan raya atau pasar raya.

Budaya seperti ini patut digalakkan di Malaysia. Dipercayai kegiatan lumba haram dan lain-lain tidak akan wujud sekiranya para belia Malaysia termasuk para pelajar menghabiskan masa bekerja.

Dengan cara ini Malaysia boleh mengurangkan import pekerja-pekerja asing.

Para pelajar oleh kerana mempunyai wang sendiri tidak lagi perlu membuat pinjaman yang besar ketika menuntut di universiti. Mungkin mereka memerlukan pinjaman yang kecil sahaja sebagai tambahan kepada gaji mereka.

Perkara seumpama ini menjadi praktis di kalangan pelajar-pelajar universiti Amerika. Pinjaman hanya dibuat berdasarkan keperluan.

Menariknya pelajar-pelajar di Amerika berebut-rebut mencari kerja. Ini tidak pula bermakna mereka mengabaikan pelajaran. Ibu bapa menggalakkan mereka bekerja meskipun daripada golongan berada.

Sekiranya kita memasuki restoran atau gedung-gedung perniagaan khususnya di waktu petang atau hujung minggu sebahagian besar daripada pekerjanya adalah para pelajar. Mereka dibayar gaji mengikut jam. Dan gaji adalah mengikut kadar gaji minimum.

Berdasarkan kepada pemerhatian dirasakan tidak ada sebab perkara seumpama ini tidak boleh dilakukan di Malaysia. Khususnya di bandar-bandar.

Mungkin ada antara ibu bapa di bandar-bandar yang tidak senang melihat anak-anak mereka bekerja. Apatah lagi kalau ibu bapa daripada golongan atasan. Anak-anak tidak perlu bekerja kerana makan, pakai, wang saku dan yuran pelajaran ditanggung beres.

Bagaimanapun, perkara ini mungkin mula diberi perhatian serius sekiranya pengalaman bekerja dijadikan kriteria penting untuk mendapat pekerjaan.

Sering terbaca di akhbar ramai graduan gagal mendapat pekerjaan ataupun tidak menyerlah di dalam tugas. Antara sebabnya dikatakan mereka kurang pengalaman dan tahap kebolehan mereka tidak sampai ke peringkat yang diperlukan.

Pada saya perkara seumpama ini boleh diatasi sekiranya para pelajar mempunyai pengalaman bekerja. Pengetahuan berdasarkan buku sahaja tidak akan membawa seseorang ke mana-mana tanpa pengalaman praktikal.

Masanya telah tiba bagi berbagai kementerian dan agensi kerajaan memikirkan perkara ini. Sementara sektor swasta pula bersedia untuk membantu. Alasan kurang pekerja dan lantaran itu mereka mesti membawa masuk pekerja asing tidak boleh diterima lagi.

Kalau pelajar-pelajar asing boleh membuat kerja di dalam berbagai bidang termasuk restoran tidak ada sebab kerja-kerja seumpama itu tidak boleh dilakukan oleh pelajar-pelajar tempatan.